Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2251 articles
Browse latest View live

JJCM ke Kangar

$
0
0




Hari ini nak kongsikan tentang perjalanan JJCM ke Kangar semasa ke sana atas urusan tugas rasmi. Inilah kali pertama saya bermalam di Kangar walaupun saya pernah dua kali ke sini atas urusan kerja beberapa tahun dulu. Namun ketika itu, saya bermalam di Alor Setar dan kali kedua terus ke Hatyai dan bermalam di sana. Oleh kerana masih kepenatan selepas balik dari mengerjakan umrah, hubby mencadangkan saya supaya travel dengan flight ke Alor Setar dan seterusnya ke Kangar dengan menaiki kereta. Jauh juga perjalanan dari Alor Setar ke Kangar rupanya.

Kami berhenti singgah makan tengahari di Restoran Jo Cendol Pulut Buah di Jalan Changlun. Setiap kali ke sini, pasti saya akan memesan lauk gulai itik. Selain itu, ada juga lauk kari tulang dengan umbut pisang yang memang telah lama saya teringin nak makan dan juga ikan pari kecil yang saya panggil ikan Tuka bakar bersambal. Terung bakar pun sangat sedap. 








Yang pasti tak dilupakan ialah Cendol Pulut Buah yang sangat sedap dan kira macam sinonim dengan kedai makan ini. Secukup rasa dan memang terasa air gula Melaka di dalamnya. Ada juga buah kabung. 





Sampai di Putra Palace Hotel sudah hampir pukul 5 petang. Berehat dek kepenatan. Bayangkan jauhnya perjalanan dari Alor Setar ke Kangar. Selepas solat Maghrib, barulah kami keluar mencari medan ikan bakar di Kuala Perlis. Dengan berpandukan GPRS saya mencari arah ke Kuala Perlis. Banyak gerai ikan bakar di sini tapi saya hanya memilih secara random gerai Shar' Nis Corner kerana kereta diletak berhampiran dengan gerai ini.




Kami memilih ikan jenahak masak 3 rasa, ikan terubuk bakar, masak asam pedas Thai ikan pari, sotong goreng celup tepung, udang goreng butter serta terung dan petai bakar. Ada juga ulam rebung madu yang memang saya tak pernah makan pun sebelum ni. Ambooi banyak nyer lauk yang dipesan macam untuk makan 7 orang jer. Hish biar betul. Saya sebenarnya kurang gemar lauk berkuah jadi saya minta ikan pari kecik dibakar sahaja tapi entah macam mana mereka telah memasaknya dengan asam pedas Thai berwarna kuning. Dalam hati merungut juga tapi bila sekali dijamah, hmmm seedaap nyer. Sehinggakan saya menghirup kuah asam pedas Thai. Ada rasa macam tom yam pun ya sebab ada banyak serai dan bawang putih di dalamnya. Serius keenakannya menyebabkan saya masih teringat ingat hingga kini. Tengok gambar pun, dah mula menelan air liur. Tapi saya sangat gembira kerana berjaya mendapatkan resepi dari tukang masak di gerai berkenaan. Di bawah adalah antara lauk yang kami pesan...









Diberikan juga ulam ulaman termasuklah rebung madu dan pucuk berwarna kemerahan yang saya tak pasti namanya. Memang sedap meratah rebung ni, tak ada bau langsung. Tak seperti rebung yang saya temui sebelum ini.





Manakala ikan terubuk pula diletakkan sedikit sambal dan dibakar atas dapur arang. Macam tak percaya, habis sekor ikan terubuk, saya ratah begitu sahaja. Hubby pula makan sekor ikan jenahak dengan nasi. Terpaksalah habiskan juga sebab tak nak membazir. Sangat sedap kerana ikannya yang segar menjadikan isinya sangat manis berlemak. Sampai ke saat ini, masih teringat kesedapan ikan terubuk tersebut. Udang dan sotong pun sangat fresh. Pendek kata bila fresh semua jadi sedap. Harga pun sangat berpatutan.






Memang ramai orang yang menjamu selera di laman ikan bakar yang sangat meriah dengan kerlipan lampu dan berkedudukan tepi Selat Melaka. Kalau ada sesiapa ke Kangar, bolehlah singgah di sini. Mereka berniaga dari pukul 4 petang hingga pukul 12 tengah malam. Jika sebelum ini, Kangar tak pernah ada dalam destinasi persinggahan saya namun kali ini ianya telah mengubah segalanya. Kuala Perlis pasti dirindui dan akan dijejaki lagi.

Keesokan paginya saya singgah Restoran Kak Chaq hanya untuk minum pagi tapi terliur pulak bila nampak lauk pauk dikeluar dari dapur satu persatu. Saya ambik sekor ikan kembong kecik bakar yang nampak sangat menyelerakan. Aduhaai sedap sebab isinya rasa manis segar. Tambah lagi 2 ekor. Haa pagi pagi dah meratah ikan bakar. Selepas makan, mula merisik resepi dari adik yang bekerja di sini. Yeaay akhirnya dapat resepi, nanti saya kongsikan.




Kemudian terpandang pulak lauk ikan bakar bersumbat yang baru dibawa keluar dari dapur. Saya ambik lagi sekor walaupun hubby dah buat bayaran. Kali ini saya meratah ikan bakar yang bersumbat. Adik tu kata guna inti kuih cucur Badak sebagai bahan sumbat. Memang sedap giler weeh. Nasib saya dah dipanggil untuk naik sekarang, kalau tak pastilah 2 atau 3 ekor lagi ikan sumbat yang saya ratah.






Sepanjang perjalanan balik ke Alor Setar, saya perhatikan memang di Kangar banyak sekali kedai kedai makan. Di sini juga saya berpuashati kerana dapat makan Kari daging yang dimasak bersama Umbut Pisang yang telah lama saya dambakan. Cuma sayang sekali, kerana tak berkesempatan menikmati Laksa Perlis di Kuala Perlis jer dalam kunjungan kali ini.

  


Biskut Coklat Chips

$
0
0






Biskut ini disediakan Juita semasa saya berada di Mekah mengerjakan umrah pada akhir Ramadhan lalu. Memang Juita sangat berkebolehan bukan sahaja pandai memasak lauk dan kuih muih tapi juga biskut. Saya bangga kerana semua anak dara saya sangat handal dalam bab memasak berbanding dengan saya sendiri ketika berada pada umur mereka.




Saya sebenarnya tidak tahu pun, biskut ada disediakan sendiri di rumah kami apabila melihat banyak balang biskut yang terhidang di atas meja sewaktu sampai di rumah. Masa tu, tak pulak bertanya sehingga lah Juita memberitahu yang biskut biskut tersebut bukan dibeli sebaliknya dibuat sendiri. 

Jom kita tengok resepi yang Juita gunakan untuk menyediakan biskut yang sedap ini....



Biskut Coklat Chips
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
250 gm mentega
70 gm gula halus
80 gm gula perang
1/2 sudu kecil esen vanilla
1 biji telur
1 biji kuning telur
60 gm kacang badam/walnut - dipanggang sebentar
40 gm oat - boleh ganti dgn badam/walnut
250 gm coklat chips

Bahan Ayak:
300 gm tepung
10 gm serbuk koko
1/2 sudu kecil serbuk penaik - ayak bersama
1/2 sudu kecil serbuk soda@soda bikarbonat
50 gm susu tepung
(Kesemua bahan ayak ni disatukan, gaul-gaulkan bahan ni terlebih dahulu barulah ayak)

Cara cara:
1) Pukul mentega, gula, gula perang dan esen vanilla hingga sebati.

2) Masukkan telur dan telur kuning, pukul lagi hingga sebati.

3) Masukkan campuran tepung yang telah di ayak perlahan-lahan sambil di pukul.

4) Campurkan kekacang, oat dan cip coklat, lalu dimasukkan ke dalam adunan.

5) Gaulkan hingga sebati dan rata.

6) Sudukan adunan atau letakkan sedikit adunan di atas dulang yang telah di lengserkan dgn mentega.

7) Bakar di dalam oven/ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170 darjah Celcius selama 20 minit...




Al Fatihah Buat Bonda

$
0
0




Walaupun saya telah physically and mentally prepared, namun saya tak dapat menahan tangis dan sendu apabila mendapat panggilan dari anak saudara memberitahu yang Bonda telah tiada. Ketika itu kami masih di Subang Jaya selepas menghantar Juita dan Aween ke sekolah. Baru 1 jam sebelumnya saya berdoa selepas solat subuh memohon supaya Allah meringankan bebanan Bonda dan permudahkan apa sahaja. Itulah doa yang saya panjatkan sejak Bonda tidak sihat. Saya tak sanggup melihat Bonda terbaring dalam keadaan lemah dan tidak berdaya.

Kali terakhir berbicara dengan Bonda di telefon pada 9 Ogos selepas kakak menelefon memberitahu Bonda tidak sihat dan menasihatkan saya supaya balik. Saya memang ingin segera balik selepas majlis rumah terbuka kami tapi permohonan cuti tidak diluluskan dengan alasan saya telah lama bercuti. Hmmm saya hanya mampu bersabar dan berdoa. 

Teringat di mana sebelum berangkat menunaikan umrah pada 17 Julai, kami saling bermaafan. Bonda memberitahu yang dia sentiasa memaafkan saya dan anak anak lain. Saya dapat merasakan Bonda akan pergi selepas dia memohon maaf dari saya. Bonda sangat gembira bila diberitahu tarikh keberangkatan saya ke Mekah. Memang dia sangat gembira bila anak anak ke Mekah. Sekali lagi saya bercakap dengan bonda di telefon pada awal Ogos, selepas 2 hari balik dari mengerjakan umrah. Ketika itu Bonda bercerita berkenaan lauk raya di rumah kakak saya yang menyebabkan saya sangat terliur. Dari situlah, saya memasak Gulai Kawah Kambing di SINI. Ketika itu, saya tidak diberitahu keadaan Bonda yang mulai tidak makan dan minum, saya memikirkan keadaannya adalah seperti biasa sahaja. 

