Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2129 articles
Browse latest View live

Kek Red Velvet Yang Gebu dan Moist

$
0
0





Kek Red Velvet ini disediakan Juita untuk harijadi kawan sekolahnya. Memang kalau bab membuat kek, Juita lebih handal dari saya kerana dia selalu mem baking lebih dari saya sendiri. Malahan jika teringin untuk makan kek, saya juga akan meminta Juita yang membuatnya untuk saya. Namun kini saya mengurangkan aktiviti Juita di dapur kerana dia akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini. 





Resepi ini memang yang terbaik dan kami sangat berpuas hati dengan kejadiannya. Pendek kata tak perlu bertukar dengan yang lain. Moist, gebu dan secukup rasa sahaja kemanisannya. Memang sangat menepati citarasa untuk sepotong kek. Boleh klik di SINI untuk melihat a keeper recipe for Red Velvet kami.  

Hari ini kita layan gambar gambar kek yang Juita sediakan sahaja. Nak resepi kena klik link di atas.  






Sambal Tumis Telur Rebus

$
0
0



Banyak betul dugaan yang datang bertimpa timpa sekarang. Dengan pemergian Bonda, dengan Rizky yang jatuh sakit dan perihal pengajian dan pekerjaan anak anak dsb. Baru malam tadi, kami membawa Rizky balik setelah dipantau oleh doktor selama beberapa hari. Hari ini pulak, dia menghilangkan diri. Setelah puas mencari di merata rata, akhirnya terjumpa tempat dia menyorok. Seperti biasa, hubby juga yang menemuinya. Memang sangat risau, kerana Rizky belum betul betul pulih, masih belum mahu makan. Habis kotor badannya dan dia belum boleh dimandikan untuk mengelak dari bertambah stress. Ingatkan manusia jer stress ya. 

Malam tadi semasa Kuliah Ustaz Salam dikongsikan berkenaan dengan manusia yang membuat penganiyaan dan kezaliman pada orang lain, mati sebelum meminta maaf. Dia akan didakwa di hadapan Allah. Di kala itu, semuanya tidak boleh dibayar dengan harta benda lagi. Sebaliknya mereka mahukan gantirugi dalam bentuk pahala kita. Di saat kita juga sangat memerlukan pahala. Jika pahala kita tidak  mencukupi, kita akan menanggung dosa orang yang dianiayai. Inilah contoh manusia yang bankrup di akhirat. Jadi beringat ingatlah kerana dosa dengan manusia mesti diselesaikan dengan manusia. Jika dosa dengan Allah, boleh bila bila masa bertaubat. Jika diri dirasakan berkuasa di dunia ini, jangan salahguna kuasa kerana dunia hanyalah persinggahan sementara. Sesungguhnya jawatan itu Amanah dan Amanah itu "Parah", iaitu berat....

Selepas 2 kali melihat Kak Azaria menayang gambar masakan Sambal Tumis Telur Rebus yang dimasaknya menjadikan saya sangat sangat ingin memasaknya. Warnanya kemerahan yang sangat cantik. Saya menunggu masa yang sesuai kerana kami telah lama tak memasak makanan berat berat di rumah kerana semua dah tak makan nasi. Semasa sedang mengaji, hubby menghantar gambar ikan terubuk yang sedang dibakar. Dalam hati berkata, elok juga memasak nasi dan disediakan Sambal Tumis Telur ni. Ada lah alasan untuk memasak nasi dan lauk lauk. Selain Sambal Tumis Telur  rebus, saya juga menyediakan Telur Ikan Goreng Berempah. 

Hmmm sebenarnya tak berapa puashati kerana Sambal Tumis saya tidak secantik sambal tumis yang dimasak Kak Azaria. Saya menggoreng telur rebus yang dikupas terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam sambal tumis.

Jom kita tengok resepi dulu....



Sambal Tumis Telur Rebus

Bahan bahan:
4 biji telur rebus - kupas dan goreng
8 tangkai cili kering
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Asam keping
Gula
Garam

Cara cara:
Bawang bawang dan cili dikisar lumat. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga cili benar benar masak.

Masukkan gula terlebih dahulu dan kacau rata. Selepas itu, masukkan sedikit air, garam dan asam keping.

Sesuaikan rasa dan kepekatan. Bolehlah masukkan telur dan dikacau rata. Boleh tutup api dan sedia untuk dihidangkan.




Sedap Nyeer Kuih Bakar Kemboja

$
0
0



Kuih Bakar Kemboja adalah salah satu dari jenis kuih muih kegemaran saya terutama di bulan Ramadhan. Kuih Bakar yang dijual di cafetaria, memang sangat sedap. Sesuai jer dari segi kelembutan dan kemanisannya dengan citarasa saya. Kuih ini jika keras dan tak lemak, memang tak sedap. Mengikut resepi yang diolah oleh Syazwani, air jus daun pandan, boleh ditambah 1/4 cawan lagi bagi mendapatkan kuih yang lembut. Atau sebagai alternatif, boleh tambah 1 biji telur. Tapi saya memilih untuk menambah 1/4 cawan santan. Haa ada cerita disebalik santan ni. 




Pagi pagi selepas kuliah Dhuha di surau, saya dan Boy ke Albi Petzone Puchong untuk menghantar Demy ke rumah Isam. Pagi pagi lagi jalan raya dah jam di sana sini, bayangkan hampir setengah hari berada di jalan raya. Semasa dalam perjalanan balik, saya teringin nak makan nasi Ayam Kak Laily, lalu Boy singgah di Pasar Subang Jaya. Waktu dah tengahari, jadi banyak gerai yang telah ditutup. Saya tercari cari gerai menjual santan kerana mereka sedang membersihkan gerai. Melihat saya tercari cari, tuan punya gerai memberi saya 2 pek plastik santan secara percuma. Jadi saya pun mengucapkan terima kasih dan memberitahu yang saya akan membuat kuih untuk dihantar ke surau. Mendengar itu, beliau menggantikan dengan satu pek plastik besar santan. Itulah, makanya santan mewah dalam kuih ini. Semoga Allah memberikan mereka ganjaran yang besar dengan sikap pemurah. 





Kuih ini juga antara kuih pilihan saya bila setiap kali memikirkan apa kuih yang hendak dibuat sebab ianya sangat cepat menyediakannya dan juga sangat sedap. Sebenarnya inilah kali pertama, saya membuat Kuih Bakar menggunakan acuan Bahulu Kemboja dan menggunakan dapur gas pula. Hati sangat teruja melihat ianya berkerak seperti yang dijual di kedai selama ini. Kalau bakar menggunakan oven, hanya permukaan atas yang garing, sedangkan bawah dan keliling tak menjadi garing berkerak pun. Hahaha tapi ada satu tu terlebih kerak, gara gara terlupa nak kecilkan api. Biasalah kan...manusia mana ada yang sempurna. Kesempurnaan hanya milik Allah.

Jom layan resepi dulu yang telah diolah oleh Syazwani Adnan. Terima kasih berbanyak banyak kerana berkongsi ilmu yang bermanafaat....




Kuih Bakar Kemboja

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan santan 
1 cawan jus pandan 
1 cawan gula - saya guna 3/4 cawan
2 sudu besar butter - cairkan
3 biji telur 
1/2 sudu kecil garam
Pewarna hijau
Sedikit bijan - untuk ditabur

Cara-cara:
Campurkan semua bahan dan blend sampai sebati dan tepung tidak berbintil. 

Panaskan acuan kuih terlebih dahulu di atas api dapur. Kalau mahu elakkan dari adunan melekat pada loyang, penuhkan loyang dengan minyak masak. Lepas tu panaskan sehingga keluar asap (betul betul panas). Kemudian tuang (keluarkan) minyak tu dari acuan. Kecilkan api sekecil kecilnya. 





Lenser minyak atau butter pada acuan dan tuang adunan ke dalamnya. Kemudian taburkan bijan di atasnya.





Masak sebentar di atas dapur gas selama 5-10 minit dengan api yang sangat kecil bertujuan untuk dapatkan kulit yang agak garing. Kemudian sambung bakar kuih di dalam oven suhu 180C selama 30 - 40 minit hingga permukaan kuih nampak keperang-perangan.






Bila dah sejuk, bolehlah dipotong mengikut bentuk acuan. Untuk adunan di atas, menghasilkan 4 biji Kuih Bakar Kemboja yang bila dipotong, dapat 32 keping.





Gulai Lemak Cili Padi Tempoyak Ikan Baung

$
0
0





Gulai lemak cili padi tempoyak ini dimasak oleh Cik gu Asiah, kakak saya menggunakan ikan baung liar yang dibawa balik oleh abang ipar yang sekarang menjadi guru besar di sebuah sekolah di Gua Musang. Cara memasaknya lebih kurang sama dengan masak lemak cili padi Nogori, cuma dimasukkan tempoyak. Pesan kakak, kalau menggunakan ikan laut, bolehlah dimasukkan beberapa biji bawang merah. Kalau mahu tengok, masakan tempoyak ikan sungai kakak saya yang tidak menggunakan santan, boleh klik di SINI. Kakak saya memang pandai memasak sejak dahulu lagi. Apa sahaja yang disediakan, memang sedap dan kena pada selera saya. 

