Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2111 articles
Browse latest View live

Selamat Hari Bapa

0
0





Seperti biasa lah saya selalu terlupa... aduh dah tengahari baru Hubby mengingatkan dengan memberitahu, hanya dua orang jer yang ingat untuk beri ucapan Hari Bapa pada dia. Hahaha memang malam tadi saya tidur awal, sebaik balik dari surau terus naik bilik. Bangun bangun terus ke dapur, menyediakan Moist Muffin Pandan di SINI. Memang sejak akhir akhir ini saya seperti kehilangan semangat untuk ke dapur untuk masak memasak. 

Kenapa saya mula kehilangan semangat? Pertamanya kerana saya nak berdiet, nak kurangkan makan nasi. Keduanya kalau dibuat kuih muih, hanya saya seorang jer yang makan. Ketiga dan seterusnya kerana kebelakangan ini, saya agak kepenatan. Seperti biasa, di bulan Ramadhan saya akan mengurangkan aktiviti memasak kerana anak anak lebih suka membeli di Bazar Ramadhan yang sebenarnya juga lebih jimat dari segi kos dan masa. 

Apabila hubby menanya apa yang ingin dimakan untuk sarapan, saya terus memberitahu untuk terus makan tengahari. Lagi pulak, saya dah makan 2 biji muffin yang sangat gebu dan moist. Oleh kerana hari ini Hari Bapa untuk semua lelaki yang bergelar bapa, saya bercadang untuk meraikan hubby dengan keluar makan tengahari. Dalam memikirkan ke mana tempat yang ingin kami kunjungi, tiba tiba teringatkan Spicy Seafood Pasta, jadi saya mencadangkan ke Delicious di Bangsar Village. Sebaik turun dari kereta, terdengar Nana memanggil saya. Apabila ditoleh ke belakang seorang wanita menegur, "ini Kak Azie ke". Saya terus menjawab dan cuba mengingat di mana kami pernah bersua. Lantas dia menyambung, "saya Raihan, silent reader blog Kak Azie". Ohh tiba tiba saya menjadi tergaman dan terasa malu. Serius sangat terharu dengan kesudian Raihan untuk menegur saya walaupun katanya beliau belum pernah meninggalkan sebarang komen lagi di blog saya. 

Sementara menunggu makanan yang dipesan, saya, Nana dan Juita menjenguk ke kedai Pandora untuk membeli charm untuk Nana. Maklum sebelum ini, saya belikan juga untuk Nelly. Kenalah adil kan. Kami semua memesan pasta kegemaran masing masing kecuali Juita yang memesan  Lasagna. Selain dari itu Nana dan Juita juga memesan dessert iaitu pavlova dan quiche. 








Syukur Ya Allah walaupun banyak dugaan yang menimpa kebelakangan ini, namun saya sebenarnya sangat gembira dan sangat bahagia. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Telah lama saya menunggu detik detik ini. Yakinlah, tidak selamanya kita akan berada di bawah, bila tiba masa kita akan kembali bangun dan meniti hari hari dengan yakin gembira.

   





Pengalaman Kerja Yang Sangat Berharga

0
0




Saya rasa inilah pencapaian terbaik sepanjang karier saya apabila saya telah ditugaskan mengetuai Projek Mekanisme Penggenapan Duit Syiling 1 sen yang dibuat secara kolaborasi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang ketika itu Menterinya, adalah Dato Mohd Shafie Apdal.

Saya bukan sahaja berjalan ke merata ceruk negeri memberi taklimat berhubung pelaksanaannya tetapi juga penglibatan secara langsung dengan majlis pelancaran yang mendedahkan saya kepada sidang media. Hahaha masa itu, dapatlah rasa ditemubual oleh pihak akhbar dan media massa.




Saya juga berkesempatan menghadiri beberapa mesyuarat dengan Menteri sendiri yang saya sangat kagumi kerana pada pandangan, Dato Mohd Shafie adalah seorang yang  bijak dan cepat memahami isu isu yang dikemukakan kepada beliau. Jika ada yang beliau inginkan kepastian, beliau telah menelefon saya dan terus memberi keputusan beliau. Pendek kata sangat mudah berurusan dengan beliau kerana tiada protokol yang remeh. Di samping itu kerjasama yang tinggi diberi oleh KSU dan TKSU pada masa itu juga, amat memudahkan kerja saya terutamanya Dato Mohamedsha Mislam.




Sesungguhnya projek ini juga melayakkan saya dan ahli kumpulan untuk menerima pengiktirafan di Malam Pengiktirafan di organisasi tempat saya bertugas.  


Anak Burung Teduhan Kasih

0
0





Ini adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan. Saya memang anak kampung yang gemar merayau ke kawasan hutan dan sawah untuk mencari burung dan juga anak anak ikan laga. Memang saya berkawan dengan budak budak lelaki di kampung saya kerana budak perempuan sebaya saya hanya ada 2 orang dan mereka pulak dikawal oleh ibu bapa mereka.

Kenangan menemui sarang burung di hutan adalah amat menyeronokkan. Di bawah adalah gambar pokok bunga yang terletak di tempat kereta rumah kami di Subang Jaya. Kali pertama burung datang bersarang ialah sekembalinya saya dari mengerjakan umrah pada tahun 2004.

Setiap hari sebaik balik dari pejabat, saya akan mengintai burung di sebalik tingkap. Hati rasa sangat terhibur mendengar burung berkicauan. Saya mengikuti perkembangan burung ini setiap hari dari ianya mula membuat sarang, bertelur, menetas dan sehingga anaknya membesar dan dibawa pergi.  


Anak anak burung ini hanya akan diam sahaja dan hanya akan berbunyi apabila ibu burung datang membawa makanan. Seronok tengok anak anak burung membuka mulut dan ibu burung akan memasukkan makanan terus ke dalam mulut anaknya.




Sekarang anak anak burung telahpun tumbuh bulu yang kasar kasar. Ibu burung akan sentiasa mengawasi dan akan mula menghampiri apabila melihat saya cuba mengganggu gugat anak anaknya.




