Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2253 articles
Browse latest View live

Kacang Pool Sedap Sebagai Kudapan

$
0
0




Apalagi yang hendak diucapkan selain mengucapkan syukur kepada Illahi kerana doa doa saya dimakbulkan satu persatu terutama doa di Tanah Suci. Apalagi nikmat Allah yang hendak saya dustakan? Setelah beberapa lama mengalami kesulitan demi kesulitan, akhirnya ditunjukkan jalan keluar. Itulah kehebatan doa. Malahan orang yang tidak berdoa adalah orang yang bodoh sombong. Alhamdulillah, mudah mudahan hari hari mendatang saya akan diberikan lebih ketenangan hati, diberikan kecukupan, diberikan bantuan dan kemudahan dalam menghadapi ujian serta diberi rezeki yang tidak disangka sangka. Aamiin. Saya menjadikan ayat 1000 dinar sebagai amalan harian setelah diajar oleh sahabat baik. Ianya bukan sebagai pemurah rezeki sahaja tetapi jika kita meletakkan tawakkal kepada Allah, pasti Allah menunjukkan jalan keluar kepada semua permasaalahan. Jadi sama sama mengamalkannya bagi yang belum lagi berbuat demikian. 

Dah lama dapur tak berasap. Maklum anak anak makan pun tak menentu. Mereka tak suka makan nasi dan lauk pauk seperti dulu. Kalau makan pun sedikit sahaja. Sebaliknya mereka lebih suka makan pasta atau lain lain makanan. Kalau memasak, yang akan makan menambah nambah adalah saya sendiri. Semasa balik Kelantan baru ni pun, saya makan nasi 2-3 kali sehari tanpa sedikit pun rasa bersalah. Haaa akibatnya berat badan mula naik. Beli baju ready made yang dijual di Jakel pun sendat jer untuk saiz L. Tapi sebab dah berkenan patch lace menggunakan French Lace, saya beli juga dengan azam untuk menurunkan sedikit berat badan supaya ianya muat tanpa perlu dihantar untuk alteration. Sejak Juita bekerja, mood untuk memasak lagi hanyut ke laut. Bekerja sorang sorang di dapur sangat membosankan. Hmm macam macam alasan ya. Sementara tidak ke dapur, saya menumpukan pula pada laman yang dah terbiar sekian lama. At least terhibur bila melihat pokok pokok yang menghijau sebaik balik dari pejabat. 





Sebelum masuk bab resepi, nak share sedikit petikan youtube Tafsir Ibnu Katsir Ustaz Idris Sulaiman berkenaan penggunaan media sosial hari ini. Fitnah zaman dulu adalah dalam bentuk kata kata dan ucapan. Tapi fitnah zaman sekarang yang berlaku dalam tulisan terutama di media sosial adalah lagi bahaya kerana ianya kekal dan boleh dibaca oleh ramai orang. Jika apa yang dikata dan diucap, boleh hilang sahaja selepas ianya diucapkan berbanding dengan tulisan yang kekal selamanya dan masih boleh dilihat dengan mata dan dibaca selama beberapa lama. Apalagi jika ianya disebarkan. Berhati hati dengan apa yang ditulis untuk mengelakkan dosa yang berpanjangan, jika apa yang ditulis adalah berbentuk fitnah atau maki hamun. Jika menulis sesuatu yang baik, Alhamdulillah pahala juga besar jika diikuti dan diamal oleh ramai orang. 

Jom kita tengok cara penyediaan kacang pool yang dipelajari dari guru tajwid saya Kak Kamariah. Yes sumber protein yang sangat kaya dan makanan sihat sebagai kudapan. Jom layan...




Kacang Pool Sedap Sebagai Kudapan

Bahan bahan:
280 gram kacang pool - rendam dan rebus
3 ulas bawang merah - hiris
3 tangkai cili kering - potong
1 sudu besar biji sawi
3 tangkai daun kari
Garam
Minyak zaitun

Cara cara:
Rendam kacang semalaman. Masukkan baking powder dan rebus sehingga lembut. Saya hanya merebus menggunakan pressure cooker. Angkat dan tos. 





Panaskan minyak dan tumis bawang merah serta bahan bahan lain sehingga wangi. 





Masukkan kacang yang telah ditos dan akhir sekali taburkan garam secukup rasa. 





Bolehlah angkat dan dimakan sebagai kudapan. Jika ada lebihan, boleh disimpan dalam peti. Bila hendak dimakan dipanaskan menggunakan microvave. 



Biskut Cornflakes Rangup

$
0
0




Petang semalam saya dikejutkan dengan mesej bahawa blog saya di block kerana "offending code" yang dikatakan melanggar terms and service. Saya panik juga kerana memikirkan saya perlu mencari satu persatu add on widget yang telah saya letakkan dalam blog termasuklah advertisement. Saya sangat terharu kerana ramai pembaca blog memberi sokongan dan mendoakan agar urusan saya dipermudahkan. Update yang dibuat dalam facebook Azie Kitchen mencatatkan capaian lebih dari 5000 viewer. Alhamdulillah pagi ini blog saya telah dibuka semula untuk tatapan umum. Ianya adalah berkat doa dan sokongan dari semua. Saya menganggap ianya sebagai ujian untuk memberi lebih peringatan kepada saya. Umpama hidup kita juga yang tidak lepas diuji dari masa ke semasa. 





Hari ini saya ingin kongsikan sedikit topik menarik dari majalah Solusi yang telah lama bermain di minda. Tajuknya ialah mengapa diharap pahala amalan orang lain. Ya sementara kita masih bernafas dan masih diberi peluang untuk beramal, mengapa kita tidak mengambil kesempatan tersebut. Kerana kita tidak pasti jika pahala yang dibuat orang hidup sampai kepada si mati. Yang lebih penting adalah amalan diri sendiri, bukan amalan yang dihadiahkan oleh orang lain. Sebagai contoh, membaca Al Quran ketika masih hidup adalah amalan kita sendiri. Sebaliknya bacaan Al Quran oleh orang lain selepas kita meninggal adalah amalan orang lain. Jadi bacalah Al Quran semasa hidup, jangan sekadar mengharap sedekah pahala bacaan Al Quran daripada orang hidup kepada kita yang berada di alam kubur.  Semasa hidup, kita dapat memperbetulkan niat agar lebih ikhlas kerana Allah. Namun kita tidak mengetahui niat orang yang membacakan Al Quran untuk kita. Boleh jadi niatnya kerana Allah atau mungkin tidak. Jika tidak, ianya adalah amalan yang tidak berpahala. Ketika hidup kita boleh melakukannya secara istiqamah dalam bacaan Al Quran. Sebaliknya jika mengharapkan orang lain, berapa lama mereka akan berterusan membaca Al Quran untuk kita? Begitu juga dalam bab bersedekah, di mana kita hendaklah bersedekah semasa hidup. Bukan mengharap pahala sedekah dari anak anak. Secara kesimpulannya, lakukanlah amalan untuk diri sendiri sementara masih diberi peluang hidup di dunia. Kerana hanya dunia sahaja tempat untuk melakukan amalan ibadah. Manakala di akhirat pula adalah tempat untuk menerima pembalasan. Semoga perkongsian ini dapat memberi manafaat kepada kita semua. 

Jom layan resepi biskut mudah untuk hidangan petang atau sebagai kudapan semasa menonton dsb. Jom layan....



Biskut Cornflakes Rangup

Bahan bahan:
250 gram mentega
180 gram gula kaster
2 sudu kecil esen vanilla
2 biji kuning telur
180 gram Nestle Cornflakes - ramas kasar
50 gram badam cincang

Bahan Ayak:
210 gram tepung jagung
150 gram tepung gandum
1/2 sudu kecil serbuk penaik

Cara cara:
Putar mentega dan gula sehingga kembang. Masukkan telur dan esen. Kacau sebati.

Masukkan cornflakes, badam serta bahan ayak. Kaup balikkan. 

Ambik sesudu adunan, bulatkan dan atas dulang pembakar yang telah dilenser mentega. 

Bakar pada suhu 180C selama 25 minit sehingga berwarna keemasan.


Biskut Cornflakes Madu Kegemaran Anak Anak

$
0
0




Syukur syukur Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Kaya dan Maha Pengasihani. Saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah pada kehidupan saya masa kini. Semoga kami dan kita semua terus diberikan kemudahan dan bantuan di dalam apa sahaja yang dijalani. Saya gembira dan sangat bersyukur dengan kejayaan dan pencapaian anak anak saya setakat ini. Saya tidak mahu membandingkan anak anak saya dengan anak anak orang lain kerana saya tahu kemampuan mereka. Saya juga tidak terlalu membebankan mereka dengan tuisyen, kelas tambahan dsb. Saya mahu mereka menjalani kehidupan yang normal. Belum terlambat untuk mengucapkan selamat memulakan pengajian pada Boy yang telah memulakan pengajian peringkat Ijazah dan tahniah buat Juita atas pencapaian yang baik dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini. Semoga selepas ini Juita juga akan melangkah ke kolej bagi mengikuti pengajian pre universiti. Aamiin. Saya sebenarnya buntu dan ketandusan idea untuk menulis kerana masih di dalam kegembiraan atas kurniaan Allah kepada saya kebelakangan ini. 

Sekarang kita sentuh sedikit bab resepi biskut raya. Anak anak memang suka Biskut Cornflake Madu berbeza dengan saya yang tidak berapa gemar biskut jenis ini. Kalau harapkan saya, memang tak buat lah biskut ini. Jadi setiap tahun anak anak akan menyediakannya sendiri. Hari raya tahun ini Juita sekali lagi menyediakan biskut Cornflake Madu. Boleh klik di SINI untuk melihat resepi sama yang disediakan sebelum ini.




