Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2129 articles
Browse latest View live

Re-Union Dengan Rakan Sekerja Yang Sangat Meriah

$
0
0




Sejak zaman re-union begitu rancak di sana sini, saya mengelakkan diri dari menghadiri majlis reunion. Namun begitu saya cuba mengambil kesempatan bertemu rakan rakan lama samada rakan sekolah atau sekerja di majlis majlis perkahwinan atau rumah terbuka. Walaupun kami agak aktif dalam persatuan alumni kolej ketiga Universiti Malaya namun ianya bukanlah pertemuan semula seperti kebanyakan reunion yang diadakan sekarang ini. Ini adalah kerana selepas menamatkan pengajian di universiti, kami sering bertemu walaupun tidak di dalam kumpulan yang besar. 






Jemputan menghadiri re-union Jabatan Personel telah membuka hati saya untuk menghadirinya buat pertama kali. Jabatan Personel atau Jabatan Sumber Manusia adalah merupakan jabatan pertama saya berkhidmat selepas menamatkan pengajian. Saya boleh katakan saat yang paling seronok sepanjang perkhidmatan adalah saat berkhidmat di jabatan ini sebelum ramai memilih VSS pada tahun 1997. Atas sebab itu, re-union kali ini secara spesifik adalah untuk staf yang pernah bertugas di Jabatan Personel antara tahun 1988 hingga 1996. Bekerja ketika itu, sangat menyeronokkan, hubungan kami sangat rapat antara satu sama lain. Suasana bekerja sangat berbeza dengan sekarang. Sangat jauh bezanya. Program VSS menyebabkan kami terpisah dan ada yang langsung terputus hubungan. 

Selain kerinduan untuk bersua muka, matlamat utama saya ialah untuk memohon maaf dengan rakan rakan sekerja. Maklumlah bila bekerja yang ada kala nya berada di dalam keadaan stress, tidak dapat lari adanya umpat dan mengata antara satu sama lain. Sementara masih ada usia, saya mencari rakan rakan lama di majlis majlis perkahwinan untuk tujuan yang sama. Banyak yang dibicarakan oleh ustaz ustaz bahawa dosa sesama manusia hanya boleh diminta maaf sesama manusia. Walaupun kita dituntut untuk memaafkan semua orang sebelum tidur, ada baiknya jika kita berkesempatan melakukannya secara berdepan atau jika tidak, melalui WhatsApp pun memadai. Sekurang kurangnya, kita cuba mendapat keampunan dan penghapusan dosa yang mungkin tidak disedari atau disengajakan dek kejahilan diri kita sendiri semasa kita masih hidup. 

Berbalik pada majlis re-union, saya sangat bersyukur kerana dapat menggagahkan diri yang sedang demam untuk hadir. Apalagi bila ramai kawan kawan yang mendoakan kesembuhan saya supaya dapat hadir ke majlis re-union. Masing masing teruja apabila pertama kali bersua setelah bertahun tahun lama tidak mendengar khabar. Walaupun ada antara kami yang masih dalam perkhidmatan, namun pertemuan ini tidak sama dengan pertemuan di pejabat yang masing masing sibuk dengan urusan kerja. Antara yang hadir adalah Encik Che Noruddin, Tengku Zaib, Encik Nasaruddin, Puan Fatimahwati, Puan Rohana Yusoff, Puan Siti Salbiah, Puan Asmawati, Datin Rosie, Puan Sarina Said, Puan Rosnah, Puan Siti Sharifah Zaharah dan ramai lagi yang tidak dapat saya senaraikan. Hampir 40 orang semuanya. Antara yang lama tidak bertemu adalah Kak Halimah yang merupakan jiran saya di pejabat. Work station kami bersebelahan. Ambil peluang bersembang tapi bila nampak sahaja boss lalu, dia akan cepat cepat mengerlingkan mata sebagai tanda isyarat bahawa boss ada di belakang. Hahaha. Tidak seperti sekarang selamba jer bersembang di pejabat atau menelefon waktu bekerja. Sempat juga dia mengajar resepi resepi masakan yang antaranya ialah Pajeri Nenas yang saya salin resepi dan kongsikan di blog di SINI






Akhir sekali, tahniah pada pihak penganjur yang telah mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis ini. Ianya pasti dapat merapatkan lagi ukhwah antara kami. Saya pasti dan yakin mereka akan diberi pahala yang besar kerana memberikan ruang dan platform untuk kami bertemu dan bermaaf maafan antara satu sama lain. Jom kita layan antara gambar gambar yang sempat dirakamkan sepanjang pertemuan kami selama 2 jam. 







Ayam Masak Kicap Mudah

$
0
0




Hari ini saya ingin kongsikan antara petikan yang sempat saya salin dari Ceramah Perdana Ambang Ramadhan oleh Ustaz Zul Ramli. Allah lah yang memilih kita untuk berada dalam majlis Nya. Nabi menyebut majlis ini adalah majlis zikrullah. Ada malaikat yang Allah cipta untuk satu tujuan iaitu mencari majlis zikrullah. Malaikat ini akan datang dan duduk di antara kita dalam majlis ilmu. Mereka datang untuk mendoakan untuk setiap orang. Jadi kita sangat bertuah kerana malaikat mendoakan kerahmatan pada orang yang berada dalam majlis ilmu. Duduk dalam majlis ilmu mendapat doa malaikat supaya mendapat keampunan Allah. Malaikat mendoakan, Ya Allah, jadilah hamba ini diampunkan dosanya. Doa malaikat ini akan meyebabkan hati kita terdetik untuk bertaubat. Malaikat juga doakan keberkatan rezeki. Ianya bermula sebaik majlis bermula dan berakhir bila majlis berakhir. Allah bagi pahala pada seseorang tak sama berdasarkan cabaran untuk dihadapi. Contoh mengantuk dalam majlis ilmu. Alangkah indahnya. Berbaloi mereka yang mengorbankan waktu rehat semata mata untuk berada dalam majlis ilmu. 

Persiapan menyambut Ramadhan. Pernah kah kita minum air teh tapi rasa seperti berminyak. Kenapa Ramadhan yang indah dan lazat tapi kita tak rasa kelazatannya? Apakah kerana Ramadhan atau kerana hati? Begitu juga analogi air tadi, adakah kerana air nya atau mungkin gelas yang berminyak. Masalah yang kita hadapi adalah pada hati. Maka untuk mendapat keseronokan Ramadhan ialah dengan membuat persiapan hati. Kita akan menikmati Ramadhan dengan kita melihat hati kita. Bersihkan hati kita dengan memperbanyakkan istighfar. Kena minta ampun dengan manusia terutama ibubapa. Satu dosa akan memberikan satu bintik hitam. Bayangkan kalau dosa dengan ibu dan ayah. Setiap kesedihan ibubapa yang datang dari kata kata dan perbuatan kita, menjadi dosa tanpa kita sedar. Dosa dosa yang akan menjadikan Ramadhan tidak manis. Inilah masa untuk meminta ampun pada ibubapa. Walaupun ibubapa telah meninggal, perhubungan ibubapa dengan kita bukan pada jarak masa tetapi jarak perhubungan. Diceritakan bahawa seseorang ibubapa yang telah meninggal, tangannya umpama menggapai meminta pertolongan. Jadi perbanyakkan lah membaca Al Quran dan berdoa untuk ibubapa yang telah meninggal. 

Ramadhan adalah proses untuk mendapat taqwa. Apa yang ada dalam Ramadhan yang membawa kita pada taqwa. Iaitu menahan. Contoh menahan nafsu. Nafsu ialah keinginan dan Ramadhan adalah proses mendidik keinginan. Contoh keinginan untuk hadir majlis ilmu adalah juga nafsu. Kebiasaannya kita akan memilih yang tak bagus, antara memilih hadir majlis ilmu atau lepak lepak depan komputer waktu ini. Apa senarai yang perlu dibuat dalam bulan Ramadhan? Antaranya ialah solat terawih, membaca Al Quran, banyakkan bersedekah, Qiam, zikir, berdoa, sahur, perbanyakkan solat sunat dan jangan lupa qadha solat solat yang sebelum ini ditinggalkan.





Sekarang saya ingin kongsikan satu resepi mudah iaitu Ayam Masak Kicap yang sangat mudah. Yang penting, mudah dan sedap. Di bulan Ramadhan nanti, lauk macam ni memang win. Ada ketika tak ada selera makan yang terlalu berlemak dan bersantan, terutama masa bersahur. Masakan lauk berkicap dengan kuah yang cair cair seperti ini juga antara lauk kegemaran anak anak. Ada bermacam macam jenis masakan berkicap, ada yang kuahnya agak pekat dengan dimasukkan cili kisar yang lebih sedikit. Bagi resepi ini, sedikit rasa pedas adalah dari serbuk lada hitam dan cili merah hiris sahaja. Lauk yang ada rasa manis manis kicap memang kesukaan anak anak. Kita yang lebih dewasa yang lebih suka lauk yang ada sedikit pedas.

Jom layan resepi mudah dan sangat digemari oleh anak anak yang telah saya olah seperti di bawah ini...



Ayam Kicap Mudah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam
5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
Rempah penumis - kayu manis, bunga lawang
1 batang halia - ketuk
Garam
Serbuk lada hitam
1 tangkai cili merah - hiris
2 biji ubi kentang - hiris nipis
1 biji bawang besar - hiris nipis

Bahan sos:
Kicap pekat manis
Kicap masin
Sos tiram
Sos cili

Cara cara:
Ayam dilumur garam kunyit dan digoreng. Angkat dan ketepikan. 

Panaskan minyak dan goreng kentang sehingga masak dan keperangan. Angkat dan ketepikan. Kemudian masukkan rempah penumis diikuti dengan bawang merah, bawang putih dan halia hiris serta serai. Tumis sehingga kekuningan dan naik bau. 

Masukkan semua bahan sos dan juga air secukupnya. Biarkan mendidih. Masukkan ayam yang digoreng tadi. Kecilkan api biarkan merenih supaya air ayam mesra dengan kuah. 

Masukkan bawang besar hiris dan cili merah hiris. Tabur serbuk lada hitam. Bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Tabur daun saderi atau daun bawang. 



Ayam Masak Kurma Yang Sedap

$
0
0






Insya Allah lagi 2 hari kita akan melangkah ke bulan Ramadhan. Doakan agar kita dapat masuk ke bulan Ramadhan dan semoga ianya menjadi Ramadhan terbaik dalam hidup kita. Sesungguhnya harga syurga sangat murah di bulan Ramadhan. Sesiapa pun boleh membelinya. Inilah tawaran hebat yang Allah kurniakan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Kuliah di Surau Ad Dhuha di mana Ustaz Mat Som menyebut Allah memanjakan umatnya di bulan Ramadhan. Mukmin yang tahu kelebihan Ramadhan, kalau boleh mahu setiap hari adalah bulan Ramadhan. Seandai manusia tahu apa yang ada dalam Ramadhan, pasti mereka mahu setiap hari adalah Ramadhan. Perbanyakkanlah langkah dan jalan jalan ke masjid. Orang yang seronok dengan kedatangan Ramadhan adalah dikira sebagai amal hati. Orang yang tidak suka dengan Ramadhan adalah dikira maksiat dan berdosa besar. 

