Quantcast
Viewing all 2243 articles
Browse latest View live

Harijadi Juita Yang Istimewa



Makan malam sempena menyambut harijadi Juita tahun ini sangat meriah berbanding tahun sebelumnya. Ini adalah kerana sahabat baik kami, Dato' Salehuddin bersama keluarga dan Bonda juga telah sudi meluangkan masa untuk meraikan harijadi Juita. Bukan sahaja membelikan hadiah untuk harijadi Juita tetapi juga Dato' Saleh telah belanja untuk makan malam ini. Terharu sangat dengan kesudian mereka untuk sama sama meraikan harijadi Juita. Rasanya dah lama betul, kami tak keluar bersama keluarga masing masing. Maklumlah beberapa tahun sebelum ini, kami sama sama sibuk dengan urusan pembinaan rumah masing masing. Mereka adalah antara sahabat kami dari zaman universiti yang paling rapat, malahan anak anak mereka sudah seperti anak kami. Begitu juga Dato' Saleh dan Datin Nursinah juga sangat mengambil berat mengenai anak anak kami. 






Teringat satu peristiwa dalam semasa Nana berumur 4 tahun, di mana dia telah hilang di tempat permainan kanak kanak di Subang Parade yang penuh sesak dengan orang ramai. Ketika itu Subang Parade adalah merupakan shopping complex terbesar dan sangat terkemuka. Saya memang menggeletar lutut dan menjadi sangat terkejut. Ketika itu pula, heboh kes kanak kanak diculik dan dibotakkan kepala. Dari tempat permainan, ada dua pintu keluar. Jadi sementara saya menunggu di satu pintu keluar, hubby terpaksa mencari di sekeliling tempat permainan. Hmm siapa pula, mahu tunggu di pintu satu lagi? Ketika itu lah, Dato' Saleh dan keluarga baru sampai. Mereka tolong mencari di merata rata tempat dan akhirnya Dato' Saleh yang menemui Nana di luar dari tempat permainan. Memang serik bila mengingatkan peristiwa itu. Sejak itu, saya memang tak lagi membiarkan anak anak dijaga pembantu rumah apabila keluar atau berada di tempat orang ramai. Ini adalah antara peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan selagi hayat di kandung badan. Begitulah kasih ibu pada anak anak, yang memang tiada kata untuk diucapkan.
Berbalik pada makan malam harijadi Juita, kalau biasanya Juita tak mahu dinyanyikan semasa meniup lilin harijadi, kali ini dia terpaksa akur. Kami beramai ramai menyanyikan lagu harijadi untuk beliau. Selamat harijadi Baby. Semoga sentiasa menjadi anak solehah yang taat kepada kedua ibubapa dan menghormati orang yang lebih tua serta berjaya dunia dan akhirat.




Gulai Ayam Daun Limau Purut





Ini adalah entri tertunda di mana hari itu saya memang buntu, tak tahu apa yang hendak dimasak untuk hidangan tengahari. Saya pun mula menanya Pak Cik Google apa menu yang boleh diguna. Dalam tercari cari, saya terpandang satu gambar yang membuatkan saya terus menelan air liur, aduhaaai sedaaap nyeer. Cepat cepat menghantar whatsApp kat hubby di pejabat meminta dibelikan bahan bahan yang diperlukan. Saya memasak sambil mendengar sidang media khas Mencari MH370 yang dibuat oleh Perdana Menteri. Sedih bila mendengar hasil siasatan awal yang menunjukkan kapalterbang telah membuat air turn back dan transponder telah dimatikan apabila menghampiri sempadan Vietnam. Komunikasi terakhir antara satelit ialah pada 8.11 pagi pada 8 Mac 2014. Deliberate action by someone on the plane, itulah kesimpulan awal sehingga setakat ini. Sedih sungguh sedih sekiranya ianya adalah perbuatan yang melibatkan konspirasi kerana ia melibatkan penganiayaan pada ramai penumpang dan keluarga.

Saya memang suka gulai yang dimasak dengan daun limau purut. Memang sangat sedap kerana saya memang menyukai apa apa masakan yang menggunakan daun limau purut seperti Mee Hoon Goreng Limau Purut, yang sangat saya sukai.

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini...
Gulai Ayam Daun Limau Purut

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 8
10 biji cili kering 
1 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 batang serai
1 inci kunyit
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 keping asam keping
2 cawan santan -1 santan kotak
1 sudu besar biji ketumbar
1 sudu makan campuran jintan putih dan manis
Garam
Gula 

Cara cara:
Kisar cili kering, bawang, bawang putih, halia, lengkuas, serai, kunyit, ketumbar dan jintan dengan sedikit air.

Satukan rempah yang di kisar dengan ayam dalam satu periuk. Reneh ayam hingga ayam kecut.
Masukkan santan dan asam keping. Boleh masukkan sedikit air lagi jika ingin kuah lebih. Masak hingga agak pekat sedikit. Sesuai rasa garam dan gulanya.

Masukkan daun limau purut. Kacau seketika dan angkat.



Sambal Tumis Ikan Bilis Dengan Petai






Sebelum kita melihat gambar masakan dan juga resepi, saya sangat berharap sudi kiranya pembaca blog saya untuk meluangkan masa membaca setiap perkongsian ilmu yang saya selitkan. Hari ini setelah sekian lama tertahan, akhirnya saya menitiskan airmata selepas mendengar berita yang MH370 telah berakhir di Lautan Hindi. Betapa kerdilnya kita, kematian boleh menjemput kita bila bila masa sahaja samada kita bersedia atau pun tidak. Jom kita sama sama tingkatkan amal soleh dan meningkatkan ilmu pengetahuan. Kali ini dari kuliah Zohor Ustaz Syarhan mengenai "Kitab Apa Ertinya Saya Menganut Islam". Perkara Ke16 di dalam kitab ini adalah berkenaan perlunya kita bertawakkal dan menyandarkan semuanya kepada Allah. Dengan itu, segala kepayahan dapat dihadapi dengan mudah dan akan diberi segala kecukupan. Sifat orang beriman, apabila setiap urusan berlaku dalam kehidupan, semua disandarkan pada Allah. Tiada satu, melainkan semuanya berada dalam percaturan Allah. Contoh, musibah menimpa MH370, bila mana Perdana Menteri buat pengumuman bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi berhampiran dengan Perth, orang beriman akan redha dan bersabar dan berpesan dengan kesabaran. Nasihatkan mereka yang ditimpa musibah supaya bersabar. Manusia akan rasa sedih kecewa tapi masih ada kebergantungan pada Allah. Cukuplah Allah sebagai wakil.

Perkara Ke17 pula ialah saya mesti mensyukuri nikmat Allah yang tak terhitung banyaknya. Syukur bukan dengan lafaz sahaja tapi apabila kita mentaati segala suruhan dan larangan Allah. Melaksanakan amal ibadah pada Allah. Itulah tanda kita sayang dan berterima kasih pada Allah. Kita jarang bersyukur kerana kita tak nampak nikmat yang Allah berikan. Kalau manusia yang tolong, kita punyalah berterima kasih. Bukan tak boleh, tapi kita kena lagi lagilah berterima kasih pada Allah.  Kalau jiran tak suka pada kita, dia boleh tunjuk. Tapi Allah tak pernah tunjuk jika Allah murka pada kita. Orang yang lawan Allah juga, diberi nikmat. Kita berbuat kebaikan, Allah tak bagi pahala direct. Contoh, baca Al Quran, bukan terus nampak pahala. Tapi janji Allah, siapa beramal dengan Al Quran, akan dapat jaminan di akhirat. Allah menambah kurniaan pada orang yang bersyukur, dan akan bagi kerugian pada orang yang ingkar. Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Aku akan tambah, jika kufur, akan diazab. Tak semesti tambah direct, tapi diberi dalam bentuk lain seperti melalui isteri dan anak anak. Cukup dulu setakat ini, sekarang kita bercerita sedikit berkenaan lauk yang saya sediakan ini sebelum pergi ke resepi. Alaaa resepi mudah, semua orang pun pandai menyediakan sambal tumis kan.

