Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2247 articles
Browse latest View live

Ikan Aji Aji Masak Tauchu

$
0
0




Orang bertaqwa bukan sahaja dijanjikan jalan keluar dan kemudahan dari segala masalah tapi juga didatangkan rezeki yang tak disangka sangka. Rezeki adalah suatu kurniaan Allah. Kita disuruh berusaha sebagai musabab. Tapi rezeki bukan datang berdasarkan kekuatan, bukan kecerdikan dan juga bukan kerana apa apa. Jadi sesiapa hendak selesai masalah, kenalah bersama Allah. 

Apabila disebut bersama Allah bukanlah seumpama kita bersama dengan kawan kawan kerana Allah tidak bersifat menyamai dengan sesuatu. Perasaan mengharap mesti dihimpun dalam hati dan sentiasa patuh pada semua perintah dan larangan. Jika kita dapat buat seperti itu, maknanya kita telah dapat bersama Allah. Jika dapat buat begitu, banyak kelebihan yang kita perolehi. Antaranya ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup serta kemudahan dari sebarang masalah. Jadi orang yang sebenar bahagia ialah orang yang bertaqwa. Itulah antara petikan program Tasawuf Harian bersama Dr Zulkifli di TV Al Hijrah pada pagi hari minggu lalu. 

Beralih pada bab masakan, hari ini nak tayangkan entri lama yang dah terperam. Ikan Aji Aji adalah salah satu dari ikan kesukaan saya. Masak apa pun sedap dengan ikan ni. Masak percik, masak kari, masak kicap atau masak apa apa jer. Bila tak ada idea apa masakan nak dimasak, saya akan masak tauchu. Kiranya masakan dalam keadaan tak dirancang lah ni. Saya pun baru baru ni jer belajar masak tauchu ni. Sebelum ni memang tak pernah memasak sebab tak suka makan tauchu. 

Jom layan resepi dulu....



Ikan Aji Aji Masak Tauchu

Bahan bahan:
1 ekor ikan Aji Aji - lumur garam kunyit dan goreng
4 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 inci halia
1 batang serai - ketuk
2 sudu besar tauchu
1 batang cili merah
1 batang cili hijau/cili padi
Sedikit asam jawa
Sedikit gula

Cara cara:
Tumis bawang putih, halia dan bawang merah yang di hiris serta serai sehingga wangi. Masukkan tauchu dan sedikit air. 

Masukkan pula bawang besar yang dimayang, cili merah dan cili hijau hiris, gula dan sedikit air asam jawa. Sesuaikan rasa dan bolehlah dimasukkan ikan yang telah digoreng. 



Laksa Kelantan Untuk Sarapan Pagi

$
0
0



Laksa ini dimasak oleh kakak saya untuk sarapan pagi sewaktu saya balik kampung semasa Bonda saya kembali ke rahmatullah. Kuah laksam dan kuah laksa adalah sama, jadi boleh sediakan kedua duanya sekali sebagai mempelbagaikan hidangan. Untuk melihat cara penyediaan laksam, boleh klik di SINI. Laksa beras pula lebih baik dibeli yang siap sahaja atau beli yang kering dan direndam terlebih dahulu. Boleh klik di SINI untuk entri kuah laksam yang saya sediakan dulu.

Teringat zaman dulu dulu, ada ketika kenduri tidak dihidangkan nasi dengan lauk, sebaliknya hanya dihidangkan dengan laksa. Tapi makan laksa ni, walaupun sedap memang tidak sama dengan kenyang makan nasi. Kebelakangan ini, sudah jarang laksa dihidangkan di majlis kenduri. Lagi pulak, orang Kelantan memang makanan utama adalah nasi, dari sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. 

Sebelum menengok resepi, saya ingin kongsikan petikan dari buku Ensiklopedia Kiamat yang sangat mendalam maknanya untuk dijadikan santapan minda, iaitu "Cukuplah Allah yang mencinta, Al Quran yang menghibur dan kematian yang memberi nasihat. Cukuplah rasa takut pada Allah menjadi ilmu dan kelengahan tentang Allah menjadi kebodohan"....

Jom layan resepi penyediaan kuah laksa Kelantan....


Laksa Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Laksa beras
Laksam
Kuah laksa - seperti di bawah
Ulaman
Sambal cili kering

Bahan Kuah:
2 kg ikan sardin - ambik isi dan kisar
1 kg santan
1 mangkuk bawang merah
2 ulas bawang putih - opsyenal
1 inci halia
2 sudu besar lada hitam - tumbuk
Garam
Secubit gula
3 keping asam keping
Air secukupnya

Cara cara:
Satukan semua bahan di atas dan masak dengan api perlahan sambil terus dikacau.

Masak sehingga mendidih dan sesuaikan rasa. Boleh lah diangkat dan dihidangkan.

Bahan Ulaman:
Kacang panjang
Daun kesum
Bunga kantan
Taugeh

Sambal Cili
Cili kering - rebus dan tos
Garam

Tumbuk sehingga lumat.

Cara menghidang:
Masukkan laksa ke dalam pinggan atau mangkuk.
Tuangkan kuah secukupnya.
Letakkan ulam ulaman dan sedikit sambal cili kering.


Ikan Bakar

$
0
0





Selamat petang semua. Hari ini saya bersiaran dari Hong Kong. Hahaha ini entri lama yang memang lama dibuat, cuma belum publish. Gara gara terpandang lauk Ikan Bakar yang ditayang di dalam facebook sahabat saya, Delima Zamrud, saya terus teringin hendak makan ikan bakar juga. Singgah kedai runcit beli ikan dan minta siap disiangkan. Lumurkan ikan dengan garam dan serbuk kunyit sebelum dibalut dengan daun pisang. Sapu sedikit minyak di kuali leper dan susun lah di atasnya. Sekejap dah siap dan sedia untuk diratah.

Saya sebenarnya dah terlebih bakar apabila ikannya menjadi agak kering. Kalau ikan yang disapu garam kunyit seperti ini, saya tidak makan dengan apa apa pencicah tapi kalau suka, bolehlah disediakan pencicah kicap dengan bawang dan cili padi sahaja. Kalau ikan yang hendak dicicah dengan air asam lebih sedap jika dibakar kosong kosong sahaja.





Selamat menjamu selera dengan menu makanan sihat....


Tart Nenas Landak Gebu Yang Menjadi Idaman

$
0
0




Sejak kebelakangan ini memang kemaruk nak makan tart nenas terutama bila ramai yang kongsikan tart nenas yang dibuat sempena menyambut Hari Deepavali di facebook dan blog. Semasa dalam penerbangan ke Hong Kong pulak, terbaca dalam majalah Going Places MAS berkenaan tart yang dihasilkan oleh pembuat pastri yang terkenal di kalangan kerabat diraja yang dikatakan sebagai kenyal di luar dan lembut mencair di dalam mulut. Hissh serious...sepanjang di Hong Kong, bila masuk bilik jer saya akan menggoogle berkenaan kuih tart nenas. Hmm tengah bercuti pun, masih dok mengidam kuih tart. Nasib baik percutian ini adalah percutian santai yang banyak masa juga untuk berehat dan lepak di bilik sambil menikmati keindahan pemandangan yang sangat sangat mempesonakan. 




Rata rata peminat kuih tart nenas menggunakan resepi yang saya gunakan hari ini. Hatta saya menemui juga resepi yang sama digunakan dalam youtube di SINI. Boleh klik di SINI untuk melihat Kuih Tart Gulung yang saya hasilkan sebelum ini. Resepi ini pun sedap tapi saya memang suka mencuba resepi yang lain juga untuk mempelbagaikan koleksi resepi yang telah dicuba.

Sebelum berangkat balik saya telah menghantar whatsApp kepada Boy minta dibelikan senarai bahan bahan yang diperlukan. Setiba di rumah, memang dah tak sabar untuk membuatnya. Nasiblah sampai di rumah malam. Kalau sampai pagi, mahu saya masuk ke dapur melepaskan gedik nak membuat kuih tart nenas. Keesokan pagi pula, iaitu hari inilah, kami menghadiri majlis pernikahan cousin my hubby di Masjid Wilayah. Selamat Pengantin Baru buat Nim dan pasangan. Selesai majlis, adik beradik dan cousin hubby ingin singgah di rumah, jadi saya terpaksa menangguhkan seketika projek nak menge tart. Sebaik mereka balik, saya terus ke dapur menyediakan doh untuk kulit tart dan mula menggentel inti tart. Oleh kerana telah agak lewat petang, saya terpaksa meminta Boy dan Juita untuk sama sama menolong bagi mempercepatkan kerja.





Untuk inti tart hari ini, saya beli sahaja inti tart nenas yang telah siap dari Bagus. Pilih jenis premium yang memang sedap walaupun harganya sedikit mahal. Saya sertakan juga di bawah ini, resepi inti tart nenas yang saya gunakan sejak berpuluh puluh tahun dahulu bila membuat kuih tart nenas. Resepi yang dipelajari pada penghujung tahun 1980an dari Haji Hasbullah, bekas rakan sekerja ini memang sedap dan menepati selera saya. Bukan sahaja inti tapi resepi untuk menyediakan doh juga dipelajari dari Haji Hasbullah yang saya panggil sebagai Bull. Resepinya yang bertulis tangan masih tersimpan rapi dalam buku masakan saya. Maklumlah zaman itu, mana ada blog dan facebook. Jadi resepi kena belajar dari kawan kawan yang pakar kerana resepi di buku masakan dan majalah, memang jarang menghasilkan kuih yang lembut dan sedap.