Jom kita layan resepi mudah tetapi menjadi kegemaran anak anak. Sesuai untuk disediakan sebagai makanan kudapan di rumah.....



Biskut Cornflakes Madu
Oleh: Azie Kitchen

Bahan-bahan ( 50-60 biji )
4 cawan Cornflakes
¼ cawan madu
¼ cawan mentega
Papercup secukupnya
Sprinkles sebagai hiasan
Ceri (sebagai hiasan - ikut suka)

Cara-cara
Cairkan mentega dan madu dengan api yang kecil. Kacau hingga mentega cair. Cornflakes dihancurkan sedikit dan dimasukkan dalam mangkuk.

Campuran mentega dan madu dimasukkan ke dalam mangkuk berisi Cornflakes tadi. Gaul rata hingga semua Cornflakes diselaputi dengan madu.

Sudukan ke dalam paper cup dan tabur sprinkles ke atasnya. Letak hirisan ceri jika suka. 

Susun di loyang dan bakar selama 10-15 minit dengan suhu yang bersesuaian.




Moist Chocolate Cake Ever

$
0
0





Sempena hari jadi boss di pejabat, kawan kawan meminta supaya saya menyediakan sebiji kek untuk sesi makan makan. Setelah lama berfikir, kek apa yang hendak disediakan, akhirnya saya memutuskan untuk menyediakan kek coklat. Saya masih menggunakan "a keeper recipe" yang telah lama saya gunakan dan sangat berpuashati dengan kejadiannya. Boleh rujuk di SINI dan SINI untuk melihat entri sebelum ini. Resepi asal diambil dari blog Happy Cooking Time. Ianya sangat moist dan lembut. Sesuai sahaja kemanisannya. Untuk kek kali ini, saya menyediakan 1 1/2 adunan supaya ianya bersaiz lebih besar untuk dinikmati bersama sama dengan rakan sejabatan. Tapi ianya terlalu kecil untuk saiz loyang 10x10 yang digunakan. Kali ini, saya menghias kek dengan chocolate ganache yang resepinya diambil di SINI. Saya menggunakan 4 adunan ganache menjadikan berat kek selepas dihias adalah 3.1 kg. Terima kasih kepada tuan punya blog yang berkongsi resepi coklat ganache. Sangat mudah dengan menggunakan hanya 2 bahan sahaja iaitu Dairy Whipping Cream dan dark chocolate.





Sebelum masuk bab resepi, seperti biasa kita jamu dulu rohani kita dengan sedikit ilmu. Dalam minggu ini, 3 kuliah yang saya hadiri berkisar bab solat. Solat adalah ibadah utama yang dihitung. Solat adalah tanda peringatan pada Allah secara berjadual sekurang kurangnya 5 kali sehari. Barang siapa cuaikan solat samada tak solat atau solat akhir waktu, bermakna mereka tidak mengingati Allah. Samada kecuaian atau terlalu sibuk dengan urusan mencari kehidupan sehingga alpa. Walau bagaimana sibuk sekali pun, jangan sampai mengabai hak kita pada Allah kerana kesibukan dengan urusan kerja atau anak anak. Itu juga dikira sebagai tidak mengingati Allah. Solat ibarat tiang agama, runtuh tiang maka runtuhlah agama. Pastikan tiangnya kuat dan kukuh. Solat orang alim adalah solat dengan makrifat seolah olah dia nampak Allah. Mereka dapat rasa nikmat ketika solat. Perasaan dan jiwa seseorang dengan Allah. Solat adalah percakapan dengan Allah, satu perjumpaan dengan Allah tanpa perlu membuat temujanji terlebih dahulu. Solat adalah anugerah Allah yang sangat mahal nilainya. Ini adalah antara petikan kuliah Zohor Ustaz Salehuddin yang dapat saya kongsikan hari ini. Sama samalah kita memperbaiki diri terutama bab solat. Bila membaca kematian pengejut Arwah Harun Salim Bachik terasalah sangat menginsafkan. Maklumlah jika bekerja, belum pun lagi mencapai umur persaraan wajib. Bila kematian berlaku, terpisahlah dengan alam dunia dan tiadalah lagi peluang untuk membuat amalan soleh sebagai bekalan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. 

Jom layan resepi yang saya sertakan sekali lagi di bawah ini. Sangat mudah menyediakannya, jadi bolehlah disediakan untuk hidangan petang buat keluarga...





Best Moist Chocolate Cake Ever

Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
2 cawan gula kaster
3/4 cawan serbuk koko Hershey's
2 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
2 biji telur saiz A
1 sudu kecil garam
1 cawan buttermilk (atau 1sudu besar cuka + 1 cawan susu segar)
1 cawan minyak jagung Mazola
1 1/2 sudu kecil vanilla extract
1 cawan air mendidih (letak 1 sudu kecil coffee/nescafe)

Cara cara:
Panaskan oven pada suhu 300 F (lebih kurang 150C) untuk membakar secara perlahan (slow baking).

Lenser loyang kaca saiz 9 x 12 dengan butter/minyak dan tabur dengan sedikit tepung. Saya guna 10 x 10. Atau lebih baik jika dilapik loyang kek dengan kertas kalis minyak supaya ianya tidak melekat.

Masukkan semua bahan bahan kecuali air mendidih ke dalam mixing bowl. Putar pada kelajuan sederhana selama lebih kurang 1 minit.

Perlahankan kelajuan, masukkan air mendidih yang dikacau dengan sedikit serbuk nescafe sambil terus diputar. Naikkan pada kelajuan sederhana dan teruskan memutar hingga sebati.

Tuangkan adunan ke dalam loyang. Bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak sepenuhnya. Jika cup cake, dalam 22 - 23 minit dan pastikan menggunakan cawan kertas cup cake. Saya bakar selama 1 jam 10 minit. Untuk 1 1/2 adunan pula, saya bakar dalam 1 jam 40 minit.

Cucuk kek dengan lidi atau pisau. Sekiranya pisau atau lidi yang dikeluarkan bersih, maknanya kek telah masak. Sekiranya terdapat adunan kek yang masih basah melekat pada pisau atau lidi, bakar lagi kek dengan tambahan masa 5 minit dan uji lagi selepas itu sehingga kek masak sepenuhnya.

Sejukkan kek sebelum dinikmati atau dihias dengan cream cheese frosting atau chocolate ganache.




Chocolate Ganache
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1/2 cawan dairy whipping cream
250 gram dark chocolate

Cara cara:
Hiris dark chocolate halus halus. Kemudian panaskan cream dalam microvave on high dalam 30-60 saat. Boleh juga dipanaskan dalam periuk tapi jangan sehingga mendidih. Cukup sekadar panas.

Masukkan chocolate ke dalam cream dan biarkan dalam 1-2 minit. Lepas tu, baru dikacau sebati. Biarkan dalam suhu bilik selama 15 minit sebelum dituang atas kek. Ia akan bersalut rata pada sudu sebelum sedia digunakan.


Kari Ayam Stail Kelantan

$
0
0






Ini pula adalah gulai ayam stail Kelantan atau Kari Ayam Kelantan. Gulai ayam ini sangat sedap dengan kuahnya yang sedikit pekat dan boleh dicicah dengan roti bata atau dimakan dengan nasi dan sambal lada untuk dijadikan sebagai nasi berlauk. Secara jujur pada tekak saya gulai Kelantan sangat sedap dan rupanya tidak sama dengan Kari Ayam yang banyak dimasak di restoran restoran di sini. Sebelum kita masuk bab resepi, sudi kiranya pembaca semua mengambil masa seketika untuk membaca catatan kuliah yang saya catat sendiri dari kuliah yang saya hadiri. Anggaplah ini sebagai dakwah dari saya. Hari ini saya ingin kongsikan catatan berkenaan Dajjal dari Kuliah Ad Dhua oleh Ustaz Iqbal di Surau Ad Dhuha. Dajjal adalah seorang manusia yang akan diturunkan di akhir zaman untuk membawa fitnah membuat kerosakan di muka bumi. Tidak ada fitnah di bumi sebesar dan sedasyat fitnah dajjal. Tidaklah Allah utuskan seorang Nabi seramai 124000 orang selain untuk mengingatkan umat masing masing tentang keujudan dajjal. Nabi Muhamad SAW bersabda yang baginda adalah akhir dari para Nabi dan kalian pula adalah akhir dari kalangan umat. Maknanya dajjal mesti keluar dari tengah tengah kalian. Akan seandainya dajjal keluar semasa aku masih ada, maka aku lah yang akan memberi hujjah dajjal. Tapi kalau selepas aku, maka setiap orang jagalah diri masing masing dan semoga Allah sahaja yang menjaga kalian. Tetapkan lah keimanan pada ketika itu. Dajjal keluar antara negeri Syam dan Iraq. Maka dia akan melalui kiri kanan dan di semua tempat. Tiada negeri yang tidak dilalui oleh dajjal. 


Nabi menceritakan  tentang sifat dajjal yang nabi nabi sebelum ini tidak ceritakan. Dajjal akan mengaku sebagai Nabi. Maka jawablah, katakan tiada lagi nabi selepas aku. Kemudian dajjal akan mengaku pulak sebagai Tuhan. Jawablah kerana dia bukan Tuhan kalian kerana kalian tak akan dapat melihat Tuhan melainkan selepas kalian mati. Dajjal mempunyai mata sebelah sahaja dan sebelah lagi matanya buta. Maka ketahuilah bahawa Tuhan kalian tidak buta. Antara dua mata dajjal tertulis Ka Fa Ra yang hanya boleh dibaca oleh orang Islam dan ahli kitab. 