Sambal tumis berpetai, tak kiralah udang, sotong atau ikan bilis adalah lauk kegemaran puteri bongsu saya, Juita. Setiap kali melihat saya menyediakan lauk sambal tumis, pasti ditanya kenapa tak dimasukkan petai. Saya pun sukakan petai, tetapi petai rebus. Saya boleh menghabiskannya berpapan papan. Apalagi jika ianya dicicah dengan budu dan isi durian. Arwah bapa saya suka memasukkan isi durian ke dalam budu yang dipicit sekali cili padi dan diperah asam limau nipis. Huhuhu memang terangkat. Tapi saya hanya memakan petai di kala bercuti panjang kerana saya tak suka mulut yang berbau, lebih lebih lagi kala di pejabat.




Sambal Tumis Ikan Bilis Dengan Petai

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis
Petai secukupnya
1 mangkuk cili kering - dikisar
3 biji bawang besar
1 labu bawang putih
Sedikit halia - opsyenal
1/2 keping asam keping (boleh juga guna air asam jawa)
2-3 sudu besar gula
Garam

Cara cara:
Kisar semua bawang dan halia berserta cili. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak. 

Kemudian masukkan gula terlebih dahulu supaya sambal akan berwarna cantik kemerahan. 

Setelah itu, baru dimasukkan air, sedikit garam dan asam keping. Masukkan ikan bilis dan biarkan masak dengan api perlahan sehingga mencapai kepekatan sambal yang disukai. Boleh tambah air jika nampak sambal agak kekeringan.

Nota:


Sambal mesti ada rasa manis manis sedikit, barulah sedap.

 

Ketupat Sotong Kegemaran Keluarga Di Nur Qaseh








Ketupat sotong ini saya sediakan atas permintaan anakanda bongsu saya yang meminta dimasakkan ketupat sotong. Ketupat sotong memang antara makanan Kelantan kegemaran di rumah ini, termasuklah saya sendiri. Memang boleh berebut rebut terutama sotong yang mengandungi telur. Jika bukan musim sotong, agak susah untuk mencari sotong yang bertelur. Jadi hubby akan ke Pasar Taman Tun kerana di sana, mereka akan melayan jika kita mahukan hanya sotong yang bertelur. Alhamdulillah kerana walaupun saya disahkan allegik dengan makanan laut, tapi tidak dengan sotong. Maknanya saya masih boleh menikmati makanan kegemaran saya ini. Saya perhatikan ramai orang bila menyiang sotong, akan membuat kulit sotong. Begitu juga my hubby, bila sekali sekala menolong saya, pasti dikupas semua kulit sotong. Sedang saya pula, lebih suka kulitnya dibiarkan bagi menjadikan ianya bercorak selepas dimasak. Kadang kadang sambil makan, saya akan menilik badan sotong yang unik. 

Di samping menjamu mata dengan gambar gambar masakan dan resepi, rasanya ada baik kalau kita dapat berikan sedikit makanan kepada minda kita dengan perkara yang memberi sedikit manafaat di akhirat kelak. OK, setuju? Kuliah Zohor Ustaz Aliff Mahalil menyentuh berkenaan Islam adalah agama yang mementingkan kesederhanaan. Jangan berlebihan dalam beribadah tapi jangan juga mengambil remeh. Contoh, Islam memberikan kemudahan kepada orang yang bermusafir untuk mengerjakan solat secara jamak qasar. Ini kemudahan yang diberi tapi ada orang yang ambil mudah dengan tidak mahu mengerjakannya jamak qasar. Ada lagi yang mengambil mudah sehingga langsung tidak mengerjakan solat  terutama semasa di atas penerbangan. Ini lah antara orang yang meremeh remehkan agama.

Kita dinasihatkan supaya membuat ibadah sekadar kemampuan  Jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak akan jemu sehingga kamu yang akan jemu, bosan dan malas untuk beribadat, jika dibuat secara berlebihan. Sebaik baik amalan yang dikasihi Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit. Cukup sekadar bangun malam dan mengerjakan solat tahajud 2 rakaat sahaja. Bangun 10 minit sebelum Subuh dan buat solat sunat. Bersedekahlah walaupun dengan jumlah RM1 asalkan ianya berterusan. Banyak kelebihannya dalam bersedekah.Begitulah antara intipati kuliah zohor yang sempat saya salin.



 

Ketupat Sotong
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Sotong - basuh dan cabut kepala
Santan
Beras pulut susu
Daun Pandan
Garam
Gula Melaka secukup rasa
Sedikit gula, jika suka

Cara cara:
Basuh beras pulut dan rendam seketika. Taburkan sedikit garam. Isikan beras pulut yang telah ditos airnya ke dalam sotong dalam 3/4 penuh sahaja. Masukkan semula kepala sotong dan cucuk kemas dengan lidi sate. Letakkan daun pandan secukupnya.





Tuangkan santan secukupnya dan masukkan sedikit garam. Masak sehingga pulut empuk dan masak. Cungkilkan sedikit pulut dengan menyucuk pisau pada sotong untuk mengetahui kalau pulut telah masak.






Setelah pulut masak, baru dimasukkan Gula Melaka dan sedikit gula, jika gula Melaka kurang manis. Masak lagi sehingga gula hancur.



Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.



Selamat mencuba.


Ikan Goreng Berlada Stail Minang Yang Mudah





Hari ini saya nak kongsikan sedikit intipati Kuliah Zohor Dr Mohd Shafie penulis Buku, Kamu Umat Terbaik mengenai petunjuk dan hidayah. Kejayaan kita yang sebenarnya adalah bergantung kepada sejauh mana ilmu Al Quran kita lebih baik dari semalam. Matlamatnya ialah uhtuk memperbaiki akhlak kerana Allah mengukur kita dari sudut akhlak. Penilaian Allah yang penting, bukan penilaian manusia. Kalau baik penilaian Allah, maka kita dijamin bahawa jalan keluar kepada semua masalah yang kita hadapi. Apa yang didefinisi sebagai masalah? Yang ini pun kita belum mampu mentafsir dengan betul. Contoh, kerja berlambak, masalah anak dsb dikira sebagai masalah semata mata kerana ianya tidak menepati kehendak kita. Definisi masalah yang sebetulnya ialah bila kita gagal mengikuti kehendak Allah, gagal taat pada suruhan Allah. Itulah sebenarnya masalah.
Kalau kita tidak membaca Al Quran, kita tidak akan beroleh kefahaman. Bukan sekadar faham tetapi kena diamalkan dengan ikhlas dan bersungguh sungguh. Kalau kita faham kita akan lebih redha. Contoh jangan marah dan stress kalau cawan pecah kerana kita faham bahawa ia pecah kerana ajalnya telah sampai. Redha pada cawan pecah itu lebih penting. Kena berazam untuk menjadikan semua aktiviti kita adalah mengikut peraturan Allah. Makan benda yang baik dan halal. Baru kita dapat kenyang dan juga dapat pahala. Kesannya ialah kita akan rasa sangat sayang pada Allah kerana telah memberikan kita rezeki. 
Setiap hari kita kena memotivasikan diri kita untuk mengaji Al Quran kerana ianya memberi petunjuk. Kalau kita tidak belajar Al Quran, pasti kita akan tersesat. Kalau kita faham Al Quran, kita akan tahu yang kita bekerja kerana Allah. Orang yang bekerja kerana Allah akan bekerja dengan bersungguh sungguh dan tidak akan menyusahkan orang lain. Syarat untuk diangkat kerja sebagai amal soleh ialah mesti dibuat dengan bersungguh sungguh. Jadi belajar Al Quran juga mesti dibuat secara bersungguh sungguh. Membaca Al Quran adalah fardhu ain dan memberikan ilmu yang terbaik. Kalau dengan SOP manusia, kita akan bersungguh sungguh mematuhi tetapi bila peraturan Allah kita mengambilnya secara sambil lewa. Jangan hanya memikirkan pangkat atau memikirkan bagaimana untuk menjaga boss sahaja. Percayalah kalau kita taat pada Allah, tak ada sesiapa yang boleh usik. Jadi fokus hanya kepada membuat perkara perkara baik. Kalau tak ada sesiapa yang menghargai pun, jangan bimbang kerana rezeki kita bergantung kepada amal soleh. Dengan pahala yang banyak, kita boleh mendapat gaji yang banyak dan cukup.
Sekarang kita beralih topik resepi pula. Saya memang suka Ikan Goreng Berlado stail Minang. Terdapat banyak cara memasak lauk ini. Ada yang meletak cuka, ada yang memasukkan bawang besar hiris dsb. Semua nya ikut selera masing masing. Yang penting, kita yang membuatnya. Kali ini, saya menggunakan resepi Ikan Goreng Berlada Stail Minang yang sangat sangat ringkas dan sedap. Selepas masak, ceduk ke dalam pinggan dan terus hidang. Gambar yang diambil pun gambar di dalam pinggan hidangan. Begini lah orang bekerja, terpaksa berkejar kejar memasak, membasuh peralatan memasak sebelum menunaikan solat Maghrib. Memang memenatkan tetapi ianya berbaloi bila melihat anak anak menikmati hidangan dengan berselera. Selain itu, saya juga menyediakan Sayur Taugeh Goreng Kicap, Masak Lemak Udang Harimau dan Ikan Kering Gelama. 
Jom layan resepi dulu...


