Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2253 articles
Browse latest View live

Aduhaai Sedap Nyer Daging Kambing Panggang

$
0
0



Sahabat dan jemaah surau Ad Dhuha memberikan kami satu pek daging kambing perap panggang jenama D'Pedas yang telah di marinate dengan sos black pepper dan sedia untuk dipanggang. Kebetulan sekali, kami sekeluarga memang menggemari daging kambing. Kalau di Kelantan, pastilah gulai kawah Kambing tapi kalau di sini, daging kambing panggang. Dengan adanya daging kambing yang sedia untuk dipanggang menjadikan penyediaannya sangat cepat dan mudah serta yang penting sangatlah sedap. Anak anak saya semuanya memberi komen yang ianya sangat sedap. Tak perlukan apa apa sos lagi, sedap dimakan begitu sahaja, cukup dengan bahan marinate jer. Jika dipesan dari restoran, pastinya mahal sekali. Kalau makan untuk sekeluarga, banyak juga duit yang perlu dibayar. Tapi jika dibeli dan dipanggang sendiri, tentu sekali sangat sangat menjimatkan. Bayangkan untuk satu pek ini, ianya boleh di makan oleh kami 4 beranak.





Jom kita tengok cara penyediaan dengan saya memanggang menggunakan kuali ajaib yang telah diletakkan sedikit minyak. Setelah panas, masukkan daging kambing dan masak dengan api sederhana. Setelah itu dibalik balikkan supaya ianya tidak terlalu masak. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan.





Jika ada yang berminat untuk mendapatkan stock daging kambing sedia dipanggang ini dengan menghubungi nombor telefon di bawah ini. Encik Rumi merupakan jemaah di Surau Ad Dhuha juga. Haa ada informasi harganya sekali. Apa ditunggu lagi? Angkat telefon dan buatlah tempahan segera.







Telur Goreng Daun Bawang Sedap

$
0
0




Telur adalah makanan basic pada semua orang tak kira bangsa atau negara. Bila tak ada lauk di rumah, telur lah yang menjadi pilihan untuk dijadikan lauk. Sejak kecil saya dibiasakan makan telur dadar kerana dengan sebiji telur yang digoreng dadar, ramai orang dapat menikmatinya berbanding dengan telur yang direbus. Kalau semasa di kampung, cara arwah Bonda membuat telur dadar ialah dengan menumbuk beberapa biji bawang merah, garam dan lada hitam sehingga lumat. Kemudian disatukan dengan telur, kacau rata dan goreng garing. Tapi bila dah mempunyai keluarga sendiri, saya mempelbagaikan cara menggoreng telur dadar. Biasanya saya hanya menghiris bawang besar dan cili merah serta sedikit garam. Tapi ada masanya bila terlebih rajin, saya letaklah apa apa yang ada di dapur ke dalamnya.  

Hari ini saya nak kongsikan tentang keenakan daun bawang lagi. Jika sebelum ini saya menggoreng daun bawang dengan udang di SINI dan membuat sup daun bawang di SINI serta membuat cucur daun bawang di SINI, hari ini saya nak menambah cara penggunaan daun bawang di dalam telur dadar pula. Bagi ibu ibu dan suri suri rumah, rasanya ianya bukanlah perkara baru memasukkan daun bawang ke dalam telur dadar. Alaa kalau tak share di sini, tak adalah pulak entri yang nak dibuat ya. Buat anak anak yang baru belajar memasak, boleh lah mendapat sedikit idea untuk memasak telur dadar.

Jom layan resepi telur goreng dadar daun bawang yang sangat sedap ini...

Telur Goreng Daun Bawang

Bahan bahan:
2 biji telur
1/2 cekak daun bawang - hiris nipis
1 tangkai cili merah - hiris
Garam
1/2 sudu besar mayonis

Cara cara:
Satukan semua bahan dan dikocok dengan menggunakan garfu. Panaskan minyak dan tuang telur dan goreng sehingga garing yang  disukai.





Angkat dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih panas panas.




Selamat mencuba...


Kuih Jemput Jemput Pisang

$
0
0




Orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah akan diberi hidup tenang di dunia dan syurga di akhirat. Diberi kecukupan, bantuan dan rezeki yang tidak disangka sangka. Hanya apabila hamba menyakini Allah dengan sepenuh hati, Dia akan memberi ketenangan hati (surah Al Ra'd ayat 28). Kunci utama kejayaan dan kebahagiaan individu itu ada pada hati yang tenang. Tidak ada sebarang ketakutan dalam menghadapi hidup ini. Apabila gagal dalam sesuatu perkara, sebaik baiknya kita cuba mengkaji hikmah di sebalik kegagalan itu. Pasti ada, pasti sekali ada. Tidaklah kita dikatakan seorang yang beriman sehingga kita diuji dengan sesuatu ujian seperti maksud Firman Allah dalam surah Al Ankabut, ayat 2-3. Kebahagiaan bukan pada harta atau pangkat serta kedudukan, kerana semuanya tidak kekal dan bukan kebahagiaan hakiki. Ini adalah kerana setelah kita memperolehinya, kita masih tidak menemui kebahagiaan yang dicari. 





Ini entri main main jer ni. Entri main masak masak atau pondok. Hahaha nampak betul dapur tak berasap sekarang ni. Maklumlah pengisian masa saya sedikit padat sekarang. Cuma bila ada masa terluang baru saya akan memasak. Seronok juga bila anak anak makan menambah nambah apa yang dimasak seperti Kerutuk Daging di SINI. Setelah lama tak memasak nasi dan lauk pauk, saya memasak untuk menghabiskan stock barang basah yang penuh di dalam freezer.

Saya menyediakan kuih Cekodok Pisang atau dipanggil Jemput Jemput pisang kalau di Kelantan ini atas permintaan Juita. Agaknya beliau teringin sebab dah lama tak menyediakan kuih tradisional yang paling mudah ini. Sewaktu mencari sarapan di gerai nasi lemak kegemaran saya di Kundang pada pagi hari minggu, saya singgah membeli ubi kayu dan pisang emas untuk dibuat kuih jemput jemput pisang. Sedap pulak makan ubi rebus yang dicicah dengan kelapa parut putih. Hilang rasa patah hati kerana gerai nasi lemak tersebut tidak berniaga pada hari itu. Memang sedap nasi lemak dan lontong di situ. Setiap kali ke sana memang kena berebut paru goreng sambal yang memang menjadi kegemaran ramai pelanggan ke situ.

Ish ish tak kan lah resepi cekodok atau jemput pisang pun nak tulis di sini. Hahaha sebenarnya blog saya ini banyak dirujuk oleh anak anak yang masih belajar memasak terutama di luar negara. Ianya termasuklah anak anak lelaki yang mungkin tak pernah tengok pun ibu memasak di dapur semasa di rumah. Jadi kita saja saja lah nak share di sini.



Kuih Jemput Jemput Pisang

Bahan bahan:
7 biji pisang emas
3 sudu besar gula pasir
Secubit garam
Tepung gandum secukupnya

Cara cara:
Pisang dikupas kulit dan dilenyek hancur dengan menggunakan garfu. Masukkan gula dan garam.

Akhir sekali masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Jangan terlebih gandum, nanti adunan keras dan tak sedap.

Panaskan minyak dan jemput adunan kecil kecil dan masuk ke dalam minyak yang telah panas. Goreng dengan api yang sederhana. Balik balikkan sehingga masak rata dan bolehlah angkat dan tos atas towel paper. Sedia untuk dihidangkan bersama teh atau kopi.

Nota;
Jika suka, boleh letakkan sedikit baking powder dan biarkan seketika sebelum digoreng.



Daging Rusa Goreng Garam Kunyit

$
0
0




Hari ini saya ingin kongsikan sedikit petikan dari Kuliah Maghrib Ustaz Zaid Hamzah yang memang agak sukar kerana beiau hanya datang pada minggu kelima sahaja. Tajuknya ialah bagaimana untuk mencintai Rasulullah. Kerana orang yang mencintai Rasulullah sahaja yang akan dicintai Allah dan seterusnya Allah akan mengampunkan dosa dosa. Caranya ialah dengan menjadi seorang mukmin professional. Apa makna mukmin? Ianya adalah merujuk kepada orang yang baik. Manakala bila disebut professional pula adalah bermakna orang yang cerdik. Hari ini ramai yang baik tapi tak cerdik, ada pula cerdik tapi tak baik dan paling teruk tak baik dan tak cerdik. Manakala yang terbaik adalah baik hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, iaitu baik dan cerdik. Kita mesti kasih pada Rasulullah lebih dari ibubapa atau keluarga, barulah sempurna iman kita. Syarat mencinta Allah ialah mencintai Rasulullah. Rasul adalah role model. Ali Imran ayat 31. 

