Quantcast
Channel: Azie Kitchen
Viewing all 2251 articles
Browse latest View live

Tart Permata Nur Qaseh Yang Gebu Lagi

$
0
0



Sekali lagi saya menyediakan kuih tart bagi menghabiskan baki inti jem nenas. Masih menggunakan resepi tart permata Nur Qaseh yang saya telah gunakan sekian lama. Jika sebelum ini di SINI saya membuat tart gulung, kali ini saya membuat tart ala ala nenas yang ditoreh dengan pisau sahaja. Lebih mudah dan lebih cepat berbanding tart landak yang perlu digunting di SINI. Kali ini saya membuat kuih tart kecik comey bite size yang memang sangat senang dimakan kerana ngam ngam masuk jer ke dalam mulut. Dapat 38 biji untuk 1 adunan doh.





Sebelum saya menayangkan sekali lagi resepinya, saya ingin melahirkan kesyukuran, syukur, syukur Alhamdulillah yang tidak terhingga ke hadrat Allah Taala yang Maha Pengasih lagi  Maha Penyayang kepada hamba hambaNya. Doa yang saya panjatkan setiap hari dan doa yang saya pohon dengan penuh rintihan di hadapan Multazam telah dimakbulkan. Saya terus melakukan sujud syukur dan ingatan serta bayangan arwah Bonda seolah menjelma. Duhai Bonda, anakanda akan mengirimkannya  buat Bonda dan ayahanda di sana. Sebelum anakanda menyusul, akan anakanda lakukan segala pesanan Bonda dahulu. 

Ianya bukan kerana kekuatan saya tapi kerana Allahlah yang menentukan segala galanya. Hanya Allah yang menentukan rezeki setiap makhlukNya. Saya meletakkan sepenuh keyakinan kepada Nya dan memohon hanya kepadaNya. "Allah Allahu Robbi, La Usyriku Bihi Syai Aa. Allahlah Tuhanku. Aku tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu". Terima kasih tidak terhingga kepada Kak Ana, sahabat saya yang amat dikasihi yang tidak jemu menyokong dan membantu. Apa yang saya doakan tidak signifikan untuk diketahui tapi apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah berdoalah setiap hari. Perbanyakkan amalan ibadah sunat dan sentiasa mengingatiNya di setiap saat. Saya berjanji dengan diri sendiri untuk menambahkan ketaatan saya. Di umur yang sebegini, tiada apa lagi yang saya kejarkan selain memperhambakan diri padaNya. Dunia dicari sebagai sandaran untuk menambahkan ketaatan kepadaNya. Seperti diajar oleh Ustaz Hamidi, saya memperbanyakkan berdoa, Ya Allah bantulah daku untuk selalu mengingati Mu dan selalu mensyukuri nikmat Mu. 





Hari tidak selalunya malam, kerana akhirnya selepas fajar, siang pasti akan menjelma. Itu adalah ketetapan cakerawala yang telah Allah tentukan. Roda juga beputar dan berubah kedudukan atas dan bawah. Ujian diberi kerana kasih sayang Allah pada diri ku untuk membolehkan saya lebih mendekati dan mencintai Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Tapi saya tidak mahu terus terleka kerana di dunia, tiada satu pun kejayaan hakiki. Selepas memiliki suatu yang diidamkan, akan ada lagi suatu yang lebih tinggi dan mulia dari apa yang telah dimiliki yang akan menjadi idaman seterusnya. 

Sekarang saya sertakan sekali lagi resepinya di bawah ini sekiranya ada yang tidak menyalinnya sebelum ini. Boleh klik link yang diberi untuk melihat kuih tart yang saya hasilkan sebelum ini. 



Tart Permata Nur Qaseh Lagi

Bahan bahan:
8 oz/226 gram tepung naik sendiri 
5 oz/141 gram mentega
2 sudu besar air ais
Secubit garam, jika guna unsalted butter
Kuning telur + sedikit air + pewarna kuning telur - sapu di atas tart

Cara cara:
Satukan mentega yang dipotong dadu dan tepung. Ramas ramas sehingga rata sebelum dimasukkan air ais. Gaul sebati sehingga ianya menjadi adunan doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.