Pada 14 Ogos, selepas sekali lagi diberitahu abang bahawa Bonda tidak sihat, saya memohon cuti dan terus balik sebelah petangnya. Namun saya tidak lagi dapat berbicara dengan bonda. Sayu hati kerana beliau tidak lagi berbicara dan bercerita seperti biasa. Pada mulanya dia pun seolah tidak lagi mengenali saya. Kami adik beradik dan anak anak buah membaca surah Yasin secara beramai ramai.

Hari minggu 23 Ogos, saya tidak dapat balik. Lagi pulak saya bercadang untuk balik sempena cuti Hari Kemerdekaan yang panjang. Namun manusia hanya merancang. Sesungguhnya ajal maut tidak dapat dipercepat atau ditangguh.

Pagi khamis pada 28 Ogos, sewaktu bersiap ke pejabat, anak saudara menelefon memberitahu Bonda kelihatan agak lelah. Rupanya dari pukul 5 pagi adik beradik dan anak anak saudara saya telah berkumpul selepas mendapat panggilan dari kakak. Saya memberitahu yang saya akan balik di sebelah petang. Bila saya menerima panggilan lagi sekali pada pukul 7.00 pagi saya seolah dapat mengagak mesej yang ingin disampaikan. Kata kata yang diucapkan oleh anak saudara saya itu tak mungkin saya lupakan sehingga akhir hayat. Masih terngiang ngiang di telinga. Segalanya  berlaku dengan cepat dan sangat mudah seolah orang yang tidur sahaja. Saya bergegas balik ke rumah mengambil pakaian dan terus ke airport. Saya sampai di kampung setelah jenazah hampir selesai dikapankan. Saya mengalami detik cemas dalam perjalanan kerana memikirkan pengkebumian akan dibuat selepas solat zohor. Saya merayu supaya menunggu saya. Alhamdulillah, saya tiba sebelum jenazah Bonda ditutup sepenuhnya. Alhamdulillah, wajahnya sangat tenang dan saya sangat gembira kerana seingat saya Bonda sangat tekun beribadah sejak dulu dulu lagi. Sejak kecil saya sering mengikut bonda yang selalu bergegas ke surau untuk menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh di madrasah yang terletak agak jauh dari rumah kami. 

Selepas arwah bapa meninggal pada 13 Mei 1995, Bonda berpindah dan tinggal di pondok Pasir Tumbuh. Sejak beberapa tahun kebelakangan, Bonda akan balik ke rumah kakak di bulan Ramadhan. Namun Ramadhan tahun ini tertulis sebagai Ramadhan terakhir Bonda kerana selepas Hari Raya bonda mula tak berselera makan dan minum sehingga menjadi sangat lemah. Sebulan juga Bonda tak sihat sebelum menghembuskan nafas yang akhir dengan tenang dan mudah sekali. Saya memang tidak dapat menahan sedih kerana akhirnya Bonda meninggalkan kami buat selamanya.

Terus terang bahawa saya bukanlah seorang anak yang banyak berbakti kepada Bonda kerana tinggal berjauhan dan faktor diri saya sendiri namun di hati, saya amat menyayangi bonda kerana saya tahu Bondalah satu satunya insan yang sangat menyayangi saya tanpa syarat dan tanpa batas. Bonda sentiasa mendoakan kebahagiaan saya dan bila dalam kesusahan, doa Bondalah yang saya dambakan. Selepas ini tiada lagi suara yang menanyakan jika saya telah bersolat bila nampak saya relax, tiada lagi suara yang mengejutkan lena tidur di dini hari untuk saya bangun menunaikan solat Subuh, tiada lagi yang akan bertanya jika saya telah belajar, faham dan telah menghafal sifat 20. Tiada lagi seorang ibu yang saya cari di kala saya mengalami kekusutan jiwa. Terasa yang diri saya kini keseorangan. Tiada lagi insan yang benar benar kasihkan saya tanpa batas sempadan. Namun kenangan mendengar Bonda membaca surah kahfi tanpa merujuk kepada Al Quran semasa saya balik sempena pertunangan Kak Teh akan kekal sebagai kenangan paling indah buat saya.

Al Fatihah buat Bonda saya, Hajah Jahara Sulaiman. Innalillahi wainaa ilaihiroojiuun. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh kedua ibubapa saya. Ameen.




Terima Kasih Atas Ucapan Takziah dan Kek Butter Yang Lembab dan Sedap

$
0
0




Kalau diikutkan, saya ingin berehat seketika dari menulis di blog tetapi saya menulis entri ini khusus untuk mengucapkan jutaan ucapan terima kasih tidak terhingga atas kesudian kawan kawan dan pembaca blog Azie, rakan facebook, group WhatsApp, sms, email dsb yang sudi mengucapkan takziah dan mendoakan arwah Bonda saya. Di dalam situasi yang sukar seperti ini, ingatan semua sangatlah bermakna dan memberikan saya kekuatan. Walaupun saya tidak membalas komen dan message yang ditinggalkan, namun saya membacanya satu persatu dengan hati yang sebak dan pilu kerana terasa yang saya tidak dibiarkan bersendirian. Masih ramai yang prihatin akan kedukaan yang dialami. Semoga Allah membalas segala keprihatinan anda semua dengan ganjaran yang besar. Walaupun pemergian Bonda bukan dalam keadaan mengejut, kerana telah hampir sebulan terlantar lemah, namun ianya tetap sesuatu yang sukar dihadapi. Apa apa pun saya bersyukur kerana Bonda dapat melakukan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang lalu serta mengaji Al Quran walaupun tidak sempat khatam seperti tahun tahun sebelumnya. Bonda juga sempat menghafal doa yang saya kirimkan sebelum Ramadhan. Saya juga berdoa khusus untuk Bonda di hadapan Multazam semasa mengerjakan umrah bulan Ramadhan dan saya yakin Allah akan menerima doa seorang anak kepada Bondanya. Saya kini perlu kuat dan meneruskan kehidupan yang ada walaupun terasa seolah sebahagian dari saya juga hilang dengan pemergian Bonda. Namun saya berazam untuk memberi bakti yang terbaik buat kedua ibubapa saya walaupun mereka telah tiada lagi.

Sekarang kita tinggalkan dulu bab arwah Bonda dan kongsikan sedikit berkenaan Kek Butter. Saya meminta Juita menyediakan kek Butter untuk saya sekembalinya kami dari kampung selepas selesai urusan tahlil arwah Bonda. Walaupun terasa sangat sayu di hati, namun saya gagahkan juga ke dapur untuk memasak Mee Sup Tulang sementara Juita menyediakan kek untuk hidangan saya berbuka puasa.  

Telah lama saya teringin untuk makan kek butter. Hampir setahun juga saya menjauhkan diri dari makan kek sejak disahkan mengalami allergik dengan tepung gandum. Kalau saya menjamah pun, hanya sesudu dua sahaja. Tapi sejak saya kembali dari menunaikan umrah bulan Ogos baru baru ini, tiada lagi allergik baru yang muncul walaupun selepas memakan seafood atau kuih muih yang dibuat dari tepung gandum. Alhamdulillah kerana Allah masih memberi peluang untuk saya menikmati makanan kegemaran. 






Saya masih menggunakan resepi yang sama yang telah pernah beberapa kali digunakan. Boleh klik di SINI. Resepi ini adalah resepi yang terbaik pada saya kerana menghasilkan Kek Butter yang lembab dan gebu serta secukup rasa sahaja kemanisannya. Kalau yang suka kek yang agak manis, boleh guna 200 gm gula mengikut sukatan asal resepi. 

Jom layan resepinya di bawah ini...



Kek Butter Moist dan Sedap

Bahan bahan:
250 gm pure butter 
250 gm tepung naik sendiri
180 gm gula kastor - asal 200g
4 biji telur
1/2 cawan susu segar

Cara cara:
Panaskan oven dalam 20 atau 30 minit.

Pukul butter dan gula hingga kembang, gebu dan bertukar warna menjadi putih (low speed kemudian sederhana kemudian high speed). 

Masukkan telur sebiji demi sebiji di selang seli dengan tepung. Masukkan susu segar dan pukul lagi sampai sebati.

Masukkan dalam loyang dan bakar suhu 180 selama 40 minit. Kali ini saya guna loyang saiz 10x10" sebab mahukan kek yang lebih nipis. Masa membakar juga perlu dikurangkan.

Nota:
Jika menggunakan tepung gandum, masukkan 1 sudu kecil baking powder. Lebih sedap dan lembab jika kek dibungkus dan dibiarkan di dalam peti sejuk semalaman.






Mee Sup Tulang Yang Sedap

$
0
0





Sejak menjadi seorang blogger, saya banyak menerima tawaran dari pihak televisyen dan majalah samada untuk rakaman rancangan masakan atau dekorasi rumah. Setakat ini, saya belum bersedia kepada semua itu. Pertamanya kerana saya memang pemalu dan keduanya kerana matlamat saya berblogging adalah berkongsi ilmu masakan dan juga ilmu yang saya pelajari dari kuliah kuliah agama. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan tersebut. Saya memang segan bila di mana mana sahaja, ada yang mengenali saya. Tak tahulah kalau di masa hadapan, saya tiba tiba bersetuju. Tapi buat masa sekarang, memang belum bersedia. Saya hanya ingin mencari sedikit amalan semasa hidup di dunia kerana bila kita mati, tiada lagi tempat untuk beramal. Akhirat hanyalah tempat pembalasan akan amalan yang telah dibuat di dunia. Telah seminggu arwah Bonda pergi meninggalkan kami. Saya mesti kuat dan kehidupan mesti diteruskan seperti biasa, jadi hari ini saya ingin kongsikan berkenaan Mee Sup Tulang. Kalau semasa kecil dulu, saya sangat suka makan mee sup yang saya panggil sebagai Mee Kuah.