Fitnah paling dasyat dajjal ialah dapat mengadakan syurga dan neraka di tangan dajjal.  Yang syurga sebenarnya adalah neraka dan neraka  pula adalah syurga. Seandainya diuji dengan api neraka dajjal maka minta pertolongan Allah. Maka baca lah 10 ayat permulaan surah Al Kahfi. Hafaz surah al Kahfi supaya mendapat perlindungan dari fitnah dajjal. Hafazlah mulai dari sekarang sementara masih diberi masa. Berdoa pada Allah supaya diberikan kemudahan untuk kita menghafalnya. Baca setiap hari. Jika kita betul betul berkehendak, pasti kita mampu melakukannya. Pada tahun 2008 Mufti Arab tapi saya tak sempat mencatat nama penuhnya, Mufti Abdullah sambil menangis mengatakan bahawa Nabi Muhamad SAW pernah bersabda yang umur umat ku adalah dalam linkungan 1500 tahun. Ini bermakna kita masih lagi mempunyai 74 tahun lebih kurang. Dunia telah berada pada penghujungnya. Kerana pada hari itu, tiada sesiapa dapat memberi pertolongan kecuali Allah, maka buatlah pesiapan untuk menjaga diri. 

Sekarang kita tinggalkan bab dajjal dan kita melihat pula resepi yang saya gunakan hari ini...


Gulai Ayam Kelantan
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 sudu besar serbuk gulai Kari  Kelantan
1/2 biji bawang besar
5 ulas bawang merah- hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Sedikit halia
Rempah penumis - kayu manis, bunga lawang
Kerisik kelapa
Garam
Gula Melaka
Lada hijau solok Kelantan
Asam keping
Ubi kentang - belah 4
Santan secukupnya
Daun Pandan - jika suka

Cara cara:
Kisar bawang besar dan halia. Satukan dengan rempah kari. Tumis bawang hiris dan rempah penumis sehingga wangi dan masukkan pula rempah yang gaul dengan bawang besar tadi. Terus menumis sehingga naik minyak.



Masukkan ayam dan ubi kentang dan kacau seketika sehingga air ayam kering sebelum dimasukkan santan.


Setelah santan mendidih, masukkan garam dan gula Melaka serta asam keping. Setelah sesuai dan secukup rasa, bolehlah dimasukkan lada hijau. Bolehlah tutup api dan sedia untuk dihidangkan.


Moist Butter Cake Kegemaran Azie

$
0
0




 
Tiba tiba terasa sangat teringin untuk menikmati sekeping kek. Bila hasrat ini disuarakan, Juita membawa balik sekeping kek Red Velvet dari Secret Recipe. Namun ianya masih tidak menepati keinginan saya. Pada hari keputusan SPM diumumkan, sekali lagi kami ke Secret Recipe membeli 2 jenis kek yang juga tidak dapat memenuhi keinginan saya. Sebabnya? Haaa sebabnya saya hanya mahu menikmati kek kosong yang sedap disebabkan rasa kek itu sendiri bukan disebabkan frosting dsb. Kali ini saya meminta Juita menyediakan saya sebiji kek butter kerana inilah kek yang sebenarnya saya inginkan. Boleh klik di SINI untuk kek yang saya sediakan menggunakan resepi sama sebelum ini.

 




Sebelum melihat resepi, saya mahu selitkan sedikit bab solat dari kuliah Ustaz Adli. Solat lah yang paling ditekankan selepas ucapan kalimah syahadah. Solat adalah kata kata dan perbuatan khusus yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam. Solat adalah penghapusan dosa selagi tak dibuat dosa besar. Solat kita adalah ehsan dari Allah. Jika sakit atau nyanyuk, kita tak boleh solat. Matlamat solat ialah untuk mengingati Allah. Solat adalah untuk akhirat bukan untuk dunia. Jadi walaupun sakit, tetap solat. Tidak ada istilah tinggalkan solat dalam apa jua keadaan. Nikmat sujud adalah nikmat yang terbesar. Bayangkan perasaan mereka yang tidak dapat lagi melakukan sujud kerana keuzuran. Waktu itu hati akan terasa hina dina dan kita akan membesarkan zat Allah. Lambang sujud adalah bumi, jadi jangan sesekali letak dahi atas bantal dsb. Semoga perkongsian ringkas ini dapat memberi sedikit manafaat kepada kita semua.
 
Jom layan resepi butter cake sedap mudah dan yang sentiasa menjadi kegemaran saya ini.  




My Best Ever Butter Cake

Bahan bahan:
250 gram pure butter jenama Anchor
250 gram tepung naik sendiri
180 gram gula kaster
4 biji telur
1/2 cawan susu segar

Cara cara:
Panaskan oven dalam 20 atau 30 minit.

Pukul butter dan gula hingga kembang, gebu dan bertukar warna menjadi putih (low speed kemudian sederhana kemudian high speed).

Masukkan telur sebiji demi sebiji di selang seli dengan  tepung. Masukkan susu segar dan pukul lagi sampai sebati.

Masukkan dalam loyang saiz 8-9" yang telah dilapik baking paper atau dispray terlebih dahulu.

Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 180C selama 40 minit atau sehingga masak. Angkat dan sejukkan atas redai.

Nota:
Jika guna tepung gandum, boleh masukkan 1 sudu kecil baking powder.


 



Kuih Talam Suji

$
0
0







Hari ini saya nak share sedikit mengenai kekecewaan kerana kejadian kuih Talam Suji yang dihasilkan tidak berapa cantik walaupun rasanya sangat sedap. Lapisan bawah secukup rasa lemak dan manisnya, begitu juga dengan lapisan atas. Cuma entah di mana silapnya, lapisan bawah agak lembik dan sukar dikeluarkan dari loyang. Saya termenung memikirkan di mana silapnya cara penyediaannya. Maklum resepi Kak Sharifah Lok adalah tested and proven recipe. Hahaha Kak Lok dah pakar dan kuih ini adalah antara kuih yang paling banyak menerima tempahan, sedangkan saya baru belajar buat Talam Suji. Manalah nak sama kan?

Lain kali, jika saya menggunakan resepi ini lagi, saya akan pastikan lapisan bawah dimasak sehingga pekat di mana ianya seolah tidak melekat di tepi periuk. Sedang saya masak belum betul betul pekat dan saya pun tak kukus lapisan bawah terlebih dahulu, cuma dipanaskan sahaja. Keduanya saya mahu menggunakan gula merah bagi menghasilkan lapisan atas yang cantik warnanya berbanding gula Melaka. Ketiga, di masa depan, saya mahu kacaukan seketika lapisan atas di atas dapur sehingga agak agak keluar wap sebelum dituang ke atas lapisan atas. Inshaa Allah, ia pasti menjadi lebih baik. Keempat, saya mahu melapis loyang dengan plastik supaya senang dikeluarkan dari loyang selepas dipotong. Ohh lupa pulak, kuih ini disediakan kerana mahu merasmikan set pemotong kuih talam yang dibeli oleh Kak Elani dari Chef Asma. Memang mudah memotong kuih dengan alat pembaris dan pisau pemotong.

Kesimpulannya, ia bukan salah resepi tapi cara penyediaannya yang tidak menepati cara penyediaan mereka yang pakar. Maka begitulah jadinya. Jom layan resepi dulu...





Kuih Talam Suji
Loyang 11” x 11”

Lapisan Bawah:
1 ¾ cawan tepung suji
7 cawan santan – dari 2 biji kelapa
1 ¾ cawan gula pasir
1 sudu kecil garam


Satukan semua bahan dan kacau atas dapur dengan api perlahan sehingga ianya menjadi pekat. Jangan ditinggalkan supaya tidak bergentel.

Tuang ke dalam loyang walaupun nampak cair tapi bila sejuk, ia akan menjadi OK.


Lapisan Atas:
2 cawan santan pekat – dari 1 biji kelapa tapis dulu
2 keping gula Melaka - dimasak dengan 1 air untuk jadi 1 cawan air gula Melaka
½ cawan tepung suji
6 biji telur – saiz B
1 sudu kecil garam


Pukul telur sehingga sebati, baru masukkan santan gula dan tepung. Kacau sebati. 

Tekan tekan lapisan bawah walaupun lembik, masukkan ke dalam pengukus yang telah dipanaskan. Kukus seketika sehingga panas.

Masukkan adunan ke dalam jug bermuncung dan dituangkan atas lapisan bawah perlahan lahan di sekeliling loyang. Jangan tuang di tempat yang sama.

Kukus sehingga masak selama 45 minit sehingga 1 jam. Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan pisau plastik

Masak Lemak Cili Padi Ketam

$
0
0






Saya menyediakan Masak Lemak Cili Padi Ketam untuk makan malam anak anak kerana saya memang dah disahkan tak boleh sesekali makan makanan laut lebih lebih lagi ketam. Mengingatkan mereka dah lama tak makan ketam, saya pun ambillah 3 ekor dan kelihatan sangat berisi dan bertelur. Masih segar dan sangat fresh lagi isi ketam ni. 





Seperti biasalah masak lemak cili api lah yang paling sempoi. Itu yang saya suka. Kisar jer cili padi dan kunyit hidup bersama santan. Masak dengan api perlahan, taruk garam. Siaap ler. Kalau seafood, tak payah bubuh asam atau gula pun. Dah memang manis semulajadi santan tu. Kalau saya ada stok, saya akan campakkan sekali daun kunyit. Kalau guna santan pekat pekat sikit lagi sedap. Kacau dengan api perlahan sambil terus dikacau supaya kuah tak pecah minyak. 