Hajat hati nak membuat pelbagai bentuk kuih tart seperti kuih tart bunga dan juga kuih tart dalam cawan kertas terpaksa dilupakan kerana mengejar masa yang sudah hampir senja. Jadi untuk hari ini, meh layan kuih tart berbentuk landak atau ada yang memanggilnya sebagai bentuk nenas dengan dicucukkan sekali bunga cengkih di atasnya. Tapi saya hari ini, tak letak pun bunga cengkih tersebut sebagai hiasan. Apa apa pun sangat berpuas hati dengan resepi ini yang sangat gebu dan mencair di dalam mulut... Impian tercapai sudaahh...





Jom kita layan resepi kuih tart ini yang sangat fofular di alam maya dan telah dicuba oleh ramai blogger dan peminat kuih tart....



Kuih Tart Nenas Landak Yang Gebu dan Sedap

Bahan bahan:
300 gram tepung gandum
4 sudu besar tepung jagung
3 sudu besar gula ising
200 gm butter Anchor
2 kuning telur
1/2 kg jem nenas 
Kuning telur + pewarna kuning telur 

Cara-cara:
Ayak tepung gandum, tepung jagung, dan gula ising ke dalam bekas. Kemudian masukkan butter yang telah dipotong dadu. Kalau guna unsalted butter, masukkan secubit garam.

Ramas tepung dengan butter guna hujung jari hingga berderai (rub-in method). Kemudian masukkan kuning telur dan satukan menjadi doh. Simpan selama 20 minit di dalam peti ais.

Bulat bulatkan doh, kemudian dileperkan dan masukkan inti yang telah dibulat bulatkan Kemudian ditutup kemas dan dibentukkan seperti buah nenas. Gunting mengikut corak disukai. Cucuk bunga cengkih di bahagian atas, jika suka.







Susun doh yang telah siap di atas dulang pembakar. Sapu kuning telur dan bakar dalam oven 180C selama 20 minit atau sehingga masak. 

Nota:
Jika suka, kuning telur untuk disapu atas tart boleh juga diletakkan sedikit pewarna kuning telur.




Inti Tart Nenas

Bahan bahan:
1 Ib isi nenas parut 
1/2 Ib gula pasir
Bunga cengkih dan kayu manis
Daun pandan
Sedikit pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Nenas diparut dan ditoskan airnya. Boleh juga jika nenas dihancur menggunakan food processer. Kemudian timbangkan isi nenas.

Masukkan semula, nenas, jus nenas, gula, daun pandan serta bunga cengkih dan kayu manis ke dalam kuali dan masak di atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga ianya tak melekat di daun pandan dan berkilat. Jangan terlalu kering.

Sejukkan dan siap untuk digunakan.


Hong Kong Aku Datang

$
0
0



Terasa seperti lama betul tak bercuti ke luar negara walaupun tahun lepas saya dan anak anak bercuti ke Bali. Walaupun gembira dengan tawaran hubby untuk membawa saya ke Hong Kong namun ianya tidaklah mengujakan. Entah kenapa kebelakangan ini, saya tidak lagi teruja dengan percutian, shopping dan seumpamanya. Saya lebih suka menghabiskan masa di rumah dengan memasak, membaca buku buku dan berblogging sahaja. Walaupun secara zahirnya saya keseorangan, namun saya ditemani oleh ramai sahabat alam maya yang telah sudi meninggalkan mesej dan pesanan di blog dan juga email. Saya membuat packing hanya selepas balik dari Giant malam sebelum berangkat. Hajat hati ke Giant untuk ke money changer tapi sayang ianya telah ditutup kerana saya ke sana selepas Isyak. Bayangkan duit pun tak sempat ditukar. Saya hanya menukar duit di airport.  

Namun begitu, oleh kerana telah menjejakkan kaki di bumi Hong Kong, saya tak mahu mensia siakan masa percutian begitu sahaja tanpa betul betul mengisinya dengan aktiviti yang boleh menjadi kenangan seumur hidup. Lagi pulak, inilah kali pertama saya ke Hong Kong. Bermusafir di negara orang memberi banyak hikmah dan kesedaran pada diri sendiri untuk sentiasa bersyukur atas apa sahaja kurniaan Allah. Jom sekarang kita masuk bab percutian di Hong Kong saya bersama suami, Nelly, Khirani dan Hafiz....





Kami bertolak dari rumah pukul 5.15 pagi dan menunaikan solat subuh di KLIA. Kami menaiki penerbangan MH72 pada pukul 9.15 pagi. Perjalanan mengambil masa 3 jam 45 minit. Terpesona melihat pemandangan bukit, laut dengan bangunan tinggi mencakar langit sepanjang perjalanan ke hotel. Sesampai di hotel penginapan kami iaitu L'hotel Nina et Convention Centre, kami terus ke restoran untuk welcome drinks dan minum petang. Selepas itu masuk ke bilik untuk berehat seketika dan berkumpul semula pukul 5.30 petang untuk makan malam di Islamic Food Restaurant. Hidangan makan malam boleh tahan juga kesedapannya dengan pelbagai sayuran, ikan sweet sour, sup, kari ayam, pencuci mulut seperti buah dan jeli yang sangat sedap. Nasi putihnya juga sangat sedap, lembut bak beras wangi Siam.





Selepas makan malam, kami dibawa ke Avenue Of Stars di mana terdapat bekas tapak tangan selebriti terkenal diabadikan di sini. Kami hanya berjalan separuh dari Avenue of Stars sahaja sebelum berpatah balik dan duduk minum di Starbucks sementara menanti waktu untuk pancaran laser tepat pukul 8.00 malam. Hmm itu jer restoran yang ada untuk kami duduk duduk sambil menunggu waktu berkumpul semula.  






Selepas menikmati pancaran laser dari bangunan bangunan sekitar, kami dibawa menaiki big bus Hong Kong seperti yang terdapat di London untuk menikmati keindahan bandaraya Hong Kong di waktu malam. Saya terlupa untuk membawa jaket, rasa beku seluruh badan dengan tiupan angin malam yang sangat sejuk serta berangin. Selepas itu, kami terus balik ke bilik untuk berehat.





Catatan perjalanan hari kedua bermula dengan sarapan pagi diikuti dengan lawatan ke Victoria Peak, di mana terdapatnya muzium patung lilin. Tapi kami tak masuk pun ke dalamnya, hanya bergambar dengan patung Jet Li yang ada di pintu masuk. Kami berjalan jalan menikmati pemandangan bandaraya Hong Kong yang cantik dari situ. Saya agak terkilan tidak membeli barangan cenderahati di sini kerana bercadang untuk mencarinya di night markets. 







Kemudian kami ke Islamic Centre untuk makan tengahari. Makanan dan lauk pauk yang dihidangkan di situ sedap sedap dan saya juga membeli kuih yang seperti kuih bom yang berbijan yang masih panas tetapi tekstur kuihnya sangat lembut kenyal. Kami sempat bergambar dengan gambar Masjidil Haram yang dibuat sepenuhnya dari marmar kecil yang sangat cantik di lobi Islamic Centre.






Selepas itu kami dibawa ke Repulse Bay menikmati pemandangan laut yang sangat cantik. Pantainya yang berpasir bersih. Dari situ, dapat dilihat mahligai mewah Jackie Chan yang terletak di lereng bukit mengadap lautan serta pulau yang indah. 





Kami kemudiannya berangkat balik ke hotel untuk bersiap dibawa ke majlis makan malam. Sebelum masuk bilik, kami ke shopping mall berdekatan hotel untuk mencari baju putih bagi disesuaikan dengan tema Back To School. Sebelah malam kami menghadiri majlis makan malam dengan tema Back To School di Regal Airport Hotel dalam kira kira 20 minit perjalanan dari hotel. Memang sangat seronok melihat ramai yang berpakaian menepati tema majlis. 






Sepanjang majlis makan malam, kami dihiburkan dengan pelbagai program yang menyeronokkan. Pendek kata tak kering gusi dibuatnya terutama gelagat pengacara majlis dengan jenaka yang bersahaja. Makanan yang dihidangkan juga sangat sedap dan menyelerakan. 








Menyusuri Hong Kong

$
0
0



Kali ini saya mahu menyambung catatan bahagian kedua percutian di Hong Kong. Klik di SINI untuk entri part I. Hari ketiga adalah hari free and easy di mana kami memilih untuk berjalan jalan di bandar Hong Kong. Ramai juga yang memilih untuk ke Disneyland terutama mereka yang membawa anak anak kecil. Pagi pagi lagi kami bersama Hafiz dan Khirani menuju ke Citygate Outlet dengan menaiki MTR dari stesyen Tsuen Wan West. Pengalaman menaiki MTR secara beramai ramai memang menyeronokkan. Siap berposing posing jap didalamnya. Gambar yang diambil terus dihantar kepada kawan kawan melalui whatsApp.





Di Citygate Outlets memang banyak outlet yang menjual pelbagai barangan berjenama. Secara jujur saya tidak tertarik untuk membeli apa apa selepas melihat harganya. Pada saya, dengan harga seperti itu saya mempunyai lebih banyak pilihan di Malaysia. Malahan dari perbandingan yang dibuat, harga handbag berjenama terkenal mengikut perkiraan saya lebih murah di Malaysia. Kami singgah di butik Guest dan hubby membeli beberapa helai kemeja. Masalah yang saya hadapi adalah mencari saiz baju kerana kebanyakannya bersaiz kecil yang sesuai untuk Nana dan Juita sahaja. Hmmm bukan untuk saya. 




Setelah hampir setengah hari di situ, kami menuju pula ke Central Hong Kong, bandar metropolitan yang sangat mewah dan dipenuhi dengan butik butik berjenama dan shopping mall mewah. Di sini, kami mencari Hard Rock Cafe untuk membeli baju baju Hard Rock yang menjadi satu kemestian bila bercuti ke luar negara.