Kita perlu merancang apa yang perlu dibuat di bulan Ramadhan. Berapa juz Al Quran yang mahu kita baca. Baca Al Quran dalam bulan Ramadhan akan dapat pahala wajib. Seperti mendapat pahala mendapat pahala bacaan Al Fatihah dalam solat. Membaca surah Al Fatihah dalam dan luar solat, pahalanya tak sama. Setiap satu huruf dapat 10 pahala didarab lagi dengan 70 bagi amalan wajib. Jadi kita kena rancang bagaimana untuk khatam Al Quran. 1 juz ada 10 helai. Setiap kali selepas solat 5 waktu, kita baca 2 helai. Satu hari dapat habis 1 juz. Ibadah sunat dapat pahala solat wajib. 

Teringat pesanan Ustaz Zul Ramli supaya memperbanyakkan doa pada kedua ibubapa hatta yang telah meninggal. Mereka seolah tangan menggapai memohon pertolongan. Teringat kepada arwah ibubapa yang telah mendidik saya. Mereka selain mengajar dan mendidik, juga menunjukkan contoh tauladan pada kami seperti rajin mengaji, solat secara berjemaah dsb. Malahan saya mengaji dengan arwah ayah sendiri. Sangat garang. Jika saya liat atau malas mengaji setelah dipanggil berkali kali, pasti yang akan singgah di belakang adalah penyapu lidi. 

Sekarang masuk bab resepi pulak. Lauk ini dimasak selepas Nana balik dari hospital. Jadi waktu sudah agak lewat petang. Matahari pun dah semakin gelap. Jadi saya agak tergesa gesa, terus menceduk dari kuali dan letak dalam pinggan untuk snap gambar hari ini. Jadi kuahnya kelihatan tidak berapa terbit minyak lagi ketika gambar ini diambil. Selepas itu, saya kemudian menyambung merenih kuah sehingga betul betul pecah minyak. Biasanya anak anak tak suka masakan kurma. Aween pernah minta suruh tukar menu bila diberitahu saya ingin memasak kurma. Tapi memang mengejutkan kerana masakan lauk kurma hari ini habis licin dengan sekali makan sahaja. Teringat semasa arwah ayah masih ada, arwah Bonda suka memasak Kurma Otak lembu. Ini adalah kerana tidak semua orang rajin dan pandai untuk mengerjakan kepala lembu untuk mendapatkan otaknya. Jadi kerana arwah ayah tahu, saya suka makan otak lembu, dia akan menyiangnya seorang diri. Selepas ayah meninggal, tidak ada lagi orang sanggup melakukannya. Sejak itu, saya juga tidak lagi makan masak kurma otak lembu. 

Jom layan resepi yang kami gunakan pada hari ini. Resepi tapi mungkin cara menyediakan berbeza antara seorang dengan yang lain...



Kurma Ayam 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam
5 ulas bawang merah - hiris
4 ulas bawang putih - hiris
1 biji bawang besar - belah 4 tapi jangan putus
2 biji ubi kentang 
1 biji buah tomato - belah 2
Rempah penumis - bunga lawang, kayu manis, buah pelaga
3 sudu besar rempah kurma
1 kotak santan kotak - campur air secukupnya
Garam
Gula
Serbuk perasa
Asam keping
1 sudu kecil kerisik

Bahan kisar:
4 ulas bawang merah
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis dan bawang merah serta bawang putih yang dihiris sehingga kekuningan. 

Masukkan bawang merah dan halia yang dikisar. Kacau rata sehingga wangi. Masukkan rempah kurma. Kacau rata. Tumis sehingga rempah kurma terbit minyak. 

Masukkan ayam, bawang besar dan ubi kentang. Kacau rata dan biarkan sehingga ayam kecut dan naik minyak.



Masukkan santan dan air secukupnya. Kacau rata dan biarkan masak sehingga kuah pecah minyak. Masukkan garam, gula, kerisik dan asam keping. 

Akhir sekali, masukkan buah tomato. Setelah kuah naik minyak cantik, bolehlah ditutup api.




Ayam Masak Lemak Cili Padi Resepi Chef Ridzuan

$
0
0




Memang setiap kali Ramadhan, saya akan mengurangkan aktiviti memasak di dapur. Saya hanya memasak yang ringkas ringkas atau memasak lauk untuk hidangan sahur. Ini adalah kerana anak anak saya suka ke Bazar Ramadhan untuk membeli lauk pauk dan kuih muih. Jadi saya tak mahulah membazir bila terlalu banyak makanan di rumah. Keduanya kerana saya mahu memberi tumpuan pada ibadah bulan Ramadhan. Bila mendengar Hubby mengeluh kerana katanya Bazar Ramadhan tak menarik, tak banyak gerai dan lauk dan kuih yang dijual juga tidak menarik, saya terus meminta Hubby membelikan bahan bahan untuk memasak. Seperti biasa lauk bulan Ramadhan saya adalah lauk yang ringkas tetapi yang digemari oleh anak anak. Itu yang penting. Saya mendapat idea untuk memasak Ayam masak lemak selepas makan ayam masak lemak yang dimasak oleh Chef Ridzuan yang dilantik untuk memasak hidangan berbuka puasa di surau Ad Dhuha. Masak lemak disediakan untuk berbuka pada hari pertama berpuasa di bulan Ramadhan. Rasanya sangat sedap. Saya siap menambah lauk kerana dah berazam untuk mengurangkan pengambilan nasi. Tak senang duduk saya dibuatnya, selagi tidak mengetahui bahan bahan yang digunakan dalam gulai ini. Saya tak pasti kalau ianya masak lemak cili padi asli nogori atau versi masak lemak cili padi yang lain. 





Pada hari kedua, saya kebetulan berjumpa dengan Chef. Apa lagi, pasti soalannya adalah bahan yang diguna untuk memasak masak lemak semalam serta tips. Kata Chef cili padi dikisar sekali dengan tangkai untuk merasai kelainannya dengan masak lemak yang menggunakan cili padi yang dibuang tangkai. Mungkin ini cara Chef yang dah bertahun tahun berpengalaman memasak di hotel hotel. Maklum mereka memasak dalam jumlah yang banyak, jadi cili padi yang dibasuh terus dikisar. Agak saya lah. Hahaha. Menurut Chef, beliau menumis bahan kisar dengan sedikit minyak. Mungkin sebab dia memasak dalam jumlah yang banyak. Lebih mudah jika bahan ditumis. Selain itu, ayam yang digunakan juga tidak dibuang kulit sepenuhnya. Jadi kuahnya memang nampak cukup naik minyaknya berbanding apa yang saya hasilkan. Juga menurut Chef, sedap juga jika menggunakan daging untuk resepi ini.

Sebelum kita layan resepi, saya nak kongsikan sedikit berkenaan antara doa yang patut kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan ini. Saya belajar semasa kuliah Ustaz Ibrahim Muhammad beberapa tahun yang lalu. Sepanjang bulan Ramadhan, doa adalah mustajab. Ada satu detik dalam bulan Ramadhan, di mana Allah SWT akan membebaskan hambaNya yang sepatutnya masuk neraka. Jadi kita berdoa dalam Bahasa Melayu pun tak apa. Ya Allah, masukkan nama aku dan seluruh ahli keluarga ku ke dalam senarai nama mereka yang dibebaskan dari api neraka. Ada ustaz yang mencadangkan supaya kita berdoa semasa setiap kali sujud. Tapi jika di dalam bahasa, doa hendaklah di dalam hati sahaja. Kalau tidak, kita kena berdoa di dalam bahasa Arab, Allahummaj alni, min 'utaqoo ika minannaar. Selamat beramal. Sebanyak mana pun amalan, jika dosa tidak terampun, kita belum terlepas dari siksaan neraka. Jadi matlamat kita adalah untuk mendapat keampunan Allah dan untuk masuk syurga Allah tanpa hisab.

Jom layan resepi yang saya salin dari Chef hari ini. Selamat mencuba semua. Nanti share apa hasilnya, sedap atau tidak ya.   





Ayam Masak Lemak Cili Padi Versi Chef

Bahan bahan:
1 ekor ayam
1 1/2 kotak santan kotak
2 sudu kecil garam atau secukup rasa
1 1/2 keping asam keping
2 batang serai - ketuk
Sedikit serbuk perasa

Bahan kisar:
Segenggam cili padi - Jangan dibuang tangkai
2 inci kunyit hidup
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia - guna sikit sahaja


Cara cara:
Masukkan bahan kisar ke dalam kuali bersama ayam. Nyalakan api perlahan dan biarkan ayam kecut dan masak bersama dengan bahan kisar tadi. Ketika ini, air ayam akan terhasil. Nota: Chef tumis bahan kisar sehingga wangi. 

Kemudian masukkan santan dan air secukupnya, serai dan kacau rata sehingga mendidih. Masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa. Setelah sesuai rasa dan kuah dah cantik, bolehlah tutup api. 




Nota:
Boleh juga menggunakan daging dan diletak ubi kentang untuk resepi ini. 




Sambal Tumis Udang Untuk Berbuka Puasa

$
0
0






Kuliah Subuh Ustaz Basri di Surau Ad Dhuha surah Al Mulk. Saya tidak menulis berkenaan tafsir tapi hanya ingin kongsikan antara petikan yang sempat saya catat semasa kuliah tersebut yang sangat memberi motivasi pada saya, iaitu kelebihan surah Al Mulk yang menjadi peguambela kita dan juga bab rezeki. Ustaz menyebut 2 hadis berkaitan surah Al Mulk di mana Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.” Surah Al Mulk hendaklah dibaca secara istiqamah dengan menjadikan membacanya sebagai amalan kehidupan seharian. Ulama berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak akan beradu melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.” Surah ini ditutup dengan suatu pernyataan yang harus kita renungi bersama: “Katakanlah (Muhammad), Terangkanlah kepadaku, jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?” Bayangkan bagaimana jika ini berlaku? Berapa lama manusia boleh bertahan tanpa air? Dulu saya selalu mendengar arwah Bonda membaca surah ini. Arwah memang menghafal banyak surah surah dan doa doa semasa berbelas tahun tinggal di Pondok Pasir Tumbuh. Hahaha dah melencong sikit ya. 

Sambung lagi dari kuliah tadi di mana Allah sebut tentang rezeki yang kita semua dok risau. Allah boleh bagi rezeki pada siapa yang Allah kehendaki. Dengan mengingati bahawa kuasa mutlak ada pada Allah, akan menjadikan kita orang yang senang dan tenang menjadi hamba Allah. Ini adalah kerana kita yakin semua berlaku dengan ketetapan yang ada pada Allah. Kita tak perlu risau kerana yang menentukan rezeki kita adalah Allah semata, bukan boss. Allah memberi motivasi supaya kita tidak risau akan apa yang Allah akan beri pada kita. Perkara paling penting pada orang Islam ialah untuk memikirkan perkara yang jauh sehingga akhirat. Fikir akan kehidupan selepas mati. Mati adalah suatu yang sangat memberi motivasi bukan melemahkan. Dengan mengingati mati, kita akan menggunakan harta yang ada ke jalan sebaiknya. Harta yang ditinggal pada anak isteri tak boleh memberi manafaat bila kita mati. Itulah sebab orang yang mati meminta satu saat untuk balik ke dunia bagi memberi sedekah semua harta yang ada. 