Semasa berkunjung ke rumah terbuka Azman dan isterinya, Ita tahun lalu, kami tiba dalam keadaan hujan lebat. Ita yang sangat ramah mesra menyambut kedatangan kami. Semua masakan yang dihidangkan dimasak sendiri oleh Ita. Semua nampak sangat sedap tapi saya mencuba mee sup kerana mahu menghangatkan badan yang kesejukan dek hujan. Aduh aduh memang sedap sangat sangat sup tadi. Kalau kita makan mee atau mee hoon sup di mana mana gerai biasanya kuah bukan dibuat dari rebusan daging sebaliknya hanya dibuat kuah sup dan dikemudian dihidangkan dengan daging rebus. Betul ke apa yang saya tulis dengan apa yang saya nak sampaikan ni. Maksud saya bila air rebusan tulang, mestilah lama direbus jadi kuahnya memang pekat dan melekatlah dengan rasa tulang. Bayangkan dalam kekenyangan ketika tu, saya masih boleh menambah mee sup. Lagi pulak, daging yang digunakan pun, memang daging segar. Memang terasa kemanisan kuahnya. Ini cerita tahun lepas.






Tahun ini sekali lagi kami ke sana dan juga kami tiba sewaktu hujan lebat sehingga badan menggigil kesejukan. Kami masuk ke dalam rumah kerana hujan lebat dan tempias. Hati gembira bila melihat Ita menghidangkan Mee Sup Tulang seperti tahun lepas. Sup Ita kali ini masih sedap seperti sup sebelumnya. Dengan muka tak malunya, saya ke dapur menceduk sendiri sup di dalam periuk besar kerana dah tak sabar menunggu hujan redha. Mereka menghidang makanan di atas meja depan rumah tapi hujan yang lebat menyebabkan saya tak dapat keluar dari rumah untuk ke tempat makanan dihidang. Haaa sejarah tu, bila saya sendiri ke dapur untuk mengambil makanan. Di tengah tengah kesibukan Ita, saya sempat menanya dan menyalin resepi. Kebetulannya saya memang dah beli tulang lembu segar dari Kelantan ketika balik menjenguk Bonda yang ketika itu tidak sihat dalam pertengahan bulan Ogos. Tinggal untuk memasaknya sahaja lagi. Saya buat hanya 2 kilo tulang, jadi semua bahan digunakan separuh sahaja.

Jom kita layan resepi penyediaan sup yang sempat saya pelajari dari Ita....



Mee Sup Tulang Yang Sangat Sedap

Bahan bahan;
4 kg tulang lembu
8 biji bawang besar - kisar
Segenggam bawang putih - kisar 
4 ketul halia - kisar
2 inci lengkuas - ketuk
8 sup bunjut
Rempah penumis - pelaga, kayu manis, bunga lawang
Daun pandan
Garam
Ajinomoto
Sedikit gula 

Bahan lain:
Mee kuning - celur dan tos
Bawang goreng
Daun sup
Daun bawang
Sambal kicap - resepi di bawah

Cara cara;
Tulang direbus lama lama sehingga daging empuk dan air tulang sebati dengan kuah. Sekali sekala, cedukkan keluar bahagian berlemak di permukaan air rebusan, jika ada.

Kisar bawang bawang dan halia. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama rempah penumis dan sup bunjut sehingga wangi.

Masukkan bahan yang ditumis dan daun pandan ke dalam kuah sup. 

Masukkan garam dan serbuk perisa. Sesuaikan rasa dan bolehlah ditutup api. 

Hidang bersama mee kuning yang dicelur atau mee hoon. Tabur bawang goreng, daun bawang dan daun sup. Sedia untuk dihidangkan bersama sambal kicap.


Sambal Kicap

Bahan bahan:
Bawang putih
Cili padi
Kicap
Asam limau nipos
Garam
Aji nomoto

Goreng bawang putih dan cili padi. Blend dengan kicap, asam limau, gula, ajinomoto dan garam. Sesuaikan rasa. 





Sedap Nyer Kue Teow Goreng Dengan Kicap My Tasty

$
0
0




Kali ini saya menyediakan Kue Teow Goreng ala Chinese style menggunakan sample promosi kicap Kue Teow Goreng jenama My Tasty yang diberikan oleh Ghaz, rakan sepejabat saya. Memang dah lama ingin membuat kue teow goreng dan mencari cari juga kuali jenis chinese wok yang digunakan untuk menggoreng kue teow goreng. Mengikut apa yang dibaca dari blog Kak Jee, bukan sahaja kuali tapi juga mesti menggunakan dapur gas yang high powered bagi menghasilkan kue teow goreng sedap seperti yang dihasilkan di gerai gerai yang menjual kue teow goreng. 




Memang saya sangat menyukai Kue Teow Goreng ala chinese berbanding dengan Char Kue Teow yang banjir. Kue teow yang digoreng menggunakan kicap ini sangat sedap. Pendek kata dengan kicap kue teow goreng My Tasty, sesiapa pun boleh menyediakan sendiri kue teow goreng ala chinese style yang sedap di rumah setanding dengan yang di hidangkan di restoran terkemuka. Bukan sahaja sedap tetapi sangat mudah. Jika mahu tahu bagaimana mudah dan sedap, bolehlah dapatkan kicap Kue Teow Goreng My Tasty hari ini juga.  





Chef My Tasty memberikan resepi kue teow goreng dengan cara cara penyediaannya sekali. Jika mahu pedas, masa dihidangkan taburlah sedikit serbuk lada putih tapi saya letak sambal tumis lauk nasi lemak. Saya telah mengolah resepi mengikut cara Kak Jee yang lebih lengkap dengan api kecil dan besarnya sekali. Jom kita semak resepi di bawah ini.... 




Kue Teow Kerang Goreng
Oleh: Azie Kitchen
Untuk 1 pinggan

Bahan bahan:
1 genggam kue teow halus
2 ulas bawang putih – cincang halus
2-3 ekor udang
1 sudu besar sambal tumis * - saya tambah
1 sudu besar isi kerang rebus – ikut suka
Daun kucai – potong 2 inci panjang
Taugeh
1 biji telur
2 sudu besar kicap kue teow goreng My Tasty
2 sudu besar minyak masak
* resepi asal - tabur serbuk lada putih semasa dihidang, jika suka pedas

Cara cara:
Panaskan minyak masak dalam kuali. Masukkan bawang putih cincang, diikuti dengan udang. Kacau rata.

Setelah udang masak, ketepikan, masukkan telur dan perlahankan api sehingga telur hampir masak, baru dikacau telur. 





Perlahankan api dan masukkan kue teow, sambal tumis, daun kucai dan kicap kue teow. Bila semua bahan sudah dimasukkan, baru dibesarkan api. Dengan pantas, kacau laju laju sampai rata.







Akhir sekali campakkan taugeh dan isi kerang. Golek golek sikit dalam lebih kurang ½ minit sahaja. Jangan masak terlalu lama, nanti taugeh hilang ranggupnya. Tutup api dan sedia untuk dihidang.






Dihidangkan dengan cili api yang diricik dan campur sos ikan/nampla.







Puding Roti Nur Qaseh Yang Sedap

$
0
0




Entah kenapa sejak kebelakangan ini, minat untuk membuat kuih muih menjadi jadi selepas hampir setahun memendam rasa dek masalah allergy dengan bahan berasaskan tepung gandum. Setelah beberapa hari memikirkan apa kuih yang hendak dibuat, akhirnya saya memilih untuk membuat Puding Roti. Kebetulan di sebelah malamnya ada kuliah maghrib di surau, jadi bolehlah saya bawa ke sana untuk dimakan selepas solat Isyak.




Terdapat banyak versi puding roti. Ada yang dibakar, ada yang dikukus. Saya pertama kali menyediakan puding roti ialah sewaktu saya berada di tingkatan empat. Saya menyediakannya menggunakan resepi yang diberi oleh sahabat saya Cikgu Noriah Mohamed. Ceritanya bermula apabila Noriah membawa puding roti ke sekolah untuk satu majlis. Tapi saya lupa majlis apa pada masa itu. Dari situ saya mula teringin nak membuatnya sendiri. Masih saya ingat Noriah menulis resepi di kertas dengan tulisan yang sangat cantik. Selain resepi Puding Roti, dia juga memberikan resepi Kuih Cream Puff. Noriah memang pandai memasak dan pandai di sekolah dan cantik pula. Kami sama sama masuk ke Univerisiti Malaya cuma berbeza fakulti kerana Noriah sejak di bangku sekolah bercita cita untuk menjadi seorang pendidik sedangkan saya berminat dalam bidang ekonomi. Semasa di UM, dia tinggal di Kolej ke4 dan saya di kolej ke3. Bila saya merajuk dengan boyfriend, saya akan membawa diri dan melepak di bilik Noriah. Hmm itu kenangan lama yang masih segar di ingatan.

Jom kita tengok resepi yang saya guna pada hari ini. Saya membuat 2 adunan. Sangat mudah menyediakannya dan sedap pula. Bolehlah cuba membuatnya sendiri untuk hidangan keluarga anda. Pasti mereka suka. Untuk puding ini, ianya dimakan begitu sahaja, tak perlu disediakan kuah sos kastard.



Puding Roti Nur Qaseh

Bahan bahan:
6 keping roti Gardenia - potong cube
2 cawan susu segar
1/2 cawan gula kaster
1 sudu besar mentega
1/4 sudu kecil garam
2-3 biji telur - pukul ringan
1 sudu kecil esen vanilla
Sedikit kismis
Sedikit serbuk kayu manis

Cara cara:
Panaskan susu seketika dan bila hampir mendidih, bolehlah diangkat. Masukkan roti dan kacau rata supaya ianya terendam.