Sebelum balik ke hotel, kami singgah makan tengahari di TavaQuick yang menjual kebab halal dari Turki. Walaupun harga nya mahal tapi portion yang besar sangat sangat mengenyangkan. 






Selepas makan, kami balik ke hotel kerana memikirkan belum menunaikan solat. Kalau tidak, boleh juga singgah di Ladies Market untuk mencari souvenir. Saya tak membawa telekung kerana dalam perkiraan, saya sempat balik ke hotel selepas ke Ladies Market. Rupanya kami telah menghabiskan masa yang lama di Citygate outlets.

Sebelah malam kami hanya berjalan jalan di shopping mall berdekatan hotel untuk mencari baju kiriman anak anak. Mata mencari cari juga kalau ada kedai yang menjual souviner. Saya memang akan membeli fridge magnet untuk koleksi sebagai kenangan di negara yang telah saya kunjungi. Setelah puas berjalan, kaki pun sudah penat. Jadi kami singgah  untuk foot massage kerana betis dah terasa kejang untuk melangkah. 

Hari terakhir di Hong Kong, selepas sarapan kami sekali lagi ke shopping mall berdekatan tapi sayang kerana kedai di buka pukul 11 pagi sedangkan kami harus bertolak ke airport pukul 11.15. 





Jadi kami bercadang untuk bershopping di airport bagi menghabiskan duit dollar Hong Kong. Lagi sekali, saya dapati harga barangan di airport juga lebih mahal dari tempat kita. Sementara menunggukan waktu berangkat, kami singgah makan ayam goreng di satu satunya restoran yang dipaparkan sebagai halal di situ. 





Walaupun singkat, percutian santai ini sangat banyak meninggalkan kenangan manis yang tidak mungkin dapat dilupakan. Yang pasti, saya akan merindui keindahan bilik yang mempunyai pemandangan sangat indah. Bayangkan setiap kali terjaga dari tidur, saya pasti menjenguk ke tingkap melihat pemandangan laut yang disimbahi cahaya lampu neon dengan kapal kapal mewah yang berlabuh. Bilik 5301 pasti tidak akan dilupakan kerana ianya sangat istimewa dan mewah dengan pemandangan yang sangat cantik.










Sedap Nyer Kuih Buah Peria

$
0
0





Sempena cuti Hari Deepavali hari ini, saya berada di dapur dari pagi sehingga tengahari dengan membuat beberapa jenis kuih dan memasak beberapa jenis lauk untuk hidangan tengahari kerana semua anak anak ada di rumah hari ini. Kuih pertama saya hari ini ialah kuih Buah Peria. Kuih lain, akan saya kongsikan di entri akan datang. Saya mula menggemari Kuih Buah Peria selepas sahabat saya Haji Asmaddin menempah kuih ini untuk dibawa ke majlis makan makan di pejabat beberapa tahun lepas. Kini Haji Asmaddin telahpun bersara dari perkhidmatan. Kalau dulu, beliau sentiasa membawa bermacam jenis kuih muih Kelantan ke pejabat termasuk nasi dagang Kelantan yang sangat sedap dan lengkap dengan geng. Geng nasi dagang Kelantan yang lengkap adalah gulai ikan aya, gulai ayam dan telur serta sambal kelapa. 





Kalau dulu dulu, saya jarang membeli kuih ini kerana banyak lagi kuih Kelantan lain yang menjadi pilihan saya setiap kali balik kampung. Maklumlah balik hanya 2-3 hari sedangkan kuih yang hendak dibeli dan dimakan banyak jenis, jadi pilih kuih yang benar benar menjadi kesukaan jer. Tak muat perut nak di isi. Yang makan pagi, kenyang sampai ke petang, yang makan petang kenyang sampai ke malam. Jadual dan waktu makan memang lari, kalau balik Kelantan. Jad seperti tu, kerana sarapan pagi yang berat seperti nasi kerabu, nasi dagang dsb.





Resepi kuih peria hari ini saya ambil dari blog mamakitchen. Ada juga versi kuih peria yang diletakkan ubi keledek. Itu rasanya versi moden yang telah dibuat penambahbaikan. Resepi ori hanya menggunakan tepung pulut sahaja. Untuk inti, saya gunakan inti yang dibuat semasa menyediakan kuih bom di SINI. Saya buat banyak banyak dan simpan dalam freezer. Jadi penyediaan kuih peria hari ini telah menjadi lebih mudah.

Sebelum layan resepi, saya ingin memberi pendapat saya berkenaan kuih ini. Hmm sangat sedap dengan kulitnya yang lemak kenyal kenyal. Suker suker suker sangat. Sedap dan tidak pahit seperti buah peria. Hmm pahit pahit pun banyak khasiat terutama ianya membekalkan insulin semulajadi yang dapat membantu menurunkan paras gula di dalam darah. Sangat berguna untuk mereka yang mengalami masalah diabetes. Untuk adunan yang saya buat hari ini, dapat 10 biji buah peria sahaja. Alhamdulillah tercapai hajat untuk membuat kuih peria dan terkabul hajat untuk menikmati kuih peria. Syukur ya Allah atas kurniaan dan nikmat yang telah diberikan...

Jom layan resepinya dulu....



Kuih Buah Peria 

Bahan-bahan:
250 gm tepung pulut - saya guna 150 gram
200 ml santan pekat - guna 150 ml
25 gm minyak masak - sapu pada kuih dan daun pisang
Sedikit air
Pewarna merah dan hijau

Cara cara:
Uli tepung pulut dan santan hingga lembut. Bahagikan doh kepada dua bahagian. Kacau pewarna dengan sedikit air dan satu bahagian diwarnakan merah dan satu lagi diwarnakan hijau.

Ambil 15 gm doh dan bentukkan doh lonjong sedikit seperti buah peria. Masukkan inti dan tutup kemas. Sapu sedikit minyak pada doh. 






Letak di atas plastik dan digulung seperti menggulung gula gula. Kemaskan kiri dan kanan lalu ditarik kuat kuat di hujung kedua dua plastik supaya terbentuk garis garis pada doh menyerupai buah peria. Atau boleh juga ditekan tekan dengan lidi untuk mendapat corak buah peria. Buka gulungan dan letak atas daun pisang yang telah dilumur sedikit minyak. Susun dalam periuk pengukus.







Panaskan periuk pengukus dengan air yang mencukupi. Kukus buah peria selama 8 minit atau sehingga masak bergantung pada saiz kuih anda. Jika kuih lebih besar, lebihkan sedikit masa mengukus tapi jangan terlalu lama nanti kuih terlalu kembang dan hilang corak buah peria dan jadi tak cantik.



Inti Kacang Hijau:
250 gm kacang hijau - rendam
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula pasir
Sedikit garam

Cara membuat Inti:
Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering dan kacang hancur. 
Masukkan gula melaka, garam dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula. Angkat dan sejukkan. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat sebesar ping pong dan bentukkan panjang lonjong seperti buah peria.

Nota;
Boleh masukkan kelapa parut dan tepung gandum, jika suka. 

Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih 


Aduhaaai Sedap Nyer Gulai Lemak Perut

$
0
0




Resepi Gulai Lemak Perut Lembu ini saya pelajari dari Sahor yang berniaga di Kolej Kediaman Ketiga semasa saya menuntut di Universiti Malaya. Boleh tengok entri yang saya masak sebelum ini di SINI. Lauk ini lah yang menjadi pilihan saya setiap kali membeli nasi lemak yang dijual sehingga pagi di musim peperiksaan. Entah kenapa saya merasakan gulai lemak saya hari ini teramat lah sedapnya. Serious sedap. Tak tipu nyer. Alahaai terpaksa menambah nasi dek kesedapan gulai ini. Tak cukup tu, meratah ratah lagi. Lagi pulak, perut lembu yang diproses sendiri lebih sedap dari perut yang dibeli di pasar pasar. Perut lembu ini adalah baki perut yang dikirim oleh kakak saya semasa qorban baru baru ini. Sebelum ini, saya sediakan Air Asam untuk dicicah dengan perut di SINI.  






Rasanya macam dah lama saya tak menyelitkan perkongsian tazkirah yang saya hadiri. Kali ini nak kongsikan berkenaan bala yang disampaikan oleh Ustaz Shihabudin. Antaranya ialah orang yang mati muda sebelum sempat beramal. Mati adalah suatu yang wajib berlaku, tapi tidak dengan tua. Ada orang tak sempat tua, dah meninggal. Jadi jangan tunggu tua, baru mahu beramal. Kedua ialah orang tua yang fakir juga bala. Setelah tua, masih mempunyai masalah kewangan dsb. Akibatnya walaupun dah tua, masih perlu bekerja mencari nafkah. Masa yang sepatutnya dihabiskan dengan beramal telah terpaksa diguna untuk bekerja. Ketiga, ialah mendapat hina sesudah mendapat kemuliaan. Juga adalah bala. Contoh mendapat cahaya mata adalah satu kemuliaan dan penghormatan serta kebanggaan tapi jika anak tidak dididik dengan akhlak dan agama yang betul, boleh membawa bala. Cth yang diberi adalah ibubapa yang terpaksa berhadapan dengan anak anak yang terlibat dalam kes jenayah, dadah dsb. Ibubapa mendapat hina dengan perbuatan anak anak yang tidak dididik dengan baik. Akhir sekali, hidup dalam fasik adalah bala. Sebagai contoh, ibubapa yang tidak menegur perbuatan anak anak atau suami tidak menegur isteri. Dikira perbuatan fasik ini sebabai bala.
 Ok cukup dulu setakat ini. Semoga ianya dapat memberi manafaat pada kita semua.

Jom layan resepinya yang saya letakkan sekali lagi di bawah ini...



