Saya mula menyukai lauk ini selepas menikmati semasa makan malam di Restoran Waneeda Kota Damansara. Walaupun, kami order Sotong Goreng Butter dan Telur Masin tapi rasanya adalah sama sahaja dari segi keenakannya. Memang sedap lauk ini, siap boleh menjilat jari sehingga licin di pinggan. Gambar hari ini hanya menggunakan handphone, jadi memang tak berapa cantiklah sikit. Hidangan lauk hari ini dimasak untuk hidangan saya berbuka puasa. Boleh klik di SINI untuk resepi Udang Goreng Butter tanpa Telur Masin. Bahan bahan dan cara caranya sama, cuma perlu ditambah telur masin sahaja untuk menjadikan Butter dan Telur Masin.
Hmm sebelum tengok resepi, saya nak kongsikan sedikit intipati kuliah maghrib oleh Ustaz Sharizan kerana rasanya dah lama saya tidak menulis intipati tazkirah buat renungan kita semua. Kuliah kali ini sangat terkesan di hati terutama doa yang dibaca di penghujung majlis membuatkan saya tidak dapat menahan air mata dari mengalir. Kuliahnya berkenaan matlamat hidup yang utama bukanlah mengejar pangkat, kedudukan dan harta. Sebaliknya untuk mencari hidayah Allah. Kita kena perbetulkan dulu matlamat hidup kita. Macam mana nak cari hidayah Allah? Caranya ialah dengan bersungguh sungguh membuat amalan soleh seperti bangun untuk solat malam dll. Memang agak susah untuk bangun malam dengan rasa mengantuk dan letih. Memang penat bila mahu melakukan perkara baik. Dunia ini tempat berpenat penat, jadi kenalah sabar dengan kepenatan supaya di dalam kubur kita boleh berehat. Selain hidayah, kita hendaklah mencari keberkatan. Apa dia keberkatan? Ianya adalah menambah benda kebaikan dalam kehidupan kita. Yang susah rasa mudah, yang sempit rasa luas dan yang sedikit tetap rasa cukup. Itu sebab di dalam doa yang dibaca sebelum makan juga, kita memohon keberkatan. Cukup setakat ini dulu dan semoga di masa depan, saya mampu menghurai intipati kuliah dengan lebih baik lagi.
Jom kita semak resepi dulu....
Udang Goreng Butter dan Telur Masin
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
500 gm udang
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
Minyak
3-5 sudu besar butter
6 ulas bawang putih - di cincang
15 biji cili padi ~ dihiris serong
4 tangkai daun kari
2 biji telur masin ~ direbus & hancur
2 sudu kecil gula
10 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu kecil tepung jagung
Cara cara:
Telur masin rebus dibuang kulit dan dihancurkan. Ketepikan.
Udang dibersihkan dan digaul dgn garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng sekejap sehingga udang berubah warna. Angkat dan ketepikan (buangkan semua lebihan minyak).
Panaskan kuali masukkan butter, tumis bawang putih, daun kari dan cili padi hingga wangi dan masukkan telur masin yg dihancurkan tadi.
Kemudian masukkan susu segar dan gula. (tak perlu letak garam sebab dah ada rasa masin dari telur masin)
Kacau rata dan masukkan udang. Kacau lagi. Masukkan bancuhan tepung jagung dengan air untuk memekatkan kuahnya. Masak seketika, kemudian bolehlah dihidangkan.