Allah menyebut siapa paling baik amalannya. Bukan paling banyak amalannya. Contoh, Bagaimana untuk jadikan Ramadhan ini lebih baik dari sebelum nya. Contoh baca Al Quran dengan tafsir sekali. Kalau tahun sebelumnya hanya baca Al Quran sahaja, tahun ini kita lakukan sedikit peningkatan. Jika sebelum ini tidak sempat khatam, tahun ini cuba dengan cara membaca 5 helai dari setiap waktu solat sebagai strategi untuk kita khatam Al Quran. Cari masjid yang imam terawihnya yang boleh memberikan satu perasaan dalam solat kita, bukan masjid yang membuat solat terawih 8 atau 20 rakaat. Begitu juga bila ada ilmu, kita tahu apa yang dikatakan terbaik. Contoh, strategi dengan melewatkan bersahur dan paling cepat berbuka akan memberikan pahala yang lebih pada kita. Nabi Muhammad SAW menyebut dunia, hanyalah jambatan bagi akhirat. Anggaplah dunia tak ada apa. ianya hanya jambatan untuk dilalui sahaja, bukan untuk tempat tinggal. Dunia hanya tempat bercucuk tanam. Kita memerlukan teknik dan strategi untuk menjadi seorang yang paling baik amalannya. Setakat ini dahulu, semga bermanafaat dan jika masih belum mengamalkan membaca surah Al Mulk sebelum tidur, jom amalkannya hari ini juga..

Berkenaan masakan pula, saya hanya meminta Hubby membeli sedikit sahaja udang untuk dimasukkan dalam sayur goreng campur. Tapi bila dibuka plastik yang dibawa balik, ooh banyak lah juga. Memang udang segar boleh disimpan tapi bila dah disimpan tu, rasanya dah lain. Hubby mencadangkan supaya saya menyediakan Sambal Tumis Udang. Saya suka sangat jika diberitahu apa perlu dimasak. Tak payah pening pening kepala nak fikir apa nak dimasak. Pada mulanya Hubby mencadangkan supaya saya memasak lemak udang. Tapi bila diberitahu yang saya telah memasak lemak ayam, dicadangkan supaya saya menyediakan Sambal Tumis. Sambal Tumis memang win di rumah ini, selain dari Paru Goreng Berlada. Kalau ke Bazar Ramadhan, Hubby dan anak anak akan mencari Paru Goreng Berlada.



Cara saya menyediakan sambal tumis mungkin berbeza sedikit dengan orang lain kerana saya menggoreng udang terlebih dahulu. Ini adalah cara keluarga mertua saya bila menyediakan sambal tumis udang. Walaupun udang adalah makanan laut yang manis namun saya terasa sedikit hanyir jika udang terus dimasukkan ke dalam sambal. Jika dimasak lama, udang pula akan menjadi kecut dan tak cantik. Jom layan resepi mudah cara saya menyediakan Sambal Tumis. Apa apa pun sambal yang sedap, mesti ada sedikit manis berbanding masin dan masam.




Sambal Tumis Udang

Bahan bahan:
Udang
1/2 mangkuk cili kering kisar
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 sudu besar gula pasir
1 sudu kecil garam 
1/2 keping asam keping 
Sedikit serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang seketika, angkat dan ketepikan. Jangan lama lama, cukup sekadar bertukar warna.Menggunakan kuali yang sama, tambah lagi minyak masak secukupnya, tumis bawang besar dan bawang putih yang dikisar sehingga agak agak masak. 

Masukkan pula cili kering dan tumis dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak. Memang menumis memakan masa yang lama.

Masukkan satu sudu gula terlebih dahulu, kacau seketika. Tujuan saya memasukkan gula adalah untuk menjadikan sambal berwarna cantik. Kemudian masukkan sedikit air, garam, gula dan asam keping. 

Dan akhir sekali, masukkan udang dan biarkan seketika. Kemudian tabur sedikit serbuk perasa, jika suka. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.



Selamat berbuka puasa kepada semua.




Puding Roti Milo Yang Sedap

$
0
0





Kuliah Zohor Ustaz Zawawi hari ini. Apabila Hambaku bertanya kepada mu tentang Aku, maka Sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku akan perkenan apa sahaja permintaan hambaKu. Bukan sahaja Allah mendengar tapi Allah akan perkenankan doa dan hajat hambaNya. Tapi berdoa juga mesti ada kualiti. Orang berdoa dengan meletak diri sebagai hamba, pasti doa nya akan diperkenankan. Adakah kita ketika mengucap doa adalah menpunyai perasan hati seorang hambaNya yang lemah. Apa ciri ciri seorang hamba? Cirinya adalah orang yang memerlukan. Contoh nak pergi Haji tapi dalam akaun tabung haji hanya ada rm500 sahaja. Agak agak bila kita buat rayuan pada Tabung Haji, apa yang kita nak tulis. Ungkapan berbeza, surat rayuan juga berbeza antara orang yang ada duit saving RM50k dengan RM500. Doa sebelum berbuka dan selepas berbuka pasti berbeza dari segi nada suara dan ungkapan. Di mana kedudukan hati kita semasa kita berdoa. Ada orang berdoa selepas solat, di mana berdoa sambil tangan melipat sejadah dan ada yang tengah buka WhatsApp. Ianya menunjukkan tangan tidak turut sama memohon. Macam mana doa hendak dikabulkan. Kita sepatutnya bermohon sebagai seorang hamba yang tidak punyai apa apa. Kedua kita minta banyak perkara berdasar apa yang kita perlu. Adakala doa kita bercanggah antara satu sama lain. Hari ini kita minta ini tapi esok kita minta itu pulak. Tapi Allah perkenankan doa bergantung pada penilaian Allah. Allah bagi hidup kita berdasar apa yang baik pada kita. Juga kita meminta sesuatu yang bukan milik kita. Contoh kita minta diberi kesihatan yang baik. Kesihatan yang baik adalah bukan milik kita. Ketiga diganti dengan perkara lain. Cth kita minta A tapi dapat B. Allah beri berdasar ilmu yang luas. Masa berdoa dalam keadaan kita tak mampu tahu samada baik atau tidak. Hanya serah pada Allah. Mohon sebagai hamba yang tidak punya apa apa.





Satu hari selepas berterawih, saya ambil keputusan untuk minum minum dan makan moreh dulu. Ternampak agar agar yang dihidangkan. Bila saya mengambil seketul, aduuh sedap lah pulak. Ambil lagi seketul. Hahaha. Balik dari surau dengan gigihnya ambil ipad dan terus tanya pak cik Google, kot ada jawapan agar agar apa kah itu. Tapi cari punya cari, tak dapat clue pun. Rasanya macam ada seperti agar agar buih juga, ada juga rasa roti sikit sikit. Saya pun syor pada Juita untuk membuat agar agar atau puding sebab boleh juga saya bawa ke surau untuk berbuka. Itulah cerita bagaimana puding ini terhasil. Saya tak berapa gemar chocolate emulco, jadi guna milo yang memang ada stock di rumah. Alhamdulillah laku juga. Jiran saya Dato Shoib yang kebetulan berbuka di surau hari itu, memberi feedback sedap. Alhamdulillah, risau lah juga sebab kita tak dapat nak merasa dulu kan. Balik dari surau, baru saya dapat merasa. Secukup jer rasa manisnya. Sebenarnya puding atau agar agar adalah kuih yang mudah, cepat disediakan dan yang paling penting sangat mesra dengan tekak waktu berbuka, lebih lebih lagi jika dihidang sejuk sejuk. Memang win... Kalau mahu tengok resepi Puding Batik yang seakan sama dengan resepi ini, boleh klik di SINI. Cuma Puding Batik, tidak menggunakan roti.

Jom layan resepi puding yang sedap di bawah ini. Selamat mencuba...




Puding Roti Milo

Bahan bahan:
10 gram agar agar serbuk
3 cawan air
1/2 cawan gula kaster
2 sudu besar mentega
1 sudu kecil esen vanila
1/4 cawan serbuk milo - bancuh dengan sedikit air panas

Bahan kisar:
1/2 cawan air
2 biji telur
4 keping roti
3/4 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat

Cara-cara:
Masak serbuk agar agar bersama air dan gula kaster sehingga mendidih. 

Kisar roti, telur, susu pekat, susu cair dan  air. Kemudian tuang ke dalam periuk agar agar yang telah mendidih tadi. 

Masukkan mentega dan kacau rata hingga mendidih lagi.  Padamkan api. Bahagi kepada 2. satu adunan biarkan warna asal dan satu adunan masukkan milo yang dibancuh dengan 1 sudu air panas supaya tidak berbiji. 

Ambil 1 senduk warna asal dan tuang di tengah tengah loyang. Kemudian ambil 1 senduk adunan milo dan tuang di atas warna lapisan asal tadi. Buat secara berselang seli sehingga habis. Kena cepat sebelum adunan menjadi beku.

Setelah siap, masukkan dalam peti sejuk sebelum dipotong dan dihidangkan.  

Nota:
Boleh ganti Milo dengan koko atau nescafe, ikut yang disukai





Ayam Percik Dari Dr Nana Untuk Hidangan Berbuka

$
0
0





Kuliah Zohor Ustaz Dr Mohd Azmi Mat Sah kita harus bersyukur kerana dijadikan orang beriman, sebagai seorang Islam dan syukur kerana menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Alam diciptakan kerana adanya Rasulullah. Adanya Ramadhan juga kerana adanya Rasulullah.Maka seharusnya kita memperbanyakkan bersyukur. Ustaz memulakan dengan menyebut di hari hari dan minggu pertama Ramadhan, orang penuh di masjid dan surau. Kenapa jadi begini? Ramai orang tertipu dengan syaitan. Kita berlumba lumba untuk melakukan amalan sunat. Sedang amalan fardhu lagi besar. Meeka yang ramai memenuhi masjid kerana nak solat terawih atau kerana nak solat Isyak. Kalau kerana Isyak, kita tengok selepas raya. Masih ramai tak orang solat di masjid. Mudah mudahan dengan berkat Ramadhan, orang akan ramai di masjid. Bila anak puasa, ibubapa akan memberi ganjaran hadiah tapi bab solat kita tak pula bagi hadiah. Sedang solat anak anak di suruh solat sejak umur 7 tahun. Ibubapa boleh bertolak ansur dengan solat. Inilah kesilapan dalam mendidik. Bersungguh sungguh mendidik anak berpuasa tapi tak memberatkan didikan solat. 

Ustaz juga mengupas berkenaan perbezaan amalan di bulan Ramadhan dengan hari biasa di mana amalan sunat diberi pahala wajib. Di bulan Ramadhan, 70 rakaat solat sunat baru sama dengan 1 solat fardhu. Kalau kit amelakukan solat terawih 8 rakaat di surau, balik sambung solat terawih di rumah. Ianya boleh dilakukan sehingga masuk azan Subuh. Jadikan solat terawih itu sebagai Qiamullail. Orang mukmin bila berada dalam masjid umpama ikan di dalam air. Ikan bila berada dalam air akan berenang renang dengan tenang. Kalau ikan keluar dari air, tanda ikan nak mati. Manakala orang munafik pula, bila berada dalam masjid umpama burung dalam sangkar yang tak tahan macam cacing kepanasan. Cepat jer nak keluar hingga tak sempat nak berzikir pun selepas solat. Suedang ustaz pesan supaya selepas solat, jangan lupa beristighfar. Kalau nak tahu macam mana orang dulu dengan Al Quran. Umpama orang sekarang dengan hand phone yang tak boleh berenggang.