Gulai Lemak Perut Lembu
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Perut lembu - potong
1 asam keping
2 helai daun limau purut
Garam
1 1/2 santan kotak - campur air secukupnya

Bahan kisar:
10 - 15 biji cili padi - ikut pedas disukai
2 tangkai cili merah - atau cili kisar supaya kuah berwarna merah
2 batang serai - ketuk
1/2 inci halia
2-3 hirisan lengkuas
1/2 inci kunyit hidup
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

Cara cara:
Kisar kesemua bahan kisar bersama santan. Jika mahu kuah berwarna sedikit kemerahan, tambahkan sedikit cili kisar atau cili merah.

Masukkan sedikit sahaja minyak dan panaskan sehingga betul betul panas dengan api perlahan. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga mendidih.





Masukkan perut, garam, asam keping dan daun limau purut ke dalam bahan tumisan yang sedang mendidih.





Masukkan baki santan dan masak sehingga pekat sesuai dengan kepekatan yang kita suka. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat.






Kuih Badak Berendam Di Hari Maal Hijrah

$
0
0



Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada semua kawan kawan dan pembaca blog Azie  Kitchen samada jauh atau dekat. Semoga tahun ini kita berazam bersungguh sungguh untuk meningkatkan amalan soleh dan meninggalkan semua dunia lagha yang sia sia. Apa apa sahaja urusan dunia yang tidak memberi manafaat pada akhirat, adalah sia sia semuanya. Jadi jangan sia siakan umur yang ada kerana hidup di dunia adalah sementara, sedangkan hidup di akhirat adalah kekal buat selama lamanya. Saya memohon kemaafan pada semua andai ada  salah silap samada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Pada masa yang sama, saya maafkan semua samada yang telah meninggal atau yang masih hidup. 





Semua ujian yang menimpa saya di kala ini mempunyai hikmah yang sangat banyak. Saya mula dapat merasakanya. Ianya adalah kaffarah kepada dosa dosa dan Allah ingin mengangkat darjat saya, jika saya redha dan bersabar. Insya Allah saya akan bersabar dan akan sentiasa tersenyum walau apa pun yang menimpa. Lagi pun, bak kata Ustazah Aishah dalam kuliah Jumaat, tiada siapa dapat memberi jaminan yang dia akan hidup hatta satu saat dari sekarang. Mati adalah sesuatu yang pasti pada semua makhluk yang hidup. Cuma saat dan ketika yang tidak dapat diketahui kerana ianya adalah dalam pengetahuan Allah sahaja. Orang yang bijak pandai, adalah orang yang banyak mengingati kematian dengan melakukan pelbagai persediaan dan bukan orang yang takut dengan kematian. Sekarang kita  beralih bab  Badak Berendam di pagi Maal Hijrah pulak..

Komen hubby semasa kali pertama saya menyediakan Kuih Badak Berendam di SINI, adalah sedap tapi Badaknya besar sangat. Hmm sebelum tu, nak menyelit sikit yang nama sekolah saya dulu adalah Sekolah Kebangsaan Badak dan Sekolah Menengah Rendah Badak. Jadi nama Badak ni sangat istimewa dalam hidup saya. Tak dapat membayangkan besar mana kuih Badak ni, yang tahu saiz Badak kat zoo jer. Jadi hari ni, dengan lemah lembut dan berhemah, saya menggentel inti kecil kecil besar sedikit dari saiz biji guli. Manakala, dohnya pula saya timbang 15 gram sebab terlebih rajin. Azam Maal Hijrah, mahu menjadi seorang yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Haaa maka, comey comey jer kejadian kuih Badak saya hari ini. Ianya menghasilkan 29 Badak yang berendam dalam kolam yang putih bersih bak salju. Hahaha merepek lah pulak, putih bak susu lah. Kebelakangan ini, Juita sering membancuh susu untuk saya kerana melihatkan saya memerlukan susu.

Selesai memasak, hubby menelefon memberitahu ingin melawat sahabat kami semasa mengerjakan Fardhu Haji dulu Haji Ruslan di Hospital Prince Court kerana kemalangan di tapak pembinaan banglo mereka di Sungai Buloh. 2 minggu berada di ward. Jadi saya bergegas bersiap dan cuma dapat makan kuih ini selepas balik dari hospital. Puashati sebab hubby kata menjadi dan sedap. Hati berbunga riang...  Hmm dalam hati sentiasa ada taman.





Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini...




Kuih Badak Berendam

Bahan Doh:
2 1/3 cawan tepung beras pulut
1 cawan air daun pandan
1/2 sudu kecil garam 
Sedikit pewarna hijau
1 sudu kecil air kapur cair - opsyenal

Cara-cara:
Campurkan garam, air pandan, pewarna dan tuangkan sedikit demi sedikit ke dalam tepung pulut yang telah dicampurkan dengan air kapur cair sehingga menjadi doh yang boleh dibentuk dan tidak melekat di tangan (tidak perlu habiskan air pandan tadi bila adunan telah cukup lembut).

Ambil sedikit doh dalam 15 gram dibulat dan kemudian dileperkan. Letakkan inti kelapa ditengahnya dan tutup kemas serta dibulatkan kembali. Aturkan di atas plastik supaya bebola doh tidak melekat. 






Sementara itu panaskan air dan daun pandan sehingga mendidih di dalam periuk. Kemudian keluarkan daun pandan tadi. Masukkan bebola doh pulut dan masak sehingga bebola timbul di permukaan, angkat dan toskan.  





Masukkan ke dalam periuk berisi kuah tadi. Sedia untuk dihidangkan. 



Bahan Kuah:  
2 1/2 cawan santan
2 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil garam

Cara-cara :
Satukan kesemua bahan kuah di dalam periuk dan kacau di atas api perlahan sehingga pekat. Ketepikan.




Bahan Inti:  
1 keping gula Melaka 
4 sudu besar gula pasir
1/2 cawan air
1/2 biji kelapa parut muda putih
1 sudu besar tepung pulut putih

Cara Penyediaan:
Masak gula Melaka, gula putih dan air di dalam periuk dan kacau sehingga gula hancur. Kemudian tapis.

Masukkan semula air gula tadi ke dalam periuk bersama kelapa parut. Masak menggunakan api perlahan sambil dikacau sehingga inti hampir kering. Taburkan dengan tepung pulut dan kacau sehingga rata.

Sejukkan inti dan gentel bulat-bulat sebesar biji guli dengan menggenggam supaya padat untuk dimasukkan ke dalam adunan doh.


Tart Permata Nur Qaseh Yang Sedap

$
0
0



Hari ini hubby menghantar saya mengaji kerana sahabat saya Roslina sedang bercuti di luar negara bersama hubby sempena meraikan hari lahir beliau. Selamat Hari Jadi Ina. Saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah yang paling berharga dan tiada ternilai iaitu dipertemukan dengan Roslina dan Kak Kamariah di Masjidil Haram semasa mengerjakan umrah Ramadhan 2 tahun yang lalu. Doa saya dimakbulkan. Yang penting, saya mampu menjadi anak yang memberi manafaat kepada kedua ibubapa yang telah meninggal. Kak Kamariah menasihati saya membuat muhasabah diri dan bersyukur dengan apa yang telah saya miliki dalam hidup ini sedang ramai lagi yang tidak bernasib baik. Dia menasihatkan saya supaya melihat ke bawah dan bersyukur supaya tiada resah gelisah dan gundah gulana di hati dan menganggap apa sahaja yang berlaku adalah dari Allah yang hanya untuk menguji diri saya. 





Bukan saya tak tahu berkenaan semua ini tetapi saya perlu sentiasa diberi nasihat dan peringatan. Saya mahu sentiasa diingatkan. Semasa kuliah Tafsir Surah Al Baqarah ayat 25, Tuan Guru Ustaz Abdullah Lutfi Al Fatani memberi peringatan berkenaan janji Allah pada orang orang yang beriman. Urusan akhirat  adalah memenatkan dan tidak terus nampak hasilnya berbanding urusan dunia. Ini yang menyebabkan ramai manusia memilih dunia. Menjalankan perniagaan, terus dapat dilihat keuntungannya, sedangkan melakukan amalan soleh, hasilnya tidak dapat dilihat sekarang ini. Amalan soleh adalah apa apa pekerjaan dan perbuatan yang memberi pahala seperti solat, puasa, sedekah, menolong makhluk hatta membuang duri di jalanan. Balasan bagi orang yang beriman dan bertaqwa adalah syurga yang mengalir di bawahnya sungai sungai.




Balik dari mengaji, saya terus masuk ke dapur untuk membuat tart nenas. Sekarang ni mood nak mengetart jer. Sebelum ini saya buat Tart Nenas versi landak atau gunting di SINI. Hari ini saya mahu memperkenalkan resepi tart nenas saya yang dikenali sebagai Tart Permata. Kali ini kita tukar ke nama yang lebih glamor iaitu Tart Permata Nur Qaseh. Inilah satu satunya resepi tart yang saya guna sejak 25 tahun yang lalu dalam menyediakan kuih tart setiap kali menjelang Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha. Ketika itu, saya hanya menyediakan kuih tart nenas di dalam acuan bunga. Resepi ini kalau tak silap, saya belajar dari sahabat saya Haji Hasbullah. Ketika itu, saya baru menjejak kaki ke alam pekerjaan dan baru mendirikan rumah tangga. Saya mula menyediakan biskut raya dengan hanya membakar menggunakan oven bulat tu sahaja. Bayangkan berapa lama masa diambil untuk membakar kuih raya yang dibuat 2-3 adunan untuk setiap jenis. Akhirnya pembantu rumah saya yang akan menunggu sehingga semuanya habis dibakar. Ketika itu, anak anak masih kecil jadi mereka akan bersama menemani saya di dapur. Kami akan membentang tikar dan bersila di atas tikar. Loyang membakar pula hanya menggunakan tudung tudung periuk untuk muat oven bulat. Lama selepas itu, baru saya membeli stand oven jenama Europa yang disyorkan oleh Kak Soraini yang sempat diguna beberapa tahun sebelum berpindah. Hubby tidak membawa oven itu bersama semasa pindah. Akibatnya ianya telah hilang yang mungkin diambil oleh pekerja yang membuat kerja kerja renovation di sana. Walaupun terkilan, saya redha kerana mungkin telah tiada rezeki saya. 





