Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2246 articles
Browse latest View live

Nasi Ayam Hainan Sasana Kijang Yang Terbaik

$
0
0





Walaupun dimakan ketika sejuk, namun dapat dirasakan inilah nasi ayam yang benar benar memenuhi selera saya. Memang sangat sangat sedap. Hmm harganya pun memang berpadanan. Punya teringin nak makan, sampai tak sempat nak dipanaskan dalam microvave. Mana tak sedapnya, nasi ayam resepi Chef di hotel terkemuka. Memasak nasi ayam ni bukan susah, semua orang pun pandai memasak nasi ayam. Namun sedikit tips dan kelainan dalam proses penyediaan dapat menghasilkan nasi ayam yang menpunyai rasa yang berbeza dan pastinya lebih sedap.

Saya memang bertekad untuk mendapatkan resepi nasi ayam yang sangat sedap ini. Banyak kali percubaan dibuat sehingga akhirnya saya dapat bercakap sendiri dengan Chef yang menyediakan nasi ayam. Sungguh seronok. Berdasarkan perbualan telefon, saya membuat catatan dan kemudian mengolahnya supaya menjadi rujukan yang mudah. Saya memang bercadang untuk berkongsi resepinya di sini jika ianya diizinkan oleh tuanpunya resepi supaya dapat dijadikan rujukan anak anak saya di masa akan datang. Jadi buat masa sekarang, hanya layan gambar sahaja dulu ya. 




Selepas sehari makan pun, masih teringat ingat keenakan nasi ayam ini. Aduhaai ianya bukan setiap hari menu yang boleh dibeli di cafetaria. Jadi memang kena sabar dan tunggu bila lagi menu nasi ayam akan dijual.  Apa apa pun, yang pasti resepi ini akan menjadi "a Keeper Recipe" untuk nasi ayam keluarga saya.




Hari Jadi Yang Sangat Bermakna

$
0
0






Hari jadi tahun ini adalah sangat signifikan dalam hidup saya. Bukan sahaja ianya telah menambah umur saya ke satu tahun lagi seperti tahun tahun yang lalu tapi juga perubahan dari segi nombor di hadapannya. Yang pasti ianya adalah tahun yang membawa banyak perubahan dalam hidup saya sendiri. Cara saya melihat kehidupan juga telah banyak berubah. Saya dapat merasakannya dengan begitu ketara. Semoga Allah akan terus memberikan taufik dan hidayah nya kepada saya. Juga semoga hari hari mendatang akan memberi lebih kebaikan berbanding hari ini dan hari sebelumnya. 

Kek red velvet untuk hari jadi saya kali ini disediakan oleh anakanda bongsu saya, Juita. Beliau telah seorang diri menyediakannya walaupun tiba di rumah agak lewat kerana menpunyai akitiviti ko kurikulum. Malahan ketika dia masuk ke bilik untuk mengucapkan hari jadi kepada saya, saya telah pun dibuai mimpi indah. Terima kasih, Baby. Mama love you so much...  
 
 



 
Ini adalah antara kuih muih yang disediakan oleh sahabat sahabat baik saya untuk majlis ringkas pada hari ini. Saya sangat sangat terharu kerana di sebalik kesibukan masing masing, mereka tidak lupa untuk meraikan hari jadi saya. Terima kasih yang tidak terhingga.
 
 
 




 
 
Ini adalah antara detik detik yang menyeronokkan di pejabat apabila berpeluang untuk berada dalam majlis makan makan. Masing masing memang sporting untuk bergambar sebagai kenangan. 
 
 


 
 
Tidak lupa ribuan terima kasih kepada Kelab Jabatan yang telah memberikan kad ucapan serta kepada adinda saya, Roslina Hitam yang telah memberikan brooch yang sangat cantik.
 
 


 

 
Terima kasih semua yang telah mengucapkan selamat hari lahir pada saya. Doakan semoga kita semua dipanjangkan umur untuk terus melakukan amalan soleh.....
 
 
 
 

Kek Red Velvet Istimewa Dari Juita

$
0
0






Seperti yang saya tulis dalam entri di SINI, hari jadi saya kali ini agak terlebih istimewa berbanding tahun tahun sebelumnya. Saya diraikan oleh rakan rakan sepejabat di sebelah pagi. Di sebelah malam, sessi makan makan bersama anak anak di Noddle House dan keesokannya saya meraikan bersama beberapa orang sahabat baik di Restoran Serai di Empire. Untuk majlis di pejabat, Juita telah menyediakan kek Red Velvet menggunakan resepi kami yang biasa di SINI. Kawan kawan ramai yang memuji kek ini yang sangat moist and velvety. Dengan dekorasi simple, kek ini sangat laku dan sekejap sahaja telah licin. 





Teringat dulu dulu, saya membeli kek Red Velvet di Bangsar Shopping Mall dengan harga RM100 sebiji. Setiap pagi saya akan ke dapur, buka peti dan terus makan kek. Saya akan makan setiap kali ke dapur sehingga kek habis. Sebenarnya kek ini sangat nyaman jika dimakan sewaktu masih sejuk. Memang heaven gilerr.... Nana juga sukakan kek ini. Pernah sahabat saya, Dato' Daing Khatijah membeli kek Red Velvet untuk Nana sebelum dia balik ke Egypt. Begitulah kegemaran kami kepada kek yang berwarna merah ini. Tapi kini setelah menyediakannya sendiri, kesukaan memakan kek telah berkurangan, lebih lebih lagi selepas saya disahkan mempunyai masalah allegik dengan tepung gandum. 








Resepi ini bukan sahaja digunakan untuk menyediakan kek tapi juga untuk disediakan cupcake dan juga Red Velvet Cheese Cake Brownies. Pendek kata, ini adalah a Keeper Recipe for Red Velvet untuk keluarga kami. Jika ada yang berminat untuk mencuba sendiri, silakan lah....resepi memang untuk dikongsi tapi bukanlah gambar gambarnya. Kebelakangan ini, terdapat pihak yang mengambil gambar gambar dari blog saya tanpa kebenaran. Saya tidak kisah jika gambar diambil untuk koleksi dan simpanan sendiri kerana saya juga suka menyimpan gambar gambar masakan.... 




Red Velvet Cupcake
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 1/2 cawan all-purpose flour
1 sk garam
2 sb cocoa powder
1 1/3 cawan vegetable oil
1 cawan buttermilk - suhu bilik (atau 1sb jus lemon + 1 cawan susu)
2 sb red food colouring
1 sk vanilla extract
2 biji telur gred A - suhu bilik
1 1/4 cawan gula kaster
1 sk white distilled vinegar
1 sk baking soda 

Cara-cara:
Pukul minyak dan gula sehingga sebati dan masukkan telur, pukul lagi sehingga kembang dan ringan selama 2-3 minit.

Satukan dan ayak tepung gandum, serbuk koko dan garam.

Dalam mangkuk lain, satukan buttermilk, pewarna merah dan esen vanila.

Menggunakan kelajuan sederhana, masukkan tepung berselang-seli dengan larutan buttermilk dimulai dan diakhiri dengan tepung (masukkan 1/2 tepung dulu, kemudian semua buttermilk dan seterusnya semua tepung yang masih berbaki).

Dalam satu mangkuk kecil, campurkan cuka dengan baking soda. Campuran akan berbuih atau berbusa. Dengan segera tuang ke dalam adunan dan terus kaup balik.

Masukkan adunan ke dalam loyang bulat saiz 9 inci dan bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga kek masak. Sekiranya ingin membakar menggunakan 2 loyang yang sama besar, bahagi adunan kepada 2 bahagian yang sama banyak dan bakar pada suhu 170C selama 20-30 minit. Kami hanya membakar selama 25 minit untuk 2 loyang.

