Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2131 articles
Browse latest View live

Masak Kicap Sardin Menu Bersahur

$
0
0



Selamat berpuasa kepada semua. Hari ini telah masuk hari kedua kita berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Saya ingin menyambung sedikit lagi dari intipati kuliah zohor oleh Ustaz Ibrahim Muhamad berkenaan dengan bulan Ramadhan. Berdasarkan hadis (saya tak sempat menyalinnya), bulan Ramadhan boleh dibahagikan kepada 3 bahagian. 

Pertama, berpuasa iaitu sesiapa yang mendirikan puasa di siang hari, akan diberi keampunan dosa. Kedua ialah mendirikan Ramadhan dengan bersolat terawih kerana solat terawih tidak ada pada bulan bulan yang lain. Barang siapa mengerjakan solat terawih dengan mengharapkankan pahala, maka dosa dosa yang lalu akan diberi keampunan. Manakala bahagian yang terakhir adalah mencari lailatul Qadr yang terletak pada malam ganjil 10 malam terakhir. Kita kenalah memperbanyakkan ibadah pada malam 10 terakhir Ramadhan dengan mengerjakan solat Isyak secara berjemaah, solat rawatib, solat terawih, melakukan solat malam, berzikir, membaca Al Quran, bertaddabur dan lain lain lagi. Sesungguhnya Lailatul Qadar adalah lebih baik dari 1000 bulan. Jika kita melakukan ibadah ini dari masuk waktu Isyak, sudah pasti kita akan mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar. 


Seperti tahun lepas juga, saya tidak memasak untuk berbuka puasa kerana beberapa sebab, antaranya saya memang tidak sempat untuk memasak. Keduanya, saya ingin memperuntukkan masa berkualiti untuk beribadah dan akhirnya anak anak juga suka ke bazaar Ramadhan. Namun begitu, saya akan memasak lauk pauk yang simple untuk juadah bersahur. Ini adalah kerana tahun ini, saya mahukan semua bangun bersahur demi mengikut sunnah Nabi. Lagi pulak, sahurlah yang membezakan puasa orang muslim dengan puasa orang Yahudi.

Telah 2 malam berturut turut, saya menyediakan sardin dan ayam goreng sebagai hidangan bersahur. Malam pertama, saya memasak Sambal Tumis Sardin, yang merupakan resepi biasa yang selalu saya gunakan. Tapi malam tadi, saya menyediakan Sardin Masak Kicap Dengan Ubi Kentang yang saya ingin kongsikan di sini. Memang mengancam makan semasa bersahur dengan nasi putih panas panas. Resepi ringkas seperti ini sangat sedap dan cepat disediakan. Jadi jika ada yang mencari menu bersahur, bolehlah mencubanya sendiri… Gambar kurang menarik, maklumlah gambar diambil dah tengah malam semasa sedang dimasak di dalam kuali.



Masak Kicap Sardin dengan Kentang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 tin sardin Mackerel
5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia – hiris
1 biji bawang besar – hiris bulat
1 biji cili merah – hiris
5 biji cili padi
2 biji kentang – hiris nipis
Kicap
Gula

Cara cara:
Goreng kentang sehingga masak. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga wangi. Masukkan ikan sardine sambil dibalik balikkan untuk menggoreng ikannya.

Masukkan sos ikan dan kicap. Masak sehingga mendidih. Akhir sekali, masukkan bawang besar, cili padi, cili merah.

Sebelum diangkat, masukkan kentang yang telah digoreng tadi.







Telur Goreng Dengan Daun Kucai

$
0
0




Resepi bersahur ringkas yang saya sediakan minggu lepas. Resepi telur dadar ini boleh diubahsuai mengikut kesukaan masing masing samada bawang mahu dihiris atau ditumbuk. Semasa di kampung dulu, bonda akan menumbuk lumat bawang merah dengan garam dan dimasukkan ke dalam telur sebelum digoreng. 

Tapi yang best sedikit mengenai resepi ini ialah adanya daun kucai yang menjadikan telur dadar terasa lebih sedap dek kemanisannya daun kucainya. Selain daun kucai, boleh juga memasukkan daun kunyit yang dihiris halus seperti bunga rampai. Pun sedap. Kiranya ia dah jadi macam resepi ala Minang.

Kalau tak ada idea apa yang ingin disediakan semasa sahur, boleh cuba resepi ini...



Telur Dadar Dengan Daun Kucai
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 biji telur
1 sb mayonis

3-4 ulas bawang merah

1 biji cili merah - hiris
Garam
Seikat daun kucai - hiris kecil

Cara cara:
Pukul telur dan mayonis dengan garpu sehingga kembang. Masukkan bahan lain dan kacau sebati.
Panaskan minyak dan goreng dengan api sederhana. 






Tempahan Red Velvet Cupcake Di Bulan Ramadhan

$
0
0





Sebelum kita berkongsi berkenaan dengan cupcake, saya ingin selitkan sedikit berkenaan dengan petikan yang saya ambil dari kuliah Subuh di Surau Ad Dhuha oleh Ustaz Said tentang kepentingan mencari ilmu. Berada dalam majlis ilmu yang dinaungi para malaikat adalah lebih baik dari bersolat 1000 rakaat. Kalau di bulan Ramadhan, ianya adalah lebih baik dari 70000 rakaat. Banyak benda yang kita lakukan kerugian apabila kita tiada ilmu. Apa dia yang dikatakan rugi tersebut?

Contohnya kenapa tidak ramai orang berebut bersolat Maghrib berjemaah di masjid walaupun memakan masa hanya dalam 10 minit, namun ganjaran pahalanya adalah seperti bersolat 210 rakaat berbanding dengan solat terawih yang memakan masa 1 jam tapi hanya mendapat 20 rakaat. Semuanya kerana kita ketiadaan ilmu untuk merebut amalan yang memberi banyak ganjaran pahala dengan usaha yang sedikit. Tidak pula bermakna kita tidak boleh mengerjakan solat terawih kerana solat terawih hanya boleh dilakukan di bulan Ramadhan sahaja. Malahan solat terawih yang di dalam kategori mendirikan Ramadhan adalah 1/3 dari bahagian Ramadhan. Tanpa solat terawih, kita sudah kehilangan 1/3 dari Ramadhan, jadi alangkah ruginya.  