Ikan Goreng Berlada Stail Minang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 keping ikan merah - lumur garam kunyit
10 biji cili merah
6 ulas bawang merah
1 keping asam keping/air asam jawa
Garam
Gula

Cara cara:
Goreng ikan sehingga garing dan angkat serta ketepikan.

Tumbuk/kisar cili dan bawang merah sehingga hancur. Tumis bahan tumbuk sehingga pecah minyak. 

Masukkan asam keping, garam dan gula serta sedikit air. Akhir sekali, masukkan ikan yang telah digoreng ke dalam kuali dan gaul rata.
Sedia untuk dihidangkan.



Nasi Kerabu Kelantan Dan Ayam Percik Dr Nana


Waah malam tadi dah terasa seronok sangat bila Nana memberitahu yang dia ingin memasak Nasi Kerabu. Dia ke Giant dengan adik adiknya mencari bahan bahan diperlukan. Sekali sekala teringin nak makan homecooked yang dimasak orang lain. Lebih lebih lauk atau kuih muih Kelantan, negeri kelahiran saya. Bila kita sendiri yang memasak, ada masanya, dah tak berselera nak makan terutama bila badan dah penat. 




Bila masuk ke dapur pagi, tengok Nana sedang menyediakan bahan bahannya seorang diri. Bukan sahaja ada Nasi Kerabu tetapi juga disediakan Ayam Percik. Saya tak dapat membantu kerana mempunyai appointment di Tropicana Medical Centre untuk melakukan pemeriksaan mamogram. Maklum kita orang perempuan ni, kena sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan dari masa ke semasa.

Saya memang bangga dengan Nana kerana serba boleh. Kadang kadang adik adiknya ada mengusik kononnya Nana puteri kebanggaan saya. Saya menanyakan resepi mana yang diguna. Katanya resepi yang dipelajari dari sepupu saya juga. Resepi ini telah selalu digunakan sewaktu beliau masih belajar di Egypt. Haaa saya rela tak bersarapan sebab mahu terus brunch dengan nasi kerabu sekembali dari hospital. Alhamdulillah dengan rezeki untuk menikmati makanan kegemaran hari ini. Oleh kerana Nana bekerja malam, dia membawa sedikit bekalan ke hospital.

Jom kita tengok resepi yang Nana gunakan untuk Nasi Kerabu. Klik di SINI untuk nasi kerabu biru atau SINI untuk entri Nasi Kerabu kuning saya sebelum ini. Untuk resepi Ayam Percik, saya akan kongsikan di entri akan datang. Jom layan...


Nasi Kerabu Kelantan Versi Nana

Nasi Kerabu
Nasi dimasak seperti biasa. Jika suka boleh diletakkan pewarna biru atau kuning, jika tidak ada bunga Telong. Masukkan serai atau daun pandan, jika suka.
Sambal Kelapa
Kelapa parut
5-6 ekor ikan kembung rebus
4 batang serai
4-5 ulas bawang merah
Garam
Gula

Cara cara:
Goreng kelapa parut dengan api perlahan sehingga kekuningan. Angkat dan tumbuk sedikit.

Tumbuk bahan bahan lain dan masukkan isi ikan. Tumbuk lagi. Satukan dengan kelapa goreng tadi.

Masukkan garam dan gula secukup rasa. Gaul sebati dan sedia untuk dihidangkan.
Kuah Tumis
Bahan bahan:
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1/2 biji bawang besar
1/2 inci halia
8 biji cili kering
1 keping asam keping
Garam
Gula
1 batang serai - ketuk
Santan

Cara cara:
Kisar bawang bawang, halia dan cili kering. Panaskan minyak dan tumis sehingga naik minyak. Masukkan serai. 

Masukkan santan, asam, garam dan gula. Masak sehingga pecah minyak. Bolehlah tutup api.

Nota:
Kalau suka boleh masukkan 1/2 kiub ikan bilis.


Sambal Cili
Bahan bahan:
Cili merah kecil
Cili merah besar
Garam
Gula 
Cuka

Blend kesemua sekali dan sesuaikan rasa.
Ulam ulaman
Kacang panjang
Kubis
Daun kesum
Bunga kantan

Hiris halus kesemuanya dan satukan.
Bahan lain
Telur masin
Keropok
Ayam Percik

Selamat mencuba...




Masak Lemak Cili Padi Ketam







Selain ketam untuk dibuat Sup Ketam untuk Datin Nursinah di SINI, hubby juga membeli beberapa ekor ketam untuk dimasak Masak Lemak Cili Padi sebagai hidangan makan malam untuk anak anak. Jadi saya memasak 2 lauk serentak. Di samping menyediakan sup, saya juga menyediakan masak lemak. Inilah lauk yang paling saya suka kerana terlalu mudah menyediakannya dan sedap pulak terutama kalau menggunakan udang atau ketam.

Saya sekarang ni, kalau memasak apa apa pun suka menggunakan kuali dari periuk. Senang nak mengacaunya. Bila dah masak, barulah dipindahkan ke dalam periuk. Kuah masak lemak saya hari ini agak cair kerana menggunakan santan yang dibeli di kedai. Saya lebih suka kuah yang agak sedikit pekat.

Jom kita tengok resepi Masak Lemak Cili Padi asli Nogori. Kalau guna makanan laut, cuma perlu masukkan garam sahaja. Tak perlu asam keping dsb. Kalau suka, boleh juga dimasukkan sedikit daun kunyit. Tapi saya tak ada stok, jadi tak lah memasukkan daun kunyit. 


Masak Lemak Cili Padi Ketam
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 ekor ketam
1 pek santan
4 -6 biji cili api kampung
1 inci kunyit hidup
Garam

Cara cara:
Kisar cili padi dan kunyit bersama sedikit santan sehingga halus. Satukan semua bahan kisar bersama santan dan masak dengan api perlahan sambil sentiasa dikacau. Kemudian masukkan ketam.






Akhir sekali, masukkan garam secukup rasa. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.





Selamat mencuba....


Sambal Sotong Yang Sedap


Selepas melihat Sambal Sotong yang ditayang sahabat saya Chahaya Shiela, di facebook, saya menjadi sangat teringin untuk menikmati Sambal Sotong yang dimasak seekor seekor. Lagi pulak, sotongnya dipenuhi telur menjadikan saya sangat sangat tak boleh tahan. Terus menghantar whatsApp kat hubby. Kebiasaannya saya akan menghiris nipis sotong sebelum dimasak.

Aduhaai bukan nak cakap lah, bau sambal tumis ni semerbak sehingga ke dalam bilik. Semasa saya menunaikan solat Asar, saya meminta Juita mengacau sambal yang sedang ditumis itu dahulu. Aduuh masa tu, dah terbau sedapnya sambal yang sedang ditumis tu. Hahaha sampai ke malam, masih terbau keenakan sambal tumis di ruang tamu. Haa camne tu? Kali ini saya membuat sambalnya agak kering sedikit. 