Bulu sudah mula memenuhi badan anak burung dan mata pun sudah mulai celik. Saya curi curi mengambil gambar dengan mengangkat tinggi tinggi kamera dan snap gambar anak burung yang tengah menunggu kepulangan ibu burung.




Sebaik balik dari kerja, Sri Handayani Pembantu Rumah saya memberitahu anak burung telah tinggal seekor. Seekor daripadanya telah cuba untuk terbang dan terjatuh dari sarang. Bila Rizky nampak anak burung, dia pun menggonggong dan membawa masuk rumah. Rizky memang tak makan selain dari pallet tapi agaknya dia pun rasa pelik tengok anak burung. Kesian, tinggallah anak burung ini keseorangan dan bayangkan bagaimana perasaan ibu burung bila balik dan tengok seekor anaknya telah hilang. Memang agak bising bunyi ibunya seolah mencari cari anak yang hilang.





Ini adalah hari yang menyedihkan kerana ibu burung mula membawa anaknya terbang bersama. Dari sarang anak burung dibawa terbang dan hinggap di pokok mangga depan rumah. Di sini, saya melihat ibu burung seolah sedang mengajar anaknya apa yang perlu dibuat. Agak lama juga anak burung berada di sini sebelum mula terbang. Dari hari itu, tiada lagi aktiviti saya yang skodeng anak burung sebaik balik dari pejabat.




Namun begitu, di rumah kami ini pulak, banyak burung singgah untuk membuat sarang, bertelur dan menetas. Setiap pagi saya akan mendengar kicauan burung dari bilik saya. Memang awal pagi burung burung ini sudah keluar dan balik dengan rezeki masing masing. Teringat pesan Ustaz, kesemua makhluk akan memohon syafaat kepada kita seperti bunyi katak yang berbunyi di malam hari selain dari pokok pokok. Saya berdoa semoga kehadiran mereka tidak memberi mudarat kepada kami atau merosakkan rumah tetapi memberi hikmah rezeki dan rahmat kepada kami sekeluarga. Ameen.

Berinfak Di Bulan Ramadhan

0
0




Sempena kedatangan Ramadhan ini, sama samalah kita membuat pengisian Ramadhan dengan pelbagai aktiviti ibadah selain berpuasa dengan melakukan solat solat sunat, berzikir dan beristighfar, membaca Al Quran, bertadabbur dan menjadi dermawan di bulan Ramadhan dengan membanyakkan berinfak. 

Sesiapa yang menginfakkan hartanya, maka sesungguhnya kurnia Allah lebih utama dan lebih mulia. Allah akan memberikan kepadanya kurnia dan harta yang lebih banyak daripada harta yang diinfakkan, dengan melipat gandakan sebanyak 700 kali ganda, bahkan lebih banyak lagi. 

Surah Al Baqarah, ayat 261:
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."


Jadi jom sama sama kita rebut peluang untuk mendapat pahala berganda yang dijanjikan Allah di bulan Ramadhan ini. Segala amalan sunat yang dilakukan di bulan Ramadhan mendapat ganjaran seperti amalan fardhu. Manakala amalan fardhu pula, dijanjikan pahala sebanyak 70 kali ganda dari amalan di bulan Ramadhan. Lakukan semuanya semata mata kerana Allah. Rasulullah bersabda "sungguh rugi seseorang yang menyambut bulan Ramadhan, kemudian melepaskannya, sedangkan dosa dosanya belum diampunkan". (HR Tirmidzi)



 

Jom Maksimumkan Bonus Ramadhan

0
0



Hari ini saya inginkan kongsikan artikel yang saya salin dari blog Dr Zaharuddin. Untuk membaca selanjutnya, bolehlah masuk terus ke SINI.  Semoga ianya dapat memberi manafaat kepada kita di dalam memaksimumkan bonus di bulan Ramadhan yang mulia ini. Silalah share pulak kepada kawan kawan untul mendapat pahala berkongsi ilmu bermanfaat. 

MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum  tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3)Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7)Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

8)Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10)Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11)Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian dan Ramadhan Kareem..

Dr. Zaharuddin Abd Rahman


Red Velvet Cupcake Untuk Haliza

0
0





Sebenarnya telah lama saya tak membuat update berkenaan dengan tempahan kuih muih dan masak memasak. Saya juga terpaksa mengurangkan tempahan kuih muih yang diambil kerana dek kekangan masa dan tugasan, lebih lebih lagi menjelang bulan Ramadhan yang akan menjelang tiba. Saya hanya akan mengambil tempahan sekiranya ianya bersesuaian dengan masa. Kadang kadang hubby bising juga kerana katanya bila dikira usaha dan penat lelah tidak berpadanan dengan hasil yang didapati. Tetapi demi minat, saya tidak mahu lah menghentikannya terus. Sekadar untuk mengasah skil dan bakat jer. 

Untuk tempahan dari Haliza kali ini saya menggunakan resepi Red Velvet yang saya sangat gemari rasa dan teksturnya. Telah beberapa kali juga saya menyediakan kek dan Brownies menggunakan resepi ini. Boleh lihat di SINI dan di SINI. Sewaktu Liza bersama Intan dan Azrul sampai,  saya sedang bersolat, jadi agak lama juga mereka menunggu. Walaupun baru pertama kali bersua, terasa sangat mesra seolah telah lama saling mengenali. Jangan serik untuk datang lagi ya, Liza. 





Hari ini hujan sangat lebat dan seolah mengerti dengan masalah jerebu yang sedang dihadapi negara kita. Jadi bila tiba di rumah, hari sudah gelap. Jadi gambar hanya sempat diambil ringkas sahaja sebagai kenangan. Jom kita tengok resepi di bawah yang saya letakkan sekali lagi untuk memudahkan rujukan di masa hadapan. Saya menggunakan 1 1/2 adunan untuk cupcake yang disediakan ini. 