Masukkan mentega, garam dan gula. Kacau rata dan biarkan sedikit sejuk sebelum dimasukkan telur supaya telur tidak masak.





Akhir sekali, masukkan telur dan esen vanilla. Kacau rata. Jika suka, masukkan sedikit kismis dan serbuk kulit kayu manis.




Tuang ke dalam loyang saiz 8" yang telah dilenser dengan sedikit mentega. Masukkan loyang ke dalam bekas besar yang diisi dengan air panas untuk membakar secara steam bath.




Bakar pada suhu 180C selama 45 minit hingga 1 jam. Sedia untuk dihidangkan.





Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen Yang Sedap

$
0
0





  
Sebagai menunaikan janji di SINI, saya hari ini ingin berkongsi resepi Kuih Kaswi. Walaupun saya pernah beberapa kali menyediakan kuih kaswi di SINI dan di SINI, namun resepi kali ini lebih istimewa kerana ianya adalah salah satu resepi kuih tradisional yang dikongsikan oleh Kak Sharifah Lok. Menurut Kak Lok, kuih kaswi adalah salah satu dari kuih yang sering menjadi pujaan ramai dan paling disukai oleh mereka yang menempah kuih dari beliau. Saya memang sangat sangat gembira mendapat resepi ini dari Kak Lok kerana ianya adalah Kaswi yang paling "perfect" pada selera saya and the best ever kaswi yang pernah saya makan. Hahaha saya memang cerewet sikit bab makan....






Saya menyediakan kuih ini untuk dibawa ke majlis raya serta majlis perpisahan sempena persaraan rakan sepejabat. Memang sedap dengan rasanya yang kenyal kenyal. Saya namakan kuih ini sebagai Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen. Yang pastinya resepi turun temurun Kak Lok ini akan menjadi "a keeper recipe" untuk kuih kaswi saya di masa hadapan. Saya suka kaswi yang sedikit lembik seperti ini. Tak perlu risau jika semasa dipotong akan sedikit comot. sebab bila bersalut dengan kelapa akan menjadi cantik juga. Kemanisannya juga secukup rasa. Saya kena tambahkan gula pasir kerana saiz gula Melaka yang saya guna mungkin tidak sama dengan saiz gula Melaka yang Kak Lok guna. Gula Melaka kan ada dalam pelbagai saiz dan bentuk. Rakan rakan sepejabat pun memberi maklumbalas yang sama. Alhamdulillah...






Saya sangat berterima kasih pada Kak Lok kerana sudi menurunkan resepi dan cara cara penyediaan serta petua kepada saya. Semoga Kak Lok diberi ganjaran pahala yang banyak dari perkongsian ini....



Kuih Kaswi Istimewa Azie Kitchen
Loyang saiz 10” x 10”

Bahan bahan: 
2 cawan tepung gandum
1 cawan tepung ubi
2 keping gula Melaka - saya guna 2 1/4 kpg saiz sederhana
1 cawan gula pasir - saya tambah 1 sudu besar
7 cawan air
1 sudu kecil kapur – bancuh dengan sedikit air

Bahan lain:
Kelapa parut muda
Sedikit garam

Cara cara:
Masak air dengan gula Melaka dan gula pasir sehingga mendidih dan sedikit pekat. Sejukkan sehingga agak agak air gula suam.

Masukkan tepung gandum dan tepung ubi yang telah disatukan ke dalamnya. Kacau sebati. Masa ini, boleh rasakan sedikit adunan dan jika belum cukup manis, boleh tambah sedikit gula pasir. 

Akhir sekali, masukkan air kapur dan kacau rata. Tapis adunan ke dalam jug bermuncung.

Panaskan periuk pengukus dan masukkan loyang. Saya guna loyang bulat saiz 9 inci. Setelah loyang panas, tuang adunan ke dalam loyang dan kukus sehingga masak selama 45 minit atau sehingga masak dengan menggunakan api yang besar. Saya kukus dalam 1 jam. 

Sekali sekala, lapkan penutup pengukus atau balut penutup dengan tuala. Bila telah masak, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup seketika untuk mengeringkan air di permukaan kuih, jika ada.

Setelah betul betul sejuk, baru dipotong. Hidangkan bersama kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.







Mee Goreng Nur Qaseh

$
0
0




Saya memang penggemar tegar Mee Goreng sejak kecil lagi. Namun tak semua mee goreng yang dimasak di gerai gerai atau restoran atau hotel menepati citarasa saya. Atas dasar itu, saya memasak secara trial and error berpuluh tahun lamanya, sehingga saya berjaya menghasilkan mee goreng yang sesuai dengan selera saya. Ianya mesti tidak terlalu basah tapi basah basah sedikit sahaja. Semuanya perlukan praktik dan praktik. Yang penting, masa makan mesti ada hirisan limau nipis. Sangat sangat penting pada saya.




Sebelum kita melihat resepi dan cara menyediakan mee goreng ini, saya saja lah ingin menulis berkenaan diri saya. Saya pun tak tahu kenapa sejak kebelakangan ini, saya memang tak ada mood untuk semua perkara. Kalau ikutkan ada rasa malas nak menulis di blog pun. Saya cuba untuk menjalani hidup ini dengan tenang, namun ianya tidak semudah itu. Saya menjadi murung dan tidak bersemangat. Di rumah, saya menghabiskan banyak masa dengan bersendirian di bilik. Jadi hari ini, saya sekali lagi memohon maaf pada semua andaikata ada selama ini tulisan saya yang telah menyinggung hati mana mana pihak. Maafkan lah saya...

Jom saya kongsikan cara saya menggoreng mee kuning... 



Mee Goreng Nur Qaseh

Bahan bahan:
1 pek mee kuning
1 mangkuk isi ayam
4-5 ulas bawang putih - ketuk dan cincang
1 sudu besar cili kisar
Beberapa pelepah batang sawi
1 biji tomato buah - potong 4 
Sedikit sos tomato
Sedikit sos cili
Kicap
Garam
Limau nipis, cili merah

Cara cara:
Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Jangan banyak sebab mee sudah berminyak. Masukkan bawang putih dan goreng sehingga kekuningan dan masukkan pula cili kisar. Kacau rata sehingga cili agak masak.

Masukkan ayam yang dipotong kecil dan kacau rata sehingga ayam agak masak. Masukkan sedikit air, sos cili dan sos tomato. Biarkan sehingga ayam masak. Boleh masukkan sedikit garam dan batang sawi.

Pastikan ianya sedikit berkuah ketika mee dimasukkan dan masukkan mee serta kicap. Kuah yang akan menyebabkan mee masak dan lembut. Masukkan daun sawi, tomato buah dan kacau rata. Jika dirasakan mee masih keras masukkan sedikit demi sedikit air diselang seli dengan sos tomato supaya ianya bersalut sedikit di mee. Jangan terlebih air, nanti mee akan menjadi lembik.

Masukkan cili merah dan bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan. Hidangkan bersama hirisan limau nipis. Ini wajib bagi saya. Yang lain lain, bolehlah tabur hirisan daun sup dan bawang goreng, jika suka.






Udang Goreng Butter dan Telur Masin Yang Terlajak Sedap

$
0
0




Saya mula menyukai lauk ini selepas menikmati semasa makan malam di Restoran Waneeda Kota Damansara. Walaupun, kami order Sotong Goreng Butter dan Telur Masin tapi rasanya adalah sama sahaja dari segi keenakannya.  Memang sedap lauk ini, siap boleh menjilat jari sehingga licin di pinggan. Gambar hari ini hanya menggunakan handphone, jadi memang tak berapa cantiklah sikit. Hidangan lauk hari ini dimasak untuk hidangan saya berbuka puasa. Boleh klik di SINI untuk resepi Udang Goreng Butter tanpa Telur Masin. Bahan bahan dan cara caranya sama, cuma perlu ditambah telur masin sahaja untuk menjadikan Butter dan Telur Masin. 

Hmm sebelum tengok resepi, saya nak kongsikan sedikit intipati kuliah maghrib oleh Ustaz Sharizan kerana rasanya dah lama saya tidak menulis intipati tazkirah buat renungan kita semua. Kuliah kali ini sangat terkesan di hati terutama doa yang dibaca di penghujung majlis membuatkan saya tidak dapat menahan air mata dari mengalir. Kuliahnya berkenaan matlamat hidup yang utama bukanlah mengejar pangkat, kedudukan dan harta. Sebaliknya untuk mencari hidayah Allah. Kita kena perbetulkan dulu matlamat hidup kita. Macam mana nak cari hidayah Allah? Caranya ialah dengan bersungguh sungguh membuat amalan soleh seperti bangun untuk solat malam dll. Memang agak susah untuk bangun malam dengan rasa mengantuk dan letih. Memang penat bila mahu melakukan perkara baik. Dunia ini tempat berpenat penat, jadi kenalah sabar dengan kepenatan supaya di dalam kubur kita boleh berehat. Selain hidayah, kita hendaklah mencari keberkatan. Apa dia keberkatan? Ianya adalah menambah benda kebaikan dalam kehidupan kita. Yang susah rasa mudah, yang sempit rasa luas dan yang sedikit tetap rasa cukup. Itu sebab di dalam doa yang dibaca sebelum makan juga, kita memohon keberkatan. Cukup setakat ini dulu dan semoga di masa depan, saya mampu menghurai intipati kuliah dengan lebih baik lagi. 

Jom kita semak resepi dulu....




Udang Goreng Butter dan Telur Masin

Bahan bahan:
500 gm udang
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
Minyak
3-5 sudu besar butter
6 ulas bawang putih - di cincang
15 biji cili padi ~ dihiris serong
4 tangkai daun kari
2 biji telur masin ~ direbus & hancur
2 sudu kecil gula
10 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu kecil tepung jagung

Cara cara:
Telur masin rebus dibuang kulit dan dihancurkan. Ketepikan.