Tempahan Red Velvet Cupcake kali ini masih diterima dari Puan Zalia pada hari kelima puasa bulan Ramadhan. Saya masih menggunakan resepi yang sama di SINI cuma kali ini saya menggunakan resepi Cream Cheese Frosting yang baru. Tapi sebab bulan Ramadhan, tak dapatlah saya nak merasa, sebaliknya hanya perlu bergantung kepada maklumbalas mereka yang telah merasa frosting ini.  






Nelly juga membawa sebiji lebihan cupcake sewaktu berbuka puasa bersama kawannya untuk dicuba rasa dan memberi maklumbalas. Ikut kata Nelly, frostingnya sedap. Saya suka frosting ini kerana ianya sangat mudah di pipe dan dibentuk cantik di atas cupcake.

Jom layan resepi cream cheese frosting yang mudah ini tetapi menghasilkan frosting yang sangat sedap lebih lebih lagi jika menggunakan butter yang asli....




Cream Cheese Frosting
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
360gm cream cheese 
70gm mentega - guna Anchor
200gm gula aising
1 sk ekstrak vanilla

Cara cara:
Pukul cream cheese bersama mentega hingga kembang.
Masukkan gula aising dan vanilla sedikit demi sedikit sambil memutar.







Sotong Butter Yang Meletop Dengan Step By Step

$
0
0




Sebelum kita menulis pasal Sotong Butter yang sedap ini, kita nak sebut sikit jer. Sikit jer. Ye lah selagi kita hidup, eloklah kita berpesan pesan dan saling ingat mengingati. Hahaha pasai apo tu. Citer nya gini, citer pasal hasrat dan cita cita kita nak ke tanah suci untuk mengerjakan umrah. Rasanya semua kita pun ada perasaan, cita cita dan azam begini kan? Cuma menunggu masa dan ketika yang sesuai dan kali ini jika hajat saya dimakbulkan, saya ingin membuat persediaan yang rapi supaya semuanya dapat dilakukan dengan optimum.

O Oh dah lari dari topik lak, yang kisahnya begini sahabat saya membuat pengiraan kasar jer lah. Kalau sehari kita solat 5 waktu dan kita diberi 5 pahala. Diandaikan lagi kita beribadat sepanjang hidup selama 55 tahun. Cer kira berapa pahala kita dapat? Kalau ikut matematik saya ialah 100,375 pahala. Jadi apa pulak kena mengena dengan cerita umrah ni ya. Jadi kalau nak dipendekkan cerita betapa ibadah di tanah suci, bersolat 1 waktu di sana bersamaan dengan 100,000 pahala. Masya Allah begitu besarnya ganjaran yang dijanjikan Allah kepada kita sehingga solat 1 waktu bersamaan dengan ibadah kita di sini seumur hidup. Contoh pengiraan ini hanyalah untuk contoh solat jer, tak kiralah yang lain lain spt puasa, bersedekah dll. Jadi setiap dari kita tanamlah azam dan berdoa semoga kita dijemput untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Antara satu umrah dengan umrah yang lain, akan menghapuskan dosa antara keduanya. Doakan lah semoga saya dipermudahkan dan diberikan rezeki untuk mengerjakan ibadah umrah. Ameen. 

OK sekarang kita tengok pulak resepi Sotong Butter yang disediakan Nana dan Nellisa pagi hari sabtu yang lalu. Mula mula sotong dibasuh, ditos dan dikeringkan dengan kitchen towel. Lepas tu digaul bersama dengan tepung gandum, serbuk kari dan telur. Goreng dengan api yang sederhana sehingga garing. Angkat dan toskan seketika.




Mengunakan kuali yang lain, panaskan mentega mengikut jumlah yang disukai. Biarkan sehingga mentega cair. Guna api perlahan jer. Kalau tidak, boleh hangit jadinya minyak kita tu...




Hiriskan beberapa biji cili padi mengikut pedas yang kita sukai dan beberapa pelepah daun kari. Masukkan ke dalam minyak mentega tadi dan biarkan sehingga ianya mewangi. Bila sudah mewangi, bolehlah dimasukkan susu cair. Berapa tin nak guna? Pun ikut sukahati sendiri, kalau banyak sotong kita tu, buatlah 2 atau 3 tin susu cair ke.  








Biarkan susu menggelegak seketika. Masukkan cheese, sedikit garam dan gula. Akhir sekali, masukkan sotong yang telah digoreng tadi. Kemudian bancuhkan sedikit tepung gandum dengan air dan dituang ke dalamnya bertujuan untuk memekatkan kuah. Berapa pekat tu, ikut suka kita jer kerana semasa disejukkan, ianya akan menjadi lebih pekat. Kacau rata dan bolehlah ditutup api. 
  




Haa lepas tu, bolehlah dihidangkan dengan nasi putih panas panas tu. Memang sedap. Selain sotong, sedap juga dibuat Udang Butter atau Ketam ke..





Kalau nak tengok resepinya, bolehlah klik di SINI. Klik klik klik, jangan lupa klik iklan Nuffnang juga.  Hahaha saja jer letak resepi di bahagian bawah sekali. Supaya pembaca blog Azie membaca apa yang ditulis sehingga ke noktah terakhir giteww...




Ikan Rebus Goreng Yang Membangkit Selera Sahur

$
0
0




Ini adalah lauk feveret yang sentiasa membangkitkan selera tak kira masa, apalagi untuk bersahur. Dari kecik kecik lagi, inilah lauk yang menjadi kesukaaan. Ikan mesti direbus dengan menggunakan asam keping yang banyak dan garam yang banyak. Rebus sehingga air yang tinggal menenggelami separuh dari ikan. Kemudian biarkan sekurang kurangnya satu malam sebelum ianya digoreng atau dibuat gulai. Gulai nasi berlauk atau nasi dagang Kelantan memang menggunakan ikan rebus. 