Saya menyediakan masak lemak hari ini sebab nak habiskan santan yang dibeli sehari sebelumnya. Sayang kalau terbuang begitu sahaja. Jadi kuahnya pun tak berapa berlemak kerana santannya sedikit dan tak berapa pekat. Janji ianya sedap. Tak giteww... Kita yang buat lauk ni kan?




Selamat Hari Jadi Yang ke18 Buat Juita Ku Sayang

$
0
0





Tahun ini Juita, puteri bongsu kesayangan kami yang lebih dikenali dengan nama manja Baby telah mencapai usia 18 tahun. Tahun ini sangat istimewa kerana Juita yang baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan SPM yang membanggakan saya akan menjejakkan kaki ke kolej tidak lama lagi. Akan bergelar pelajar kolej. Buat masa sekarang saya sedang mencari tempat pengajian serta tajaan untuk menrealisasikan cita cita Juita. Ini juga bermakna, kami akan tinggal bertiga di rumah ini. Yang pasti, saya yang akan kesunyian di rumah ini. Sementara menunggu kemasukan kolej, Juita bekerja di New Zealand Natural. Saya tidak menyetujui keputusan Juita tetapi kerana dia sangat ingin merasai pengalaman bekerja, terpaksalah akur. Yang paling saya tidak suka ialah bila Juita terpaksa bekerja di hari jadi beliau sendiri. Hajat untuk keluar makan makan meraikan harijadi Juita seperti kebiasaan, juga telah terbantut.




Pada tahun ini, sambutan hari jadi Juita sangat istimewa kerana BFF Juita iaitu Sarah dan Afiqah turut sama menyambutnya di rumah kami dengan membuat kejutan. Mereka datang bersama Afif menghias bilik Juita, menyediakan kek, membawa hadiah, membawa Butter Chicken dsb sewaktu Juita masih bekerja. Sebaik Juita sampai di rumah, saya meminta dia naik ke bilik dengan alasan untuk mengambil barangan dalam bilik. Sebaik pintu dibuka... Surpriseee jeritan dari Sarah dan Afiqah. Kelihatan Juita sangat terharu dengan hadiah sambutan hari jadi dari kawan baik.






Terima kasih buat Sarah dan Afiqah dan semoga persahabatan mereka berkekalan selamanya. Akhir sekali, Selamat Hari Jadi buat Baby. Mama doakan semoga segala yang dicita citakan akan tercapai. Mama dan Papa pasti akan sentiasa menyokong.



Cream Puff with Fresh Cream Choux Pastry

$
0
0





Saya menyalin resepi Cream Puff dengan French Cream Choux Pastry dari majalah Going Places oleh penerbangan Malaysia Airlines bulan Oktober 2014 semasa dalam penerbangan ke Hong Kong. Resepi kuih yang menjadi feveret keluarga diraja ini dikongsi oleh Raja Badariah Redzwa yang terkenal sebagai pembuat pastri diraja. Apa yang menarik hati saya ialah ketelitian beliau dalam menyediakan kuih pastri bersaiz mini sebagai hidangan diraja. Banyak resepi diperolehi dari kelas kelas masakan yang beliau pelajari di Hong Kong. Saya boleh membayangkan keenakan memakan seketul kuih yang bersaiz mini kerana saya sendiri tidak suka makan kuih yang berderai sewaktu digigit. Alangkah seronoknya jika ianya terus disuap dan dikunyah dengan perlahan lahan untuk menikmati keenakannya.





Bayangkan semasa bercuti dan berehat di bilik hotel 5301 di L' Hotel Nina Hong Kong, saya masih sempat menulis dan membuat terjemahan resepi ini kerana sangat sangat teruja dan tak sabar untuk mencubanya sebaik kembali dari percutian di Hong Kong. Untuk percutian saya ke Hong Kong, boleh klik di SINI. Hari pertama selepas balik, saya membuat Kuih Tart Nenas, boleh klik di SINI

Setelah berbulan bulan lama, barulah tercapailah cita cita saya untuk membuat kuih Cream Puff.  Itupun kerana saya sangat sangat kesepian keseorangan di rumah ini. Hanya berdua dengan Aween yang berkurung belajar di bilik. Saya pulak, lepas tidur, bangun mengaji sambil taddabur, kemudian mengaji, kemudian tidur lagi. Begitulah selama 2 hari. Hendak memasak pun terasa macam tak berbaloi. Tapi untuk resepi hari ini, saya telah bertukar fikiran dengan menggunakan resepi choux pastri dari Joy Of Baking. Itupun setelah menonton youtube Joy Of Baking berkali kali di SINI. Tak jadi untuk menggunakan resepi Raja Badariah. Insha Allah lain kali boleh cuba resepi beliau. Memang heaven cream puff menggunakan resepi ini yang digandingkan dengan fresh Cream sebagai filling. Saya sertakan juga resepi French Cream Raja Badariah sebagai alternatif kepada anda semua. Sangat world, macam tagline Mawi suatu ketika dulu. Sedap dengan setiap ketul cream puff yang rangup, lompang di dalam dan diisi pula dengan cream dan dilapisi  pastri yang diayak dengan gula ising. Kulit choux pastri kelihatan seperti sayur kubis di mana istilah choux dalam bahasa Peranchis membawa makna kubis atau cabbage. Kulit yang sempurna mestilah berlompang dan cukup kering di dalamnya. Jika ada bahagian yang kelihatan lembut, boleh dicubit keluar sahaja.

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Sangat mudah menyediakannya dan lebih menjimatkan jika dapat menyediakannya sendiri....




Cream Puff with Fresh Cream Choux Pastry

Choux Pastry:
1/2 cawan (65 grams) tepung serba guna
1/2 sudu kecil gula halus
1/4 sudu kecil garam
1/4 cawan (4 sudu besar/57 grams) unsalted butter - potong dadu
1/2 cawan (120 ml) air
2 biji telur gred A - pukul sedikit

Glaze:
1 biji telur gred A - pukul sedikit

Hiasan:
Gula ising


Choux Pastry:
Panaskan oven pada suhu 200C. Lapik loyang dengan baking paper atau menggunakan loyang yang di spray sedikit minyak.

Di dalam mangkuk, ayak bersama tepung, gula dan garam. Ketepikan.

Masukkan butter dan air ke dalam heavy saucepan di atas api sederhana sehingga mendidih. Pastikan butter telah cair sebelum air mendidih. Angkat saucepan dari dapur dan dengan menggunakan spatula kayu, tuang adunan tepung sekali gus dan kacau sehingga sebati.







Letakkan semula di atas api dan terus dikacau dalam 1-2 minit atau sehingga ia menjadi adunan yang tidak melekat di periuk. Tujuannya juga supaya air tadi menjadi sedikit kering dari adunan.





Masukkan adunan ke dalam mixer dan diputar dengan kelajuan perlahan dalam 1 minit. Bila doh telah suam kuku, tuangkan telur sedikit demi sedikit sambil terus dikacau sehingga menjadi adunan doh. Doh akan jatuh bila dituang menggunakan sudu membentuk tanduk. Tak perlu habiskan jika doh telah sesuai kelembutannya.

Menggunakan 2 sudu, sudukan atau paipkan menjadi 12 biji doh atas baking paper dengan jarak 2 inci setiap satu. Dengan menggunakan berus pastri, lumur permukaan atas doh dengan telur yang telah dipukul untuk menghasilkan warna keemasan yang cantik. Namun pastikan telur tidak meleleh jatuh ke atas loyang bagi mengelakkan bawah pastri menjadi hangus semasa dibakar.

Bakar selama 15 minit pada suhu 200C bertujuan untuk pastri naik dengan cepat. Pastikan semasa 15 minit pertama, jangan dibuka pintu oven. Kemudian suhu dikurangkan ke 180C dan  bakar lagi selama 30-35 minit atau sehingga berwarna keemasan. Boleh ambik sebiji dan dibelah untuk melihat jika ianya telah benar benar kering bagi mengelakkan ianya menjadi kempis ketika sejuk. Tutup oven dan keluarkan loyang.

Cucuk cucuk di bahagian tepi dengan pisau dan jika masih ada yang belum kering, masukkan semula ke dalam oven dengan pintu oven sedikit terbuka. Biarkan pastri benar benar sejuk dan kering di dalam oven. Jika ada bahagian yang masih lembab, boleh dicubit keluar.






Setelah pastri sejuk, pastri dibelah dua dan diisi dengan inti krim putar samada menggunakan sudu atau dipaip dengan piping bag. Untuk mendapat pastri yang rangup, isikan krim putar sebelum dihidangkan.





Pastri bahagian atas diayak dengan sedikit gula ising sebagai hiasan dan letak di atas krim putar. Jika suka pastri yang sedikit lembut, boleh sediakan beberapa jam sebelum dihidangkan, tutup dengan plastik wrap dan simpan di dalam peti sejuk.







Nota:
Jika ada lebihan, balut cream puff dengan plastik dan simpan di dalam peti sejuk. Atau masukkan dalam bekas kedap udara dan simpan di dalam freezer sehingga 1 bulan. Sebelum dihidang, defrost dengan dipanaskan dalam oven 180C selama 5-7 minit sebelum dimasukkan cream. Jika telah diletakkan cream, cream puff hendaklah disimpan di dalam peti sejuk selama 2-3 hari. Lebih sedap dimakan pada hari di mana cream diletakkan.