Udang dibersihkan dan digaul dgn garam dan serbuk kunyit. Panaskan minyak dan goreng sekejap sehingga udang berubah warna. Angkat dan ketepikan (buangkan semua lebihan minyak).

Panaskan kuali masukkan butter, tumis bawang putih, daun kari dan cili padi hingga wangi dan masukkan telur masin yg dihancurkan tadi.






Kemudian masukkan susu segar dan gula. (tak perlu letak garam sebab dah ada rasa masin dari telur masin)






Kacau rata dan masukkan udang. Kacau lagi. Masukkan bancuhan tepung jagung dengan air untuk memekatkan kuahnya. Masak seketika, kemudian bolehlah dihidangkan.





Gulai Kawah Kambing Untuk Majlis Tahlil

$
0
0





Gulai Kawah Kambing ini disediakan semasa majlis tahlil malam ke3 pemergian Bonda ke rahmatullah pada 28 Ogos 2014 iaitu pada pagi hari khamis setelah sebulan terlantar dek sakit tua. Semoga Allah mencucuri rahmat dan kasih sayangNya kepada kedua ibubapa saya yang semasa hidup mereka sangat tekun melakukan ibadah dan amalan soleh. Yang paling penting, mereka meninggalkan anak anak yang beriman dan beramal soleh yang akan sentiasa berdoa dan memberikan manafaat kepada mereka. Untuk majlis seperti ini, kebiasaannya kakak saya akan memanggil tukang masak untuk memasak gulai kawah kambing tapi kali ini, kami anak beranak jer sama sama mengerjakannya. 




Atas sebab itulah, saya dapat melihat penyediaannya dari mula sehingga akhir. Maklumlah kalau belajar dengan hanya berpandukan resepi, pasti kita tidak akan dapat menghasilkan lauk yang sama seperti yang disediakan tukang masak. Saya menyalin semua sukatan bahan yang digunakan sebagai bahan asas. Namun begitu, ikutlah citarasa masing masing, bolehlah tambah apa apa yang disukai.

Gulai kambing secara gulai Kawah Kelantan adalah lauk kegemaran saya. Saya tidak berapa gemar lauk kambing yang dimasak seperti di restoran dan gerai di sini. Hanya jika dimasak gulai kawah secara Kelantan, barulah saya makan menambah nambah. Kuah gulai kawah ini sedap juga dicicah dengan roti bata. Lebih sedap lagi jika gulai kawah kambing dimasukkan sekali mumban nyior yang diambil dari kelapa muda. Oleh kerana ramai yang bertanya, saya sertakan di bawah ini gambar mumban nyior dan cara menghirisnya.





Untuk menghasilkan gulai kawah yang sedap, petuanya ialah rempah gulai mestilah dikacau lama lama sehingga betul betul masak dan keluar minyak. Kemudian dimasukkan daging, lagi sekali kena dikacau lama lama sehingga air daging betul betul kering dan naik minyak lagi sekali. Kalau tidak, ianya akan sedikit berbau hamis...

Jom semak resepi...



Gulai Kawah Kambing Dengan Mumban Nyior

Bahan bahan:
1 ekor kambing - 10 kg 
3/4 kg rempah gulai kawah
3/4 kg minyak masak
1 1/2 kg bawang merah
3 labu bawang putih
3 - 4 inci halia
Bunga lawang, buah pelaga dan kayu manis
2 kg santan
4 jug air atau secukupnya
1 besen mumban nyior - rendam dengan air garam dulu
3 genggam garam kasar
4 keping gula Melaka
2 sudu besar gula
4 sudu besar pes asam jawa

Cara cara:
Sebahagian dari kuantiti bawang dan halia di hiris dan selebih dikisar. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris bersama rempah penumis sehingga kekuningan. 

Masukkan rempah gulai kawah dan tumis sehingga ianya benar benar garing iaitu, keluar minyak. Kata orang Kelantan, sehingga rempahnya tidak lagi nampak seperti ber "selut". 





Masukkan pula bawang yang dikisar dan kacau lagi sehingga sebati. 






Setelah itu, masukkan daging kambing dan mumban nyior dan terus masak sehingga air daging kering dan keluar minyak seperti gambar di bawah. 







Setelah keluar minyak, masukkan santan pekat dan air secukupnya. Masukkan garam, gula Melaka, gula dan pes asam jawa. Kacau sehingga mendidih dan daging empuk. 





Sesuaikan rasa dan kepekatan kuah, bolehlah ditutup api. Bila dah sejuk, kuah akan menjadi sedikit pekat, jadi kena sesuaikan kecairan kuahnya. Sedia untuk dihidangkan. 






Saya meratah 2 mangkuk sebaik sahaja ianya masak terutama rasa mumban nyior yang sangat manis.



Ikan Bakar Restoran Kak Chaq

$
0
0





Resepi ini saya perolehi dari pekerja di Restoran Kak Chaq Kangar semasa saya singgah minum pagi sementara menunggu urusan tugas rasmi bermula. Restorannya terletak berhadapan dengan Mahkamah Kangar. Melihatkan ikan bakar yang dibawa keluar dari dapur oleh pekerjanya sahaja, sudah membuatkan kita menelan air liur. Setelah mengambil seekor dan meratahnya. Hmmm sedaap... saya ambik lagi 2 ekor kerana ikan nya segar dan sangat berperisa. Warnanya cantik dan berkilat menarik membuatkan saya bertanya bagaimana penyediaan ikan bakar ini.  




Alhamdulillah kerana beliau tidak lokek dan saya memberitahu yang saya akan membuat entri berkenaan ikan bakar ini di dalam blog saya. Walaupun saya tak sempat untuk menyediakan sendiri dan terpaksa menggunakan gambar gambar yang diambil di restoran, tapi saya yakin ianya cukup untuk membuat anda semua teruja untuk mencubanya sendiri di rumah. 

Jom kita tengok resepi yang saya catat semasa bersembang dengan adik yang sangat baik hati. Saya mengolahkan nya menjadi resepi yang mudah untuk rujukan.....




Ikan Bakar Restoran Kak Chaq

Bahan bahan:
Sos cili - boleh juga guna cili kisar
Santan pekat
Garam
Serbuk kunyit
Ajinomoto - jika suka
Minyak masak
Susu pekat

Cara cara:
Satukan semua bahan. Bakar ikan atas dapur arang.

Setelah ikan masak, baru dilumur bahan di atas. Balik balikkan dan angkat. Cara untuk mengetahui ikan masak ialah apabila nampak mata ikan telah menjadi putih. Jangan overcooked.

Angkat dan sedia dihidang dengan sambal belacan atau air asam atau ratah begitu sahaja.




Nota:
Jika mahu dibuat ikan sumbat, masukkan inti cucur Badak ke dalam ikan yang dibelah belakang.


Kuih Seri Muka Istimewa Azie Kitchen

$
0
0




Antara banyak banyak kuih tradisional, kuih inilah yang saya lebih suka menyediakannya. Mungkin sebab ianya lebih challenging dalam menyediakannya. Banyak tips yang kena diikuti kerana salah sedikit sahaja, permukaan kuih tak cantik atau lapisan atas tak melekat dengan lapisan bawah dsb. Lagi satu, nak buat kuih tradisional seperti ini kena banyak bersabar, tak boleh terus dimakan. Kalau nak makan sebelah petang, pagi dah perlu dikukus supaya ianya benar benar sejuk. Banyak resepi Kuih Seri Muka yang telah saya cuba. Antaranya di SINI dan di SINI. Versi Kuih Seri Muka Bakar pula, boleh klik di SINI

Namun bila saya berjaya mendapatkan resepi Kuih Muka Kak Lok, saya jadi sangat teruja untuk mencubanya lagi. Kebanyakan resepi Kuih Seri Muka menggunakan bahan yang sama cuma sukatan sahaja yang berbeza. Perbezaan dalam sukatan banyak memberi perbezaan dari segi keenakan kuih yang dihasilkan. Oleh kerana stok beras pulut tak cukup saya hanya menggunakan 2 1/2 cawan beras pulut dan 2 cawan santan sahaja untuk lapisan bawah. Lagi pulak, ramai orang lebih suka makan lapisan atas berbanding dengan lapisan pulut. Yang lapisan atas, nampak pucat warnanya kerana saya tak letak pewarna hijau tapi hanya warna hijau asli daun pandan. Lain kali, memang kena letak pewarna supaya nampak hijau cantik. 








Kuih ini saya sediakan untuk dihantar ke surau sebagai hidangan para jemaah selepas menunaikan solat Isyak. Ianya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana AJK Surau telah mengadakan majlis tahlil arwah buat Bonda saya selepas diberitahu berita berkenaan pemergian Bonda saya ke rahmatullah. Feedback dari para jemaah juga mengatakan kuih ini sedap, cuma mereka tertanya tanya nama kuih ini sebab dah terbiasa dengan kuih seri muka yang berwarna hijau terang. Kamera saya masih ada dalam workshop, jadi saya snap dengan handphone jer. Asal ada gambar, buat rujukan.

Jom kita semak resepi Kak Lok yang saya namakan Kuih Seri Muka Azie Kitchen sebagai memudahkan saya membuat rujukan kemudian kelak.....



Kuih Seri Muka Istimewa Azie Kitchen
Loyang 11” x 11”

Lapisan Bawah:
3 ½ cawan beras pulut rendam 1-2 jam - guna 2 1/2 cawan
3 cawan santan – dari 1 biji kelapa - guna 2 cawan
1 sudu kecil garam

Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang. Kukus di dalam periuk pengukus yang telah mendidih airnya sehingga masak. Angkat dan ditekan tekankan sedikit sehingga mampat. Boleh juga guna loyang yang lain.