Saya memang kalau balik kampung, akan duduk di rumah kakak dan kalau pun tinggal di chalet, kami akan tetap singgah makan. Dapur rumah mereka memang sangat meriah, sentiasa ada orang didapur, di meja makan atau di ruang keluarga, jadi memasak menjadi lebih seronok. Sambil masak boleh bersembang sembang juga. Jadi kalau lain kali mahu membuat dapur mesti diambilkira ruang keluarga supaya setiap kali kita memasak, ada ahli keluarga bersama sama menemani. 

Jom semak resepi dulu



Gulai Lemak Cili Padi Tempoyak Ikan Baung

Bahan bahan:
2 ekor ikan baung
5 tangkai cili padi - ikut suka pedas
1 inci kunyit hidup
Asam keping
Garam
2-3 sudu besar tempoyak
Santan secukupnya

Cara cara:
Tumbuk cili padi dan kunyit hidup. Masakkan santan dan bahan kisar sehingga rata dan masukkan ikan baung. Sentiasa dikacau. 

Setelah mendidih, masukkan tempoyak yang dibancuh dengan sedikit air. Masukkan juga garam. 

Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 





Puding Roti Mudah Dan Sedap

$
0
0





Setelah melihatkan ada baki beberapa keping roti Gardenia yang telah hampir tarikh luput, saya terus ke dapur untuk menyediakan Puding Roti Bakar. Puding roti adalah sejenis hidangan pencuci mulut yang sangat cepat disediakan dan rasanya pun sangat sedap. Ya lah dari dibiarkan membazir begitu sahaja, baiklah dibuat sesuatu yang boleh dinikmati bersama keluarga. Puding ini sangat sedap dimakan begitu sahaja. Kalau tak suka manis, boleh kurangkan gula 2 sudu besar atau guna hanya 1/2 cawan. Semua terpulang kepada citarasa dan selera masing masing.





Sebelum ini, saya telah mencuba 3 resepi Puding Roti. Boleh klik di SINI dan di SINI. Untuk Puding Roti Kukus Pandan pula, boleh klik di SINI. Puding Roti memang sesuai dihidangkan samada untuk sarapan atau untuk minum petang.

Jom kita layan resepi yang saya gunakan hari ini. Saya memang suka membuat Puding roti yang tidak menggunakan kuah kastard. Bukan apa, lebih mudah dan jimat.



Puding Roti Mudah Dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
6 keping roti Gardenia
1/2 cawan kismis - opsyenal
4 biji telur - pukul
1 tin susu cair - boleh ganti 2 cawan susu segar
3/4 cawan gula pasir
1 sudu kecil serbuk kayu manis
1 sudu kecil vanilla extract
2 sudu besar butter

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 170C. Potong roti kecil kecil atau potong 2 sahaja. Sapukan butter pada roti. Atau jika suka, butter boleh juga dicairkan dan dituangkan ke atas roti yang telah disusun dalam loyang.

Susun roti dalam loyang yang telah dilenser dengan butter dan tabur kismis. Susun roti dan tabur kismis lagi sehingga habis.

Di dalam bekas lain, satukan telur yang telah dipukul dengan susu, gula, serbuk kayu manis dan vanilla extract. Pukul sebati dan tuang ke dalam loyang.





Tekan tekankan roti dengan menggunakan garfu supaya ianya terendam di dalam adunan telur dengan sepenuhnya.





Bakar selama 45 minit atau sehingga masak. Sedap dimakan semasa suam suam.








Anda Perlukan Emotional Support?

$
0
0



Setiap manusia pasti diuji dan berhadapan dengan ujian samada kecil atau besar. Kadang kadang kita dapat menyelesaikannya sendiri dengan memperbanyakkan berdoa pada Allah. Ada ketikanya kita memerlukan seseorang untuk mendengar segala keluhan hati kita. Namun kawan kawan hanya sekadar mampu mendengar tanpa dapat memberi lebih dari itu. Itulah yang menyebabkan ada orang yang akan bertindak di luar batasan dek tak dapat mengawal hati dan perasaan. Tak kiralah perasaan marah, geram, sedih kepada sesiapa sahaja. 

Tapi kini anda semua tidak perlu lagi menyakiti hati dan perasaan sendiri dengan menyimpannya di dalam dada sehingga semuanya menjadi sesak. Jika anda memerlukan bantuan, kini terdapat khidmat nasihat dan kaunseling secara online. Sekiranya anda memerlukan perkhidmatan secara berdepan one on one juga boleh diatur.  

Haa sekiranya anda mahu mengetahui dengan lebih lanjut, bolehlah layari blog My Emotional Support untuk mendapat khidmat nasihat dan bimbingan dari pakar yang bertauliah di dalam bidang ini. Hidup hanya seketika, mengapa mesti sengsara? Carilah jalan keluar mengikut kaedah yang lebih baik serta terbukti keberkesanannya...




Ayam Masak Merah Kelantan

$
0
0




Kali ini saya ingin berkongsikan resepi dan cara penyediaan Ayam Masak Merah keluarga saya yang dimasak semasa majlis tahlil arwah Bonda baru baru ini. Cara memasak Ayam Masak Merah kami adalah sangat mudah dan ringkas sahaja. Namun begitu ianya adalah sangat sedap dan menepati selera saya. Gambar diambil menggunakan hp dan dah hampir malam, jadi gambar pun tak berapa cantik. Tapi apa pun, rupa tak seindah rasa, tau. Boleh juga klik di SINI untuk masakan lauk yang sama yang dimasak di majlis aqiqah cucu saudara saya dulu. Lauk ini dipanggil juga Ayam Masak Pedas atau Ayam Masak Sambal. Apa apa pun ianya merujuk kepada lauk yang sama.

Sebenarnya saya telah ditugaskan untuk memasak lauk ini semasa memasak untuk majlis tahlil selepas solat Isyak. Bukanlah memasak pun tapi tolong menumis dan mengacau sambal di kuali dan bila tiba masa untuk merasa, semua orang lain tolong sama merasanya. Saya memang tak berapa pandai kalau memasak dalam jumlah yang banyak.

Jom kita tengok bahan yang digunakan. Sebenarnya masa memasak hari itu, saya tak melihat sangat pun sukatan bahan. Semuanya main masukkan sahaja. Memasak lauk ini tak perlu diikut sukatan sangat pun, rasa kurang bawang, masukkan jer bawang kisar lagi. Begitu lah juga dengan bahan yang lain lain. Sambil memasak pun, masih boleh tambah itu dan ini. Kalau rasa kurang minyak, boleh juga tambah minyak sedikit demi sedikit. Yang pasti, bawang dan cili yang ditumis mestilah benar benar garing barulah sedap. Tapi untuk panduan, saya gunakan sukatan kuantiti resepi Ayam Masak Merah saya sebelum ini...


Ayam Masak Merah Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor Ayam - lumur garam dan rebus sekejap
3 biji bawang besar - mayang
2 batang serai - ketuk
Cili kisar - dari 15 - 20 tangkai cili kering
Air asam jawa
2 biji buah tomato - belah 4 
Sos cili
Garam
Gula

Bahan kisar:
4 biji bawang besar
5 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
2 cm halia

Cara cara:
Tumis bawang dan halia kisar sehingga betul betul wangi dan garing. Kemudian baru dimasukkan serai dan cili kisar. Tumis lagi sehingga cili benar benar masak dan garing serta terbit minyak.




Masukkan gula dan kacau rata. Kemudian baru dimasukkan air asam jawa, sos cili, garam dan bawang besar yang dihiris. Sesuaikan rasa, angkat dan ketepikan.

Ayam yang direbus digoreng sehingga kekuningan. Angkat dan tos. 






Masukkan ayam yang digoreng ke dalam sambal dan gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
Kalau untuk majlis kenduri, biasanya ayam akan disepit dan dicelup seketul demi seketul ke dalam kuah dan masuk ke dalam bekas hidangan. Buat sehingga habis, Jika ada kuah berlebihan baru dituang ke dalam bekas. 



Teringat Ingat Keenakan Kuih Bakar Kemboja

$
0
0



Insya Allah esok umat Islam yang menunaikan fardhu Haji akan berwukuf di Padang Arafah. Bertuah kerana tahun ini adalah tahun Haji Akbar. Semoga mereka semua dikurniakan Haji yang Mabrur yang balasannya adalah syurga. Hari ini saya mahu menyentuh berkenaan kuliah Ustaz Zaid Hamzah di Surau Ad Dhuha yang sangat sangat meruntun jiwa saya. Sememangnya untuk mencari kawan semasa senang memang ramai tapi betapa ramai kawan yang sanggup menemani semasa kita ditimpa ujian dan musibah? Semasa saya sampai, ustaz sedang menghuraikan bagaimana kita mahu menjadi seorang yang selamat. Caranya ialah dengan mengikut ajaran Islam dan beramal dengan Islam secara holistik. Allah menurunkan Al Quran untuk memberi hidayah dan petunjuk yang menjelaskan akan tiap tiap sesuatu. 