Walaupun saya berbuka puasa di surau, tapi saya tak risau kerana Nana menyediakan pelbagai lauk pauk untuk berbuka. Kebetulan Alain juga rajin menolong dia di dapur. Boleh klik di SINI untuk melihat entri lepas menggunakan resepi yang sama mengikut cara yang diajar oleh Cikgu Asmat. Resepi ini telah bertahun tahun lamanya saya simpan. Masa tu, cikgu Asmat memasak Ayam Percik di rumah Kak Hasnah atas permintaan kami. Teringat ayam percik cikgu Asmat yang dijual di Bazar Ramadhan di Pasar Jelawat, memang sedap. Tak pasti kalau dia masih berniaga di Bazar Ramadhan. Maklum dah lama saya tak balik kampung sebelum raya. Jika suka, ayam percik Kelantan yang berwarna putih, boleh klik di SINI. OK lah bulan Ramadhan ni, tak larat nak menulis banyak banyak.

Jom layan resepi ayam percik Kelantan yang sangat sedap dan agak sukar ditemui di sini. Kalau adapun dijual, ianya tidak rasa seperti ayam percik original dari Kelantan....





Ayam Percik Kelantan

Bahan bahan:
1/2 ekor ayam - potong 2 atau yang disukai
Garam secukupnya
Gula - guna dalam 2 sudu besar kena ada rasa sikit manis
1/4 keping asam keping - letak sekejap dan dikeluarkan takut terlebih masam
2 kotak santan kotak - kalau guna santan pekat perah, lagi sedap

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang serai - guna separuh jer (boleh juga diketuk sahaja)
3 - 4 tangkai cili kering

Cara cara:
Kisar semua bahan kisar bersama sedikit santan pekat. Masukkan gula, garam dan air asam jawa/asam keping. Tuang separuh dari bahan kisar atas ayam dan rebus. 

Setelah ayam masak, keluarkan dan bolehlah ayam dibakar. Nota: Resepi tradisional ayam yang diperap dengan garam dan bawang putih dikukus seketika sebelum dibakar. 

Separuh lagi bahan kuah dimasak atas dapur dengan api perlahan sambil terus dikacau. Masak sehingga kuah pekat. 

Masukkan asam keping, garam dan gula. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 

Ayam rebus dibakar dan bila ayam mulai sedikit keperangan, lumur bahan kuah merata rata dan bakar lagi seketika. Terbalikkan ayam dan dilumur bahan kuah lagi secara berulang ulang di kedua dua belah.

Bolehlah diangkat untuk dihidangkan.

Nota:
Jika suka kuah untuk dicicah, bolehlah ketepikan sedikit kuah percik. Sebab versi original Kelantan, kuah percik memang melekat di ayam atau ikan.






Ikan Siakap Stim Yang Mudah Dan Sedap

$
0
0





Saya nak sambung petikan dari kuliah zohor oleh Ustaz Dr Mohd Azmi Mat Sah. Disebutkan Nabi mengamin doa malaikat Jibril sebanyak 3 kali. Sebenarnya perkara ini telah banyak kali ditulis dan tapi berapa ramai antara kita yang mengamalkannya. Jadi saya akan tulis di sini berdasarkan kupasan Ustaz. Amin yang pertama ialah celaka orang yang mendapat Ramadhan tapi dosa tak diampun. Antara 1 Ramadhan dengan 1 Ramadhan yang lain, Allah akan ampunkan dosa kita. Risau kot mati tak sempat Ramadhan. Bila masuk Maghrib, syukur kerana aku dah masuk Ramadhan. Allah nak bagi keampunan dalam Ramadhan pada kita dengan setiap hari dicurahkan rahmat. 11 bulan kita tak pernah tunggu azan Maghrib tapi bulan Ramadhan, kita akan tunggu azan Maghrib. Ramadhan didik kita menjadi orang bertaqwa. Ramadhan akan tentukan kekuatan kita untuk 11 bulan akan datang. Orang berhutang, macam nak confirm yang kita akan hidup hingga hutang habis. Dengan Ramadhan, bila kita rajin bersedekah Allah akan selesai kan masalah hutang. Allah akan tunjuk cara untuk selesai hutang. Lagi satu ustaz pesan supaya kita mengamalkan doa dalam Al Quran yang Allah ajar. Doa sendiri boleh tapi ambil di dalam Al Quran. Juga doa yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat. Bulan Ramadhan baca doa Allahumma Inni Asluka Ridha Kawal Jannah Wana ‘uuzubikamin sakhotikawannar. Keluarkan suara dalam berdoa akan dapat pahala sedekah. Dengan Allah minta direct jer tapi ayat kenalah betul. Minta yang besar besar kerana Allah Maha Kaya. Mohon dengan Allah supaya ampunkan dosa kita. Amin Rasulullah yang kedua ialah celaka orang ada ibu masih hidup tapi tak dapat syurga kerana tak berbakti kepada kedua ibubapa. Ada dua jalan ke syurga. Iaitu jalan ibu dan jalan ayah. Redha Allah bergantung pada redha ibubapa. Redha suami akan dapat redha Allah. Anak anak taat pada ibubapa, syurga lah balasannya. Ibubapa adalah bonus untuk anak anak masuk syurga. Mencari redha, apa yang dikatakan redha? Redha dalah make them happy. Apa apa yang mereka suka. Amin yang ketiga ialah celaka bila sebut nama aku, tapi tidak berselawat kepada ku. Selawat akan menjadikan kita seorang yang hebat dunia dan akhirat. Jadi jangan lupa berselawat ketika solat terawih. 

Bulan Ramadhan ni, saya lebih suka berbuka dengan suatu yang lebih simple seperti kuah kicap, kuah seperti sayur air atau masak lemak yang simple. Tidak terlalu berempah. Telah bertahun tahun saya tidak berbuka puasa secara buffet di luar, apalagi di hotel hotel. Kalau berbuka puasa di luar pun, hanya kawasan berdekatan dengan rumah supaya saya masih boleh ke surau selepas berbuka. Itu pun sebab saya mahu mengembirakan suami dan anak anak sahaja. Jika tidak saya suka berbuka puasa di surau sahaja bersama sama rakan jemaah. Saya rasa membazir makan di buffet, makanan banyak yang nampak sedap tapi sebenarnya tidak mampu pun untuk kita nikmati keenakannya. Ia nya terjadi sebab terlalu banyak makanan yang dimakan dalam masa yang sama. Bila menyebut masakan stim yang pasti terbayang adalah ikan siakap. Boleh juga guna ikan lain seperti kerapu, bawal tapi ikan siakap paling sinonim dengan masakan stim. Yang paling paling utama ialah mendapatkan ikan yang segar supaya terasa kemanisannya. Masakan stim tidak hanyir. 

Jom layan resepi yang digunakan hari ini...




Ikan Siakap Stim
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan Siakap - kelar
Daun ketumbar - tabur
1 biji imau nipis - hiris hiasan

Bahan Kuah:
1/2 biji bawang besar -hiris
3 ulas bawang putih - hiris
2-3 tangkai cili padi - hiris
3 helai daun limau purut - carik
1 biji limau nipis - ambil jus
1-2 batang serai - potong serong
1 inci halia - hiris
1 sudu besar sos ikan
1/2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu besar kicap
Garam 
Gula

Cara cara:
Masukkan sedikit dari bawang, halia dan serai untuk disumbat ke dalam perut ikan dan kukus selama 15-20 minit atau sehingga ikan masak. 

Tuang bahan bahan kuah ke atas ikan dan kukus beberapa minit lagi. 

Angkat dan taburkan daun ketumbar dan hias dengan hirisan limau nipis. 







Butter Chicken Yang Sedap Kegemaran Anak Anak

$
0
0






Kali ini saya ingin kongsikan sedikit petikan yang saya catat dari Kuliah Subuh di Surau Ad Dhuha oleh Ustaz Dr Zainuddin. Dalam surah Al-Layl ada huruf sumpah. Lepas sumpah, baru Allah cerita. Berbeza dengaan sumpah hamba di mana kita akan cerita dulu, baru bersumpah. Allah bersumpah dulu. Kebanyakan ayat yang ada sumpah turun di Mekah kerana ketika itu, orang Mekah belum kuat keimanan. Ayat ayat yang diturunkan di Madinah, tiada ayat sumpah. Demi Allah, bila malam nampak tenang, demi siang bila nampak cerah, demi lelaki dan perempuan. Tiada manusia yang boleh membuat malam. Matahari dan bulan akan keluar dengan taat dan ikut perintah Allah. Binatang juga diatur, di mana ada yang keluar di siang hari dan ada keluar waktu malam hari. Yang susah untuk ikut perintah Allah adalah manusia yang sombong. Hikmah dijadikan bulan Ramadhan bukan untuk menyusahkan tapi memudahkan manusia menjadi seorang hamba. Jibril buka satu sayap dah gelap kerana ditutupi oleh sayapnya. Malaikat yang menjaga arasy lagi besar. Namun begitu, Malaikat tak sombong seperti manusia. Orang yang bertaqwa ialah orang yang melakukan apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang. Allah hanya menerima ibadah orang yang bertaqwa sahaja. Tapi apa kah Taqwa kita telah diiktiraf dan diterima oleh Allah? Inilah yang perlu kita fikirkan.

Jadi kita kenalah memperbanyak melakukan amalan sunat kerana lagi banyak amalan sunat, lagi banyaklah untung yang kita akan dapat. Kita melakukan amalan sunat, untuk tambah keredhaan Allah, diberi rahmat dan di sayang Allah. Jadi solat terawih kena buat betul betul. Terawih solat istirehat tak perlu baca laju. Amalan wajib pula dibuat sebagai membayar hutang. Kata Rasulullah semua manusia akan binasa kecuali yang banyak ilmu, yang rajin belajar dan yang beramal dengan ikhlas. Kita datang majlis tahlil dan duduk sampai habis lebih baik pahalanya dari solat sunat 1000 rakaat. Bayangkan betapa besarnya ganjaran untuk orang yang menuntut ilmu. Disentuh juga kisah seorang pemuda yahudi beribadah selama 500 tahun dengan taat. Beliau ingin masuk syurga dengan amal ibadah yang dibuat selama 500 tahun. Malaikat hitung dengan amalan yang dia ada, hanya layak sebelah mata jer untuk masuk syurga. Kita pulak dengan amalan yang betul tapi tak betul betul. Jangan sombong dengan ibadah. Jangan pandang orang tak beribadah dengan sombong. Bila laungan azan HAYYA 'ALASH-SHALAAH, kita akan menjawab "LAA HAULA WALAA QUWWATA ILLAA BILLAAH" iaitu, tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah". Ini adalah kerana atas sebab petunjuk Allah kita dapat datang ke surau untuk menunaikan solat. Jadi kena banyak bersyukur kerana Allah telah memilih kita.




