Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2256 articles
Browse latest View live

Sedap Nyer Masakan di Tiara Melaka Golf n Country Club

$
0
0




Saya mahu sambung sedikit lagi catatan perjalanan JJCM di Johor Bahru dari entri di SINI. Semasa dalam perjalanan balik dari JB kami singgah rumah, boss JPM Dato Hassan di Vista Kirana. Saya mengajak hubby singgah di kedai makan mencari lauk asam pedas kegemaran yang memang wajib di cari setiap kali ke Melaka tapi hubby berjanji akan singgah selepas balik dari rumah Dato Hassan. Walau bagaimanapun, Dato menjemput kami makan tengahari di Tiara Melaka Golf and Country Club, jadi plan asal untuk ke kedai makan tak menjadi kenyataan. Oleh kerana jam dah lebih dari pukul 3, restoran di club telah ditutup dan akan dibuka semula pada pukul 5 petang manakala makanan di cafe pula telah banyak yang habis dan yang ada hanyalah makanan panas ala carte. Dengan nada separuh kecewa dek kempunan nak makan asam pedas, saya redha untuk makan hidangan ala carte. 





Makanan yang dipesan Dato Hassan semua nya best belaka walaupun nampak seperti simple. Tapi semua masakannya "berasa" atau secukup rasa. Antara yang dipesan ialah Nasi goreng kampung, kue teow goreng daging, sizzling Tauhu Jepun dan Ayam Goreng Bawang Putih. Hajat hati hanya nak makan 4 sudu nasi sahaja tapi dah menambah nambah. Nasi nya memang nasi goreng kegemaran saya yang dimasukkan ikan bilis dan kacang panjang. Ayam goreng pula digoreng bersama bawang putih bersekali dengan kulit yang menjadi sangat rangup dan sedap dikunyah. Haaa berbaloi baloi kerana Allah memberikan rezeki yang lebih baik.






Pendek kata semua makanan yang dihidangkan sangat sedap sehingga saya masih teringat ingat sehingga ke saat ini. Oleh kerana Asam Pedas di cafe telah habis, Dato telah memesan asam pedas ikan kembung dan daging tetel dari luar untuk dibungkus buat kami bawa balik. Kata Dato, dia tak mahu nanti saya kempunan pulak tak dapat makan asam pedas. Ini yang membuatkan saya rasa sangat terharu kerana merata rata juga Dato meminta staf dia untuk mencarikan asam pedas buat saya. Terima kasih berbanyak Dato dan Datin, dah lah makan sedap dapat pula membawa balik asam pedas yang memang sedap. Alhamdulillah atas rezeki yang dikurniakan....  








Pajeri Terung dan Wajib Baca Bab Fadilat Puasa

$
0
0






Pajeri Terung adalah masakan kegemaran saya dari dulu sehingga kini. Semasa balik kampung sempena majlis pertunangan Kak Teh baru baru ini di SINI, saya ada membeli terung kecik kecik dari Pekan Jelawat. Oleh kerana telah beberapa hari dapur tak berasap, akhirnya hari ini saya memasak Pajeri Terung. Makan nasi berlauk pajeri lebih sedap jika digandingkan dengan sambal belacan serta telur masin dan ikan goreng. Itu antara gandingan yang cukup serasi untuk selera saya.

Sebelum tengok resepi, saya nak kongsikan sedikit berkenaan kuliah Zohor Ustaz Najhan Syahir hari ini yang sangat terkesan di hati saya di mana dikongsikan berkenaan kefardhuan puasa yang sebenarnya adalah untuk mendidik diri kita supaya sentiasa mempertuhankan Allah. Saya harap pembaca semua dapat membaca sehingga ke akhir dan kongsikan dengan rakan rakan pula. Puasa mengajar kita supaya patuh kepada Allah secara mutlak iaitu kepada apa yang dperintah, juga kepada apa yang dilarang. Kita patut bersyukur kerana masih dipanjangkan umur sehingga akan menyambut Ramadhan beberapa hari lagi kerana mungkin Allah ingin memberikan kita peluang untuk menambah amal soleh. Mungkin kita belum cukup amalan. Sedang ada orang yang alim meninggal di waktu usia yang masih muda. Begitulah rahmat dan kasih sayang Allah yang mengatasi kemurkaan Allah kepada kita. Jadi jangan disia siakan. Ulamak ambil cuti dari urusan dunia di bulan Ramadhan semata mata untuk beribadat. Hatta ada berhenti dari mengajar kerana mahu menfokuskan kepada ibadat. Dikongsikan tentang bagaimana orang yang telah meninggal dunia telah merayu rayu dengan Allah supaya dipulangkan ke dunia sekejap untuk beramal soleh. "Kami dah lihat, kami dah dengar semua janji janji Allah adalah benar. Kembalikan lah kami ke dunia untuk membuat amalan soleh". Orang yang tak berbuat amalan soleh, sangat menyesal dan orang yang berbuat amalan soleh juga menyesal kerana tidak berbuat lagi lagi banyak amalan soleh semasa hidup.

Apa maknanya berpuasa di bulan Ramadhan? Ianya bukan sekadar menahan dari makan dan minum. Maksud matlamat ibadah puasa jauh lebih besar. Iaitu kita sanggup lakukan apa sahaja perintah Allah walau apa jua keadaan, akan kita tunaikan. Kita tak akan makan di siang hari walaupun makanan halal kerana taat pada Allah yang melarang kita makan di siang hari. Kami dengar dan patuh perintah Allah. Kita kena menahan dari apa sahaja yang disukai oleh nafsu syahwat. Nafsu nak makan minum, nafsu nak berharta berkeluarga dsb. Kita sekat nafsu demi menjunjung perintah Allah. Segala hidup kita adalah untuk Allah. Ketaatan yang mutlak sehingga benda halal yang kita buat di siang hari dulu kita tak buat di bulan Ramadhan kerana perintah Allah. Apa yang diperintah Allah adalah manafaat dan apa yang dilarang adalah mendatangkan mudarat. Sebab Allah hendak tarbiah kita di luar dari kebiasaan kita. Kita perlu dibentuk luar dari kebiasaan. Kita ditarbiyah utk melaksanakan apa sahaja perintah Allah dalam apa sahaja keadaan. Mendidik jiwa taat pada Allah dalam apa jua situasi.

Yang wajib di bulan Ramadhan adalah puasa. Bukan terawih atau yang lain lain. Tapi ada antara kita yang bersungguh sungguh berkenaan terawih sehingga ada yang bertelagah samada 8 atau 20 rakaat. Nabi pernah bersolat terawih sendirian dan ada masa solat terawih secara berjemaah supaya orang tak menyangka terawih adalah fardhu. Jadi jika puasa adalah yang wajib, jadi wajar kita menjaga puasa dengan bersungguh sungguh. Belajar ilmu berkaitan puasa. Semak buku dan hukum hakam berkaitan puasa. Bukan perkara membatalkan puasa sahaja tapi juga cara supaya pahala puasa jangan dikurang. 

Ada beberapa jenis tingkatan puasa. Puasa umum ialah puasa orang awam yang hanya menjaga makan minum, puasa khusus ialah puasa orang istimewa dan puasa tertinggi ialah puasa istimewa dari kalangan istimewa. Dalam puasa tahap khusus, kita jangan melakukan perkara yang Allah larang. Kena upgrade at least ke tahap puasa yang khusus dengan menjaga perkara membatal dan jaga fadilatnya. Manakala puasa khusus dan khusus pula ialah bukan sahaja menjaga yang khusus tapi juga seluruh badan dan hati ditumpu hanya pada Allah. Tidak seperti solat yang hanya menjaga peraturan membatalkan solat dalam 5 minit setiap kali bersolat tapi berpuasa adalah selama 12 jam di mana kita kena menjaga mata, jaga telinga, jaga hati dan semua gerak anggota badan.

Jom lah sama sama mengambil kesempatan ini agar dapat merebut peluang dan jadikan Ramadhan ini yang terbaik dalam hidup kita dan lebih baik dari tahun lepas. Mesti ada peningkatan. Rebutlah pahala dalam segenap aspek siang dan malam. Pahala di bulan Ramadhan yang hebat mengatasi pahala umat lain yang hidup selama 1000 tahun kerana tawaran pahala berganda yang Allah sediakan di bulan ini. Amatlah malang jika kita tidak mengambil peluang yang ada ini... Cukup setakat ini dulu. Sekarang kita tengok resepi pajeri terung versi Azie Kitchen di bawah ini. Jom layaann...



Pajeri Terung

Bahan bahan:
7-8 biji terung - goreng seketika
5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1 batang kulit kayu manis
2 sudu besar rempah kari daging
1 pek santan
Sedikit udang kering - tumbuk kasar
Sedikit kerisik
Garam
Gula 
Gula Melaka
Asam keping - boleh juga guna air asam jawa

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng terung, angkat dan ketepikan. Boleh juga jika terung tak mahu menggoreng terlebih dahulu. Kemudian tumis kulit kayu manis dan bawang bawang hiris sehingga kekuningan. 




Masukkan rempah kari daging kering dan dikacau selama 1-2 minit sehingga wangi sebelum dimasukkan sedikit air dan udang kering.





Biarkan rempah garing dan terbit minyak, sebelum dimasukkan santan. Apabila santan mendidih, masukkan kerisik, garam, gula dan gula Melaka serta asam keping. Terus dimasak dengan api perlahan sehingga pecah minyak. 

Masukkan terung dan sesuaikan rasa. Boleh angkat dan sedia untuk dihidangkan.





Ikan Selar Goreng Berlada

$
0
0




Entri ini adalah entri tertunggak yang dah lama berlapuk dalam PC saya. Entah kenapa tiba tiba teringat kesedapan Ikan Selar Goreng Berlado yang saya sediakan di SINI dulu menyebabkan saya mengajak Boy ke kedai runcit mencari ikan selar. Kali ini, ikan nya agak besar, jadi saya meminta supaya dipotong dua. Ikan ini digoreng garing juga yang sedap dimakan begitu sahaja. Tengoklah dalam gambar tu, tenggelam ikan dek banyak lado atasnya. Gambar ini diambil guna handphone jer sebab semasa saya menyediakan lauk ini, Nana membawa kamera ke Melaka bercuti bersama kawan kawan doktornya.