Masukkan doh ke dalam plastik dan simpan di dalam peti ais selama 30 minit hingga 1 jam. Sedia untuk dicanai dan terap menggunakan acuan tart bunga atau apa apa yang disukai. Untuk hari ini, saya buat tart nenas yang ditoreh toreh di atas doh yang telah siap. 







Sapu kuning telur di bahagian atas. Susun dalam loyang yang dilenser sedikit mentega. Bakar dalam oven pada suhu 170C selama 30 minit atau sehingga bahagian bawahnya berwarna perang sedikit. 


Inti Tart Nenas

Bahan bahan:
1 Ib/454 gram isi nenas parut 
1/2 Ib/227 gram gula pasir
Bunga cengkih dan kayu manis
Daun pandan
Sedikit pewarna kuning - opsyenal

Cara cara:
Nenas diparut dan ditoskan airnya. Boleh juga jika nenas dihancur menggunakan food processer atau blender. Kemudian timbangkan isi nenas.

Masukkan semula, nenas, jus nenas, gula, daun pandan serta bunga cengkih dan kayu manis ke dalam kuali dan masak di atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga ianya tak melekat di daun pandan dan berkilat. Jangan terlalu kering.

Sejukkan dan siap untuk digunakan.




Ruang Iklan Untuk Disewa

$
0
0




Saya ingin membuka ruang untuk sesiapa sahaja yang ingin memasarkan produk dengan menyewa ruang iklan di blog Azie Kitchen. Sebagaimana kita ketahui  trend pembelian secara online adalah sangat popular dek kesuntukan masa untuk kita keluar membeli belah. Kos juga sangat tinggi kerana di samping kos petrol juga perlu membayar parking dan lain lain kos tersembunyi. Kami sekeluarga telah lama mengamalkan pembelian secara online termasuk pembelian dari luar negara. Di samping itu, pemasaran produk secara online juga menjadi pilihan mereka yang mempunyai perniagaan disebabkan coverage nya yang meluas dan dalam masa yang singkat terutama melalui blog dan facebook. 

Alhamdulillah trafik blog Azie Kitchen kian meningkat dari hari ke hari. Banyak restoran dan gerai gerai yang meningkat pelanggannya secara mendadak setelah dibuat review oleh blog Azie Kitchen. 





Di samping itu, iklan juga akan dipublishkan di page Azie Kitchen facebook yang memang akan menyiarkan setiap entri baru yang dipublish di blog Azie Kitchen. Iklan akan diletakkan di 2 tempat, iaitu di bawah header dan di kanan entri dengan kadar bulanan yang berbeza. 

Di samping ruang iklan, saya juga bersedia untuk membuat produk review atau sponsored post. Entri ini akan disiarkan selama 2 hari di blog Azie Kitchen dan juga facebook Azie Kitchen. 

Berminat? Boleh email ke azieshoppe@hotmail.com untuk mengetahui kadar dan lain lain syarat serta terma. 


Mee Hoon Daun Limau Purut

$
0
0





Hari ini saya menyediakan Mee Hoon goreng daun limau purut atas permintaan Juita untuk sarapan bersama kawan kawannya yang bermalam di rumah kami. Resepi ini saya belajar dari Zatul, adik ipar saya dan pertama kali merasainya sewaktu beliau memasaknya di kampung. Saya sendiri sangat menyukai mee hoon digoreng seperti ini kerana selain ianya cepat disediakan dan menggunakan bahan yang ringkas tapi juga rasanya yang sangat sedap dengan mempunyai rasa seperti tom yam. Kalau mahu lebih sedap, letakkan banyak banyak seafood seperti udang, sotong dsb. 