Sekarang meh kita masuk bab masakan pula. Bila saya balik dari pejabat, saya ke dapur dan melihat ketiga tiga anak saya sedang di dapur. Saling tolong menolong. Nana menyediakan ikan siakap stim, Juita sedang menyediakan bahan kuah untuk Butter Chicken dan Boy pula sedang menggoreng ayam celup tepung untuk Butter Chicken. Di bulan Ramadhan, memang anak anak rajin ke dapur. Saya pula yang terpaksa mengurangkan aktiviti di dapur. Jalan yang agak jam, sampai rumah dah pukul 6. Lepas berehat sekejap, saya akan bersiap siap untuk ke surau. Saya berbuka bersama rakan jemaah di surau. 

Berbalik pada Butter Chicken, seperti mana kita tahu, masakan Butter Chicken memang mahal jika di order di restoran. Tapi untuk membuatnya tidak lah susah cuma banyak proses seperti menyediakan ayam celup dulu dsb. Tapi saya memang mengesyorkan agar anda semua menyediakan sendiri hidangan ini di rumah. Selain dapat berjimat, juga boleh makan sepuas puasnya. Boleh klik di SINI untuk resepi Butter Chicken yang agak berbeza dengan resepi kali ini. Kedua duanya pun sedap. Bolehlah anda mencuba kedua duanya sekali.  Cuma jika tak tahan pedas, bolehlah gantikan cili padi dengan cili merah. 

Jom layan resepi yang saya gunakan kali ini. Selamat mencuba.. 





Butter Chicken
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A:
Ayam - bahagian isi
Tepung segera 
Telur

Bahan B:
5 sudu besar mentega
4 ulas bawang putih - cincang
5 tangkai cili padi - hiris (boleh ganti cili merah)
1-2 tangkai daun kari
1 tin susu cair - bergantung pada kuantiti ayam
1 sudu besar tepung jagung - bancuh dg sedikit air - opsyenal
Garam
Gula


Cara cara:
Ayam dicelup ke dalam telur dan golek dalam tepung. Ikut arahan di kotak pengbungkusan. Panaskan minyak dan goreng ayam yang telah dicelup tepung hingga garing. Angkat dan ketepikan.





Panaskan kuali dan masukkan mentega dan tumis bawang putih dan cili padi sehingga kekuningan dan naik bau. Masukkan susu cair dan kacau dengan api perlahan. 

Masukkan daun kari, garam dan gula secukup rasa. Jika suka pekat, masukkan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air. 





Masukkan ayam yang digoreng tadi ke dalam kuah dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.




Kari Daging Yang Sedap

$
0
0





Begitu cepat masa berlalu, Ramadhan telah menghampiri pertengahan. Ramadhan adalah pesta ibadah yang mana manusia berlumba lumba untuk meraih sebanyaknya pahala. Sempena bulan Ramadhan, ramai sekali yang mengerjakan umrah kerana pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadhan menyamai dengan mengerjakan Haji bersama Rasulullah. Sangat hebat. Jadi sesiapa yang berpeluang untuk ke Tanah Suci samada untuk mengerjakan umrah atau mengerjakan Haji, jangan lepaskan peluang untuk memaksimunkan amal ibadah semasa berada di sana. Persediaan awal sangat penting seperti bersedia dengan doa doa dan zikir zikir serta solat solat yang akan dibuat sepanjang berada di sana. Perbanyakkan sujud di Masjidil Haram yang pahala digandakan kepada 100,000. Di sini saya ingin kongsikan berkenaan dengan zikir zikir Rabbani yang perlu dibaca sebanyak 100 kali setiap hari dan juga persediaan yang perlu dibuat. Ianya saya ambil dari video Ustaz Jafri Abu Bakar yang saya dengar berulang kali. Zikir zikir tersebut adalah zikir istighfar iaitu Astaghfirullahal adziim. Kedua, Subhanallahi Wabihamdih Subhanallahil Adzim Astaghfirullah yang merupakan zikir yang ringan di lidah tapi berat di timbangan. Allah akan ampun dosa walaupun ianya sebanyak buih di lautan. Ketiga, Laillaa haillah. Keempat, Hasbunallaahu waniqmal wakeel. Kelima Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaahaillallah Wallaahuakbar. 4 kalimah yang akan menanggalkan dosa seperti tertanggal daun daun kering dari pokok. Seterusnya, La hawla walaa Quwwata Illa Billahil aliyil adziim dan akhir sekali, selawat ke atas baginda Nabi Muhammad SAW iaitu Allahuhhama sholli alaa Saidina Muhammad Waalaa Aali Saidina Muhammad. Memang banyak buku buku bab zikir Mathurat pagi dan petang, tapi saya lebih suka menyenaraikan zikir di atas sekeping kertas dan merujuknya semasa berzikir. Bila kita punya masa yang terhad, kita perlu fokus pada zikir yang kita ingini sahaja. 

Manakala persediaan yang perlu dibuat adalah terbahagi kepada 4 jenis iaitu fizikal. Kita akan mengguna banyak tenaga untuk melakukan tawaf dan Saei di tengah jutaan manusia. Sebelum pergi, mulalah melakukan sedikit exercise seperti jogging. Takut sakit bila sampai di sana. Kedua, persediaan dari segi amalan. Kita mahu maksimunkan amalan di sana. Kena mula dari sekarang supaya ianya lekat di sana seperti mula baca Al Quran dan solat tahajjud. Ketiga, ekonomi. Niat bawa duit untuk sedekah pada jemaah di sana. Boleh ditukar duit kecil siap siap untuk diberi pada jemaah miskin dari negara lain yang duduk di tepi tepi masjid.  Satu satunya amalan yang Allah jamin pahala segera adalah sedekah. Di dunia, dah dapat ganjarannya. Bayangkan satu sedekah boleh dapat sehingga 70 juta pahala, iaitu 1x700x100,000. Akhir sekali, Ilmu. Supaya bila sampai sana, dah siap sedia dengan apa amalan yang kita nak buat. Amalan harian apa yang nak dibuat. Solat sunat apa yang hendak dikerjakan dsb. Semoga bermanafaat.

Sekarang kita masuk pula bab masakan. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, sudah terbau aroma masakan Nana yang sedap yang membuatkan air liur menjadi kecur. Hahaha. Saya terus menjenguk ke dapur dan melihat Nana telah menyiapkan Kari Daging yang sangat perfect pada saya dari segi penampilannya. Kepekatan kuah yang cukup dan cantik. Kuah kari seperti ini juga sedap dicicah dengan roti jala atau roti canai. Untuk menghasilkan kari seperti ini memerlukan praktis dan praktis. Jika tidak menjadi, cuba lagi dan cuba lagi. Gambar di ambil dah malam. Jadi agak kurang cantik kerana tiada lagi cahaya semulajadi. Boleh klik di SINI, untuk melihat entri resepi Kari Ayam yang sedap. Satu yang mesti diingat, rempah kari mesti benar benar masak baru sedap. Jadi jangan bancuh dengan air, sebaliknya masukkan rempah kari kering. Baru rempah akan garing dan wangi.

Jom layan resepi dan cara menyediakan Kari Daging di bawah ini. Selamat mencuba...




Kari Daging 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/4 kg daging
2 biji ubi kentang
4-5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 inci halia - hiris
Rempah penumis - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
1 tangkai daun kari
3 sudu besar rempah kari daging 
1 kotak santan kotak
1 keping asam keping - atau air asam jawa
Garam
Serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis dan bawang bawang, halia yang dihiris serta daun kari. Tumis sehingga naik bau. 

Masukkan rempah kari serbuk dan kacau rata dengan cepat supaya tidak hangit. Kemudian, baru masukkan sedikit air. Biarkan ianya mendidih dan pecah minyak. Nota: jangan bancuh rempah kari dengan air, biarkan kering.

Setelah itu, dimasukkan daging. Terus masak sehingga daging empuk. Jika perlu, boleh masukkan sedikit santan cair semasa daging sedang masak. 

Setelah daging hampir empuk, masukkan santan, air secukupnya dan ubi kentang. Biarkan ianya masak dan daging empuk dan kuah benar benar terbit minyak. 

Akhir sekali masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa secukupnya. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api.





Selamat mencuba... 



Sayur Goreng Campur Untuk Hidangan Berbuka Puasa

$
0
0






Insya Allah entri ini adalah entri terakhir dari saya di bulan Ramadhan ini. Jika diizin Allah saya akan berangkat untuk menunaikan ibadah umrah pada hari Sabtu. Jadi di kesempatan ini, saya memohon ampun dan maaf andai ada tulisan saya selama ini yang menyinggung sesiapa atau ada kekasaran bahasa dalam penulisan. Maklum lah saya menulis secara spontan dengan tidak ada masa untuk edit. Saya juga berharap agar anda dapat meluangkan masa membaca perkongsian ilmu dari majlis ilmu yang saya hadiri. Ianya berdasarkan apa yang disalin dan bukan tafsiran saya sendiri. Ambik yang baik sebagai manafaat yang kurang adalah dari saya sendiri. Juga doakan agar saya dipermudahkan sepanjang mengerjakan ibadah di Tanah Suci. Semoga saya diberi kelapangan untuk bersolat di dalam masjid Nabawi dan Masjidi Haram, diberikan kekuatan fizikal dan minda, juga diberikan kesihatan yang baik. Aameen. Doa yang sama juga untuk sahabat sahabat dan para mukminin dan mukminat yang sedang mengerjakan ibadah umrah. Aameen. Maklumlah pada akhir Ramadhan, manusia dari pelbagai pelusuk dunia terlalu ramai yang mengunjungi Mekah. Jutaan manusia dengan satu tujuan, untuk mencari keampunan pada dosa dan mendapat syurga Allah....





Selain Ayam Masak Lemak di SINI dan Udang Sambal Tumis di SINI, saya juga menyediakan Sayur Goreng Campur. Hidangan sayur adalah hidangan wajib dalam menu di rumah ini. Rasa tak lengkap tanpa hidangan sayur. Aween dengan Juita memang suka makan sayur. Lagi pulak lauk sayuran jika dibeli di Bazar Ramadhan, dah lah tak sedap dan harganya mahal pula. Jadi hidangan yang disediakan tak sampai 10 minit, elok disediakan sendiri di rumah. Bolehlah dicampurkan pelbagai sayuran yang ada dalam peti di rumah kita.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Resepi campak campak sahaja. Tiada yang istimewa pun...




Sayur sayuran Goreng Campur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
5-6 ekor udang
6-8 batang kacang panjang
Sedikit kubis
1/2 batang karot
2-3 batang jagung
1 batang cili merah
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
Sedikit sos tiram
Sedikit serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang telah dihiris. Tumis sehingga wangi. Masukkan udang dan kacau rata. 

Kemudian masukkan sayuran mulai dari yang agak keras hingga yang lembut iaitu karot, jagung, kubis dan akhir sekali kacang panjang. 

Tuangkan sedikit sos tiram dan serbuk perasa. Akhir sekali, tabur cili merah hiris dan sedia untuk tutup api supaya sayur tidak terlalu lembut. Sedia untuk dihidangkan. 




