Hari ini saya nak sambung entri balik kampung semasa menjengah Bonda selepas balik dari mengerjakan umrah tempoh hari. Ianya disediakan sebelum saya jatuh sakit lagi. Banyak entri yang belum dipos apabila saya tiba tiba sakit selepas operasi mengeluarkan batu karang dan terus dalam kesakitan selama seminggu lagi apabila stent yang dipasang memberi kesan flush back, seperti straw, kata doktor. Bukan sahaja kesakitan kesan stent tetapi juga tekanan darah yang meningkat apabila kita berada dalam kesakitan. Ubat penahan sakit tidak berkesan, ubat tekanan darah tinggi juga tidak membantu. Saya terbaring sepanjang hari dalam kesakitan. Tetapi saya yakin kesakitan ini adalah kerana Allah ingin menyempurnakan segala kekurangan di dalam ibadah umrah Ramadhan saya tempohari. Mudah mudahan. Semalam saya menjalani satu lagi prosedur operasi untuk mengeluarkan stent. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar cuma tekanan darah saya belum mahu stabil dan badan sangat lemah yang memerlukan saya rehat. Saya masih dalam trauma dan setiap kali mata terlelap, akan didatangi mimpi ngeri dan menakutkan. Saya ingin mengucapkan ribuan dan jutaan terima kasih buat kawan kawan yang mendoakan kesihatan saya. Saya sangat terharu dengan keprihatinan kawan kawan. Tidak lupa kepada Ita dari blog Masam Manis yang telah mendoakan saya di dalam blog beliau.
Kali ini entri berkenaan Pekan Jelawat yang memang tidak dapat dipisahkan dari hidup saya. Sejak kecil lagi, inilah pekan tempat keluarga saya membeli barang keperluan dapur dan aneka kuih muih. Semasa kecil, saya akan mengayuh basikal dalam lebih kurang 1 batu dari rumah kami yang ketika itu, terletak di Kampung Tangok. Di Jelawat jugalah, arwah bapa membelikan saya basikal yang saya kayuh sendiri semasa balik. Sayalah orang yang paling bahagia ketika itu, mendapat basikal seumpama mendapat sebuah kereta di zaman ini. Sungguh besar nilainya pada saya.
Sehingga kini, setiap kali balik kampung, Pekan Jelawat lah tempat yang wajib saya kunjungi samada untuk mencari sarapan atau mencari kuih muih serta lain lain barangan dapur. Saya jarang sekali ke Bandar Bachok, apalgi ke Kota Bharu kerana lebih serasi dengan pekan Jelawat. Setiap hari jalan masuk ke tempat menjual kuih muih penuh sesak dan sukar untuk mendapatkan parking. Oleh kerana masih dalam mood beraya, tidak banyak gerai menjual kuih muih yang dibuka. Tapi saya bernasib baik kerana Mak Cik yang menjual mee goreng kesukaan saya telahpun mula berniaga. Jadi terlepaslah rindu untuk memakan mee goreng.
Setelah lama tinggal di Kuala Lumpur, saya merasakan semua barang, sayuran dan kuih muih yang dijual di sini sangat murah harganya. Masih ada kuih yang dijual dengan harga 4 ketul seringgit. Jadi saya mulalah teringin untuk membeli bermacam macam untuk dibawa balik. Yang pasti saya akan membeli sesuatu yang sukar diperolehi di sini seperti lada solok, itik serati dll. Buah buahan juga sangat murah harganya sehingga kita menjadi rambang mata. Tapi itulah, bila dah beli tak sempatpun nak makan kerana perut sentiasa dalam kekenyangan bila berada di kampung.
Sebelum balik, saya juga singgah di kedai Azizah untuk membeli rempah kerutuk. Di kedai ini lah tempat kami membeli pelbagai rempah masakan terutama untuk menyediakan lauk kenduri. Semuanya ada dijual di sini. Jadi kita tak perlulah pergi ke kedai lain. Nantikan resepi kerutuk itik serati dan kerutuk daging yang sedap di entri akan datang ya. Pendek kata, sekarang ni kemaruk memasak kerutuk. Sejak dah pandai memasak kerutuk, asyik nak memasak kerutuk jer.
Kali ini saya sungguh bernasib baik kerana terdapat banyak gerai yang menjual Kulat Gelam iaitu sejenis kulat yang tumbuh liar di waktu tertentu sahaja. Rasanya sangat eksotik dengan rasa yang sedikit kelat dan pahit. Saya membeli sebanyak 5 rial untuk dimasak kerabu. Nantikan resepi Kerabu Kulat Gelam juga di dalam entri saya yang akan datang.
Pekan Jelawat akan sentiasa dirindui sehingga saya kembali bercuti lagi. Pendek kata inilah satu satunya pekan yang sangat sinonim dengan hidup saya dan akan kekal begitu sehingga bila bila....