Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2246

Terima Kasih Atas Ucapan Takziah dan Kek Butter Yang Lembab dan Sedap

$
0
0




Kalau diikutkan, saya ingin berehat seketika dari menulis di blog tetapi saya menulis entri ini khusus untuk mengucapkan jutaan ucapan terima kasih tidak terhingga atas kesudian kawan kawan dan pembaca blog Azie, rakan facebook, group WhatsApp, sms, email dsb yang sudi mengucapkan takziah dan mendoakan arwah Bonda saya. Di dalam situasi yang sukar seperti ini, ingatan semua sangatlah bermakna dan memberikan saya kekuatan. Walaupun saya tidak membalas komen dan message yang ditinggalkan, namun saya membacanya satu persatu dengan hati yang sebak dan pilu kerana terasa yang saya tidak dibiarkan bersendirian. Masih ramai yang prihatin akan kedukaan yang dialami. Semoga Allah membalas segala keprihatinan anda semua dengan ganjaran yang besar. Walaupun pemergian Bonda bukan dalam keadaan mengejut, kerana telah hampir sebulan terlantar lemah, namun ianya tetap sesuatu yang sukar dihadapi. Apa apa pun saya bersyukur kerana Bonda dapat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang lalu serta mengaji Al Quran walaupun tidak sempat khatam seperti tahun tahun sebelumnya. Bonda juga sempat menghafal doa yang saya kirimkan sebelum Ramadhan. Saya juga berdoa khusus untuk Bonda di hadapan Multazam semasa mengerjakan umrah bulan Ramadhan dan saya yakin Allah akan menerima doa seorang anak kepada Bondanya. Saya kini perlu kuat dan meneruskan kehidupan yang ada walaupun terasa seolah sebahagian dari saya juga hilang dengan pemergian Bonda. Namun saya berazam untuk memberi bakti yang terbaik buat kedua ibubapa saya walaupun mereka telah tiada lagi.

Sekarang kita tinggalkan dulu bab arwah Bonda dan kongsikan sedikit berkenaan Kek Butter. Saya meminta Juita menyediakan kek Butter untuk saya sekembalinya kami dari kampung selepas selesai urusan tahlil arwah Bonda. Walaupun terasa sangat sayu di hati, namun saya gagahkan juga ke dapur untuk memasak Mee Sup Tulang sementara Juita menyediakan kek untuk hidangan saya berbuka puasa.  

Telah lama saya teringin untuk makan kek butter. Hampir setahun juga saya menjauhkan diri dari makan kek sejak disahkan mengalami allergik dengan tepung gandum. Kalau saya menjamah pun, hanya sesudu dua sahaja. Tapi sejak saya kembali dari menunaikan umrah bulan Ogos baru baru ini, tiada lagi allergik baru yang muncul walaupun selepas memakan seafood atau kuih muih yang dibuat dari tepung gandum. Alhamdulillah kerana Allah masih memberi peluang untuk saya menikmati makanan kegemaran. 






Saya masih menggunakan resepi yang sama yang telah pernah beberapa kali digunakan. Boleh klik di SINI. Resepi ini adalah resepi yang terbaik pada saya kerana menghasilkan Kek Butter yang lembab dan gebu serta secukup rasa sahaja kemanisannya. Kalau yang suka kek yang agak manis, boleh guna 200 gm gula mengikut sukatan asal resepi. 

Jom layan resepinya di bawah ini...



Kek Butter Moist dan Sedap

Bahan bahan:
250 gm pure butter 
250 gm tepung naik sendiri
180 gm gula kastor - asal 200g
4 biji telur
1/2 cawan susu segar

Cara cara:
Panaskan oven dalam 20 atau 30 minit.

Pukul butter dan gula hingga kembang, gebu dan bertukar warna menjadi putih (low speed kemudian sederhana kemudian high speed). 

Masukkan telur sebiji demi sebiji di selang seli dengan tepung. Masukkan susu segar dan pukul lagi sampai sebati.

Masukkan dalam loyang dan bakar suhu 180 selama 40 minit. Kali ini saya guna loyang saiz 10x10" sebab mahukan kek yang lebih nipis. Masa membakar juga perlu dikurangkan.

Nota:
Jika menggunakan tepung gandum, masukkan 1 sudu kecil baking powder. Lebih sedap dan lembab jika kek dibungkus dan dibiarkan di dalam peti sejuk semalaman.







Viewing all articles
Browse latest Browse all 2246


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>