Red Velvet Cupcakes

Bahan bahan:
2 1/2 cawan all-purpose flour
1 sk garam 
2 sb cocoa powder 
1 1/3 cwn vegetable oil (atau 113gm mentega - dicairkan)
1 cwn buttermilk - suhu bilik (atau 1sb jus lemon + 1 cwn susu)
1 sb red food colouring
1 sk vanilla extract
2 biji telur gred A - suhu bilik (saya guna 2 saiz B jer)
1 1/4 cawan gula kaster
1 sk white distilled vinegar
1 sk baking soda 

Cara-cara:
Pukul minyak dan gula sehingga sebati dan masukkan telur, pukul lagi sehingga kembang dan ringan selama 2-3 minit.

Satukan tepung gandum, serbuk koko dan garam sebelum diayak. Dalam mangkuk lain, satukan buttermilk, pewarna merah dan esen vanila.

Menggunakan kelajuan sederhana, masukkan 1/2 dari tepung diikuti dengan buttermilk dan akhir sekali kesemua baki tepung.  

Dalam satu mangkuk kecil, campurkan cuka dengan baking soda. Campuran akan berbuih atau berbusa. Dengan segera tuang ke dalam adunan dan terus kaup balik.

Masukkan adunan ke dalam cawan kertas dan bakar pada suhu 170C selama 18-20 minit atau sehingga masak. Angkat dan sejukkan.

Hias dengan cream cheese frosting yang disukai.







Jom Tahajjud

0
0




Hari ini saya ingin berkongsi artikel yang sangat bagus yang saya ambil dari SINI. Sempena kedatangan bulan Ramadhan, bolehlah kita sama sama perbanyakkan solat Tahajjud. 

Solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak, tidur seketika dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir (iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat Tahajjud ini kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat Witir sebagai penutupnya.

Dalil disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَىٰ أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا

Maksudnya:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - al-Israa’ (17) : 79

Di dalam kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan: “Firman-Nya “kerjakanlah solat Tahajjud padanya” bermaksud berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat.” – Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.

Dalil solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam terakhir disandarkan kepada sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ.

يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ.

Maksudnya:
Rabb kita Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampunnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab at-Tahajjud, no: 1145.

Selanjutnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الرَّبُّ مِنْ الْعَبْدِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ الآخِرِ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ

أَنْ تَكُونَ مِمَّنْ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ فَكُنْ.
Maksudnya:
Saat yang paling dekat di antara Allah dan hamba-Nya adalah pada tengah malam terakhir, apabila kamu boleh menjadi sebahagian daripada mereka yang mengingati Allah pada saat itu maka lakukanlah. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Da’waat, no: 3503.

Ternyata ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, zikir-zikir, permintaan-permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka selayaknya solat yang paling utama setelah solat fardu ini dilaksanakan pada sepertiga malam yang akhir.

Tahniah Adik

0
0



Semalam kami ke Delicious lagi sempena meraikan Nelly yang telah diserapkan ke dalam perkhidmatan tetap. Tahniah buat Adik, semoga terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan maju jaya dalam karier yang diceburi. Oleh kerana Nelly juga mendapat kenaikan gaji dengan pelantikan ini, dia berhajat untuk belanja kami di mana mana restoran pilihan. Oleh kerana sekarang ini, saya nak mengurangkan makan nasi, jadi saya memilih Restoran Delicious. Memang saya sangat menggemari Spicy Seafood Spaghetti di Delicious yang sangat sedap. 





Oleh kerana birthday hubby pun sudah hampir tiba, Nelly mengajak ke Restoran Delicious di Mid Valley. My hubby memang tak suka ke sana kerana jalan sesak dan susah untuk memdapatkan parking. Jadi Nelly mencadangkan supaya mengambil service vallet parking sahaja. Memang sekarang kami lebih suka mengambil vallet parking kerana menjimatkan masa walaupun terpaksa membayar lebih. Seperti biasa bila ke Delicious, saya akan memesan makanan yang sama iaitu Spicy Seafood Spaghetti. Aween memilih Spaghetti Carbonara dan Hubby pula memilih Duck Confit Spaghettini. Nelly dan Juita seperti biasa tidak jemu jemu dengan Beef Lasagna.







Selepas makan, kami mula mencari hand luggage bag untuk saya serta hadiah untuk harijadi hubby. Sebenarnya dah lama kami tak bershopping bersama sama pun tapi melihatkan banyak sales di sana sini, maka banyaklah juga RM yang mengalir keluar. Penat berjalan saya mencari tempat untuk duduk seketika dan mencari minuman. Dari rancangan asal nak membeli hadiah harijadi, akhirnya setiap orang juga mendapat bahagian masing masing. Dalam hati berkata kata, lepas ni, kenalah juga belanja Boy dan Nana kerana kedua mereka tidak dapat apa apa hari ini. Biasalah naluri seorang ibu, sayang semua anak anak tanpa ada rasa pilih kasih walaupun mereka selalu mengatakan yang saya sentiasa melebihkan Aween. 







Masak Lemak Udang Dengan Nenas

0
0




Semalam saya menyediakan Masak Lemak Udang dengan nenas kerana dalam peti ais terdapat stok udang yang dibeli dari Kota Kinabalu. Nenas pula dibeli di kedai buah buahan di Seksyen 6 dengan harga RM1.50 sebiji. Dah lama saya teringin untuk memasak udang dengan nenas kerana seingat saya, belum pernah lagi memasak lauk ini.

Resepi ini saya belajar dari Intan, anak buah kami yang menyediakannya lauk ini semasa majlis tahlil arwah Bonda Mertua di Rawang tidak lama dulu. Walaupun saya suka masakan lemak cili padi yang bukan sahaja sedap, juga menggunakan bahan yang ringkas dan mudah disediakan tetapi saya tak boleh selalu menyediakannya kerana kesiankan Nelly yang tak tahan dengan masakan pedas. Jadi saya kenalah belajar resepi masak lemak yang tidak berapa pedas tetapi tetap sedap. Sebenarnya gulai lemak hari ini pun, dah terlebih pedas untuk Nelly. Rasanya lain kali, letak 2 atau 3 biji cili padi jer pun dah cukup. Jom kita tengok resepi dulu....