Saya suka resepi ini yang lebih tradisional dengan penggunaan tepung dan mentega sahaja. Sekarang ini banyak resepi yang lebih moden telah dibuat penambahbaikan dengan dimasukkan tepung jagung, tepung kastard dsb. Saya lebih suka pastri tart yang sedikit keras ala ala biskut berbanding tekstur yang gebu dan hancur berderai. Walaupun trend sekarang adalah kuih tart yang cair di dalam mulut. Selera masing masing berbeza kan. 

Untuk resepi ini menghasilkan 35 biji tart gulung. Saya bulat bulatkan inti dalam 10 gram untuk setiap biji. Kalau dulu, saya suka membuat tart menggunakan acuan bunga, tapi kini saya lebih selesa dengan tart gulung atau tart landak sahaja kerana ianya lebih mudah disimpan. Kalau tart bunga, perlu dilapik setiap layer dengan baking paper bagi mengelakkan kulit tart melekat di bahagian atas inti nenas. Maklum inti nya membuncit di atas pastri. 

Jom layan resepi...



Tart Permata Nur Qaseh

Bahan bahan:
8 oz tepung naik sendiri
5 oz mentega
2 sudu besar air ais
Secubit garam, jika guna unsalted butter
Kuning telur + sedikit air + pewarna kuning telur - sapu di atas tart

Cara cara:
Satukan mentega yang dipotong dadu dan tepung. Ramas ramas sehingga rata sebelum dimasukkan air ais. Gaul sebati sehingga ianya menjadi adunan doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.

Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan di dalam peti ais selama 30 minit hingga 1 jam. Sedia untuk dicanai dan terap menggunakan acuan tart bunga atau apa apa yang disukai. Untuk hari ini, saya buat tart gulung. 




Sapu kuning telur di bahagian atas. Susun dalam loyang yang dilenser sedikit mentega. Bakar dalam oven pada suhu 170C selama 30 minit atau sehingga bahagian bawahnya berwarna perang sedikit. 


Inti Tart Nenas
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 Ib isi nenas parut 
1/2 Ib gula pasir
Bunga cengkih dan kayu manis
Daun pandan
Sedikit pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Nenas diparut dan ditoskan airnya. Boleh juga jika nenas dihancur menggunakan food processer atau blender. Kemudian timbangkan isi nenas.

Masukkan semula, nenas, jus nenas, gula, daun pandan serta bunga cengkih dan kayu manis ke dalam kuali dan masak di atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga ianya tak melekat di daun pandan dan berkilat. Jangan terlalu kering.

Sejukkan dan siap untuk digunakan.



Cekodok Ikan Bilis Daun Bawang Lembut dan Sedap

$
0
0





Meletakkan sesuatu tidak pada yang hak adalah satu kezaliman. Jadi kepada pemimpin dan ketua ketua, kena ingat jawatan dan pangkat datang bersama dengan tanggung jawab. Ia bermakna, kena tanggung dan kena jawab di akhirat kelak atas segala kezaliman yang dibuat. Cukup setakat itu perkongsian dari kuliah Ustaz Abu Salam. Hari ini saya belajar membuat cekodok ikan bilis daun bawang mengikut cara Mami. Mami adalah part time cleaner yang datang membersih rumah saya. Mami sejak dulu lagi datang mencuci dan membersih rumah adik ipar saya, Zatul di Rawang. Zatul lah yang memperkenalkan saya dengan Mami. Telah lama Mami tak datang, rasanya dah hampir 2 tahun juga. Agak susah untuk mendapatkan beliau kecuali hari hari cuti kerana beliau bekerja di klinik yang dibuka 24 jam. 

Semasa dia datang bersama kawannya, Mami membawa satu plastik besar daun bawang. Dalam hati saya berkata apa nak dibuat dengan daun bawang sebanyak ini. Selama ini, saya hanya menggunakan daun bawang untuk ditabur atas sup dan lain lain lauk pauk sahaja. Sebelum balik, dia mengajar saya supaya menggoreng udang dengan menggunakan daun bawang yang dibawa. Di samping itu, juga untuk dibuat cekodok. Mendengarkan resepi cekodok dia yang agak berbeza dengan penggunaan bawang putih, saya terus mengajak Mami untuk menyediakan cekodok bersama sama. Haaa dapatlah tengok macam mana dia buat. Melihat sendiri lebih jelas berbanding dengan diajar resepi sahaja.





Hmm memang sedap cekodok ini. Sangat terbaik. Ianya dibuat leper leper bukan bulat bulat seperti yang biasa saya buat. Katanya secara bergurau kalau bulat itu, dah jadi begedil. Hehehe. Kesian juga mendengarkan Mami memberitahu yang dia selalu menyediakan cekodok kerana tepung gandum murah untuk dibuat makanan seharian. Kita rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan nikmat yang diberi. Kurangkan lah komplen tentang apa sahaja. Kerana apa sahaja yang berlaku adalah dengan izin Allah juga yang didatangkan sebagai ujian. Tidaklah kita dipanggil orang beriman, sehingga kita diuji. Lagi tinggi ketaqwaan kita, lagi tinggi juga ujian yang didatangkan.

Jom kita tengok resepinya....



Cekodok Ikan Bilis Daun Bawang

Bahan bahan:
1/4 kg tepung gandum
3 ulas bawang putih
Segenggam ikan bilis
2 cekak daun bawang - hiris kecil
Sedikit minyak panas/majerin cair panas
1 gelas air panas/secukupnya
1/2 sudu besar garam
1 sudu besar gula

Cara cara;
Panaskan mentega dan goreng ikan bilis seketika. Angkat dan tumbuk bersama bawang putih sehingga lumat. Satukan dengan tepung gandum dan daun bawang. Masukkan garam dan gula.




Akhir sekali, tuang sedikit minyak panas dan air panas sedikit demi sedikit hingga sesuai kecairannya. Gaul sebati. Sedia untuk digoreng.

Tuang adunan ke dalam minyak panas dengan menggunakan sudu dan bentukkan supaya menjadi leper dan goreng sehingga bewarna keemasan.





Boleh dicicah dengan sos cili atau dimakan begitu sahaja. Saya suka makan begitu sahaja. 

Nota:
Boleh ganti ikan bilis dengan udang kecil.



Sup Daun Bawang Yang Sangat Sedap

$
0
0



Dalam usaha nak menghabiskan daun bawang yang dibawa oleh Mami, hari ini saya masak dua lauk yang berasaskan daun bawang. Selain sup daun bawang, saya juga memasak udang goreng daun bawang. Sehari sebelumnya membuat cekodok ikan bilis daun bawang di SINI. Maklumlah daun bawang bukan tahan untuk disimpan lama lama. Selama ini bila sebut daun bawang, apa yang terlintas di kepala saya ialah untuk ditabur di dalam sup atau dihias atas masakan dan lauk pauk. Jika beli, saya hanya mengambil sepokok sahaja. Tak tahu pulak selama ini yang daun sup sedap juga digoreng dan dimakan begitu sahaja. 





Bila buntu apa nak dimasak dengan daun bawang, saya post di fb bertanyakan kawan kawan. Dari cadangan kawan kawan fb lah, maka terhasilnya sup daun bawang yang sangat sedap. Saya tak letak ayam atau udang, saya biarkan ianya kosong sahaja.

Jom layan resepi di bawah ini...



Sup Daun Bawang

Bahan bahan;
1 mangkuk besar daun bawang
1/2 biji bawang besar - potong dadu
3 ulas bawang putih - ketuk dan hiris
Karot - potong dadu
Garam
Serbuk perasa

Cara cara:
Tumis bawang bawang sehingga wangi. Masukkan air secukupnya. Masukkan karot dan masak sehingga mendidih. 

Masukkan garam dan serbuk perasa. Akhir sekali, baru masukkan daun bawang dan kacau seketika.  




Tutup api dan sedia dihidangkan. Sedap dihirup begitu sahaja.






Udang Goreng Daun Bawang

$
0
0



Selain Cekodok Ikan Bilis dan Daun Bawang, Mami part time cleaner yang datang rumah kami juga mengajar resepi Udang Goreng Daun Bawang. Tips untuk menjadikan ianya sedap ialah semua bahan mesti cukup kering, tak boleh ada air. Udang dan daun bawang mesti benar benar kering. Tos kering atau dilap dengan tisu dapur. Sedap sangat udang digoreng dengan daun bawang ni. Terasa manisnya daun bawang tersebut. Saya meratah begitu sahaja. Selama ini memang tak pernah membuat sayuran menggunakan daun bawang. Daun bawang hanya dihiris untuk ditabur di atas sup atau ditabur atas lauk lain sebagai hiasan semata. Kalau nak tahu, bagaimana sedapnya kenalah cuba sendiri. Lagi pulak, daun bawang ni boleh tahan juga harganya. Hmm akhirnya saya belajar memasak sayuran dan lauk pauk dari daun bawang. Tapi sayang kerana daun bawang ini, tidak tahan lama. Tak boleh disimpan lama lama. 