 

Ikan Selar Goreng Berlado

Bahan bahan:
2 ekor ikan selar saiz besar - potong 2
2 biji bawang besar - hiris
20 tangkai cili kering
7 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Asam keping
Garam
Gula

Cara cara:
Ikan dilumur garam kunyit dan digoreng garing. Angkat dan ketepikan. Dengan menggunakan lebihan minyak tadi, tumis bawang besar sehingga layu. Kemudian masukkan cili yang dikisar bersama bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga cili masak dan pecah minyak.

Masukkan asam, garam dan gula. Gaul rata dan sesuaikan rasa. Bolehlah masukkan ikan goreng ke dalam kuali dan dibalik balikkan. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
Jika suka boleh masukkan sedikit daun kunyit, lagi harum baunya.


Kota Kinabalu Aku Datang

$
0
0






Setelah 6 tahun, akhirnya saya menjejakkan kaki lagi di Negeri Di Bawah Bayu. Kalau bukan kerana tugas, pasti saya tidak akan ke sini atau ke mana mana pun. Sejak beberapa tahun kebelakangan, saya dan anak anak memang tidak suka bercuti di dalam Malaysia. Tiada dalam agenda. Dah puas berjalan di sana sini. Anak anak lagi lah tak mahu mengikut kalau diajak ke mana mana di dalam negeri, kecuali bercuti bersama kawan kawan. Nana baru sahaja balik bercuti di Pulau Perhentian. Kalau ada pun, hanya bercuti di beberapa tempat di mana saya boleh melakukan aktiviti yang saya gemari seperti menangkap ketam di Avillion atau Grand Lexus Port Dickson. Kami lebih suka menghabiskan masa di rumah sambil keluar makan dan window shopping di One Utama atau The Curve. Di rumah, saya akan memasak untuk keluarga, melayan blog serta menghabiskan masa dengan mengaji dan membaca buku buku. Itulah rutin saya di setiap hari minggu.

Kebetulan masalah allergik timbul semula, jadi saya tidak selesa untuk berjalan jalan di tempat panas kerana ianya akan menjadi bertambah gatal bila badan berpeluh. Jadi sesampai di hotel, kami hanya berehat sehingga petang, barulah keluar ke kawasan Pasar Filipina. Teringat waktu kali pertama ke KK, memang saya sangat teruja untuk ke Pasar Filipina, apalagi kalau bukan membeli perhiasan mutiara. Tapi kini, tiada apa yang menarik pada saya, namun kunjungan ke KK, tidak lengkap tanpa mengunjunginya. Keadaan di pasar ini juga tidak berubah, masih seperti kunjungan pertama saya lebih 20 tahun yang lalu.

Kami hanya berjalan kaki ke Pasar Filipina yang kedudukannya terletak berdekatan sahaja dengan hotel. Pada mulanya, saya meminta hubby mengambil teksi tapi rupanya sangat dekat. Secara jujur tiada yang menarik hati saya di situ. Namun begitu, saya membeli juga rantai tangan mutiara dan hubby membeli butang baju Melayu sebagai buah tangan untuk anak anak. Jadi tak ada lah balik dengan tangan kosong.









Tak sampai pun setengah jam berada di dalam Pasar Filipina, saya mengajak hubby keluar dan berjalan ke pasar buah melalui pasar makanan laut kering. Oleh kerana tak tahan panas dan berpeluh, kami berpatah balik selepas membeli selonggok buah kuinin dengan harga RM10. 






Kami singgah makan ikan bakar dan sotong bakar. Saya hanya meratah lauk di samping minum air kelapa muda. Hubby memilih ikan pari, ikan susu dan sotong bakar. Sedap juga rasanya kerana ikan yang segar. Memang diakui saya seorang yang gemar makan di gerai gerai berbanding dengan restoran. Tapi kena berhati hati juga, saya tidak memesan minuman, hanya minum air mineral kerana bimbang masalah kesihatan. Maklum perut saya agak sensitif jika tersalah makan atau minum.


  



Dari situ, kami balik ke hotel melalui pasar sayuran dan buah buahan pulak. Singgah beli buah tembikai untuk dimakan sebelah malam di bilik. Saya perhatikan harga barang barang di sini juga agak mahal. Sebagai contoh, sekilo buah manggis adalah RM25. Ini adalah kerana ramai pelancung dari Jepun dan Korea mengunjungi KK. Seekor ikan bakar berharga RM30. Makan simple macam lauk yang kami pilih pun dah lebih dari RM60. Kos hidup di sini sangat tinggi. Kadang kadang terfikir pulak, bagaimana lah dengan mereka yang bergaji kecil untuk hidup selesa di sini.  


  



Saya memang bukan seorang "outdoor" dan tidak gemar berada di kawasan yang panas sejak dulu lagi. Saya juga bukan seorang yang menggemari scenery dan keindahan semulajadi. Jadi, selepas makan kami berjalan balik ke bilik berehat, menonton TV dan saya pula hanya membaca buku buku serta majalah.





JJCM di Kota Kinabalu

$
0
0




Saya ingin kongsikan perjalanan JJCM di Kota Kinabalu yang telah dibawa oleh sahabat kami, Tuan Kamal ke Salut Seafood Village yang terletak dalam 20km dari bandar Kota Kinabalu. Dalam perjalanan ke sana, Kamal telah singgah di Gerai Sri Cahaya membeli Puding Kelapa kegemaran beliau sekeluarga. Puding dibuat dengan memasukkan puding ke dalam sebiji kelapa yang ditebuk di bahagian atasnya.  




Makanan laut yang dijual di sana adalah yang masih hidup dan pastinya sangat sangat fresh. Antara lauk yang dipesan ialah Ikan Kerapu Stim, Udang Stim, Ketam Masak Sos, Sayur Pucuk Manis dan Siput Tarik. 








Inilah kali pertama kami makan siput yang perlu dicucuk dengan lidi dan ditarik naik secara perlahan lahan. Ianya juga dikenali sebagai Lawi Ayam kerana ada bahagian keras seolah taji ayam agaknya.





Sepanjang perjalanan kami bercakap mengenai kos sara hidup yang tinggi di KK di mana harga barang makanan yang sangat tinggi. Kalau dulu dikatakan bahan mentah murah, cuma makanan siap dimasak sahaja yang mahal. Tapi melihat harga ikan di Pasar Besar KK, di dapati harganya agak tinggi dengan harga Udang Kuning saiz sederhana berharga  RM45 sekilo, ikan Merah RM25 sekilo, ikan Kerapu dalam RM20 sekilo. Saya membelanjakan hampir RM300 untuk 8 kg ikan dan 3 kg udang. Saya juga membeli 4 kilo daging rusa liar yang dipanggil Payau di Sabah. Terfikir kalau bergaji kecil, agak susah di sini apalagi untuk membeli hartanah kawasan strategik yang berharga RM1000 sekaki per segi. Wow hebat.

Sesampai di bandar KK, kami singgah minum kopi berhampiran jeti. Saya suka melepak dan bersantai di sini kerana tidak panas dan angin juga nyaman sepoi sepoi bahasa seolah berada di dalam air cond yang besar. Dah lama saya tidak mengambil minuman bergula. Malam tu, saya memesan segelas kopi O pekat.




Aduhaai balik ke bilik, perut mula meragam dan saya tidak dapat tidur sehingga menjelang Subuh. Perkara yang sama terjadi semasa kami ke JB. Mungkinkah pengambilan makanan pedas yang menjadi punca atau air kelapa. Pagi pagi lagi saya telah menghantar mesej pada doktor untuk mendapat nasihat kerana ubat yang dibawa tidak membantu. Apa apa pun, makanan laut di KK memang best.



Sotong Goreng Kicap Mudah dan Sedap

$
0
0





Selamat berpuasa kepada semua pembaca blog Azie Kitchen dan sebelum melihat resepi, harap sudi kiranya anda semua membaca catatan saya dari Kuliah Subuh Ad Dhuha 28 Jun 2014 iaitu beberapa jam sebelum menjelangnya bulan yang dinanti nantikan iaitu bulan Ramadhan. Ustaz Zaid membawa tajuk Menjalani Ramadhan dengan Cara Maksimum. Dimulakan dengan syukur kerana Allah telah memberikan rahmat yang tidak terhitung banyaknya terutama di bulan Ramadhan, sedang ramai yang tidak sempat berada di bulan Ramadhan pada kali ini. Ramai orang yang bersyukur tapi tidak ramai yang benar benar bersyukur. Begitu juga ramai yang beriman tapi tidak ramai orang yang benar benar beriman. Jadi biarlah Ramadhan ini yang terbaik andainya inilah Ramadhan yang terakhir buat kita. Puasa adalah pokok untuk membuahkan taqwa. Orang bertaqwa suka datang majlis ilmu, siapa yang mencintai majlis ilmu di masjid, adalah orang yang benar benar beriman dan taat pada Allah.





Mari mulakan Ramadhan kali ini dengan cara maksimum seperti yang Allah tunjukkan. Formula dan acuan yang Allah ajar pada kita. Allah bagi panduan hidup dalam Al Quran. Al Baqarah ayat 138 di mana Al Quran dijadikan sebagai petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Semua aspek kehidupan kita, ada di dalam Al Quran. Apa dalam hidup kita yang tak ada dalam Quran? Acuan dan formulanya ialah input + proses = output. Input ialah Rukun Iman yang 6. Prosesnya ialah Rukun Islam yang di dalamnya ialah ibadah puasa, manakala outputnya ialah Taqwa, Akhlak dan Itqan. Input dan proses kena cukup mantap dan berkualiti untuk mencapai piawaian output yang dierima. Diberikan analogi membuat kuih bahulu yang memerlukan output seperti tepung, telur, gula dan bahan perisa. Manakala prosesnya pula ialah memukul telur, mengayak tepung dsb. Outputnya ialah kuih bahulu yang gebu dan sedap. Untuk menghasilkan bahulu yang sedap, bahan mesti cukup, bukan sahaja cukup tapi berkualiti. Kalau bahan tak cukup, contoh tiada tepung, bahulu tidak menjadi. Atau jika bahan mencukupi tapi tidak berkualiti, seperti 1 dari telurnya adalah busuk, bahulu yang sedap tidak terhasil. Atau jika semua bahan cukup dan berkualiti tapi proses tidak mengikut aturan seperti terlebih atau terkurang pukul telur, bahulu mungkin bantat. Begitulah juga dengan diri kita. 