Bila kita cinta pada Rasul, Allah cintakan kita dan Allah hapuskan dosa dosa kita. Orang bercinta akan selalu ingat orang yang kita cintai. Kalau tak ingat, bukan cinta namanya. Jika ini yang berlaku, kita perlukan penjenamaan semula. Matlamat kita mesti jelas iaitu untuk menjadi mukmin profesional. Al Quran menyebut kita pasti dihina kecuali orang yang menjadi hamba Allah yang baik dan orang yang baik hubungan dengan manusia. Marilah sama sama membuat perubahan agar kita dapat menjadi mukmin yang baik dan profesional. Rasulullah bukan sahaja idola yang dipuja tapi adalah role model. Role model maknanya kita mesti ikut apa contoh yang dibuat Rasulullah. Telah ada pada Rasulullah, contoh tauladan. Terdapat 3 sebab mengapa orang tidak dapat mengikut Rasulullah sebagai contoh. Pertama kerana mereka tidak benar benar beriman kepada Allah. Kedua mereka tidak beriman pada hari akhirat. Mereka tidak yakin dengan hari kiamat. Manakala sebab terakhir ialah mereka tidak berterusan mengingati Allah. Allah menegas dalam Al Quran bahawa dengan zikir mengingat Allah, hati akan tenang. Caranya ialah ingat Allah dalam keadaan duduk berdiri tidur dsb. Orang kalau ingat Allah tak akan mencuri masa dalam bekerja. Tak akan melakukan perbuatan rasuah dsb. 

Ustaz menyarankan supaya kita menjelajah mukabumi seperti yang Allah firmankan untuk kita melihat akibat dari perbuatan orang yang yang menderhaka kepada Allah. Kata ustaz bukan hanya perlu ke Mekah dan Madinah sahaja setiap tahun. Terdapat pelbagai cara berzikir iaitu dalam ucapan, hati dan dengan tindakan dan perbuatan.  Rasulullah ialah seorang model mukmin profesional dalam perniagaan, kepimpinan, peperangan dan dakwah. Sehingga orang kafir meletakkan Rasulullah di tempat pertama dalam senarai orang yang terhebat. Rasul pakar strategi perang. Contoh dalam perang Uhud. Sebelum perang, baginda melakukan survey dulu. Baginda menawan Bukit Uhud untuk memudahkan melihat musuh yang datang. Dalam Perang Badar, baginda menawan kawasan yang mempunyai lopak air kerana air sangat penting. Dalam konteks dakwah, bagaimana bijaksana Rasulullah seperti dalam perjanjian Hudaibiah. Contoh bila mana Abu Jahal menetapkan syara yang mana mana orang Mekah yang masuk ke Madinah mesti dipulangkan dan orang Madinah yang masuk ke Mekah tak boleh balik semula ke Madinah. Sedang ramai sahabat merasakan ianya adalah syarat yang tidak adil tapi Rasulullah bersetuju dengan syarat tersebut kerana baginda sangat bijaksana. Baginda menerangkan bahawa orang Mekah yang masuk ke Madinah akan diislamkan dan dihantar balik ke Mekah untuk mereka mengislamkan pula keluarga mereka di Mekah. Orang Madinah yang memang Islam di Mekah, biarkan terus berada di Mekah untuk mengembangkan Islam di sana. Tujuan Abu Jahal membuat syarat tidak adil itu adalah untuk membuat Rasulullah marah tapi sebaliknya yang berlaku. Sesungguhnya kepimpinan Rasulullah adalah sangat ideal. Menjadi mukmin profesional adalah perintah Allah. 

Manusia yang cemerlang. Kena berfikir di luar kotak. Kotak itu adalah dunia. Ertinya kita kena berfikir dari dunia sehingga akhirat. Cemerlang dalam Islam adalah mesti bersepadu. Di dunia kita mahu mendapat kemudahan dan kesenangan dan seterusnya tenang dan bahagia. Di akhirat kita mahu mendapat keredhaan Allah dan syurga. Jangan beria ia cari duit tapi tak sempat guna duit. Tak sempat menikmati duit. Ada kereta besar tapi naik motor kapcai ke masjid. Itu namanya kufur nikmat. Dunia tempat tanaman dan di akhirat tempat tuaian. Kalau di dunia tak tanam, apa yang nak dituai di akhirat kelak. Allah nak kita cari akhirat tapi tak lupa keperluan kita di dunia. Cari dunia untuk akhirat. Kalau mampu bina istana, bina lah. Zuhud bukan maknanya mesti hidup miskin. Zuhud terletak pada hati. Ertinya tidak tercalar hati dengan apa yang berlaku dalam kehidupan. Cth, kalau hilang barang, tak apalah. Tak ada terkesan di hati seperti rasa sedih dan marah atas apa yang berlaku. Kenapa perlu cemerlang di dunia? Mesti cemerlang kerana hidup di dunia sekali sahaja. Alangkah malangnya jika kita tidak menikmati hidup di dunia ini. Ciri ciri individu cemerlang ialah yang mantap imamnya. Punya kewibawaan dan harga diri yang tinggi. Misi hidup yang tepat dan jelas. Formula Kecemerlangan dunia dan akhirat ialah memiliki misi dan visi hidup yang tepat dan jelas. Apa visinya? Iaitu mahukan syurga. Kedua membangunkan potensi diri ke tahap maksimum. Allah tak terima kerja kita jika tak cekap. Gaji kita dapat tapi pahala tak dapat. Akhir sekali memberi kebaikan pada orang lain yang dikatakan amal soleh. Allah akan beri syurga pada orang yang beramal soleh. Amal soleh ialah apa apa yang memberi manafaat. Cukuplah dulu setakat ini. Jom tengok resepi.



Daging Rusa Goreng Garam Kunyit
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Daging rusa\- lumur garam dan kunyit
Bawang besar - mayang
2 biji cili merah - hiris
Halia - hiris
Minyak untuk menggoreng
Daun bawang - hiasan

Cara cara:
Lumurkan garam dan serbuk kunyit pada daging. Masak sehingga daging empuk dengan sedikit air. Saya guna pressure cooker.

Setelah air kering, masukkan minyak dan digoreng sambil dikacau rata. Akhir sekali, masukkan halia, bawang besar dan cili merah yang dihiris. Kacau rata. Bolehlah ditutup api.

Tabur daun bawang sebelum dihidangkan.


Kaki Ayam aka Ubi Keledek Goreng

$
0
0




Kuliah Ustaz Hamim berkenaan makanan yang baik. Makanan yang baik, pastinya adalah yang halal. Apakah makanan yang halal dan boleh dimakan? Syarak hanya menjelaskan apa apa makanan yang haram sahaja. Ini adalah kerana makanan yang haram adalah sedikit berbanding dengan makanan halal. Allah menerangkan yang sedikit supaya senang diingat. Apa apa selain dari makanan haram, maka ianya adalah halal. Antara makanan haram ialah arak, daging babi, bangkai haiwan mati lemas, haiwan mati terkena benda tumpul, haiwan berburu dengan taring, burung yang menggunakan kuku untuk berburu atau makanan yang boleh memudaratkan kesihatan dll.





Halal bermakna dibenarkan oleh syarak samada secara khusus atau secara tidak langsung. Sebagai contoh, pengharamam arak disebut dalam Al Quran secara khusus. Yang haram secara tidak langsung seperti dadah yang boleh memabukkan, merosakkan akal dan fikiran. Bila disebut halal dan toiyyiba ianya bererti halal kerana telah diharuskan dan juga mengandungi unsur toiyyiba. Erti toiyyiba adalah secara ilmu sains adalah sesuai untuk dimakan. Bila disebut toiyyiba sahaja ianya membawa maksud tentunya halal. Tapi ada juga halal tapi tak toiyyiba iaitu tak digalakkan makan. Contoh daging kambing adalah halal tapi ianya kadang kadang toiyyiba dan adakala tidak toiyyiba bergantung kepada  samada seseorang berpenyakit darah tinggi atau tidak. Contoh kedua adalah seperti gula yang tidak sesuai diambil banyak banyak kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Penggunaan istilah sunnah kadang kadang tidak difahami dengan jelas. Sunnah Nabi yang patut diutamakan ialah benda yang jika dibuat semakin kuat tahap keimanan kita. Makan kurma, memang sunnah Nabi tapi tak semestinya iman lagi bagus dari orang yang tak makan kurma kerana Abu Jahal juga makan kurma. Ada sunnah berkaitan syariat. Cth solat ikut cara Nabi. Berniaga dengan baik dan jujur seperti mana Nabi teladankan. Kita digalakkan ikut sunnah yang berkaitan syariat. Kita ikut sunnah yang lain sebagai tanda sayangkan Nabi. Sebelum majlis berakhir, Ustaz juga menyebutkan juga bahawa syaitan ialah apa apa bisikan yang mengajak kepada kejahatan. Satu suapan benda haram masuk dalam perut, Allah tak terima amalan kita selama 40 hari. Allah tak pandang solat yang kita kerjakan, doa juga Allah tak terima dan setiap daging tumbuh dari sumber haram akan dibakar. Hendaklah benar benar insaf dan bertekad untuk berubah. Sekarang kita masuk bab masakan pula iaitu kuih kaki ayam.