Entah kenapa kebelakangan ini, detik waktu sangat bergerak pantas. Kebiasaannya balik dari pejabat saya boleh singgah di kedai runcit membeli bahan bahan dapur, sampai di rumah terus ke dapur untuk memasak makan malam. Tetapi dengan waktu yang sama, kini saya tiba di rumah paling cepat 5.40 atau 6.00 petang. Keluar membawa anak anak makan. Saya hanya sempat duduk di sofa seketika, sebelum azan maghrib mula kedengaran. Setiap hari, saya tak sempat naik ke bilik. Terus mengambil wudhu dan bergegas ke surau. Balik dari surau, saya sekali lagi melabuhkan punggung sambil melayan blog di sofa sebelum naik ke bilik. Jam di dinding telah menunjukkan hampir pukul 9.30 malam. Selepas mandi, saya mengambil buku untuk dibaca sedang mata telah kuyu, badan mohon berehat. Rutin berulang setiap hari. Hari hari berlalu, minggu demi minggu beredar. Usia meningkat tanpa disedari, kubur memanggil setiap hari. Sejujurnya saya amat menyesali kerana mensia siakan masa di usia muda. Saya memohon pada Allah semoga usia saya dipanjangkan dalam ketaatan untuk membolehkan saya menebus kembali masa silam yang tidak dimanafaatkan sepenuhnya. 






Jom layan resepi yang simple tapi sedap ini. Terasa manisnya udang dan daun bawang yang sedap diratah begitu sahaja. 



Udang Goreng Daun Bawang

Bahan bahan:
Udang secukupnya
Daun bawang - potong 1 inci
3-5 ulas bawang putih - ketuk
2 tangkai cili merah - hiris
Garam
Gula

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan cili merah. Selepas itu, masukkan udang yang telah ditos kering. Kacau rata.





Masukkan daun bawang, garam dan gula. Tutup api supaya daun bawang tidak terlebih masak.





Siap untuk dihidangkan. 

Nota:
Semua bahan mestilah benar benar kering...


Kuih Kasturi

$
0
0



Kenapa risau dan jiwa rasa kacau memikirkan sesuatu hal dunia yang belum pasti berlaku. Sedangkan mati adalah suatu yang pasti. Syurga neraka juga suatu yang pasti. Sepatutnya inilah yang difikirkan dirisau dan ditakuti sehingga hilang selera untuk makan. Tapi kenapa ianya tidak berlaku sedemikian. Saya mengemukakan persoalan ini pada diri saya sendiri. 

Sahabat saya menulis mesej yang sangat padat sebagai menjawab persoalan di atas dimulakan dengan, "Then start changing your thought". Mulai hari ni ingat bahawa syurga itu benar, neraka, mati, kiamat, hidup semula, hisab semua benar, janji Allah akan seksa azab adalah benar. Adakah aku bersedia jika Allah SWT ambik nyawa aku sekarang?

Hidup dunia kita plan apa hendak dibuat hari ini, esok, tahun depan hatta 5 tahun akan datang. Kerja dan jadual di pejabat juga kita rancang dan ingat satu satu Tapi kenapa tidak kita ingat dan plan untuk akhirat. Sekarang dah umur 50, Rasulullah wafat pada umur 63 tahun, kalau lebih kurang 13 tahun lagi hidup, apa hutang aku dengan Allah ie hal hal hablum minallah seperti solat, zakat tertinggal yang semuanya perlu dianggap hutang dengan Allah SWT yang kita kena lunaskan. Ini baru bab hutang dan belum lagi amalan penghambaan kita kepada Allah SWT. Hablum minannas hutang kita dengan sesama manusia, hutang duit, hutang orang marah kat kita, hutang mengata dan mengumpat orang dsb. Semua kena clear. Kalau diri sibuk nak prepare untuk sifar dosa, adakah lagi masa untuk memikirkan hal dunia? Ada zie buat list nama orang yang zie hendak jumpa untuk meminta maaf? Itulah mesej yang ditulis oleh seorang sahabat yang sangat ikhlas dalam persahabatan yang ingin melihat saya membuat detox pada diri saya dengan tidak bertangguh lagi.

Sekarang kita beralih bab kuih pula. Kuih kasturi adalah salah satu dari kuih yang jadi pilihan bila membeli kuih muih terutama semasa bersarapan di gerai di tepi jalan ke Padang Merbok. Asalnya bukan kerana saya suka kuih ini tetapi kerana tak ada banyak pilihan makanan untuk bersarapan. Jadi bila selalu makan, lama lama jadi suka. Teringat beberapa minggu lepas jiran dan sahabat saya, Datin Dr Sharifah Norul Akmar membawa kuih kasturi yang dibeli dari Restoran Santai yang sangat sedap. Sejak itu, saya dah mula mencari cari resepi untuk cuba menyediakannya sendiri. Lebih lebih lagi kerana masih menpunyai inti kacang hijau semasa membuat kuih bom. Itulah kisah di sebalik penyediaan kuih kasturi hari ini. 





Resepi ini saya ambil dari blog Hasue. Inti pula adalah lebihan dari kuih Bom saya di SINI. Sedap kulitnya yang rangup. Tapi biasalah, bila pertama kali membuatnya, pasti ada yang tak sempurna. Isinya terkeluar semasa digoreng yang mungkin disebabkan ianya tidak bersalut sepenuh kerana saya menggunakan tangan, bukan senduk. Jadi batter yang terkena jari kita, menjadi nipis. Apa apa pun, memang puashati.

Jom layan resepi di bawah ini...


 
Kuih Kasturi

Bahan bahan:
1/2 cawan tepung gandum
1/3 sudu besar marjerin
1 sudu kecil garam
Secubit gula
1/2 cawan air
Sedikit pewarna kuning telur

Cara cara:
Dalam bekas, campurkan tepung, marjerin, garam, gula. Masukkan air dan kacau menggunakan hand whisk supaya adunan cepat sebati. Tambahkan sedikit pewarna kuning. 





Panaskan minyak dalam kuali sehingga benar benar panas, celupkan inti yang sudah dibentuk tadi ke dalam adunan tepung dan goreng sehingga keemasan. 

Kuih yang sudah dicelup pada adunan tepung sedia untuk digoreng di dalam minyak yang sudah dipanaskan. Goreng sehingga rangup. Angkat dan sedia untuk dihidangkan. 




Selamaat menjamu selera dengan kuih yang rangup di luar dan lembut di dalamnya. 






Inti Kacang Hijau:
250 gm kacang hijau - rendam
1 keping gula Melaka
1/2 cawan gula pasir - ikut manis disukai
Sedikit garam

Cara cara:
Masak kacang hijau bersama air secukupnya hingga kembang, biarkan sehingga airnya hampir kering dan kacang hancur. 

Masukkan gula melaka, garam dan gula, kacau rata dan biarkan hingga kering. Sesuaikan kemanisan, jika suka lebih manis boleh tambah gula. Angkat dan sejukkan. Bila sudah sejuk kepal inti bulat bulat sebesar ping pong dan kemudian dileperkan. 





Nota;
Boleh masukkan kelapa parut dan tepung gandum, jika suka. 

Lebihan boleh disimpan di dalam freezer untuk dibuat inti kuih lain seperti kuih ketayap, koci dsb.



Kunjungan ke Mahligai Umpama Resort Percutian

$
0
0




Setiap kali berkunjung ke mahligai berkonsep tropical resort ini, hati pasti teruja dan terasa diri seolah sedang bercuti di sebuah villa. Boleh klik di SINI untuk entri sebelum ini. Dalam kunjungan ini, kami membawa Cik gu Nora dan suami untuk sama sama melihat keunikan hiasan dalaman dan kolam ikan bagi memberikan sedikit idea dalam mereka landskap rumah baru mereka. Saya memang sangat kagum dengan daya kreativiti Yat dan suami dalam menghias rumah dan landskap. Dekorasi dalaman yang simple tetapi sangat cozy and elegance. Dalam hati berbisik betapa bertuahnya Yat kerana berpeluang untuk memiliki mahligai indah yang diimpikan oleh ramai wanita. Di samping itu, dia masih boleh membuat persediaan amalan untuk akhirat. Itulah kehidupan yang didambakan oleh ramai orang. Saya boleh membayangkan bagaimana Yat menghabiskan masa seharian di rumah umpama sebuah resort percutian ini. Setiap ruang penjuru di dalam mahligai ini sangat mendamaikan dengan pemandangan yang berbeza antara satu ruang dengan satu ruang yang lain. 




Sesiapa sahaja yang melihat kolam ikan di sini, pasti terasa seperti ingin terjun ke dalamnya. Manakan tidak, kerana airnya sangat sangat jernih, sejernih kristal dengan ikan pelbagai spesis yang berenang kegirangan. Ternyata teknologi ecosand  sangat membantu dalam menjadikan kolam ikan berubah seperti anak sungai semulajadi.




Yat juga menunjukkan kolam ikan terbaharu yang disiapkan selepas hari raya yang lalu. Hampir tidak mampu untuk berkata kata melihat kreativiti mereka mengubah ruang tanah kosong berhampiran dapur menjadi ruang istirehat yang saya impikan selama ini. Di tengah tengah kolam, berdiri tegak pokok langsat yang telah ditanam sejak mereka berpindah masuk. Ohh rupanya kolam di bahagian ini memang telah ditinggikan ke hampir paras lantai. Ini membolehkan kita menikmati keindahan air dengan ikan ikan dari dalam rumah sahaja.





Terima kasih kepada Yat dan Encik Sani kerana layanan mesra yang diberikan. Jika tidak kerana mempunyai solat hajat sempena anak anak menduduki peperiksaan SPM, pasti saya tidak akan balik sebelum melihat keindahan kolam di waktu malam dengan biasan cahaya yang cantik. Penggunaan teknoogi solar membolehkan mahligai ini bermandikan cahaya dengan kos yang sangat minimum.  