Untuk menghasilkan taqwa, input dan proses mestilah menepati piawaian yang ditetapkan Allah di dalam Al Quran. Adakah kita rasa Allah tengok kita setiap masa. Kalau kita dapat rasa Allah melihat kita, pasti kita akan sentiasa berjaga jaga. Caranya kita menjadi seorang yang jujur. Kenapa menipu? Kerana kita rasa tiada orang yang tengok dan memerhatikan. Janji Allah pada orang yang mencapai taqwa ialah hidup tenang di dunia dan balasan syurga di akhirat. Kita boleh tahu jika kita telah mencapai piawaian. Apa hasilnya dari taqwa? Antaranya yang Allah jamin:

1. Antara hasil yang kita peroleh jika kita mendapat taqwa ialah kita sentiasa dibela dan dibantu. Jadi hidup kita sentiasa tenang.
2. Semua orang ada masalah. Jaminan pada orang bertaqwa adalah mereka dipermudahkan dalam menghadapi masalah.
3. Allah jamin rezeki orang bertaqwa dengan diberi rezeki yang tak disangka sangka. Kalau gaji kita, kita dah tahu setiap bulan jumlahnya.
4.  Yang terakhirnya ialah mana mana yang tak cukup, Allah akan cukupkan. Kita selalu merasa tak tenang kerana selalu tak cukup. Kalau cukup, mesti tenang. Menjelang hari raya, berapa ramai orang tak tenang. 

Kalau kita dapat taqwa, maknanya puasa kita berhasil. Allah Maha baik dan mahu kita menjadi seorang yang bertaqwa. Supaya kita hidup tenang di dunia ini. Allah cipta bumi untuk kemudahan manusia supaya dapat jadi khalifah di muka bumi. Semuanya dicipta untuk manusia termasuk tumbuhan dan haiwan untuk kegunaan manusia. Allah jadikan puasa untuk kita capai taqwa dengan merantai iblis di bulan Ramadhan. Di bulan Ramadhan, pintu syurga dibuka seluasnya. Kelebihan Ramadhan adalah banyak sekali, antaranya melakukan amalan sunat, diberi ganjaran sama dengan amalan fardhu. Buat amalan fardhu dapat pula ganjaran 70x ganda. Di bulan ini, kita juga boleh mendapat pahala orang lain dengan memberi makan orang berbuka puasa. Lailatul Qadar pula adalah malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Ianya ada dalam 10 hari di hujung Ramadhan sahaja. Semua Allah jamin boleh dicapai. 

Pagi petang kita bekerja mencari duit sehingga tak sempat mengaji dan beribadah. Buat lagi kerja part time, tak juga berjaya menjadi jutawan. Sedangkan untuk menjadi orang bertaqwa lebih mudah dari menjadi jutawan. Luang masa untuk belajar pasal agama baru mudah hidup kita. Allah tak mungkir janji, capai piawaian Allah jamin akan bantu, akan dicukupkan, akan diberi rezeki tak disangka sangka.

Apa yang Allah offer akan dapat dilihat selepas Ramadhan bagi orang bertaqwa. Sama sama usahakan. Analogi, kita bersungguh sungguh mahu anak menjadi pandai dengan menghantar tuisyen dsb tapi anak anak main main. Itulah anak yang malang kalau anak mengata ibubapa menyusahkan mereka sedang niat ibubapa untuk kejayaan anak anak. Begitu juga hubungan manusia dengan Allah. Allah menawarkan semua ini kerana mahu melihat manusia berjaya. Analogi yang lebih mudah akan janji Allah ialah umpama pelajar yang dijanjikan biasiswa jika mendapat kelulusan Kelas Pertama. Kenapa tak dapat biasiswa, ianya adalah kerana kita gagal dapat kelas pertama. Bila kita gagal, kita kena cari di mana silapnya, kenapa orang lain boleh mendapat kelas pertama dan mendapat biasiswa. Kenapa kita tidak boleh mendapat kelulusan Kelas Pertama? Begitu juga janji Allah.Semoga catatan ini dapat memberikan sedikit ilmu dan panduan untuk kita semua bagi memaksimumkan Ramadhan kali ini.

OK sekarang kita tengok resepi sotong yang mudah tapi sangat sedap. Sangat sesuai untuk juadah berbuka atau bersahur kerana lauknya tidak terlalu berat. Maklumlah sahur lebih sesuai lauk yang lebih ringkas....




Sotong Goreng Kicap Mudah dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan-bahan:
500 gram sotong 
1 biji bawang besar Holland - hiris bulat
3 biji cili merah - hiris serong
2 biji cili hijau - hiris serong
Sedikit air asam jawa
Sedikit garam
Sedikit serbuk kunyit
1/2 sudu kecil serbuk cukup rasa Knorr
Kicap masin secukupnya
Gula secukup rasa

Cara-cara:
Gaul sotong bersama sedikit garam, serbuk cukup rasa Knorr dan serbuk kunyit secara merata. Panaskan sedikit minyak dan tumis sotong tadi. Tutup kuali dan biarkan air sotong kering. Kacau sekali sekala supaya sotong tidak hangus. 





Bila air sotong sudah kering, masukkan air asam jawa. Kacau sebati, diikuti gula dan kicap masin secukupnya. Kacau sebati.

Masukkan hirisan lada hijau dan lada merah dan bawang besar. Kacau lagi.





Bila cili dan bawang mula layu, boloehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan.







Ikan Kerapu Stim Ala Thai

$
0
0




Ikan Kerapu ini adalah ikan yang saya beli semasa kunjungan ke Kota Kinabalu minggu lepas. Saya banyak membeli ikan kerapu yang terdapat berbagai spesis kerapu di sana termasuklah Ikan Kerapu Bara yang berwarna merah. Saya menyediakan ikan kukus ala Thai untuk hidangan tengahari anak anak sehari sebelum menjelang puasa di bulan Ramadhan.

Sebaik sahaja siap memasak, kami terus ke Sg Buloh bersama jiran kami Dato Khalil dan isteri untuk mengunjungi rumah anak anak Yatim di sana. Ini adalah kunjungan pertama saya ke rumah yang terdapat ramai anak anak yatim yang masih kecil sedari umur 3 tahun. Masih teringat seorang anak kecil datang menghampiri saya untuk mengambil gambar bersama. Sesunguhnya mereka juga seperti anak anak kecil lain yang memerlukan belaian ibubapa untuk bermanja. 





Inilah kali pertama saya dapat mengusap rambut mereka. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad daripada Abu Hurairah: “Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah mengadu mengenai hatinya yang keras, lantaran Baginda bersabda: berilah makan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” Menyapu atau mengosok kepala anak yatim adalah sebagai tanda kasih sayang kepada mereka. Anak yatim ialah anak yang kematian bapanya sebelum dia baligh. Anak yatim kehilangan tempat bergantung kerana kehilangan bapa yang mencari rezeki atau pendapatan untuk menyara hidup mereka. Disunatkan mengusap kepala anak yatim dimulai dari bahagian belakang hingga ke hadapan kepala. Dalam hadis disebut “sesiapa yang mengusap kepala anak yatim kerana sayang, maka Allah mencatat baginya dengan setiap rambut yang tersentuh tangannya satu kebaikan, serta dengan setiap rambut itu akan menghapus satu dosa darinya dan menaikkan satu darjat.

Saya menyediakan masak stim selepas teringatkan ikan masak stim yang dimakan semasa berbuka puasa di Restoran Muhibbah tahun lalu yang sangat sedap. Saya boleh meratah begitu sahaja. Jom kita tengok resepi ikan kukus yang sangat sedap ini, lebih lebih lagi menggunakan ikan kerapu segar...



Ikan Siakap Masak Stim Ala Thai

Bahan-bahan:
1 ekor ikan siakap - belah depan
2 batang serai - ketuk
1 biji bawang besar - hiris
4 ulas bawang putih - hiris
8 biji cili padi - ketuk
2 inci halia muda - hiris panjang 
1 kiub pati ikan bilis
3 biji limau kasturi/nipis - hiris dan juga perah jus
5 helai daun limau purut - buang urat & hiris kasar
2-3 biji bawang putih jeruk - buang kulit
1/2 batang saderi - hiris nipis

Bahan Sos:
2 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap cair
3-4 sudu besar sos tiram
Sedikit air

Bahan Lain:
1 sudu besar tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
Garam
Gula/serbuk perasa

Bahan Tabur
Daun ketumbar, daun bawang - hiris
1 biji cili merah - hiris 

Cara cara:
Panaskan air dalam pengukus sehingga mendidih. Masukkan semua bahan hiris dan bahan sos ke dalam pinggan pengukus. Letakkan bahan hiris sebahagian di bawah ikan.






Kukus dalam 5-10 minit atau sehingga ikan masak. Masukkan air bancuhan tepung dan garam serta gula. Rasakan dulu masinnya, sebelum ditambah garam. 






Kukus lagi dalam 1 minit. Tutup api dan tabur cili merah dan daun ketumbar.  Bolehlah dihidangkan. 






Rendang Daging Untuk Juadah Bersahur

$
0
0



Sehari sebelum menjelang Ramadhan, sahabat surau dan jiran kami menanyakan kalau ada sesiapa mahu memesan daging lembu segar. Saya cepat cepat menjawab mesej dalam WhatsApp jemaah surau memesan 2 kilo daging batang pinang. Dalam tercari cari resepi, teringatkan resepi rendang daging yang saya masak semasa berhari raya di rumah arwah Bonda Mertua. Itulah kali terakhir, saya dan Nana balik kampung dan memasak juadah hari raya. Resepi ini diambil dari Myresepi yang telah dicuba oleh ramai orang. Berdasarkan komen, saya menyalin resepi dan menambah kiub ayam Knorr seperti yang telah disarankan oleh seorang pembaca yang telah mencubanya. Boleh klik di SINI untuk melihat entri berkenaan rendang daging menggunakan resepi ini. Satu kelainan dalam resepi ini ialah, ianya ada menggunakan rempah kurma.