Masak Lemak Udang Dan Nenas

Bahan bahan:
1 kg udang
2 biji bawang besar
6 biji cili padi
1/2 inci kunyit hidup
1 biji cili merah - hiris
1 batang serai - ketuk
1/2 biji nenas
Santan secukupnya
1 asam keping (jika belum cukup masam) - tak letak
Gula
Garam

Cara cara:
Kisar bawang besar, cili padi dan kunyit hidup. Masakkan santan dengan nenas dan bahan kisar sehingga mendidih. Masukkan serai.

Masukkan udang, cili merah, bawang besar dihiris dan garam secukupnya. Sesuaikan rasa. Angkat kerana jangan masak udang lama, nanti ia menjadi keras.







Siap untuk dihidangkan.

Nota:
Boleh juga jika mahu dimasukkan sekeping ikan tenggiri jeruk ke dalamnya. Tapi saya lebih suka kuah yang mempunyai rasa kemanisan udang yang semulajadi.





Ikan Bilis Goreng Petai

0
0




Saya juga menyediakan Ikan bilis Goreng Dengan Petai untuk dimakan dengan Masak Lemak Udang dan Nenas di SINI. Saya memang suka ikan bilis goreng yang digoreng ringkas jer tapi sebab Juita sukakan petai, jadi saya tambahlah petai dan sambal cili padi ke dalamnya. Ikan bilis ini dibeli dari Kota Kinabalu semasa Ajoi, kawan sepejabat yang balik bertugas dari sana. 

Kebetulan hari itu, isteri Agus juga ada di rumah datang untuk membersihkan rumah. Jadi saya hidangkan sekali ikan bilis goreng ini untuk hidangan mereka. Seronok bila apa yang kita masak disukai oleh anak anak. Malahan semasa saya sedang menggoreng ayam pun, Nelly dan Juita sudah bersedia dengan pinggan masing masing di meja makan. Hmm memang lama betul saya tak masuk ke dapur. Rasanya sejak cuti sekolah yang lalu apabila sampai rumah sahaja, hari sudah lewat senja. Jadi selepas mandi terus bersolat sambil membaca buku dan mengaji sebelum mata terlena. Begitulah rutinnya setiap hari selagi saya masih bekerja. Apa apa pun yang penting, suami dan anak anak sangat memahami. Mereka tidak pernah meminta minta apabila melihat saya keletihan sebaik balik dari pejabat.

Jom tengok resepinya dulu....



Ikan Bilis Goreng Petai

Bahan bahan:
1 mangkuk Ikan bilis - goreng garing
15-20 biji petai - hiris nipis
Sedikit asam keping
1 bawang besar - hiris bulat
4 cili padi - tabur
Garam
Gula

Tumbuk kasar:
3 bawang besar
2 ulas bawang putih
10 biji cili padi

Cara cara :
Selepas goreng ikan bilis, goreng petai seketika, angkat dan ketepikan. Boleh  juga petai dimasukkan terus selepas bahan tumis garing tanpa perlu digoreng terlebih dahulu.





Kurangkan minyak dan tumis bahan yang diblender kasar sehingga garing dan masukkan garam dan gula. Boleh juga masukkan sedikit air dan goreng sehingga naik minyak dan agak kering. 





Masukkan petai, asam keping, cili padi dan bawang besar hiris. Sesuaikan rasa dan tutup api. 

Bila sedikit sejuk, masukkan ikan bilis yang digoreng tadi. Sedia untuk dihidangkan.





Nota:
Sambal ni kering dan boleh simpan 2-3 hari.



Jom Jadi Ahli Jumaat

0
0



Hari ini saya ingin kongsikan 1 artikel yang dihantar oleh sahabat saya berkenaan dengan bagaimana untuk kita menjadi Ahli Jumaat. Semoga kita dapat mengambil masa untuk membaca dan mengamalkannya. Saya amat menggalakkan jika pembaca sekalian dapat juga berkongsi artikel ini dengan rakan rakan yang lain bagi mendapat pahala berkongsi ilmu bermanafaat seperti mana sabda Rasulullah SAW "kongsikan dari ku walaupun sepotong ayat". Bagaimana caranya kita menjadi ahli jumaat? Jom baca seterusnya di bawah:

1. Hendaklah solat subuh secara berjemaah pada pagi hari Jumaat. 
“Sebaik-baik solat adalah solat subuh berjemaah pada hari Jumaat.”

2. Perbanyakkan selawat kepada Nabi s.a.w.
Bermula pada waktu Maghrib hari khamis (malam jumaat) dan sepanjang hari jumaat. Sebaik-baiknya selawat adalah sebanyak 1,000 kali. Faedahnya, kita akan jadi ‘kaya’ di sisi Allah yakni permintaan kita akan diqabulkan Allah dan kita boleh memiliki apa yang kita kehendaki.

3. Membaca surah Al-Kahfi. 
“Sesiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat akan diterangi oleh cahaya dari jumaat ini sehingga jumaat akan datang.”

4. Perbanyakkan Du’a. 
“Perbanyakkan du’a pada hari jumaat kerana pada hari jumaat ada satu ketika yang mustajab berdu’a”. 

Waktu yang paling afdhal ialah:
a) Ketika imam naik ke mimbar untuk berkhutbah sehingga solat jumaat,
b) Lepas Asar sehingga Maghrib.
Berdu’a dalam sebarang bahasa, sebaik-baiknya dalam bahasa Arab.

5. Mandi sunat hari Jumaat
“Sesiapa yang mandi sunat pada hari jumaat, ia akan berada dalam keadaan suci selama seminggu.”

6. Pakai pakaian yang terbaik dan wangi-wangian (sebaiknya kasturi)

7. Pergi awal ke masjid.
Ada 5 waktu:
a) waktu 1 – mendapat pahala seolah ia berkorban unta
b) waktu 2 – pahala seolah berkorban lembu
c) waktu 3 – pahala seolah berkorban kambing
d) waktu 4 – pahala seolah sedeqah ayam
e) waktu 5 – pahala seolah sedeqah telur ayam.

8. Pergi ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan berwudhu
Atau naik kenderaan tetapi parking jauh dan berjalan kaki ke masjid untuk mengikut sunnah Nabi.