Ubi keledek goreng atau lebih dikenali sebagai Kaki Ayam sangat lah femes di kelantan. Ianya dijual setiap petang di kebanyakan tempat di Kelantan. Berbeza dengan ubi keledek goreng di sini yang dihiris sekeping nipis, di sana akan digoreng selebar dan sepanjang jari. Agaknya itulah dipanggil kaki ayam. Cara penyediaannya sama sahaja dengan pisang goreng di mana ubi keledek dicelup tepung dan digoreng sehingga garing. Jom tengok resepi dan cara penyediaannya...



Kaki Ayam

Bahan bahan:
Ubi keledek - potong panjang
Tepung beras
Garam
Sedikit kapur
Serbuk kunyit
Air secukupnya.

Cara cara;
Potong ubi keledek panjang dan rendam dengan sedikit air garam. Angkat dan tos.




Satukan semua bahan lain dan masukkan air sedikit demi sedikit sehingga sesuai kecairannya.

Masukkan ubi ke dalam tepung dan gaul rata. Masukkan ke dalam minyak yang telah panas dan goreng sehingga garing. Balik balikkan dan angkat, tos. Sedia untuk dihidangkan panas panas.






Aduhai Sedap Nyer Bubur Lambuk

$
0
0




Kali pertama saya menikmati bubur lambuk seperti ini di bulan Ramadhan yang lalu. Memang sedap. Ianya tidak sama dengan bubur lambuk yang disediakan dan dijual di Kg Baru di sepanjang bulan Ramadhan. Ianya lebih pada citarasa tradisional dengan dimasukkan pelbagai sayuran kampung. Bubur lambuk ini disediakan oleh Kak Norihan dan suaminya Haji Haron di Surau Ad Dhuha. Mereka menyediakan bubur lambuk ini pada akhir bulan Disember sewaktu saya bercuti ke Grand Lexis Port Dickson di SINI. Tapi Alhamdulillah kerana rezeki, apabila Kak Yan sudi menyimpan satu pek untuk saya. 

Saya kongsikan di sini berkenaan hidayah. Setengah orang dapat hidayah tapi tak dapat taufik. Contoh, ada orang tahu pahala besar solat berjemaah tapi tak ada kekuatan untuk pergi solat berjemaah di masjid, maknanya hanya dapat hidayah tapi tak dapat taufik. Dalam erti kata mudah, hidayah adalah tempat, manakala taufik adalah jalan untuk ke tempat tersebut. Kalau pun kita tahu tempat tapi jika tidak tahu jalan untuk ke sana, pasti kita tidak akan dapat pergi ke sana. Perlu kita ingat bahawa hidayah adalah anugerah Allah. Jadi tak perlulah kita mengata ngata atau menyindir seperti "oo pandai bercakap jer tapi anak sendiri tak tau apa yang dicakapkan". Tak perlulah berbuat begitu kerana Rasulullah sendiri tidak dapat memberi hidayah kepada bapa saudara yang sangat baginda kasihi.

Jom layan resepinya di bawah ini yang saya kongsikan untuk rujukan saya sendiri di masa hadapan....




Bubur Lambuk Sedap

Bahan bahan:
Beras
Sotong kering - hiris halus
Ikan bilis - tumbuk
Daging cincang atau tulang lembu
Bawang merah - kisar
Halia muda - hiris halus
Lada hitam - tumbuk
Santan
Garam
Daun kaduk
Daun pucuk paku merah
Daun kesum

Cara cara;
Basuh beras dan masak nasi dengan air dan ikan bilis, sotong kering serta daging cincang/tulang. Bila nasi telah lembut, masukkan bawang, halia dan lada hitam. Masak lagi.

Akhir sekali, masukkan pula, semua sayuran serta garam.

Bila nasi dah menjadi bubur, masukkan santan. Kacau sehingga ianya cukup sebati. Sedia untuk dihidangkan.



Daging Masak Merah Ala Thai Yang Sedap

$
0
0





Semalam ada kuliah bulanan Ustaz Abdullah Lutfi Al Fathani yang memang sentiasa saya nanti nantikan. Apa yang sangat merisaukan saya ialah berkenaan syirik tersembunyi. Malam sebelumnya Kuliah Ustaz Fauza juga menyentuh berkenaan syirik terkecil. Di mana Nabi Muhamad SAW memberitahu sahabat yang baginda paling takut akan berlaku pada kamu ialah penyakit syirik terkecil, iaitu syirik yang tersembunyi. Iaitu bila mana Allah tidak diletakkan sebagai matlamat. Contoh, bila dapat gaji, kita akan mengatakan hasil usaha aku, maka aku dapat gaji lebih bulan ini. Atau kerana makan panadol, demam aku telah baik. Satu lagi ialah bila kita riak, juga termasuk dalam penyakit hati. Kita kena tahu penyakit hati mazmumah yang ada pada kita. Sangat merbahaya penyakit riak ini kerana Allah akan menyuruh orang yang riak dalam beramal supaya berambus pada orang seperti ini di akhirat kelak. Allah berfirman yang Aku hias orang ini dengan amalan dia, sedangkan dia adalah musuh Aku. Pergilah cari pada orang yang kamu mahu tunjukkan amalan kamu dulu semasa di dunia dulu. Apakah dia boleh bagi kebaikan kepada kamu? Jadi kenapa buat sesuatu kerana orang dan bukan kerana Allah.




Tiada orang yang boleh mengatakan dia ikhlas kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui hati seseorang. Allah lah yang menjaga hati. Ikhlas ialah bersih hati dari sebarang matlamat selain keredhaan Allah. Barang siapa lari dari riak adalah orang yang riak. Kita tetap dapat pahala asal hati tidak terusik dengan pujian, sebaliknya pulangkan kepada Allah kerana Allah sahaja yang layak dipuji. Berbalik kepada syirik tersembunyi, Ustaz Abdullah menghuraikan Surah Az Zumar  ayat 53, berkenaan Allah yang Maha Pengampun dan Allah mengampunkan segala dosa kecuali dosa syirik. Surah An Nisa ayat 48 menyebut bahawa kita hanya memohon pertolongan Allah, jangan cari pertolongan selain dariNya. Allah akan mengampunkan  semua dosa pada orang yang Allah kehendaki, kecuali dosa syirik. Yang paling menakutkan ialah apabila orang yang syirik telah sedar dan bertaubat, semua pahala dahulu terhapus dan dikira semula dari mula ianya insaf dan bertaubat. Berbeza dengan kes orang yang membuat dosa besar dan bertaubat, di mana dosa lalu masih ada. Cukup setakat ini dahulu, semoga ianya dapat menjadi peringatan kepada kita semua supaya meletakkan apa sahaja pada Allah. Sesungguhnya Allah lah yang Memiliki segalanya dan Allah lah yang Memberi rezeki kepada kita dan semua makhluk lain. Bayangkan betapa Allah memberi rezeki pada berapa ramai orang yang mendapat rezeki dalam satu masa, manusia, burung burung, ikan di lautan, tumbuhan dll. Semuanya menikmati rezeki dari Allah. Haa kita sekarang masuk pula sedikit bab masakan.

Syukur Alhamdulillah kerana rupanya masih ada lagi sisa daging qorban yang tersimpan di dalam freezer. Bila saya merebusnya, nampak dagingnya sangat lembuk dan senang dihiris. Fikir saya, ianya mungkin daging lembut seolah daging batang pinang. Saya pun terus menambahkan sedikit pewarna merah ke dalam air rebusan untuk dijadikan Daging Masak Merah. Lagi pulak, bahan bahannya sangat ringkas dan memasaknya sangat mudah dan pasti rasanya sangat sangat sedap. Haaa apa lagi, jom layan resepi di bawah ini. Kalau pesan di restoran, pasti sepinggan RM15 sedangkan dagingnya sangat sedikit sahaja.