Saya memasak kesemua 2 kilo daging untuk dibuat stok hidangan sahur. Kebiasaannya saya tak berapa gemar hidangan sahur yang berkuah. Cukup sekadar lembab lembab seperti sambal tumis udang atau kuah rendang yang pekat. Dapat juga 5 bekas dan disimpan dalam freezer. 

Sebelum kita tengok resepi, saya ingin kongsikan intipati Tazkirah Ramadhan di Surau Ad Dhuha pada 30 Jun 2014 berkenaan ramai orang berpuasa tapi tak mendapat apa apa kecuali lapar dan dahaga. Antara sebab utama puasa gagal mencapai matlamat taqwa ialah kerana kita gagal memahami makna taqwa itu sendiri. Perkataan taqwa wajib di dengar bagi orang lelaki 4 kali dalam sebulan dalam kutbah jumaat. Taqwa sangat berharga dalam Islam. Jadi kita disaran bersungguh sungguh untuk mencapai KPI Ramadhan tahun ini. 4 peringkat untuk fahami erti taqwa berdasarkan kata kata Saidina Ali, iaitu:

1. Takut pada Allah. Lakukan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Bila takut dengan Allah, kita kena semakin dekat dengan Allah. Ianya berbeza dengan takut pada makhluk, di mana kita akan menjauhi makhluk berkenaan, contoh seperti harimau. 
2.  Beramal dengan Al Quran. Kena yakin dengan apa yang ada dalam Al Quran. Tak boleh ambil sebahagian dan buang sebahagian. Masuk dalam agama Allah secara menyeluruh dari semua aspek. Islam adalah cara hidup, semua Islam cover yang mengatur kehidupan kita. Contoh, sistem perbankan berasaskan Islam. Sistem kewangan Islam mampu membela termasuk orang bukan islam. Undang undang Islam untuk melindungi, bukan mendera, jadi kenapa kita tak yakin dengan apa yang disebut dalam Al Quran. Cth zina, kena sebat 100 kali. Bila hukuman Allah diketepi, berapa ramai bayi dibuang hasil perzinaan. Semua ni adalah di kalangan orang Islam. 
3. Cukup dengan yang sedikit iaitu Qanaah. Ramadhan untuk membawa kita on track. Bangun sahur supaya kita bangun awal pagi. Boleh solat Subuh berjemaah di surau. Allah syariat untuk kita berbuka puasa. Tak boleh tak berbuka. Balik rumah untuk berbuka dan solat maghrib berjemaah. Allah atur supaya ia dapat menjadi jadual kita selepas Ramadhan. 
4. Bersedia untuk hari akhirat. Jumaat kita baca Surah Yasin. Cuba fahami makna dalam ayat 65. Disebutkan "Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan". Itu sebab kena ada bekalan di dunia supaya kita akan selamat di akhirat. 





Rendang Daging
Oleh: Azie Kichen

Bahan bahan:
1 kg daging - potong kecil 
2 pek kecil rempah kurma 
1/4 cawan kerisik 
Santan - 1 biji kelapa 
Garam 
Gula melaka/gula 
½ cawan air asam jawa/1-2 kpg asam
1 kiub ayam knorr - opsyenal

Bahan kisar:
2 labu bawang besar 
5 ulas bawang putih 
5 batang serai 
1 1/2 cm halia 
1 1/2 cm lengkuas 
15-20 biji cili kering

Bahan mayang: 
3 helai daun limau purut 
1 helai daun kunyit

Cara-cara:
Tumis bahan yang dikisar sehingga naik bau. Masukkan rempah kurma. Tumis lagi sehingga berbau.




Rebus daging seketika dengan pressure cooker (tak perlu jika guna daging batang pinang). Masukkan daging bersama air rebusan, kacau rata. Biarkan 2-3 minit.

Kemudian masukkan santan. Bila agak-agak daging dah lembut, masukkan air asam jawa, garam dan gula.

Bila daging dah betul lembut, masukkan pula kerisik dan gaul rata. Masakkan sehingga kuah agak pekat.




Akhir sekali masukkan daun yang dimayang dan dikacau seketika dan boleh tutup api.







Kari Udang Untuk Juadah Berbuka

$
0
0




Hari pertama saya bekerja di dalam bulan Ramadhan, saya mengambil separuh hari petang untuk berjumpa doktor. Balik dari hospital, teringat untuk memasak Kari Udang. Jadi singgah di kedai runcit mencari santan. Balik dari sana, kedengaran azan Asar. Jadi kami singgah di surau untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah. Hati berkata kata, betapa beruntungnya mereka yang tidak bekerja di bulan Ramadhan ini kerana boleh membuat banyak amalan soleh yang ganjarannya adalah berlipat kali ganda. Boleh mengaji pagi petang, boleh solat berjemaah di masjid, boleh memasak untuk keluarga berbuka puasa. Insya Allah mudah mudahan saya berpeluang untuk melakukan semua ini satu hari nanti. 

Hari ini saya nak kongsikan petikan kuliah Zohor Ustaz Aliff Mahari berhubung 7 golongan manusia yang akan dinaungi di Padang Masyhar. Semua makhluk pasti akan merasa mati, kita mesti mati cuma tarikh dan bila ianya akan tiba, hanya ada dalam ilmu Allah. Jadi kita kena bersedia untuk mati. Selepas mati, kita akan transit sekejap di alam barzah. Kemudian baru dibangkitkan dan menuju ke Padang Masyhar yang sangat kelam kabut untuk diadili. Siapa 7 golongan manusia tersebut? Mereka adalah:

1. Pemimpin yg adil samada peringkat jabatan, keluarga, negeri. Semua pemimpin akan dipertanggungjawab di hadapan Allah. Mereka yang adil yang akan dapat naungan Allah dan yang zalim yang mula mula diheret ke neraka. Siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, akan diberi tanggungjawab. Rakyat pun akan dapat saham jika salah memilih pemimpin.
2. Pemuda yang usia muda dihabiskan untuk mengabdi diri pada Allah. Golongan terpilih dan sangat hebat. Allah jamin mereka akan dinaungi. Allah suka orang yang tawadduk tapi  Allah lagi suka orang kaya yang tawadduk. Allah suka orang bersedekah tapi Allah lebih suka orang miskin yang bersedekah. Allah suka orang segera bertaubat tapi Allah lagi suka orang muda yang bertaubat.
3. Lelaki yang hati nya sentiasa terikat dengan masjid. 5 waktu bersolat jemaah di masjid. Solat sunat di rumah. Solat jemaah maghrib di bulan puasa sebab orang sibuk berbuka. Menyempatkan diri dengan imam dalam takbir pertama sangat besar pahalanya.
4. 2 lelaki bertemu dan berkasih sayang kerana Allah. Silaturrahim, hubungan rahim iaitu adik beradik. Atau sepupu. Yang lain ukhwah Islamiah iaitu persaudaraan sesama Islam.
5. Lelaki yang bersedekah. Bila disebut lelaki, ianya  termasuklah perempuan. Yang terbaik ialah bila tangan kiti tak tahu apa yang tangan kanan bersedekah. Hanya kita dengan Allah sahaja. Sedekah berfungsi mengangkat musibah dan pintu kejahatan di sekeliling kita. Kehebatan bersedekah umpama dari sebiji benih tumbuh 1 pokok dengan 7 dahan yang setiap dahannya menghasilkan 100 biji buah. Pahalanya hanya dapat dilihat di akhirat. Sedekah paling sempurna ialah sedekah harta yang paling kamu sayang. Bagi RM1 dapat pahala RM1. Berkat sedekah kerana sedekah mampu menjaga keluarga kita. Betapa hebat bersedekah. Lebih lebih lagi bulan Ramadhan.
6. Lelaki yang diajak oleh seorang perempuan cantik untuk berzina. 
7. Lelaki yang mengingati Allah pada waktu sunyi dan menangis. Bangun solat malam dan cuba sedaya upaya menitiskan airmata. Setitis airmata yang keluar pada waktu ini sangat mahal. Api neraka tak menyentuh mata yang menangis dan mata yang berjaga malam kerana agama. Orang munafik tak bangun sorang diri di tengah malam. Kena bebaskan hati kita dari sifat munafik. 

Ramadhan adalah masa untuk kita mencari peluang meletakkan nama kita dalam 7 golongan yang dinaungi di Padang Masyhar. Jom kita layan resepi Kari Udang menggunakan udang kuning yang juga dibeli di Pasar Besar Kota Kinabalu. Apa apa makanan laut yang dimasak kari, memang sedap. Kuahnya pun sangat sedap dan boleh dicicah roti dan makan begitu sahaja...





Kari Udang

Bahan bahan:
Udang
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 paket rempah kari udang
1 pelepah daun kari
4 batang cili padi
Garam
Gula

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih yang dihiris. Masukkan pula cili padi yang dipotong kecil. Kemudian masukkan rempah kari dan kacau dengan cepat supaya rempah tidak hangus. Setelah berbau wangi, masukkan sedikit air.

Masukkan daun kari dan terus dikacau sehingga rempah terbit minyak. Setelah itu, baru masukkan santan. Apabila santan mendidih, baru dimasukkan udang dan masak sehingga udang masak.

Akhir sekali, masukkan garam dan gula. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.


KK Night Market

$
0
0



Saya ingin menyambung sedikit lagi catatan JJCM di Kota Kinabalu. Klik di SINI dan di SINI untuk entri sebelum ini. Mana tahu jika anda sekarang berada di KK, bolehlah menjadi panduan untuk mencari tempat berbuka puasa. Jika sebelum ini kami hanya makan di Pasar Filipina, kali ini kami mencuba tempat baru pulak. Kami berjalan dari hotel ke KK Night Market yang terletak berhadapan Hotel Hyatt Regency. Tidak seperti di Pasar Filipina, di sini kita memilih ikan atau udang atau sotong dan meminta dimasak mengikut apa yang kita sukai. Tempatnya lebih bersih dan dipenuhi oleh pelancung terutamanya dari semenanjung berdasarkan percakapan mereka. 