Setelah masak, biarkan kek sejuk di dalam loyang selama 10 minit. Kemudian keluarkan kek dan sejukkan sepenuhnya di atas redai.

Akhir sekali, balut kek dengan plastik dan simpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam atau sehingga semalaman untuk memudahkan proses menghias kek. (Kalau tak ikut langkah ni pun tak apa. Boleh saja terus menghias kek. Cuma langkah ni memang membantu).

Nota:
Cupcake dibakar selama 15 minit pada suhu 170'C.


  

Best Ever Cream Cheese Frosting
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
8 oz cream cheese - sejuk
5 sudu besar butter - lembut (70.8 gm/2.5 oz)
2 sk vanilla extract
2 cawan gula ising - ayak

Putar cream cheese dengan butter dan vanilla extract sehingga sebati.

Sedikit demi sedikit, masukkan gula ising sehingga mencapai konsistensi dan kemanisan yang disukai.

Simpan di dalam peti sejuk sehingga agak stiff sebelum menggunakannya. Boleh disimpan di dalam peti sejuk sehingga 3 hari.


Selamat mencuba...





Sambutan Hari Jadi Di Restoran Serai Empire Gallery Mall

$
0
0




Entri kali ini masih lagi berkisar tentang hari jadi saya. Selain meraikan bersama rakan sepejabat, bersama anak anak, kami juga meraikannya sekali lagi bersama sahabat sahabat yang telah diadakan di Restoran Serai di Empire Gallery Mall, Subang Jaya. Hubby menjemput Dato' Salehuddin dan Haji Kamaruddin bersama keluarga masing masing untuk bersama sama meraikan hari yang istimewa ini. Dr Aziz pula tidak dapat bersama kerana mempunyai urusan di outstation. Saya percaya hari istimewa seperti ini akan lebih meriah jika dapat diraikan bersama sahabat yang juga istimewa dalam hidup kami. Mereka adalah teman rapat sejak lebih 30 tahun dari zaman universiti lagi.





Pemilihan Restoran Serai dibuat selepas mengambilkira cadangan Dato Saleh. Saya sebenarnya belum pernah ke sini walaupun banyak kali terbaca mengenainya. Terkejut juga melihat a long queue di hadapan pintu masuk restoran ini. Nasib baik kami tiba lebih awal untuk membuat tempahan dan bersolat Maghrib di Empire. Jika tidak, pastinya agak sukar untuk mendapat tempat bagi memuatkan bilangan yang ramai.

Nelly dan Nana telah menghadiahkan sebiji kek fondant yang sangat istimewa kerana ianya berhiaskan replika handbag Chanel yang merupakan handbag yang paling saya minati. Inilah kali pertama saya menerima kek fondant. Terima kasih Kakak dan Adik atas hadiah kek yang comel ini... 







Makanan di sini memang sedap sedap semuanya. Selain Serai Platter, saya juga telah dihidangkan dengan Salmon. Haaa birthday girl mendapat 2 pinggan sekali gus, gara gara terlupa cancel order menu pertama. Selepas makan makan, diadakan acara memotong kek harijadi. Hmmm malu malu saya bila dinyanyikan dengan lagu hari jadi yang juga disertai pelayan restoran. 






Terima kasih tidak terhingga pada hubby, anak anak dan sahabat sahabat yang telah sudi hadir di majlis yang tidak seberapa ini. Terima kasih atas hadiah dari Dato Saleh dan Haji Kamaruddin. Sebenarnya kehadiran anda semua sudah lebih dari memadai...









Hadiah Kek Harijadi Dari Nellisa dan Nana

$
0
0






Sempena majlis ringkas meraikan hari jadi saya di Restoran Serai Empire Gallery Mall yang turut dihadiri Dato' Salehuddin dan Haji Kamaruddin bersama keluarga masing masing, Nellisa dan Nana telah memberikan satu kejutan dengan menghadiah sebiji kek fondant yang sangat istimewa. Boleh klik di SINI untuk melihat entri majlis makan makan di Restoran Serai. Terima kasih Adik dan Kakak kerana telah membuatkan mama sangat gembira pada hari ini.







Apa yang membuatkan saya sangat teruja ialah bila kek yang ditempah adalah kek fondant dengan replika handbag yang saya minati iaitu Chanel. Kegembiraannya seolah saya menerima hadiah handbag Chanel itu sendiri. Mereka tahu apa yang boleh mengembirakan saya kerana kami menpunyai minat dan citarasa yang sama. Love you so much, Adik dan Kakak. Inilah kali pertama saya dihadiahkan kek fondant. Serious saya pernah sekali sahaja makan kek fondant walaupun banyak kali menempah kek ini untuk dihadiahkan kepada kawan kawan di majlis pertunangan dan perkahwinan mereka. Alhamdulillah kerana allegik saya telah pun hampir sembuh sepenuhnya, jadi dapatlah saya menikmati kek hadiah dari anakanda saya ini.





Nelly dan Nana adalah seorang anak yang sangat prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga. Nelly tahu apa makanan dan buah buahan kesukaan saya. Setiap kali keluar ke mana mana, pasti akan dibawa balik untuk kami di rumah. Begitu juga Nana yang tidak lokek untuk memberikan kami duit setiap bulan termasuk untuk adik adiknya. Saya memang sangat sangat bersyukur kerana dikurniakan anak anak yang sentiasa di sisi dan sahabat sahabat yang sentiasa menyokong di kala suka dan duka. Selain dari keluarga, sahabatlah yang paling utama terutama jika ahli keluarga kita tinggal berjauhan. Merekalah yang terlebih dahulu akan dihubungi di saat kita memerlukan seseorang.





Pastinya hari jadi tahun ini akan sentiasa kekal dalam ingatan sebagai hari jadi terindah yang penuh dengan kenangan manis. Saya mengharapkan supaya kehidupan saya selepas ini akan lebih bermakna dan saya diberikan taufik dan hidayah untuk melihat erti kehidupan sebenarnya.... Selamat Hari Jadi Azie.







Original Spaghetti Alla Carbonara Versi Laura Vitale

$
0
0

 

Resepi ini saya pelajari dari video Laura Vitale. Boleh dihidangkan untuk 6-8 orang. Resepi yang sangat mudah tetapi sedap terutama bagi penggemar pasta. Saya sebenarnya sejak dulu tidak berapa sukakan pasta, tapi lebih suka pasta Malaysia. Hahaha alaa mee kuning atau mee hoon atau laksa lah. Ini adalah makanan biasa sejak dah pandai pandai makan. Tapi bila anak anak dah besar, kenalah menyesuaikan dengan selera anak anak bandar. Dengan adanya banyak rancangan masakan di TV, lagilah selera anak anak berubah ke selera Barat. Namun begitu, mereka juga sukakan masakan Malaysia juga. Anak anak saya ni berselera versatile sedikit, semua mereka suka samada masakan Melayu, China, India, Jepun, indonesia dll. Berbeza dengan saya yang lebih berselera dengan masakan Melayu ala kampung lebih lebih lagi masakan Kelantan dan Negeri Sembilan.

Spaghetti ini diminta oleh Aween semasa menghantar whatsApp Happy Birthday, diselitkan sekali permohonan supaya dimasakkan spaghetti. Aduhaai anak saya yang sorang ni memang tengah kuat makan. Jadi saya mengajak hubby ke Giant untuk mencari bahan bahan dan saya memasaknya untuk hidangan sarapan pagi. Kalau ada yang hendak melihat cara cara menyediakannya, boleh lihat video nya di SINI. Resepi yang saya gunakan sebelum ini, boleh klik di SINI. Memang sangat mudah dan sedap. Sebenarnya kalau disediakan dalam kuantiti yang sedikit, lebih sedap. Macam di kedai, contohnya, kue teow biasanya dimasak untuk satu atau dua pinggan sekali goreng, barulah lebih sedap.