Krim Putar

Bahan bahan:
1 cawan (240 ml) heavy whipping cream atau double cream
1/2 sudu kecil pure vanilla extract
1 1/2 sudu besar gula halus atau secukup rasa

Cara cara;
Di dalam mangkuk, masukkan whipping cream, vanilla extract dan gula. Kacau sebati. Tutup dengan plastik dan sejukkan mangkuk serta whisk di dalam peti sejuk selama 15 minit. Setelah sejuk, putar sehingga ianya kembang dan kental bertanduk.


French Cream Raja Badariah

Bahan bahan:
1/3 cawan gula kaster
1/4 cawan tepung kastard
1 cawan susu segar
1/8 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil esen vanilla
3 biji kuning telur - pukul seketika
3 sudu besar mentega
1 ketul mentega - 200 gram

Cara cara:
Satukan gula, garam, tepung kastard dan susu di dalam periuk. Sambil dikacau menggunakan whisk, masak menggunakan api sederhana.

Apabila adunan telah pekat, masukkan telur dan terus tutup api. Terus dikacau sehingga adunan pekat seperti riben.

Masukkan 3 sudu besar mentega dan esen vanilla. Kacau rata. Tutup periuk dengan glad wrap dan masukkan ke dalam peti sejuk.

Putar mentega dan masukkan ke dalam adunan kastard yang telah sejuk sebanyak 1 sudu besar setiap kali sehingga habis. Sedia untuk digunakan.

Dengan menggunakan piping bag, pipe menggunakan corak yang disukai ke dalam pastri cream puff yang telah dibelah dua. Masukkan ke dalam cawan kertas dan akhir sekali ayak gula ising sebagai hiasan.






Roti Kentang Sedap

$
0
0





Saya mula menggemari Roti Kentang sejak menikmati Roti Kentang yang disediakan panas panas di Carrefour Subang Jaya suatu ketika dulu. Boleh dikatakan setiap petang saya akan mengajak hubby ke sana. Selepas dibayar, saya makan roti yang masih panas panas. Hmm sangat sedap. Resepi ini saya ambik dari blog blogger terkenal, siapa lagi kalau bukan Che Mat Gebu. Saya juga kongsikan sekali resepi kastard yang diambil dari blog izah Daut. Yang bezanya ialah penggunaan telur, tepung gandum dan garam. 





Hari ini saya ingin kongsikan sedikit petikan kuliah Ustaz Dr Mohd Shafie, penulis buku Kamu Umat Terbaik. Al Quran adalah sebagai panduan, iaitu cara mengendali kehidupan. Jadi dikongsikan adab sebelum memulakan sesuatu pekerjaan yang elok diamalkan. Pertama, membaca Bismillaahirrahmaanirrahiim setiap kali sebelum memulakan sesuatu pekerjaan. Idea dan kekuatan untuk membuat sesuatu kerja adalah di luar kawalan kita. Kalau kita buat kerana Allah, pasti Allah akan cover untuk kita. Kedua, membaca istighfar untuk memberi kekuatan hati yang lemah. Ketiga membaca Laa Hawla Walaa Quwwata Illaa Billahi Aliyil Adziim di kala kita merasa sangat stress dan terasa sesuatu pekerjaan sangat berat untuk kita lakukan. Keempat, minta petunjuk Allah dengan membaca Ihdinassiro Thalmustaqiim. Minta Allah pandu supaya kita membuat keputusan yang betul. Supaya Allah tunjukkan jalan lurus supaya kita membuat benda betul.




Kelima baca kalimah, Bismillahi tawakkal tu Alallaah jika kita merasa ada perkara yang menghalang urusan kerja kita, contoh seperti kesesakan jalanraya yang menyebabkan kita lambat. Jika benda baik, minta dipermudahkan lah. Atau apa apa kerja yang kita rasa bimbang. Jangan rasa bimbang, kerana kita ada Allah. Contoh dalam kisah di mana Rasulullah dengan Abu Bakar bersembunyi di dalam gua dalam surah At tawbah 9:40. Rasulullah bersabda pada Abu Bakar supaya jangan sedih dan bimbang kerana kita ada Allah. Maka Allah turunkan rasa tenang dalam hati Baginda. Keenam, baca kalimah Subhanaka la 'ilma lana 'illa maa 'allamtana 'innaka 'antal-'Alimul Hakim pada tiap tiap kali mula kerja. Kita kena rendah diri dengan Allah. Al Baqarah ayat 30. Para malaikat pun baca ayat ni. Jangan sesekali keluar rumah dengan meletakkan diri kita pada pangkat yang kita sandang di dunia ini supaya kita tak rasa diri tinggi. Allah suruh keluar di muka bumi sebagai hamba Allah yang merendah diri. Bukan pangkat yang manusia letak. Ketujuh, ucapkan kalimah Alhamdulillah bila ada orang yang tak suka pada kita kerana merekalah orang yang memberi pahala pada kita. Jangan stress dengan orang yang tak suka pada kita. Musuh kita yang akan tunjuk kesalahan kita. Hamba Allah tak perlu pujian dari manusia. Akhir sekali, jangan lupa bacakan selawat ke atas baginda Rasulullah dengan kalimah Allahumma Sholli `ala Muhammadin wa`ala Aali Muhammad sebelum memulakan sesuatu pekerjaan.

Sekarang kita tengok resepi dulu. Saya syorkan supaya sediakan Roti Kentang untuk hidangan petang keluarga kita. Sangat sedap dimakan panas panas. Lembut dan gebu....



Roti Kentang Sedap

Bahan Doh:
300 gram tepung roti - hi protein flour
3/4 sudu besar susu tepung
50 gram gula kaster
3/4 sudu kecil garam
2 sudu kecil yis
1/2 biji telur - kurang lebih 30 gram
60 gram ubi kentang yg telah dilecek - rebus dulu
135 ml air sejuk dari peti ais
30 gram mentega

Cara cara:
Satukan semua bahan bahan kering dan kacau rata. Satu dan dikacau rata telur dan kentang lenyek dan masukkan ke dalam tepung. Putar perlahan lahan sambil dimasukkan air dan mentega. Putar rata sehingga menjadi doh yang licin, lembut dan kenyal. 

Perap doh dengan ditutup dengan plastik sehingga naik 2 kali ganda. Setelah naik, tumbuk doh untuk mengeluarkan udara di dalamnya. Lapkan tangan dengan sedikit minyak. Bulat bulatkan menjadi bebola saiz 56-57 gram. Susun ke dalam loyang saiz 10"x10" yang telah digris. 




Tutup dengan plastic cling dan biar naik selama 45 minit. Sementara itu, bolehlah sediakan adunan kastard dan setelah suam, bolehlah dipaip cream castard di tengah tengah roti mengikut kreativiti masing masing.




Nota:
Buat 1 1/2 adunan untuk mendapatkan 16 biji buku roti.




Bahan Kastard 1
3/4 cawan susu segar
2 sudu besar tepung kastard
2 sudu besar gula halus
1 sudu kecil mentega
1/2 sudu kecil esen vanilla

Cara cara:
Satukan gula dan tepung kastard. Kemudian masukkan susu sedikit sedikit sambil dikacau dengan whisk supaya tidak berketul hingga semua sebati. Masak atas api perlahan sambil terus mengacau hingga pekat. Angkat dari api, masukkan mentega dan esen vanilla. Gaul rata dan biarkan suam sedikit.

Isikan cream custard dalam beg plastik yang baru dan bersih. Gunting sedikit bucunya dan picit cream custard atas roti.

Buat sehingga habis dan bakar dalam oven pada suhu 190C selama 25 minit atau kuning keemasan. Keluarkan roti dan sapu dengan mentega semasa roti masih panas, sejukkan sebelum dihidang.





Bahan Kastard 2
1 sudu besar tepung kastard atau tepung jagung
1 sudu besar tepung gandum
2 biji kuning telur - kacau sedikit
1 cawan susu segar
Secubit garam
4 sudu besar gula
1 sudu besar mentega

Bancuh tepung, gula, garam dan tuang susu sedikit sedikit sambil kacau agar tidak berketul. Masukkan telur dan kacau lagi.

Masak diatas api sederhana sehingga pekat. Sentiasa kacau agar tidak berketul. Apabila sudah pekat angkat dan masukkan mentega dan dikacau sebati. Sejukkan dulu sebelum dimasukkan ke dalam piping bag dan digunting hujungnya. Sedia untuk dipaip atas roti mengikut kreativiti masing masing.



Sup Tulang Yang Sangat Sedap

$
0
0




Aduhaai dah lebih 4 tahun saya tak memandu kereta. Hari ini terpaksa dua kali memandu ke kedai runcit dek diajak berkali kali oleh Aween. Menggeletar lutut dan tangan. Terpaksa pergi kerana dah tak ada sesiapa yang boleh ke kedai. Nasib baik ada kereta anak buah yang ditumpangkan di sini. Saya ini nama jer ada lesen memandu tapi memang dimanjakan suami. Ke mana mana sahaja dihantar dan diambil. OK hari ini saya hendak kongsikan resepi sup yang sangat sedap. Resepi sup ini adalah resepi Sup Jangan Pandang Belakang yang dikongsikan oleh Azlita Masam Manis yang dipelajari dari Chef Amer dan Sambal Kicap juga dari Chef Amer. Terima kasih pada Ita yang telah sudi berkongsi resepi sup sedap. Sebenarnya dah lama dapur rumah saya tak berasap sejak kebelakangan ini kerana di kebanyakan masa hanya saya dan Aween sahaja yang ada di rumah. Yang lain semua sibuk bekerja, Nelly pula di Ipoh dan Boy pula tinggal di kampus. Nana seperti biasa dengan jadual kerja yang tidak menentu. Juita pula bekerja di New Zealand Natural sementara menunggu masuk kolej. Saya dah berulang kali minta dia berhenti. Kesian melihatkan tangannya dah terasa kasar sedikit dek banyak terkena sabun. Tapi dia terpaksa memberi 1 bulan notis. Itulah hanya saya berdua dengan Aween sahaja yang ada di rumah. Hari ini saya menyediakan sup pun atas permintaan Aween. Kalau ikutkan macam malas lah juga. Kaki lembu ini dibeli semasa balik Kelantan sempena majlis perkahwinan anak buah saya, Zetty dan Faiz. Punya lah besar tulang kakinya sehingga tak muat periuk tekanan. Terpaksa sebahagian direbus menggunakan dapur gas. Itu yang menjadikan masa di dapur hari ini agak panjang.