Al Quran juga membawa berita gembira. Kenapa majoriti orang Islam hidup susah? Jawapannya ialah kerana mereka tidak mengikut peraturan Islam. Sampaikan berita gembira ini pada orang beriman dan mereka yang melakukan amal amal soleh dengan disediakan taman taman syurga yang mengalir sungai sungai di bawahnya dengan buah buahan dan teman hidup yang bersih dan mereka akan kekal di dalamnya selamanya. Syurga di dunia adalah ketenangan, bukan kesenangan. Ada orang senang tapi tidak tenang. 

Setiap manusia tidak akan dapat lari dari ujian dan musibah. Semua ujian dan musibah adalah datangnya dari Allah. Perlu diingatkan Allah tak akan menguji hambanya di luar kemampuan. Sebab itu ujian antara kita tak sama kerana kemampuan antara manusia adalah tidak sama. Ingatkan sentiasa bahawa bila ditimpa ujian atau musibah adalah kerana Allah hendak menghapuskan dosa yang lalu dan  diberikan pahala. Jadi bila ditimpa ujian dan musibah, mesti diterima dengan hati terbuka dan kembalikannya semula pada Allah. Jika kita dianiayai atau dizalimi, kembalikan pada Allah, biarlah mahkamah Allah yang mengadili. Allah Maha Pemberi dan juga Allah boleh melenyapkan ujian tersebut pada bila bila masa sahaja. Jadi kita kena sabar menghadapi ujian. Apa maksud sabar? Usaha yang diambil untuk mengatasi kelemahan kita, itulah sabar. Bukan tunggu dan lihat semata mata.

Kuih Bakar Kemboja ini saya sediakan sehari selepas saya menyediakan Kuih Bakar yang di SINI. Ini kerana dek teringat ingat keenakan kuih bakar tersebut. Saya lebih suka makan kuih bakar yang dah sejuk, baru dapat dirasa lemak dan manisnya. Kali ini saya membuat hanya separuh adunan iaitu untuk 2 biji Kuih Bakar Kemboja.





Saya bahagikan adunan kepada 2 dan untuk rujukan saya di masa akan datang, saya sertakan di bawah ini resepi yang menggunakan separuh adunan seperti kuantiti dalam kurungan. Kalau sekadar nak melayan diri sendiri, buat 2 biji kuih Bakar Kemboja pun dah cukup. Jom layan resepi....



Kuih Bakar Kemboja

Bahan bahan:
2 cawan tepung gandum - (1 cawan)
2 1/2 cawan santan - (1 1/4 cawan)
1 cawan jus pandan - (1/2 cawan)
3/4 cawan gula - (1/2 cawan tak penuh)
2 sudu besar butter - cairkan (1 sudu besar)
3 biji telur - (2 biji)
1/2 sudu kecil garam - (1/4 sudu kecil)
Pewarna hijau
Sedikit bijan - untuk ditabur

Cara-cara:
Satukan semua bahan dan blend sampai sebati dan tepung tidak berbintil.

Panaskan acuan kuih terlebih dahulu di atas api dapur. Kalau mahu elakkan dari adunan melekat pada loyang, penuhkan loyang dengan minyak masak. Lepas tu panaskan sehingga keluar asap (betul betul panas). Kemudian tuang (keluarkan) minyak tu dari acuan. Kecilkan api sekecil kecilnya.

Lenser minyak atau butter pada acuan dan tuang adunan ke dalamnya dalam 3/4 penuh acuan. Semasa dibakar, kuih akan naik tinggi. Kemudian taburkan bijan di atasnya. 

Masak sebentar di atas dapur gas selama 5-7 minit dengan api yang sangat kecil bertujuan untuk dapatkan kulit yang agak garing. Kemudian sambung bakar kuih di dalam oven suhu 180C selama 30 - 40 minit hingga permukaan kuih nampak keperang-perangan.

Bila dah sejuk, bolehlah dipotong mengikut bentuk acuan.







Catatan Hari Wukuf dan Chicken Pie Untuk Rakan Sepejabat Nellisa

$
0
0




Kebelakangan ini saya banyak menulis berkenaan dengan ujian dan musibah kerana secara jujur, saya memang sedang berhadapan dengan situasi sukar yang memerlukan saya bersabar, berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Jadi saya banyak memetik intipati kuliah atau ilmu yang berkaitan dengan erti kita dijadikan di mukabumi ini sebagai hamba Allah. Hari ini sempena Hari Wukuf di Padang Arafah di tahun Haji Akbar, saya kongsikan message dari Ustaz Rasyid berkenaan erti kehidupan yang beliau tulis sewaktu singgah di Thailand semasa dalam perjalanan ke Kemboja dengan menaiki kereta. Kehidupan di dunia, hanyalah satu persinggahan, umpama seorang musafir yang berhenti berehat di bawah sepohon pokok kemudiannya meneruskan perjalanan semula. Dunia yang kita tak ketahui berapa lama lagi boleh kita tinggal. Mungkinkah lagi beberapa tahun? Beberapa hari? Beberapa jam atau beberapa minit atau beberapa saat lagi? Kita selalu merasakan yang mati adalah orang lain, bukan kita yang akan mati hari ini atau esok. Hala tuju kita semestinya syurga Allah kerana kehidupan di sana adalah kehidupan yang kekal. Namun apa yang telah kita lakukan untuk meraih syurga Allah?

Terlalu banyak dosa yang telah kita lakukan. Walaupun peringatan demi peringatan di beri, kita masih melakukan perkara-perkara yang tidak disukai Allah. Begitu sukar untuk kita meninggalkan perkara-perkara jahiliyah. Terlalu banyak masa terbuang untuk perkara yang tidak berfaedah sedangkan masa yang ada ini terlalu singkat untuk mengejar kesemuanya. Nabi s.a.w. bersabda:
"Dunia adalah tanaman untuk hari Akhirat…"

Namun kerana tipu daya syaitan yang menghiasi kehidupan dunia dengan menjadikannya kekal dan indah pada pandangan manusia menyebabkan ramai di kalangan kita yang terperangkap hingga menjadikan dunia sebagai matlamat. Ramai yang mengabaikan Akhirat hinggalah tiba saat mereka dipanggil pulang mengadap Allah SWT barulah mereka tersedar dan insaf, sayangnya keinsafan pada masa itu telah kehilangan harganya.

Walau pun hidup di dunia singkat berbanding kehidupan akhirat, tetapi ianya sangat penting, kerana ia adalah penentu samaada kita bahagia atau sengsara di hari Akhirat nanti. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada seseorang sesungguhnya dia telah memperolehi kebaikan dunia dan akhirat…" Iaitu:

1. Hati yang sentiasa bersyukur…

2. Lidah yang sentiasa berzikir…

3. Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah; dan

4. Isteri yang tidak pernah khianat sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda (suami)nya.

Untuk bahagia di hari Akhirat, kita mesti melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan ketika hidup di dunia. Berusahalah menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah kerana kelak kita pasti bahagia di sana. Kita semua akan kembali kepada Allah, dan kitalah yang akan menentukan apa kesudahan kita. Jika dunia ini menjadi ladang amalan soleh dan solehah kita, maka kita akan bahagia selama lamanya di sana, tetapi jika sepanjang kehidupan kita dipenuhi dosa dan maksiat maka kita akan menyesal selama lamanya di sana. Atas kefahaman ini, saya rela disakiti buat sementara di dunia dari disakiti selama lamanya di akhirat.
 Saya juga mempunyai tiket untuk mendakwa mereka  yang menzalimi dan menganiayai saya di mahkamah Allah, jika saya mahu.

Sebelum berundur, saya ingin kongsikan sekali lagi resepi Chicken Pie yang disediakan oleh Nelly untuk dibawa ke pejabat. Bukan resepi yang utama tapi catatan berkenaan kisah di sebalik penyediaan kuih yang ingin saya kongsikan. Itulah sebabnya saya mengulang ulang resepi yang sama di dalam entri saya. Inilah kali pertama mereka menyediakan sendiri bahan bahan inti pie. Kebiasaannya sayalah yang akan menyediakannya. Dengan tunjuk ajar, akhir mereka berjaya menyediakan sendiri. Malahan menyiapkan semua sekali pie juga tanpa bantuan saya. Resepi dan cara cara menyediakannya ada juga di SINI. Saya banyak menerima pertanyaan untuk menempah pie ini. Bolehlah cuba kalau ada sesiapa ingin menyediakan pie ayam sendiri di rumah.