Ikan mestilah digoreng garing garing dan kemudian masukkan bawang besar dan cili hijau yang dihiris kasar. Lebih sedap jika menggunakan lada hijau solok yang terdapat di Kelantan tu. Tapi sebab tak jumpa cili tu di sini, saya guna jer cili merah. Huuu sungguh sedap lauk ini, selain dimakan dengan nasi putih panas panas, sedap juga dimakan dengan pulut dan kelapa parut yang biasa dihidangkan untuk sarapan di Kelantan.

Selamat mencuba sebagai lauk sahur untuk keluarga anda....


Masak Lemak Udang

$
0
0





Menu sahur kami kali ini ialah Masak Lemak Udang Harimau. Sementara stok udang yang diterbangkan dari Kota Kinabalu masih ada dalam peti ais, maka menu saya kebelakangan ini berasaskan udang sahaja. Malam sebelumnya saya menyediakan Sambal Tumis Udang Dengan Petai. Tapi gambar yang diambil pagi pagi hari, memang tak cantik langsung. Bolehlah sekadar untuk memeriahkan blog masakan kan. Kalau tanpa gambar, resepi apa pun jadi tak menarik. Hahaha gambar dalam periuk lagi tu...




Hari ini kami berbuka puasa di Restoran Makanan laut kerana kebetulan Boy masih ada di rumah. Masak lemak saya hari ini memang dibuat agak kurang pedas kerana Nelly memang tak tahan makanan pedas, apalagi waktu bersahur. Resepi  ringkas ini memang sedap dan sesuai untuk hidangan sahur. 





Baby Bayam Sesuai Sebagai Menu Sahur

$
0
0





Seperti biasa kalau ke Pasar Taman Tun, memang tak sah kalau saya tak mencari baby bayam yang memang menjadi kesukaan saya selama ini. Ianya lebih segar dan sangat sedap berbanding dengan yang saya temui di kedai kedai runcit. Baby bayam ini saya hanya membuat masak rebus sahaja. Cukup sedap rasanya. Tapi rahsianya kenalah dibuat stock kuahnya menggunakan ikan bilis. Ikan bilis direbus lama lama supaya rasanya lebih sedap. Masukkan bawang merah yang dihiris.Biarkan ianya mendidih lama lama.




Setelah stok telah sedia, bolehlah dimasukkan baby bayam. Setelah hampir lembut, masukkan garam dan cili merah hiris. Jangan terlebih masak kerana ianya boleh menghilangkan khasiat sayur berdaun hijau yang sangat tinggi khasiat nya ini. Sayur ini boleh diratah begitu sahaja seolah menghirup kuah sup sayur. Cubalah, ianya sangat sedap dan yang paling penting sangat berkhasiat. Sesuai sekali dihidangkan samada semasa berbuka puasa ataupun semasa sahur kerana ianya tidak memuakkan.




Menu Sahur Paling Sempoi

$
0
0




Haaa ada lagi menu sahur yang lebih sempoi dari ini? Yang sebenarnya ini adalah menu kesukaan saya semasa kecil dulu. Tapi dah agak lama saya tidak membuatnya. Pagi tadi saya menyediakan Telur Mata yang dicicah dengan kicap, sos cili dan bawang merah hiris. Huhuhu sebab dah lama tak makan, terasa sedap sangat. Makan pulak dengan nasi putih panas panas. Saya ni pulak, jenis suka makan nasi yang kering kering. Tak suka basah dan berkuah, memang boleh hilang selera. 

Menyediakan lauk untuk bersahur memang memeningkan, sehingga kadang kadang terlupa menu ringkas seperti ini. Setiap hari saya kena menanyakan kawan kawan menu berbuka dan bersahur untuk disediakan. Jadi kalau rasa kekeringan idea, bolehlah mencuba masakan paling sempoi ini untuk bersahur. 







Berbuka Puasa Di Restoran Makanan Laut

$
0
0






Inilah pertama kali dalam bulan Ramadhan tahun ini, kami berbuka puasa di luar. Saya sekarang ini memang tak suka berbuka di luar. Tidak lagi zaman dulu dulu yang begitu teruja berbuka di hotel hotel yang mempromosikan buffet Ramadhan. Mungkin peningkatan usia dan ilmu, menjadikan saya rasa ianya membazir kerana kita bukan mampu untuk makan menu menu yang begitu banyak disediakan. Lebih lebih lagi saya tidak mahu ketinggalan mengerjakan solat terawih secara berjemaah di masjid.


Sekarang ini pun, jika ingin berbuka di luar, saya memberikan syarat yang ianya mestilah tidak jauh dari kawasan rumah kami. Jadi selepas sahaja makan, kami boleh bergegas balik untuk mengerjakan solat maghrib dan ke masjid untuk bersolat Isyak dan terawih.
  



Oleh kerana Boy ada di rumah, hubby mencadangkan supaya berbuka di luar kerana kemungkinan Boy tidak dapat balik pada hujung minggu akan datang. Saya bersetuju dengan cadangan hubby. Cuma Nelly yang tidak dapat ikut serta kerana berbuka bersama kawan kawannya. 

Ini adalah kali pertama kami mengunjungi restoran makanan laut yang terletak di Sungai Penchala. Oleh kerana bulan Ramadhan, mereka menyediakan hanya menu tertentu yang mungkin bagi memudahkan mereka melayan semua pelanggan yang mahu berbuka dalam masa yang sama. Jadi tidak banyak pilihan diberi, malahan ketam yang menjadi kesukaan anak anak juga tidak disediakan. Air yang disediakan hanyalah air sirap bandung dan air laici. Lain lain jenis minuman hanya boleh dipesan selepas pukul 8.00. 