Sebelum melihat resepi saya ingin selitkan sedikit petikan kuliah Ustazah Aishah dari kitab Minhajul Abidin yang sangat bagus buat panduan kita. Bahasa yang digunakan juga sangat menghiburkan hati kita. Terdapat beberapa kategori musuh yang menghalang ketaatan kepada Allah. Musuh utama orang mukmin ialah orang mukmin itu sendiri. Bukan masalah besar jika kita berpandu Al Quran. Boleh rujuk kepada surah Al Imran ayat 26-27 yang memberi motivasi supaya kita tidak mendengki satu sama lain. Ini adalah kerana Allah lah yang berkuasa untuk memberi kepada sesiapa yang dikehendaki dan memuliakan sesiapa yang dikehendaki. Begitu juga Allah lah yang boleh menghina sesiapa yang dikehendaki. Kita tak dapat hendak menempatkan diri kita pada posisi yang kita hendaki. Kalau Allah kabulkan kehendak kita, kita akan gembira tapi kalau Allah tak kabul, jangan pula kita kurang bersyukur. Sepatut kita tambah gembira jika apa yang kita hendaki, Allah tak bagi kerana ianya adalah kehendak Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita hendaklah redha dengan apa yang Allah kehendaki. Allah tak perlu persetujuan sesiapa. Sebagai contoh, jika kita ingin menjadi Ketua Jabatan, tetapi tidak dapat. Ini bermakna kehendak Allah adalah kita bukan seorang Ketua Jabatan seperti mana yang kita kehendaki. Harap apa yang saya olah ini adalah jelas ya. Risau kot berbelit belitlah pulak. Hidup ini memang telah diatur oleh Allah. Segala pusingan hidup samada naik atau turun adalah untuk perkukuhkan akidah. Jadi jangan lah kita bersedih dan berdengki dengan orang lain yang diberi kelebihan dari diri kita. 





Musuh kedua orang mukmin ialah orang munafik yang membenci. Orang beriman saling membantu dalam bab kesabaran dan ketaqwaan. Jika kita diberi kekayaan, Allah hendak uji kita dengan kekayaan. Jika sakit, untuk uji kesakitan. Jika diberi pangkat kerana Allah hendak menguji dengan pangkat yang ada. Musuh kita yang ketiga ialah syaitan yang membawa kesesatan. Kita kena menjadi hamba Allah sepanjang masa. Betapa hina kesakitan yang dialami oleh orang yang rasa tidak dipedulikan, hasil kerja tidak diiktiraf dsb. Tapi yang paling hina ialah apabila Allah tak peduli pada kita. Kalau kita tak peduli, bukan lah kita kisah. Sebagai isyarat pedulinya Allah pada kita, Allah akan sentiasa mengubah kita. Allah Maha Sempurna kerana segala posisi kita Allah nampak. Lagi seronok kita jadi hamba kerana diri kita yang tidak sempurna. Kita tak layak untuk dilihat manusia, tapi kita kena enjoy kerana Allah melihat kita. Kita merasa takut bila kita rasa selesa kerana takut Allah tak peduli pada kita. Ketika rasa panas, kita akan terbayang bagaimana panasnya api neraka. Ketika lapar, terasa bagaimana makanan di neraka yang terdiri dari nana dsb. Itulah gambaran bahawa syaitan akan menghalang kita dari jadi hamba Allah. Wajib memerangi syaitan. Caranya ialah dengan baca Al Quran dan memahami makna.





Manakala musuh yang terakhir ialah orang kafir yang menyekat. Macamana Yahudi menjadi sesat walaupun tahu kebenaran. Kini mereka membunuh dengan teknologi. Rancangan yahudi untuk melemahkan pemikiran itu sendiri. Jangan iktiraf orang Yahudi lebih hebat dari saudara seIslam kamu sendiri. Kalau tak rujuk Al Quran, macam mana nak mendapat kefahaman dan persediaan. Ilmu yang penting utk jaga imam, maruah dan tanggungjawab kita. Cara mengalahkan syaitan ialah dengan ilmu pengetahuan. Dalam surah Al A'raf ayat 14-18. Allah telah membekalkan Nabi Adam dengan ilmu pengetahuan sehingga dapat mengalahkan ilmu Malaikat. Malas adalah salah satu dari produk syaitan. Imam yang tak ada makanan adalah tak beradab. Sebagai contoh jika membawa anak ke majlis dan mahu anak kita beradab, kita kena bagi anak makan dulu di rumah. Bila mereka kenyang, barulah mereka akan beradab dan berkelakuan baik. Iman kita kena diberi makan yang bersesuaian. Makanan iman adalah lafaz Astagfrillah, Alhamdulillah dsb dari kita membuka mata sehingga kita tidur. Untuk jadi hamba yang mengikut perancangan penciptaan, Al Quran lah modulnya. Kita menjadi celaru kerana salah menggunakan panduan. Sebagai contoh, membaca Al Quran hanya pada bulan Ramadhan. Sepatutnya kita membaca Al Quran setiap hari. Pahalanya sangat besar, pahala untuk setiap huruf. Jangan jauhi Al Quran. Tujuan manusia diciptakan adalah untuk meraikan muka bumi. Bukan untuk beribadat semata mata. Sebaik baiknya baca waktu pagi ialah surah Yasin. Paling sikit baca ayat yang ke 12 dan baca makna. Untuk ingatkan amalan kita akan dicatat oleh Allah. Jantung surah Yasin ialah ayat ke12. Semoga ianya bermanfaat buat kita semua. 

Jom layan resepi sedap dari blogger terkenal ini. Memang sedap dimakan dengan nasi putih panas panas ataupun dicicah dengan roti. Kalau makan ramai ramai lagi lah sedap. Hmmm apa nak buat, saat begini pasti akan dihadapi oleh setiap ibubapa apabila anak anak membesar dan memulakan kehidupan masing masing. Jom layan...




Sup Tulang Sedap 

Bahan bahan:
1 kg tulang lembu ~ rebus dahulu hingga empuk
2 sudu besar minyak masak 
1 sudu besar minyak sapi 
1 batang kulit kayu manis 
3 kuntum bunga lawang 
5 kuntum bunga cengkih 
3 biji buah pelaga 
1 labu bawang besar - di hiris 
1 peket kecil rempah sup - anggaran 2 sudu besar 
Air rebusan tulang secukupnya 
1 batang lobak merah ~ dadu 
2 biji kentang ~ dadu 
1 sudu kecil lada sulah
Garam secukup rasa
1 biji tomato - potong dadu 
1 batang celery - hiris
Daun sup dan daun bawang ~ hiris
3-4 biji cili padi - hiris
Bawang goreng - tabur

Bahan Kisar:
5 ulas bawang merah 
3 ulas bawang putih 
1 inci halia 
1/2 batang lobak merah 
1 batang celery 
1 batang leek 

Cara cara: 
Kisar bawang merah, bawang putih dan halia. Ketepikan. Kisar pula karot, batang celery dan leek. Ini bermakna ada 2 mangkuk bahan kisar berasingan yang perlu ditumis nanti. 

Panaskan minyak sapi dan minyak masak dalam periuk. Tumiskan rempah tumis ( kulit kayu manis, bunga lawang, pelaga dan cengkih) dan bawang besar yang telah di hiris hingga harum dan garing. 

Masukkan bahan kisar (bawang merah, bawang putih dan halia) dan tumis lagi hingga garing dan terbit minyak. Masukkan pula lobak merah, celery dan leek yang telah di kisar halus. Tumis lagi hingga garing. 

Kemudian masukkan rempah sup. Tumis lagi hingga rempah garing. Jika terlalu pekat boleh masukkan sedikit air.

Bila semua dah garing masukkan tulang dan air rebusan tulang. Jika kurang boleh tambah lagi air biasa. Kacau sebentar dan biarkan ia merenih. 

Jika gunakan tulang yang tak di rebus awal, masak hingga tulang empuk. Mungkin proses memasak menjadi lebih lama kerana nak tunggu tulang empuk. Semasa proses merebus ni akan keluar minyak, buih-buih dan sedikit kotoran. Sendukkan dan buangkan semua kotoran, buih-buih dan minyak di permukaan sup, ini adalah kotoran dari darah dan minyak dari lemak pada tulang. Bila daging dah empuk, masukkan lada sulah dan garam secukup rasa.

Akhir sekali masukkan kentang dan lobak yang telah di dadu kecil. Bila kentang hampir empuk, masukkan juga daun sup, batang celery, cili padi dan bawang goreng. Tutup api dan sedia di hidangkan dengan sambal kicap. Tapi saya tak buat pun sambal kicap kerana anak anak tak suka pedas. Saya cuma letak cili padi yang dihiris.

Sambal Kicap 

Bahan bahan:
15 biji cili padi
3 ulas bawang putih
1/2 cawan kicap ABC/kicap manis 
1 sudu besar sos tomato
1 sudu kecil cuka makan

Satukan semua bahan dan kisar. Sedia di makan bersama sup tulang.