Chicken Pie Melbourne
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:

Untuk inti pai (filling):
1 cawam isi ayam- hiris nipis
1 cawan cendawan butang- hiris nipis
1 tin sup cendawan butang Campbell
1 tin (kecil) kacang pis
1 biji bawang besar- potong dadu
1 biji kentang- dipotong dadu dan direbus
1 sb lada sulah
2 sb mentega/minyak zaitun
1 biji kuning telur (mengilatkan pastri)
Sedikit air (sekiranya terlalu pekat)

Untuk pastri :
100g tepung gandum
50g mentega
secubit garam
2 cmb air
Saya guna:
Kulit roti pratha jenama kawan

Cara cara:
Panaskan mentega. Goreng bawang besar hingga kekuningan. Masukkan isi ayam dan biarkan seketika.

Masukkan sup cendawan butang Campbell, ubi kentang, kacang pis, air dan lada sulah. Kacau hingga sebati. Setelah masak, angkat dan ketepikan seketika.
Canai kulit pai dan letakkan ia sebagai lapisan bawah (base) dan cucuk sedikit dengan garfu. Bakar selama 5-6 minit.

Tuangkan isi pai yg dimasak tadi ke atas base pai.

Canai kulit pai lagi setebal 2 cm dan letakan diatas isi pai sebagai lapisan atas.

Sapukan sedikit kuning telur yg dicampur dgn 2 sk air utk mengilatkannya.
Bakar selama lebih kurang 12-20 minit atau sehingga pastri masak di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 200C.



Selamat mencuba...

Kuah Kacang Dengan Ayam Istimewa Azie Kitchen

$
0
0




Saya menyediakan Kuah Kacang dengan Ayam untuk hidangan Hari Raya Aidil Adha di Villa Nur Qaseh kerana tahun ini kami tidak balik berhari raya di Kelantan seperti mana kebiasaannya. Saya dengan berat hati memutuskan untuk tidak balik atas banyak sebab. Namun hari ini saya sangat gembira membaca komen dari Zuhra yang menulis "Kadang kala Allah sembunyikan matahari. Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya tanya ke mana hilangnya sinar. Rupa rupanya Allah hendak hadiahkan pelangi". Saya biasa membaca coretan seperti ini tetapi apabila ianya dituju kepada saya, ianya menjadi sangat bermakna lebih lebih lagi dengan Hari Raya Aidil Adha yang akan menjelang esok hari. Terima kasih, Zuhra.






Bila berhari raya di rumah sendiri, terpaksalah saya menyediakan sedikit juadah buat hidangan anak anak yang semuanya ada di rumah kecuali Nana yang bertugas di hari Raya. Saya memutuskan untuk menyediakan kuah Kacang selepas asyik teringat keenakan kuah kacang Ayam yang disediakan katerer semasa majlis terbuka di rumah kami. Memang ramai yang memuji dan anak anak pun menyukainya. Bayangkan saya makan sampai licin pinggan terakhir yang hubby bawa masuk selepas majlis selesai. Teringin nak buat tapi memikirkan proses membuatnya yang agak remeh, bertangguh lah pulak. Yang paling saya tak suka dalam menyediakan kuah kacang adalah bab menyediakan kacang tanah dari bab menggoreng tanpa minyak, membuang kulit dan menumbuk. Ish memang tak suka. Masa zaman ada pembantu rumah dulu, tugas ini akan diselesaikan tanpa melibatkan saya.

Semasa ke kelas tajwid beberapa minggu lalu, Kak Kamariah mengajar beberapa tips baru di mana kacang tanah hanya dibakar di dalam oven dan kemudian masukkan dalam kain dan dihentak hentak. Kemudian tampi kacang tersebut untuk membuang kulit sebelum dikisar. Sebahagian ditumbuk supaya kacang tidak terlalu hancur. Kali ini juga, Kak Kamariah memberi petua untuk penambahbaikan di mana selepas dikisar, kacang tersebut dimasak dulu dengan air sehingga kacang
 kembang. Tujuannya ialah supaya kacang tidak menyerap perisa dari kuah kacang dan kuah kacang juga tidak akan menjadi cepat kering. Selain bakar dalam oven, kacang tanah juga boleh digoreng dengan sedikit minyak bersama kulitnya sekali. Lepas tu, kisar jer. Tak perlu nak sepah sepahkan dapur dengan menumbuk menggunakan lesung batu. Tapi kata Kak Kama, sebahagian dari kulit kacang tanah yang digoreng perlu dibuang untuk menjadikan kuah berwarna cantik. 

Memang inilah resepi yang lebih dari 20 tahun digunakan untuk kuah kacang hidangan keluarga atau meraikan tetamu di majlis rumah terbuka kami sebelum sebelum ini. Boleh klik di SINI. Resepi ini saya pelajari dari Kak Kama dalam akhir tahun 1980an lagi. Resepi kuah kacang satu lagi pula adalah resepi turun temurun Satay Majid yang popular dengan Satay Anika beberapa lama dulu di SINI. Jom kita tengok resepinya yang telah dibuat penambahbaikan....





Kuah Kacang dengan Ayam Azie Kitchen

Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan

1 ekor ayam - potong dan kecutkan seketika
1/2 kg kacang tanah 
1 cawan cili kisar - 25 tangkai cili kering
1 gelas air asam jawa - dari 1 kepal asam jawa
3/4 cawan gula pasir
1 keping gula Melaka
2 sudu besar garam halus
3/4 cawan minyak mazola

Bahan kisar:

10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
4 batang serai

Cara cara:

Kacang tanah disangai tanpa minyak atau dibakar di dalam oven. Buangkan kulit dan dikisar serta sedikit ditumbuk supaya tidak terlalu hancur. Jangan kisar terlalu hancur. Masukkan kacang kisar ke dalam periuk dan tuang sedikit air. Masak dengan api perlahan sehingga kacang kembang. Ianya bertujuan supaya kacang tanah tidak menyerap perisa kuah kacang dan kuah tidak menjadi cepat kering.





Ayam digril atau dikecutkan di atas dapur sehingga air ayam kering bagi menjadikan kuah kacang tahan lama dan lambat basi.


Tumis bahan kisar sehingga wangi dan garing dengan minyak mazola, setelah garing, masukkan cili giling, goreng lagi hingga cili benar benar masak.


Masukkan ayam dan kacau rata. Biarkan sehingga air ayam kering jika ayam tidak dikecutkan terlebih dahulu. Setelah keluar minyak, masukkan sedikit air, air asam jawa, gula, gula Melaka, garam dan masak sehingga mendidih dan sedikit pekat.







Akhir sekali, masukkan kacang tanah yang telah direbus. Masak dengan api perlahan. Sesuaikan rasa dan kepekatannya. Kalau pekat, tambah air panas. Kuah kacang mesti ada rasa manis, baru sedap. Jika kurang manis, tambah gula sedikit demi sedikit.






Bolehlah angkat dan dihidangkan dengan nasi impit dan hirisan timun serta bawang. 






Nota:

Boleh masukkan dalam bekas bertutup kecil dan simpan dalam freezer untuk kegunaan akan datang. 


  

Menyambut Hari Raya Aidil Adha Di Villa Nur Qaseh

$
0
0





Seingat saya memang jarang saya menyambut Hari Raya Haji di Kuala Lumpur. Sejak dulu dulu lagi, saya pasti akan balik ke Kelantan kerana telah menjadi kemestian untuk kami melakukan ibadah Qorban di rumah kakak sulong saya kecuali ada 1 tahun di mana kami melakukan ibadah Qorban di Penjara Kajang. Setiap tahun seekor lembu akan dikongsikan antara kami adik beradik, anak anak saudara dan juga arwah Bonda. Arwah Bonda boleh dikatakan melakukan ibadah Qorban setiap tahun. Hari Raya Qorban tahun lepas adalah tahun terakhir Bonda melakukan ibadah Qorban tapi sayang saya tidak dapat meluangkan masa yang lama bersama Bonda pada hari itu kerana terpaksa segera kembali ke KL atas urusan tugas. Boleh klik di SINI

Tapi kali ini, saya akur untuk tidak balik ke kampung dan akan menyambut hari raya Aidil Adha di Villa Nur Qaseh bersama anak anak kecuali Nana yang bertugas pada hari raya. Banyak sebab sebab yang menyebabkan saya mengambil keputusan ini. Walaupun sedih teramat sedih, namun saya redha dengan apa sahaja ketentuanNya. Saya harus bersyukur dengan segala kurniaan Allah kepada saya selama hidup ini yang melebihi dari apa yang sebenarnya saya layak. Nikmat apa lagi yang saya mahu dustakan. Tidak terhitung banyak kurniaan dan anugerah Allah pada diri saya yang kerdil dan hina dina ini. 