Hari ini juga saya telah merasmikan penggunaan pan cast aluminium cookingware Bessemer yang dibeli di Perth yang memang sangat sesuai untuk dimasak dalam jumlah yang banyak seperti memasak rendang untuk 2 ekor ayam atau menggoreng mee hoon untuk 2 pek sekali gus. Saya beli selepas terpikat dengan komen Kak Kamariah yang masakan yang dimasak dengan caserol dari Bessemer ini mempunyai rasa yang sangat sedap. Tapi memang berbaloi membelinya kerana ianya sangat sesuai untuk memasak dalam jumlah yang banyak.




Saya ni biasanya kalau membeli cookingware akan suka menyimpannya dan sayang nak digunakan. Banyak cooking ware yang dibeli oleh Farhana sebelum balik dari US juga masih elok tersimpan di dalam kotak. Jom kita layan resepinya di bawah ini...



Mee Hoon Daun Limau Purut

Bahan bahan:
1 1/2 plastik mee hoon
Udang secukupnya
30 helai daun limau purut - buang batang
4 biji bawang besar
6 batang cili hijau
1 biji cili merah
Garam
Telur - jika suka 
Daun bawang 
Bawang goreng

Cara cara:
Kisar bawang besar, daun limau purut dan cili hijau serta cili merah sehingga hancur. Jangan terlalu hancur supaya masih ada rasa daun limau purut. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik minyak.





Masukkan udang dan garam. Kemudian masukkan mee hoon yang telah direndam sehingga lembut. Kacau rata dan masukkan serbuk perasa. 




Setelah mee hoon garing dan keluar minyak, bolehlah angkat dan sesuai untuk dihidangkan. Tabur bawang goreng, daun bawang dan cili merah hiris. 



Masak Kicap Ikan Aji Aji Lebih Mudah Dengan Awang

$
0
0




Kali ini saya masih menggunakan bahan bahan masakan kisar jenama Awang. Kunyit hidup kisar nya sangat wangi seperti kunyit hidup yang kita tumbuk sendiri. Begitu juga dengan bawang, cili kering dan halia kisar juga, saya gunakan jenama Awang. Memang sangat sangat mudah dan mempercepatkan kerjalah produk Awang. Saya sarankan isteri terutamanya yang bekerja supaya membelinya bagi mempercepatkan kerja memasak.




Sebelum kita melihat resepi, saya ingin kongsikan sedikit berkenaan pengertian zuhud yang kurang difahami selama ini. Saya mengambilnya dari buku Mari Kita Terbang Ke Syurga dari Iman Al Ghazali. Kebetulan Ustazah Aishah juga mengupas topik yang sama pada kuliah hari Jumaat lepas. Zuhud ditujukan kepada barang halal dan haram. Meninggalkan yang haram adalah wajib, manakala meninggalkan yang halal adalah sunat. Zuhud terhadap sesuatu yang halal adalah seperti bangkai di mana mereka tidak mengambilnya hanya sekadar yang perlu dimakan. Sedangkan barang haram adalah seperti api yang tidak sedikit pun tergerak untuk mengambilnya. Inilah dinamakan dinginnya hati. Orang zuhud akan membunuh keinginannya terhadap dunia dan tiada keinginan untuk mendapatkannya. Orang yang diberi taufik akan mengetahui bahawa dunia itu kotor dan rosak sama seperti bangkai. Orang yang mencintai dunia tidak melihat kecacatan dunia. 

Analogi mudah ialah ada orang menghasilkan dodol dengan bahan yang lengkap tetapi dimasukkan racun. Ketika itu ada orang yang melihat kejadian tersebut dan ada pula orang yang tidak melihat ketika racun dimasukkan. Setelah dodol masak, ianya dibungkus cantik dan diletak dihadapan kedua orang tersebut. Sudah tentu orang yang melihat racun dimasukkan tidak akan sedikit pun berkeinginan untuk mengambilnya kerana tahu yang ianya boleh memberi kebinasaan. Berbeza dengan orang yang tidak melihat akan tertipu dengan keadaan luar dodol yang telah dibungkus dengan begitu indah. 

Jom kita layan resepi...