Puding Batik Mudah dan Sedap

$
0
0



Resepi puding Batik ini saya pelajari dari sahabat baik saya, Datin Fauziah. Pada mulanya beliau memberi sukatan agak agak, tapi akhirnya setelah beberapa kali mencuba, saya telah memperolehi sukatan yang betul betul ngam ngam dengan citarasa saya. Datin Gee adalah sahabat lama saya yang dikenali sejak di minggu haluan siswa di kampus lagi. Kami bukan sahaja tinggal di kolej yang sama tetapi juga fakulti yang sama. Saya sediakan puding ini untuk jamuan makan makan di pejabat sempena meraikan harijadi boss lama dulu. Dah terperap sehingga terlupa untuk di publish....

Dulu saya pernah menyediakan Puding Batik ini tetapi dalam versi berwarna warna. Cantik juga kejadiannya. Boleh klik di SINI. Kadang kadang dengan mengubah warna sedikit sahaja telah menghasilkan kuih yang berlainan penampilannya. Klik di SINI untuk versi biasa yang telah disediakan sebelum ini.

Jom kita tengok resepi yang mudah dan sedap ini. Sesuai untuk hidangan pagi, petang atau bila bila masa sahaja.....




Puding Batik

Bahan bahan:
20 - 25 gram agar agar
4 mug air
1 1/2 cawan gula - kurangkan jika tak suka manis
1 tin susu cair
1 sudu besar butter
2 sudu besar tepung kastard
2 biji telur
1/4 cawan serbuk koko

Cara cara:
Masak agar agar dengan air sehingga hancur, sebelum dimasukkan gula. Masak hingga gula hancur.

Blend semua bahan lain kecuali serbuk koko. Masuk bahan di blend dalam agar agar dan kacau hingga agak pekat.





Bahagi adunan kepada 2 bahagian. Satu bahagian dicampur dengan serbuk koko yang dibancuh dengan air suam. Manakala satu bahagian lagi biarkan dalam warna asal.





Tuang adunan dalam loyang secara berselang seli hingga habis. Sejukkan di dalam peti sejuk kerana ianya sedap dimakan sejuk sejuk.








Sekuali Nasi Goreng Ikan Bilis Untuk Makan Malam

$
0
0



Saya memang dah lama teringin nak menikmati nasi goreng kampung yang didalamnya dimasukkan sayur kacang panjang. Entah kenapa macam kemaruk sangat nak makan nasi goreng yang di dalamnya di hiris kacang panjang kecil kecil. Bila susah sangat nak mencari nasi goreng sebegini, saya pun beli kacang panjang sebagai persediaan untuk menyediakannya sendiri di rumah.

Sementara saya menyediakan bahan bahan untuk nasi goreng, saya meminta Boy memasakkan nasi. Dan kesemua nasi seperiuk itu, saya jadikan nasi goreng. Haaa sekuali besar nasi goreng  untuk makan malam giteww. Kira macam melepaskan geram kerana dah lama tak makan nasi goreng yang kena dengan selera sendiri. Ingatkan kalau tak habis, bolehlah dimakan semasa bersahur keesokannya. Tapi bila saya masuk ke dapur, tengok dah tinggal sedikit sahaja lagi kerana ada yang dah mengulang makan. Serius saya rasa nasi goreng yang digoreng sendirilah yang paling sedap. Sangat sangat ngam dengan selera saya. Tak perlu nak komplen. Tak kiralah apa jenis nasi goreng sekalipun, nasi goreng kampung, nasi goreng China atau apa apa jer.

Kali ini saya menyediakan nasi goreng Ikan bilis yang memang merupakan feveret saya antara banyak banyak jenis nasi goreng. Nasi goreng seperti ini sedap di makan dengan keropok, keropok lekor, ikan kering keropok ataupun dengan ayam goreng. Pendek kata dengan memasak nasi goreng ni sangat ringkas, cukup hanya menyediakan satu lauk tadi sahaja. Atau kalau paling paling pun, sediakan telur dadar atau telur mata kerbau. Aduhaaai  terbaeek lah. Nasi goreng dan saya, huhuhu tak kan terpisah.



Nasi Goreng Ikan Bilis
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering - ikut pedas disukai
Semangkuk ikan bilis – lagi banyak lagi sedap
Secekak kacang panjang – hiris kecil
2-3 biji telur – ikut suka
Garam
Cili merah, Daun bawang – hiasan
Bawang goreng - tabur

Cara cara:
Kisar cili dan bawang bawang sehingga hancur. Saya lebih suka kalau ianya agak kasar supaya nampak cili kering di dalam nasi goreng. Tumbuk kasar ikan bilis yang telah dibasuh.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan ikan bilis ke dalam kuali dan terus menumis sehingga cili benar benar garing dan masak. Kemudian masukkan sedikit air.

Masukkan kacang panjang seketika dan terus masukkan nasi. Kacau rata. Ketepikan sedikit nasi dan tuangkan telur yang telah dikocak dengan garfu. Biarkan seketika sebelum dikacau rata supaya bergaul rata dengan nasi.

Masukkan garam secukup rasa. Taburkan dengan daun bawang, cili merah, bawang goreng sebelum dihidangkan.

Hidangkan sekali dengan ikan kering keropok atau keropok atau keropok lekor.


Udang Masak Lemak Dengan Belimbing Buluh

$
0
0




Kali ini, saya sajalah hendak menayangkan entri tertunggak iaitu Masak Lemak Udang Harimau yang disediakan secara segera sehingga anak anak bertanya bila saya menyediakannya atau ianya memang yang telah disimpan dalam freezer. Memang sangat cepat pun menyediakannya. Kebetulan ada pula, belimbing buluh yang dihantar oleh Dr Ibtisan jiran kami, jadi saya campak ianya sekali ke dalam masak lemak. Rasanya tak sampai pun setengah jam dari mula menyediakan bahan sehingga ianya terhidang di atas meja makan. Bahan gulai lemak lah yang paling mudah. Cuma kisar kunyit hidup dan cili padi/ cili hidup sahaja. Masukkan garam dan dikacau kacau, dah pun siap. Asam keping pun tak perlu kalau untuk makanan laut yang sememangnya manis. Cuma ada ketika, di mana saya masukkan juga beberapa ulas bawang merah. Pendek kata semuanya ikut gerak hati sendiri.

Saya menyediakan Masak Lemak Udang dengan Belimbing buluh untuk hidangan makan malam anak anak, selepas terasa malas nak keluar untuk makan malam. Memang sedap masak lemak ini jika kuahnya dibuat sedikit pekat. Dimakan pulak dengan nasi putih panas panas dan telur dadar goreng. Memang terbaik lah...... Cumanya saya tak makan pun udang, hanya menceduk kuah ke dalam pinggan nasi sahaja. Biasalah anak anak akan diberi keutamaan.








Daging Kijang Goreng Garam Kunyit

$
0
0




Inilah kali pertama saya makan daging kijang. Daging kijang ini dibawa balik oleh abang ipar saya yang mengajar di Gua Musang. Secara jujur, daging kijang tidak ada banyak perbezaan dari segi rasa dengan daging biasa. Jika tidak diberitahu mungkin saya akan fikirkan yang ianya adalah daging lembu. Tapi daging binatang seperti ini mahal kerana ianya adalah binatang yang didapati secara semulajadi. Tidak diternak. 

Seperti biasa saya mahu selitkan sedikit petikan dari kuliah Maghrib Ustaz Adli. Surah Al Hashr ayat 18 bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

Selama ini banyak ditulis bahawa seorang bapa dan suami akan menanggung dosa anak perempuan yang belum berkahwin dan seorang isteri. Sedangkan dari ayat di atas jelas dilihat bahawa dosa seorang tidak dipindah pada orang lain. 

Seorang tidak tanggung dosa orang lain walaupun suami atau bapa pada isteri dan anak. Yang berdosa ialah kerana tidak mendidik anak anak dan isteri dengan didikan agama. Yang kena dipertanggungjawab ialah menanggung apabila anak atau isteri membuat kesalahan jenayah atau yang memerlukan gantirugi atas kerosakan yang telah dibuat mereka. Tetapi kalau seseorang telah bertaubat kerana kegagalan mendidik isteri dan anak, mereka telah lepas lah dosanya jika taubatnya diterima. Boleh rujuk kisah Nabi Nuh di mana isteri dan anaknya engkar akan arahan Allah. Ini tidak bermakna Nabi Nuh perlu menanggung dosa anak dan isteri baginda. Jadi apa apa tafsiran perlulah berlandaskan nas dari Al Quran atau hadis. 

Lihat juga surah 'Abasa ayat 33-37.
Kemudian (ingatlah keadaan yang berlaku) apabila datang suara jeritan yang dahsyat, Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja. Intipati Kuliah Ustaz Adli

Jom layan resepinya dulu...



Daging Kijang Goreng Garam Kunyit
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Daging kijang - lumur garam kunyit
Cili solok
Bawang besar

Cara cara:
Rebus daging yang dilumur garam kunyit sehingga ianya empuk dan air kering. Masukkan minyak dan goreng seketika.

Kemudian masukkan bawang dan cili. Kacau rata dsn bolehla diangkat dsn sedia untuk dihidangkan.