Rahsia untuk membuat sambal tumis yang sedap ialah dengan menumis bahan tumisan dengan api perlahan sehingga cili betul betul masak dan garing. Selain itu, menggunakan bawang merah yang banyak. Manakala untuk menjadikan warna sambal yang cantik ialah dengan memasukkan gula terlebih dahulu, sebaik bahan tumis garing. Itulah tips yang saya belajar dari kawan kawan. Kalau untuk sotong, sambal kena kering dulu, sebelum dimasukkan sotong yang telah ditos bagi mengelakkan sambal berkuah dengan air sotong. Memang sangat sedap lebih lebih lagi sotong yang diguna adalah sotong yang masih segar.

Jom layan resepi mudah dan sedap ini...


Sambal Sotong

Bahan bahan:
10 ekor sotong
20 biji cili kering
10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1/2 keping asam keping
1 biji bawang besar - hiris bulat
Garam
Gula

Cara cara:
Kisar cili dan bawang bawang. Tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar garing. 

Masukkan gula dan kacau lagi sehingga garing dan keluar minyak. Kemudian masukkan sotong yang telah ditos hingga kering. 

Akhir sekali, masukkan garam, asam keping dan goreng sehingga air sotong menjadi kering. Masukkan bawang besar dan tutup api apabila bawang layu dan sambal kembali kering serta pecah minyak.  

Sedia untuk dihidangkan. 







Nasi Dagang Terengganu Lagi


Semasa ke Pasar Taman Tun untuk mencari sotong bertelur, saya ternampak ikan tongkol hitam yang berbatik. Ikan tongkol ini yang mempunyai isi putih lembut banyak digunakan untuk masakan nasi dagang Terengganu. Sedangkan nasi dagang Kelantan pula banyak menggunakan ikan tongkol silver yang mempunyai isi hitam. Banyak juga perbezaan nasi dagang Kelantan dan Terengganu. Kalau di Kelantan, dihidang sekali dengan telur rebus, hirisan timun dan juga sambal kelapa. Kali ini, kiranya macam versi kahwin lah antara 2 negeri kerana saya menghidangkan seperti nasi dagang Kelantan.

Tiba tiba teringin nak menyediakan nasi dagang sebab dah banyak kali mengajak hubby makan nasi dagang di USJ tapi asyik tak berkesempatan. Saya pun tak tahu kenapa susah nak mencari nasi dagang yang sedap. Kebanyakannya hanya sekadar nasi dagang tapi tak sedap langsung dan tak berasa macam nasi dagang pun. Membuat nasi dagang ni sebenarnya tak lah sesusah mana, itu yang saya tak faham kenapa orang yang mahu menjual nasi dagang, tidak belajar dan membuatnya dengan sedap. Pasti ramai yang akan mencari. Kalau mahu tengok nasi dagang yang saya sediakan sebelum ini, boleh klik di SINI dan SINI.

Hari ini kami menikmati hidangan tengahari bersama Aween, Juita dan Nana. Nana bekerja sebelah malam. Tapi macam biasalah, Nana bertanya tak ada lauk ayam ke. Hmm tak ada ayam, seperti tak ada lauk pada anak anak. Sedang menikmati hidangan, Nelly menelefon bertanyakan kalau saya mahukan buah apa apa dari Tapah. Dia dalam perjalanan balik menghadiri majlis perkahwinan rakan sepejabat di Taiping. Sungguh terharu dengan keprihatinan Nelly. Dia memang seorang anak yang sangat mengambil berat pasal kami dan juga adik adik. Ke mana sahaja dia pergi, pasti ingat untuk membeli buah tangan untuk dibawa balik. Semoga dia akan terus kekal dengan sifat prihatin pada keluarga ini sampai bila bila.

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini. 


Nasi Dagang Terengganu
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
5 cawan beras siam wangi cap Bird of Paradise
2.5 cawan santan cair & 2 cawan santan pekat
3 ulas bawang merah - dimayang halus
1 inci halia - mayang halus
3/4 sudu besar halba
1 sudu besar garam kasar (paras rata) - dicampur ke dalam santan pekat

Cara cara:
Beras dibersih dan direndam dgn air seketika sebelum dikukus. Letak air ke dalam pengukus sehingga mendidih.

Masukkan beras ke dalam pengukus dan kukus sehingga separuh masak (nampak wap keluar lebih kurang 20-30 minit.

Bila separuh masak, angkat kemudian masukkan ke dalam bekas yg besar lalu siramkan santan cair dan kacau rata.

Masukkan semula ke dlm pengukus bersama daun pandan dan kukus sehingga masak.

Bila masak, angkat masukkan ke dlm bekas besar bersama halba, halia, bawang merah dan dgn serta merta siram dgn santan pekat dan kacau perlahan sehingga rata.

Kemudian rata dan kemaskan nasi.  Bila nak hidangkan ceduk dari tepi perlahan lahan sambil digembur gemburkan.

Gulai Ikan Tongkol
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan tongkol hitam (lebih kurang 1 kg) 
1 kotak santan kotak  - air secukupnya
3 sudu besar cili kering kisar - tambah jika suka pedas
1 pek rempah gulai cap bunga rose (bancuh dg sedikit air)
8 gram rempah masak cap bunga rose 
2 keping asam keping
2 sudu besar gula melaka/gula atau secukup rasa
10 biji cili api
6 - 7 biji belimbing buluh
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah 
4 ulas bawang putih 
1 inci halia 
2 hiris lengkuas 

Cara cara:
Ikan dibersihkan kemudian direbus bersama 4 keping asam keping dan garam sehingga airnya tinggal separuh. Kalau rebus dan dibiarkan semalaman, lagi sedap. 

Dalam periuk lain panaskan minyak, tumis bahan bahan kisar, cili kisar sehingga garing dan masukkan rempah gulai dan goreng lagi sehingga naik bau dan pecah minyak. Nota: Resepi asal Terengganu, santan dimasak sehingga pecah minyak sebelum dimasuk bahan kisar dan serbuk.
Masukkan santan, kacau sehingga hampir pecah minyak. Masukkan ikan, asam, gula Melaka dan garam, renih sehingga pecah minyak dan agak pekat. Saya gunakan sedikit air rebusan ikan, jadi rasakan dulu asam garam sebelum dimasukkan asam dan garam supaya kuah tak terlebih masam pula. 

Masukkan cili padi dan belimbing buluh. Renihkan sebentar. Bolehlah angkat dan dihidangkan.
Gulai ni lebih enak jika dibuat lebih awal.  Jika nasi dagang untuk sarapan, gulai boleh dibuat malamnya. Keesokan harinya gulai nya nanti lebih enak dan wangi serta cantik naik minyak nya.






Ayam Percik Disediakan Nana


 


Nana menyediakan Ayam Percik ini untuk dimakan sebagai lauk Nasi Kerabu di SINI. Saya pun tak sangka jugak dia mahu menyediakan ayam percik. Maklumlah proses menyediakan ayam percik ni, memang remeh sikit. Bila balik dari Tropicana Medical Centre, saya masuk ke dapur menolong melihatkan ianya belum siap kerana Nana perlu tidur seketika sebagai persediaan untuk bekerja di sebelah malamnya. 

Sebelum kita melihat resepi, terlebih dahulu saya ingin berkongsi betapa kecewanya saya pada seorang penulis yang pada saya penulisannya sangat tidak beradab dan tidak tahu menghormati orang lain. Kisahnya terjadi bila saya memberitahu yang saya tidak dapat menerima tempahan beliau kerana tidak menpunyai kelapangan masa. Dia lupa yang matlamat utama blog saya ini hanyalah untuk berkongsi resepi demi rujukan anak anak di masa depan dan juga pembaca pembaca blog saya. Ianya bukan blog untuk promosi perniagaan atau mengambil tempahan. Saya memang ada mengambil tempahan tetapi tempahan hanya diambil secara suka suka sahaja bergantung kepada kelapangan masa saya. Itu pun untuk tempahan mudah seperti kek, cupcake dan cake in jar atau yang seumpamanya sahaja. Saya adalah seorang wanita berkerjaya yang bekerja di pejabat dari 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. Saya keluar rumah seawal jam 6.20 pagi dan tiba di rumah pukul 6.00 petang. Jika ada yang mahu membuat tempahan yang tidak bersesuaian dengan masa, saya akan recommend sahabat sahabat saya yang memang mengambil tempahan secara sepenuh masa. Ada kalanya, saya sendiri juga menempah dari kawan kawan. Tak jadi masalah, jadi janganlah marah marah tak tentu pasal.... 