9. Perbanyakkan solat sunat sebelum Imam berkhutbah
Contohnya solat dhuha dan solat sunat Tahiyatul masjid.

10. Memperbanyakkan membaca Qur’an, zikir, menuntut ilmu dan sedekah.

Ust. DR Ehsan

Aduhaai Manisnya Sweet Potatoes Iniiii

0
0





Semasa ke saloon di Taman Tun Dr Ismail hari minggu lepas, saya membeli sweet potatoes setelah Puan Zaiton memberitahu yang ianya sangat sedap. Kalau semasa kecil di kampung, saya memanggil ubi ini sebagai ubi stellor. Namun hanya ubi yang dijual di kedai tertentu sahaja yang sangat manis dan sangat sedap. Jadi sementara rambut saya sedang dirawat, kawan Puan Zaiton telah bermurah hati turun membelinya untuk saya.

Seperti yang dicadangkan, memang sedap sweet potatoes yang hanya dimasak secara steam. Memang sangat terasa isinya yang lemak dan manis. Habis juga beberapa ketul saya makan sambil menyediakan Masak Lemak Udang Dengan Nenas di SINI dan Ikan Bilis Goreng Petai di SINI.




Saya pernah makan sweet potatoes seperti ini yang sangat manis semasa mengikuti rombongan ke Surabaya satu masa dulu. Memang lemak manis sehingga saya membelinya 1 bungkus untuk dibawa balik. Tapi seperti biasalah budak budak sekarang mana reti makan makanan zaman dulu nih. Akhirnya saya juga yang menghabiskannya seorang diri. Ish itu yang tak suka tu..





Sexy Tak Saya?

0
0

    


Sexy tak saya? Haa siapa nak jawab tu? Jawab jangan tak jawab ya. Hahaha 

Aduhaai lamanya pokok sepit udang saya mengambil masa untuk mengeluarkan bunga. Saya mula tertarik dengan  pokok yang dinamakan helicornia Sexy Pink ini selepas melihat hiasan bunga segar sexy pink di lobby Hotel Impiana Ipoh sewaktu bertugas di sana. Sekembali dari sana, saya memesan dari tokey di Muar untuk menghantar ke rumah kami. Ianya mula ditanam dalam bulan Ogos 2011. Huhuhu bayangkan betapa lamanya ia ditanam. Malahan pokoknya agak sukar dijaga, satu persatu mati sehingga hampir kosong di planter box berdekatan dengan gazebo. Saya sebenarnya sudah merajuk dan sedang bercadang untuk menggantikannya dengan pokok lain. Malahan saya telahpun mengenalpasti pokok yang dicadangkan oleh sahabat saya, iaitu pokok hijau berdaun putih seperti yang banyak ditanam di kawasan pejabat saya. 

Tapi satu hari sekembali dari pejabat, tiba tiba mata terpandang bunga Sexy Pink yang rasanya telah lama berkembang tanpa saya sedari. Aduhaai, ini dah kira kes merajuk habis ni sehingga malas nak menjenguk pokok yang manja ini. Namun begitu, saya belum memutuskan samada untuk mengekalkan pokok ini walaupun telah berbunga atau ingin meneruskan rancangan saya untuk menggantikan pokok yang susah dijaga ini. 






Cantik tak saya? Sexy tak saya? Hahaha layan jangan tak layan....






Terkenang Bonda

0
0




Tiba tiba saya menangis teringatkan bonda selepas mendapat panggilan telefon dari kakak yang berceritakan tentang keadaan keuzuran dan kesihatan bonda. Saya terus mengambil wudhu melakukan solat Dhuha dan menangis sambil mendoakan kesihatan dan kemudahan bonda.

Terasakan diri ini yang terlalu mementingkan diri sendiri sehingga lama tidak bertanya khabar bonda. Memang tidak dinafikan yang selepas bersolat saya tidak lupa mendoakan bonda dan arwah bapa, memberi sedekah dan wakaf untuk mereka. Tapi saya lupa untuk memikirkan keadaan bonda yang telah semakin hari semakin uzur dalam keadaan realiti, di dalam keadaan dia masih ada di dunia ini. Mengingti keadaan bonda yang perlu meneruskan sisa sisa hidup dengan seribu kepayahan.

Bagaimana lah nasib diri jika anak anak kelak sibuk dengan urusan masing masing. Itulah juga yang membuatkan saya menangis sebak kerana di dalam kesibukan kita sebagai anak anak, kita lupa akan keadaan ibu bapa kita. Lupa untuk memikirkan kesihatan mereka, kepayahan mereka dan keuzuran mereka. Lebih malang bagi kes yang mana anak anak seolah tidak mahu menjaga ibu bapa yang sudah tua semata mata kerana komitmen pada keluarga masing masing. Anak anak seolah melupai jasa dan pengorbanan ibubapa membesar dan mendidik sehingga menjadi seperti hari ini.

Saya sungguh beruntung kerana mempunyai kakak dan abang ipar yang sangat mengambil berat akan kebajikan bonda saya walaupun mereka sendiri mempunyai tugasan dan urusan keluarga. Zaman sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu di mana ibu bapa mahukan anak lelaki yang kononnya boleh menjaga di kala tua, di kala anak perempuan terpaksa mengikut suami. Namun kini, apa yang saya lihat anak perempuan lebih bertanggungjawab dalam menjaga ibu bapa. Saya sangat menghargai kakak dan abang ipar saya dan saya juga sayang semua adik beradik saya walaupun berada jauh dari mereka semua. 



Tempahan Red Velvet Cupcake Untuk Majlis Harijadi

0
0




 
Tempahan kali ini, saya terima dari Puan Zalia untuk majlis harijadi anakanda beliau yang diadakan secara surprise di sebuah fast food restaurant di Subang Parade. Tempahan diterima agak last minute tetapi entah kenapa saya bersetuju walaupun hati berbelah bahagi. Lebih lebih lagi anak anak sibuk untuk menyediakan kuih untuk dibawa ke majlis sekolah yang diadakan juga pada hari sabtu di mana Juita menyediakan Cinnamon Rolls. 