Jom kita layan resepi yang saya ubahsuai sedikit hari ini....



Original Spaghetti Alla Carbonara

Bahan bahan:
2 biji bawang besar kuning - cincang
8 keping daging lembu berlemak
3 sudu kecil minyak olive
5 biji telur
4 sudu besar cooking cream - resepi asal heavy cream
3/4 cawan freshly grated cheese
Sedikit serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
1 pek spaghetti - 500 gram

Cara cara:
Didihkan air di dalam periuk. Apabila mendidih, masukkan garam dan sedikit minyak sebelum dimasukkan pasta. Masak mengikut masa yang ditetapkan di pek bungkusan.

Di dalam kuali non stick, panaskan minyak olive dengan api sederhana, masukkan daging dan masak sambil dikacau sehingga ianya masak dan kelihatan garing di tepinya.





Masukkan bawang besar dan sedikit serbuk lada hitam serta garam. Masak dalam anggaran 5 minit.





Di dalam mangkuk, whisk telur, heavy cream dan parutan cheese dengan sedikit garam dan serbuk lada hitam sehingga sebati.





Ketika ini, pasta telahpun masak, angkat dan tos. Angkat daging dari dapur, tuangkan pasta yang telah ditos. Dengan cepat, tuangkan bahan telur tadi ke dalamnya dan kacau sehingga pasta bergaul rata dengan adunan telur tadi. 





Tuang ke dalam pinggan dan sedia untuk dinikmati sewaktu masih panas panas.






Sambal Tempoyak Ikan Bilis

$
0
0



Saya pelajari resepi ini dari sahabat fb saya, Puan Jamaliah Ibrahim yang sentiasa sudi berkongsi resepi tanpa sebarang syarat. Itulah perkongsian ikhlas yang Allah janjikan ganjaran pahala yang besar. Kalau zaman dulu orang begitu kedekut untuk berkongsi resepi terutama orang berniaga. Perlulah diingatkan dengan resepi yang sama, belum tentu menghasilkan masakan yang sama sedapnya. Begitu juga rezeki seperti mana kita tidak dapat lari dari kematian, begitu juga rezeki Allah akan sampai kepada kita seperti mana kematian akan sampai pada kita. Itulah antara petikan kuliah Ustaz Ibrahim Muhammad tapi saya tak sempat menyalin hadis diriwayat oleh siapa. Jadi sama sama lah kita berebut ganjaran pahala di akhirat dengan berbuat amalan soleh dan kebaikan sebanyaknya sementara nyawa masih di badan. Ustaz Ibrahim selalu berpesan pada saya yang di saat ini, fokus pada membanyakkan amal soleh dan melupakan urusan dunia yang tidak penting.





Saya teringat untuk mencuba resepi ini setelah teringatkan tempoyak baru yang diberi oleh Kak Nyah, kakak ipar saya dari Ipoh. Memang sedap tempoyak baru, masih terasa manisnya. Kalau dulu tempoyak akan dibawa sahaja dari rumah arwah Bonda Mertua tapi kini, terpaksalah membeli. Bekalan tempoyak memang sentiasa ada di dalam peti sejuk rumah kami. Haaa cuma budu jer tak ada di sini kerana saya tak makan budu, walau pun akan makan jika dihidangkan.

Jom kita tengok resepi dulu....



Sambal Tempoyak Bilis Goreng

Bahan bahan:
2 genggam ikan bilis- dibersihkan
2 batang serai - dititik
1 senduk tempoyak 
1 sudu besar gula
Sedikit minyak masak
Garam

Bahan kisar:
8 -10 tangkai cili kering
Sedikit cili padi - iku pedas disukai
3 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
1/2 inci kunyit hidup - boleh guna serbuk kunyit

Cara cara:
Gorengkan seketika ikan bilis, angkat dan ketepikan

Tumis semua bahan kisar dan serai hingga wangi dan garing. Masukkan tempoyak, kacau sebati.





Tambah sedikit air dan kacau hingga pekat. Perasa garam dan gula dan akhir sekali masukkan bilis yg telah digoreng tadi, kacau sebati. 





Tutup api dan sedia dihidangkan. 







Kek Karot Yang Sangat Sedap

$
0
0




Hari ini saya ingin menayangkan lagi Kek Karot yang disediakan Juita untuk makan makan di rumah sahaja. Jadi deko pun tak dibuat, sekadar disapu dengan cheese cream sahaja. Resepi ini saya pelajari dari anakanda saya, Nana yang selalu menggunakannya sejak masih belajar di Egypt lagi.





Memang sedap dan sangat moist kek ini dan memang menepati citarasa kami tanpa perlu lagi mencari resepi Kek Karot yang lain. Sedap sekali jika dimakan sejuk walaupun ada yang suka ianya suam suam selepas dipanaskan di dalam microve. Semua terpulang kepada kesukaan masing masing. Kek yang dibuat sendiri memang sedap berbanding dengan kek yang dibeli di kedai hatta di Secret Recipe sekali pun tidak dapat menandingi homemade cake. 





Hahaha janganlah pulak, kata masuk bakul angkat sendiri sebab kesedapan ini adalah kerana faktor resepi, bukan sebab kami yang membuatnya. Sesiapa yang membuatnya pun, Insya Allah akan menghasilkan kek yang lembab, gebu dan sedap. Boleh klik di SINI dan SINI jika ingin melihat resepi yang digunakan. Saya lebih gembira jika resepi yang saya kongsikan dicuba oleh ramai orang. Tapi janganlah ambil gambar gambar untuk dipublish tanpa kebenaran pulak. Tapi kalau ambil gambar untuk simpanan sendiri, saya pun tak kisah kerana saya pun suka menyimpan gambar gambar masakan yang nampak cantik dan sedap. Sekarang banyak blog yang ciplak resepi dan gambar dari blog lain dan dimasukkan dalam blog mereka yang saya rasa tidak berapa berhemahlah. Apa apa pun, saya tak mahu lah merungut, kalau rasa nawaitu OK, OK lah.








Kari Ayam Kelantan

$
0
0



Entah kenapa sejak kebelakangan ini mood saya untuk update blog memang tak ada walaupun banyak resepi yang telah dicuba. Selepas download gambar gambar dan resepi, ianya terbiar begitu sahaja. Fokus dan keutamaan saya sekarang mungkin berbeza. Saya menemui perkara baru yang sentiasa dirindui untuk melakukannya. Saya menulis ini pun di dalam keadaan dipaksa paksa dan berat sekali. Aduhaaai memang mood ke laut lah. 

Sebelum melihat cerita resepi, nak selit sedikit ilmu yang saya dapat dari ceramah Dato Haron Din di youtube berkenaan 12 jenis manusia dengan pelbagai rupa dan keadaan di Padang Masyhar. Di antaranya ialah orang yang memakan harta anak yatim. Jadi dipesan supaya isteri yang kematian suami terus membahagikan harta pusaka kepunyaan anak anak. Jangan sesekali si ibu makan duit anak anak kerana ianya menjadi harta anak yatim. Sangat besar dosanya.