Masak Lemak Cili Padi Ikan Merah

$
0
0





Hari ini saya ingin kongsikan resepi yang masih menggunakan stok ikan Merah segar yang hubby beli di Tawau. Kali ini saya memasak Masak Lemak Cili Padi. Ini bukan entri baru tapi entri yang lama tertunggak. Bayangkan telah lama hubby ke sana, baru hari ini saya berkesempatan untuk menyiarkan entri ini. Tak adalah apa yang istimewa atau luar biasa dengan resepi ini, cuma untuk memanaskan sedikit blog yang dah mulai suam kuku sahaja, maka saya menulis entri ini. Gambar pun hanya menggunakan handphone dan memang tak berapa sharp atau sebab saya yang tak reti menggunakannya. Kamera hari ini bercuti mengikut Nana ke Melaka bersama kawan kawan ketika itu.  

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengikut setia blog saya kerana masih sudi singgah walaupun sejak kebelakangan ini saya agak kurang mengemaskini blog. Saya memang agak sibuk dengan tugas di pejabat yang menyebabkan saya tidak berkesempatan atau tiada mood untuk menulis apa apa. Saya agak terkejut dan dalam masa sama terharu apabila Suharto, rakan sepejabat memberi komen yang saya telah lama tidak membuat entri baru di blog. Ini bermakna dia mengikuti blog saya. Seperti yang saya beritahu pada hubby, andai saya tidak lagi mempunyai baki pinjaman perumahan, sudah pasti saya akan memilih untuk bersara pilihan. Bukan jumlah kerja yang menjadi ukuran tetapi persekitaran kerja yang kadang kadang menjengkelkan. Namun begitu saya masih bersabar kerana bekerja juga adalah satu ibadah. Manusia dilahirkan untuk memeriahkan mukabumi, bukan hanya duduk di atas sejadah semata mata. Malahan saya amat yakin yang setiap perbuatan baik atau buruk pasti akan diberi dengan balasan yang setimpal kerana Allah Yang Maha Adil kepada semua makhluknya. Hmm bak tajuk kitab yang dikupas Ustaz Syarhan, Apa Ertinya Saya Beragama Islam. Bagi orang Islam, doa adalah penghubung dengan Allah. Allah memintakan kita berdoa dan meminta apa sahaja dari Nya. Hanya masa yang akan menentukannya... bila doa saya diMakbulkan...




Masak Lemak Cili Padi Ikan Merah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
3 keping ikan merah
5 biji cili padi kampung
1 inci kunyit hidup
Santan secukupnya
Garam
Asam keping 

Cara cara:
Kisar cili padi dan kunyit hidup dengan menggunakan sedikit santan sehingga hancur. Panaskan bahan kisar dengan santan menggunakan api perlahan sambil terus dikacau sehingga hampir mendidih. 

Masukkan ikan dan terus kacau sehingga ikan masak dan masukkan garam serta asam keping. Sesuaikan rasa dan boleh lah ditutup api.


Kota Kinabalu Yang Sentiasa Menjadi Pilihan

$
0
0





Kunjungan saya ke Kota Kinabalu untuk kesekian kali ini adalah atas dasar kerja. Tapi seperti biasalah saya agak susah tidur bila keseorangan menjadikan saya agak keletihan keesokannya. Jadi kali ini saya memujuk mujuk hubby supaya ikut bersama. Tapi gembiranya hati setelah lama saya meminta, akhirnya bukan sahaja hubby tapi Aween dan Juita juga dibawa bersama. Oleh kerana travelling kali ini hanya berempat, hubby telah membeli tiket Business Class untuk semua. Kota Kinabalu sentiasa menjadi pilihan destinasi saya seperti juga Pulau Pinang jika di semenanjung. Pendek kata tidak pernah jemu ke sini walaupun berkali kali.






Namun kalau dah datang pun atas urusan kerja, maka saya memang terpaksa membuat urusan pejabat dari airport sehinggalah sepanjang atas kapal terbang. Alhamdulillah hubby faham kerana saya telah memberitahu yang saya mempunyai tugas yang perlu dibereskan yang memerlukan tumpuan. Sepanjang penerbangan, saya sempat mengambil gambar keindahan makhluk ciptaan Allah. Awan memutih yang cantik berapungan di udara yang sangat hebat ciptaanNya.






Walaupun tiada plan untuk ke mana mana sepanjang di KK, namun hubby menyewa kereta juga untuk memudahkan pergerakan. Saya sangat menghargai pengorbanan hubby yang telah mengenepikan tugasan beliau sendiri semata mata untuk membuat saya selesa. OK cukup di sini dulu dan semoga kita dapat bertemu lagi dengan sambungan citer citer JJCM dalam entri akan datang. Salam sayang dari Negeri Di Bawah Bayu buat semua dan semoga kita berada di dalam lindungan dan penjagaan Allah. Ingat.. bila kita jaga Allah, Allah pasti akan menjaga kita sepanjang masa hatta sehingga ke akhirat. Insya Allah, bah.....


Menyambut Hari Jadi Di Negeri DI Bawah Bayu

$
0
0




Masih lagi bersiaran dari Negeri Di Bawah Bayu. Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih buat kawan kawan semua yang memberikan ucapan hari lahir buat saya samada di facebook, WhatsApp dan juga melalui message. Tahun ini saya menyambut 18 April iaitu hari lahir saya di Negeri Di bawah Bayu. Ia menjadikan setahun baki usia saya berkurangan. Tahun ini juga saya menyambut hari lahir dalam keadaan yang sangat lemah dek terkena food poisoning. Perut saya memang sensitif walaupun ambil hanya 3 ketul lokam bakar tapi tetap memberi kesan. Langsung jadi lemah jer sepanjang hari sehingga terpaksa mendapat rawatan di klinik. Makan pun dah tak lalu walaupun bermacam macam makanan laut kesukaan yang hubby pesan. 

Itulah maknanya kesihatan lah yang paling bernilai di dalam hidup ini. Bila badan tak sihat, berilah apa sahaja, ianya tak akan mampu membuatkan kita tersenyum. Terfikir bagaimana hari hari seterusnya bila usia makin meningkat. Setiap kali melihat orang yang lebih tua, saya akan membayangkan yang mereka juga suatu ketika pernah melalui zaman muda. Begitu juga dengan saya, yang pasti akan melalui zaman seperti mereka. Bila senja hampir berlabuh. Ya Allah panjangkan lah umurku dalam ketaatan dan berikanlah kesihatan yang baik supaya dapat melakukan ibadah sehingga ke akhir hayat.





Selepas balik dari urusan kerja, kami keluar makan tengahari di Restoran Krishna's di Penampang yang hidangan makan menggunakan daun pisang. Satu pengalaman menarik buat saya dan anak anak. Hubby pernah ke sini dengan Tuan Kamal, sahabat kami sejak di kampus. Kari kepala ikannya memang sangat sedap.

Berbalik pada hari ulang tahun saya kali ini, azam saya adalah untuk menambahkan amalan soleh. Bak pesan Ustaz Ibrahim, usia seperti saya ini kena memecut laju kerana bila bila masa sahaja saya boleh dijemput pergi. Saya tidak boleh lagi mengundur ke belakang dan tiada guna lagi merenung zaman silam yang penuh laghaa dan kejahilan. Saya juga ingin lebih banyak bersabar dengan sebarang dugaan kerana Allah tidak akan menguji HambaNya di luar kemampuan. Setiap dugaan diberi adalah untuk meningkat darjat seseorang. Bagi seorang muslim, masa suka atau duka, semuanya baik belaka. Lagi pulak, biar manusia tidak mempedulikan asalkan Allah masih mengasihi dan peduli akan kita. Apa yang saya ada pada hari ini adalah kehendak Allah yang mahu saya berada di tahap ini. Kehendak Allah lah yang paling penting, bukan apa yang saya kehendaki kerana ianya mungkin tidak baik untuk saya. Itu yang diungkap Ustazah Aishah semasa kuliah Zohor. Saya kena banyak bersyukur kerana kebelakangan ini, banyak doa saya yang telah dimakbulkan satu persatu. Kalau pun tidak dimakbulkan, saya juga perlu lebih bersyukur. Pendek kata, tiada syarat untuk taat kepada Allah.



Perlunya Sentiasa Bersyukur

$
0
0




Walau saya tidak cantik, ada sesuatu yang saya tak suka dan selalu merasa rendah diri, namun saya bersyukur. Walau saya tidak berpangkat dan berkedudukan dan selalu merasa rendah diri, namun kini saya bersyukur. Walaupun saya tidak kaya walaupun bekerja seumur hidup, namun kini saya sangat sangat bersyukur. Ini adalah kerana masih ramai manusia yang hidup di dalam kepayahan. Rupa rupanya di belakang bangunan moden, terselit kesukaran dan kepayahan hidup lebih sukar dari sebarang kesukaran yang saya alami. Walaupun siapa mereka, namun mereka pasti mengimpikan kehidupan seperti mana orang lain juga.




Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai anak kepada kedua ibubapa saya. Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai umat Nabi Muhamad SAW. Saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai orang Islam. Nikmat apa lagi yang hendak saya dustakan setelah melihat dengan mata sendiri betapa payahnya kehidupan setengah orang.

Namun begitu saya yakin, walaupun tinggal dalam serba kekurangan, mereka tidak kekurangan dari segi kegembiraan. Mungkin hati mereka lebih berbunga dan bahagia dari saya sendiri. Baru malam tadi saya memikirkan bahawa tiada kejayaan hakiki dalam hidup kerana setelah memiliki apa yang dihajati, pasti kita akan mengimpikan kejayaan yang lain pula.




Saya hanya ingin menjadi diri sendiri dan tidak mahu merasa rendah diri apabila melihat kelebihan orang lain. Hakikatnya, saya tidak mampu memiliki apa yang dicapai orang lain, tidak bermakna nya saya harus tidak bersyukur kepada Illahi. Sekadar mencoretkan luahan hati yang sentiasa perlu diberi peringatan.


Viewing all 2253 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>