Jom kita tengok resepi ayam percik di bawah ini...



Ayam Percik Dr Nana

Bahan bahan:
1ekor ayam - potong ikut suka

Bahan kuah:
1 kotak santan kotak (campur sedikit air)
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
2-3 hirisan serai (boleh juga dititik)
3 - 4 tangkai cili kering
Garam secukupnya
Gula - guna dalam 2 sb kena ada rasa sikit manis
1/4 keping asam keping - letak sekejap dan dikeluarkan takut terlebih masam

Cara cara:
Ayam dilumur dengan garam yang ditumbuk bersama sedikit bawang putih dan halia. Perap seketika dan dikukus. Angkat dan bolehlah dibakar di dalam pemanggang ajaib.  




Mesin semua bahan bersama santan pekat. Kuah dimasakkan atas dapur dengan api perlahan sambil terus dikacau. Masukkan gula, garam dan air asam jawa/asam keping. Masak sehingga kuah pekat. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.




Bila ayam mulai sedikit garing, lumur bahan kuah merata rata dan bakar lagi seketika. Terbalikkan ayam dan dilumur bahan kuah lagi secara berulang ulang di kedua dua belah.





Bolehlah diangkat untuk dihidangkan.





Masak Lemak Cili Api Telur Ikan



Saya memang sangat menyukai telur ikan sama seperti telur sotong juga. Teringat semasa di Subang Jaya dulu, saya dan hubby sering mengunjungi gerai makan di USJ 6 kerana di situ ada Gerai Melaka yang menjual Asam Pedas Ikan Terubuk. Yang best nya, kebanyakan ikan terubuk yang dijual mempunyai telur. Sedap sangat telur masak asam pedas gitu. Oleh kerana ada stok telur ikan yang dibeli di Pasar Taman Tun, saya mula lah mencari cari resepi untuk memasak telur ikan. Akhirnya setelah menanyakan pendapat sahabat saya, Zainal Abidin saya memasak Masak Lemak Cili Api. Inilah kali pertama saya memasak lemak telur ikan. Kalau biasanya saya hanya mengoreng sahaja telur ikan selepas dilumur dengan sedikit garam dan kunyit seperti di SINI





Seperti biasa, saya memang suka masakan Masak Lemak Cili Api sebab selain mudah, ianya juga sedap. Sambil sambil tu, boleh gak menternak lemak. Hahaha hari hari berjanji dengan hubby untuk ber dier konon konon. Masalahnya, kalau saya diet, saya jadi malas untuk memasak. Kalau saya tak memasak, kesian lah pulak dengan anak anak terpaksa makan nasi kedai jer. Hmm mencari alasan untuk tidak berdiet lah ni...





Masak Lemak Cili Api Telur Ikan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Telur ikan
6 biji cili api
1/2 inci kunyit hidup
6 biji belimbing buluh
1/2 helai daun kunyit
1 pek santan
Garam

Cara cara:
Kisar cili api dan kunyit bersama sedikit santan. Masak bahan kisar bersama santan dengan api perlahan, sambil terus dikacau.

Bila hampir mendidih, masukkan telur ikan dan daun kunyit, terus masak sehingga telur ikan masak.

Akhir sekali, masukkan belimbing buluh dan garam secukup rasa. Kalau tak ada belimbing buluh, bolehlah masukkan sedikit asam keping.




Bolehlah diangkat dan sedia untuk dihidangkan.


Mencari Nasi Ayam Faridah di Klang






Secara kebetulan saya berkenalan dengan Zura selepas melihat kemesraan beliau dengan anak anak sewaktu singgah minum di Restoran Kayu Kandar. Boleh dirasakan kebahagiaan mereka di saat bakal menerima baby baru yang kembar pulak. Dari situlah, saya diperkenalkan dengan Nasi Ayam Faridah yang diusahakan oleh abang Zura menggunakan resepi turun temurun diwarisi dari bonda mereka. Saya mengajak hubby ke Klang pada hari Sabtu sementara menunggu untuk mengambil Aween di sekolah yang menpunyai tugasan mengecat dinding sekolah. Gerainya terletak di sebelah kiri simpang 4 Teluk Pulai Klang. Berpusing pusing juga kami untuk mencari gerai ini. Nasib baik saya mempunyai nombor telefon Zura untuk mendapatkan talian hayat.





Kelainan pada resepi ini ialah ayamnya digoreng panas panas di gerai. Selain Nasi Ayam, dijual juga Nasi Goreng Ayam. Saya memang penggemar Nasi Ayam, jadi kalau apa sahaja resepi nasi ayam yang menpunyai kelainan, mesti saya ingin mencubanya. Saya siap meminta extra ayam lagi. Alhamdulillah rezeki kerana saya telah diberi diskaun lagi. Selain makan di sana, kami juga membungkus untuk dibawa balik pada anak anak.





Sambal Tumis Ikan Bilis Sebagai Lauk Nasi Lemak






Sekembali dari Ipoh bulan lepas, saya tidur seketika kerana terasa sangat kepenatan melakukan perjalanan di dalam cuaca luar yang panas. Sebaik bangun, perut pun mula terasa lapar. Saya turun ke bawah untuk memasak Nasi Lemak. Kebetulan banyak stok ikan bilis yang hubby bawa balik dari Tawau. 




Sementara saya tengah memasak, Nana balik dari kerja dan terus ke dapur menanyakan apa yang saya masak. Selepas itu, Nelly pula balik dari pejabat dan terus makan. Pendek kata sangat berbaloi baloi saya memasak hari itu kerana semua anak anak makan di rumah.




Jom kita tengok resepi saya untuk memasak Sambal Tumis yang asalnya saya pelajari dari sepupu saya, Cikgu Wan Faizah selepas merasai sambal beliau yang sangat sedap.....



Sambal Tumis Ikan Bilis

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis
1 mangkuk cili kering - dikisar
3 biji bawang besar
1 labu bawang putih
Sedikit halia
1/2 keping asam keping (boleh juga guna air asam jawa)
2-3 sudu besar gula
Garam

Cara cara:
Kisar semua bawang dan halia berserta cili. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak. 

Kemudian masukkan gula terlebih dahulu supaya sambal akan berwarna cantik kemerahan. 

Setelah itu, baru dimasukkan air, sedikit garam dan asam keping. Masukkan ikan bilis dan biarkan masak dengan api perlahan sehingga mencapai kepekatan sambal yang disukai. Boleh tambah air jika nampak sambal agak kekeringan.

Nota:
Sambal mesti ada rasa manis manis sedikit, barulah sedap.




Sup Ikan Merah


Entah kenapa sejak kebelakangan ini, saya menjadi seorang yang sangat sentimental, sangat sedih, sayu dan hiba. Segala perasaan muram bercampur baur. Tiba tiba saya menjadi malu akan perbuatan saya sendiri. Saya merasa segan dengan apa yang dibuat selama ini. Dalam masa yang sama, saya ingin sentiasa meredhakan apa sahaja yang saya alami dan ingin meletakkan semuanya pada percaturan Allah. Sudah semestinya sebagai manusia kita tidak akan berpuas hati dengan apa yang ada di dunia ini. Jadi saya memperbanyakkan membaca buku buku dan mendengar kuliah agama untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan supaya saya lebih bersedia.  Bersedia menempuhi apa sahaja ketentuan Allah. Itulah sebenarnya antara sebab sebab saya tidak ada mood untuk menulis blog seperti masa lalu. Sekadar menulis ala kadar sahaja.

Berbalik kepada resepi pula, saya belajar resepi ini dari sahabat saya Dr Sabariah semasa mengunjungi rumah mereka ketika itu di UiTM Segamat. Saya melihat beliau menyediakan sup ini sambil bersembang sembang di dapur. Nampak mudah dan ringkas tetapi hasilnya sangat sedap. Jadi kalau tak ada idea, dan jemu untuk memasak lemak sahaja, bolehlah mencuba resepi sup ikan merah ini pula.