Lapisan Atas:
4 cawan santan pekat – dari 2 biji kelapa dikisar dengan air daun pandan
2 cawan gula pasir
4 biji telur – saiz B/saiz C - guna B yang kecil
1 cawan tepung gandum - bagi penuh dan padat
1 sudu kecil garam


Kisar daun pandan dan tapis airnya. Masukkan air daun pandan ke dalam kelapa parut dan blend untuk mendapatkan jumlah santan yang diperlukan.

Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan 2 cawan santan terlebih dulu, pukul lagi sekejap. 

Masukkan tepung dan kacau rata sebelum masukkan baki santan. Jangan terlebih pukul untuk menghasilkan permukaan kuih yang rata.

Masukkan loyang lapisan bawah ke dalam pengukus dan kukus sehingga panas, baru ditapis adunan ke atasnya dengan perlahan lahan di sekeliling loyang. Saya masakkan seketika lapisan atas, agak agak ianya keluar wap sahaja sebab pengukus saya banyak mengeluarkan wap.




Kukus selama  45 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak. Mula mula kukus dengan api kuat dalam 10 minit. Bila nampak permukaan menggelembung, buka penutup dulu sehingga dah turun, baru tutup semula. Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak. 

Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan pisau bersaiz kecil.

Nota:
Jika suka boleh juga dimasak lapisan atas di dalam kuali dalam 2-3 minit sehingga keluar wap sahaja. Jangan terlebih kerana dikuatiri lapisan atas tak melekat dengan lapisan bawah. Boleh juga dicakarkan bahagian atas pulut dengan garfu sebelum dituang lapisan atas.

Tip Mengukus:
Balut penutup pengukus dengan tuala atau kain tebal untuk mengelakkan air menitis di atas permukaan kuih. Pastikan penutup pengukus bertutup rapat.

Tips memotong:
Biarkan kuih sejuk dalam 2-3 jam sebelum dipotong. 

Celupkan pisau ke dalam air panas dan potong. Sekiranya ada pulut melekat di pisau, bersihkan dulu. Celup pisau ke dalam air dan ulanglah sehingga selesai.


Kuih Sekaya Telur Dalam Akhbar Utusan Malaysia

$
0
0




Kuih ini saya sediakan selepas memikirkan apa kuih yang hendak dimasak bagi memenuhi permintaan akhbar Utusan Malaysia. Haa sebelum itu, jangan lupa dapatkan satu naskah akhbar Utusan Malaysia hari ini bagi melihat gambar dan resepi yang diambil oleh pihak Utusan Malaysia. Seperti yang saya tulis sebelum ini, yang saya agak segan untuk masuk majallah atau televisyen. Terutama masa sekarang di mana saya masih dalam keadaan bersedih dengan pemergian Bonda saya ke rahmatullah pada akhir Ogos yang lalu. Masih ada beberapa janji yang belum ditunaikan dengan wartawan dari beberapa majalah yang menunggu pengesahan saya sejak dari tahun lepas lagi. Tapi bila pihak Utusan Malaysia menulis dan memberitahu hanya untuk shooting gambar masakan, saya bersetuju. Saya rasa tidak sampai hati untuk menghampakan hajat orang.






Saya memilih untuk menyediakan kuih muih Kelantan kegemaran saya terutama untuk dimakan semasa berbuka puasa di bulan Ramadhan. Selera saya di bulan Ramadhan agak berbeza dengan suami dan anak anak di mana mereka menyukai kuih muih kering seperti karipap, popia, apam, roti bom, roti John dsb. Sedangkan saya menyukai kuih basah dan berkuah seperti kuih Sekaya, Asam Guppa, Kuih biji nangka, nekbat, lompat tikam, puteri mandi, ketupat sotong dsb. Jadi jika dibeli di bazar Ramadhan, kuih kuih ini hanya saya sahaja yang makan. Oleh kerana kuih Sekaya Telur adalah antara kuih kegemaran, maka saya memutuskan untuk menyediakan kuih Sekaya Telur untuk tujuan shooting.



 

Terdapat berbagai versi Kuih Sekaya Telur di mana ada yang diletakkan lapisan pulut di bawahnya dan dipanggil sebagai Kuih Pulut Sekaya. Saya telah menyediakan 2 jenis Sekaya Telur sebelum ini di mana satu yang menggunakan santan di SINI  dan versi kedua yang tidak menggunakan santan di SINI. Kalau ditanya saya, kedua duanya sedap dan saya suka. Tapi yang berbeza sedikit dengan resepi yang ingin saya guna kali ini ialah ianya dimasukkan sedikit tepung gandum yang bertujuan untuk memejalkan sedikit kuih seperti mana kuih sekaya yang dijual oleh peniaga kuih di Kelantan. Resepi tradisional dari negeri kelahiran saya ini saya pelajari dari Kak Yah rakan jemaah di Surau Ad Dhuha yang memang handal dalam bab masakan dan kuih muih Kelantan. Walau bagaimanapun, berlaku sedikit kesilapan dalam resepi ini yang asalnya Kak Yah menulis 2 sudu besar tepung gandum. Tapi bila saya bersembang dengan Kak Yah yang sekarang masih mendapat rawatan di ward, beliau telah menulis di sms untuk 10 biji telur, guna 1 cawan tepung gandum. Saya pun tanpa bertanya pasal perbezaan, terus jer ikut. Hmm jadilah macam Bingka Telur. Namun begitu, ianya masih sedap. Seolah Kuih Bakar tapi mempunyai rasa telur. 

Jadi untuk shooting, saya terpaksa menyediakan satu adunan baru menggunakan resepi Sekaya Telur saya yang menggunakan santan di SINI Tapi saya letakkan sekali lagi resepinya di bawah ini. Sedap dimakan ketika sejuk sejuk selepas dikeluarkan dari peti sejuk. Seperti biasalah, kuih muih Kelantan agak manis sebab kalau tidak, rasanya akan lari dari rasa kuih yang asal. Jadi kalau yang tak suka manis, bolehlah adjust sedikit sukatan gula Melaka atau gula pasir yang digunakan. 

Jom kita tengok resepinya....



Kuih Sekaya Telur Kelantan 

Bahan bahan:
6 biji telur 
1 keping gula Melaka - masak dengan sedikit air
1/2 cawan gula pasir - boleh kurang jika tak suka manis
1 cawan santan pekat
2 helai daun pandan - carik kecil
1/2 sudu kecil garam

Cara cara:
Satukan gula Melaka, gula dan santan. Pukul seketika supaya gula hancur. Kemudian tuang ke dalam telur dan pukul lagi sehingga sebati. 





Alas loyang dengan plastik. Tapiskan ke dalam loyang saiz 6 inci. Saya guna loyang saiz 7 inci, jadi kuihnya agak nipis. 





Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Masukkan loyang ke dalam periuk pengukus dan kukus dengan api sederhana selama 25 minit.





Angkat dan sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong. Permukaan kuih akan menjadi berkedut kedut sewaktu diangkat.





Nota:
Sedap dimakan sejuk sejuk sebaik di keluarkan dari peti ais.





Kuih Asam Guppa Kelantan

$
0
0





Selain Kuih Sekaya, saya juga menyediakan Kuih Asam Guppa untuk shooting dengan akhbar Utusan Malaysia yang disiarkan pada hari Jumaat 19 September yang lalu. Boleh klik di SINI. Kuih Asam Guppa adalah salah satu dari kuih muih Kelantan kegemaran saya sejak kecil lagi terutama di bulan Ramadhan. Ada macam macam nama untuk kuih ini, ada yang menyebut asam gumpal, ada yang sebut samguppa, saguppa dan macam macam lagi. Apa pun panggilannya, ia adalah merujuk kepada kuih yang sama. Seingat saya, kuih asam guppa asli yang saya pernah makan sejak dulu, tiada inti pun di dalamnya. Tapi kini, saya tengok kuih asam guppa diletakkan inti kacang hijau. Itu kuih di daerah saya lah. Tak tahulah kalau kat tempat lain, memang dah ada inti sejak dulu dulu. Tapi untuk kuih Asam Guppa yang sediakan hari ini, sebahagiannya saya masukkan inti kacang hijau. 





Saya sukakan rasa kuih ini dengan kuahnya yang mempunyai rasa lemak lemak, manis dan masin. Hmm memang syahdu habis lah menikmatinya, apalagi jika dimakan sejuk sejuk selepas dikeluarkan dari peti sejuk. Nyaman jer. Tapi jangan masuk lama pulak, kan keras pulak sagu nya. Ada orang suka makan ianya suam suam. Pendek kata ikutlah selera masing masing. Kita ni rambut sahaja sama hitam tapi hati lain lain walaupun anak anak sendiri pun telah berlainan citarasa. 

Sebelum kita layan resepi, tertarik untuk kongsikan berkenaan kelebihan surah Yasin dari youtube Ustaz Kazim. Kita disuruh mengamalkan membaca surah Yasin, ayat 82 apabila memohon sebarang hajat. Baca ayat tersebut dan selepas membaca KUN, berhenti dan berdoa lah apa sahaja yang kita hajati dan perlukan. Selepas habis berdoa, sambung semula membaca FAYAKUUN. Jom sama sama kita amalkan. Kata Ustaz Ibrahim Muhamad, dua punca manusia tidak tenang hidupnya adalah kerana, dosa dosa lalu yang telah dilakukan dan kedua kerana masalah hutang. Doakan agar kita diberikan ketenangan, kecukupan, bantuan, kemudahan dalam menghadapi sebarang masalah dan diberikan rezeki yang tidak disangka sangka. Allah akan makbulkan doa hambaNya yang beriman dan bertaqwa.

Jom semak resepi dulu....




Kuih Asam Guppa

Bahan Inti:
250 gram kacang hijau 
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula pasir
Air secukupnya 

Rebus kacang hijau bersama air sehingga empuk. Bila dah kering dan kacang dah hancur masukkan gula Melaka dan gula secukup manis dan sentiasa kacau dengan api perlahan sehingga sebati dan betul betul kering. 






