Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2246

Kuih Seri Muka Istimewa Azie Kitchen

$
0
0




Antara banyak banyak kuih tradisional, kuih inilah yang saya lebih suka menyediakannya. Mungkin sebab ianya lebih challenging dalam menyediakannya. Banyak tips yang kena diikuti kerana salah sedikit sahaja, permukaan kuih tak cantik atau lapisan atas tak melekat dengan lapisan bawah dsb. Lagi satu, nak buat kuih tradisional seperti ini kena banyak bersabar, tak boleh terus dimakan. Kalau nak makan sebelah petang, pagi dah perlu dikukus supaya ianya benar benar sejuk. Banyak resepi Kuih Seri Muka yang telah saya cuba. Antaranya di SINI dan di SINI. Versi Kuih Seri Muka Bakar pula, boleh klik di SINI

Namun bila saya berjaya mendapatkan resepi Kuih Muka Kak Lok, saya jadi sangat teruja untuk mencubanya lagi. Kebanyakan resepi Kuih Seri Muka menggunakan bahan yang sama cuma sukatan sahaja yang berbeza. Perbezaan dalam sukatan banyak memberi perbezaan dari segi keenakan kuih yang dihasilkan. Oleh kerana stok beras pulut tak cukup saya hanya menggunakan 2 1/2 cawan beras pulut dan 2 cawan santan sahaja untuk lapisan bawah. Lagi pulak, ramai orang lebih suka makan lapisan atas berbanding dengan lapisan pulut. Yang lapisan atas, nampak pucat warnanya kerana saya tak letak pewarna hijau tapi hanya warna hijau asli daun pandan. Lain kali, memang kena letak pewarna supaya nampak hijau cantik. 








Kuih ini saya sediakan untuk dihantar ke surau sebagai hidangan para jemaah selepas menunaikan solat Isyak. Ianya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana AJK Surau telah mengadakan majlis tahlil arwah buat Bonda saya selepas diberitahu berita berkenaan pemergian Bonda saya ke rahmatullah. Feedback dari para jemaah juga mengatakan kuih ini sedap, cuma mereka tertanya tanya nama kuih ini sebab dah terbiasa dengan kuih seri muka yang berwarna hijau terang. Kamera saya masih ada dalam workshop, jadi saya snap dengan handphone jer. Asal ada gambar, buat rujukan.

Jom kita semak resepi Kak Lok yang saya namakan Kuih Seri Muka Azie Kitchen sebagai memudahkan saya membuat rujukan kemudian kelak.....



Kuih Seri Muka Istimewa Azie Kitchen
Loyang 11” x 11”

Lapisan Bawah:
3 ½ cawan beras pulut rendam 1-2 jam - guna 2 1/2 cawan
3 cawan santan – dari 1 biji kelapa - guna 2 cawan
1 sudu kecil garam

Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang. Kukus di dalam periuk pengukus yang telah mendidih airnya sehingga masak. Angkat dan ditekan tekankan sedikit sehingga mampat. Boleh juga guna loyang yang lain.





Lapisan Atas:
4 cawan santan pekat – dari 2 biji kelapa dikisar dengan air daun pandan
2 cawan gula pasir
4 biji telur – saiz B/saiz C - guna B yang kecil
1 cawan tepung gandum - bagi penuh dan padat
1 sudu kecil garam


Kisar daun pandan dan tapis airnya. Masukkan air daun pandan ke dalam kelapa parut dan blend untuk mendapatkan jumlah santan yang diperlukan.

Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan 2 cawan santan terlebih dulu, pukul lagi sekejap. 

Masukkan tepung dan kacau rata sebelum masukkan baki santan. Jangan terlebih pukul untuk menghasilkan permukaan kuih yang rata.

Masukkan loyang lapisan bawah ke dalam pengukus dan kukus sehingga panas, baru ditapis adunan ke atasnya dengan perlahan lahan di sekeliling loyang. Saya masakkan seketika lapisan atas, agak agak ianya keluar wap sahaja sebab pengukus saya banyak mengeluarkan wap.




Kukus selama  45 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak. Mula mula kukus dengan api kuat dalam 10 minit. Bila nampak permukaan menggelembung, buka penutup dulu sehingga dah turun, baru tutup semula. Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak. 

Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan pisau bersaiz kecil.

Nota:
Jika suka boleh juga dimasak lapisan atas di dalam kuali dalam 2-3 minit sehingga keluar wap sahaja. Jangan terlebih kerana dikuatiri lapisan atas tak melekat dengan lapisan bawah. Boleh juga dicakarkan bahagian atas pulut dengan garfu sebelum dituang lapisan atas.

Tip Mengukus:
Balut penutup pengukus dengan tuala atau kain tebal untuk mengelakkan air menitis di atas permukaan kuih. Pastikan penutup pengukus bertutup rapat.

Tips memotong:
Biarkan kuih sejuk dalam 2-3 jam sebelum dipotong. 

Celupkan pisau ke dalam air panas dan potong. Sekiranya ada pulut melekat di pisau, bersihkan dulu. Celup pisau ke dalam air dan ulanglah sehingga selesai.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 2246


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>