Jom kita layan resepi mudah dan sedap ini dulu....
Sup Ikan Merah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Ikan  merah
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sedikit halia
Kayu manis, bunga lawang dan pelaga
Lada hitam biji - tumbuk

Cara cara:
Tumis bawang merah dan bawang putih serta halia yang dihiris bersama kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga sehingga wangi.

Kemudian masukkan air secukupnya. Biarkan air menggelegak sebelum dimasukkan ikan. Akhirnya masukkan lada hitam dan garam secukupnya. 






Taburkan daun sup dan bawang goreng. Bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.






Selamat mencuba...



Sambal Sotong Bertelur






Memasak memasak juga kan, tapi sekali sekala kita jamukan minda kita dengan sedikit ilmu buat renungan. Kali ini saya nak berkongsi pula berkenaan ujian dan rahmat yang disampaikan oleh Ustaz Najhan. Suasana hari ini yang sangat degil dengan pelbagai peristiwa besar berlaku merupakan masa terbaik untuk kembali pada Allah. Disebutkan bersama kepayahan, adanya kesenangan. Tidak disebut, selepas kepayahan, baru ada kesenangan tapi disebut dalam sedih ada gembira dan dalam senang ada sedih. Contoh, melalui musibah kehilangan pesawat MH370, manusia akan lebih mudah kembali pada Allah. Masyarakat mula yakin apa yang berlaku, bukan berlaku tanpa sebab. Setiap masa kita berdoa malahan doa juga dibaca di dalam media massa termasuk radio dan televisyen. Hikmahnya kita tak boleh baca, kerana hanya Allah sahaja yang tahu rahsianya. Yang paling penting, kita kena hadapi ujian dan musibah dengan beberapa adab, antaranya ialah:


1. Mengembalikan semua urusan pada Allah. Allah akan beri balasan pada orang yang sabar. Cuma berdoa dan bersabar. Tindakan mesti berlandaskan syarak. Minta tolong pada Aku dengan sabar dan solat. 
2. Kena banyak bersabar. Apa dia sabar? Iaitu menahan dari segala apa yang dibenci oleh nafsu kita. Antara sifat orang beriman ialah bersabar atas semua ujian Allah. Semua ujian adalah dari Allah walaupun berlaku dari tangan manusia manusia yang jahat. Sama juga seperti kes kehilangan pesawat MH370. Ianya berlaku dengan keizinan Allah dengan sebab tertentu. Antara lain ialah untuk mengangkat darjat orang beriman. Lebih kuat iman, lagi besar ujiannya. Siapa bergantung dan kembali pada Allah akan diangkat darjatnya. Nabi nabi lah yang paling berat ujiannya. Kalau tak ada musibah, mungkin kita terus hanyut. Tapi bila ada musibah, kita akan sedar. 
3. Kerana Allah ingin jadikan pengajaran untuk kaum yang lain. Contoh kejadian yang berlaku pada umat terdahulu, untuk umat Nabi Muhamad SAW mengambil pelajaran dan iktibar.
4. Musibah juga kerana Allah hendak mengampunkan dosa dosa kecil. 




Sebab tak puashati kerana sotong yang dibeli di kedai runcit di SINI, tak ada telur, saya mengajak hubby ke Pasar Taman Tun selepas selesai melakukan pemeriksaan kesihatan di Tropicana Medical Centre. Sebab bukan senang nak mengajak hubby ke sana, saya telah memborong hampir 2 kilo sotong bertelur. Kalau ada lagi yang bertelur, agaknya ada lagi yang saya beli. Saya pergi ke beberapa kedai dan meminta dicarikan hanya sotong bertelur. Memang seronok dapat menikmati sotong bertelur. Saya bukanlah penggemar sotong, tetapi kalau sotong bertelur, memang sayalah peminat no 1. Teringat lagi mak cik yang menjual nasi lemak di tempat makan di pejabat saya, akan memberitahu saya setiap kali ada sotong bertelur. Bertahun tahun juga dia akan menunggu saya datang bersarapan jika ada sotong bertelur.

Jom kita tengok resepi sambal saya. Seperti yang saya coretkan sebelum ini untuk menghasilkan sambal yang cantik warnanya ialah dengan memasukkan gula selepas cili garing sebelum dimasukkan lain lain bahan.



Sambal Sotong Bertelur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
15 ekor sotong - basuh & tos kering
20 -15 cili kering
15 ulas bawang merah
7 ulas bawang putih
Garam
Gula
Asam keping

Cara cara:
Bersihkan sotong dan tos sehingga air benar benar kering. Tumis bawang dan cili yang dikisar sehingga benar benar garing dengan api perlahan.




Setelah garing, masukkan gula terlebih dahulu. Kacau rata dalam beberapa minit sebelum dimasukkan sotong.  




Setelah air sotong hampir kering, masukkan asam keping dan garam. Terus dikacau sehingga mencapai kepekatan yang disukai.




Selamat menjamu selera....




Nasi Ayam Resepi Turun Temurun Yang Sangat Sedap



Sebelum kita masuk bab nasi ayam, saya ingin selitkan sedikit pesanan Ustaz Ibrahim Muhammad yang di usia seperti kami adalah masa untuk MEMECUT. Inilah masa untuk mengejar apa apa sahaja untuk mendapat pahala. Jangan berlengah lengah lagi kerana masa sudah sangat kritikal. Gunakan masa yang berbaki untuk kita mencari sebanyak banyaknya pahala. Semoga kita sama sama dapat mengambil ingatan akan pesanan ini. Seperti yang saya ceritakan di dalam entri di SINI, perkenalan dengan Zura telah mengenalkan saya dengan Nasi Ayam Faridah di Klang yang diusahakan oleh abang beliau. Ianya menggunakan resepi yang diwarisi dari bonda Zura yang juga berniaga nasi ayam. Seperti biasa, saya memang suka mencuba resepi nasi ayam terutama yang menpunyai kelainan dari resepi yang pernah dicuba sebelum ini. Kelainan dari resepi saya sebelum ini adalah cara penyediaan ayam dan sambal cili. Ayam hanya diperap menggunakan serbuk kunyit, garam dan madu sahaja. Manakala sambal pula menggunakan cili kering, bukan cili merah. Lain lain boleh dikatakan sama sahaja dengan resepi nasi ayam yang lain. Apa apa pun resepi ini adalah resepi terbaru untuk koleksi resepi Nasi Ayam Azie Kitchen. Boleh klik di SINI untuk koleksi resepi nasi ayam.

Serius, nasi ayam ini sangat sedap. Nasinya memang lembut dan wangi lebih lebih lagi kami menggunakan beras basmati. Ayamnya pulak juicy dan sedap kerana di hidang panas panas walaupun saya hanya sempat memerap selama 30 minit sahaja. Maklumlah saya sampai dari pejabat, telahpun pukul 6.00 petang dek kesesakan jalan raya. Semua siap untuk dihidangkan telah pun pukul 7.40 malam. Agak lama proses penyediaannya kerana baru nak menyiang ayam, mengupas bawang, halia dsb. Nasihat Kak Kamariah, guru tajwid saya supaya membuat perancangan awal supaya memasak lebih cepat seperti memotong bawang dan kisar sebelum disimpan di dalam freezer. Tapi saya ni memasak tidak lah konsisten kerana bila rasa penat, kami makan di luar sahaja. Gambar yang diambil adalah gambar waktu malam, jadi kuranglah cantiknya. Walaupun kepenatan, namun saya sangat berpuas hati kerana berjaya menyediakan nasi ayam yang sangatlah sedapnya. Walaupun berazam untuk berdiet tapi saya curi curi untuk menambah nasi. Terima kasih, Zura kerana sudi berkongsi resepi dengan saya. Semoga Allah membalasnya dengan kebaikan yang banyak....

Jom kita tengok resepi dulu....