OK sekarang kita sambung semula bab resepi iaitu resepi kari ayam yang semua orang tahu membuat nya. Pendek kata, kalau pejam mata pun boleh buat. Apa yang nak dikongsi di sini ialah cerita disebaliknya. Saya akan bersarapan dengan hubby setiap hari. Kami memang menghadapi masalah untuk mencari tempat sarapan dan menu untuk sarapan. Memang jemu sangat sangat dengan menu yang tak pernah bertukar sejak bertahun tahun. Satu pagi, kami bersarapan di medan makan di pejabat sahaja. Saya membeli sebungkus nasi berlauk dengan kari ayam. Tapi saya memang kecewa sangat kerana kuah karinya terlalu cair dan tak sedap langsung. Jadi sambil makan, saya berfikir yang saya pun dah lama tak memasak kari ayam yang sangat mudah. Sekali sekala makan nasi berlauk kari ayam yang digandingkan pula dengan telur masin, ikan goreng garam kunyit dan sambal belacan mesti meletup. Jadi dalam perjalanan balik rumah, saya singgah di kedai runcit membeli bahan yang diperlukan. Separuh dari ayam diperap untuk dibuat ayam bakar yang sedap. Resepi yang saya belajar dari Puan Suria yang berniaga makanan Kelantan di Kelana Jaya. Nak tahu resepinya, kenalah tunggu di entri akan akan datang ya.

Jom bagi adik adik dan anak anak yang baru nak belajar memasak, mari kita tengok resepi mudah ini. Siapa tak pandai masak kari, tak boleh kahwin dulu...



Kari Ayam Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 ekor ayam
1 pek santan
3 sudu besar rempah kari Kelantan
1 biji bawang besar saiz kecil - kisar
1 inci halia - kisar
3 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Bunga lawang, kayu manis, buah pelaga
1 helai daun pandan
1/2 asam keping
Garam
Gula
1 biji ubi kentang

Cara cara:
Satukan rempah kari dengan bahan kisar. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris serta rempah penumis sehingga wangi dan garing. Masukkan rempah kari yang disatukan dengan bahan kisar tadi. Terus tumis sehingga naik minyak.

Masukkan ayam dan ubi kentang dan kacau rata. Lepas tu tuangkan sedikit santan dan masak sehingga ayam kecut. Masukkan pula santan selebihnya.





Masukkan daun pandan, garam, gula dan asam keping. Biarkan menggelegak sehingga pecah minyak dan ayam masak.





Bolehlah diangkat dan dihidangkan.






Ayam Bakar Berempah Kelantan Yang Sedap

$
0
0





Selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua warga Pekerja tanpa mengira di mana anda bekerja atau apa pangkat dan jawatan yang anda sandang. Bekerja adalah satu ibadah jika ianya dilakukan kerana Allah Taala yang menjanjikan pahala seperti seorang yang keluar berjihad. Apa apa pun jangan jadikan dunia menyibukkan dan menghalang kita untuk melakukan amal soleh. Contoh, selepas naik pangkat, hubungan kemanusiaan menjadi lemah dan masa untuk beribadat juga terpaksa dikurangkan. Hahaha manusia diuji dengan macam macam. Ada yang diuji dengan pangkat dan harta serta kesenangan. Ada pulak yang diuji dengan kesusahan. Kedua duanya adalah kerana manusia memang dijadikan untuk menempuh pelbagai ujian kehidupan. Esok saya dan kawan kawan menpunyai program. Jadi esok bukan hari untuk berehat buat saya. OK sekarang kita beralih ke bab masakan pula. 

Resepi ini saya pelajari dari sahabat baru saya, Suria wanita Kelantan yang memang cantik dan bergaya. Su berniaga makanan Kelantan untuk sarapan di tepi kediaman polis berhampiran LUTH Kelana Jaya. Kebiasaan nya saya makan nasi kerabu dengan Gulai Ikan Aya. Entah kenapa hari itu, saya memilih Ayam bakar. Aduhaai sangat sedap pulak ayam bakar tu menyebabkan saya ringan mulut memuji Su dan menanyakan bagaimana memyediakan ayam bakar ni. Hahahaha tanya kias kias dulu. Bila Su kata, nanti kita message, saya pun malam nya juga terus menghantar message. Su hanya memberitahu bahan bahannya sahaja dan kuantitinya, saya agak agak sendiri.

Sedap ayam bakar ini, apalagi dimakan panas panas. Saya perap ayam semalaman. Lagi pulak, lauk seperti ini lebih sihat dan berkhasiat kerana tidak menggunakan minyak atau santan. Saya biarkan kulit ayam sedikit supaya ianya tidak terlalu kering ketika dibakar. Ayam ini boleh juga digoreng, jika suka. Semoga Su diberikan pahala yang banyak kerana keikhlasan berkongsi ilmu walaupun Su sendiri berniaga. Terima kasih buat Su semoga dimurahkan rezeki.

Jom layan resepi dulu...



Ayam Bakar Berempah Kelantan

Bahan bahan;
1/2 ekor ayam - dengan kulit
3-4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
Sedikit rempah kari - opsyenal (tak letak)
3-4 tangkai cili kering
3 batang serai
Garam
Gula

Kisar semua bahan di atas dan masukkan garam dan gula. Gaul sebati dan perap dengan ayam lama lama. 





Boleh dibakar di atas dapur arang atau di dalam oven. Saya membakar di dalam pemanggang ajaib jer. Saya akan sudukan keluar air yang bertakung.







Nota:
Boleh juga diperap semalaman dengan disimpan dalam freezer.






Red Velvet Cheese Brownies Cupcakes Untuk Anak Anak Yatim

$
0
0





Sebelum kita masuk bab resepi, saya ingin menyentuh sedikit bab resepi. Sebenarnya ramai yang menghantar email kepada saya memohon untuk menyalin resepi. Saya memang mengalu alukan pembaca semuanya mencuba resepi resepi yang telah saya cuba. Saya ingin menekankan di sini yang saya tidak pernah mencipta resepi tapi semua resepi adalah dipelajari dari keluarga, dari kawan kawan dan diambil dari blog yang berkongsi resepi. Setelah dicuba, saya berkongsi pula dengan anda semua. Yang saya tegur adalah perbuatan mengambil gambar masakan saya tanpa kebenaran. Mengambil gambar pun tak ada masalah juga. Yang saya maksudkan ialah mengambil gambar dan dipublish dalam blog sendiri tanpa kebenaran. Kalau sekadar ambil resepi, tak perlulah minta kebenaran. Begitulah luahan blogger lain yang tidak senang dengan tindakan menciplak gambar masakan, bukan isu menyalin resepi. Apa guna ada blog berkongsi resepi jika tak mahu orang lain mengambil resepinya. Malahan itulah tujuan utama saya menpunyai blog sendiri supaya saya dapat berkongsi sedikit ilmu masakan yang saya pelajari dengan pembaca semua. 

Semalam saya ada menghadiri kuliah maghrib yang diadakan di Surau Ad Dhuha di mana Ustaz ada dikongsikan amalan yang sangat digalakkan untuk bulan Rejab dan Syaaban sebagai latihan dan persediaan menghadapi bulan Ramadhan. Walaupun tiada amalan tertentu dalam bulan Rejab, tetapi kita boleh berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, mantapkan untuk bersolat Tahajjud, perbanyakkan berzikir serta bersedekah. Akhir sekali dipesan supaya kita sentiasa mengucapkan kalimah yang baik dan berpesan pada benda yang baik baik. Bercakap atau menulis pada benda yang memberi kebaikan pada dunia dan akhirat. Hindarilah kalimah yang tidak baik yang tidak memberi sebarang manafaat.  





Sekali lagi Juita menyediakan Red Velvet Cheese Brownies Cupcakes untuk dibawa ke Program Masih Ada Yang Sayang di Rumah Anak Anak Yatim dan Miskin di Sg Pinang Klang. Saya hanya membantu melorekkan sahaja. Entah kenapa sejak kebelakangan ini saya sangat kepenatan selepas balik dari pejabat. Di samping itu, disediakan juga Chocolate Cupcake kerana dikuatiri cupcake yang dibawa tidak mencukupi. Inilah kali pertama saya menggunakan resepi di SINI untuk membuat cupcake. Yang chocolate cupcake, terlupalah pulak nak snap gambarnya.