Sebagai hidangan pagi hari Raya, saya telah menyediakan Kuah Kacang dengan Ayam menggunakan resepi di SINI yang sangat istimewa. Selain itu, saya juga menyediakan Puding untuk dibawa ke surau bagi jamuan jemaah surau sebelum melakukan ibadah Qorban. Hubby pula membeli beberapa batang lemang. Saya juga mengukus ketupat palas yang diberi oleh Dato Seri Mohamad Isa yang ditempah khas dari kampung beliau...







Pagi pagi lagi kami ke surau Ad Dhuha untuk melakukan solat sunat Hari Raya Aidil Adha. Selepas solat, kami ke Rawang menziarahi pusara Bonda Mertua. 





Saya sekali lagi menyertai jemaah Surau Ad Dhuha menjamu selera dengan lauk pauk yang dimasak untuk hidangan makan tengahari selepas solat Zohor. Alhamdulillah rezeki kerana Boy juga dapat kupon untuk mendapat daging Qorban.






Sementara lauk gulai kawah masak, kami bersembang dengan jiran jiran dan yang selalu jadi mangsa usikan ialah Dato' Seri Ahmad Said kerana ramai yang bersedia mencarikan calon untuk beliau...






Akhir sekali, Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua kawan kawan dan pembaca blog Azie Kitchen. Semoga amalan dan pengorbanan kita selama ini diterima Allah.  



Agar Agar Koktel Di Pagi Aidil Adha

$
0
0





Hari ini hari raya kedua Aidil Adha. Saya terkedu bila menonton Motivasi Pagi bab ujian dan musibah di mana bila disebut sahaja ujian, orang akan berkata, sabar kerana ujian adalah diberi pada mereka yang mampu menanggungnya. Tapi tak pernah orang menyebut yang mereka diuji bila mendapat kenaikan pangkat di pejabat sebagai Ketua Jabatan atau mendapat projek dan kekayaan. Mereka tidak melihat kesenangan dan anugerah itu juga sebagai ujian. Sedang ujian kesenangan adalah paling bahaya kerana ianya boleh menjauhkan diri pada Allah. Apa yang saya tengok sendiri, ramai yang bila dilantik sebagai Ketua Jabatan akan tidak punya masa untuk menghadiri majlis ilmu atau solat berjemaah di surau. Terlalu sibuk dengan urusan dunia. Begitu juga ada yang menganggap kematian ahli keluarga seperti ibubapa sebagai ujian sedangkan kematian adalah sesuatu yang pasti. Jadi jika ibubapa meninggal, jadilah anak yang soleh. Buatlah amalan soleh dan bersedekah dengan doa dan harta kepada ibubapa yang meninggal. Itulah cara yang sebenar, bukan dengan bersedih dan menangis. Apa pun, kita kena bersyukur di saat diuji walau apa pun bentuk ujiannya. Berceritalah dengan Allah kerana Allah lah Yang Maha Pengasih dan Maha Pengampun. Dalam masa yang sama, tanyakan juga siapa sebenarnya yang diuji samada kita yang ditimpa musibah atau mereka di sekeliling kita yang tidak ambil peduli saat kita ditimpa musibah tersebut. Sebagai kesimpulan, ada tak manusia yang tidak pernah diuji?

Sekarang kita sentuh sedikit bab masakan pula. Sebagai hidangan pencuci mulut, saya sediakan juga agar agar Koktel yang mudah. Memang nak buat yang mudah mudah jer. Agar agar sesuai dimakan sejuk sejuk selepas makan hidangan raya yang disediakan iaitu Kuah Kacang Dengan Ayam dan Nasi Impit serta lemang. Saya potong pun tak cantik sebab nak cepat ke surau bagi solat sunat Hari Raya. 






Sedap agar agar ini tapi saya dah terlebih memasukkan air sirap koktel, jadi ianya menjadi sedikit lembut. Ini adalah kerana saya membuat 2 adunan dan menggunakan pula 2 tin buah buahan koktel. Saya memang lupa untuk memasukkan gula batu. Lain kali, memang kena masukkan gula batu bagi menjadikan agar agar lebih kenyal dan tidak berair. 

Jom layan resepi dulu...



Agar Agar Koktel

Bahan-bahan ( 5-6 orang )
10 gram serbuk agar-agar
1.5 liter/5 gelas air 
100 ml/1/2 cwn susu cair
Sejemput gula batu
200 gram gula pasir
1 tin besar koktel
2 helai daun pandan

Cara-cara:
Masukkan serbuk agar-agar, air, sirap koktel, gula, gula batu dan daun pandan ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan gula batu hancur.

Perlahankan api. Ambik semangkuk agar-agar dan letakkan warna yang disukai dan disejukkan. Kalau nak cepat boleh alaskan air yg bercampur dengan ketulan ais atau masukkan dalam peti ais. Bila dah nampak nak keras, ambik sudu dan kacau-kacau supaya jadi berketul-ketul.

Dalam periuk agar-agar tadi masukkan pula susu dan buah buahan koktel. Biarkan sehingga mendidih. Kemudian padamkan api.

Tuang agar agar ke dalam loyang untuk bekukan agar-agar.

Masukkan juga koktel dan semangkuk agar-agar yang dikacau berketul ketul tadi.  Sejukkan dan kemudian bolehlah letak dalam peti ais.




Kuih Nona Manis Berhari Raya Aidil Adha

$
0
0




Resepi ini saya ambil dari blog Ita, blogger yang sangat berbakat dan sangat tinggi pulak budi bahasanya dalam berbicara di dalam tulisannya. Walaupun belum pernah bertemu secara in person tapi saya boleh bayangkan ketinggian akhlak Ita yang umpama seorang Nona Manis. Jauh jauh di sudut hati, saya bangga dengan Ita yang dikurniakan segala kelebihan yang tiada pada orang lain. Boleh klik di SINI untuk melihat entri Ita. Kuih yang Ita hasilkan memang cantik, terserlah kehalusan Ita di dalam menyediakannya. Sedangkan saya memasak dalam keadaan sudah keletihan selepas sejak pagi berada di dapur memasak Gulai Kawah Daging, kemudian memasak pula Ikan Siakap Masak Bercili dan ikan Terubuk Bakar seorang diri. Macam mana lah agaknya keletihan seorang suri rumah yang melakukan kerja rumah setiap hari dari pagi sehingga ke lewat malam. Hmm memang saya tak sanggup dan tak berupaya melakukannya...





Setelah melihat resepi hanya menggunakan bahan yang ringkas, saya menjadi lagi teruja untuk mencubanya. Lebih lebih lagi bila Ita menulis rasanya bak kuih tepung pelita yang sedap dengan gandingan rasa manis serta rasa lemak masin. Terima kasih Ita. Kuih ini memang nampaknya sangat popular di Indonesia dengan banyak blogger masakan di sana yang telah berkongsi kuih ini di dalam blog mereka.





Memang sangat sedap kuih ini, lepas sebiji sebiji saya makan kerana rasanya yang manis, lemak masin memang sangat serasi. Walaupun kuih yang saya hasilkan tidak cantik kejadiannya tapi cukuplah untuk menghilangkan keinginan saya untuk menikmati Kuih Nona Manis ini. Kalau sekali lagi saya memyediakan kuih ini, saya akan pastikan adunan C lebih pekat sedikit supaya ianya kemas bila dipicit dalam acuan kuih lompang. Ini adalah kerana bila adunan tidak cukup pekat, ianya akan melimpah keluar dari adunan hijau.

Jom layan resepi dulu. Saya juga buat menggunakan resepi Ita yang telah diubahsuai untuk 1/2 adunan, dapatlah dalam 25 ketul saiz acuan lompang kecil.



Kuih Nona Manis

Bahan A
1 biji telur
1/2 cawan gula halus
1 cawan santan  ~ campur santan kotak dg sedikit air jadikan 1 cawan
1 cawan tepung gandum

Pukul telur hingga kembang atau boleh juga dikisar dengan blender.

Dalam bekas lain, satukan gula, tepung gandum dan santan, kacau rata.

Akhir sekali, tuangkan adunan telur ke dalamnya dan pukul atau kacau rata. Saya kisar dengan blender. Bila dah siap ketepikan


Bahan B
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air daun pandan ~ ambil 5 helai daun pandan dan kisar dengan 1/2 cwn air dan tapis
1/4 cawan gula halus
1/4 cawan tepung jagung
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau apple

Satukan gula, tepung jagung, garam dan sedikit pewarna hijau. Kemudian masukkan santan yang dicampur dengan air daun pandan. Kacau sampai rata dan tidak berbintil-bintil.

Kemudian masak dengan api sederhana hingga ia meletup-letup, berkilat dan sedikit pekat. Angkat dari dapur dan biarkan sehingga suam suam kuku.

Tuangkan adunan A ke dalam adunan B. Kacau rata sehingga ia menjadi adunan yang pekat dan licin. Saya kisar dengan blender bagi menjadikan adunan yang sebati. 