Ini lah lauk pauk yang kami pesan. Memang sedap masakan di sini. Cuma yang ingin saya kongsikan adalah kesedapan ikan steam. Saya selama ini, memang kurang menggemari ikan steam kerana rasa ikan steam ini sebenarnya tak banyak berbeza pun dengan ikan singgang, makanan yang selalu disediakan bonda saya sewaktu di kampung dulu. Tapi ikan steam kali ini, memang sangat sedap sehingga licin saya kerjakan. Selain ikannya yang fresh, juga bahan bahan yang diletakkan bersama ikan yang menjadikan ianya sangat sedap. Antaranya yang boleh saya rasa, adalah bawang putih jeruk. Pendek kata, memang teringat ingatlah dengan ikan steam ini. 





Lauk lauk lain walaupun sedap, rasanya biasa sahaja pada saya. Lagi pulak, sejak akhir akhir ini, saya mula mengalami masalah alergik dengan masakan lauk. Jamah sedikit sahaja, badan akan naik gatal bengkak dan merah merah. Tak ada pilihan, terpaksalah meratah banyak lauk ikan sahaja. Jom layan gambar gambar masakan yang boleh membuatkan kita kecur melihatnya...










Terima kasih kepada hubby yang sudi membawa kami berbuka puasa di sini. Yang paling utama, dapat menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak anak. Dalam keadaan sekarang, di mana anak anak sibuk dengan pekerjaan dan pengajian masing masing, mencari ruang masa bersama adalah sesuatu yang sukar dan perlukan perancangan masa. 







Ketupat Sotong Bertelur

$
0
0




Ini adalah ketupat sotong yang saya buat sebelum puasa lagi. Kebiasaannya di bazar bazar Ramadhan, ketupat sotong banyak dijual. Tetapi macam biasalah harganya agak mahal dan rupanya pun tak lah nampak mengancam sangat. Sotong yang dibeli di Pasar Taman Tun Dr Ismail ini walaupun bersaiz kecil tapi penuh dengan telur. Saya memang meminta dipilih hanya sotong yang bertelur sahaja. Jadi setiap ekor sotong, hanya dimasukkan sedikit sahaja beras pulut dan selebihnya dipenuhi dengan telur menjadikan ianya lebih sedap.
 
Cara menyediakan ketupat sotong ini sangat mudah. Cuci bersih sotong dengan mencabut bahagian kepala dan buang bahagian tulang keras di dalamnya. Kemudiannya masukkan beras pulut yang direndam seketika dan ditabur dengan garam. Selepas itu, masukkan kembali kepala sotong dan dicucuk dengan lidi supaya beras pulut tidak terkeluar. Susun di dalam periuk dan masukkan daun pandan. Tuangkan santan sehingga menenggelami sotong dan masak di atas dapur sehingga pulut masak. Masukkan sedikit gula dan gula Melaka. Masak lagi dan bolehlah diangkat dan dihidangkan. 





Huhuhu makanan kegemaran saya dan anak anak ni. Kalau sekali dibeli 3 kilo sotong pun boleh habis dalam sehari sahaja. Lebih lebih lagi kalau sotong itu bertelur.




Bazar Ramadhan

$
0
0



Setiap kali bulan Ramadhan menjelang tiba, pasti yang akan ada ialah Bazar Ramadhan yang terdapat di merata rata tempat. Anak anak saya memang suka ke bazar Ramadhan mencari kuih muih dan lauk pauk kesukaan masing masing. Jadi saya memang menggantung periuk belanga lah waktu ini. Mereka akan balik dengan pelbagai juadah berbuka puasa. Namun begitu, saya masih memasak masakan yang simple untuk hidangan bersahur.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah, dilimpahi rahmat Allah sehingga begitu ramai umat Islam yang menjadi peniaga baik di bazar Ramadhan, mahu pun menjual pakaian dan biskut raya. Pendek kata rezeki melimpah ruah di bulan yang mulia ini. Ada seorang ustaz berkongsi dalam tazkirah berkenaan seorang peniaga yang mengakui tidak sempat bersolat terawih kerana berniaga. Katanya lagi berniaga sebulan di bulan Ramadhan, boleh mendapat pendapatan untuk setahun. Alhamdulillah, tumpang gembira mendengarnya. Namun agak rugi jika kita tidak merebut amal dan pahala berganda yang Allah tawarkan hanya dalam bulan Ramadhan.




Tahun ini adalah tahun pertama Nana ada di rumah dari sebelum Ramadhan. Kalau tahun tahun sebelumnya, dia akan balik bercuti beberapa hari sebelum raya. Jadi dia nampak begitu sangat teruja untuk mengunjungi bazar Ramadhan kali ini, siap berpesan supaya menunggu beliau balik kerja sebelum ke Bazar Ramadhan. Tapi itulah, jadual kerja dia tidak menentu, selagi tak habis kerja, tak dapat balik. Jadi asyik tertangguh sehingga satu hari kami terus singgah di bazar Ramadhan dan meminta Nana menunggu kami di sana. Seronok melihat Nana memilih kuih muih untuk berbuka dan belanja saya juga. Aween dan Juita sudah tidak lagi mahu mengunjungi bazar Ramadhan seperti tahun tahun sebelumnya. Mungkin kerana telah tahu apa lauk pauk yang disukai, jadi mereka hanya memberitahu hubby apa yang mahu dibeli sahaja.





Pulut Durian Untuk Nellisa

$
0
0







Entri ini adalah entri tertunggak sebelum menjelang Ramadhan. Telah lama Nelly memberitahu keinginan beliau untuk makan pulut durian. Kini hanya tinggal kami sahaja yang masih menyukai durian di rumah ini. Oleh kerana puasa hampir menjelma dalam 2 minggu lagi, saya meminta hubby membelikan durian untuk dimakan sebagai pulut durian. Kalau saya jer yang nak makan durian, mesti hubby buat tak kisah jer. Tapi sekarang bolehlah guna alasan yang Nelly nak makan pulut durian, bolehlah saya menumpang sekaki. 