Harganya juga lebih murah kerana dengan memesan ikan kerapu masak 3 rasa, Ikan Sebelah bakar, Sotong goreng tepung dan sayur, hanya RM30 sahaja. Di hari kedua, di mana saya makan malam di Pasar Filipina dengan memilik ikan dan dimasak dengan lauk yang hampir sama, semuanya berjumlah RM60. Hmm hampir sekali ganda juga tu...







Kalau anda mengunjungi KK, bolehlah kunjungi KK night market yang sangat happening dengan mereka yang menjamu selera dengan makanan laut.


Ikan Kerapu Bara Goreng Halia Dan Bawang Putih

$
0
0





Hari ini saya memasak lauk yang simple sahaja. Kali ini menggunakan ikan kerapu bara berwarna merah yang dibeli dari Kota Kinabalu dengan harga RM20 sekilo. Inilah kali pertama, saya membeli ikan kerapu bara. Ikan ini banyak di dapati di restoran makanan laut yang masih hidup. Harganya di sini, memang lah mahal. Tapi saya hanya membeli 2 ekor sahaja kerana tiada yang bersaiz kecil atau sederhana. Semuanya bersaiz besar sahaja. Menurut kawan kawan di KK, ikan ini sangat sedap dengan isi yang lembut dan manis. Itu yang saya beria ia mencarinya di Pasar Besar KK untuk dibawa balik. Oleh kerana mahu menikmati isi ikan yang lembut, saya hanya memasak ringkas sebab tak mahulah rencah menghilangkan kemanisan isi ikan kerapu pula.





Saya terjumpa resepi ini semasa mencari cari resepi untuk menyediakan juadah berbuka. Tengah bersemangat nak memasak untuk juadah berbuka kerana ianya memberi pahala yang sangat banyak di mana pahala puasa suami dan anak anak juga akan saya perolehi. Anak anak yang tolong menghidang makanan juga mendapat pahala orang berbuka. Suami yang membeli bahan untuk memasak juga mendapat pahala orang berbuka. Betapa banyaknya kelebihan yang diberi di dalam  bulan Ramadhan. Bak kata Ustaz Jihad semasa kuliah zohor, copy and paste, bermakna kita mendapat pahala puasa mereka tanpa mengurangkan pahala mereka sendiri. 

Itulah di bulan Ramadhan, Nabi Muhamad SAW menggalakkan kita memberi makan orang berpuasa serta memperbanyakkan bersedekah di mana ganjaran bersedekah adalah sehingga 700 kali ganda. Satu sedekah umpama sepohon pokok yang mempunyai 7 dahan yang setiap dahannya menghasilkan 100 biji buah. Para sahabat dahulu akan berdoa supaya disampaikan pada bulan Ramadhan 6 bulan sebelumnya. Ini kerana mereka tahu kelebihannya berada di dalam bulan Ramadhan. Masuk sahaja bulan Ramadhan, mereka akan memecut dengan lajunya. Manakala selepas bulan Ramadhan, mereka akan berdoa selama 6 bulan lagi supaya segala amalan di bulan Ramadhan diterima. Pendek kata sepanjang tahun adalah berkenaan bulan Ramadhan sahaja. Maha hebatnya bulan Ramadhan di mana jika boleh, biarlah setiap bulan adalah bulan Ramadhan. Pesan ustaz lagi, jangan ada satu hari dalam bulan Ramadhan, kita tidak berada dalam majlis ilmu dan jangan satu hari dalam bulan Ramadhan, kita tidak membaca Al Quran. Sementara kita masih berada di dalam bulan Ramadhan, jom lah kita sama sama merebut peluang yang berada di depan mata ini. Ramai yang Allah tidak pilih untuk berada di bulan Ramadhan kerana telah terlebih dahulu dipanggil mengadap Illahi.

Di dalam bulan ini juga, kita disuruh pelbanyakkan berdoa dan berdoa meminta tahap yang paling tinggi atau maksimum yang boleh seperti memohon syurga firdaus. Di kala ini, pintu syurga dibuka seluasnya, jadi ambil peluang untuk melayakkan diri kita ke dalamnya. Untuk kehidupan di dunia, mohonlah kekayaan supaya dengan kekayaan kita boleh memperbanyakkan bersedekah, wakaf dan amal jariah serta membantu mereka yang memerlukan. 

Jom kita layan resepi dulu...




Ikan Kerapu Bara Goreng Halia dan Bawang Putih 

Bahan-Bahan:
1 ekor ikan kerapu 
Minyak - untuk mengoreng 

Bahan A:
Serbuk kunyit
Garam
Sedikit tepung jagung

Bahan B:
Segenggan halia muda - dimayang halus 
Segenggam cili padi - dipotong halus
Segenggam bawang putih - mayang halus 

Bahan C:
3 sudu besar kicap cair 
1 sudu besar kicap pekat 
3 titik minyak bijan 
1 sudu besar sos ikan 
1 sudu kecil gula

Cara cara:
Lumur ikan kerapu dengan garam kunyit dan sebelum digoreng tabur tepung jagung. Kemudian goreng ikan sehingga garing dengan minyak yang banyak dan pastikan kedudukan ikan adalah melebar dengan kedudukan kepala ikan tegak.

Menggunakan minyak yang sama goreng Bahan B satu persatu sehingga garing dan kuning keemasan dan ketepikan. Kurangkan minyak kepada 1 sudu besar dan masukkan Bahan C dan dimasak sehingga menggelegak dan ketepikan.





Letak ikan di tengah-tengah pinggan, taburkan Bahan B dan siram Bahan C apabila hendak dimakan. Hias dengan daun ketumbar atau daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.






Daging Rusa Goreng Yang Sangat Sedap

$
0
0





Saya membeli daging rusa liar di Kota Kinabalu. Di sana, daging rusa dikenali sebagai payau. Inilah kali pertama, saya makan daging rusa. Untuk mengekalkan rasa daging rusa, saya memasak daging rusa goreng sahaja. Oleh kerana saya tiba di rumah agak lewat, jadi untuk percepatkan masa saya telah memasukkan di dalam pressure cooker dalam 3 minit. Serius sangat sedap daging rusa, tekstur dagingnya yang halus dan mempunyai rasa yang agak agak seperti daging burung pula. 

Sebelum tengok resepi, jom baca dulu catatan dari majlis ilmu. Kuliah Zohor Ustaz Dr Shauqi Othman pada hari ini dikongsikan oleh sahabat saya, Haji Abdul Hanan yang menghantarnya melalui whatsApp kerana saya mengambil cuti. Kepentingan bertadabbur dalam bulan Ramadhan iaitu bulan berkat di mana bulan diturunkan Al Quran. Al Quran diturunkan di malam Al Qadar. Jadi sesiapa yang beramal dengan Al Quran akan mendapat ganjaran yang banyak. Sebaik baik kamu ialah orang yang mempelajari Al Quran. Bukan sahaja tajwid kerana tajwid adalah peringkat asas sahaja tapi kita kena ada peningkatan. Tapi tadabbur adalah benda yang wajib dibuat, iaitu memahami apa yang dibaca supaya kefahaman akan wujud. Selepas belajar tajwid, kita kena belajar dan faham Al Quran. Yang ini kita kena buat, iaitu bertadabbur Al Quran. 

Kepentingan bertadabbur adalah kerana Al Quran untuk dihayati dan memberi petunjuk kepada manusia. Seorang professor yang membuat kajian mendapati dalam Al Quran tak jumpa percanggahan isi kandungannya berbanding dengan Bible yang banyak bercanggah. Ahli sains yang membuat kajian juga terkejut kerana mendapati dalam Al Quran terdapat berkenaan pembentukan janin yang telah ada di dalam Al Quran beribu tahun dahulu. Ini bukti Al Quran bukan dari manusia kerana manusia baru sekarang sahaja membuat kajian berhubung sains. Sedang manusia pada masa itu, hidup dalam kegelapan. Jadi sesiapa yang bertadabbur akan mendapat hidayah Allah. Belajar ilmu agama adalah sesuatu yang wajib. 

Tadabbur atau penghayatan Al Quran boleh memberi hidayah pada manusia. Tadarus Al Quran bukan sahaja membaca Al Quran secara berkumpulan. Tadarus pula mesti ada unsur pembelajaran secara berkumpulan di mana seorang baca dan seorang lagi mendengar dan memperbetulkan, jika ada kesalahan. Bila bertadabbur, baru kita menikmati ayat Al Quran. Ubat bagi hati ada 5 perkara, semua masalah adalah berpunca dari hati. Antaranya ialah, membaca Al Quran dengan bertadabbur untuk membaikkan hati supaya tenang dan seronok. 

Al Quran diturun sekali gus peringkat pertama di malam Al Qadar tapi diturun peringkat kedua pada Nabi Muhamad SAW sedikit sedikit dan berperingkat mengikut keperluan, bukan mengikut susunan. Ini semua akan kita faham kalau kita bertadabbur. Apa apa berkaitan dengan Al Quran akan dapat kemuliaan di sisi Allah. Lailatul Qadar adalah lebih baik dari 1000 bulan. Bulan Ramadhan dimuliakan kerana Al Quran. Al Quran akan memberi syafaat kepada mereka yang membaca dan bertadabbur. Surah Qadar terdapat 30 perkataan serta 114 huruf. Ianya sama dengan Al Quran yang mempunyai 30 juzuk dan 114 surah. Ianya bukan berlaku secara kebetulan. Ini menunjukkan hebatnya Al Quran. Bila kita bertadabbur, baru kita akan dapat membuat kajian....

Jom kita tengok cara saya menggoreng daging rusa, sama seperti cara memasak daging masak kicap jer...




Daging Rusa Goreng

Bahan bahan:
Daging rusa - hiris nipis
Sos tiram
Halia
Bawang putih
Bawang besar
Cili merah
Halia
Kicap pekat
Sedikit cuka
Sedikit minyak

Cara cara:
Perap daging rusa dengan sos tiram dan halia lebih kurang sejam. Masukkan daging yang telah diperap ke dalam kuali, masukkan air dan masak hingga kering air atau sehingga daging empuk.