Ketepikan dahulu sementara kita sediakan adunan putih


Bahan C
1 cawan santan pekat ~ guna 1 kotak santan dicampur sedikit air dijadikan untuk 1 cawan
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
1/2 sudu kecil garam halus

Satukan semua bahan C dan kacau rata. Kemudian masak atas api sederhana sambil sentiasa di kacau hingga ia pekat.

Tunggu suam sedikit dan masukkan dalam piping bag atau bag plastik (bahagian hujung bag plastik).





Cara Membuat Kuih Nona Manis:
Panaskan periuk pengukus sehingga airnya mendidih. Balut tutup kukusan dengan kain supaya air pada tutup kukusan tidak menitis pada kuih.

Sediakan acuan lompang yang kecil, oleskan acuan lompang dengan minyak jagung.

Tuangkan adunan hijau dalam acuan lompang hingga 3/4 cawan acuan lompang. Kemudian paipkan adunan putih di tengah-tengah adunan hijau sehingga adunan naik memenuhi acuan cawan lompang.




Susun dalam kukusan. Kukus selama 7 hingga 10 minit. Angkat dan biarkan sejuk sebelum di keluarkan dari acuan. 



Gulai Kawah Daging Qorban Dalam Kuali

$
0
0




Sebelum layan resepi, saya ingin kongsikan petikan dari program Tanyalah Ustaz yang saya tonton sebelum mula memasak di dapur. Allah hanya meminta kita melakukan pengorbanan dengan menyembelih haiwan yang tidak kita sayang, bukan menyembelih anak yang kita sayang seperti mana pengorbanan Nabi Ibrahim. Melakukan ibadah qorban bukannya untuk orang kaya tapi untuk semua orang sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang Allah kurniakan selama ini. Bagi orang Islam, dapat banyak kita syukur, dapat sikit juga kita syukur. Jika kita masih mempunyai duit untuk makan selama 2 hari selepas membayar duit untuk ibadah qorban, maka kita dikategori sebagai orang yang mampu untuk melakukan ibadah qorban. Lagi pulak, ibadah yang berbentuk tahunan seperti ibadah qorban, solat sunat hari raya, amat rugi jika dilepaskan kerana kita belum pasti jika kita masih berpeluang untuk melakukannya di tahun hadapan. Janganlah berkira untuk menyatakan pengorbanan kita pada Allah kerana rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita tidak terhitung banyaknya...

Oleh kerana tak balik berhari raya di kampung sempena hari raya Aidil Adha atau hari raya Qorban, saya sangat sangat teringin untuk makan gulai kawah dengan daging qorban yang segar. Jadi saya pun merajinkan diri untuk ke Surau Ad Dhuha untuk menikmati daging gulai kawah yang dimasak di situ. Seekor lembu dimasak di situ untuk hidangan para jemaah dan penduduk di sekitarnya. Keterujaan untuk menikmati gulai kawah terhenti setelah menikmati gulai tersebut. Saya perlu menerima hakikat yang gulai kawah tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain. Ianya berbeza dari segi rempah gulai yang digunakan dan juga kepakaran tukang masak. Oleh kerana Boy dapat sedikit daging qorban, jadi saya pun tak berlengah lagi untuk memasak gulai kawah sendiri menggunakan rempah gulai kawah Kelantan.




Pagi pagi lagi saya telah ke dapur seorang diri untuk memasak. Saya kena memasak lebih awal kerana ingin menyiapkan semua masakan sebelum Nana keluar bekerja. Hari ini Nana bekerja di sebelah malam. Sebenarnya memasak gulai kawah ini tidaklah sesusah mana, cuma perlu memastikan bawang ditumis dengan garing dan rempah juga perlu ditumis lama lama. Selain itu, bab yang paling susah bagi saya ialah bagi memastikan ianya secukup rasa, secukup rasa masam, rasa manis dan rasa masinnya. Inilah bab yang ramai orang tak suka jika memasak untuk majlis kenduri kendara. 

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini.....



Gulai Kawah Kelantan

Bahan bahan:
1 kilo daging
1 1/2 sudu besar rempah gulai kawah
4 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
1/2 biji bawang besar - kisar
1batang kulit kayu manis
1 kotak santan kotak dan air secukupnya
Garam
Air asam jawa
Gula dan gula Melaka

Cara cara: 
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris dan kulit kayu manis sehingga wangi. Masukkan serbuk rempah kari dan dikacau rata dengan cepat supaya tidak hangit dan kemudian masukkan sedikit air.




Kacau sehingga rempah keluar minyak dan masukkan daging serta sedikit air. Masak sehingga daging empuk. Saya hanya memasak daging dalam pressure cooker seketika.

Setelah air menggelegak, masukkan santan dan masaklah sehingga menggelegak. Akhir sekali, masukkan garam, air asam jawa dan gula. Sesuaikan rasa dan kepekatan dan bolehlah diangkat dan dihidangkan.




Bika Ambon Medan Idaman Nellisa

$
0
0



Pertama kali diperkenalkan dengan Bika Ambon yang dibawa balik oleh Zs dari Medan menyebabkan saya terus terpikat dengan rasanya yang agak unik. Hmm sedap tapi entah di mana silapnya ia tak dapat disimpan lama. Ianya dah berkulat. Mungkinkah sebab saya tak menyimpannya di dalam freezer. Kata Zs, kuih patut disimpan di dalam freezer dan boleh dikukus bila hendak menikmatinya. Sejak itu hati mula teringat ingat untuk menikmati lagi keenakan kuih Bika Ambon. Kebetulan juga, Nelly pun sangat menyukainya dan telah lama dan telah banyak kali meminta saya membuat Bika Ambon. Kuih ini kalau di Malaysia dikenali sebagai kuih Bingka tapi di Indonesia Bingka dpanggil sebagai Bika. Tapi merujuk kepada jenis makanan yang sama.




Sejak itu, saya mula mencari cari resepi Bika Ambon. Memang banyak resepinya tapi saya mencari tested recipe, maklumlah bahan yang digunakan agak lumayan juga terutama jumlah kuning telur. Kalau semalam saya telah menyediakan Kuih Nona Manis di SINI yang sangat popular di Indonesia, hari ini saya menyediakan satu lagi kuih asli Indonesia terutama di Medan iaitu Bika Ambon. Kebiasaannya sesiapa yang ke Medan akan membeli Bika Ambon sebagai buah tangan untuk saudara mara dan kawan kawan di tanah air. 

Bika Ambon yang saya sediakan ini tidak lah cantik sangat kejadian. Lubang lubang bak kek gula hangus pun tak menjadi dengan cantik pun. Bolehlah sekadar untuk dimakan sendiri. Oven saya memang tak ada api bawah sahaja, jadi saya bakar dengan menggunakan api atas dan bawah dan saya tutup bahagian atas dengan loyang. Masa itu, saya nampak pembakaran kuih macam seperti sedikit terbantut. Lupa pulak, penyediaan kuih ini sebenarnya disediakan oleh Juita semasa saya ke Tropicana Medical Centre untuk mendapatkan rawatan. Tugas saya hanya menyediakan loyang dan bab membakar sahaja.  






Sebelum tengok resepi, saya ingin kongsikan sedikit bab Qorban yang saya petik dari rancangan Tanyalah Ustaz di TV Al Hijrah di mana dikatakan bahawa haiwan Qorban berdoa agar mereka terpilih untuk dijadikan haiwan sembelihan Qorban. Daging qorban adalah daging suci yang tidak sama dengan daging yang dibeli di pasar. Jadi bila makan daging qorban, makanlah dengan penuh keinsafan agar ianya dapat membersihkan darah daging kita. Nabi Muhamad SAW berpesan supaya hanya makan bahagian daging qorban yang baik baik sahaja. Manakala bahagian daging yang keras, berlemak dan tulang tulang direbus dan di minum kuahnya. Begitulah berhati hatinya Baginda Rasulullah terhadap kesihatan diri yang patut kita contohi. 

Jom layan resepinya yang saya salin dan ubahsuai dari SINI.... 



Bika Ambon Medan

Bahan A 
1 sudu besar yis mauripan 
1 sudu besar penuh all purpose flour - guna tepung gandum
8 sudu besar air kelapa - guna air biasa

Bahan B 
300 - 350 gram gula pasir 
800 ml santan pekat
5 helai daun limau purut - buang tulang
5 helai daun pandan
2 batang serai - ketuk
1/2 sudu kecil garam halus

Bahan C 
14 biji kuning telur
200 gram tepung ubi kayu
1 sudu besar mentega - cairkan
1/2 sudu kecil pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Masak santan, serai, daun limau purut, sedikit garam dan daun pandan sehingga mendidih, kemudian kecilkan api. Masukkan gula dan kacau sampai gula hancur, terus masak dengan api paling kecil  kira-kira 20  minit agar harum daun-daunan meresap. Kacau sekali-sekali. Sejukkan dan keluarkan daun-daunan sebelum digunakan. 