Lepat Pisang

$
0
0



Sebelum kita berbicara berkenaan Kuih Lepat Pisang, sudikanlah kiranya pembaca blog Azie Kitchen dan kawan kawan semua sama sama mendoakan semoga anakanda kami, Juita dan semua anak anak yang akan menduduki peperiksaan SPM esok diberikan kemudahan untuk menjawab soalan dengan baik serta perolehi keputusan yang cemerlang. Ameen Ya Rabbal Aalameen. Esok kita semua yang mampu digalakkan berpuasa sunat 10 Muharram dan doa orang yang sedang berpuasa adalah sangat mustajab. Jadi sama sama ambil masa untuk mendoakan anak anak kita ya. Sekarang sambung bab kuih pula. Satu hari dalam minggu lepas, sebelum keluar makan malam dengan Boy dan Aween, saya keluar menjenguk ke 'kebun pisang' untuk melihat sebatang pokok pisang nangka yang telah berbuah. Bila masuk ke dalam, baru terperasan rupanya ada sepohon lagi yang juga telah mengeluarkan buah. Pohonnya masih rendah, jadi saya boleh mencapai dengan tangan sahaja. Waah hati mula berbunga riang. Dalam hati ada taman, dalam taman ada pokok pisang. Keseronokan terbawa bawa sampai malam sehingga saya memarahi diri saya sendiri kerana merungut melihat ada kesan daun daun pokok pisang saya yang ditebang. Macam mana nak berbuat kebaikan kalau orang ambil daun pisang pun dah merungut. Ish sungguh tak patut bersikap begini...





Setelah menggoogle, barulah perasan yang ada pelbagai versi membuat lepat. Ada yang ditambah tepung beras, ada pulak yang meletakkan santan dsb. Kalau saya, memang suka lepat yang kosong tanpa kelapa pun di dalamnya. Tapi hari ini, saya meletakkan sedikit kelapa parut selepas bersembang dengan sahabat di surau Ad Dhuha bila dia mengatakan sedap diletak inti kelapa parut yang ditaburkan sedikit garam. Sejak itu, mula lah timbul keinginan untuk memyediakannya sendiri kuih lepat pisang. Selama ini, tak terfikir pun untuk membuatnya sendiri kerana beli seketul pun dah cukup untuk saya sebab anak anak memang tak suka kuih muih tradisional seperti ini.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini...




Lepat Pisang 

Bahan bahan:
13 biji pisang berangan/pisang emas
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan kelapa parut putih
2 sudu besar gula pasir
2 sudu besar gula merah - menaikkan warna
1 sudu kecil garam

Cara cara:
Potong pisang nipis nipis dan lenyek dengan menggunakan garpu sehingga hancur. Jangan terlalu hancur supaya dalam lepat, masih ada rasa ketulan pisang. Masukkan gula, gula merah dan garam. Kacau rata.

Masukkan tepung gandum dan kelapa parut dan gaul hingga sebati. 

Potong daun pisang panjang 15cm x 15 cm dan layur atas dapur gas supaya ianya tidak terkoyak semasa dilipat.

Sudukan 2 sudu besar adunan ke atas daun pisang. Letak pula kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam. Lipat ke kiri dan kanan. Kemudian lipat pula hujungnya ke bawah, angkat tegak dan lipat pula di hujung satu lagi. 






Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih. Susun kuih lepat dalam pengukus dan kukus selama 20 minit atau sehingga masak. 

Cucuk bahagian tengah kuih dengan pisau, jika tidak melekat, tandanya ia telah masak. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan.




Pau Goreng

$
0
0




Kali ini saya mahu kongsikan tazkirah yang dihantar oleh Ustaz Abdul Rasuid dalam group whatsApp yang sangat menarik untuk diambil pelajaran darinya. Harap dapat membacanya sehingga ke akhirnya ya. Ianya adalah berkaitan dengan nasihat sahabat saya minggu lalu yang mana saya menulis bahawa saya selalu risau urusan dunia yang belum pasti, sedang urusan mati yang memang pasti, syurga neraka yang juga pasti, tidak pula dirisau dengan sebenar benarnya. Jawapan sahabat saya ialah risau kerana kurangnya keyakinan pada ketentuan Allah. Jadi bila hari ini mendapat dakwah Ustaz Rasyid berkenaan dengan Ilmu Yakin, Ainul Yakin dan Haqqul Yakin, saya terus menyalinnya di sini. Barang siapa ingin hidupnya selalu dilindungi, dibelai, dimudahi, dikabuli doa-doanya oleh Allah, tetapi tidak pernah bersungguh-sungguh untuk meningkatkan mutu keyakinannya kepada Allah, keinginannya itu hanya akan menjadi sebuah angan-angan sahaja. Hanya Allahlah yang seharusnya cukup untuk menjadi penolong bagi kita, menjamin segala urusan kita. Tetapi ramai yang tidak yakin, yang su'u zan (buruk sangka) kepada Allah SWT berpunca dari kekurangan ilmu. Kita harus terus meningkatkan ilmu-ilmu pada diri kita agar mutu keyakinan kepada Allah bertambah yakin, agar Allah juga yakin untuk memberikan apa pun yang kita minta dan yang tidak kita minta. Lalu bagaimana cara meningkatkan keyakinan itu?

1) Ilmul yaqin. Ilmu yaqin adalah orang yang menyakini bahawa segala sesuatu berdasarkan ilmu. Misalnya, di Makkah ada Kaabah. Kita  semua percaya dan yakin, kerana menurut teorinya begitu, ilmunya begitu. Apa pun sebenarnya pada Kaabah itu kita percaya, kerana belum tahu yang sebenarnya bagaimana. 

2) Ainul yaqin. Ainul yaqin adalah orang yang yakin kerana telah melihat dengan mata kepala sendiri. Orang yang telah pergi ke Makkah, telah melihat sendiri Kaabah. Keyakinannya akan berbeza dengan orang yang yakin berdasarkan teori atau ilmu yakin sahaja. Orang yang mengatakan Kaabah itu hujungnya bulat, kalau hanya dengan ilmu yakin boleh jadi kita percaya. Tapi bagi orang yang telah melihatnya dengan Ainul yakin (matanya sendiri) akan berkata sesuai dengan yang telah dia lihat sendiri.

3) Haqqul yaqin. Haqqul yaqin adalah orang yang yakin dan terbukti kebenarannya. Orang yang telah merasakan lazatnya tawaf, berdoa di Multazam, merasakan dimakbulkan doanya, dan mengatakan Kaabah itu luar biasa sekali. Akan semakin berbeza keyakinannya dengan orang yang hanya yakin berdasarkan ilmu yakin saja tanpa merasakan bukti kebenarannya.

Inilah cara untuk meningkatkan keyakinan kita. Ini juga yang menjadi tingkat keyakinan tertinggi kita, sehingga tidak boleh digempur dari sisi mana pun. Mulailah dari ilmu yaqin, ainul yaqin, dan akhirnya dengan haqqul yaqin. Hanya itulah yang akan meningkatkan keyakinan kita yang sebenar-benarnya kepada Allah swt. Kita selalu mendengar Allah yang akan mengatur segalanya. Kita sering mengatakan, "Allah Maha kaya." Tapi terbukti kita masih risau dan takut tidak beroleh rezeki. "Allah Maha Penentu", "Allah yang menciptakan segala sesuatunya berpasang-pasangan", tetapi kita masih waswas tidak mendapatkan pasangan dan tidak yakin kepada pasangan masing-masing. Kita sering memuji kebesaran nama Allah, tapi kita sendiri kadang-kadang malah tidak melakukan hal yang sesuai dengan apa yang kita katakan. Inilah pertanda kita masih lagi di tahap ilmu yang masih berkurang. Selesakah kita ditahap ini? 





Berbalik kepada resepi kuih ini dipilih kerana tertarik membaca apa yang ditulis di SINI sebagai lembut, gebu dan tidak berminyak. Pau goreng saya hari ini macam terlebih inti pulak. Saya menggunakan 10 gram inti dan 20 gram doh. Bila siap digoreng, rotinya agak nipis berbanding dengan inti. Jadi kalau lain kali, saya rasa cukup untuk menggunakan 5 gram sahaja. Saya sekarang dah tak berapa gemar lagi makanan makanan manis. Kesihatan kena juga dijaga supaya kita boleh beribadat sehingga ke akhir hayat.

Jom layan resepi di bawah ini. Saya tengok ramai rakan rakan blogger yang telah mencuba resepi ini juga. Untuk inti pula, saya hanya menggunakan inti segera sahaja. Jimat masa saya di dapur...




Pau Goreng

Bahan-bahan:
250 gram  tepung roti 
250 gram tepung gandum
100 gram gula
11 gram yis kering
2 biji telur
200 ml air
100 gram mentega 
50 gram susu tepung

Cara cara;
Masukkan semua bahan ke dalam mesin penguli dan uli selama 8-10 minit untuk menjadikan  doh lembut dan tidak melekat di tangan serta elastik. Tutup doh dengan kain dan biarkan sehingga doh naik dalam ½ jam.

Keluarkan doh, tumbuk dan timbang doh 20g setiap satu dan dibulatkan padat.

Masukkan  inti yang telah ditimbang 5 gram dan dibulatkan dan dicantum kemas dan  dibulatkan  semula.  Kemudian leperkan sedikit untuk mendapat pau yang agak  leper. Rehatkan selama 30 minit sehingga doh naik lagi sekali sebelum digoreng.





Goreng  pau  dalam  kuantiti yang sedikit sahaja di dalam satu masa. Goreng sehingga berwarna kekuningan dengan api yang perlahan.  Angkat dan tos.