Jika ada yang berminat untuk mencuba sendiri atau mencari resepi untuk dibuat berniaga, memang saya galakkan mencuba resepi ini. Sangat sedap dan lembab kek nya....



Red Velvet Cheese Brownies Cupcakes

Bahan bahan:
2 1/2 cawan all-purpose flour
1 sk garam 
2 sb cocoa powder 
1 1/3 cwn vegetable oil (atau 113gm mentega - dicairkan)
1 cwn buttermilk - suhu bilik (atau 1sb jus lemon + 1 cwn susu segar)
1 sb red food colouring
1 sk vanilla extract
2 biji telur gred A - suhu bilik (saya guna 2 saiz B jer)
1 1/4 cawan gula kaster
1 sk white distilled vinegar
1 sk baking soda 

Cara-cara:
Pukul minyak dan gula sehingga sebati dan masukkan telur, pukul lagi sehingga kembang dan ringan selama 2-3 minit.

Satukan tepung gandum, serbuk koko dan garam sebelum diayak. Dalam mangkuk lain, satukan buttermilk, pewarna merah dan esen vanila.

Menggunakan kelajuan sederhana, masukkan 1/2 dari tepung diikuti dengan buttermilk dan akhir sekali kesemua baki tepung.  

Dalam satu mangkuk kecil, campurkan cuka dengan baking soda. Campuran akan berbuih atau berbusa. Dengan segera tuang ke dalam adunan dan terus kaup balik.

Masukkan adunan ke dalam loyang 4 persegi saiz 9x9 atau 10x10 inci yang telah diletakkan baking paper. Atau masukkan ke dalam paper cup untuk cupcake. Ketepikan lebih kurang 2-3 sudu besar adunan kek untuk dibuat corak atas lapisan cheese nanti. 

Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 170C selama 50 minit hingga 1 jam atau sehingga kek masak. Untuk cupcake, bakar dalam 20 minit atau sehingga masak. Sementara kek dibakar, boleh sediakan adunan cheese.





Setelah kek masak, boleh ditekan tekankan sedikit kek jika ianya agak meninggi. Kemudian tuangkan adunan cheese dengan tak perlu disejukkan. Ratakan lapisan cheese. 





Isikan adunan brownies yang diasingkan tadi ke dalam piping bag dan paipkan secara melintang sehingga habis. Kemudian lorekkan secara ulang alik menggunakan lidi bersih atau corak mengikut kreativiti masing masing. 





Sambung membakar selama 30 minit lagi atau hingga masak. Untuk cupcake, dibakar dalam 10 minit. Biarkan betul betul sejuk dan masukkan ke dalam peti sejuk. Akhir sekali kek dipotong dengan pisau yang dicelup dengan air panas dan lap sebelum digunakan. 




Lapisan Cheese

Bahan bahan:
350 gm cream cheese
1 cawan gula ising
1 biji telur gred A (saya guna gred B)
1 sb jus Lemon

Cara cara:
Dengan menggunakan electric mixer, putar cream cheese hingga berkrim. Masukkan gula icing dan pukul hingga sebati. Kemudian masukkan telur dan putar lagi hingga sebati. Kemudian masukkan jus lemon dan putar lagi. Tuangkan atas brownies yang telah masak tadi dan ratakan. 





Nota:
1. Buangkan baking paper dari brownies dan simpan brownies dalam peti ais utk mendapatkan rasa yang lebih sedap dan brownies juga lebih mudah dan cantik dipotong bila sejuk.
2. Utk membakar selepas dimasukkan lapisan cheese, boleh lah menggunakan api bawah sahaja apabila permukaan cheese mula menampakkan warna keperangan.
3. Boleh juga jika ingin menggunakan tepung gandum biasa, cuma tambahkan 1 sudu kecil baking powder dan 1/2 sudu kecil soda bikarbonat (kemudian ayakkan sekali dgn tepung dan serbuk koko). Tepung kek boleh dibuat sendiri dengan mencampurkan bagi 1 cawan, masukkan 2 sudu besar tepung jagung dan selebihnya dengan tepung gandum.
4. Utk mendapakan potongan yg licin dan cantik, gunakan pisau yang dipanaskan terlebih dahulu.



Kek Buah Kukus Lembab dan Sangat Sedap

$
0
0






Entah kenapa hari ini tiba tiba jer terasa nak membuat Kek Buah Kukus lebih lebih lagi memikirkan mixed fruits yang dibeli sudah hampir tarikh luput. Balik dari klinik di USJ kerana serangan gastrik, terus ajak Boy singgah di Bake With Yen yang baru dibuka di seksyen 8. Seperti yang saya tulis dalam entri Kek Buah Campuran Kak Leen di SINI, saya amat menggemari Kek Buah Kukus yang di buat oleh kakak ipar saya, Norazleen yang saya panggil Kak Leen terutama di musim perayaan. Kalau tak silap resepi dipelajari dari kelas masakan. Saya memang suka Kek Buah Kukus yang dibuatnya kerana secukup rasa jer kemanisannya serta moist. Ketika beraya ke rumah Kak Leen beberapa tahun dulu, saya berkesempatan membelek belek buku resepi beliau, apalagi saya terus menyalin resepi Kek Buah yang menjadi kegemaran saya ini. Kek ini bersaiz agak besar dan masa mengukusnya adalah minimum 4 jam tetapi kalau hendak betul betul sedap, bolehlah dikukus sehingga 6 jam. Saya hanya mengukus selama 5 1/2 jam sahaja.





Saya pernah membuat Kek Buah Kukus di SINI tapi saya rasa ianya terlalu lembab dan agak manis. Kalau diperhatikan resepi Kak Leen ni sama sahaja dengan resepi yang saya gunakan di atas. Yang berbeza hanyalah sukatan mentega, gula dan telur yang digunakan sahaja. Resepi kek Buah Kukus saya yang kedua di SINI, pun juga sedap. Kalau diperhatikan resepi antara kek dengan kek yang lain tak banyak berbeza. Selain Kek Buah Kukus, saya juga mencuba resepi Kek Buah versi Bakar dari Kak Leen, boleh dirujuk di SINI. Resepi Kek Buah Versi Bakar ini adalah salah satu dari "a keeper recipe" untuk penyediaan kek Buah saya di masa akan datang. Hahaha saya suka Kek Buah yang ringkas dan cepat disiapkan, berbanding dengan dikukus yang mengambil masa yang lama. 

Kek Buah Kak Leen versi Kukus kali ini sangat lembab, sedap dan tahan lama walaupun hanya dibiarkan di atas meja. Semasa adunan gula sedang disejukkan, saya merasa sedikit air gulanya, memang sangat sedap dengan rasa karamel. Jika suka manis, bolehlah menggunakan gula sebanyak 700 gram. Saya sangat berpuashati kerana akhirnya berjaya menghasilkan Kek Buah yang menepati citarasa saya yang setanding dengan Kek Buah yang dibeli di The Coffee Bean suatu ketika dulu. 

Jom layan resepi dulu....



Kek Buah Kukus Lembab dan Sedap
Loyang saiz: 10"

Bahan bahan:
500 gm butter
6 biji telur - guna 3 gred A & 4 gred B
2 kotak mix fruit - 1/2 kg/500gm
2 sk vanilla
2 sk esen ros - tak letak

Bahan Ayak:
600 gm tepung gandum
2 sk soda bikarbonat 
1/2 sk cream of tartar 
1 sk serbuk buah pala - opsyenal, tak letak

Gula Hangus:
4 cawan gula pasir/800 gm - guna 600 gm
1/2 cawan air sejuk

Cara cara:
Panaskan gula pasir di dalam kuali menggunakan api kecil sehingga gula cair dan berwarna perang. Tuangkan air dan kacau seketika sebelum dimasukkan butter. Terus masak sehingga cair. 