Puding Karamel Azie Kitchen Yang Sangat Sedap

$
0
0






Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua follower blog Azie Kitchen. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum. Semoga Allah menerima puasa kita dan menjadikan kita kembali dalam keadaan suci dan termasuk orang orang yang mendapat kemenangan. Aameen. Sejak balik dari menunaikan umrah Ramadhan lalu, saya masih belum mendapat mood untuk mengemaskini blog. Banyak jer lauk pauk dan kuih muih yang telah disediakan. Tapi mood untuk berblog belum datang lagi. Semoga sokongan anda semua akan membuatkan saya bersemangat untuk menulis kembali. Secara jujurnya, saya masih dalam mood umrah di Mekah dan Madinah. Malahan tidur malam juga masih termimpi seolah saya masih di sana, berkejaran waktu untuk ke masjid, berebut dan berhimpit himpit waktu beriktikaf. Belum lagi berebut rebut untuk mengisi air zam zam yang sentiasa penuh dikerumuni. Suasana itu, masih terbawa bawa dalam diri saya sehingga ke waktu tidur. Saya masih merindui kurma sukkari yang dijamah waktu berbuka puasa, masih dahagakan air zam zam, masih rindukan solat berjemaah di Masjidil Haram. Walau pun penat yang tidak boleh digambarkan dengan kata kata, namun saya sangat tenang dan bahagia di sana. Saya redha atas segalanya. Saya berdoa agar saya dijemput lagi untuk ke tanah suci...
   





Kali ini saya ingin kongsikan resepi Puding Karamel yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Dua hari berturut turut menyediakan puding yang sangat hot ini. Klik di SINI untuk entri sebelum ini. Memang ramai yang menyukai puding karamel ini. Rasanya yang lembut dan sangat mesra dengan anak tekak. hahaha lebih lebih lagi yang baru dikeluarkan dari peti ais. Rasa air gulanya yang manis manis pahit sangat sangat sedap pada saya.

Jom layan resepi yang saya kongsikan semula di bawah ini. Semoga anda semua dapat mencubanya. Jika dibeli, ianya berharga RM1 untuk sebekas. Jadi sangat menjimat jika disediakan sendiri, dapat makan sehingga puas... Jangan lupa melihat video yang saya sediakan di Instagram Azie Kitchen dan youtube channel Azie Kitchen...





Puding Karamel Yang Sedap
Untuk: 20 bekas

Bahan bahan:
3/4 tin susu pekat manis
1 tin susu cair
1 tin air
5 - 6 biji telur - buang mata
Esen vanilla

Bahan Gula Hangus:
1 1/2 cawan gula pasir
3 cawan air

Cara cara:
Goreng gula hingga perang. Bila gula cair dan bertukar warna, baru masukkan air. Masak sehingga menggelegak dan gula hangus menjadi cair semula. 

Tutup api dan biarkan sejuk sebelum disimpan dalam peti ais. Esok pagi, masukkan ke dalam bekas bekas kecil.

Telur dibuang mata dan dipukul tetapi jangan sampai berbuih. Masukkan semua bahan lain. Kacau sehingga sebati. 

Tuang ke dalam bekas kecil yang telah diisi dengan air gula hangus. 





Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Kukus selama 10 - 15 minit atau sehingga masak dengan api sederhana. Sentiasa di lap penutup pengukus supaya permukaan karamel menjadi cantik. Atau dibalut penutup pengukus dengan tuala. 





Bila masak, buka tutup pengukus dan biarkan selama 2-3 minit tanpa penutup supaya air permukaan Karamel sedikit kering. Angkat dan sejukkan. 




Setelah sejuk, simpan dalam peti ais. Sedia untuk dinikmati. 



Roti Jala dan Kari Ayam Yang Sedap

$
0
0






Roti jala adalah merupakan hidangan kegemaran anak anak saya. Mereka boleh dikatakan sangat expert dalam menyediakan roti jala dan kuah kari ayam sedap untuk dimakan bersama roti jala. Jadi bila mereka menyediakan roti jala, memang saya tak perlu masuk dapur. Saya cuma perlu tunggu ianya siap dihidangkan sahaja. Yang lagi best, bila menyediakan roti jala, semua anak anak termasuk Boy akan turut sama menolong di dapur berganding untuk membuat kuah kari, menjala, melipat roti yang telah siap dijala. 

Kari ayam untuk dimakan dengan roti jala mestilah sedikit pekat, baru kaw kaw. Tak boleh seperti kuah kari biasa yang dimakan dengan nasi. Saya harus mengakui yang saya pun kadang kadang gagal menghasilkan kari ayam untuk dicicah dengan roti jala. Ianya secukup kepekatannya tapi masih terbit minyak. Guna serbuk kari dan bawang yang agak banyak. Ubi kentang juga membantu memekatkan kuah kari. 




Jom layan resepi yang saya kongsikan semula di bawah ini untuk mudah dijadikan rujukan. Boleh klik di SINI dan di SINI untuk 2 resepi berbeza sebelum ini.




Roti Jala 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 cawan tepung gandum
2 1/2 sudu besar minyak
1 biji telur
2 1/2 cawan susu segar
Secubit garam
Pewarna kuning telur

Kisar semua bahan di atas menggunakan blender. Sedia untuk dijala. 


Kari Ayam

Bahan bahan:
Isi ayam secukupnya
1 1/2 biji bawang besar - hiris
6 biji bawang putih - hiris
2 inci halia - hiris
10 sudu besar serbuk kari
1 kotak santan kotak
4 kotak air
2 biji kentang - potong kecil
Daun kari
Asam keping
Rempah 3 sekawan - kayu manis, bunga lawang, buah pelaga
Garam
Gula
Serbuk perasa

Cara cara:
Panaskan minyak yang secukupnya. Tumis rempah 3 sekawan sehingga wangi dan bawang serta halia yang dihiris.  

Masukkan rempah kari dan dikacau rata sehingga wangi dan masukkan sedikit air. 

Masukkan daun kari, isi ayam dan ubi kentang. Kacau rata sehingga ayam masak dan bahan tumisan pecah minyak. 

Masukkan santan dan air. Masak sehingga kuah mendidih dan pekat dengan api perlahan. Masukkan garam, asam keping dan gula. Sesuaikan rasa dan boleh ditutup api. 

Selamat mencuba...




  


Prego Black Pepper Yang Sangat Sedap

$
0
0






Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua pembaca blog Azie Kitchen. Harap belum terlambat kerana saya baru sahaja kembali ke tanah air selepas mengerjakan umrah pada 10 Akhir Ramadhan. Di musim perayaan ini, pasti kita akan sentiasa menerima tetamu walaupun tidak ada majlis rumah terbuka. Harus diingat tetamu datang membawa rahmat dan keluar dengan membawa dosa famili kita. Atau dengan kata lain menghapuskan dosa. Jadi kita kena meraikan tetamu yang datang membawa seribu kerahmatan buat seisi keluarga. Apa kata kita menyediakan hidangan ringkas buat tetamu yang mungkin semena mena datang berkunjung tanpa memberitahu terlebih dulu. 

Hari ini saya ingin kongsikan resepi mudah menggunakan Prego. Perisa baru sos lada hitam Prego yang terlajak sedap. Hahaha seriuos sedap. Bukan sahaja sedap tapi menyediakannya juga sangat mudah. Semudah 123 gitu. Boleh sahaja digunakan apa apa bahan yang tersedia dalam peti ais. Arahan penyediaannya cukup ringkas dan mudah diikuti. 

Memang sangat wangi dan bau semerbak dapur ketika sos sedang disediakan. Jika kita kesuntukan masa untuk menyediakan hidangan buat anak anak atau buat tetamu, memang sangat sesuai untuk kita menyediakan pasta Black Pepper ini. Keenakannya menyebabkan kita tak segan kerana kalau tak ditanya pasti akan dianggap ianya dipesan dari restoran. Hahaha dengan sos Prego siapa pun boleh memasak pasta sedap dengan cepat. 

Jom layan resepi mudah yang saya ikut bulat bulat resepi yang dicadangkan di tin sos Prego. Jika mahu mengubahsuai di sana sini pun boleh juga. Tambahkan sayuran yang disukai seperti karot atau ditambahkan daging. Tapi bagi saya, resepi ini sudah secukup enaknya. Mudah dan cepat disediakan dan yang paling penting, sangat sedap... 





Pasta Prego Lada Hitam Yang Sangat Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
250 gram pasta Fettuccine
2 tin sos Prego Lada Hitam
1 biji bawang besar Holland - hiris
1 biji lada Benggala - hiris memanjang
Sedikit garam - opsyenal
Sedikit lada sulah - opsyenal
8 batang sosej - hiris nipis
Minyak

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang besar sehingga layu. Masukkan sosej dan tumis sehingga keperangan. 



Masukkan sos Prego dan sedikit air. Kacau rata. Masukkan lada Benggala, garam dan lada sulah. Renihkan dalam 5 minit. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan. 




Bolehlah dihidangkan bersama pasta yang telah direbus dalam air mendidih yang dimasukkan minyak dan garam selama 10-12 minit. 







Pajeri Nenas Stail Perak Yang Sangat Sedap

$
0
0






Sebelum mula menulis bab resepi Pajeri Nenas Perak, saya nak tulis dulu bab resepi Rendang Daging Perak saya yang dah jadi viral di fb. Resepi yang saya pelajari dari kakak ipar saya dari Perak di SINI dan di SINI. Bila Rosehayatie, kawan Instagram saya memberitahu ada group page dalam fb yang telah viral resepi saya tapi dicampur aduk dengan video kepunyaan beliau dan juga gambar orang lain, saya hanya tersenyum. Sejujurnya saya gembira sahaja jika resepi saya dikongsikan oleh lebih ramai orang. Memang itu pun niat saya supaya apa yang saya kongsikan dicuba oleh ramai orang. Tapi saya tergerak hati untuk masuk ke page group tersebut dan wow ramainya yang mengutuk dan mengeji saya. Aduhaai saya yakin 100% mereka semua adalah orang Melayu beragama Islam. Kemarahan mereka adalah kerana video yang dipaparkan tidak sama dengan resepi yang ditulis. Kedua kerana penggunaan nama Rendang Daging Perak yang kononnya tak sama dengan resepi nenek moyang mereka. Saya tidak marah tapi saya kesian kerana fb adalah platform untuk kaum muslimin (bukan mukminin) untuk membuat fitnah dan menabur dosa di akhir zaman. Mereka menggunakan jari jemari untuk mengutuk tanpa memikirkan apa yang ditulis akan kekal di situ umpama memahat dosa di batu. 