Daging Masak Merah Ala Thai

Bahan-bahan:
1/2 kg daging lembu - rebus empuk dg pewarna merah
2 ulas bawang putih - ketuk
1 labu bawang besar - hiris
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos ikan thai
1/4 cawan sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
Kacang panjang - jika suka
Daun sup/daun bawang
1 biji cili capsicum
1 cili merah

Cara-cara:
Rebus daging dengan sedikit pewarna merah hingga empuk. Di dalam kuali, panaskan minyak dan goreng dahulu daging hingga kuning sedikit. Ketepikan.




Tumis bawang putih hingga naik bau dan masukkan cili giling. Kacau sehingga cili betul betul garing dan bolehlah di masukkan sos tiram, sos ikan dan sos tomato.

Masukkan pula daging tadi, cili capsicum, bawang besar serta cili merah yang di hiris dan kacau. Perasakan dengan garam dan gula. Tabur daun sup di atas dan hidangkan dengan nasi putih.





Nota:
Kalau inginkan lebih kuah, masukkan sedikit air dan sos tomato.


Kerabu Jantung Pisang Yang Sedap

$
0
0





Hari ini saya menyediakan Kerabu Jantung Pisang yang diberikan oleh Puan Hajjah Norihan yang diambil dari kebun pisang beliau. Lama juga saya mencari resepi yang sesuai untuk dimasak jantung pisang berangan ini. Kalau masakan Kelantan, pastinya Teresek Jantung Pisang. Boleh tengok di SINI. Tapi kalau masakan biasa adalah masak lemak cili padi, masak kerabu yang menggunakan santan. Tapi resepi yang saya ambil dari blog Nannie adalah kerabu yang kering. Terus saya menyalin resepi kerana terliur sekali selepas membaca catatan Nannie yang dia meratah ratah kerabu yang sedap ini. Sebelum masuk melihat resepi, harap sudi kiranya pembaca semua membaca catatan kuliah yang sangat bagus untuk kita mengambil sebagai pengajaran. Anggaplah ianya sebagai satu dakwah dari saya.







Hari ini saya ingin kongsikan petikan kuliah Zohor Ustaz Dr Mohd Shafie, penulis buku Kamu Umat Terbaik yang sangat sangat menarik. Al Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk kita perbaiki diri. Kejayaan di sisi Allah bukan diukur dari apa yang kita capai. Tapi orang yang berjaya di sisi Allah ialah orang beriman dan bertaqwa dan menpunyai akhlak berdasarkan Al Quran. Barakah bermakna kebaikan yang bertambah tambah. Baik dalam hidup adalah bila ketaatan kepada Allah meningkat dan bertambah. Ramai orang yang salah faham. Manusia hanya dikira baik sekiranya taat pada Allah. Barakah adalah berkaitan kebaikan dan ketaatan.

Surah As Sajdah 32: ayat 21 musibah didatangkan sebagai peringatan dan supaya manusia kembali taat pada Allah dengan belajar Al Quran dan mengamalkannya. Ustaz menyebut contoh berkenaan banjir di Kelantan di mana terdapat mangsa banjir yang tinggal sehelai sepinggang. Manusia yang tinggal sehelai sepinggang ialah orang mati yang dikafankan. Pengajarannya ialah hari ini jika berapa banyak sekali pun harta yang kita miliki, semuanya boleh hilang dalam sekelip mata. Jadi janganlah dibangga dengan harta dan pangkat yang dimiliki. Jika kita mempunyai harta, kena sebutkan Innalillah bukan menyebut yang ini kereta saya, ini rumah saya dsb. Cinta adalah keadaan di mana kita sangat sayang akan sesuatu. Kita akan jadi stress bimbang kalau ia akan hilang atau kita sendiri yang hilang. Jadi hendaklah sentiasa diingati bahawa apa yang ada pada ku bukan milik ku, hanya dipinjam kepada ku. Semuanya milik Allah. Baca Innalillahi wainna Ilaihirojiun di kala musibah supaya Allah menggantikan dengan yang lebih baik. Kenapa berlakunya musibah? Terdapat macam macam kajian seperti berpunca dari pembalakan tidak terkawal, hujan terlalu lebat dsb. Namun Allah tak bagi hidayat iaitu right understanding berkenaan punca sebenar. Ianya disebabkan perbuatan manusia sendiri tak membaca dan memahami Al Quran serta menjadikannya sebagai petunjuk dan Allah mahu supaya manusia kembali taat padaNya.

Surah Az Zukhruf 43:48 banjir di Kelantan adalah tanda kebesaran Allah. Allah hantar air sahaja, manusia sudah tidak terdaya. Belum lagi api neraka. Sepatutnya peristiwa banjir membawa manusia balik kepada Al Quran. Bencana yang paling besar dari peristiwa banjir ialah apabila selepas banjir manusia masih tidak kembali pada Al Quran. Iaitu apabila manusia masih terus ditipu oleh syaitan sehingga tidak mahu belajar Al Quran. Sebelum menutup majlis, Ustaz menegaskan bahawa tujuan dakwah bukan untuk menarik manusia tetapi untuk menyampaikan pesanan dan maklumat kepada manusia. Beri peringatan menggunakan ayat ayat Al Quran. Hanya Al Quran yang boleh memberi motivasi kepada manusia. Kalau selepas kita berdakwah, orang tak mahu ikut pun tak mengapa kerana hidayah adalah dari Allah semata mata. Semoga ianya dapat memberi manafaat pada kita semua.


Jom layan resepi yang telah saya salin dan sesuaikan dengan cara penyediaan saya sendiri....




Kerabu Jantung Pisang

Bahan bahan:
1 biji jantung pisang
1/2 cawan ikan bilis kecil - goreng ranggup
1 biji bawang besar
Kelapa parut - goreng
Garam
Gula
Jus limau nipis secukupnya

Bahan tumbuk:
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2-3 biji cili merah
1 inci belacan dibakar

Cara cara:
Kopek jantung pisang sampai ke bahagian yang lembut. Hiris jantung pisang nipis nipis dan rendam dalam air bersama sedikit garam dan diramas sedikit. Masak air dalam periuk sampai mendidih dan masukkan jantung pisang tadi. Masak sehingga jantung pisang empuk lembut. Tos dan ketepikan dulu.







Satukan bahan tumbuk bersama jantung pisang, kerisik, ikan bilis goreng, bawang hiris dan jus limau nipis secukupnya. Masukkan garam dan gula secukup rasa. 






Kerabu jantung pisang siap untuk dihidangkan.




Jika Inilah TakdirNya....

$
0
0




Telah lama saya ingin menulis coretan ini namun ianya telah tertangguh sekian lama kerana ingin menjaga hati banyak pihak. Selama ini saya mendiamkan diri dan tetap tabahkan hati menghadapinya. Hari ini saya rasa sudah tiba masanya untuk saya menulis sesuatu. Ya, sebagai manusia, kita hanya mampu merancang namun Allah jua lah menentukannya. Apa sahaja berkaitan dengan jodoh pertemuan, ajal maut semuanya ditentukan Allah. Sebagai hambaNya, saya redha dan menerima segala ketentuannya dengan hati yang terbuka. 

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Berdasarkan keterangan ayat di atas, saya sesungguhnya amat yakin bahawa apa yang terjadi mempunyai hikmah yang tersembunyi dan yang terbaik untuk semua pihak. Walaupun saya masih percaya setiap orang patut diberi peluang kedua supaya segala kesalahan dapat diperbetulkan, namun saya tidak melihat ianya mungkin berlaku. Saya juga berpegang kepada prinsip yang dalam apa apa sahaja urusan, setiap orang harus diberi peluang membuat keputusan tanpa perlu campurtangan pihak lain.

Semoga Allah memberikan kami semua petunjuk dan hidayah untuk menjalani kehidupan seterusnya. Bila cinta terlerai, sebuah hubungan dan persahabatan harus diteruskan. Cinta yang lebih baik pasti sedang menunggu. Sesungguhnya tiada kemarahan apalagi dendam di hati. Jauh sekali untuk menuding jari menyalahkan mana mana pihak. Ini semua adalah ketentuan takdir dari Illahi. Saya mendoakan yang terbaik buat semua. Aamiin.     


