Telah lama saya tidak mendengar cerita Nana kerana telah lama juga tidak berkesempatan keluar bersama sama. Semasa balik kampung semasa Hari Raya Korban pun dia tak dapat bercuti. Pada hari minggu yang lepas Nana off, jadi saya mengajak Nana ke OU untuk makan makan sambil window shopping. Selepas itu, kami ke The Curve setelah mendapat tahu ada promosi Pandora di sana. Hajat nak berjalan ke street market terpaksa dilupakan apabila hujan mulai turun renyai renyai. Dari sana kami ke Ariani untuk mencari tudung bagi disesuaikan dengan baju kerja Nana. Sebelah malam pula, kami keluar makan di Restoran Original Kayu Kandar, tempat kegemaran anak anak. Boleh dikatakan sehari suntuk juga Nana meluangkan masa bersama saya. Macam macam cerita yang sempat dikongsikan.
Sehingga pagi ini, saya ketawa sendirian mengingatkan Nana yang secara spontan mereka skrip perbualan soal jawab antara Nelly dan Juita berkenaan iphone 5 yang ingin dibeli oleh Juita. Memang skripnya sangat "real" dan berjaya meniru intonasi kedua adik dia. Juita yang ada bersama pun terdiam tak terkata dengan usikan Nana. Kami yang dalam perjalanan balik dari makan malam ketawa terbahak bahak. Nana memang seorang anak yang ceria dan sentiasa menceriakan kami dengan sikapnya yang bersahaja. Dah lama saya tak mendengar cerita lawak spontan begini sejak dia sibuk dengan kerjanya.
Semalam pun saya ketawa terbahak bahak bila Nana menceritakan insiden cemas bila pesakit yang kakinya patah dan tulang hancur tiba tiba mengangkat kakinya. Saya bukan ketawa kerana pesakit itu tetapi mendengar cerita Nana yang terkejut dan panik kerana terpaksa memegang kaki yang terkulai. Mendengar cerita Nana memang boleh menghilangkan stress dan tekanan. Tidak dinafikan, tugas Nana mendedahkan dia kepada pelbagai ragam pesakit. Cara Nana mengendalikan pesakit yang membuatkan kami ketawa, terutama tentang seorang pesakit yang cuba berbohong bila ditanya tentang dirinya. Bila ditanya, ada ambil dadah tak? Bila pesakit tak mengaku, Nana memberitahu pesakit itu yang dia boleh check dan tahu jika dia ada mengambil dadah. Akhirnya si pesakit mengaku. Ditanya lagi, ada minum tak? Bila lagi sekali tak mengaku, Nana kata dia boleh check dan tahu. Akhirnya si pesakit mengaku. Haaa gitu lah doktor, kena pandai psyko sikit pesakit tu....