Nasi Ayam Resepi TurunTemurun 
Oleh: Azie Kitchen

Nasi Ayam
Beras basmathi - basuh dan tos
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 sudu besar mentega
Minyak ayam
2 helai daun pandan 
Sedikit garam

Panaskan planta dan minyak ayam. Tumis bawang putih dan halia yang ditumbuk serta daun pandan sehingga wangi.
Tuang bahan tumis ke dalam beras yang telah dibasuh dan tos. Kacau rata sebelum dimasukkan air secukupnya. Saya letakkan sedikit garam. Masaklah nasi menggunakan rice cooker seperti biasa.


Ayam Madu
1 ekor ayam dg kulit - potong 4 atau 6
Serbuk kunyit 
Garam halus
Sedikit madu 

Lumur ayam dengan bahan di atas dan perap lama lama. Jika banyak, boleh disimpan di dalam freezer untuk kegunaan masa depan.

Goreng dengan minyak penuh sehingga ayam masak.





Sambal Cili
6 - 8 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
Gula
Air asam jawa

Masak cili dan bawang putih kisar sehingga mendidih dan agak agak cili masak. Kemudian masukkan gula dan terus masak sehingga bertukar warna gelap. Akhir sekali masukkan air asam jawa. 
Sambal Kicap
Bawang putih
Kicap cap kipas udang 
Sedikit air

Tumbuk bawang putih dan satukan dengan kicap serta sedikit air. Masaklah sehingga mendidih.
Nota: Kena manis sedikit. 
Sup
Leher dan sayap 
Bawang merah
Halia
Sedikit serbuk sup/sup bunjut
Garam
Daun bawang

Masak ayam dengan air, bawang dan halia sehingga mendidih. Masukkan serbuk sup dan garam. Sesuaikan rasa.
Taburkan daun bawang. 



Sambal Tumis Ikan Sardin Mackerel


Hari ini saya nak kongsikan sesuatu yang sangat menarik yang saya hanya mengetahuinya selepas mengikuti kuliah Zohor Ustaz Najhan Shahir Halim mengenai umur 40 tahun. Selama ini banyak dikatakan life begin at 40. Sebenarnya perkara ini ada disebut di dalam Al Quran. Surah (Al-'Aĥqāf): ayat15 - "Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapaknya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusunya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau ridhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

Usia 40 tahun adalah usia matang di mana Nabi Muhamad SAW sendiri telah diangkat menjadi Rasul pada usia itu. Jadi Kalau usia dah masuk 40 tahun,nkita kena kenangkan kembali jasa ibu yang mengandung, melahirkan dan menyusukan kita. Jangan lagi dok memakan hati dengan ibubapa. Redha lah dengan ibubapa walau apa sekali pun. Mulalah menelefon bertanya khabar, memohon keampunan dan sentiasa berdoa untuk ibubapa dalam setiap selepas solat. Pengalaman hidup kita sendiri sebelum ini, membolehkan kita di usia ini untuk memperturunkan ilmu dan nasihat kepada zuriat kita. 




Usia bermula untuk beramal secara serius adalah pada usia 40 tahun. Umur umat Nabi Muhamad adalah antara 60-70 tahun. 1/3 usia terakhir kena melangkah ke arah perbanyakkan ibadah. Bila masuk usia 40 tahun, kenalah mula melakukan solat sunat rawatib, melakukan qiamullail, solat sunat Dhuha dsb. Kurangkan tidur dan berseronok seronok dengan aktiviti tidak berfaedah. Ketika ini juga kedudukan ekonomi telah stabil, jadi mulalah perbanyakkan bersedekah. Kena juga perbanyakkan bertaubat, kalau melakukan dosa di sebelah pagi, terus bertaubat sebelum tidurnya seperti amalan Rasulullah. Jangan sesekali dihimpunkan dosa. Kalau diabaikan, dikuatiri kita tak sempat mengumpul pahala dan bimbang kalau kita tidak dapat menjawab soalan Allah berkenaan usia. Kita akan ditanya 4 perkara, salah satunya ialah tentang umur. 

Secara kesimpulan, Allah menyuruh supaya kita bila masuk umur 40 tahun, untuk memulakan sesuatu seperti yang disarankan di dalam Al Quran:

1. Bersyukur atas nikmat
2. Berbuat baik dengan ibubapa 
3. Perbanyakkan amalan soleh
4. Mendidik anak anak kita
5. Perbanyakkan taubat

Cukup dulu perkongsian ilmu dan sekarang kita masuk bab masakan pula. Ikan Sardin memang kegemaran, tak kiralah dimasak apa pun, memang ianya akan menbangkitkan selera saya. Saya lebih suka ikan sardin Mackerel berbanding sardin biasa. Kalau biasanya saya membuat sardin yang sedikit berkuah untuk dijadikan kuah, tapi kali ini saya membuat Sambal Tumis Sardin, ala ala Sambal Tumis Udang cuma ianya menggunakan ikan sardin. Saya belajar cara cara memasaknya juga dari Kak Rokiah yang berniaga nasi lemak pagi yang sedap di tepi perumahan polis di Kelana Jaya. Ianya berdekatan dengan Lembaga Tabung Haji. Semua lauk yang disajikan, sedap sedap belaka, terutamanya Rendang Pedas Nogori. Boleh klik di SINI. Saya hanya berpeluang makan di sini di hari minggu sebelum mengaji di rumah Kak Kamariah.

Jom kita tengok resepi dan cara saya memasak Sambal Tumis Sardin...

Sambal Tumis Sardin

Bahan bahan
1 tin sardin
1 biji bawang besar - hiris bulat
Air asam jawa (saya guna 1/4 asam keping)
1 sk garam halus 
Gula

Bahan kisar:
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10-15 tangkai cili kering

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng ikan sardin seketika. Tutup kuali supaya ianya tidak meletup dan mengotorkan dapur. Angkat dan ketepikan. 
Dengan menggunakan minyak yang sama, tumis bawang kisar dan cili kisar sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak. Masukkan sedikit gula dan kacau lagi. Kemudian masukkan sedikit air asam jawa atau asam keping. Kalau telah rasa masam, bolehlah keluarkan asam.
Masukkan sos sardin ke dalamnya dan garam. Kacau rata. Jika kering, masukkan sedikit air.

Akhir sekali, masukkan ikan sardin dan bawang besar. Sesuaikan rasa dan kepekatan kuah yang disukai. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
Boleh juga dimasukkan ubi kentang yang dipotong wedges dan digoreng seketika. 


Koleksi Resepi Nasi Ayam Azie Kitchen



Kalau ditanya kenapa saya punya banyak sekali resepi Nasi Ayam? Jawabnya kerana anak anak saya memang suka sangat makan nasi ayam. Bila tak tahu apa yang ingin dimasak hatta apa yang ingin dibeli, pasti nasi ayam lah yang menjadi penyelamat. Atas sebab itulah, saya seronok untuk mencuba pelbagai resepi Nasi Ayam. Malahan sebelum mencuba resepi Nasi Ayam Hainan, saya membaca banyak blog blog masakan terutama dari Singapura supaya saya dapat menghasilkan Nasi Ayam Hainan yang original. Ini adalah antara nasi ayam kegemaran saya sendiri terutama Nasi Ayam Hainan di Chicken Rice Shop.

Jom kita layan koleksi resepi resepi Nasi Ayam yang ada dalam blog Azie Kitchen. Tujuan saya meletakkan di sini adalah untuk memudahkan rujukan saya sendiri. Sebenarnya ada 2 lagi resepi yang belum sempat, saya cuba. Insya Allah, saya pasti akan mencuba 2 lagi resepi itu di masa yang sesuai kelak. Kalau nak tengok resepi, klik sahaja di link di bawah gambar gambar di bawah. Jom layan....