Tetapi bila melihatkan kesungguhan Zalia, saya bersetuju. Memang sejak kebelakangan ini, banyak tempahan terutama tempahan kuih muih terpaksa ditolak. Saya hanya akan mengambil tempahan cupcake, kek buah atau brownies sahaja dan itu pun bergantung kepada kesesuaian masa saya. Mood untuk mengambil tempahan menjadi berkurangan kerana dek kesibukan dengan persiapan menjelang Ramadhan tidak lama lagi. Insya Allah jika diizinkan Allah, saya akan bermusafir di bulan Ramadhan ini. Saya minta maaf dengan kawan kawan yang saya terpaksa tolak tempahan mereka dengan berat hati.  

Pagi pagi lagi saya ke dapur untuk menyediakan frosting. Sebaik mungkin, saya akan cuba menyediakan semua tempahan selewat yang mungkin supaya tempahan sampai dalam keadaan fresh. OK untuk resepi kali ini, saya masih menggunakan resepi  Red Velvet yang pernah saya sediakan sebelum ini di SINI dan di SINI.  Pada saya ianya sangat moist. Ini adalah resepi yang sukai di samping satu lagi resepi Red Velvet di SINI. Manakala frosting pula, saya menggunakan resepi frosting yang paling saya sukai yang saya pelajari dari sahabat saya Juicy Cafe.



Red Velvet Cupcakes
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 1/2 cawan all-purpose flour
1 sk garam 
2 sb cocoa powder 
1 1/3 cwn vegetable oil (atau 113gm mentega - dicairkan)
1 cwn buttermilk - suhu bilik (atau 1sb jus lemon + 1 cwn susu)
1 sb red food colouring
1 sk vanilla extract
2 biji telur gred A - suhu bilik 
1 1/4 cawan gula kaster
1 sk white distilled vinegar
1 sk baking soda 

Cara-cara:
Pukul minyak dan gula sehingga sebati dan masukkan telur, pukul lagi sehingga kembang dan ringan selama 2-3 minit.

Satukan tepung gandum, serbuk koko dan garam sebelum diayak. Dalam mangkuk lain, satukan buttermilk, pewarna merah dan esen vanila.

Menggunakan kelajuan sederhana, masukkan 1/2 dari tepung diikuti dengan buttermilk dan akhir sekali kesemua baki tepung.  

Dalam satu mangkuk kecil, campurkan cuka dengan baking soda. Campuran akan berbuih atau berbusa. Dengan segera tuang ke dalam adunan dan terus kaup balik.

Masukkan adunan ke dalam cawan kertas dan bakar pada suhu 170C selama 20 minit atau sehingga masak. Angkat dan sejukkan.

Hias dengan cream cheese frosting yang disukai.


Cream cheese Frosting
Bahan bahan:
250 gram cream cheese
60 gram gula ising
200 gram non dairy whipping cream - pukul hingga bertanduk

Cara cara:
Putar cream cheese dan gula ising hingga fluffy dan masukkan whipping cream. Pukul sebati. Sedia untuk digunakan. 




Rezeki Dapat Tudung Baru

0
0




Hari ini saya berada di rumah seorang diri di ruang tamu. Manakala Nana pula tidur kerana malam sebelumnya dan malam ini juga, bekerja malam. Saya memang tidak memasak apa apa untuk sarapan atau pun makan tengahari kerana tiada sesiapa di rumah, kecuali kami berdua. Nana mengajak saya untuk makan di Subway dan selepas makan, kami singgah di Butik Ariani. Saya memang tidak bercadang untuk membeli apa apa tudung. Malahan telah sekian lama saya tidak membeli tudung baru pun. 

Bila Nana menawarkan saya tudung baru, barulah saya mencuba beberapa helai. Hahaha orang perempuan mana boleh dipisahkan dengan tudung, apalagi tudung baru. Hati berbunga kegembiraan dan keseronokan. Jika dulu, kita yang membeli untuk anak anak, sekarang mereka pula yang membeli untuk kita. Sebelum ini, Nelly membelikan jubah yang cantik untuk saya. Alhamdulillah kerana anak anak tidak lokek. Namun begitu, saya berpesan supaya jangan lupa menyimpan untuk masa depan sementara belum mempunyai apa apa komitmen, inilah masa untuk menyimpan. Terima kasih, Kakak atas pemberian tudung baru yang cantik cantik ini. Semoga Kakak sentiasa dimurahkan rezeki dan dicucuri rahmat Allah. Ameen.


Happy Birthday, Darling

0
0





Happy birthday to my hubby. Yang ke? huhuhu biarlah rahsia, katanya muda lagi, baru 25 gitew. Sebenarnya birthday my hubby adalah pada 4 Julai di mana ianya turut diraikan oleh seluruh penduduk di Amerika Syarikat. Tapi kerana 4hb adalah hari bekerja, jadi sessi makan sempena meraikan harijadi my hubby terpaksa di buat pada hari Ahad. Pada mulanya hendak dibuat pada hari Sabtu, tapi Nana pula bekerja. Kalau nak tunggu Boy, lambatlah lagi. Tapi hari ini pun, masih tak cukup quorum kerana Juita berpuasa.

Kali ini saya memilih South Sea Seafood Restaurant di Subang. Memang terdapat bermacam macam makanan laut hidup yang boleh dipilih. Ada abalone, geoduck, lobster, oyster dan bermacam macam spesis ikan dan lain lain lagi. Tapi harganya memang mahal lah. Seekor Spider Crab pun sudah berharga RM900 lebih. Saya teringin nak mencuba tapi kata Nana, harga seekor ketam boleh makan seafood sebanyak 3 kali. Jom kita layan antara makanan laut hidup yang terdapat di restoran ini. Semua ada, tinggal pilih jer yang mana suka, ya.












Huhuhu akhirnya pilih makanan laut yang biasa biasa jer. OK juga sebab saya sekarang pun sedang mengalami masalah alergik dengan makanan laut. Boleh gatal dan bengkak seluruh badan, jika makan makanan laut. Sebenarnya makan di mana itu tidak penting tapi yang lebih utamanya saya mahu mengekalkan tradisi makan makan sempena meraikan hari hari istimewa kami dan anak anak. Kalau boleh sampai bila bila sebagai acara istimewa keluarga saya. Inilah lauk yang kami pesan. Aween dan Nelly memesan juga jelly kelapa pandan untuk dibawa balik.