Masak Kicap Ikan Aji Aji

Bahan bahan:
1 ekor ikan Aji Aji - lumur garam kunyit hidup
2 sudu besar bawang besar kisar
2 sudu besar cili kering kisar
1/2 sudu kecil halia kisar
3 ulas bawang putih - tumbuk
1 batang kulit kayu manis
1 biji bawang besar - hiris bulat
1 biji cili merah - hiris
Kicap
Garam
Sedikit sos tomato
Sedikit sos tiram
Sedikit gula

Cara cara:
Goreng ikan yang telah dilumur dengan garam serta kunyit hidup kisar jenama Awang sehingga garing, angkat dan ketepikan.




Panaskan minyak dan tumis bahan kisar serta kulit kayu manis sehingga wangi. Setelah cili betul betul garing, masukkan sedikit air dan sos, garam serta gula.




Setelah mendidih, masukkan bawang besar, cili hidup dan kacau rata. Sesuaikan rasa dan bolehlah angkat dan dihidangkan.





Sandwich Sardin Untuk Hidangan Petang

$
0
0




Sejak kebelakangan ini, memang tidak terkira mood kemalasan yang melanda. Malas untuk ke dapur, malas untuk menulis di blog dan malas juga nak buat apa apa yang berkaitan dengan blog. Saya lebih suka membaca buku yang tak habis habis di baca kerana buka sahaja beberapa muka surat saya sudah terlentuk lena. Keinginan untuk membeli buku buku juga melonjak lonjak, rasa semuanya yang ada di kedai buku mahu dibeli dan di borong.

Hari ini saya membuat sandwich sardin yang semua orang pun pandai menyediakannya. Cuma dari tak ada langsung entri sehingga saya langsung tak mahu buka blog, lebih baik lah saya letak entri ini. Saya teringin untuk membuatnya selepas makan sandwich sardin yang dibuat Kak Kamariah sebaik habis mengaji. Sedap lah pula, bak kata Kak Kamariah semua sedap jika orang lain yang memasaknya. Biasanya saya tidak menumis sardin. Hanya dilenyek begitu sahaja, perah air asam limau nipis dan masukkan sedikit garam. Siaap. Tapi kali ini saya ikut cara kak Kama yang memang kreatif dalam menyediakan makanan untuk keluarganya. Ada ada sahaja resepi campak mencampak yang disediakan tapi menghasilkan makanan yang sedap dan sihat. Beliau juga membuat penyediaan awal semua bahan memasak yang kemudiannya disimpan di dalam freezer menjadikan aktiviti memasak sangat pantas dan menjimatkan masa.

Sebaik selesai makan, hujan pun turun dengan renyai renyai tanpa angin jadi memang sangat selesa dengan udara sejuk dingin. Bila pintu dibuka, saya dapat mendengar air hujan yang turun dan dan jatuh ke dalam kolam ikan saya. Hati berasa sangat gembira kerana baru tengahari tadi, saya menanam pokok kelapa mantop dan kelapa pandan yang dibawa abang saya dari Kelantan. Hujan pastinya mempercepatkan pokok pokok untuk tumbuh dan membesar. Hari ini juga hubby memotong pisang yang telah ditebang semalam.  Sehingga kini saya tak tahu, apakah jenis pisang tersebut. Tunggu masak, barulah tahu apa agaknya jenis pisang tersebut. Semasa sedang berada di bilik semalam, sambil mendengar radio dan ustaz mengajarkan bahawa apabila hujan bacalah doa ketika hujan: اَللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا yang berbunyi Allaahummaa Syoyyiban Naafi 'aa, bermaksud, "Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat" (HR. Bukhari) Berdoalah ketika hujan kerana waktu itu doa mustajab: “Dua doa yang tidak pernah ditolak, doa ketika waktu adzan dan doa ketika waktu hujan”. (HR. Hakim/dishahihkan oleh Adz-Dzahabi). Sehingga saya siap menulis entri ini, hujan masih renyai renyai turun membasahi bumi dan memandikan pokok pokok dan tanaman. 