Larutkan yis dan tepung dengan air kelapa, biarkan selama 5 minit. 

Pukul kuning telur dengan whisk sehingga ianya sebati. Masukkan telur dan mentega yang dicairkan serta pewarna ke dalam santan, kacau rata sehingga sebati. 






Kemudian masukkan pula tepung ubi dan kacau rata sebelum dimasukkan adunan yis. Kacau rata. Tapis dan tutup bekas untuk diperap selama  2 1/2 hingga 3 jam. Saya simpan dalam microvave ketika adunan diperam.







Panaskan oven dengan suhu 200C. Alas loyang dengan kertas baking dan lumur dengan minyak. Panaskan loyang dalam oven selama 5 minit sebelum digunakan

Kacau rata adunan dan tuang dalam loyang yang telah dipanaskan. 






Bakar menggunakan api bawah sahaja dengan pintu sedikit terbuka dengan diselitkan lidi sate di pintu oven. Bakar selama kira-kira 35-45 minit atau sehingga permukaan atas kuih nampak setengah masak. Nota: Saya bakar selama 40 minit dan api atas selama 10 minit.





Kemudian hidupkan api atas pula dalam 5 minit dengan oven yang ditutup sepenuhnya. Bakar sehingga permukaan keperangan. 





Keluarkan dari oven, biarkan sejuk sebentar sebelum dikeluarkan dari loyang. 

Nota:
Mengikut apa yang saya baca, Bika Ambon hanya boleh tahan selama 3 hari jika tidak disimpan di dalam peti ais. Jika mahu tahan lebih lama, simpan dalam bekas bertutup dan masukkan dalam peti ais. Jangan simpan bersekali dengan bahan bahan yang berbau kuat seperti rempah ratus.






Ikan Siakap Masak Bercili

$
0
0




Apa apa perkongsian yang saya kongsikan selama ini adalah semata mata untuk saling pesan memesan dan saling mengingati sahaja. Bukan kerana saya berilmu dan sebagainya. Sesungguhnya menuntut ilmu adalah satu perkara fardhu Ain. Supaya apa yang dipelajari kekal, saya panjangkan pula pada kawan kawan semua. Mudah mudahan kita mendapat manafaat dan mengamalkannya. Kali ini saya ingin kongsikan berkenaan video seorang ustaz yang dikongsikan oleh rakan rakan di WhatsApp mengenai kajian NASA berhubung perubahan pergerakan bumi antara kutub utara dan kutub selatan ke arah timur laut. Jika dulu dalam abad ke18 pergerakannya ialah sebanyak 9 batu setahun, dalam tahun 2007 menjadi 35 batu setahun tapi kini menjadi 25 batu dalam masa sebulan. Bayangkan berapa batu dalam masa setahun? Pergerakan pantas ini akan menyebabkan kedudukan bumi berada dalam posisi yang matahari timbul di sebelah barat dalam tahun 2015. Dan jika ini berlaku, bermakna tanda kiamat besar pertama telah berlaku. Di kala itu, tiada lagi taubat diterima. Maka amat lah rugi dan menyesal ketika itu jika kita belum bertaubat. Sama sama lah ambil iktibar kerana kalau pun kajian NASA tidak tepat, taubat tidak boleh dilengahkan  kerana sesungguhnya mati yang merupakan kiamat kecil pasti berlaku dan kiamat juga pasti berlaku seperti yang dinyatakan di dalam Al Quran. 

Setelah agak lama tidak memasak nasi serta lauk pauk kerana anak anak semua tak mahu makan nasi. Jadi ikan ikan yang dibeli di Kota Kinabalu masih penuh dalam peti ais. Nasib baik ikan segar jadi bila disimpan lama pun, ianya masih segar bila dikeluarkan untuk dimasak. Alhamdulillah kerana semua anak anak yang ada di rumah makan nasi dan lauk yang saya masak hari ini. Nana juga makan sebelum bertolak ke tempat kerja. Seronok bila melihat lauk yang disediakan habis licin. Barulah hilang rasa penat memasak.





Lauk yang saya masak hari ini sebenarnya versi campak campak jer. Kalau suka, boleh masukkan daun limau purut yang dihiris nipis seperti mana yang saya makan di Jalan Kelawei dulu. Sedap sangat.

Jom layan resepi di bawah ini....



Ikan Siakap Goreng Bercili

Bahan bahan:
1 ekor ikan siakap - lumur garam kunyit dan goreng
1 cawan cili kisar
1 labu - bawang besar potong bulat
2 inci halia - hiris
2 biji - tomato belah 6 - tak letak
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap lemak manis
1/2 sudu besar cuka makan
Garam 
Gula 

Cara cara:
Tumis cili kisar, halia dan bawang besar sehingga masak Masukkan tomato, sos ikan , kicap, cuka kemudian gaul sebati.  Masukkan pula garam dan gula secukupnya.

Gaulkan sebati dengan ikan yg telah siap digoreng atau curah sahaja sambal tadi ke atas ikan. Siap untuk dihidangkan.



Ikan Terubuk Bakar dan Pencicah Air Asam

$
0
0




Kuliah Ustaz Mohd Hamidi hari ini dikongsikan berkenaan tahap ikhlas dalam beribadat. Macam mana untuk kita hendak sampai  tahap ikhlas. Ada 3 maqam. Iaitu tahap paling tinggi ialah apabila semua amalan dibuat oleh seseorang adalah hanya kerana Allah Taala. Apa apa sahaja yang dilakukan akan dimulai dengan bacaan Bismillah dan diakhiri dengan kalimah Alhamdulillah. Hanya orang yang sentiasa ingat Allah yang akan membaca Bismillah sebelum memulakan sesuatu urusan. 

Tahap kedua ialah tahap pertengahan bila seseorang melakukan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu ganjaran pahala dan syurga dari Allah Taala. Contoh melakukan solat berjemaah kerana mengharapkan ganjaran yang dijanjikan Allah iaitu 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.

Manakala golongan terakhir ialah mereka yang bukan melakukan sesuatu semata mata kerana Allah dan juga bukan kerana ganjaran pahala atau syurga. Sebaliknya mereka melakukan kerana takutkan azab Allah, takut di hina orang dsb. Mudah mudahan dengan mengetahui di tahap mana kita berada sekarang, membolehkan kita meningkatkan tahap keikhlasan kita dalam beribadat. Pesan ustaz pada saya supaya jangan lupa mendoakan dalam setiap kali selepas solat, "Ya Allah bantulah aku dalam mengingati Mu dan mensyukuri nikmat Mu".

Hari ini saya membakar Ikan Terubuk dengan mengguna pemanggang ajaib sahaja selepas kesian melihakan hubby dulu membakar ikan menggunakan dapur arang sehingga habis hancur ikannya. Ikan dibalut dengan daun pisang dan kemudian lumurkan sedikit minyak di permukaan pemanggang ajaib supaya daun pisang tidak melekat. Cepat masak dan tidak perlu bersusah payah menghidupkan bara arang. Ini adalah baki ikan terubuk yang hubby beli tempohari di Pasar Taman Tun. Harganya boleh tahan juga. 




Kalau sebelum ini, saya menyediakan Sambal Kicap sebagai pencicah di SINI tapi kali ini, saya menyediakan air asam sebagai pencicah. Saya mengambil resepi dari blog Qasey Honey dan diubahsuai sedikit mengikut cara ais asam ikan bakar yang dijual berhadapan Hospital Tangling yang sangat femes di waktu makan tengahari. Saya sangat gemar akan rasa air asamnya yang sangat secukup rasa.   

Jom kita layan resepi....



Air Asam Sebagai Pencicah

Bahan bahan:
Air asam jawa 
1 biji lada merah
8 biji cili api hijau
1 labu bawang besar 
1 biji tomato buah - potong dadu (saya tak letak kali ini)
Sedikit belacan - bakar sehingga naik bau
Garam dan gula secukupnya

Cara cara:
Hiris bawang besar, lada merah dan cili api hijau. Basuh dan toskan. Ketepikan.

Bancuh sejemput asam jawa dengan sedikit air sehingga sederhana pekat. Masukkan belacan, garam dan gula secukup rasa. Kacau sehingga semuanya larut dan rata.

Kemudian masukkan bahan yang telah dihiris tadi. Perasakan rasanya. Jika rasa sudah cukup hidangkan bersama dengan ikan bakar tadi.