 

Tahniah Dan Selamat Bertugas Buat Adik

$
0
0





Alhamdulillah dan syukur kepada Illahi kerana hari ini Nellisa telah melapurkan diri untuk bertugas di jabatan baru. Tiada yang lebih mengembirakan bagi mereka yang bergelar ibubapa selain untuk melihat anak anak berjaya dalam pelajaran dan dalam pekerjaan. Selepas menamatkan pengajian, kebanyakan anak anak menghadapi masalah untuk mencari pekerjaan yang stabil. Setiap ibubapa mengharapkan anak anak mendapat pekerjaan di organisasi yang boleh menjamin masa depan mereka seperti di jabatan kerajaan, badan berkanun atau pun organisasi korporat.

Alhamdulillah kerana berkat usaha dan doa saya kepada Allah siang dan malam, akhirnya Nellisa mendapat pekerjaan baru di sebuah badan berkanun. Semoga ianya menjadi titik tolak untuk Nelly merancang kerjaya dengan lebih baik dan juga membina sebuah kehidupan yang lebih sempurna selepas ini. 





Oleh kerana beliau telah ditempatkan di Bandaraya Ipoh, kami telah beberapa kali ke sana untuk mencari kondominium/apartment yang sesuai untuk disewa. Saya mahukan dia berada di dalam keselesaan seperti mana di rumah sendiri. Kami ke sana ke mari juga untuk mencari perabut dan peralatan rumah bagi unit yang akan dihuni kerana ianya hanyalah semi furnished apartment sahaja. Tiada rasa kepenatan pun demi untuk melihat anak anak berjaya dalam kehidupan. Mudah mudahan Nelly akan dapat memberi sumbangan yang besar kepada jabatan di mana beliau ditugaskan. Insya Allah....







Alumni Di Majlis Perkahwinan Anak Datuk Jalaludin

$
0
0





Setelah lama tak bertemu dalam satu majlis, akhirnya Alumni Kolej Ketiga bertemu di majlis perkahwinan anak Datuk Jalaludin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Datuk Lud iaitu Dr Nabil dan Dr Hani. Secara kebetulan pula, Dr Hani adalah rakan anakanda kami Dr Nana yang sama sama bertugas di Hospital Selayang. Bila dah bertemu memang ada ada sahaja yang diperbualkan sehingga untuk mengambil gambar mereka pun agak sukar. Begitulah gelagat bila sahabat lama sejak zaman kolej bertemu. Antara soalan soalan lazim, haaa macam soalan peperiksaan ialah berkenaan dah dapat menantu atau dah ada berapa orang cucu. Di usia kami seperti ini adalah masa untuk mula menerima menantu. Malahan seorang demi seorang telah mengadakan majlis perkahwinan anak anak. Buat kami, nampaknya setakat ini belum ada rezeki lagi untuk menerima ahli keluarga baru. 








Berbalik kepada majlis perkahwinan anak Datuk Lud di Dewan Perdana Felda pada 1 Februari, kami telah berjaya memenuhkan 3 meja untuk geng alumni. Itu pun jemputan dibuat dalam keadaan kesuntukan masa kerana hubby yang dipertanggungjawab untuk memanjangkan jemputan telah kehilangan banyak nombor telefon kawan kawan apabila telefonnya telah mengalami kerosakan sebelum ini. Hubby terpaksa membuat jemputan melalui telefon kerana memerlukan pengesahan kehadiran. Alhamdulillah kerana berjaya juga menjalankan tugas yang diamanahkan oleh tuan rumah.








Selain itu, kami juga bertemu dengan sahabat baik kami, Ismati yang datang bersama keluarga. Gembira dapat bersua muka kerana selama ini hanya sempat berhubung melalui whatsApp sahaja. Beliau adalah rakan rapat dengan keluarga Bonda Dr Nabil. Terasa yang masa beredar pantas, bila melihat Ilham yang kini telah menjadi seorang remaja yang sangat ayu dan bersopan santun. Sementara menunggu para suami bersembang sesama mereka, kami pula berposing sesama sendiri.







Selepas beredar dari Dewan Perdana Felda, kami singgah minum di Hotel Seri Pacific bersama Dato Wan Nazari yang menginap di situ bersama anak anak.





Akhir sekali tahniah kepada Datuk Lud dan isteri kerana telah menerima ahli keluarga baru. Juga tahniah kepada Dr Nabil dan Dr Hani. Semoga sentiasa dalam berbahagia dan dalam lindungan Allah.




Nasi Kerabu Hasil Air Tangan Dr Nana

$
0
0




Telah lama sungguh tidak merasa masakan Nana. Hari ini sesampai di rumah, saya melihat ada nasi kerabu siap dengan lauk ayam percik di bawah saji. Waah hati seronok bukan kepalang melihat makanan kesukaan tersedia. Boleh klik di SINI untuk melihat resepi Nasi Kerabu dan resepi Ayam Percik. Saya harus mengakui yang Nana seorang doktor yang sangat hebat dalam bab memasak. Bukan sahaja nasi dan lauk pauk, juga kuih muih, kek dan biskut. Tidak seperti saya yang mula memasak secara konsisten hanya setelah berpindah ke sini. Itu pun setelah melihat anak anak rajin memasak pelbagai masakan. 






Namun sejak bekerja, masa Nana untuk ke dapur agak terbatas. Keluar pagi pagi hari dan balik pulak sudah lewat senja. Namun itulah pengorbanan yang perlu dilakukan demi masa depan. Nana juga telah mula merancang kehidupan dengan membeli sebuah rumah teres dan membuat pelaburan dalam saham. Kini beliau sedang membuat perancangan untuk mendaftarkan diri bagi kursus pakar. Namun ianya masih di peringkat persediaan. Walau apapun yang dirancang, kami pasti sentiasa bersedia menyokong dari belakang. Mudah mudahan segala perancangan berjalan dengan lancar. Maklum ada kalanya rancangan dan impian kita tidak menjadi kenyataan. Hanya Allah lah sebaik baik Perancang dan perancangan Allah lah yang paling agung dan sempurna. Saya sentiasa berdoa agar Nana diberikan kemudahan dalam apa jua yang dilakukan. 


Realiti Kehidupan

$
0
0




Hari ini memang saya berada dalam mood kesedihan dek beberapa perkara. Kesedihan memberi ruang untuk saya melakukan muhasabah diri. Kata kata yang selalu Nana ucapkan kadang kadang menyedarkan saya untuk mengubah haluan dan kembali melangkah ke jalan yang betul. Nana selalu mengingatkan saya dengan kata kata, kita ni orang biasa, Mama. Buat apa nak ikut orang lain. Hmm memang kami orang biasa yang bermula dari bawah. Berasal dari kampung, hanya dibekalkan oleh ibubapa kami dengan pelajaran. Tiada harta atau wang ringgit, hanya sokongan dan kasih sayang. Dengan sekeping ijazah di genggaman, saya menjalani kehidupan di ibukota dengan penuh kepayahan. Hanya cita cita tinggi untuk mengubah kehidupan yang membuatkan saya sentiasa berusaha keras supaya anak anak tidak merasai kepayahan yang telah dilalui. Demi anak anak, kami akan cuba memberi yang terbaik. Alhamdulillah walaupun tidak mampu memberi kehidupan mewah namun mereka dapat menikmati hidup selesa dan seadanya seperti anak anak orang lain. 

Yang pasti, saya selesa menjadi orang biasa kerana ianya lebih mendekatkan saya dengan Illahi. Kadang kadang saya berbicara sendirian, nasib baik saya tidak jadi seperti si polan si polan kerana jika saya berada di tempatnya, mungkin saya tidak berada di tahap sekarang. Sesungguhnya Allah menguji manusia dengan 2 jenis ujian iaitu kesusahan dan kesenangan. Kebiasaannya ujian kesusahan akan lebih mendekatkan diri manusia dengan si Penciptanya. Pasti ada hikmahnya bila Allah memberikan kita dengan kekurangan kerana pasti ada bersamanya satu kekuatan yang lain. 

Nana juga selalu memberitahu yang beliau mahu berkawan dengan orang yang tidak banyak karenah dan boleh menerima kami seadanya. Inilah keputusan terhebat yang telah Nana  ambil. Inilah pengorbanan besar yang telah Nana lakukan demi mempertahankan keluarganya sendiri. Secara jujur saya menangis tat kala menulis ini kerana saya tidak mampu berpandangan sejauh dia. Itulah Nana yang bercita cita dan bercitarasa tinggi tapi pada masa yang sama melangkah dengan penuh kerendahan diri. 