Nasi Ayam Istimewa Yang Sangat Sedap





Nasi Ayam Ipoh Yang Sedap





Nasi Ayam Hainan Yang Diidamkan





Nasi Ayam Nur Qaseh Versi Ayam Panggang





Nasi Ayam Nur Qaseh





Nasi Ayam Sempoi





Nasi Ayam Original





Nasi Ayam Kukus dengan Ayam Panggang





Nasi Ayam Paling Sedap Nani Rostam





Nasi Ayam Turun Temurun Keluarga Zura


Image may be NSFW.
Clik here to view.


http://aziejaya.blogspot.com/2014/04/nasi-ayam-resepi-turun-temurun-yang.html



Haaa jika anda sedang tercari cari resepi Nasi Ayam, pilih sahaja mana mana resepi yang disukai. Semuanya sedap pada kami sebab kami memang penggemar Nasi Ayam. Tapi resepi yang paling banyak dicuba oleh pembaca blog Azie Kitchen adalah resepi Nasi Ayam Istimewa.

Selamat mencuba...


Taugeh Goreng Dengan Tauhu Dan Kucai





Sayur taugeh goreng ini adalah resepi mudah yang disediakan untuk melengkapkan hidangan. Setiap kali memasak, saya akan cuba menyediakan hidangan sayuran sebagai pelengkap. Tapi macam biasalah anak anak memang tak suka makan sayuran, kecuali Juita yang suka makan petai dan bendi. Kadang kadang terfikir juga, bila anak anak yang besar tak makan sayur, bagaimana mereka ingin mendidik anak anak mereka pula akan kepentingan memakan sayuran sebagai memenuhi keperluan badan kita. Kadang kadang untuk menarik perhatian mereka, saya akan masukkan udang yang besar besar. Tapi dalam gambar tu, memang tak dimasukkan udang pun.

Dulu dulu pun saya tak suka makan taugeh, kalau makan pun taugeh atau yang kami panggil sebagai kacang cambah yang dimasak lemak putih dengan ikan rebus yang ditumbuk lumat. Saya belajar cara memasak sayuran taugeh ini dari kakak ipar saya memasak dengan sangat sedap dan taugeh yang kekal rangup. Rahsia nya jangan masukkan air, hanya goreng seketika sahaja, terus ditutup api. Sementara ianya disejukkan, taugeh akan menjadi sedikit lembut. Memasak ni kena pandai teknik juga, ianya akan datang setelah kita membuatnya berkali kali. Kalau macam saya ni, alamak seminggu sekali jer masuk dapur. Jadi manalah nak pandai memasak seperti orang lain. Masa muda remaja lagi lah tak masuk dapur. Terus terang, bonda saya tidak menekankan anak anak perempuan pandai memasak sangat pun. Yang penting, kami belajar pandai pandai. Lagi pulak, masakan kami simple simple jer, tak perlulah nak belajar sangat pun, pasti boleh membuatnya. Tapi kedua ibubapa saya sangat bertegas dalam bab solat mengaji dan berpuasa. Arwah ayah telah bersusah payah membayar fidyah untuk saya kerana tidak menggantikan puasa sebelum masuk puasa tahun berikutnya. Maklumlah masa tu, baru masuk akil baligh dan tak pulak dapatkan nasihat ibubapa. Bila tahu sahaja, terus arwah menyelesaikannya. Dia adalah model seorang bapa yang sangat saya kagumi. Begitu juga bonda yang kasihnya pada saya dan adik beradik melangkaui dunia. Walaupun telah berkahwin, bonda masih memantau solat saya bagi memastikan saya tidak melengah lengahkan solat.

Jom kita tengok resepi mudah mudah ni....



Taugeh Goreng
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Taugeh
Udang kecil 
1 keping tauhu - potong dan goreng
Secekak daun kucai
1 biji cili merah
Kicap
Garam
Serbuk perasa, jika suka

Cara cara:
Tumis bawang putih sehingga wangi. Masukkan taugeh, kicap dan sedikit garam. Kacau rata.

Masukkan pula daun kucai dan cili merah. Akhir sekali, masukkan tauhu yang digoreng. Kacau rata seketika jer. 

Boleh tutup api dan sedia untuk dihidangkan.





 

Udang Goreng Mentega




Memang mudah dan sangat cepat menyediakan Udang Goreng Mentega. Kalau dulu saya menyediakan Udang Butter yang biasa terdapat di restoran makanan laut iaitu yang berserat dengan telur di SINI. Satu lagi pulak, versi anak anak yang menggunakan sotong atau udang yang dicelup dengan tepung di SINI. Yang ini pulak, versi berkuah lemak manis. Kalau dimakan di restoran, harganya sangat lah mahal. Jadi eloklah disediakan sendiri di rumah buat hidangan keluarga. Selain dimakan dengan nasi, ianya juga dicicah dengan roti atau mantao. Saya sebenarnya tak makan pun lauk ini kerana takut allergik naik semula. Tapi seronok melihat anak anak lepas seorang seorang masuk ke dapur menyenduk lauk di kuali. Memang mereka suka lauk yang bermentega seperti ini. Sejak kebelakangan ini, saya memang dah mengurangkan makan nasi terutama di sebelah malam. Bukan apa, nak kena diet sedikit supaya lebih cergas. 






Sebelum melihat resepi, saya ingin berkongsi catatan berkenaan dosa dan taubat yang disiarkan dalam rancangan bersama Ustaz di Radio Klasik. Tapi lupa pulak untuk mencatat nama ustaznya. Sambil mendengar, saya menyalin di dalam iphone. Antaranya ialah berkenaan catatan amalan kita yang akan ditimbang di Padang Masyhar. Ianya untuk melihat amalan kita semasa di dunia, antara catatan dosa dan pahala. Kita diingatkan agar sentiasa beristighfar supaya pertama, Allah menutup atau menghapuskan kejahatan kita kerana di Padang Masyhar semua perbuatan kita di dunia akan didedah pada umum. Kedua, juga kena memohon agar segala dosa kita tidak dihisab. Selain beristighfar, kita mesti lah meninggalkan semua kejahatan lalu dan berazam untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. Perlu menyesal dengan apa yang dilaku sebelum ini. Dosa yang dibuat dengan Allah, lebih mudah urusannya berbanding dosa dengan manusia. Ini adalah kerana bagi dosa dengan manusia, tidak terhapus dosa tersebut dengan hanya bertaubat. Sebaliknya kita kena memohon maaf atau memulangkan kembali apa yang telah diambil dari orang yang kita telah berbuat salah. Contoh, dosa mengumpat kita kena mengakui kesilapan pada individu berkenaan. Selepas dimaafkan, baru selesai. Ulamak bagi panduan, supaya memperbanyakkan amalan kebaikan supaya kebaikan akan menghapus kejahatan yang pernah dilakukan. Kebaikan yang banyak akan dapat mengimbang proses timbangan untuk menghapus kejahatan. Namun begitu, bagi dosa besar, perlu memohon ampun dan bertaubat yang khusus. Tak perlu disebut dosa besar yang dibuat tapi perlu menggambarkan atau membayangkan dosa yang kita telah lakukan dahulu dan mohon ampun secara khusus. Dosa dosa kecil boleh gugur dengan membuat amal kebaikan. Sebagai contoh, amalan yang menpunyai kelebihan seperti berjalan kaki menuju ke masjid di mana bagi setiap satu langkah, Allah akan menghapus dosa dan satu langkah juga, Alah akan menambah darjat kita. 

Jom kita tengok resepi yang sangat simple ini....


Udang Goreng Mentega

Bahan bahan:
1 kilo udang
8 ulas bawang putih - tumbuk
1/2 biji bawang besar kuning - cincang
3 tangkai daun kari
8 biji cili padi - hiris 
1 tin susu cair
3 sudu besar Mentega
Minyak
1 sudu besar tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
Garam
Gula

Cara cara:
Panaskan sedikit minyak dan mentega sehingga mentega cair. Tumis bawang putih, kemudian masukkan bawang besar. Setelah wangi, masukkan pula daun kari dan cili padi. Kacau rata.
Masukkan susu sejat, garam dan gula. Kacau rata sehingga mendidih. Masukkan air bancuhan tepung jagung dan kacau sehingga agak pekat. 
Akhir sekali, masukkan udang. Kacau rata sehingga udang masak mengikut kepekatan kuah yang disukai.
Bolehlah diangkat. Hidang dengan nasi atau dicicah dengan roti atau wantao

Nota:
Boleh juga dibuat ketam atau ayam. Tapi kalau ayam, perlu digoreng dahulu seketika.




Viewing all 2243 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>