Masukkan pula mixed fruits dan masak sehingga mendidih dan tutup api. Ketepikan dan sejukkan sebentar sehingga agak suam.





Masukkan semua bahan ayak ke dalam adunan buah tadi sedikit demi sedikit dan gaul dengan senduk kayu hingga rata dan sebati.

Dalam bekas lain, pukul telur sebentar atau gunakan mixer. Kemudian tuangkan ke dalam adunan dan kacau sehingga sebati. Masukkan esen vanila dan esen rose. Jangan terlebih kacau takut buah mendap.





Masukkan adunan ke dalam  bekas saiz 10-12" dan kukus selama 4 - 6 jam di dalam pengukus yang telah dipanaskan airnya. Lagi lama dikukus lebih lembab dan tahan lama. Kukus dengan api yang sederhana pada 3 jam yang pertama dan selepas itu dikecilkan api.  Kalau nak tambah air pengukus, pastikan ditambah dengan air panas.





Bungkus tutup pengukus dengan tuala/kain supaya wap air tidak menitik ke atas kek yang dikukus atau tutup loyang/bekas dengan aluminium foil yang dilenser dengan butter.





Bila kek masak, buka penutup kukusan dan biarkan kek sejuk di dalam pengukus untuk mengelakkan buah mendap. Bila sejuk, bolehlah dikeluarkan dari loyang dan potong telah benar benar sejuk. Lagi baik jika dibiarkan semalaman di atas meja sebelum dipotong.






Nota:
Kek ini lebih sedap dimakan selepas 2 hari.

Cukup sekadar whisk dan jangan gunakan mixer, kerana jika terlalu dipukul adunan akan menghasilkan kek yang agak kering. Sebaiknya menggunakan campuran buah-buahan yang dibeli dari Phoon Huat atau Bake with Yen, kerana buah-buahannya lebih lembab dan warnanya pun menarik.

Selepas dikukus, kek mesti dibungkus dengan aluminium foil. Sebelum dibungkus cucuk-cucukkan kek dengan lidi penyucuk sate dan tuangkan 1 sudu kecil jus oren sunquick atau epal atas lubang untuk melembabkan kek. Simpan dalam tupperware dan bolehlah dipotong untuk dimakan selepas seminggu. Jangan masuk fridge. Makin lama kek makin sedap dan berkilat. Pastikan tangan dan pisau yang digunakan semasa memotong adalah kering. Kek boleh disimpan selama 6 bulan - 1 tahun. Terima kasih pada Datin Naini Drahman atas petua ini. 

Boleh juga dibungkus dengan plastic cling dan aluminium foil dan simpan dalam freezer. Bila hendak menghidangkan, keluarkan 3 jam lebih awal dan biarkan ia lembut kemudian potong dan hidangkan. 




Kek Minyak Gebu Dan Sedap

$
0
0





Telah lama saya teringin membuat Kek Minyak selepas terpandang kek yang disediakan sahabat saya, Nikee dari Laman Dapur Helen. Tapi keinginan terpendam gitu jer selepas disahkan allergik dengan tepung gandum. Kini selepas lebih 9 bulan berlalu, allergik saya beransur pulih, saya mula membuat dan makan kek semula walaupun dalam jumlah yang sedikit. Alhamdulillah kerana masih diberi peluang untuk menikmati makanan kegemaran saya. Cuma udang dan ketam masih saya ketepikan. Lagi pulak, umur macam saya ni, saya dah puas menikmati semua makanan laut yang sedap sedap. Inilah masa nya saya berhenti demi untuk kesihatan diri.





Kek ini saya sediakan selepas balik dari Tropicana Medical Centre menemani Boy yang menjalani prosedur sinus. Di samping itu, saya juga menemui doktor pakar untuk rawatan susulan. Hmm lepas satu persatu masalah kesihatan yang timbul walaupun tidak serius tapi memerlukan langkah penjagaan awal dari segi pemakanan dan senaman. Saya dinasihatkan supaya melakukan sedikit aktiviti ringan seperti brisk walking.





Terus terang, sekarang ini saya merasakan diri seolah mengejar waktu yang tertinggal di masa masa lalu. Terasa persediaan yang jauh dari mencukupi. Saya berdoa memohon ruang masa dan mencari peluang sebanyaknya di waktu waktu tersisa, tiada masa lagi untuk bersuka ria. Tidak ada waktu untuk disiakan dengan aktiviti yang tidak memberi manafaat. Al Quran kini adalah teman setia saya yang mendampingi sepanjang hari. Semoga kecintaan ini akan selamanya kekal di dalam diri saya. Insya Allah, Ameen.

Berbalik kepada Kek Minyak ini, memang sangat gebu dan moist. Saya makan ketika masih panas panas kerana dah tak sabar untuk menunggu ianya sejuk. Saya menghulur sedikit kepada jiran saya yang sangat baik hati. Ke mana sahaja pergi, ada sahaja buah tangan yang dihulurkan kepada kami. Beruntung mempunyai jiran yang baik dan berbudi bahasa pulak. Sementara naik ke bilik, saya menjamah lagi sekeping kek yang telah sejuk. Aduhaaii gebu dan sedap sangat. Sangat sesuai kemanisannya dengan citarasa saya. Hahaha saya memang suka kek kosong ala kek kampung begini. Terbaeekk...



Kek Minyak Yang Sedap

Bahan-bahan:
5 biji telur
1/2 cawan gula kaster
2 cawan tepung gandum 
1 sk baking powder
1 cawan susu pekat 
1 sudu besar ovallate
1 cawan minyak jagung
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit perisa yang disukai - tak letak
Sedikit pewarna kuning, merah dan biru

Cara-cara
Ayak tepung gandum bersama baking powder. Ketepikan
Lenser loyang kek dengan mentega. Alaskan dengan baking paper.

Pukul telur bersama gula dan ovallate sehingga kembang.
Masukkan susu pekat dan esen vanila. Pukul lagi sekejap. Masukkan minyak dan perisa sambil dipukul sekadar untuk adunan bergaul rata.

Akhir sekali masukkan tepung gandum sedikit sedikit. Gaul rata. Selepas itu, bahagikan kepada 3 adunan lebih kurang 320 gram setiap warna. Tuangkan ke dalam loyang saiz 8 atau 9" dan corakkan warna ikut kreativiti masing masing.





Bakar hingga masak pada suhu 170C selama 50 minit atau sehingga masak. Saya bakar selama 40 minit sahaja. Biarkan kek sejuk barulah dipotong dan hidangkan.






Tahniah, Hafez

$
0
0




Tahniah, Hafez atau nama timangan keluarga adalah Boy. Ramai kawan kawan di UiTM juga memanggil beliau sebagai Boy selepas mendengar sahabat kami yang juga Pegawai di UiTM Segamat memanggil beliau Boy. Akhirnya berjaya menamatkan pengajian peringkat Diploma dengan keputusan yang membanggakan. Setelah 3 tahun berulang alik ke Segamat, Boy akhirnya kembali ke pangkuan kami. Ketika mula mula ke sana, Boy mengalami homesick yang agak merisaukan kami. Lama kelamaan dia telah dapat menyesuaikan diri. 