Kerabu Jantung Pisang Sedap Diratah Begitu Sahaja

$
0
0




Hari ini saya ingin selitkan satu perkongsian menarik sebagai peringatan diri saya yang bak istilah geng whatsApp rakan universiti, ialah masih menpunyai CPU masih baik. Dengan kata lain, saya boleh mengingati apa apa yang berlaku di masa lampau dengan kata kata dan visual yang jelas. Dari youtube Ustaz Idris Sulaiman dikatakan bahawa perbuatan mengingati masa silam adalah sifat orang kafir yang menganggap dunia adalah syurga untuk berseronok. Perbuatan menyambut hari lahir dan juga penubuhan ALUMNI juga adalah antara contoh dari perbuatan mengingati masa silam. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana apa dia masa silam kita? Masa kanak kanak, atau masa remaja atau masa muda yang penuh dengan main main dan berseronok serta leka. Ini zaman jahiliah dalam hidup seseorang. Hidup tanpa ilmu, hidup dengan maksiat. Sifat seorang Islam ialah harus memikirkan masa depan, apa yang menunggu di hadapan iaitu kehidupan selepas kematian. Antara ciri ciri orang yang mengenang masa silam ialah orang yang suka melihat gambar gambar dan menyimpan album. Pastinya album menyimpan gambar lama, bukan gambar masa depan. Dikatakan mereka yang suka melihat album boleh membawa sakit jiwa kerana melihat keadaan dahulu yang cantik, hensem, muda tapi sekarang melihat diri yang telah tua, telah sakit sakit dan tak lama lagi akan mati dsb. Sifat orang beriman ialah berlaku perubahan dalam hidupnya dari hidup jahil kepada berilmu, dari maksiat kepada banyak membuat ketaatan dsb. 


Youtube Ustaz Idris di atas sangat berkait dengan diri saya. Saya mengingati masa silam umpama menonton tayangan video. Semua masih segar di ingatan seolah baru semalam terjadi. Selepas beberapa hari meletakkan entri ini di SINI, saya mengalami peristiwa yang tak disangka sangka. Saya terlelap semasa mendengar kuliah Jumaat, bila terjaga di dapati icon whatsApp dalam hp yang dipegang telah hilang. Saya panik mencari cari tapi tidak di temui. Saya terpaksa instal semula dan setelah ianya berfungsi didapati semua chatting history serta media telah hilang. Innalillahi wainnaa ilaihirojiuun. Mungkin Allah ingin membuang segala kesakitan dan keperitan yang hadir bersamanya. Kini "Dia" telah hilang buat selamanya. Ia juga seolah memberi titik tolak dan kehidupan baru buat saya untuk tidak lagi mengenang masa silam. Apa yang lepas, biarkan berlalu. Saya berazam untuk berubah dan delete masa silam yang menyakitkan dengan hanya memikirkan masa sekarang dan masa hadapan. Mudahan mudahan. Sekarang kita masuk bab masakan pula.

Sekarang ini saya hanya sempat memasak di hari cuti atau hujung minggu sahaja. Entah kenapa terasa masa yang bergerak pantas. Setiap hari balik kerja pada waktu yang sama setiap hari tapi masa yang ada untuk memasak sangat singkat. Baru tiba di rumah, sudah hampir masuk waktu Maghrib. 





Sempena cuti hari Thaipusam baru baru ini, saya memasak Masak Lemak Tenggiri bersama Perai dan Belimbing Buluh yang diberi Kak Yan. Sambil menyelongkar peti ais, terpandang ada sebiji lagi jantung pisang yang belum dimasak. Juga yang diberi Kak Yan beberapa minggu sebelumnya. Dibalut dalam surat khabar dan simpan dalam peri ais. Masih elok. 

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Kerabu jantung pusang ini sedap dimakan begitu sahaja. Ratah ratah jer. Boleh klik di SINI untuk kerabu jantung pisang yang saya sediakan sebelum ini. 




Kerabu Jantung Pisang

Bahan bahan:
1 ketul jantung pisang
1 ekor ikan kembung - rebus & ambil isi
1 biji cili merah - hiris
4 biji cili padi - hiris
1 cawan santan pekat
1 biji bawang besar - hiris dan tumbuk
Segenggam kelapa goreng
Garam
Gula
Asam perahan limau nipis

Cara cara:
Jantung pisang yang dikopek kulit luar di belah empat dan celur dalam air mendidih bersama 1 keping asam sehingga lembut. Angkat dan di tos sebelum dihiris nipis. Masukkan ke dalam kuali. 






Tumbuk bawang besar dan masukkan isi ikan. Tumbuk lagi.  Masukkan bahan tumbuk ke dalam kuali. 





Masukkan juga cili merah dan cili padi yang dihiris, garam, gula serta kelapa goreng ke dalam kuali. Masukkan santan sedikit demi sedikit dan kacau rata. Panaskan kuali di atas dapur dan masukkan air limau nipis. 






Masak sehingga santan kering. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat dan dihidangkan. 





Nota:
Boleh juga jika tidak mahu dimasakkan santan tapi kena simpan di dalam peti ais untuk mengelakkan cepat basi. 



Pengat Pisang Nangka

$
0
0






Pokok pisang nangka yang tumbuh di hadapan rumah kami berbuah lagi buat kali kedua. Kali pertama tak dapat makan pun buahnya bila ianya telah ditebang oleh pekerja yang mengecat rumah TNB ketika buahnya belum masak. Kali ini saya memang menjaga pokok ini dengan memotong rumput dan membuang anak anak pokok yang tumbuh di sekeliling pokok besar. Saya hanya sedar yang pisang telah masak, setelah melihat banyak pisang yang dimakan tupai atau burung. Memang rezeki mereka. Tak mengapa kerana saya memang berazam untuk berkongsi rezeki dengan semua. Kali pertama melihat pisang nangka di pokok, jadi memang tak tahu bagaimana cara untuk melihat kalau pisang telah sedia untuk ditebang. Kalau pisang lain baka lain, kulitnya akan berubah sedikit kekuningan. Sedangkan pisang nangka, warnanya kekal kehijuan.





Hari ini saya menyediakan pengat pisang untuk dibawa ke surau. Lagi pulak, pokok ini bukan saya yang menanamnya sendiri. Jadi eloklah ianya dikongsikan. Kali ini saya menyediakan pengat bukan cara biasa. Kalau cara biasa, saya masukkan jer santan, gula dan pisang sekali gus. Kacau rata dan bila pisang telah lembut, masukkan pula sagu dan kacau lagi sehingga sagu kembang. Tapi cara kali ini lebih berhemah di mana saya memasak pisang dengan santan cair terlebih dahulu. Santan pekat dimasukkan akhir sekali. Kedua, saya memasak air gula berasingan kerana saya ada membaca petua yang gula hendaklah dimasukkan akhir sekali dalam apa apa jua masakan. Ketiga, saya memasak sagu secara berasingan dan kemudian baru dimasukkan ke dalam pengat setelah kuah agak sejuk bagi mengelakkan sagu kembang.

Tapi dalam dok excited, terlebih pulak masuk sagu sehingga kuah menjadi terlebih pekat. Cepat cepat meminta talian hayat dan atas nasihat Kak Yan, saya memasak sedikit santan cair dan diletakkan gula dan garam, dituangkan ke dalam periuk pengat menjadikan kuahnya menjadi cair semula. Hmm lepas ni boleh buat lagi dan semoga ianya lebih sempurna kejadiannya. Itulah kita kena cuba dan cuba serta belajar dari kesilapan. Practice made perfect giteww...

Jom layan resepi yang saya guna hari ini....



Pengat Pisang Nangka

Bahan bahan:
15 biji pisang nangka - hiris serong
1 kg santan
3 keping gula Melaka
2-3 senduk gula pasir
Garam
3 helai daun pandan - koyak dan simpul
1/2 cawan sagu

Cara cara:
Masak santan cair dengan pisang dan daun pandan sehingga pisang nampak dah lembut. Selalu dikacau bagi mengelakkan santan pecah minyak.





Masak gula Melaka dan gula pasir untuk dijadikan air gula. Bila pisang dah lembut, masukkan air gula tadi. Masukkan sedikit sedikit dan rasakan kemanisannya dulu. Boleh ditambah kemudian jika terasa masih kurang manis. Kacau rata.





Lepas itu masukkan pula santan pekat dan garam. Kacau seketika. Sesuaikan rasa dan bolehlah tutup api.