Jom kita layan resepi yang saya gunakan hari ini. Resepi ini lebih kepada anak anak yang baru masuk ke dapurlah terutama yang berada di luar negara jauh dari ibubapa...



Sandwich Sardin

Bahan bahan:
1 tin sardin
Garam
3-4 ulas bawang merah - hiris
Air asam limau nipis
2 biji cili merah dan hijau
Timun
Tomato buah
Bawang besar
Roti
Butter

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah yang dihiris sehingga wangi. Masukkan sardin yang telah dilecek. Masukkan sedikit sos sardin. Kacau rata sehingga nampak masak. Masukkan cili yang telah dihiris. Masukkan garam dan air asam limau nipis. Angkat. Sudukan lebihan minyak.








Sapu butter pada roti dan masukkan sardin. Masukkan pula timun, tomato dan bawang besar hiris. Tutup dengan sekeping lagi roti. Bolehlah dipotong 2 atau 4, ikut suka masing masing. Sedia untuk dinikmati dengan secawan teh O panas.






Selamat menjamu selera...


  

Kuih Bakar Berdaging Yang Sangat Sedap

$
0
0



Telah lama saya menyalin resepi ini dari blog Kak Jee yang memang terkenal dengan perkongsian resepi turun temurun keluarga beliau. Pada saya, Kak Jee mengambil langkah yang bijak dengan berkongsi resepi keluarga kerana dari ianya diamalkan di kalangan keluarga sendiri, lebih baik dikongsi dengan orang ramai supaya mereka yang telah tiada juga akan mendapat manafaatnya. Terima kasih Kak Jee atas perkongsian resepi ini.





Hari ini, saya bercuti untuk menghabiskan cuti tahunan. Saya tidak merancang untuk ke mana mana, hanya balik kampung sekejap pada hujung minggu untuk majlis tahlil arwah Bonda. Selepas itu, saya akan kembali bertugas sebelum menyambung semula cuti sehingga tahun baru. Masa bergerak pantas, dalam masa dua minggu lagi, tahun 2015 akan datang dan meninggalkan tahun 2014. Usia saya juga berkurangan selama 1 tahun. Azam saya di tahun 2015 ialah untuk menghabiskan sisa sisa hidup dengan memperbanyakkan amalan soleh terutamanya bab berkaitan solat, sedekah dan Al Quran. Maklumlah mati tidak kita ketahui. Beramal hanya di dunia, bila dah mati, tiada lagi perlu beramal. Lagi pulak Allah telah mengurniakan banyak nikmat untuk saya sepanjang hidup ini.  Hari ini saya sangat gembira kerana Nellisa telah mendapat tawaran pekerjaan di sebuah badan berkanun yang ternama. Saya sangat gembira kerana doa saya telah dimakbulkan Allah SWT. Nikmat apalagi yang hendak saya dustakan?   





Jom layan resepi mudah ini. Kuih ini adalah ala ala kuih Cara Berlauk cuma bezanya Kuih Cara dibakar dalam acuan kuih cara atau kuih bahulu. Kuih Bakar Berdaging pula dibakar dalam acuan Bahulu Kemboja. Oleh kerana saya hanya ada 2 set sahaja kuih acuan Bahulu Kemboja, jadi saya tuangkan bakinya ke dalam loyang besar dan dibakar sehingga masak. Jika dimasak dalam acuan bahulu, rasanya 1 adunan boleh dapat 6 biji kuih bakar berdaging...



Kuih Bakar  Berdaging

Bahan bahan:
250 gm daging kisar/cincang (¼ kg)
1½ sudu rempah daging Babas 
1 biji bawang besar - cincang
Garam/aji secukup rasa
Daun bawang
Cili merah - hiris halus
1 sudu besar minyak/minyak sapi/margerin

3 cawan tepung gandum
3 cawan santan cair/susu cair/susu rendah lemak
3 cawan air
5 biji telur
Sedikit garam
Sedikit pewarna kuning telur

Cara cara:
Daging dibersihkan dan dibuang semua urat. Cincang sampai halus. Atau boleh guna daging batang pinang dan potong kecik. 