Bagi yang cerdik, mereka tahu dengan tak payah saya menjelaskan apa apa. Mereka nampak dan mereka fikir sebelum menulis. Tapi bagi yang lain lain, cuba fikirkan. Adakah salah saya jika video tidak sama dengan resepi jika saya sendiri tidak tahu menahu berkenaan page fb berkenaan. Ketika itu, mungkin saya sedang mengerjakan umrah. Kedua, bab penggunaan nama Rendang Daging Perak. Salahkah dengan nama itu? Saya tidak tulis pun yang ianya resepi asli rendang Perak dsb. Malahan dalam blog saya ada resepi rendang pedas dan resepi Rendang Tok yang saya belajar dari mertua saya yang berasal dari Perak. Ada yang menulis kongsi resepi, biarlah ikhlas. Aduhai mereka ni... apa apa pun saya memang kesiankan mereka. Kalau tak suka, tak perlu lah baca atau tak perlulah ikut. Saya orang Kelantan. Saya tahu di Kelantan dulu tak ada Rendang Kelantan. Tapi bila ada yang menamakan resepi mereka Rendang Kelantan, saya tak ada lah pulak nak melalak dan marah marah. Sesiapa pun berhak untuk memberi nama pada resepi mereka. Hidup mesti dinamik barulah ada kemajuan. Kerana itu, perlu sentiasa melakukan perubahan dan innovasi. Barulah ada perubahan. Begitu juga bab resepi, tak salah meletak kicap dalam rendang atau nak meletak apa sekali pun. Tak salah nak namakan apa sekali pun, asal nama yang baik baik. Bukan nama sumpah seranah. Peace no war ya. Semoga mereka yang suka berfikiran negatif pada orang lain, diberikan petunjuk dan jalan yang benar. Lepas ini, saya nak kongsikan Pajeri Nenas stail Perak. Kalau tak sama dengan cara nenek moyang di Perak, jangan kecam saya pulak. Beritahu elok elok supaya saya tukarkan jadi nama Pajeri Nenas Azie Kitchen. Habis cerita. 




Setelah terpandang Instagram Puan Sri Raja Noorashikin sedang memasak Pajeri Nenas stail Perak, hati dah tak sabar juga untuk menyediakan Pajeri Nenas. Cuma setelah diteliti, saya pun tak pasti apa perbezaan Pajeri Nenas Perak berbanding dengan Pajeri Nenas yang biasa saya masak sebelum ini. Sebelum ini pun, saya ada juga meletakkan udang kering, kadang kadang saya letak juga udang hidup. Tapi apa pun, saya anggap ini Pajeri Nenas Perak lah walaupun saya tak letak halba seperti mana Puan Sri Raja Noora. 

Tapi entah di mana silapnya, lama direnih atas dapur tapi tak juga terbit minyak. Begitu juga dengan kelapa parut yang telah digoreng sebelumnya untuk dijadikan kerisik. Tumbuk bagai nak tercabut lengan, tak juga mahu pecah minyak. Walhal, sebelum ni cantik jer keluar minyak kerisik. Aduyai, kecewa lah sedikit kerana kejadiannya kurang cantik dan menarik. Namun begitu, berbaloi baloi kerana sangat sedap dan saya makan menambah nambah dengan meratah begitu sahaja. Yang paling penting, ianya semakin sedap selepas beberapa hari disimpan. Saya simpan dalam bekas tupperware di dalam freezer. Tiga hari berturut turut saya makan sewaktu berbuka puasa. Memang sangat sedap, secukup rasa kemanisannya. 

Jom layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel. Tapi kalau untuk detail resepi dan cara cara penyediaany, saya hanya kongsikan di blog sahaja. Video hanya untuk memberi sedikit idea cara saya menyediakannya. Memang penat bila membuat video. Dua kali juga iphone baru saya jatuh dalam kuali yang sedang di atas dapur. Adohaiii. Haru biru dibuatnya. Apa apa pun, jom layaannn...





Pajeri Nenas Stail Perak

Bahan bahan:
1 biji nenas - pilih yang hijau kekuningan
2 sudu besar ikan bilis atau udang kering - rendam dan tumbuk
1 paket kecil serbuk kari daging - 3 1/2 sudu besar
1 paket kecil kerisik - atau buat sendiri
1 sudu besar cili kisar
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
Rempah 3 sekawan - kulit kayu manis, cengkih, buah pelaga dan bunga lawang
Minyak masak secukupnya
1 sudu besar minyak sapi - opsyenal
Garam
Gula Melaka
Gula secukup rasa

Bahan Tumbuk:
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Nenas dibuang kulit,  dibersihkan dan dipotong-potong. Nenas direbus dengan sedikit air dan 2 sudu besar gula dalam 5 minit atau sehingga nenas sedikit lembut. Angkat dan ketepikan. 




Panaskan minyak dan sedikit minyak sapi. Tumis rempah 3 sekawan dan bahan tumbuk sehingga wangi dan kekuningan. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga cili agak masak. 

Masukkan pula rempah kari serbuk dan kacau dengan cepat sehingga wangi sebelum dituang sedikit air. Tumis hingga pecah minyak. 




Setelah pecah minyak, masukkan udang kering. Tumis lagi sebelum dimasukkan nenas dan air rebusan nenas sekali. Setelah mendidih, baru dimasukkan santan. 

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula Melaka dan gula secukupnya. Bila kuah pekat dan terbit minyak, bolehlah diangkat. 

Nota:
Kuah mestilah sedikit pekat dan menpunyai rasa manis. 





Pulut Kuning Lembut Lemak dan Cantik Berkilat

$
0
0






Saya pernah beli Pulut Kuning dan Rendang yang dijual oleh Zarina Zainuddin. Saya kagum melihat kegigihan beliau berniaga pulut kuning demi menyara keluarga. Bila melihat Pulut Kuning yang dijual oleh Zarina Zainuddin, saya menjadi teringin untuk membuatnya. Maklum jika dibeli, harga satu bekas ialah RM15. Jadi lebih jimat jika dibuat sendiri. Kebetulan pula, besan kami datang beraya. Jadi saya memberitahu Nana yang saya ingin memasak pulut kuning dan rendang ayam ketika kami merancang menu yang ingin disediakan. Menu lain lain, Nana dan Juita dengan dibantu oleh Boy yang menyediakan.  

Boleh klik untuk melihat langkah demi langkah secara bergambar yang saya sediakan di SINI dan SINISaya belajar dari kakak ipar saya yang santan perlu masin, supaya bila bergaul dengan pulut, akan menjadi secukup rasa. Mesti masin "pperak", kalau istilah orang Kelantan. Seolah masin yang terlebih masin atau sangat masin lah. Saya mengesyorkan anda mencuba menyediakan sendiri Pulut Kuning kerana kalau dulu dulu, pulut kuning disediakan oleh orang tua tua. Kita tak ambil peduli nak belajar, bila dah tak ada orang tua tua, kitalah yang kena menyediakan sendiri pulut kuning bagi mengekalkan makanan tradisi orang Melayu. 

Pulut kuning hari ini dimakan dengan dicicah dengan Rendang Ayam. Entah kenapa rendang ayam saya hari ini rasa tersangat win. Mungkin rendang ayam paling sedap tahun 2017. Hahaha kerana saya belum lagi memasak rendang tahun ini. Rendana ayam ini telah dibuat sedikit modifikasi. Tunggukan bila saya update blog untuk resepi dan juga video penyediaannnya.  

Jom layan resepi yang saya tulis semula di bawah ini dan layan video yang telah saya kongsikan dalam Instagram Azie Kitchen untuk video penyediaan dan juga youtube Azie Kitchen channel di SINI dan untuk video Pulut kuning di SINI. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI




Pulut Kuning Kukus Yang Lembut

Bahan bahan:
500 gram beras pulut susu
1 keping asam keping - untuk menjadikan pulut berkilat
1 sudu besar kunyit serbuk - opsyenal
1 inci kunyit hidup - tumbuk dan tapis air
1 -2 cawan santan pekat - boleh tambah
1/2 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Pewarna kuning telur 
Sedikit minyak masak, jika guna santan kotak - opsyenal

Cara cara:
Basuh beras pulut dan tos airnya. Masukkan air kunyit hidup dan pewarna. Kacau kacau supaya warna rata. Lepas tu, baru masukkan air dan rendam beras pulut dengan asam keping selama 1 - 2 jam, bergantung kepada jenis beras pulut. Jika beras pulut susu, sekejap sahaja sudah memadai. Semasa direndam kacau beberapa kali supaya warna sekata. 




Panaskan pengukus hingga air mendidih. Tos beras pulut. Masukkan ke dalam periuk pengukus yang telah dilapikkan daun pisang atau daun pandan.  Ketika dikukus, kacau sekali sekala supaya ianya masak sekata. Kukuskan selama 20-25 minit atau sehingga masak. 




Angkat keluar pulut dan masukkan dalam mangkuk besar. Tuangkan santan yang telah digaulkan dengan garam sehingga santan semua meliputi pulut. Biarkan dalam 5 minit agar santan menyerapkan ke dalam pulut. 

Setelah itu, kacau dan arung pulut dan santan tadi selama 10-15 minit sehingga sebati dan nampak seolah-olah berminyak. Pastikan tiada pulut yang berketul. Jika rasa kurang santan, boleh tambah santan dan kacau lagi hingga sebati. Kacau ketika pulut dan santan masih panas. Jika telah sejuk, kurang menjadi dan pulut mungkin akan menjadi keras.

Masukkan semula pulut ke dalam periuk kukusan dan kukus lagi sekali selama 15-20 minit atau sehingga masak. 

Boleh tutup api dapur dan masukkan dalam mangkuk besar. Taburkan sedikit gula dan kacau rata bagi menjadikan pulut bersinar cantik.




Nota:
Ada juga yang memasak santan terlebih dahulu, sambil dikacau supaya tidak pecah minyak. Tuang ke atas pulut. Tak perlu dikukus lagi. 

Ada juga yang memasukkan santan cair dahulu dan kukus kali kedua. Kemudian masukkan pati santan yang dicampur dengan garam dan digaul dengan pulut ketika panas. Pulut siap. Pulut panas akan memasakkan santan. 

Pulut kuning yang sedap perlu ada rasa masin dan manis yang seimbang. 



Sambal Sotong

$
0
0






Secara jujur, Saya sebenarnya masih seolah berada di dua dunia. Saya masih belum sepenuhnya menjadi diri saya. Minda dan fikiran masih seolah saya berada di Tanah Suci walaupun fizikal saya telah berada di tanah air. Malam sebelum tidur, saya akan mendengar youtube solat Terawih oleh Imam iman di Masjidil Haram ketika Ramadhan baru ini. Itulah sebabnya saya tak ada mood pun untuk berhari raya atau menghadiri rumah rumah terbuka. Malahan baju raya pun masih belum diambil. Namun begitu, beberapa hari ini, saya sangat sangat gembira dan sangat bersyukur. Tapi saya belum bersedia untuk mengumumkannya. Insya Allah saya akan kongsikan bila tiba masa nya. Haa sebelum itu, saya nak maklumkan bahawa Momen Perkahwinan anakanda saya, Dr Nana akan diterbitkan dalam majalah Nona keluaran bulan Ogos 2017. Hmm jangan lupa dapatkan naskhah anda ya. Sekadar berkongsi detik detik kegembiraan kami sekeluarga dengan pembaca blog Azie Kitchen semua. Lagi pulak, memang ramai yang menulis mesej pada saya meminta dikongsikan gambar gambar dan detik detik perkahwinan Nana. 