Tambahkan minyak masak, goreng daging seketika. Lepas tu, masukkan  sedikit cuka dan kicap.

Akhir sekali, masukkan cili, bawang serta halia. Kacau rata dan sedia untuk dihidang.






Sayur Pecal Kegemaran Saya

$
0
0





Di bulan Ramadhan, memang rahmat Allah melimpah ruah dan ianya boleh dilihat dengan ramainya peniaga peniaga yang muncul di bazar Ramadhan, ramainya mereka yang hadir ke surau untuk bersolat terawih. Hari ini, rezeki saya murah kerana tiba tiba sahaja sahabat saya Rasimah menghulurkan rencah pecal seolah olah tahu yang pecal adalah makanan kegemaran saya. Dulu saya pernah membeli dan menyimpan home made stok pecal tapi sekarang memang agak susah sedikit untuk mencari rencah pecal yang sedap. 






Balik dari pejabat, saya terus singgah di kedai runcit membeli tempe, sayur kangkung dan kacang panjang. Kebetulan di rumah ada stok terung, jadi saya celurkan sekali bersama sayur kacang panjang.





Sangat sedap dan secukup rasa rencah pecal ini dan menyediakannya pula sangat mudah, hanya perlu dimasukkan air dan kacau diatas dapur seketika. Hmm memang terbaeek lah, rencah pecal segera yang dijual oleh kakak ipar Rasimah. Saya meratah begitu sahaja, maklum saya hanya makan beberapa sudu nasi sahaja sekarang ini. Kalau ada sesiapa yang ingin membuat tempahan, bolehlah menelefon Mak Tam di nombor telefon: 014-2531648. Terima kasih tidak terhingga kepada Rasimah yang akan bersara awal tidak lama lagi. Semoga dimurahkan rezeki dan diberikan ketenangan hidup dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. 



Kalio Ayam Sedap Untuk Berbuka Puasa

$
0
0

 


Setiap masa kita belajar perkara baru dan mengamalkannya. Memang saya tahu betapa besarnya pahala menyediakan makanan untuk ahli keluarga sendiri tapi selama saya tak pula tahu yang ibu ibu yang menyediakan hidangan untuk suami dan anak anak berbuka puasa akan mendapat pahala puasa mereka tanpa mengurangkan pahala mereka sendiri. Anak anak yang membantu hidangan berbuka juga mendapat pahala orang berbuka puasa, apalagi suami yang membeli makanan untuk berbuka. Begitulah pentingnya untuk kita menghadiri majlis ilmu supaya kita beramal dengan mempunyai ilmu. Ganjaran besar juga disediakan untuk mereka yang menghadiri majlis ilmu bagi menunjukkan betapa pentingnya majlis ilmu. 





Teringat Ustaz Said dalam banyak kuliah dan tazkirah Ramadhan memberitahu banyak hadis menyebutkan akan kelebihan majlis ilmu yang ganjarannya melebihi solat 1000 rakaat. Ustaz menekankan supaya kita mengambil perhatian kepada amalan yang memberi pahala yang besar ini. Diberi contoh, solat terawih 20 rakaat dalam masa 3 jam berbanding dengan majlis ilmu dalam masa 1 jam yang memberikan 1000 rakaat. Bukan bermakna kita tidak perlu bersolat terawih tapi disarankan supaya turut menghadiri majlis ilmu, lebih lebih lagi di bulan Ramadhan. Namun pada tahun ini, tiada lagi kuliah Ustaz Said kerana telah dipanggil mengadap Illahi. Semoga roh beliau diletakkan bersama orang orang yang soleh. Al Fatihah. Pesan Ustaz Jihad pula, jangan biar sehari dalam hidup kita tidak menghadiri majlis ilmu kerana kita sentiasa perlukan peringatan dan jangan sehari hidup kita, tanpa membaca Al Quran. 

Jadi tahun ini, saya lebih bersemangat untuk memasak dan menyediakan hidangan berbuka untuk keluarga walaupun hanya satu lauk yang ringkas sahaja. Hari ini, saya ingin kongsikan Kalio Ayam iaitu satu jenis masakan Minang ringkas yang bahan bahannya sama seperti memasak rendang, cuma ianya mempunyai kuah dan ditumis terlebih dahulu. Saya memang suka masakan Minang. Klik di SINI untuk melihat Kalio Ayam saya sebelum ini. Nana yang melihat saya menyediakan Kalio Ayam meminta untuk membawa ke hospital kerana beliau bertugas malam....

Jom kita tengok resepi dulu....




Kalio Ayam

Bahan bahan:
1 ekor ayam
12 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
4 batang serai 
5-7 sudu besar cili kisar - ikut suka pedas

Bahan kisar:
1-2 biji ubi kentang - potong 4
1 helai daun kunyit
1 pek besar santan
Sedikit kerisik - opsyenal
Garam
Secubit gula 
1 keping asam keping

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar dan serai sehingga wangi kemudian masukkan ayam dan ubi kentang. Balik balikkan ayam dan masak sehingga ayam keluar minyak.





Masukkan santan dan kacau sehingga mendidih, baru dimasukkan garam, gula dan asam keping serta daun kunyit. Sesuaikan rasa dan kepekatan. Bolehlah tutup api.





Kuahnya mestilah agak pekat, baru lebih sedap. 



Ikan Kerapu Bakar Berempah Sedap

$
0
0





Petikan tazkirah Ramadhan Ustaz Rashid malam ke7 Ramadhan adalah berkenaan hati. Di bulan Ramadhan ini kita boleh check samada hati kita berpenyakit kerana syaitan dah dibelengu. Yang tinggal hanya nafsu. Tanda tanda hati yang sakit dan berpenyakit ialah:

1. Malas melakukan amal kebaikan dan ketaatan. Kalau rasa rajin, maknanya hati kita cantik. 
2. Tak langsung menyentuh Al Quran. Atau kalau pandang pun, tak baca. Rugi kalau tak khatam Al Quran. Setiap kali kita bersolat, seolah kita charge battery. Orang yang baca Al Quran, 12 juta sel sel badan akan menjadi aktif. 
3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat. Walaupun di bulan Ramadhan, rezeki melimpah yang semuanya merupakan ujian. Ramadhan adalah bulan Al Quran. Ambil peluang belajar Al Quran. Kita tak pernah merasa cukup dengan dunia walaupun dah ada 11 bulan. 
4. Suka berkawan dengan orang suka melakukan maksiat. Berkawan dengan orang yang jauh dengan Al Quran, jauh dengan Allah.  
5. Meremehkan perkara berkaitan dosa kecil. Dalam bulan ramadhan, dosa kecik dikira besar. Jika kita meremehkan dosa kecil, itu menandakan hati kita sakit. 
6. Tak mempedulikan sumber makanan yang dimakan. Orang yang hati bersih, akan berhati hati dalam perkara sumber makanan yang diambil.  


Bila hati sakit kita kena cari ubatnya. Antara ubatnya ialah: 

1. Baca Al Quran dan memahami maknanya. Orang yang dah mahir baca Al Quran, cuba pula membaca terjemahan dan tafsirnya. 
2. Berpuasa. Orang yang sakit hati, hendaklah perbanyakkan berpuasa. Orang berpuasa, amalan lebih sebab nafsu kurang kerana perut kosong. 
3. Bangkit malam dan melakukan solat 2 rakaat semasa bangun bersahur. Ambik masa untuk berdoa dan memohon dengan Allah. Perbanyakkan bertasbih kerana waktu malam adalah waktu mustajab doa.  
4. Perbanyakkan zikrillah serta berdoa. 
5. Berdamping bersama orang yang alim dan soleh. Panggil orang alim datang rumah untuk berbuka puasa dan solat di rumah. Bila tengok muka orang alim, ada Nur di mukanya walaupun berkulit gelap. Orang alim menpunyai raut wajah yang tenang. Ambil keberkatan supaya hati kita jadi tenang. Rugi lah berada dalam bulan Ramadhan, jika kita tidak tergolong dalam golongan orang soleh. 

Sekarang kita masuk pula bab resepi, setiap hari memang pening kepala memikirkan apa yang hendak dimasak. Walau pun satu lauk, saya ingin juga menyediakannya demi merebut peluang yang Allah tawarkan untuk mereka yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa. Suami pula akan memasak nasi. Anak anak pula akan menghidang. Maknanya semua menpunyai bahagian. Alangkah rugi jika kita tidak merebut tawaran yang sangat istimewa ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah hadiah Allah untuk umat Islam mengumpul ganjaran pahala. Maklumlah umur umat Nabi Muhamad SAW adalah singkat sahaja berbanding umat terdahulu. Dengan tawaran ganjaran berganda, kita boleh merebut pahala seolah kita hidup 7000 tahun. Insya Allah. 

Jom kita tengok resepi ringkas ikan kerapu yang saya beli dari Kota Kinabalu yang sangat segar. Kalau untuk dibakar, ikan mestilah yang benar benar segar. Oleh kerana saya tiba di rumah agak lewat, saya meminta Juita menyediakan bahan kisar dan diperap pada ikan. Bila tiba di rumah, saya hanya tinggal membakar dan membuat Sambal Kicap yang sangat sedap. Tunggukan entri sambal kicap di entri akan datang. Jom layannn...






Ikan Kerapu Bakar Berempah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan kerapu - kelar
1 sudu besar cili kisar
3 batang serai
3 biiji bawang merah
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam

Cara cara:
Bersihkan ikan dan kelar. Gaul semua bahan kisar dan perap pada ikan selama 20 minit.





Lumur sedikit minyak pada permukaan ikan dan bakar sehingga ikan masak sambil direnjiskan minyak pada ikan. 





Angkat dan sedia dihidangkan dengan pencicah air asam atau sambal kicap. 