Tutup api dan bila dah sejuk bulat bulatkan inti kacang sebesar biji guli dan ketepikan. Inti yang terbaik ialah inti yang tidak melekat di tangan sewaktu proses menggentelnya.






Bahan Asam Guppa:
250 gm biji sagu
1 cawan air panas

Bersihkan sagu dan toskan. Masukkan air panas ke dalam biji sagu dan kacau sebati sehingga biji sagu agak kental dan boleh dikepal.

Kepal kepalkan biji sagu dan masukkan inti dan tutup dengan kemas. 





Masuk asam guppa ke dalam pengukus dan dikukus selama 10-15 minit atau sehingga sagu nampak jernih. Jangan terlalu lama nanti sagu akan jadi lembik. Angkat dan ketepikan.






Bahan Kuah:
3 cawan santan - dari 1 biji kelapa
1 inci halia  - hiris memanjang
2 ulas bawang merah - hiris
1/2 sudu kecil halba
2 sudu besar gula
1-2 sudu kecil garam halus
1 helai daun pandan

Satukan santan bersama halia, bawang merah, halba dan daun pandan. Masaklah sehingga mendidih menggunakan api perlahan sambil sentiasa dikacau.

Setelah mendidih, masukkan asam guppa yang telah dikukus tadi, gula dan sedikit garam ke dalam kuah bagi menambah rasa lemak. Kacau perlahan lahan dalam 5 minit sebelum tutup api. 






Siap untuk dihidangkan samada panas atau sejuk.

Nota:
Ada orang yang meletak isi buah nangka yang dicarik carik ke dalam kuahnya. 




Ikan Terubuk Yang Dibakar Dengan Penuh Kasih Sayang

$
0
0





Saya sangat terharu bila melihat kesungguhan hubby membakar ikan terubuk yang saya dok mengidam sejak balik dari JJCM di Kuala Perlis. Keenakan ikan terubuk bakar di Kuala Perlis menyebabkan saya meratah seekor ikan bersaiz besar sorang diri jer. Semasa saya sedang dalam kelas tajwid, hubby menghantar whatsApp gambar ikan terubuk berada atas dapur arang. Hati dah berbunga riang, waah balik nanti boleh makan ikan terubuk bakar. Bila Kak Kama suruh sambung baca lagi, saya pulak yang cadangkan supaya disambung minggu depan jer. Tak sabar nak balik. Rupanya gambar itu sekadar eksyen jer. Memang lah dia suka menyakat saya. Bila saya sampai di rumah, baru hubby mula menyalakan bara api. 

Tapi tak tahu kenapa ikan hancur semasa dibakar. Nampak hubby kecewa. Rupanya hubby ke Pasar Taman Tun untuk mencari ikan terubuk yang saya dok menyebut setiap hari. Kesungguhan hubby membuatkan saya rasa sangat terharu. Walaupun rupa ikannya nampak hancuis tapi sedap dan isi ikannya masih segar. Itulah agaknya berkat kesabaran hubby membakar ikan di tengah panas. Maklum rumah saya, belum ada dapur arang untuk membakar ikan. Lagi pun hubby sangat ikhlas melakukannya dengan penuh kasih sayang untuk saya menjadikan ikan terubuk bakar tersebut mabeleeeesss jer rasanya. Selain ikan terubuk, hubby juga bakar 2 ekor ikan kembung dan juga sotong segar untuk anak anak.






Ikan ikan bakar tu dicicah dengan sambal kicap sahaja. Tapi kalau ikan dah sedap, cicah dengan apa pun sedaap. Untuk rujukan, cara saya menyediakan sambal kicap adalah seperti di bawah. 





Sambal Kicap
Oleh; Azie Kitchen

Bahan bahan:
Bawang besar - hiris halus
Cili padi - hiris kecil
Kicap secukupnya
Gula
Air perahan limau nipis

Satukan semua sekali dan kacau rata. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dimakan dengan ikan bakar.



Karipap Sardin

$
0
0



Karipap adalah antara kuih yang paling kerap saya sediakan kerana saya memang penggemar tegar karipap terutama karipap sardin. Walaupun badan memang sakit sakit kerana demam dan selsema sejak beberapa hari lalu tapi saya bertekad untuk membuatnya walaupun seorang diri. Teringin sangat sangat. Tapi karipap orang sakit ni, kira asal siap dan jadi karipap jer. Cantik atau tidak, itu dah belakang kira. Nasib baik, masa tengah mencanai, Nelly balik dan telah sedia menolong mencanai doh sementara saya memasukkan inti dan membuat kelim. Penat penat pun sangat berpuashati kerana karipap saya lah yang paling menepati selera saya. Memang tak puashati makan karipap yang dibeli. Dah lah tak berapa sedap dan mahal pulak harganya. Jika sedap, saya sedia membayar dengan harga yang mahal pun. 

Setakat ini, saya mempunyai 3 versi resepi penyediaan doh pastri. Boleh klik di SINI, SINI dan SINI. Kalau ditanya saya ianya hampir sama sahaja, dan yang pastinya semuanya pun sedap dan rangup, jadi bolehlah dipilih mana mana resepi pastri pun jika anda ingin membuat karipap. Perbezaan resepi hari ini dengan resepi yang telah saya cuba sebelum ini ialah kuantiti air. Biasa saya menggunakan 450ml tapi kali ini saya guna 400ml sahaja. Saya membuat pastri menggunakan 1 kg tepung gandum. Memang banyak karipap yang terhasil. Jadi saya goreng separa masak sekadar untuk mematikan tepung dan simpan di dalam freezer bag dan simpan dalam freezer. Jadi lain kali, kali rasa teringin nak makan, tinggal gorengkan sahaja sehingga masak keperangan.

Sebelum kita melihat resepi saya ingin kongsikan sedikit pesanan Ustaz Ibrahim Muhammad kepada saya supaya bersabar walaupun hati disakiti dan diumpat di belakang kerana sabar adalah istana iman. Katanya lagi, dengan bersabar kita akan diberikan ganjaran pahala, sedangkan mereka yang mengumpat akan mendapat dosa besar. Dalam kuliah Dhuha Ustaz Iqbal pula dikongsikan bahawa orang yang masuk syurga adalah orang yang tinggi taqwanya kepada Allah dan baik akhlaknya. Bukan semata mata orang yang banyak amalan soleh tapi mungkin kurang dari segi akhlak sesama manusia. Sekarang ini banyak cara untuk mendapatkan ilmu demi untuk meningkatkan amalan kita. Setiap hari kita dipesan dengan pelbagai pesanan terutama melalui whatsApp. Sama samalah berpesan pada kebenaran kerana mati tidak semestinya pergi pada yang tua ataupun yang sakit. Mati itu pasti...

Jom layan resepi di bawah ini....




Karipap Sardin

Bahan Pastri:
1 kg tepung gandum
1/2 cawan majerin
1 cawan minyak masak
400 ml air + 1 sudu besar garam

Cara cara:
Panaskan majerin bersama sama dengan minyak sehingga majerin sehingga cair dan benar benar panas. 

Tuangkan majerin panas tadi ke dalam tepung gandum dan gaul rata. Apabila telah suam, uli sebati sambil ditambah air sedikit demi sedikit sehingga mendapat doh yang sederhana lembut dan tidak melekat di tangan. 





Rehatkan doh selama 30 minit hingga 1 jam di dalam peti sejuk. Canai doh dan bentukkan karipap. Jika ada lebihan doh, boleh disimpan di dalam freezer.





Bahan Inti:
2 tin Sardin Mackerel - tin besar
4 biji ubi kentang besar - potong dadu
2 biji bawang besar - potong dadu
2-3 biji cili merah - hiris halus
1 pokok daun sup - hiris tak letak sebab tak ada stok
2 sudu besar cili kisar 
Garam
Air perahan limau nipis

Cara cara:
Asingkan ikan sardin dan sosnya. Hancurkan ikan sardin dengan menggunakan garfu. 

Panaskan minyak dan tumis cili kisar sehingga betul betul garing. Kemudian sardin, bawang besar dan kentang. Akhir sekali masukkan garam dan air limau nipis. 

Tabur pula daun sup dan cili merah. Kacau seketika dan bolehlah tutup api.





Sejukkan inti sebelum boleh digunakan.


Cara Membuat Karipap
Saya tidak menggunakan acuan untuk doh yang dicanai. Kalau untuk dimakan sendiri, memang OK kerana saiznya tak sama besar. Selepas memasukkan inti, saya menutup doh, kemudian menekan keliling inti dan memotong lebihan pastri dengan menggunakan pisau. 





Lepas tu tekan keliling dan di kelim. Kalau mahu cantik dan sama saiznya, bolehlah doh dicanai dan diterap dengan acuan.

Cara Menggoreng
Pastikan minyak yang banyak dan betul betul panas. Selepas itu, api dapur ditutup dan dimasukkan karipap. Kemudian barulah dinyalakan semula api dapur. Dengan cara ini, karipap kita menjadikan kurang berjerawat dan menggerutu. Gorenglah dengan api perlahan sehingga masak dan garing.


Cara Menyimpan
Untuk dibuat karipap frozen atau sejuk beku, ada dua cara iaitu satu digoreng dulu separa masak. Angkat, sejukkan dan masukkan ke dalam bekas bertutup atau freezer bag dan simpanlah di dalam freezer.

Cara kedua ialah dengan menyusun karipap yang telah siap di kelim dan disusun di dalam dulang yang dilapik dengan plastik dengan jarak antara satu sama lain. Masukkan dulang ini ke dalam freezer dalam 30 minit. Selepas ianya agak keras, keluarkan dan masukkan ke dalam bekas bertutup atau freezer bag. Simpan lah di dalam freezer.