Oleh kerana Juita tidak ikut bersama, hubby singgah di kedai runcit dalam perjalanan balik. Haaa dibelinya beberapa ekor ketam dan meminta saya menyediakan masak lemak untuk hidangan Juita berbuka puasa.






Happy birthday, Papa dari mama dan anak anak. Semoga panjang umur, diberi kesihatan yang baik dan murah rezeki hendaknya.



Masak Lemak Ikan Jenahak Merah Yang Sangat Mengancam

0
0




Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua kawan kawan dan pembaca blog Azie Kitchen. Kita seharusnya merebut tawaran pahala yang dijanjikan Allah sepanjang bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan amal ibadah seperti bersolat sunat, qiam, berzikir, bersedekah, juga tidak lupa membaca Al Quran dan bertaddabur. Jika pahala amalan lain ada disebutkan gandaan pahalanya, tetapi untuk ibadat puasa pula, pahalanya adalah "sky is the limit". 

Ini adalah kerana amalan lain adalah untuk kita sendiri tapi puasa adalah untuk Allah, maka Allah lah yang akan menentukan berapa banyak pahala yang ingin diberikan bergantung kepada tahap dan kualiti puasa kita. Rasulullah s.a.w bersabda : “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga 700 kali ganda. Allah Azza Wajalla menyebut : Melainkan puasa, kerana ia untukKu dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui TuhanNya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) lebih harum wangi di sisi Allah dari bau Kasturi”

Hari ini saya ingin kongsikan entri tertunggak masakan biasa iaitu Masak Lemak ikan tetapi yang istimewanya ialah ikan yang digunakan. Ikan ini adalah ikan jenahak merah yang dikatakan sangat sedap dan punya isi yang sangat lembut. Berkali kali apek yang menjual ikan di Pasar Taman Tun berkempen dengan saya. Akhirnya saya mengalah juga dek tertarik dengan apa yang dikatakan. Seekor ikan yang besar sedikit dari saiz tangan berharga RM18. Huish boleh tahan juga harganya.

Saya sebenarnya sejak kecil bukan suka sangat makan ikan segar. Maklumlah dari kecil hanya tahu makan ikan sahaja sebab ikan sangat murah dan segar. Jadi saya sukakan ayam atau daging atau udang yang memang susah untuk dapat menikmatinya. Ikan yang dibeli dengan harga seringgit, telah dapat selambak banyaknya. Pada masa itu, di rumah kami tiada peti sejuk. Jadi ikan akan direbus untuk tahan lama. Ikan rebus ini akan dimasak gulai lemak atau digoreng. Kalau ikan segar juga akan dibubuh garam kunyit dan dibiarkan lama sebelum digoreng. Ada juga masanya ikan seperti ikan duri atau ikan mayong dibubuh garam semalaman sebelum dimasak gulai. Pendekkata saya memang tak suka rasa isi ikan yang segar yang dikatakan manis itu. Kerana sejak kecil saya memang tak reti rasa isi ikan segar. Setelah berkahwin, saya merasa agak pelik bila melihat hubby meletak garam kunyit pada ikan dan terus digoreng. Isi ikan masih terasa tawar kerana garam belumpun menyerap sepenuhnya.  Sehingga kini, tekak saya masih sebati dengan gulai ikan rebus atau ikan rebus yang digoreng. Memang sangat berselera bila bertemu dengan lauk pauk yang dinikmati sejak kecil.




Inilah dia hasilnya Masak Lemak Ikan Jenahak Merah yang memang sangat sedap. Masak lemak saya hari ini adalah masak lemak biasa sahaja, ala ala masak lemak cili padi tapi saya letakkan bawang merah dan sebatang serai yang diketuk. Hahaha suka suka hati jer nak campak apa pun. Ternampak ada serai terbiar dalam peti ais, jadi ketuk dan campakkan jer ke dalamnya. Kalau resepi ori masak lemak cili padi, hanya dikisar cili padi dan kunyit hidup sahaja. Oleh kerana masak lemak ikan, dimasukkan sedikit asam keping. Kalau seafood, tak perlu pun masukkan asam keping ni. Boleh klik di SINI untuk melihat resepi masak lemak yang saya gunakan.




Apa kata anda cuba sendiri keenakan rasa isi ikan Jenahak Merah ini yang lembuk bak tauhu Jepun teksturnya. Rasanya kalau masak kicap atau masak tauhu pun sedap ni. Apalagi kalau digoreng garam kunyit yang pasti lagi terasa keaslian isi ikannya. Selamat mencuba...






Masak Lemak Ketam Untuk Hidangan Berbuka Puasa

0
0






Sebelum kita bercerita pasal masakan, nak kongsikan sedikit berkenaan dengan kuliah Zohor hari ini iaitu hari pertama kita berpuasa di bulan Ramadhan oleh Ustaz Ibrahim Muhamad berkenaan 2 keistimewaan bulan Ramadhan yang tiada pada bulan lain. Pertama, setiap hari siang dan malam, Allah akan memerdekakan hambanya dari api neraka. Jadi kena beribadat dan berdoa semoga kita termasuk dalam senarai mereka yang dimerdekakan dari api neraka. Kedua, di bulan Ramadhan setiap hari siang dan malam adalah mustajab doa. 24 jam adalah waktu mustajab doa, bukan seperti hari hari lain yang hanya pada waktu waktu tertentu adalah waktu mustajab doa. Jadi apa lagi? Kalau bukan bulan Ramadhan, bila lagi mahu beribadah bersungguh sungguh agar kita dibebaskan dari api neraka dan semua doa kita dimakbulkan? Bila lagi?