Basuh sagu dan tos. Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan sagu dan kacau sehingga tiada kelihatan bahagian putih. Angkat dan tos. Lalukan dibawah air paip sambil dikacau untuk membuang sedikit sagunya.

Akhir sekali masukkan sagu tadi ke dalam periuk pengat yang telah ditutup api. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.






Pengat Isi Nangka Dan Kuih Biji Nangka

$
0
0



Hari ini selepas office saya bergegas balik ke rumah untuk mengambil pakaian dan terus ke airport untuk balik kampung melawat abang saya yang sedang dirawat di hospital USM kerana mengalami demam denggi berdarah. Saya hanya balik sendirian selepas mengetahui keadaan beliau yang agak kritikal. Harap sudilah kiranya pembaca semua mendoakan semoga abang saya kembali stabil dan pulih seperti sedia kala. Aamiin. Sebelum bertolak balik, saya ingin postkan sedikit entri berkenaan resepi dan masakan. Dah lama saya tak memasak selepas balik dari pejabat kerana ianya agak terkejar kejar untuk menunaikan solat Maghrib. Tapi hari isnin lalu, saya berjaya menyediakan pengat nangka selepas balik dari pejabat. Tapi saya tidak melakukannya sendirian sebaliknya terpaksa meminta Boy menolong di dapur. Saya diberikan 2 pek nangka oleh Kak Kamariah semasa mengaji pada hari minggu yang lalu. Oleh kerana nangka tidak banyak, saya mendapat idea untuk mengikut cara Kak Kam yang membancuh tepung pulut untuk digentel seolah kuih biji nangka. Hasilnya sangat meletup dan sedap sekali biji nangka digandingkan dengan kuah pengat. Ala ala kuih chacha lah pula. Gandingan serasi isi nangka, kuih biji nangka dan sagu.




Hari ini saya ingin kongsikan catatan kuliah Zohor Ustaz Aliff berkenaan ciri ciri orang munafik ialah bila bercakap, ia berbohong. Tempat bagi orang munafik adalah di dalam neraka yang paling bawah. Pemimpin yang berbuat zalim akan mendapat siksaan paling pedih. Pemimpin terdiri dari pelbagai peringkat dari pemimpin negara atau jabatan atau kampung yang diberi kuasa. Jika mereka menindas orang bawahan, akan diberi azab yang sangat pedih. Bila dikatakan azab tidaklah sama dengan azab yang ada di dunia kerana ianya adalah siksaan yang berulang ulang. Azab ini hanyalah ada di akhirat. Ahli neraka dibakar sehingga hancur kulit dan isi. Kemudian diganti dengan kulit baru dan kemudian dibakar lagi untuk dirasai azab yang pedih secara berulang ulang. Kesakitan sebenar adalah terletak pada kulit. Umpama jarum dicucuk, sakit sebenar ialah ketika jarum mengenai kulit, bukan isi. 





Orang yang terasa dizalimi atau teraniayai oleh orang atasan, ada ayat penghibur di aman kita akan ada kehidupan kedua iaitu di akhirat. Di mana Allah akan membalas mengikut segala amalan dan perbuatan kita di dunia. Surah Ibrahim ayat 42-43. Janganlah kata Allah lalai dari perbuatan orang yang zalim.  Allah tak lupa sedikit pun. Semua akan dicatat dari sekecil sehingga sebesar perkara. Allah tak pernah tidur seperti disebut dalam ayat Kursi. Hanya Allah menangguhkan azab buat mereka. Akan tiba masanya bila mata terbeliak kerana terkejut sehingga terkeluar biji mata bila melihat siksaan Allah pada hari Masyhar. Mudah mudahan kita semua dapat mengambil peringatan yang diberi di dalam Al Quran. Malahan siksaan dan azab serta pengambunan Allah disebut secara berulang ulang di dalam Al Quran untuk kita sedar dan kembali ke jalan Al Quran dan sunnah.

Jom kita tengok resepi yang saya gunakan hari ini....




Pengat Isi Nangka dan Biji Nangka
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
7 ulas buah nangka - hiris halus
1 keping gula Melaka
2 senduk gula pasir - ikut suka manis
Sedikit garam
Santan secukupnya
1/4 cawan biji sagu

Kuih Biji Nangka:
Tepung beras pulut
Air daun pandan - dari 3 helai daun pandan

Cara cara:
Tuang air daun pandan ke dalam bekas berisi tepung pulut sehingga ianya boleh digentel dan secukup lembutnya. Ambil secubit dan gentelkan seperti kuih chacha.

Panaskan air sehingga menggelegak dan terus masuk tepung digentel ke dalam air mendidih. Tunggu sehingga ianya timbul di permukaan. Bolehlah diceduk kuih yang timbul kerana ianya telah masak. Masukkan ke dalam mangkuk yang berisi air.





Di dalam bekas lain, masak santan sambil terus dikacau. Masukkan gula Melaka dan gula pasir sehingga hampir mendidih. Masukkan isi nangka dan kuih biji nangka yang telah ditos. Kacau rata. Masukkan garam dan sesuaikan rasa. Bolehlah tutup api.






Panaskan pula air di dalam periuk lain sehingga air mendidih. Masukkan biji sagu yang telah dibasuh dan tos. Kacau rata rata sehingga tiada lagi kelihatan bahagian putih sagu. Boleh angkat dan disejat. Lalukan di bawah air paip mengalir. Kemudian tuangkan sagu ke dalam periuk pengat tadi. 





Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan. Bolehlah dimakan dengan mencicah roti.










Masak Lemak Tenggiri Dengan Petai

$
0
0





Sempena cuti hari Thaipusam baru baru ini, saya telah menyediakan Masak Lemak Cili Padi Ikan Tenggiri dan Petai. Kiranya ini entri lama yang tertangguhlah. Entah kenapa sangat serasi masak lemak ikan tenggiri jika digandingkan dengan petai. Memang sedap. Hahaha nampak tak gulai saya hari ini sedikit berketul. Maklumlah ianya tidak dijaga sempurna kerana pada masa yang sama saya juga menyediakan Kerabu Jantung Pisang di SINI. Pendek kata bersilat lah di dapur, tangan capai itu ini sambil sebelah tangan lagi mengacau gulai di atas dapur. Kalau di dapur memang saya akan membuat beberapa perkara dalam satu masa. Maklumlah wanita bekerja seperti saya tidak punya banyak masa untuk memasak. Tapi pesan sahabat saya, Cikgu Che Rosnani, supaya dimasukkan sedikit air panas mendidih ke dalamnya supaya santan yang berketul kembali pecah. Hmm menjadi petua ini tapi masa itu, saya dah pun snap gambar untuk dikongsi di sini. Malas nak mengambilnya sekali lagi. Apa apa pun jika mahu menghasilkan kuah lemak yang cantik, memang kena selalu dikacau dan fokus jer dengan kerja mengacau tu. Hmm qu cantiiik, barulah cantiiik. 





Hmm sajalah nak share sedikit yang harga barang di negara kita ini sangat mahal. Saya rasa sangat kesian memikirkan anak anak yang baru hendak memulakan kehidupan. Kenalah banyak berjimat cermat. Saya beli 3 ketul ikan tenggiri dengan 1 pek isi petai telah berharga RM20. Belum lagi dikira santan yang berharga RM6.50 sekilo dan juga cili padi serta kunyit. Memang tinggi kos hidup sekarang ini. Apa apa pun Allah yang memberi rezeki. Semua makhluk di muka bumi diberikan rezeki oleh Allah. Bayangkan waktu sarapan sahaja, berapa ramai makhluk yang diberikan rezeki di bumi, langit dan lautan. 

Jom layan resepi mudah tapi sangat sangat mengancam ini. 




Masak Lemak Tenggiri Dengan Petai 

Bahan bahan:
3 keping ikan tenggiri
8 biji cili padi
1 sudu besar kunyit hidup kisar
Garam
Belimbing buluh
Segenggan petai 
Santan secukupnya

Cara cara:
Satukan santan dengan cili padi yang ditumbuk dan kunyit kisar sambil sentiasa dikacau sehingga mendidih. 

Masukkan ikan dalam kuah dan setelah ikan hampir masak, masukkan petai dan belimbing buluh. 