Kalau ada yang baru nak belajar mengukus pulut, boleh lah tengok langkah demi langkah di SINI. Saya sendiri juga baru jer belajar memasak pulut ni. Bila dah berjaya menghasilkan pulut sendiri, memang terasa sangat puas hati. Maklumlah pulut ni, kiranya masakan emak emak kita zaman dulu, sekarang ni jarang sekali orang menyediakan pulut untuk sarapan. Kalau terasa nak makan pulut, boleh beli jer di gerai gerai yang menjual makanan sarapan pagi. Saya masa kecil dulu, selalu bersarapan dengan pulut, kelapa parut dan berlaukkan ikan rebus goreng atau ikan kering plater. Waahh sedap sangat sangat, terutama kalau kelapa parut dimasukkan lebih garam bagi rasa masin masin. 

Jom tengok cara menyediakan pulut kukus untuk dimakan dengan durian. Layaannn...



Pulut Kukus Dengan Durian
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Beras pulut
Secubit garam
2 helai daun pandan
1 sb minyak masak
Serbuk kunyit, jika mahu buat pulut kuning

Cara-cara:
Rendam pulut dalam 1/2 jam ke 2 jam sebelum dikukus. Selepas direndam, gaulkan dgn sedikit garam. Kepada yg nak buat pulut kuning, boleh taburkan serbuk kunyit dan gaulkan.

Masukkan beras pulut ke dalam periuk pengukus yang telah mendidih. Guntingkan daun pandan, jika suka. Kukus selama  15 ke 20 minit.

Angkat dan tuang ke dalam bekas. Renjis renjiskan air sedikit demi sedikit ke atas pulut sehingga pulut nampak kebasahan dan lembut. 

Tuang pula minyak masak ke atas pulut dan gaul rata. Kemudian masukkan semula pulut ini ke dalam periuk pengukus dan kukus lagi selama 15-20 minit. Kalau pulut masih nampak keras, renjiskan sedikit lagi air.

Angkat dan sedia dihidangkan. Pulut akan menjadi sedap, lembut dan cantik. Bolehlah dimakan sebagai pulut durian, pulut pagi atau apa apa yang disukai.







Sotong Butter Untuk Berbuka

$
0
0






Ini pulak projek terbaru anak anak saya yang menyediakan Sotong Butter kegemaran mereka untuk berbuka puasa. Mereka menyediakan sekurang kurangnya sekilo hingga 2 kilo sotong setiap kali. Memang sedap sotong butter ni apalagi di kalangan anak anak remaja yang memang suka rasa butter dan cheese. Bukan sahaja sedap dimakan dengan nasi putih tetapi juga sedap dicicah dengan roti. Jika dibeli, memang agak mahal. Kalau tak silap, satu portion harganya dah pun RM10. Kalau beli, mestilah kurang kurangnya 3 portion. Jadi kalau dibuat sendiri, memang jimat dan dapat di makan berulang ulang kali. 




Kali ini cuma nak tayang gambar gambar cara cara menyediakannya. Kalau nak tengok resepi boleh jer tengok di SINI atau step step yang dibuat dalam entri sebelum ini di SINI














Tadaaa... selamat mencuba



Daging Sekilo Bawang Sekilo

$
0
0





Resepi Daging Sekilo Bawang Sekilo ini saya ambil dari dapur Amie yang memang menpunyai banyak koleksi masakan yang sedap sedap. Walaupun saya dah menyalin resepi ini, agak lama, tapi tiada rancangan untuk membuatnya dalam masa terdekat. Sehinggalah hubby membeli 3 kilo daging yang segar dari sahabat kami. Hubby mencadangkan supaya dimasak untuk dibuat hidangan berbuka dan bersahur di samping untuk masakan rendang. Tunggukan resepi Rendang Daging Perak Istimewa saya di entri akan datang. 




Kali ini saya menggunakan pemanggang ajaib yang dah lama tersorok di dalam kabinet. Dengan ini, kerja memasak daging menjadi lebih cepat kerana ia berfungsi seolah pressure cooker juga kerana wapnya terperangkap di dalam pemanggang. Jadi masa memasak memang menjimatkan.

Sebelum kita tengok resepi, saya ingin kongsikan apa yang dikongsikan oleh Ustaz Said semasa kuliah Subuh di Surau Ad Dhuha. Dikongsikan bahawa kalau kita buat kerja, tapi tidak dapat syurga dari kerja itu, maka ianya adalah tipu daya semuanya. Betapa dunia ini penuh dengan tipu daya. Jadi biarlah apa yang kita buat, semuanya kerana Allah Taala, semuanya kerana perintah Allah. Jadi apa apa pun biarlah berpada pada, jangan dalam hidup ini hanya dikejar duniawi. Jom kita layan resepi dulu....



Daging Sekilo Bawang Sekilo

Bahan-bahan:
1 kg daging - potong kecil-kecil
500ml  santan cair
250ml santan pekat
5 ulas bawang putih - pecahkan dan cincang
1 kg bawang besar - potong kasar-kasar
15 biji cili merah - potong nipis-nipis
3cm halia - tumbuk
5 cm kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
Garam dan gula
1 sudu teh pes asam jawa

Cara cara:
Panaskan sedikit minyak. Tumis bawang putih, halia, kulit kayu manis dan bunga lawang hingga wangi. Masukkan lada merah dan dikacau hingga layu.






Masukkan daging dan bawang. Biarkan hingga daging layu dengan menggunakan api besar supaya bawang dan lada segera hancur.





Kemudian masukkan 500ml santan cair dan perlahankan api. Tutup kuali. Setelah kuah hampir kering dan bawang serta lada menjadi hancur, masukkan pula santan pekat serta garam dan gula serta pati asam jawa. Gunakan api perlahan dan renihkan.







Kacau selalu supaya sebati dan tutup api setelah  kuah pekat dan terbit minyak. Siap dan bolehlah dihidangkan dan enak dimakan bersama nasi impit/ketupat/roti dll.