Bersempena dengan Boy menamatkan pengajian Diploma dengan jayanya, saya telah mencadangkan supaya kami keluar makan malam sebagai meraikan kejayaan Boy. Oleh kerana hari ini semua anak anak ada di rumah, dan kebetulan pula Hari Ibu, kiranya keraian berganda sempena Hari Ibu juga. Sebenarnya setiap hari adalah Hari Ibu di mana kasih sayang ibu adalah sehingga ke syurga. Namun hari ini adalah hari untuk anak anak yang mungkin terlupa dek kesibukan masing masing untuk mengucapkan terima kasih kepada ibu. 




Terima kasih pada Nana kerana telah belanja kami untuk makan malam ini. Mama sayang semua anak anak dan akan cuba memberikan yang terbaik di dunia dan akhirat. Akhir sekali, tahniah Boy. Semoga Boy dapat meneruskan kejayaan ini di peringkat ijazah sarjana muda pula. Insya Allah. 



Masak Lemak Petola

$
0
0




Petola adalah antara sayur kegemaran saya. Petola sedap dimasak sayur lemak putih atau dimasak air yang diletakkan sedikit lada hitam yang ditumbuk. Lain lain cara menyediakannya sama, kecuali satu menggunakan santan dan satu hanya menggunakan air sahaja. Saya memang meratah ratah begitu sahaja kerana petola ini sangat manis. Kali ini saya memasak sayur lemak sahaja. Sayur lemak begini sedap jika dimakan bersama sambal belacan dan ikan kering. Tapi saya saya hidang bersama telur masin. 





Semasa di kampung, bonda saya akan menumbuk ikan rebus bersama dengan bawang merah sebagai rencah masak lemak. Tapi sekarang ni ala ala sibuk dan malas, saya hanya menumbuk kasar ikan bilis sahaja bersama bawang merah. Sekali sekala bila teringin untuk makan resepi yang kita makan sejak kecil, barulah saya akan merebus sekor ikan kembung untuk dijadikan rencah sayur lemak putih.

Resepi ini sangat mudah sebab hanya menggunakan santan, rencah yang ditumbuk dan garam sahaja. Kalau ada stok saya akan letak 1 atau 2 biji cili merah atau cili Kelantan untuk memberi sedikit warna pada sayur lemak. Sentiasa lah dikacau. Harus diingat supaya jangan terlebih masak pulak, nanti terlebih lembik sayur petola ini. Masak seketika sahaja sebab sementara kuah sejuk, sayur akan menjadi lebih lembik. 




Haa adik adik yang baru belajar memasak, boleh mencuba resepi mudah ini untuk hidangan. Atau pelajar pelajar Malaysia di luar negara yang sebelum ini mungkin tak pernah ke dapur, bolehlah mencuba resepi ringkas ini. Kata Tuan Haji Kamaruddin, ramai kawan anaknya, Irfan yang belajar di Dublin menjadikan blog Azie Kitchen sebagai rujukan dalam menyediakan masakan Malaysia. Alhamdulillah, ada juga manafaat blog saya kepada pelajar pelajar Malaysia di luar negara. Saya sangat gembira dan bersyukur kerana dapat membantu mereka.




Tempe Goreng Bersambal Dengan Ikan Bilis

$
0
0





Ini adalah entri yang dah lama bersawang. Kita layan jer. Sambil sambil menyediakan Kuih Bom berinti Kacang Hijau dan Kuih Lompang, saya juga memanaskan lauk yang masak sehari sebelumnya. Belum sempat dihidangkan telah disimpan di dalam peti ais. Sementara hubby tiada di rumah, saya malas lah pulak untuk keluar makan. Melihatkan ada 2 biji telur masin yang diperolehi semasa menghadiri wedding Azmeer di Melaka, saya terus memanaskan lagi kuah Gulai ikan Sembilang yang sangat sedap dimakan dengan telur masin. Serius, sangat sedap gulai yang dimasak menggunakan Rempah Segera Naim Gulai ikan Sembilang Tanjung Dawai ini. Sebenarnya inilah kali pertama, saya menerima telur masin sebagai buah tangan dari majlis perkahwinan. Tapi OK lah sebab saya memang penggemar telur masin. Saya boleh menghabiskan sebiji telur masin sorang sorang. Memang berselera makan kalau ada telur masin.

Tapi bila dilihat yang ada 2 lauk berkuah, jadi saya pun mengeluarkan bahan bahan untuk membuat Tempe Goreng Bersambal Dengan Ikan Bilis supaya ada juga lauk kering. Resepi ini telah saya kongsikan sebelum ini di mana saya memperolehinya dari Black Rose. Roslina Hitam, rakan sekerja yang dulu membawa tempe untuk dimakan bersama roti Gardenia untuk bersarapan. Sejak itu, saya menyalin resepi dan selalu menyediakannya sebagai lauk segera di rumah kami. Ini adalah kerana penyediaan nya sangat cepat dan ringkas.

Jom kita tengok resepinya di bawah ini. 




Tempe Goreng Bersambal Dengan Ikan Bilis
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Segenggam ikan bilis - goreng rangup
1 keping tempe - potong kecil dan goreng rangup
10 cili kering - kisar
5-6 ulas bawang merah - tumbuk kasar
Garam
Gula

Cara cara:
Selepas menggoreng ikan bilis, angkat dan ketepikan. Goreng pula tempe, angkat dan ketepikan. Menggunakan minyak yang sama, tumis cili kisar sehingga cili masak dengan api perlahan. 






Selepas cili masak, masukkan bawang merah yang ditumbuk. Kacau rata dan masukkan sedikit air. Masak lagi sehingga ianya terbit minyak.




Masukkan garam dan gula. Padamkan api dan kemudian tuangkan ikan bilis dan tempe goreng. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan samada dengan nasi putih atau dimakan bersama roti putih.







Badak Berendam

$
0
0




Sebelum ini memang tidak teringin langsung untuk menikmati kuih badak berendam. Tapi entah kenapa selepas ternampak kuih basopang yang dikongsi oleh suami Norida di fb, saya menjadi sangat teruja untuk mencuba. Tetapi selepas di google, saya mendapat tahu yang ianya sama dengan resepi Badak Berendam. Itulah yang menjadikan saya memilih untuk memasak kuih Badak Berendam kerana hubby orang Perak, kan? Hahaha tapi hubby bagi komen kerana saiz Badaknya sangat besar. Maklumlah saya tak pernah lak tengok kuih Badak Berendam ni, jadi tak tahu saiz nya. Lepas tu, baru tahu yang ianya dibuat saiz sebesar biji bola ping pong.

Saya tersenyum lebar bila hubby memuji kesedapan kuih Badak Berendam yang saya sediakan. Tapi saya mahu mencuba lagi bagi menghasilkan kuih yang lebih sempurna dari segi rupa, saiz dan rasanya. Saya melihat kuih Badak Berendam yang berwarna hijau daun pandan lagi cantik berendam di dalam kuah berlemak lemak masin ini. Saya juga ingin membaiki cara penyediaan inti kelapa mengikut resepi turun temurun yang saya pelajari dari satu blog.

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini...





Badak Berendam
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan ( dlm 20 biji )

Bahan Doh:
2 cawan tepung pulut
11/2 cawan perahan air daun pandan
1/2 sudu kecil garam

Cara cara:
Campurkan garam dengan air pandan dan tuang sedikit demi sedikit ke dalam tepung sehingga menjadi doh yang boleh dibentuk dan melekat di tangan.


Bahan Inti:
2 cawan kelapa parut muda
1 cawan gula merah
1 helai daun pandan
Gula pasir, jika suka

Cara cara:
Masak gula melaka dan gula pasir bersama air dan daun pandan hingga gula larut. Masukkan kelapa parut dan dikacau atas api sehingga kering.

Ketepikan dan biarkan sehingga sejuk sebelum dibulat-bulatkan sebesar guli sehingga habis.