Semoga Rizky Cepat Sembuh

$
0
0


Hari Rabu yang lalu, saya dikejutkan dengan bunyi yang sangat kuat di ruang tamu dan saya menjenguk ke tingkap dan melihat Juita menuruni tangga tapi tiada kelibat dia keluar dari kawasan tangga. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan saya keluar dari bilik dan mendapati Juita sedang memegang Rizky dalam keadaan panik. Saya juga menjadi sangat panik apabila melihat darah di leher Rizky. Kebetulan ketika itu juga, hubby balik dan mereka terus membawa Rizky ke klinik. Selepas diperiksa didapati lidah Rizky berdarah. Selepas diberi injection dan ubat Rizky balik ke rumah. Walaupun masih nampak tidak sihat tetapi Rizky kelihatan OK sehinggalah pagi hari minggu bila saya melihat banyak darah di lantai dan dinding. Oleh kerana badannya agak kotor, kami meletakkan dia di dalam cage untuk dimandi di sebelah petang.

Hari ini Juita membawa Rizky ke klinik lagi dan kali ini keadaannya bertambah teruk dan doktor mengesahkan Rizky terkena sawan sehingga menggigit lidah sendiri. Rizky terpaksa ditinggalkan di klinik selama beberapa hari untuk rawatan susulan. Jauh jauh di sudut hati saya dapat merasakan usia Rizky tidak panjang kerana ia tidak pernah sakit sejak tinggal dengan kami dari berumur 3 bulan. Rizky tinggal dengan kami sekembalinya kami dari mengerjakan Fardhu Haji bulan Februari 2007 sebagai hadiah harijadi Aween.




Rizky telah menjadi sebahagian dari keluarga kami dan kesayangan hubby dan anak anak. Jika saya keluar bilik, Rizky tak akan ikut dan akan tetap tunggu di depan pintu bilik sehingga hubby keluar, barulah ia akan ikut turun. Kadang kadang Rizky akan menunggu kami di tembok atas pagar, jika kami keluar makan malam. Rizky juga sangat setia menemani Juita belajar di bilik. Saya yang agak strict dengan Rizky kerana tak mahu dia melepak sebarangan tempat. Yang paling seronok bila melihat Rizky yang suka tidur terlentang. Menjaga Rizky sangat mudah, bulunya sentiasa kembang cantik.  






Walaupun air mata mengalir namun saya redha akan apa sahaja ketentuan Allah. Saya hanya mampu berdoa yang terbaik buat Rizky semoga disembuhkan dan kembali ke pangkuan kami seperti sedia kala. Ameen.


Kuih Bom Inti Kacang Hijau Sedap

$
0
0




Orang beriman akan tengok apa pengakhiran. Jika di akhir, kita ingin hidup kekal di syurga, kita akan merasa dunia adalah sementara sahaja. Anggapkan diri kita sebagai seorang ahli kubur, kerana di dunia hanya tempat melintas sahaja. Jika kita ada rumah, fikirkan berapa lama kita mahu tinggal di rumah berbanding dengan tempoh kita akan tinggal di dalam kubur. Lihatkan nenek moyang kita atau mereka yang telah lama meninggal dan kirakan berapa lama mereka telah berada di dalam kubur. Sesungguhnya orang yang bijak ialah orang yang banyak mengingati mati dengan membuat persiapan untuk menghadapi kematian. Dengan banyak mengingati mati, akan melenyapkan nafsu dan kesombongan kerana Allah tidak suka manusia yang sombong. Cerminkan diri dan buat muhasabah diri.

Orang orang mukmin tidak pernah berputus asa dengan ujian dan dugaan yang melanda kerana tahu semua yang terjadi, telah ditetapkan Allah. Mereka akan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan serta redha dengan takdir Allah. Justeru kenalah sentiasa tenang dan berlapang dada menempuh ujian dengan memperbanyakkan sabar dan solat serta berdoa. Ini adalah kerana doa adalah senjata bagi orang mukmin.

Terdapat lebihan inti kacang dari kuih Asam Guppa di SINI yang saya simpan dalam freezer. Oleh kerana masa cuti Hari Malaysia, kami tak ke mana mana sebelah petangnya, jadi saya ke dapur menyediakan separuh adunan doh untuk dibuat Kuih Bom. Dapatlah 9 biji kuih bom yang bersaiz sebesar biji ping pong. Sebelah pagi saya dan Nelly ke rumah Suraya yang mengadakan majlis tahlil sempena pemergian beliau dan anak lelakinya ke Tanah Suci. Sebelum itu, kami singgah rumah Kak Elani mengambil pembaris dan pisau pemotong kuih muih yang dibeli dari Chef Asma.





Siap jer menyediakan kuih, saya terus menggoreng kerana dah tak sabar nak makan. Seperti dijangkakan, bom telah meletup sedikit. Sebaiknya kuih bom dibiarkan beberapa jam dalam bekas bertutup sebelum digoreng supaya ianya tidak meletup. Tak apalah, nama pun kuih bom kan. Mestilah bom yang hidup menghasilkan letupan. Yang penting, kuihnya sedap dan lembuuut jer. 

Jom layan resepi dulu. Boleh klik di SINI, untuk kuih Bom yang saya sediakan sebelum ini.... 




Kuih Bom Inti Kacang Hijau

Bahan Doh:
2 cawan tepung pulut
2 sudu besar tepung gandum
Sedikit garam
1 cawan air 
Bijan secukupnya - untuk salut 

Cara membuat doh:
Satukan tepung pulut, tepung gandum dan garam. Bancuh dengan air sedikit sedikit hingga menjadi doh yang tak melekat di tangan. Jika terlembik, tambahkan setengah sudu tepung beras pulut setiap kali memasukkannya.



Inti Kacang Hijau:
250 gm kacang hijau - rendam
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula pasir
Sedikit garam

Cara membuat Inti:
Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering dan kacang hancur. 
Masukkan gula melaka, garam dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula. Angkat dan sejukkan. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat

Nota;
Boleh masukkan kelapa parut dan tepung gandum, jika suka. 

Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih ketayap, koci dsb.


Cara membuat kuih bom:
Sapu sedikit minyak pada tapak tangan. Ambil adunan, leperkan dan masukkan inti kacang hijau yang telah di kepal bulat bulat tadi. 




Cantumkan bahagian leper tadi hujung ke hujung. Bulatkannya dengan kemas. 

Terus digolek golek ke dalam bekas bijan hingga seluruh kuih diselaputi bijan. Akhir sekali layangkan antara 2 tapak tangan agar bijan yang tidak melekat akan jatuh dengan sendiri. 






Goreng kuih bom dalam minyak terendam dengan api sederhana pada 5 minit permulaan. Kemudian baru besarkan api sambil kacau digolek golek dalam kuali sehingga agak kekuningan. Jangan lama, nanti meletup.

Boleh simpan di dalam freezer jika ada baki kuih bom.

Nota Dari Jurnal Resepi Bdaria:
Jangan terus goreng kuih bom yang telah siap dimasukkan inti. Jika anda terus goreng selepas buat....kuih bom anda akan mengelembung dan pecah (tersengih dan keluar inti) serta 'meletup'. Kuih anda tidak cantik dan ia jugak tidak garing.

Jika buat malam, biarkan dalam dulang dan tutup dengan kain bersih. Goreng pagi esoknya. Jika nak makan petang.....buat pagi dan goreng petang. Ini sahaja rahsianya.



Telur Ikan Goreng Berempah Sedap

$
0
0




Saya makan lauk yang menggunakan resepi ini yang dimasak oleh Hafizah, wife Tuan Hairani ini dah lebih dari 10 tahun sewaktu mereka ikut kami bercuti di Port Dickson. Kebetulan saya dapat book banglo di Port Dickson yang sangat besar dan cantik, jadi ke sana bersama keluarga sahaja agak terasalah sunyinya. Semasa di sana, kami dihidangkan dengan lauk Ayam Goreng Berempah yang mereka bawa. Oleh kerana ianya sangat sedap, cepat sahaja habis dimakan oleh anak anak. Saya terus belajar cara cara menyediakannya dan ajar pula kepada pembantu rumah kami. Oleh kerana pembantu rumah telah mahir, jadi saya pun tidak merasakan perlu untuk menyalin resepi mudah ini. Masalah timbul bila pembantu rumah kami telah berhenti dan hubungan dengan Hairani juga telah terputus. Saya memang teringin sangat untuk memasak lauk yang simple tapi sedap itu. Asyik teringat ingat kesedapannya dan menyesal sebab tak menyalin resepinya dulu di dalam buku masakan.





Sekian lama mencari, baru setahun lepas dapat menemui Hafizah dan Hairani di majlis rumah terbuka Dato Salehuddin di Shah Alam. Sekali lagi bertemu sewaktu mereka mengunjungi rumah terbuka kami bulan Ogos yang lalu. Saya tidak mahu lagi terlepas peluang, lantas meminta nombor telefon mereka. Haaa akhirnya resepi berada di tangan lagi. Setelah diolah, saya pun memasaknya hari ini dan berkongsi pula dengan pembaca semua. Tapi hari ini, saya tidak menggunakan ayam sebaliknya menyediakan Telur Ikan Goreng Berempah. Sedaaapp... Ooh selain ayam, sedap juga menggunakan daging untuk resepi ini.

Jom layan resepi di bawah ini...




Telur Ikan Goreng Berempah

Bahan bahan:
Telur ikan  
2-3 sudu besar serbuk rempah kari ikan
3 pelepah daun kari
1 biji bawang besar - hiris
1 sudu besar halba campur
4-5 tangkai cili kering - gunting kecil
Garam
Serbuk kunyit

Cara cara:
Telur ikan digaul dengan serbuk rempah kari, garam dan serbuk kunyit. Diperap selama 30 minit.

Goreng bawang besar dan kemudian masukkan cili kering, daun kari dan akhir sekali masukkan halba campur. Bila wangi, tutup api. 





Goreng telur ikan berasingan. Akhir sekali, campurkan telur ikan yang telah digoreng bersama bahan yang digoreng tadi. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.






Viewing all 2251 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>