Ini adalah entri hari minggu yang lalu, sebelum puasa lah. Sekembali dari makan tengahari sempena meraikan harijadi hubby di South Sea Seafood Restaurant di Subang, hubby singgah membeli beberapa ekor ketam. Boleh klik di SINI untuk entri tersebut. Hubby meminta saya menyediakan Masak Lemak Ketam sebagai hidangan berbuka Juita. Juita tidak ikut serta kerana berpuasa ganti. Sesampai di rumah, terus masuk dapur dan mula memasak. Saya memang suka memasak Masak Lemak kerana sangat ringkas dan mudah disediakan. Tetapi yang paling penting, ianya sangat sedap. Kalau setiap hari pun, saya tak akan pernah jemu dengan masak lemak. Pendek kata masak lauk apa pun sedap dengan masak lemak.

Masak lemak ini menang sedap kalau digandingkan dengan telur masin dan ikan kering. Memang terangkat lah. Tapi kalau untuk anak anak saya, cukuplah kalau dapat disediakan sekali ayam goreng garam kunyit. Memang serasi bersama lah, makan pulak dengan nasi putih panas panas tu.

Jom kita tengok resepi ringkas yang saya selalu gunakan untuk menyediakan masak lemak. Bagi orang dewasa tak payah lah tengok resepi. Ini hanya untuk anak anak yang baru baru belajar memasak lah ya.



Masak Lemak Ketam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Ketam
1 kotak santan
1 biji bawang besar 
10 ulas cili padi
1 inci kunyit hidup
Garam
1 helai daun kunyit
1/2 biji cili merah - hiris
1/2 biji bawang besar - hiris
Air secukupnya

Cara cara:
Kisar bawang besar, cili padi dan kunyit hidup bersama santan. Masakkan di atas api perlahan sehingga hampir mendidih.

Masukkan ketam dan masak sehingga hampir masak. Masukkan garam, daun kunyit, bawang besar dan cili merah hiris. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.






Ramadhan Adalah Bulan Bonus Umat Islam

0
0



Bulan ramadhan  adalah "Syaidul Syuhur"  iaitu penghulu bulan. Apabila ia disebut sebagai penghulu, maka bererti ia melebihi dari bulan-bulan yang lain dari sudut fadhilat dan kelebihannya. Di dalam Al-Quran ia disebut secara terang dan jelas berbanding bulan-bulan yang lain. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

« Bulan ramadhan yang  diturunkan al-Quran padanya, dimana al-Quran menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan yang membezakan antara hak dan batil »

Dalam bulan ramadhan terdapat banyak amalan-amalan yang tiada pada bulan lain malah digandakan pahalanya lebih dari bulan-bulan yang lain. Tidak hairanlah kalau dikatakan bahawa bulan ramadhan ini ialah bulan mendapat bonus dari Allah s.w.t. Sebab itu kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya yang bukan hanya satu bonus yang ditawarkan malah sangat banyak dan berlipat kali ganda pula. Penjawat awam dapat duit raya setakat RM500 dan di Pulau Pinang RM 400. Kalaulah gaji seseorang RM3,000 maka sebenarnya kadar bonus RM500 itu hanya sekadar 1/6 dari gaji tidak sampaipun sekali ganda. Itupun kalau kita tak dapat heboh seluruh dunia.

Ini pula bonus Allah s.w.t yang akan kita dapat di negeri yang kekal abadi, Apakah kita tidak mahu merebutnya?. Amalan yang sunat dibulan ramadhan adalah sama dengan ganjaran amalan wajib. Antara amalan yang terdapat pada bulan ramadhan yang tidak terdapat pada bulan lain ialah puasa, zakat fitrah,  kelebihan beramal pada lailatul kadar dan solat tarawih. Allah s.w.t memberikan ganjaran kepada hambanya bagi satu amalan yang baik ialah dengan 10 pahala ( 10 kali ganda ) sehingga kepada 700 pahala dan lebih dari itu. Di dalam Al-quran Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Baqarah  ayat 261      

« Bandingan (derma atau nafkah) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah seumpama sebiji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai, setiap tangkai itu mengandungi 100 biji. Allah melipatkan pahala bagi siapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas( kurnianya ) lagi Maha Mengetahui »    

Maknanya satu amal kebajikan Allah beri bonus paling minima dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda dan lebih lagi . Contohnya mereka yang melakukan ibadat di Masjidil Haram Makkah akan diganjar dengan 100,000 ganjaran. Bayangkan jika dilakukan pada bulan ramadhan. Mana ada Syarikat di dunia ini yang boleh beri kita bonus sebanyak itu. Malah Multi Level markerting (MLM) pun tidak dapat memberi pulangan dan kelebihan sebesar itu.

Lailatul qadar diberi oleh Allah s.w.t pada bulan ramadhan dengan pahala yang lebih baik dari seribu bulan. Bayangkan kalau 1000 bulan dijadikan tahun, maka jumlahnya ialah 83 tahun 3 bulan. Umur manusia akhir zaman pun kebanyakan tidak akan sampai ke tahap itu sebagaimana disebutkan oleh nabi s.a.w:

"Umur umatku adalah antara 60 hingga 70 tahun"

 Allah s.w.t menyatakan di dalam Surah al-qadr :

"Sesungguhnya kami telah menurunkan al-quran pada malam qadar. Dan apakah engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam qadar itu?. Malam Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin tuhan mereka,untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar"

Membaca al-Quran misalnya diganjar oleh Allah s.w.t pada setiap huruf yang dibaca dengan satu kebajikan dan seterusnya digandakan dengan 10 kebajikan. Rasulullah s.a.w bersabda:

 "Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran baginya satu kebaikan dan satu kebaikan itu digandakan denga sepuluh. Aku tidak mengatakan : Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf"

Orang yang bersedekah pada bulan ramadhan juga diganjar pahala yang berlipat ganda sebagaimana rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang bersedekah menyediakan makanan bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala sebanyak mana orang yang berpuasa itu tanpa dikurangi pahala mereka"

Maka apakah kelebihan dan tawaran yang dioffer oleh Allah s.w.t pada bulan ramadhan ini kita tidak berlumba-lumba untuk merebutnnya. Lu fikirlah sendiri..


Disediakan oleh:


Haji Khairuddin bin Haiyon

Penolong Pengarah

Bahagian Dakwah

(Unit Penerangan dan Penerbitan)


Viewing all 2111 articles
Browse latest View live