Akhir sekali masukkan garam. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 

Doa Buat Abang

$
0
0




Abang saya adalah seorang insan yang sangat istimewa dalam hidup saya. Dialah yang banyak membantu saya sejak di zaman persekolahan sehingga menamatkan pengajian di universiti. Sewaktu di bangku sekolah rendah, saya berjalan kaki sejauh 1 batu ke sekolah sehinggalah dibelikan basikal semasa darjah enam. Ketika itulah saya sering mengganggu abang di tempat kerja, meminta dihantarkan ke sekolah dengan motor Vespa baru kesayangannya. Abanglah yang menguruskan pendaftaran saya di universiti. Kami menaiki bas ekspress dan menumpang di rumah kawan abang di Kuala Lumpur. Membawa ibubapa dan anak anak buah hadir di majlis konvokesyen saya dan banyak lagi. Sepanjang di universiti, abang juga lah tempat saya menelefon meminta dihantarkan duit. Beliau seorang yang sangat pendiam dan tidak tahu erti marah. Jika ada pun perkara yang dia tidak senang dengan dengan apa yang kami lakukan, dia hanya akan melihat sahaja. Ingat lagi masa abang mula mula membeli kereta, saya akan masuk ke kereta setiap petang, membuka radio dan memasang air cond. Beliau tidak marah sehinggalah suatu hari, beliau masuk ke kereta dan menutup radio tanpa marah atau berkata apa apa. Namun begitu, saya faham yang abang marah dan tidak suka dengan apa yang saya buat. Kakak saya juga sering membawa kereta beliau ketika cuba cuba belajar memandu. Bak kata kakak saya, kini setelah memiliki kereta sendiri, barulah kita tahu nilai sebuah kereta yang sangat mahal. Apalagi di zaman 1980an, namun abang tidak lokek apalagi memarahi kami yang menggunakan kereta beliau untuk belajar memandu. Saya pernah merosak buku buku check abang dengan cop yang ditemui di dalam laci. Sepatah pun beliau tidak marah apalagi menunjukkan kemarahan. Kini dan di saat ini, abang saya masih terlantar kritikal di wad ICU kerana dijangkiti demam denggi berdarah lebih seminggu yang lalu. Ya Allah, pulihkan lah manusia sebaik abang untuk meneruskan hidup dan melakukan ibadah dan ketaatan. Hanya dunia tempat membuat amal. Makbulkan doa kami adik beradik yang sangat menyayangi beliau. Hanya kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kami menadah tangan memohon rahmat dari Mu. Aamiin.

Seperti saya pernah coretkan sebelum ini, kami bukan berasal dari keluarga orang senang. Namun begitu, kami tidaklah juga hidup susah. Segalanya cukup untuk makan dan pakai serta hidup di rumah selesa. Ibubapa kami hanyalah petani yang menanam padi dan mengusahakan penanaman tembakau sebagai mata pencarian. Sebagai anak, saya dan kakak kakak serta abang abang perlu menolong ibubapa samada di bendang padi atau di tempat tanaman tembakau. Dengan berbasikal, kami akan ke Kampung Rekang setiap petang untuk menyiram anak anak pokok tembakau yang sedang membesar. Ada ketikanya kami perlu membantu waktu mengutip daun tembakau yang sedia untuk dijual. Walaupun terpaksa melakukannya di bawah panas terik, kami tidak pernah merungut. Malahan kami hidup dalam kegembiraan seperti mana kanak kanak lain. Kami berjalan sejauh 1 kilometer di malam hari semata mata untuk menonton cerita Melayu di televisyen rumah orang kaya kaya di Pekan Jelawat. Pernah lutut saya berkudis kerana terjatuh di jalan raya yang gelap gelita.  Hanya apabila abang mula bekerja, dia membeli televisyen dan peti sejuk di rumah kami. Masih ingat lagi, setiap selepas solat Maghrib Wak Mejah dan anak anak akan datang ke rumah kami untuk menonton televisyen. Kesusahan masa lalu mengajar saya untuk rajin berusaha serta berjimat cermat dalam bab penggunaan air, elektrik dsb. Saya tidak sukakan pembaziran. Saya melakukan sedemikian demi melihat anak anak hidup senang dan selesa. Kesusahan masa lalu juga menjadikan hubungan kami adik beradik sangat akrab. Walaupun berada jauh, namun mereka sangat dekat di hati dan akan disayangi sehingga akhir nanti. 


Kari Ikan Aji Aji

$
0
0



Saya hari ini ingin kongsikan satu ilmu yang saya copy paste dari group WhatsApp yang sangat sangat berguna untuk diambil pengajaran dan mengamalkannya. Kata Imam Sayyid Ahmad ar-Rifaie : Setiap apa yang kamu makan pasti akan binasa (rasanya), setiap apa yang kamu pakai pasti akan lebur (koyak-lentur), adapun setiap yang kamu lakukan (beramal) pasti akan ditanya (dihisab).. Kembali kepada Allah (mati) itu pasti akan berlaku, berpisah dengan orang yang dicintai pasti akan berlaku.. Dunia ini permulaannya dimulakan dengan kelemahan dan tidak berdaya, dan pengakhirannya diakhiri dengan kematian dan kubur. Sebahagian manusia sifat mereka cintakan dunia dan lupakan kematian, sangatlah pelik (ajaib), orang yang tahu dia akan mati kelak, bagaimana boleh dia lupa akan kematian. Dengan kelemahan dan tidak berdaya, dan pengakhirannya diakhiri dengan kematian dan kubur.

Jom kita layan dulu resepi yang saya gunakan hari ini. Lain orang lain caranya tapi inilah cara saya yang saya belajar dari beberapa sumber dan mempraktikkannya sambil mengubahsuai sana dan sini. 



Kari Ikan Aji Aji
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan Aji aji
1 sudu besar halba campur
3 biji cili padi - hiris
2 pelepah daun kari
3 ulas bawang putih - hiris
5 ulas bawang merah - hiris
Sedikit halia - hiris
3 sudu besar rempah kari ikan Babas
Pes asam jawa
Garam
Buah tomato
Kacang bendi - celur dg air dan sedikit minyak
Santan secukupnya

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis cili padi dan halba campur serta daun kari. Kemudian masukkan bawang bawang dan halia sehingga kuning. 





Masukkan rempah kari kering dan kacau cepat cepat sebelum dimasukkan sedikit air. Masak lagi sehingga terbit minyak. Barulah dimasukkan santan.





Bila kuah menggelegak, masukkan ikan, buah tomato dan garam serta asam jawa. Kemudian perlahankan api dan biarkan sehingga kuahnya cantik. Sesuaikan rasa.

Akhir sekali, masukkan kacang bendi dan sedia untuk dihidangkan.






Makan Malam Di Laman Yang Sungguh Istimewa

$
0
0





Telah lama sahabat kami, Yat dan suami mengajak kami berkunjung ke rumah mereka di waktu malam bagi membolehkan kami menikmati suasana yang berbeza dengan siang hari. Tat kala pintu pagar terbuka, saya terpaku melihat keindahan pemandangan sebuah villa yang bermandikan cahaya berkabus di pinggir ibu kota. Jika pemandangan indah seperti ini hanya disajikan di dalam filem, kini berada di depan mata. Sejuk dan mendamaikan dengan cahaya suram dikelilingi kabus. Sebenarnya tiada bahasa untuk diungkapkan betapa saya sangat mengkagumi idea dan kreativiti mereka. Landskapnya yang bercanda mesra dengan alam semulajadi apabila pokok pokok hutan mengelilingi bangku yang diperbuat dari satu keping kayu padu besar.






Kami disajikan dengan beef lasagna fresh dari oven terus ke meja hidangan. Menikmati hidangan malam di bawah cahaya lampu yang sangat romantik. Saya membayangkan pasti sangat istimewa jika diadakan majlis perkahwinan berkonsepkan garden wedding di sini. Hmm atau sekali sekala makan malam berdua dibawah cahaya lampu lilin.






Selepas itu, kami beredar melihat keindahan kolam koi yang sangat cantik apabila warna ikan koi terbias cahaya lampu dari dasar kolam. Saya memang sukakan air lebih lebih lagi air sungai yang mengalir di celah celah batu dengan kelibat anak anak ikan kelah. Itulah pemandangan kolam Yat di waktu malam umpama anak sungai jernih yang disimbahi cahaya. Hati sangat teruja untuk mencelup kaki dan menguis pasir di dasar kolam. Akhir sekali, kami beredar ke tepi kolam ikan arowana sambil menikmati dessert cheese cake mewah yang disediakan puteri bongsu kesayangan Yat dan hubby.




Kami meninggalkan villa indah ini dengan seribu kenangan yang terpahat di memori. Terima kasih atas layanan mesra Yat dan suami yang tidak henti henti memberikan idea dan galakan untuk kami memberi nafas baru kepada landskap di rumah kami.






Viewing all 2253 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>