Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all articles
Browse latest Browse all 2246

Doa Buat Abang

$
0
0




Abang saya adalah seorang insan yang sangat istimewa dalam hidup saya. Dialah yang banyak membantu saya sejak di zaman persekolahan sehingga menamatkan pengajian di universiti. Sewaktu di bangku sekolah rendah, saya berjalan kaki sejauh 1 batu ke sekolah sehinggalah dibelikan basikal semasa darjah enam. Ketika itulah saya sering mengganggu abang di tempat kerja, meminta dihantarkan ke sekolah dengan motor Vespa baru kesayangannya. Abanglah yang menguruskan pendaftaran saya di universiti. Kami menaiki bas ekspress dan menumpang di rumah kawan abang di Kuala Lumpur. Membawa ibubapa dan anak anak buah hadir di majlis konvokesyen saya dan banyak lagi. Sepanjang di universiti, abang juga lah tempat saya menelefon meminta dihantarkan duit. Beliau seorang yang sangat pendiam dan tidak tahu erti marah. Jika ada pun perkara yang dia tidak senang dengan dengan apa yang kami lakukan, dia hanya akan melihat sahaja. Ingat lagi masa abang mula mula membeli kereta, saya akan masuk ke kereta setiap petang, membuka radio dan memasang air cond. Beliau tidak marah sehinggalah suatu hari, beliau masuk ke kereta dan menutup radio tanpa marah atau berkata apa apa. Namun begitu, saya faham yang abang marah dan tidak suka dengan apa yang saya buat. Kakak saya juga sering membawa kereta beliau ketika cuba cuba belajar memandu. Bak kata kakak saya, kini setelah memiliki kereta sendiri, barulah kita tahu nilai sebuah kereta yang sangat mahal. Apalagi di zaman 1980an, namun abang tidak lokek apalagi memarahi kami yang menggunakan kereta beliau untuk belajar memandu. Saya pernah merosak buku buku check abang dengan cop yang ditemui di dalam laci. Sepatah pun beliau tidak marah apalagi menunjukkan kemarahan. Kini dan di saat ini, abang saya masih terlantar kritikal di wad ICU kerana dijangkiti demam denggi berdarah lebih seminggu yang lalu. Ya Allah, pulihkan lah manusia sebaik abang untuk meneruskan hidup dan melakukan ibadah dan ketaatan. Hanya dunia tempat membuat amal. Makbulkan doa kami adik beradik yang sangat menyayangi beliau. Hanya kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kami menadah tangan memohon rahmat dari Mu. Aamiin.

Seperti saya pernah coretkan sebelum ini, kami bukan berasal dari keluarga orang senang. Namun begitu, kami tidaklah juga hidup susah. Segalanya cukup untuk makan dan pakai serta hidup di rumah selesa. Ibubapa kami hanyalah petani yang menanam padi dan mengusahakan penanaman tembakau sebagai mata pencarian. Sebagai anak, saya dan kakak kakak serta abang abang perlu menolong ibubapa samada di bendang padi atau di tempat tanaman tembakau. Dengan berbasikal, kami akan ke Kampung Rekang setiap petang untuk menyiram anak anak pokok tembakau yang sedang membesar. Ada ketikanya kami perlu membantu waktu mengutip daun tembakau yang sedia untuk dijual. Walaupun terpaksa melakukannya di bawah panas terik, kami tidak pernah merungut. Malahan kami hidup dalam kegembiraan seperti mana kanak kanak lain. Kami berjalan sejauh 1 kilometer di malam hari semata mata untuk menonton cerita Melayu di televisyen rumah orang kaya kaya di Pekan Jelawat. Pernah lutut saya berkudis kerana terjatuh di jalan raya yang gelap gelita.  Hanya apabila abang mula bekerja, dia membeli televisyen dan peti sejuk di rumah kami. Masih ingat lagi, setiap selepas solat Maghrib Wak Mejah dan anak anak akan datang ke rumah kami untuk menonton televisyen. Kesusahan masa lalu mengajar saya untuk rajin berusaha serta berjimat cermat dalam bab penggunaan air, elektrik dsb. Saya tidak sukakan pembaziran. Saya melakukan sedemikian demi melihat anak anak hidup senang dan selesa. Kesusahan masa lalu juga menjadikan hubungan kami adik beradik sangat akrab. Walaupun berada jauh, namun mereka sangat dekat di hati dan akan disayangi sehingga akhir nanti. 



Viewing all articles
Browse latest Browse all 2246


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>