Nota:
Waktu memasak daging adalah 2 jam tidak termasuk waktu penyediaan bahan.



Kesilapan Dalam Bulan Ramadhan

$
0
0




Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan kesilapan dan kerugian yang dilakukan semasa bulan Ramadhan yang saya olah dari ceramah Ustaz Azmin di Surau Ad Dhuha. Semoga kita sama sama mendapat manafaat dari apa yang dikongsikan ini. Maafkan saya jika ada ketidakjelasan di mana mana kerana ianya berdasarkan apa yang saya salin dari ceramah dan ditulis menggunakan bahasa sendiri. Antara 14 kesilapan yang dilakukan adalah seperti berikut:

1. Tidak menunaikan solat tahajjud ketika bangun sahur. Rugi sangat sangat. Sahur ialah tanda puasa orang beriman. Umat lain tidak ada sahur, hanya umat Islam jer yang bersahur. 

2. Tidak membaca Al Quran. Al Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan selama 22 tahun ... Kita perlu memperbanyakkan membaca Al Quran kerana pahalanya yang sangat banyak. Ganjarannya adalah berdasarkan huruf yang dibaca. Sama jer pahalanya samada kita tahu makna ke tak tahu makna. baca dapat pahala, tengok pun dapat pahala. Baca Al Quran banyak banyak sebagai bekalan. Umat terdahulu diberi lihat berbagai bagai mukjizat tetapi mereka tetap degil. Sedang kita, hanya mempunyai Al Quran, mukjizat yang ada pada umat Islam.

3. Banyak tidur dalam bulan puasa. Jangan terlebih tidur kerana ianya mengurangkan amalan. Kalau tempat banyak maksiat, baik tidur. Tidur sikit, lebih bagus, terutama sebelum zohor sebagai persediaan untuk melakukan Qiamullail.

4. Menganggap tazkirah mengganggu masa jemaah. Nak buat sebelum terawih ke atau selepas. Tazkirah bulan Ramadhan ganjarannya sama dg ibadah satu tahun. Orang yang dah mati ingin balik ke dunia kerana yakin setelah melihat azab. 

5. Tak ingat langsung orang miskin sehinggakan tidak melakukan sedekah atau infak kepada golongan ini.

6. Tidak berselawat. Siapa mendengar nama aku, tapi tak berselawat, mereka adalah orang orang yang kedekut. Ada hadis lain menyebut, Binasa, jika tak berselawat ke atas Nabi SAW.

7. Tak mengucapkan takbir dalam setiap perubahan rukun. Rugi sebab ganjaran sangat besar kerana berapa banyak tasbih kerana setiap sebutan dapat pahala. 

8. Masjid dan surau penuh dalam bulan Ramadhan sahaja. Manakala bulan bulan lain, seolah tidak perlu solat berjemaah di masjid. 

9. Tidak mencari lailatul qadar. Banyak yang oleh dilakukan untuk mencari lailatul Qadr, hatta untuk famili bersahur juga boleh dapat pahala Lailatul Qadr, jika ianya kebetulan masa ianya berlaku

10. Tak sponsor orang makan buka puasa. Suami beli makan untuk anak dan isteri juga dapat pahala. Rugi sangat jika tidak memberi makan pada orang berpuasa. Pangil keluarga buka puasa, dapat pahala. 

11. Isteri hendaklah lebih khidmat pada suami dalam Ramadhan. Isteri buka pintu bila suami balik kerja,pun dapat pahala besar. Adii isteri kena lebih taat pada suami.

12. Buat buat uzur, makan macam orang tak puasa. Ramadhan ada maruahnya. Diharam benda yang halal dilakukan pada bulan Ramadhan. Hormati Ramadhan. 

13. Kerap pergi ke tempat orang ramai seperti bazar Ramadhan, shopping complexes. Ramai orang tak tutup aurat di tempat tempat begitu. jadi jangan kerap ketempat orang ramai kerana ianya boleh mngurangkan. 

14. Kurang berdoa ketika berbuka puasa. Bulan puasa, doa akan dimakbul. Banyak hajat tapi tak guna doa masa bulan Ramadhan untuk mendapatkan apa yang dihajatkan. Minta dengan Allah, jangan malu. Berdoalah dalam bahasa Melayu pun. 


Ayam Goreng Kesukaan Saya

$
0
0





Sejak dari kecil, saya hanya makan ayam yang digoreng bersama garam kunyit dan diletakkan bawang besar serta cili hijau solok lada. Masa dulu, lauk ayam adalah dikira sebagai lauk mewah. Ayam diternak sendiri dan kena mengejarlah sebelum ditangkap dan disembelih. Saya mula makan ayam daging sewaktu darjah 5, apabila abang saya membelinya dari Jabatan Haiwan Bachok. 

Sebab dah terbiasa makan ayam kampung menyebabkan saya lebih suka ayam daging. Lagi pulak, setiap kali arwah bapa menyembelih ayam, memang urusannya sangat banyak. Perlu merebus air untuk mencelur ayam, kemudian bulu ayam dicabut dan akhir sekali ayam disiang. Bahagian yang paling susah sekali ialah untuk mengeluarkan bahagian dalam perut ayam. Tapi kalau ayam daging, semuanya segera dan siap untuk digunakan. 

Masa mula mula kawin rasa pelik juga bila melihat hubby memotong ayam besar besar dilumur garam kunyit dan terus digoreng. Sedang saya akan memotong ayam kecil kecil dan diperap dengan garam kunyit lama sebelum digoreng. Memang ketara sekali perbezaan antara kami dalam menikmati ayam goreng. Jadi sehingga sekarang anak saya pula akan merasa pelik bila saya menyediakan ayam goreng seperti ini. Mereka memberitahu yang mereka suka ayam yang dipotong besar besar. 

Sekali sekala saya teringin untuk menikmati makanan yang dihidangkan semasa kecil dahulu. Memang puas hati dan terasa sedap sekali. Kalau untuk bersahur saya cuma makan ayam ini dengan nasi putih tanpa kuah langsung. Huhuhu tapi anak anak pulak yang tak berapa gemar.... 