Sayur Campur Goreng

$
0
0




Sesungguhnya doa orang yang dizalimi, tiada hijabnya di sisi Allah. Jika kita berdukacita kerana dizalimi, ingatlah pada Allah, kembalikan semuanya pada Allah kerana di sebalik musibah, Allah memberi ganti yang lebih baik kepada kita yang redha. Manakala kepada orang zalim, balasan Allah adalah sesuatu yang pasti samada di dunia juga di akhirat, samada cepat atau lambat, atau ianya ditangguhkan balasannya pada anak anak atau keluarga. Maka takutilah pada doa orang yang dizalimi. Untuk ke syurga, hubungan dengan manusia mestilah tidak ada cacat cela kerana syurga adalah tempat untuk manusia yang tiada dosa. Tapi adakah manusia yang tidak ada dosa? Pasti tidak ada kerana kita sebagai manusia yang lemah, pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Tapi harus diingat bahawa dosa dengan manusia hanya boleh diselesaikan dengan manusia. Jika ianya tidak diselesaikan di dunia, pastinya ia akan dihadapkan di mahkamah Allah dengan bersaksikan anggota badan kecuali lidah. Inilah antara petikan kuliah Ustaz Abi Salam di surau Ad Dhuha yang saya kongsikan sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. 

Saya hari ini mahu kongsikan sayur goreng campur yang dimasak di rumah kakak semasa saya balik kampung baru baru ini. Walaupun sempoi, sayur goreng seperti ini sedap diratah begitu sahaja. Jom tengok bahan bahan yang digunakan. Seperti biasanya, jangan terlebih masak kerana sayur akan hilang kerangupannya....


Sayur Campur Goreng

Bahan bahan:
2-3 batang kacang panjang
3- 4 batang jagung muda
1/2 batang karot
1 biji cili merah
1 ekor sotong
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit sos tiram
Serbuk perasa
Garam

Cara cara:
Tumis bawang nawang yang dihiris sehingga wangi. Masukkan sotong dan goreng seketika sebelum dimasukkan.

Kemudian masukkan karot dan putik jagung. Kacau rata dan akhir sekali masukkan kacang. Masukkan sedikit sos tiram, garam dan serbuk perasa secukup rasa. 

Masukkan pula cili merah dan bolehlah tutup api.
  


Kuih Kaswi Pandan Sedap

$
0
0





Telah lama saya dok menelek nelek resepi kuih tradisional kkida ni yang dia pelajari dari Bonda Mertua.  Kkida panggil kuih ini sebagai Kuih Talam Pandan tapi saya lebih suka memanggilnya sebagai Kuih Kaswi Pandan kerana rasanya memang seperti rasa Kuih Kaswi dan kedua, bila sebut Kuih Talam Pandan menyebabkan saya terkeliru dengan Kuih Talam Pandan yang mempunyai lapisan hijau dan putih di SINI. Saya tertarik untuk mencuba selepas membaca komen kkida yang ianya sangat sedap. Masa tu saya mencari resepi kuih yang tidak menggunakan tepung gandum kerana masalah allergik. Dah lama pun menyalin resepi tapi asyik tertangguh sahaja untuk membuatnya. Alhamdulillah kerana allergik saya telah pun hilang walaupun ada ketika, masih ada merah di atas kelopak mata. Syukur sangat kerana Allah masih memberi peluang untuk saya menikmati makanan kegemaran saya. Ya lah, bila tak boleh ambik tepung gandum, boleh dikatakan semua makanan pun tak boleh dimakan kerana semuanya menggunakan tepung gandum. 





Kuih ini saya buat kerana rasa macam dah lama tak membuat kuih muih sejak kena berpantang dari memakan makanan yang mengandungi tepung gandum. Asalnya nak buat Kuih Lengat yang menggunakan gula merah dan tepung beras. Resepi dan sukatan hampir sama dengan resepi ini. Tapi biasalah bila pertama kali  membuatnya, pasti ada kesilapan sedikit sebanyak. Adunan pertama, saya dah tersilap letak 1/2 sudu kecil kapur, maka apalagi kuih jadi macam sedikit pahit ke apa ke rasanya. Adunan memang cantik bila dipotong. Tak puashati, bancuh lagi satu adunan. Yang kedua ni, hanya guna air kapur sebanyak 1/2 sudu kecil. Tapi entah kenapalah pulak, kuihnya macam sedikit terlembik sehingga tak boleh hendak dipotong. Ish memang tak puashati. Rasanya lain kali, kena kurangkan air daun pandan ke 3/4 cawan sahaja kot. Namun begitu, rasanya sedap dan secukup rasa jer kemanisannya. Kebetulan anak buah saya Rudy datang ke rumah hantar daging qorban dari Kelantan, jadi saya hidangkan kuih ini bersama teh O. 

Kesimpulannya kuih ini memang sedap dan kalau kat tempat saya ala ala kuih kosui atau ada bau macam tepung hijau dalam kuih lompat tikam. Bezanya kuih lompat tikam tak diletak gula dan tepung gandum dan tidak dikukus. Apa apa pun, terima kasih kkida seorang blogger yang sangat saya segani atas resepi tradisional yang ada class tersendiri ini. 

Jom kita tengok resepi yang mudah dan sedap ini. 



Kuih Kaswi Pandan Sedap

Bahan bahan:
2/3 cawan gula pasir
2 cawan air
1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
3/4 cawan jus pandan (kisar 4 helai daun pandan)*
Secubit garam
1 sudu kecil air kapur - guna 1/2 sudu kecil
Sedikit pewarna hijau

Cara cara:
Masak gula pasir dengan 2 cawan air sehingga gula larut serta mendidih. Ketepikan. 

Dalam periuk lain, satukan semua bahan di atas kecuali air gula dan digaul rata. Setelah bergaul rata, baru dituangkan air gula dan kacau rata. 

Masak atas api perlahan dan kacau sehingga hampir likat. Jangan pekat sangat. Masukkan dalam loyang atau bekas kaca dan kukus selama 20 minit. Saya kukus selama 25 minit.





Hidang dengan parutan kelapa parut muda putih digaul dengan sedikit garam.





Nota:
Resepi asal kkida guna 1 cawan jus pandan. Utk masa depan, saya mahu kurangkan ke 3/4 cawan sahaja. 



Perut Lembu Dengan Air Asam

$
0
0



Alhamdulillah, walaupun tak balik masih ada rezeki untuk menikmati masakan yang dimasak rumah kakak saya masa Hari Raya Aidil Adha baru baru ini. Seperti biasa kakak saya akan menyimpan lauk yang telah dimasak di dalam freezer dan dikirimkan melalui anak saudara yang balik ke KL. Sedang elok bila sampai di sini, cuma perlu dipanaskan. Antara yang dikirimkan ialah perut yang memang antara lauk yang mesti disediakan setiap kali selepas qorban. Boleh klik di SINI jika mahu tengok gambar perut muda. Haaa tak bolehlah makan banyak banyak kerana ianya sangat berlemak dan kaya dengan kolesterol. Anak anak muda zaman sekarang yang health conscious dah tak lagi makan perut muda ni. Tapi bagi generasi lama, bolehlah makan setahun sekali sekadar melepaskan keinginan pada masakan yang dimakan sejak dulu.




Entah kenapa tiba tiba teringatkan arwah abang sulong saya, Cik gu Hashim yang telah kembali ke rahmatullah pada penghujung tahun 2000 kerana mengalami masalah kegagalan buah pinggang pada usia 48 tahun. Masih ingat abang Hashim membelikan saya sepasang baju dan seluar dari Singapore untuk dipakai masa raya. Ketika itu, arwah masih menuntut di Maktab Perguruan Temenggung Ibrahim. Saya pernah ke Sekolah Menengah Tendong di Pasir Mas bersama arwah bapa untuk mengambil duit gaji abang Hashim yang ketika itu telah ke maktab. Arwah sangat gemar makan makan dan akan membawa balik makanan yang sedap sedap untuk kami di rumah. Kalau ada majlis kenduri di rumah, kami akan sama sama meratah gulai bahagian kepala kambing atau kepala lembu. Makanan seperti perut lembu juga antara makanan kesukaan abang. Walaupun telah lama meninggalkan kami, saya tidak pernah lupa untuk berdoakan arwah abang di dalam doa saya. Kenangan bersama abang Hashim tidak pernah luput di ingatan. Saya memang sangat menyayangi arwah dan adik beradik yang lain juga.

Perut yang telah diproses dan dicuci, hanya perlu direbus sehingga lembut dan dimakan dengan Air Asam sebagai pencicah. Ianya sangat unik pada orang Kelantan. Sangat sedap dan air asamnya mestilah rasa pedas dan sedikit masin, barulah ngam. 

Saya kongsikan di bawah ini, cara kakak saya menyediakan air asam untuk dimakan dengan perut, lagi sedap jika perut muda. Layaann...




Perut Dengan Air Asam

Bahan bahan:
Perut muda - rebus dan potong
8 biji cili padi kampung
Sebesar ibu jari belacan
Garam secukup rasa
Limau nipis - perah air
Air rebusan perut

Cara cara:
Tumbukkan semua bahan kecuali air limau nipis sehingga hancur. Jangan terlalu hancur. Masukkan air rebusan secukupnya. Setelah itu, baru diperahkan air limau secukup rasa.




Akhir sekali, masukkan perut muda yang telah dipotong kecil ke dalam air asam. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan.






Viewing all 2129 articles
Browse latest View live