Bahan Kuah:
2 1/2 cawan santan
2 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil garam
3 helai daun pandan
Sedikit gula - jika suka (opsyenal)

Cara-cara
Campur rata semua bahan bahan, lalu dikacau atas api hingga pekat dalam lebih kurang 10 minit. Tutup api dan ketepikan.


Cara Penyediaan:
Ambik sedikit doh dan dibulat bulatkan kemudian dileperkan. Letakkan inti kelapa di dalamnya dan dikelim rapat. Buat sehingga habis dan letak atas plastik supaya tidak melekat. 





Didihkan 1/2 periuk air bersama daun pandan sehingga mendidih. Kemudian masukkan kuih yang telah dibuat ke dalamnya dan masak sehingga ianya timbul di permukaan. 





Angkat, tos dan terus dimasukkan ke dalam kuah. 







Rendang Ayam Minang Penuh Kenangan

$
0
0





Ini adalah entri tertunda yang memang saya sengaja tidak menyiarkannya. Hari saya memasak rendang ini adalah hari yang amat menyedihkan dalam hidup saya. Hari di mana saya pasrah dan membuat keputusan untuk menerima segalanya. Air mata bercucuran sepanjang hari tanpa saya menyedarinya. Ketika mengikuti Kuliah Zohor juga saya tertidur dengan lesu. Saya menjadi begitu tertekan dengan apa yang sedang difikirkan. Namun siapalah kita untuk tidak menerima takdir yang didatangkan di dalam hidup kita. Ini adalah kerana takdir Allah lah yang Maha hebat kerana PerancanganNya lah yang paling sempurna. Kita tinggalkan dulu bab ini kerana apa pun yang berlaku, hidup mesti diteruskan. Segalanya yang lalu telah menjadi sebahagian dari sejarah hidup kita.






Namun sebaik sampai di rumah, saya gagahkan diri untuk ke dapur memasak Rendang Ayam Minang ini bagi menghilangkan kedukaan yang bersarang di hati. Semuanya berbaloi apabila melihat anak anak makan dengan berselera. Kebetulan Nana juga ada di rumah selepas 2 malam berturut turut bekerja shif malam. Di samping rendang ayam, saya juga menyediakan Kacang Panjang goreng bertelur dan juga Ikan Bawal Hitam yang digoreng garing garing. Memang sedap sekali bila kuah rendang yang berminyak itu digaul dengan nasi. 

Inilah kali pertama saya memasak rendang di mana bahan bahannya telah ditumis terlebih dahulu. Kebanyakan masakan Minang memerlukan rempah rempahnya ditumis terlebih dahulu. Itulah yang diberitahu Roy yang memang mewarisi kehandalan memasak masakan Minang dari bonda dan nenda beliau. Saya sebenarnya mencari daun kunyit untuk dimasukkan di dalam rendang ini tetapi sayangnya tiada daun kunyit yang dijual di kedai runcit. Jom pakat pakat cuba resepi ini, walaupun nampak gambarnya tak seberapa tapi memang sedap. Siap makan menambah nambah lagi.

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini yang telah salin lama dahulu....




Rendang Ayam Minang
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam
1 biji kelapa (santan pekat)
4 - 5 helai daun limau purut
2 batang serai - titik
2 sudu besar kerisik
1 sudu besar serbuk jintan manis
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 asam keping
Garam
Gula

Bahan Kisar:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
2 batang serai
4 hiris lengkuas
3 cm halia
1 inci kunyit hidup
15-20 tangkai cili kering

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan bahan kisar sehingga keluar minyak. Masukkan serbuk jintan manis dan jintan putih. Bila dah naik bau, masukkan pula ayam. 





Bila kuah telah mendidih dan ayam kecut, masukkan pula santan pekat. Kacau rata sehingga hampir pecah minyak.






Masukkan kerisik dan daun limau purut. Gunakan api kecil dan sentiasa kacau untuk mengelakkan bawah nya menjadi hangus. Masukkan asam keping, garam dan gula secukup rasa. 





Kacau sehingga kuah menjadi kering. Bila dah nampak kering. boleh lah diangkat. Tapi saya biarkan ianya sedikit berkuah untuk dimakan dengan nasi.




Kacang Goreng Telur

$
0
0




Kacang panjang adalah antara sayuran yang menjadi kegemaran saya. Goreng ringkas tetapi pastikan kacang tidak terlalu lembut, pasti lagi sedap. Selain itu, saya juga gemar memasukkan kacang panjang yang dihiris kecil ke dalam nasi goreng. waaa heaven...sedap giler kata orang sekarang ni. Zaman zaman dulu arwah ayah menanam sendiri kacang panjang dan dipetik bila hendak dimasak. Saya sendiri seronok jika berpeluang untuk memetik kacang panjang. Sambil sambil memetik, saya akan meratah kacang panjang muda yang sangat rangup. Tapi hairanlah dengan budak budak zaman sekarang yang tidak suka makan sayuran. Macam mana nak buat tu? Macam mana pula mereka hendak mendidik anak anak mereka tentang khasiat sayuran. 

Selain kacang panjang yang digoreng dengan telur, kami biasa menyediakan cendawan yang digoreng dengan telur. Cendawan kecil kecil yang biasanya didapati di batang batang pokok. Memang sedap dan sekali rasa, macam makan daging lah pulak. Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini. 



Kacang Panjang Goreng Bertelur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ikat kacang panjang
4 ulas bawang merah - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
1 biji telur
1 biji cili merah
Garam
Gula
Sos tiram - jika suka

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih sehingga wangi. 

Masukkan telur yang telah dikocok dan kacau rata. Masukkan kacang panjang dan garam serta gula. 

Kacau rata sehingga kacang agak lembut, masukkan cili merah dan bolehlah ditutup api.



Ikan Merah Masak Tempoyak Perak

$
0
0




Dah lama saya mencari Ikan Merah untuk dimasak tempoyak sejak menikmati Masak Tempoyak Ikan Merah di rumah Kak Nyah sebelum ini. Setelah berminggu mencari, akhirnya berjaya mendapatkan ikan merah walaupun hanya bahagian kepala. Namun ianya tetap sedap dan lembut sahaja isinya. Terasa lah pulak seperti tauhu.






Sebenarnya memasak ini memerlukan praktis dan praktis. Saya ingatkan ikan merah ini keras dan boleh menggeleding. Jadi sambil merenih, saya sediakan bahan bahan untuk membuat rempah Ayam Goreng. Aduhaai sedar sedar ikan dah terlebih lembik dan hancur lah sedikit. Hmmm memang jenis tak boleh membuat banyak kerja dalam satu masa agaknya saya ni. Nampak gaya kena cuba lagi sekali, pasti buat lagi sampai jadi dengan sedaaap nya. Kalau sesiapa nak mencuba masakan tempoyak versi Perak, bolehlah cuba resepi Kak Nyah di bawah ini....  
 




Masak Tempoyak Versi Perak

Bahan bahan:
1 ekor ikan merah - potong nipis
4 - 5 biji cili merah
2 senduk tempoyak (saiz sedang)
Sedikit serbuk kunyit
2 batang serai - ketuk
1 batang timun - jika suka
3 - 4 mug air atau mengikut kepekatan yang disukai
Garam
Secubit gula


Cara cara:
Blender kasar cili merah atau ditumbuk kasar. Kemudian satukan semua sekali bahan termasuk ikan dan timun. Selepas itu, tuang air secukupnya. Petua kakak ipar saya ialah bahan bahan mesti digaul sebati dengan menggunakan tangan.








Masak dengan api perlahan sehingga ianya mendidih dan merenih dengan agak lama.







Masukkan sedikit garam dan secubit gula. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat dan dihidangkan dengan nasi putih panas panas.






Viewing all 2246 articles
Browse latest View live