OK sekarang kita masuk pula bab resepi. Resepi Sambal Sotong. Hubby ke Pasar Taman Tun Dr Ismail untuk membeli tulang lembu untuk dibuat sup. Jadi saya pesankan sekali, sotong yang bertelur. Bila balik, saya tengok sotong tak menpunyai telur pun. Jadi saya menanya Juita, sotong untuk dimasak apa. Bila Juita mengesyorkan Sambal Tumis, saya pun tak berlengah terus menyediakan Sambal Tumis. Tapi saya membuatnya sedikit kering, tidak seperti Sambal Tumis biasa. Caranya saya masukkan hanya sedikit air sahaja. Jadi sambalnya lebih pekat. Memasak sotong agak leceh sedikit kerana ia akan menghasilkan air yang banyak. Jika dimasak lama untuk mengeringkan air, sotong pula menjadi terlebih masak dan liat. Jadi cara saya ialah, saya akan memasakkan sotong seketika di atas dapur dan kemudian ditos kan airnya. Nak tahu caranya? Kenalah tengok di video yang saya sediakan.




Saya memang suka memasak sambal tumis, tak kira lah apa pun asal sambal tumis kerana ianya mudah dan bahan bahan yang digunakan pun tak banyak. Cuma kena bersabar untuk menumis cili sehingga ianya benar benar garing. Yang lain semua dah ada dalam ingatan. Pendek kata lauk ini memang lauk feveret di rumah kami. 

Jom layan video di Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINIuntuk melihat cara penyediaan. Meh kita lihat resepi di bawah ini.  




Sambal Sotong

Bahan bahan:
Sotong secukupnya
1 senduk besar cili kisar
1 biji bawang besar - hiris
2-3 sudu besar gula
Garam
1 keping asam keping

Bahan kisar:
2 biji bawang besar
5 ulas bawang putih

Cara cara:
Sotong dimasukkan dalam kuali dan panaskan atas dapur sehingga air sotong keluar dan toskan. Tujuannya supaya sambal saya tidak berair. 

Panaskan minyak yang agak banyak. Tumis bahan kisar sehingga sedikit wangi dan masukkan cili kisar. Perlahankan api dan tumis sehingga cili benar benar masak dan garing. Ia akan kelihatan sedikit berbuih bila telah garing. 

Masukkan gula terlebih dahulu bagi menjadikan warna sambal yang lebih cantik. Kacau rata. Kemudian baru dituangkan sedikit sahaja air. Masukkan sotong tadi. Kacau rata. 

Masukkan garam dan asam keping. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama kerana ia akan menjadi liat. 




Agar Agar Pandan Santan Yang Sedap dan Mudah

$
0
0






Saya memang dah lama teringin nak membuat agar agar mudah tetapi sangat sedap dan yang penting, ianya adalah kegemaran saya. Selain agar agar pandan, saya juga suka menggunakan gula Melaka untuk menjadikan agar agar gula Melaka. Teringat dulu, kali pertama membuat agar agar santan gula Melaka, sepupu Hubby datang ke rumah untuk menunjukkan cara caranya. Masa tu, saya baru kawin dan mula belajar memasak. Telur dipecahkan di atas kelapa parut dan diramas dan diperah sekali untuk menghasilkan santan. Masa tu, tak pulak guna blender untuk kelapa parut. Hanya diramas ramas biasa dengan tangan sahaja. Satu perkara lagi, setiap kali memasak agar agar, elok dimasukkan sedikit gula batu supaya agar agar kita tidak berair selepas di potong. Ianya akan menjadi lebih pejal. 




Memang sedap sangat agar agar ini dengan rasa dan bau wangi daun pandan. Secukup rasa sahaja kemanisannya. Rasanya tidak muak atau menjemukan. Sehingga keesokannya pun, masih sedap. Saya makan waktu berbuka puasa. Kebetulan ada geng kerana Alain juga suka makan agar agar ini. Laju jer masuk mulut kerana teksturnya yang lembut tapi pejal. Aduhaai lepas juga hajat nak makan agar agar ni. Kalau untuk majlis majlis berbuka atau kalau ada tetamu di rumah, bolehlah kita pakat pakat buat agar agar ini. Selain sedap, ianya cepat dan mudah disediakan.  Rupa agar agar saya kali ini agak pucat kerana tidak meletakkan sebarang pewarna, hanya hijau asli daun pandan sahaja.

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI.




Agar agar Pandan Santan

Bahan-bahan
25 gram agar-agar bertali
1500 ml air
1 cawan gula pasir
2 -3 ketul gula batu - sebesar ibu jari tangan - opsyenal
1 cawan air daun pandan - kisar 5 helai daun pandan dg 1 cawan air dan tapis
1 cawan santan - guna 1/2 biji kelapa parut
1 biji telur gred A
Sedikit pewarna hijau 

Cara cara:
Masak agar agar dengan air sehingga hancur. Setelah agar agar hancur, masukkan gula dan gula batu. Kacau lagi sehingga gula hancur. 

Masukkan kelapa parut, daun pandan dan telur ke dalam blender dengan 1 1/2 cawan air. Setelah dikisar hancur, diperah dan ambil santan sebanyak 2 cawan. Masukkan sedikit pewarna hijau. Saya tak letak kerana tiada stock, jadi warna hijau daun pandan original tidak berapa cantik. 




Tuang santan ke dalam periuk agar agar. Kacau rata sehingga ianya mendidih. Setelah mendidih dan masak sekata, angkat dan tuang ke dalam loyang atau acuan yang disukai. 

Setelah hampir mengeras, pindahkan ke dalam peti sejuk. Setelah keras, bolehlah dipotong dan dihidangkan sejuk sejuk, memang sedap. 




Nota:
Guna gula batu supaya agar agar tidak berair ketika dipotong. Ia akan lebih pejal.




Sira Pisang Tanduk Juadah Berbuka Puasa

$
0
0






Esok adalah hari terakhir kita berada dalam bulan Syawal. Sesiapa yang belum cukup melakukan puasa 6, akan kerugian besar kerana belum kita akan ditemukan dengan Ramadhan atau Syawal akan datang. Itulah sebabnya hari ini dan esok memang banyak sekali jemputan rumah terbuka kerana hari hari akhir bulan Syawal. Sempena kedatangan musim Haji, Ustazah Ros Izanuri telah memberikan ceramah umum berkenaan Haji. Sesiapa mengerjakan Haji dan umrah diberi jaminan keampunan dosa pada mereka yang berdoa. Itulah kelebihan mereka yang mengerjakan haji dan umrah berbanding mereka yang berada di tempat lain. Apa yang membezakan umrah dan haji ialah masa mengerjakannya. Umrah boleh dilakukan pada bila bila masa sahaja. Manakala Haji hanya boleh dikerjakan di bulan bulan haji iaitu pada 1 Syawal hingga 13 Zulhijjah. Perbezaan kedua ialah rukun wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah bermula tergelincir matahari hingga terbit fajar 10 Zulhijjah. Kedua duanya, wajib dikerjakan sekali seumur hidup. Haji dan umrah kali yang kedua adalah sunat. Haji mabrur haji ialah haji yang diterima Allah dan tak ulang lagi benda benda yang dilarang Allah. Contoh balik haji tapi masih tak menutup aurat. Itu tanda hajinya bukan haji yang mabrur. Umrah yang diterima disebut umrah yang makbul. 




Saya menyediakan sira pisang pada hari terakhir saya mencukupkan puasa 6 saya. Tahun ini, agak lama untuk saya menghabiskan puasa kerana banyak aktiviti makan makan di pejabat. Sebaik balik dari pejabat, ternampak ada 2 biji pisang tanduk yang telah agak masak. Kalau dibuat pengat, rasanya akan lembik sedikit. Jadi saya cepat cepat membuat sira pisang. Sira pisang sekejap sahaja disediakan dan ianya lebih mudah. Ianya adalah antara menu kesukaan saya ketika berbuka puasa. Apa apa jer kuih muih yang basah berkuah, memang kesukaan saya. 

Jom layan video dalam Instagram Azie Kitchen dan youtube Azie Kitchen channel di SINI untuk video berdurasi lebih panjang. Bagi yang belum follow facebook Azie Kitchen, boleh klik link di SINI.





Sira Pisang Tanduk

Bahan bahan:
2 biji pisang tanduk
1/2 cawan gula pasir
1/2 sudu kecil garam 
6 tangkai bunga cengkih
Pewarna kuning telur
3 helai daun pandan
Air secukupnya

Cara cara:
Potong nipis pisang tanduk. Ketepikan. 

Panaskan air dengan daun pandan, gula, garam, bunga cengkih dan pewarna sehingga gula hancur dan hampir mendidih. 

Masukkan pisang dan kacau rata sehingga pisang lembut dan masak. 

Angkat dan ketepikan. Bila sejuk, simpan dalam peti sejuk. Sedap dimakan ketika sejuk. 






Majlis Perkahwinan Dr Nana dalam Majalah NONA Ogos 2017

$
0
0






Seperti saya tulis dalam entri sebelum ini, gambar gambar majlis perkahwinan anakanda kami Dr Nurliyana Ain dengan Alain Ilya telah diterbitkan dalam majalah kegemaran saya iaitu majalah NONA keluaran bulan Ogos 2017. Semoga anda semua dapat cepat cepat mendapatkan naskhah anda sebagai koleksi. Ianya merangkumi 3 majlis iaitu majlis akad nikah, majlis resepi sebelah Nana dan juga resepsi sebelah Alain yang diadakan dalam bulan Februari tahun ini. Untuk membaca coretan persiapan majlis dsb, boleh klik entri sebelum ini di SINI, SINISINI, SINI, SINI  dan SINI

Sejak majlis perkahwinan anakanda kami Nana berlangsung pada penghujung tahun lepas, ramai yang bertanya, ramai yang menulis message dan private message kenapa saya tidak banyak kongsikan gambar gambar majlis tersebut. Di dalam facebook juga, tidak banyak gambar yang saya kongsikan. Itu yang menyebabkan kawan kawan rapat tertunggu tunggu dan kehairanan. Agak susah juga untuk saya menerangkannya. 

Sebetulnya, saya agak lambat menerima gambar gambar dari photographer yang dipilih. Mereka memerlukan masa untuk menghasilkan gambar yang cantik dan menepati kehendak kami. Kedua, Nana sendiri tidak berapa gemar gambar beliau dimasukkan dalam majalah. Setelah dipujuk, barulah dia setuju. Itu pun saya terpaksa meminta Hubby dan Alain menjelaskan tujuannya pada beliau. Tujuannya hanya sekadar ingin berkongsi detik bahagia ini bersama rakan rakan dan follower Azie Kitchen yang setia mengikuti kisah kami sekeluarga. Bukan sekadar mengikuti resepi, mereka juga mengikuti kisah dan perjalanan kehidupan kami sekeluarga. 

Walaupun kami bukanlah selebriti, namun saya sangat menghargai mereka yang setia dan ikhlas mengikuti blog saya selama ini seperti mana kawan facebook yang mengikuti perkembangan kawan kawan setiap hari. Komen komen yang ditinggalkan di blog, facebook Azie Kitchen dan Instagram, semuanya saya baca dan yang mana perlu, saya cuba sedaya upaya membalasnya. Sokongan mereka sangat saya hargai. Tanpa sokongan mereka, pastinya pageview blog Azie Kitchen tidak mencecah  melebihi 118 juta setakat ini. 






Viewing all 2129 articles
Browse latest View live