Sejak kecil saya memang sangat menggemari Kerabu Kulat Gelam. Kebiasaannya bila saya balik bercuti, tidak pernah bertepatan dengan musim Kulat Gelam, kulat liar yang hanya tumbuh pada musim musim tertentu sahaja. Jadi keinginan nak memakan kerabu Kulat Gelam, terpendam begitu sahaja. Tapi kepulangan saya pada Hari Raya Aidil Fitri kali ini sangat bernasib baik kerana ianya berkebetulan dengan musim Kulat Gelam. Ianya banyak dijual di pekan Jelawat kali ini. Rasanya dah lebih dari 10 tahun saya tak merasainya.
Saya membeli sebanyak 5 rial untuk dibawa balik ke rumah kakak untuk dimasak kerabu. Tapi sebab tak pandai membeli, yang dibeli banyak kulat yang tidak berapa elok. Singgah di jalan Rusa untuk membeli ikan untuk dibuat ikan tawar yang merupakan bahan penting dalam menyediakan kerabu Kulat Gelam. Saya memang sangat menggemari kerabu samada kerabu timun, kerabu terung, kerabu beko atau kerabu kulat. Memang sedap. Tapi gambar yang diambil hari tu, memang secara tergesa gesa kerana dah tak sabar untuk menikmati makan tengahari dengan Kerabu Kulat Gelam. Kira asal ada gambar jer ni.... Apa apa pun konpem sedap nih dengan rasanya yang licin licin dan kelat kelat pahit.
Jom kita tengok resepi kerabu yang disediakan oleh kakak saya...
Kerabu Kulat Gelam
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Kulat gelam - rebus dan tos
1 ekor ikan rebus- ambik isi
1/2 pek Santan
1/4 biji kelapa parut - digoreng & tumbuk kasar
3-4 ulas bawang merah
Garam
Gula
Cara cara:
Tumbuk isi ikan rebus bersama bawang merah dan ketepikan dalam mangkuk. Masukkan kelapa goreng dan gaul rata.
Masukkan santan sedikit demi sedikit dan tambah garam dan gula.
Masukkan santan sedikit demi sedikit dan tambah garam dan gula.
Akhir sekali, masukkan kulat yang direbus tadi. Gaul rata dan sesuaikan rasa.
Bolehlah dihidangkan dengan nasi putih.