Gulai Ikan Tongkol Untuk Nasi Dagang

$
0
0





Saya kongsikan di sini sedikit petikan tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Adli berkenaan kepentingan mempunyai ilmu dalam beramal. Dikongsikan bahawa Nabi Muhamad SAW sempat melalui 8 kali Ramadhan. Baginda hanya bangun bersolat malam 7 hari sebelum Ramadhan berakhir. Barang siapa bangun dan qiam bersama imam. Anda dapat pahala beribadah sepanjang malam. Tak perlu bangun lagi pun tak apa. Itu sebab kena ada ilmu supaya tahu cara beribadah. Jangan sampai memenatkan badan sendiri. Apa apa solat yang dibuat sebelum tidur dikenali sebagai Qiam. Kalau selepas tidur, akan dipanggil tahajjud. Kelebihan melakukan Qiam bersama imam adalah anda dapat pahala beribadat sepanjang malam. Pahala qiam berjalan sepanjang malam walaupun kita sedang tidur. Jadi jangan sesekali balik meninggalkan solat terawih sebelum imam menamatkan solat witir pada malam tersebut. Rugi kerana tidak mendapat pahala beribadah sepanjang malam.

Saya paparkan sekali lagi resepi untuk menyediakan Gulai Ikan Tongkol yang dihidangkan bersama nasi dagang Terengganu untuk memudahkan rujukan di masa depan. Gulai ini memang perlu dimasak agak lama sehingga ianya benar benar pecah minyak. Jadi untuk mula mula, biarkan agak cair kerana setelah lama dimasak, ianya akan menjadi pekat. Jika pekat, ditambah lagi air dan ulang lagi memasak sehingga mencapai kepekatan yang disukai. Jika dibuat begini berulang ulang kali, kuahnya akan menjadi lebih sedap.

Tapi seperti biasalah anak anak tak berapa suka lauk ikan tongkol ni. Hanya saya yang menggemarinya. Jadi kalau hari hari biasa, saya memang tak bolehlah memasak lauk ni. Kalau makan nasi kerabu sekali pun, saya pasti mengambil lauk ini sebagai lauk nasi kerabu. Apa apa masakan yang menggunakan ikan tongkol rebus, memang menjadi kegemaran saya. Syaratnya ikan tongkol mesti direbus dan dibiarkan semalaman. 



Gulai Ikan Tongkol
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ikan tongkol hitam (lebih kurang 1 kg) 
1 kotak santan kotak  - air secukupnya
3 sudu besar cili kering kisar - tambah jika suka pedas
1 pek rempah gulai cap bunga rose (bancuh dg sedikit air)
8 gram rempah masak cap bunga rose 
2 keping asam keping
2 sudu besar gula melaka/gula atau secukup rasa
10 biji cili api
6 - 7 biji belimbing buluh
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
10 ulas bawang merah 
4 ulas bawang putih 
1 inci halia 
2 hiris lengkuas 

Cara cara:
Ikan dibersihkan kemudian direbus bersama 4 keping asam keping dan garam sehingga airnya tinggal separuh. Kalau rebus dan dibiarkan semalaman, lagi sedap. 

Dalam periuk lain panaskan minyak, tumis bahan bahan kisar, cili kisar sehingga garing dan masukkan rempah gulai dan goreng lagi sehingga naik bau dan pecah minyak. Nota: Resepi asal Terengganu, santan dimasak sehingga pecah minyak sebelum dimasuk bahan kisar dan serbuk.







Masukkan santan, kacau sehingga hampir pecah minyak. Masukkan ikan, asam, gula Melaka dan garam. Terus merenih sehingga pecah minyak dan agak pekat.  

Masukkan cili padi dan belimbing buluh. Renihkan sebentar. Bolehlah angkat dan dihidangkan.





Gulai ni lebih enak jika dibuat lebih awal.  Jika nasi dagang untuk sarapan, gulai boleh dibuat malamnya. Keesokan harinya gulai nya nanti lebih enak dan wangi serta cantik naik minyak nya.



Sambal Tumis Udang Dengan Petai

$
0
0




Memang banyak perubahan pemakanan keluarga kami dalam bulan Ramadhan kali ini. Tidak seperti sebelumnya, semua anak anak akan berbuka dengan memakan sebiji buah kurma terlebih dahulu. Saya pula akan makan kurma diikuti sedikit air zam zam. Alhamdulillah, Allah permudahkan puasa saya dengan tiada masalah gastrik seperti sebelum bulan Ramadhan. Tahun ini anak anak tidak lagi makan nasi kecuali Aween. Yang lain, hanya makan kuih muih, sup atau meratah lauk pauk sahaja. Ini juga antara faktor mengapa saya kurang memasak dalam Ramadhan tahun ini selain dari memang saya sendiri mengurangkan aktiviti di dapur bila setiap kali menjelang Ramadhan. Lauk dan kuih muih dibeli di bazar Ramadhan. Ianya adalah seperti aktiviti wajib bagi anak anak. Setakat ini, saya belum mengunjungi mana mana bazar Ramadhan. Insya Allah, saya tidak mahu mengunjunginya sehingga akhir Ramadhan. Bila di bazar Ramadhan, kena banyak menjaga pancaindera supaya pahala puasa tidak berkurang. Jika berkesempatan, sebaik balik dari pejabat saya akan memasak satu atau dua jenis lauk yang simple sahaja. Seperti hari ini, saya menyediakan Sambal Tumis Udang Petai menggunakan udang yang dibawa balik dari Kota Kinabalu. Udang kuning ini lebih sedap dan lembut berbanding dengan udang harimau.

Selepas memasak, saya naik ke bilik dan sambil menunggu waktu berbuka, saya menelefon Bonda. Banyak kali saya menelefon sebelum ini tetapi panggilan telefon menggunakan handphone kakak tidak berjawab. Saya merasa sangat sedih mendengarkan Bonda memohon maaf kepada saya walaupun saya tahu beliau tidak pernah menpunyai apa apa kesalahan terhadap saya. Sebaliknya saya lah yang banyak berbuat kesalahan dengan dia. Terasa sangat sebak sehingga terbawa ke malam. Saya sentiasa menitip doa buat bonda dan arwah ayah di dalam setiap doa saya. Walaupun telah lebih 20 tahun arwah ayah meninggalkan kami, segalanya terasa seperti baru. Setiap kali mengaji, pasti teringat kerana arwah lah guru Al Quran saya. Semoga didikan dan ajarannya memberikan pahala mengalir pada roh arwah ayah di sana. Sesungguhnya anak anak lah yang dapat memberi kebahagiaan pada roh ibubapa yang telah tiada. Ameen.

Sekarang kita tengok resepi pula. Masak sambal tunis adalah masakan yang paling feveret di rumah ini. Kalau memasak, kira main campak campak jer sebab dah memang expert habis lah. Yang penting di dalam memasak adalah praktis dan praktis dan praktis, itu jua nasihat saya pada Lala, kawan baik Nana yang mahu belajar memasak sebagai persediaan menjadi isteri yang terbaik. Tahniah saya bangga dengan keazaman Lala untuk memberi yang terbaik...



Sambal Tumis Udang Dengan Petai

Bahan bahan:
10 ekor udang kuning
1 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 senduk cili kisar - ikut pedas disukai
1 sudu besar gula
Garam
Air asam jawa

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang seketika. Angkat dan ketepikan.




Tumis pula bawang merah dan bawang putih yang dikisar serta cili kisar sehingga cili benar benar garing dengan menggunakan api perlahan.

Setelah garing, masukkan gula terlebih dahulu. Ianya akan menjadikan sambal berwarna merah cantik. Kacau rata, barulah dimasukkan petai, air asam jawa dan garam.

Akhir sekali masukkan udang yang telah digoreng dan kacau rata. Sesuaikan rasa dan tutup api. Jika suka, boleh juga masukkan bawang besar yang dimayang bulat dan kacau sehingga agak layu sebelum ditutup api. Sedia untuk dihidangkan.




Ayam Panggang Berempah

$
0
0





Saya mengambil cuti awal kerana ingin mengambil peluang berehat dari urusan kerja di bulan Ramadhan. Lagi pulak, Ramadhan adalah bulan di mana terdapatnya pesta ibadah. Saya tidak mahu ketinggalan kerana amat rugi jika tawaran dan hadiah Allah ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya dengan ibadah. Kita tidak dapat mempastikan samada kita akan bertemu Ramadhan lagi di tahun hadapan. Jika ini adalah Ramadhan terakhir, biarlah ianya yang terbaik dalam hidup kita. 







Sebelah pagi saya ke Sg Buloh menghantarkan sumbangan wang dan barang barang dari rakan rakan sepejabat ke Rumah Anak Yatim Kasih Harmoni dan Rumah Maahad Tahfiz At Taqwa. Saya gembira kerana diberi peluang untuk sama sama mendapat pahala dengan tugasan ini. Sekembali ke rumah saya terpandang resepi Ayam Panggang dari Dapur Mina. Terus menyalin resepi dan meminta hubby membelikan ayam. Saya memerap ayam 3 jam sebelum ianya dibakar. Klik di SINI untuk melihat Ayam Panggang Yoghurt kegemaran saya. 





Jom kita tengok resepi yang mudah ini dan sedap juga dimakan dengan nasi minyak atau dengan nasi putih biasa atau diratah begitu sahaja... 



Ayam Panggang Berempah

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong 4
2 biji kentang - belah 2
2 biji bawang besar - belah 2
2 biji tomato
2 batang serai - ketuk
1 paket rempah kari - guna Babas
Sedikit minyak masak
2 sudu besar mentega atau marjerin
Serbuk perasa
Garam
Aluminium foil

Bahan-bahan kisar:
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit - serbuk kunyit
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
5 tangkai lada kering - boleh
1 sudu kecil ketumbar
1/2 sudu kecil jintan kasar
1/2 sudu kecil jintan halus
1/2 sudu kecil lada hitam - jika suka
Sedikit air.

Cara cara:
Cuci ayam bersih-bersih. Cucuk badan ayam dengan menggunakan garpu supaya rempah lebih meresap dan mesra.

Panaskan oven terlebih dahulu. Kemudian, Bahan kisar tadi dimasukkan ke dalam mangkuk. Campurkan dengan rempah kari, serbuk perasa dan garam. Gaul rata.

Kemudian, lumurkan pada ayam yang telah dicucuk tadi. Letak ke tepi dahulu.