Nota:
Jika  ingin disejukbeku, goreng separuh masak terlebih dahulu, sejukkan dan simpan di dalam bekas dan masukkan ke dalam freezer. Jika ingin membuat pau kukus, kukus terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam freezer.

Boleh juga dibuat  donut gebu dengan menggunakan doh yang sama.


Inti Kacang Merah 

Bahan bahan:
250 gm kacang merah - rendam semalaman dan rebus hingga empuk
1 cawan gula pasir
1/2 keping gula Melaka
1 helai daun pandan
2 sudu besar tepung jagung + sedikit air - bancuh
Secubit garam 
Sedikit minyak 

Cara-cara:
Bersihkan kacang merah dan daun pandan dan masukkan ke dalam periuk tekanan bersama air. Masak selama 40 minit sehingga kacang empuk

Angkat kacang dan masukkan ke dalam pengisar. Kisar hingga lumat. Jika terlalu kering dan payah hendak dikisar, campurkan sedikit air panas.

Panaskan minyak di kuali. Tuangkan kacang dan masukkan gula. Bila hampir pekat, masukkan tepun jagung. Masak dengan dikacau selalu sehingga pes kacang hampir kering. Bila terasa berat, maknanya inti dah siap.

Masukkan esen vanila. Keluarkan ke dalam mangkuk dan sejukkan.

Masukkan ke dalam peti sejuk dan bila sejuk buatkan guli guli kecil dengan digolek secamca teh inti kacang di atas tapak tangan. 



Donut Gebu dan Lembut

$
0
0




Saya Petikan dari buku Mengenal Sifat 20 Allah SWT adalah sebagai peringatan untuk diri saya sendiri di saat saya diuji dan ditimpa musibah. Saya mahu berpegang dengan seyakin yakinnya. Kalaulah kita sedar betapa azab di dalam neraka itu kekal abadi selama lamanya, tidaklah kita berkeluh kesah dan rasa menderita dengan kesusahan di dunia yang hanya sementara ini. Sepatutnya azab di neraka yang kekal abadi itu menjadikan kita gerun dan gentar dan berusaha bersungguh sungguh untuk mengelakkan diri dari terjerumus ke dalamnya. 

Tidaklah kita merasa satu beban yang berat dengan kesusahan dan ujian di dunia yang tidak kekal ini. Malangnya kesusahan di dunia ini yang sangat dibimbangi hingga sanggup berjuang berhabisan untuk mencari kesenangan dunia yang tidak kekal sehingga melupakan perintah Allah. Sedangkan kesenangan hidup yang dicari tidak seberapa kerana kalau dapat dinikmati, paling lama pun mungkin selama 50 tahun atau 60 tahun atau 70 tahun. Jadi tidak padanlah nikmat dunia yang dirasakan dalam masa yang sangat singkat itu dikejar bersungguh sungguh sedangkan di akhirat akan berhadapan dengan azab yang kekal abadi kerana menderhakai Allah. 





Saya menggunakan adunan yang sama dengan penyediaan Pau Goreng di SINI. Sangat gebu donut ini. Bayangkan semasa direhat, ianya naik tinggi seolah kosong sahaja di dalamnya. Walaupun saya suka donut gebu tapi saya lebih suka jika ianya sedikit padat. Hari ini saya guna gula kaster dan sedikit serbuk kayu manis untuk menyalut donut. Hmm memang sedap bau kulit kayu manis ni. Kebelakangan ini saya mula mengamalkan pengambilan madu yang ditabur sedikit serbuk kayu manis kerana dikatakan memberi banyak khasiat kepada kesihatan tubuh badan. Haa cukup setakat ini dulu. Hingga berjumpa lagi di coretan akan datang, jom layan resepinya di bawah ini...




Donut Gebu

Bahan-bahan:
250 gram  tepung roti 
250 gram tepung gandum
100 gram gula
11 gram yis kering
2 biji telur
200 ml air
100 gram mentega 
50 gram susu tepung

Cara cara;
Masukkan semua bahan ke dalam mesin penguli dan uli selama 8-10 minit untuk menjadikan doh lembut dan tidak melekat di tangan serta elastik. Tutup doh dengan kain dan biarkan sehingga doh naik dalam ½ jam.

Keluarkan doh, tumbuk dan canai. Kemudian tekap dengan acuan donut. Rehatkan selama 30 minit sehingga doh naik lagi sekali sebelum digoreng.





Goreng donut dalam kuantiti yang sedikit sahaja di dalam satu masa. Goreng sehingga berwarna kekuningan dengan api yang perlahan. Angkat dan tos. 

Bila sejuk, masukkan ke dalam plastik dan letakkan beberapa sudu gula kaster dan serbuk kayu manis. Goncang supaya ianya bersalut rata. 





Nota:
Jika ingin disejukbeku, goreng separuh masak terlebih dahulu, sejukkan dan simpan di dalam bekas dan masukkan ke dalam freezer. Jika ingin membuat pau kukus, kukus terlebih dahulu sebelum disimpan di dalam freezer.


Solok Lada Kelantan

$
0
0






Solok lada adalah salah satu dari lauk sayuran Kelantan kegemaran saya selain Teresek dan Sira Labu. Solok lada ini disediakan semasa majlis tahlil arwah Bonda oleh ibu saudara pada anak buah saya. Saya yang meminta supaya disediakan solok lada kerana teringin nak memakan solok lada yang asli dari Kelantan. Memang sedap. Membuat solok lada ini dikira sebagai agak remeh sedikit. Jadi ianya bukanlah lauk hidangan sehari hari kecuali bagi orang yang berniaga nasi kerabu dsb. Kami akan menyediakan solok lada hanya di majlis kenduri kerana ianya akan dibuat secara beramai ramai dengan jiran tetangga yang datang menolong. Kerja berat pun menjadi lebih ringan jika dibuat secara beramai ramai.


Jom layan resepi di bawah ini yang saya salin berbelas tahun lamanya selepas melihat sendiri jiran jiran kami menyediakan solok lada di majlis kenduri di rumah kakak. Memang sedap solok yang disediakan sendiri, maksud saya disediakan di rumah sendiri, tak sama dengan solok yang dibuat berjualan. 



Solok Lada Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Kelapa parut putih - ambik kelapa sedikit muda
Ikan kembung rebus 
Gula melaka
Garam
Gula
Sedikit air asam jawa
Telur

Cara cara:
Ikan rebus diasingkan tulang dan isi. Tumbuk isi ikan dan digaul dengan kelapa parut dan ditumbuk sedikit kelapa yang sudah bergaul dengan isi ikan. 

Tumbuk pula gula Melaka dan garam. Gaulkan bahan tumbuk dengan kelapa tadi. Masukkan gula dan air asam jawa secukupnya.  

Akhir sekali, masukkan sebiji telur dan digaul sebati sehingga boleh dikepal. Siap untuk digunakan.

Lada solok dibelah dua dan dikorek keluar biji biji di dalamnya. Sumbat bahan inti kelapa di atas tadi padat padat ke dalam lada. Biarkan sehingga intinya membuncit keluar.  


Susun lada yang telah disumbat di dalam periuk dan tuangkan santan. Masukkan sedikit garam dan gula. Masaklah sehingga santan hampir kering. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Nota:

Boleh juga dikukus lada yang telah disumbat di dalam periuk pengukus.

Selain menggunakan lada solok, Bonda saya juga pernah membuat solok petola ular dengan menggunakan petola ular.






Sambal Bilis Melaka

$
0
0



Saya pelajari resepi ini dari sahabat fb saya yang sangat pandai memasak, iaitu TeeaRa Yatie. Sebelum mempunyai blog, saya sering mengunjungi fb beliau dan melayan gambar gambar masakan yang disediakan. Semuanya nampak sedap sedap. Yatie pulak jenis tidak kedekut ilmu. Kalau kita berkongsi ilmu, kita mendapat pahala, kalau kita kedekut ilmu, apa pun kita tak dapat. Tak ke rugi tu. Tapi kalau kongsi ilmu, janganlah pulak mengharapkan balasan dan pujian. Apalagi mengungkit ngungkit dsb. Bak tajuk buku Iman Al Ghazali, Mari Kita Terbang ke Syurga. Yatie dah banyak berkongsi resepi dengan saya. Antaranya ialah Kek Coklat Lembab, Quiche Ayam dsb.





Setiap kali terpandang gambar Sambal Bilis Melaka yang Yatie sediakan, memang akan membuatkan saya meleleh air liur, gulp gulp menelan air liur. Teringat masa di kampus dulu, saya ada kawan dari Melaka, namanya Haryati Hashim. Setiap kali balik kampung, dia akan membawa bekalan. Antaranya yang sangat saya ingat ialah sambal ikan bilis yang digoreng kering dan dicicah dengan roti. Tapi sayang kerana saya telah terputus hubungan dengan Yati. Terjumpa fb beliau tapi macam tak aktif lah pulak. Manalah Yati ni menghilang... Harap harap Yati terbaca blog ini dan menghubungi saya.

Jom layan resepinya dulu...



Sambal Bilis Melaka

Bahan bahan:
1 mangkuk ikan bilis - digoreng garing
1 mangkuk cili padi 
5 ulas bawang putih
1-2 keping asam keping
Garam
1 sudu besar gula atau secukupnya

Cara cara:
Kisar cili padi dengan bawang putih. Panaskan minyak dan goreng bahan kisar sehingga kering. Masukkan asam keping, garam dan gula. Gula kena banyak sebab nak mengurangkan pedasnya. Kacau rata rata.

Bila telah kering, baru dituangkan ikan bilis. Kacau rata dan ditutup api. Sedia untuk dihidangkan. Saya hanya mencicah dengan roti.


Viewing all 2247 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>