Rendang Ayam Untuk Berbuka Atau Hidangan Raya?

$
0
0




Semalam bila saya post di facebook yang saya telah siap memasak Rendang Ayam, ramai rakan rakan bertanya kalau ianya untuk hidangan berbuka atau untuk hidangan hari Raya. Maklumlah kalau kebiasaannya rendang disediakan untuk hidangan di hari raya dan bukan untuk berbuka. Hahaha tapi saya biarkan kawan kawan saya tanpa jawapan dan tertanya tanya. 

Sebelum kita meneruskan berkenaan rendang, ingin saya kongsikan antara petikan tazkirah Ramadhan oleh bekas Timbalan Mufti Perlis berkenaan keistimewaan Ramadhan di tanah suci. Antara lain berpuasa selama sebulan di tanah suci seolah berpuasa 1000 bulan. Manakala solat di Masjid Nabawi mendapat 1000 kali ganda dan Masjidil Haram pula 100000 kali ganda bersolat di tempat lain. Jadi jika berpeluang mengerjakan umrah di bulan Ramadhan, dinasihati supaya memperbanyakkan ibadah seperti tawaf, beriktikaf, solat sunat, solat rawatib, berzikir dan membaca Al Quran sehingga katam yang seolah 100000 kali katam.

Ceritanya hari Ahad lepas saya memasak 3 kilo daging dengan menyediakan Daging Sekilo Bawang Sekilo di SINI dan Rendang Daging Perak Istimewa. Semasa sedang memasak, Nana masuk ke dapur sementara bersiap untuk ke hospital. Kalau dah dibuat rendang, pasti yang ditanya ialah ayam atau daging. Nana bercadang mahu membawa bekal untuk berbuka di hospital kerana ingatkan saya memasak Rendang Ayam. Namun akhirnya, dia bawa juga sedikit Rendang Daging setelah saya meminta dia membawanya. Anak anak saya ni memang menyukai lauk pauk berasaskan ayam. Kalau tak ada ayam, macam tak ada lauk gitew. Sama juga waktu bersahur, kalau dapat ayam goreng pun sudah cukup yang dimakan dengan nasi putih dan kicap. 

Jadi bagi melengkapkan hidangan keluarga, kali ini saya menyediakan Rendang Ayam pula. Saya menggunakan resepi Rendang Ayam Chef Hanieliza. Sebenarnya membuat rendang ni cukup mudah. Cuma sediakan bahan, kisar dan masukkan kesemua sekali ke dalam periuk. Pendek kata, sesiapa pun boleh memasak rendang lah. Lebih lebih lagi, dengan adanya kemajuan teknologi di mana resepi masakan dikongsi di sana sini. Ianya tidak lagi menjadi hak ekslusif anak anak yang ibu mereka pandai memasak. Kalau ibu tak berapa pandai memasak, agak sukar untuk anak anak belajar resepi dan mengorek ilmu dari orang lain. Saya sendiri sewaktu baru baru berkahwin, terpaksa mengorek resepi dari kawan kawan di pejabat dan menyalinnya di dalam buku masakan saya yang masih tersimpan sehingga kini. 




Resepi rendang ini memang sangat ringkas dan lebih cepat disediakan. Kalau cara arwah mertua, bahan bahan akan dihiris nipis supaya kuah rendang lebih berserdak. Jadi ianya agak memakan masa untuk menyediakan bahan bahan. Namun begitu, ianya berbaloi kerana memang sedap rendang yang mempunyai bahan bahan hiris di dalamnya.

Jom kita tengok resepinya di bawah...



Rendang Ayam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A:-
1 ekor ayam (dipotong kecil)
2 cawan santan pekat (dari 1 biji kelapa)
1/2 cawan kerisik
2 helai daun kunyit (disiat)
2 keping asam gelugor 
Gula
Garam secukup rasa

Bahan B (Dikisar):
3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
5 batang serai (ambil bahagian putih/lembut)
3 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
15 tangkai cili kering
15 biji cili api

Cara Memasak:-
Ayam dibuang kulit, dibersihkan dan toskan. Masukkan kesemua bahan (kecuali kerisek, daun kunyit, garam dan gula) ke dalam kuali besar dan kacau sebati atas api perlahan.





Masak hingga ayam lembut dan kuahnya sebati. Kacau sekali sekala. Masukkan garam, gula dan kerisik, daun kunyit dan kacau rata. Sesuaikan rasa. 

Masak hingga kuah agak pekat atau terpulang pada kegemaran masing masing. Tutup api, angkat dan hidangkan dengan pulut, lemang, ketupat.







Rendang Daging Perak Buat Hidangan Pagi Raya

$
0
0





Entri ini mungkin entri terakhir saya di bulan Ramadhan ini. Saya akan berpergian dan Insya Allah jika dipanjangkan umur, kita akan bersua lagi selepas Hari Raya Aidil Fitri. Jadi saya mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan semua, andai ada terdapat tulisan atau komen saya yang mungkin menyinggung perasaan sesiapa yang membacanya. Kadang kadang bila kita menulis dari hati, secara tidak sengaja telah melangkaui had dan ruang diri sendiri kerana kita tidak hidup di muka bumi ini berseorangan diri. Maafkanlah segala keterlanjuran dan tidak sensitifnya saya. Saya juga menghulurkan kemaafan pada semua, walapun saya tahu anda semua tidak pernah berbuat apa apa kesalahan kepada saya.




Berbalik pada resepi rendang Perak yang saya pelajari dari kakak ipar saya, Norazleen, ianya memang antara masakan daging yang sangat saya gemari. Beliau selalu membuat rendang ini untuk dibawa balik ke kampung mertua setiap kali hari raya untuk dimakan dengan lemang atau nasi impit. Saya pernah memasaknya dulu tapi sebab tak menyalin resepi, akhirnya lupa apabila lama tak membuatnya.