Sediakan loyang untuk membakar. Tuangkan sedikit minyak ke dalam loyang tersebut. Susun ayam yang telah dilumur dan diperap tadi. Ambil serai yang telah diketuk tadi, dan siat lalu diselitkan pada susunan ayam.





Kemudian, susun bawang besar dan kentang yang telah dibelah tadi serta tomato. Susun sebiji sebiji macam dalam gambar di atas.

Kemudian, renjiskan mentega atau marjerin ke atas ayam tadi. Jika suka manis, anda boleh renjiskan sedikit madu ke atas ayam tadi.

Ambik aluminium foil, balut atau tutup permukaan loyang pembakar itu. Ini adalah untuk memerangkap haba sepenuhnya semasa proses pembakaran berlaku. Daging ayam tidak akan kering kerana jusnya terperangkap di dalam balutan aluminum foil.

Masukkan ayam yang telah disediakan dengan sempurna tadi ke dalam oven dengan suhu 170-180 darjah Celcius. Selama 2 jam. 

Saya bakar hanya 1 jam 30 minit sahaja. Jika suka ayam yang garing, bolehlah keluarkan aluminium foil dan bakar seketika lagi sehingga permukaan ayam agak garing.





Nota:
Jus yang keluar dari hasil ayam tadi sangat sedap.


Pulut Dan Kuah Durian Di Malam Nuzul Quran

$
0
0




Hari ini saya bersendirian di rumah sehinggalah anak anak balik dari sekolah. Saya mengemas dan membasuh apa apa yang patut. Kemudian turun ke dapur untuk mengerjakan durian yang dikirim dengan anak saudara saya Hariri dan Anis yang membelinya di rumah kawan mereka di  Kuala Kubu Bharu. Memang hajat hati untuk membuat kuah durian untuk dihantar ke surau. Kebetulan pula malam ini, adalah malam Nuzul Quran. Pasti ada yang tertanya tanya kerana Al Quran dikatakan diturun di malam Al Qadr iaitu pada 10 malam terakhir Ramadhan tapi kenapa Nuzul Quran adalah pada 17 Ramadhan. Al Quran diturun sekali gus peringkat pertama di malam Al Qadar dari Loh Mahfuz ke langit dunia dan kemudian diturun di peringkat kedua kepada Nabi Muhamad SAW sedikit sedikit dan berperingkat mengikut keperluan, bukan mengikut susunan. Ini semua akan kita faham kalau kita bertadabbur. 

Allah menjanjikan yang Al Quran adalah terjaga dan terpelihara. Namun begitu, kita juga bertanggungjawab menjaga Al Quran dengan bukan sahaja membacanya tetapi juga dengan menghafaz seperti mana para sahabat Nabi Muhamad SAW yang menjaga dengan cara menghafaz, kemudian menulis Al Quran di kulit dan juga pelepah kurma sehingga kekal sehingga ke hari ini. Kita mesti meneruskan legasi menjaga Al Quran. Al Quran akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafaat kepada mereka yang membaca dan mengamalkannya. Al Quran adalah mukjizat untuk hati dan kemuliaannya adalah di akhirat bukan di dunia. Bukan bermakna orang yang menghafaz Al Quran tidak akan ditimpa sakit dsb di dunia. 

Sebenarnya risau juga untuk memasak dalam kuantiti yang banyak di bulan Ramadhan. Maklumlah kita bukan boleh merasainya. Jadi kena agak agaklah sahaja  garam gula dsb. Alhamdulillah, ianya menjadi dengan sedap dan kata hubby ianya adalah secukup rasa. Selepas siap memasak, kami bersiap siap untuk berbuka puasa di luar sebagai meraikan Nana. Tapi sayang orang yang hendak diraikan pula keluar bersama kawan kawan. Tapi tak apa, kerana makanan di Restoran Homst semuanya sedap sedap belaka. 

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan di bawah....



Kuah Durian

Bahan bahan:
4 biji buah durian - dapat 2.3 kg 
3 pek besar santan pekat
1-2 helai daun pandan
2 senduk makan rata gula pasir
1 sudu kecil garam halus
Sedikit air

Cara cara:
Satukan semua bahan dalam periuk dan kacau di atas api perlahan sehingga kuah durian mendidih dan menjadi pekat.

Apabila mendidih, sesuaikan rasa dan kepekatan, bolehlah tutup api. Jika tak suka kuah terlalu pekat, boleh tambah sedikit air panas. 




Pulut Durian

Bahan bahan:
1.2 kg beras pulut susu
1 pek besar santan
Sejemput garam kasar
2 helai daun pandan
Secubit gula

Cara cara:
Rendam beras pulut seketika. Kalau menggunakan pulut susu, tak perlu rendam lama. Masak air dalam periuk pengukus sehingga mendidih. 

Masukkan beras pulut dalam loyang pengukus, guntingkan daun pandan ke atasnya. Buat lubang di permukaan dan kukus dalam 20 minit. 





Satukan santan dan garam. Angkat pulut dan tuangkan ke dalam bekas besar. Masukkan santan dan terus dikacau rata rata. Masukkan semula ke dalam loyang pengukus dan kukus lagi selama 20 minit.






Angkat dan taburkan secubit gula bagi menjadikan pulut kita berkilat cantik. Sedia untuk dimakan dengan kuah durian, atau sebagai pulut durian atau dengan apa apa sahaja.





Nota:
Boleh juga menggunakan hanya air, jika tidak mahu menggunakan santan.



Rendang Ayam Entri Terakhir Ramadhan

$
0
0






Assalamualaikum dan semoga belum terlambat untuk saya mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. Kini kita telah berada pada hari ke17 Ramadhan. Begitu cepat masa berlalu, telah lebih dari 2 minggu kita berada di bulan Ramadhan. Alangkah baik kalau setiap hari adalah hari di dalam bulan Ramadhan. Semoga ibadah puasa di bulan Ramadhan setakat ini telah berjaya mentarbiahkan diri kita untuk menjadi seorang hamba yang taat pada Allah dalam apa jua keadaan dan situasi. Ini adalah entri terakhir saya sebelum saya keluar jauh bermusafir untuk beribadah kepada Allah secara sepenuh masa. Saya tidak mahu dikalutkan dengan urusan dunia terutama karenah dan ragam manusia di pejabat yang banyak menganggu gugat kesabaran saya. Saya ingin menjadi seorang insan yang kuat, hamba Allah yang taat pada Allah semata bukan pada yang lain. 






Setahun yang lalu saya membuat perjalanan musafir yang sama. Namun misi saya kali ini lebih jelas. Hala tuju dan matlamat saya juga jelas. Saya ingin mengimarahkan pesta ibadah di dalam bulan Ramadhan dan keluar darinya sebagai seorang yang berjaya. Tiada apa yang akan berlaku tanpa izin Allah. Apa sahaja yang berlaku adalah dengan izin Allah dan ketetapannya lah yang terbaik untuk saya. Biar laut bergelora, biar tsunami melanda, saya pasti tenang di sini, hanya pada Allah yang saya memohon dan berbicara. Saya ingin membaca dan mendengar kalam Allah. Saya tidak mahu disibukkan oleh segala urusan dunia yang penuh tipu daya dan permainan semata mata dalam bulan yang mulia ini. Saya ingin menjadi insan yang lebih baik. Menjadi seorang yang bertaqwa. Allah menjanjikan kecukupan, bantuan, kemudahan menghadapi sebarang masalah dan diberi rezeki yang tidak disangka sangka. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf andai ada selama ini, bahasa yang tidak enak dibaca, tulisan yang keliru dan nafsu yang bercelaru. Saya juga pada masa yang sama memaafkan semua orang yang pernah melintas dalam hidup saya termasuk mereka yang pernah mengkhianati atau menganiayai saya samada secara sengaja atau tidak. Saya percaya ianya bukan terjadi secara kebetulan tetapi menpunyai maksud dan sebab tertentu. Maksud dan sebab itulah yang perlu saya gali dari sebalik ujian yang menimpa. Yang pasti, saya masih gagah berdiri dan tidak tumbang dengan ujian yang diberi kerana Allah tidak akan menguji hambaNya lebih dari kemampuan. Akhir sekali, selamat berpuasa dan jika dipanjangkan umur, kita akan berjumpa lagi di bulan Syawal.

Hari ini saya ingin kongsikan resepi rendang ayam yang sediakan untuk hidangan pagi raya keluarga saya di saat saya beraya di Masjidil Haram bersama jutaan manusia. Saya mahukan keluarga menikmati masakan saya di pagi raya. Di samping juadah raya, saya juga telah menyediakan baju raya untuk hubby dan anak anak. Saya mahu mereka gembira walaupun saya tiada di sini. Apa apa pun, sangat berterima kasih kerana hubby dan Nelly sudi membantu menumbuk semua bahan bahan. Kalau harapkan saya melakukannya seorang diri, pasti kerja nya agak memakan masa dan saya akan keletihan, maklumlah menumbuk menggunakan lesung batu ni agak menggunakan tenaga. Hubby asyik bertanya kenapa tak dikisar sahaja. Hahaha baru dia tahu yang kerja menyediakan rendang ni agak remeh dan memenatkan...




Rendang Pedas Ayam

Bahan bahan:
2 ekor ayam
11 batang serai
5 helai daun kunyit - ketepi 1/3 untuk ditabur
1 inci halia
Serbuk kunyit
1/2 inci lengkuas
8 biji bawang besar - guna 6 shj
15-20 ulas bawang merah
2 pek kecil cili boh - 1 mangkuk, pedas baru sedap
1 kg Santan 
Garam kasar 
1 pek kerisik minyak
Gula pasir (segenggam)
2 keping asam keping

Cara cara:
Kesemua bahan dihiris dan kemudian ditumbuk kasar menggunakan lesung batu. 






Panaskan air mendidih, masukkan ayam dalam 5 minit. Angkat dan tuang air. Masukkan ayam yang dicelur ke dalam kuali bersama bahan tumbuk dan cili boh.





Masukkan santan. Bila mendidih dan hampir kering, masukkan garam, gula dan asam keping. Sesuaikan rasa dan akhir sekali, tabur daun kunyit yang dihiris halus.






Masak hingga pecah minyak. Bolehlah ditutup api.





Viewing all 2256 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>