Bila berkunjung ke rumah mereka pada hari raya ketiga tahun lepas, saya terus menanyakan resepi dan menyalinnya ke dalam ipad supaya tidak lagi lupa dan boleh dijadikan rujukan oleh anak anak di masa hadapan. Saya suka rendang ini kerana bahan bahan yang digunakan sangat ringkas tapi rasanya sedap. Bukan apa, kadang kadang rendang yang dimasak dengan pelbagai bahan dan berbagai cara masakan tapi hasilnya lebih kurang sama sahaja kesedapannya. Saya sukakan sesuatu yang mudah dan ringkas tetapi sedap kerana masa untuk memasak bukan lah selalu ada. Terpaksa mencuri curi masa yang ada untuk memasak.

Rendang ini saya sediakan sebagai hidangan pagi raya suami dan anak anak yang tercinta. Sekurang kurangnya mereka masih merasa air tangan saya sebagai juadah sarapan di pagi Hari Raya mereka walaupun saya tidak dapat bersama mereka. Selamat Hari Raya buat suami dan anak anak yang sangat saya cintai serta buat semua kawan kawan...

Jom layan resepi dulu...




Rendang Daging Perak
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 kg daging - potong kecil
1/2 kg santan pekat
1/2 kg bawang merah - kisar
1 senduk cili kisar - ikut pedas disukai
Kicap pekat
Sedikit gula
1 - 2 asam keping
Garam, jika perlu

Cara cara:

Rebus daging dengan santan sampai empuk. Tos dan goreng daging seketika. 






Angkat daging dan menggunakan kuali yang sama, tumis pula bawang merah dan cili kisar hingga garing. 







Masukkan daging yang digoreng dan lebihan santan serta kicap pekat. Masuk sedikit gula, asam keping dan sedikit garam, jika belum masin. Masak sehingga agak pekat. 







Angkat dan hidangkan dengan lemang atau nasi impit atau hanya nasi putih. 






Raya 2013 Tetap Meriah Di Villa Nur Qaseh

$
0
0




Gembira kerana melihat suasana raya di Nur Qaseh tetap meriah dengan hidangan dan juadah raya walaupun saya tiada. Alhamdulillah, kepulangan saya disambut dengan jamuan nasi minyak berlaukkan ayam masak merah dan acar timun, lontong, roti jala dan kari ayam, nasi impit bersama kuah kacang dan lemang berserta rendang ayam dan rendang daging. Yang menjadi kesukaan saya ialah lemang jagung yang sangat sedap disediakan oleh penjual yang berasal dari Parit. Hahaha mestilah sedap sebab sama kampung dengan my hubby tuuu.









Selain lauk pauk, terdapat juga kek buah buahan dan biskut cornflakes yang disediakan oleh anak anak untuk hidangan tetamu yang datang berkunjung. 






Alhamdulillah, itu sahaja yang mampu saya lafazkan. Malahan, hubby dan anak anak masih sempat mengadakan jamuan moreh, jamuan untuk malam takbir raya semasa ketiadaan saya. Saya sangat bangga dengan mereka. 





Akhir sekali, selamat menyambut hari raya Aidil Fitri dari saya dan keluarga untuk semua pembaca blog Azie Kitchen walau di mana berada di saat ini.


Suasana Raya Yang Berbeza

$
0
0





Sebelum memulakan coretan yang telah lama ditinggalkan, saya ingin melahirkan rasa terharu kerana menerima banyak mesej yang melahirkan kerinduan untuk membaca coretan terkini di blog saya. Antaranya ialah email yang diterima dari Lin di Johor Bahru, seorang pengikut blog Azie Kitchen yang tulisannya membuatkan saya menitis airmata di Tanah Suci. Saya dapat rasakan keikhlasan beliau yang merindui coretan saya. Setelah beberapa hari kembali ke tanah air, saya masih mencari kekuatan dan ruang masa untuk mula menulis. Saya memerlukan rehat yang secukupnya untuk kembali menulis seperti biasa. 





Hari raya pada tahun ini tidak lagi seperti rutin hari raya tahun tahun sebelumnya. Dengan ketiadaan Bonda Mertua, kami hanya berhari raya di rumah sendiri pada hari raya pertama. Selepas solat Sunat Hari Raya, hubby dan anak anak menziarahi pusara Bonda Mertua di Rawang. Kalau sebelum ini, kami akan balik berhari raya di kampung suami sebelum meneruskan perjalanan balik ke kampung saya. Walau bagaimana pun, kami meluangkan masa untuk balik ke Ipoh pada hari raya ketiga sementara Nana masih bercuti. Di Ipoh, kami singgah di rumah kakak Ipar dan beberapa rumah saudara mara suami. Perjalanan balik ke KL menempuh jalan yang sesak sehingga kami tiba di rumah agak lewat malam.






Sementara masih bercuti, saya juga memutuskan untuk balik ke Kelantan menjengah Bonda walaupun masih dalam keadaan kepenatan dan kurang tidur. Hanya Juita dan Aween yang ikut serta dengan penerbangan Air Asia. Tempahan tiket pada saat akhir menyebabkan harga tiket sangat mahal, namun saya tidak mahu menangguhkan kepulangan ini. Sesungguhnya bakti yang paling besar adalah bakti kepada kedua ibubapa seperti mana hadis yang disebutkan bahawa baginda Rasulullah mengaminkan apa yang diucapkan oleh Malaikat Jibril iaitu celaka lah sesiapa yang masih mempunyai ibubapa tapi tidak menyantuni mereka dan tidak mengambil manafaat untuk masuk syurga dengan berbakti kepada ibubapa. Semoga Allah memberikan saya kebaikan dan kebahagiaan dengan sedikit masa yang saya luangkan untuk Bonda yang dikasihi.

Semasa kepulangan yang singkat ini, saya mengambil kesempatan untuk menikmati makanan dan kuih muih Kelantan kegemaran saya. Ikutinya di catatan perjalanan di entri akan datang...



Viewing all 2131 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>
<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596344.js" async> </script>