Panaskan 1 sudu minyak dan tumis bawang yang telah dicincang. Kemudian bila bawang dah kekuningan, masukkan rempah kari dan goreng sampai wangi. Masukkan daging dan masaklah sampai kering. Sejukkan.





Pukul telur hingga kembang, masukkan susu dan air dan kacau sampai rata. Masukkan tepung dan kacau hingga sebati. kalau tak halus, masukkan ke dalam blender sedikit demi sedikit dan kisar supaya halus.  Bubuh sedikit saja pewarna kuning dan sedikit garam. Jangan banyak sangat garam sebab lauk daging  tadi dah ada perisa. 

Panaskan oven pada suhu 160C. Lauk daging dibahagi kepada 3 bahagian sebab bancuhan ini jadi 3 kuih bakar. Kalau guna acuan kecil, rasanya boleh dapat 6 kuih bakar.

Letakkan acuan kuih bakar di atas dapur, bubuh ½ sudu minyak sapi/marjerin dan panaskan. Bila minyak sudah panas, perlahankan api dan tuangkan bancuhan tepung tadi hingga paras ¾ penuh ke dalam acuan. 

Biar kira kira 1 minit, pastu sudukan 1 sudu kecil lauk daging ke dalam bancuhan tepung dalam acuan perlahan lahan. Mulakan di bahagian tengah dan kemudian dalam setiap lekuk acuan. Akhir sekali, taburkan daun bawang dan cili merah. Bila nampak garing pada bahagian tepi kuih, masukkan ke dalam oven suhu 180 C menggunakan api atas sahaja (jika ada) selama 15-20 minit. Saya guna api atas bawah.






Guna pisau dan keluarkan kuih ketika masih panas. Sambung buat lagi. Makan dengan sos cili. Sangat sedap. Selamat mencuba...






Selamat mencuba....



Roti Sarang Lebah Yang Menjadi Pujaan Ramai

$
0
0




Telah lama saya melihat Roti Sarang Lebah menjadi viral di kalangan peminat masakan dan blogger masakan di blog, facebook dsb. Tapi tak terbuka hati pun, untuk membuatnya. Saya sebenarnya agak tak suka apa apa yang basah dan berkuah atau belengas dipegang. Melihat sos atas roti yang bertakung menjadikan selera saya menjadi padam. Tapi bila Juita mencadangkan untuk membuat Roti Sarang Lebah, saya terus setuju. Dalam hati, OK jer kalau saya hanya tolong tolong kerana hari ini, saya mula bercuti untuk menghabiskan cuti tahunan. Pagi pagi lagi saya ke hospital membuat rawatan susulan kepada masalah kesihatan yang dihadapi. Balik dari hospital, singgah membeli bahan bahan yang diperlukan.






Kalau tak ada apa yang nak dibuat pun, boleh jadi stress dibuatnya. Memang stress kadang kadang kerana bukan nak memikir masalah diri sendiri sahaja tapi masalah suami dan anak anak pun menjadi masalah saya. Kadang kadang terfikir untuk membiarkan sahaja. Pandai pandailah mereka menguruskan kehidupan masing masing seperti yang pernah saya tempuhi dahulu. Tapi dalam dunia yang serba kompetitif, ibubapa perlu membantu, kalau tidak anak anak mungkin tidak melihat sesuatu perkara dalam konteks big picture dengan pandangan yang jauh. Setiap orang adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan bertanggungjawab pada orang yang dipimpin dan akan disoal tentang tanggungjawab ini di akhirat kelak. Petikan dari rancangan TV Al Hijrah Cinta Ilmu hari ini. Di dalam rancangan itu juga diulas berkenaan 4 soalan yang wajib dijawab di akhirat kelak ialah "Daripada Abu Barzah Nadhlah bin 'Ubaid al-Aslami ra, telah bersabda Rasulullah SAW "Tidak bergerak kedua-dua kaki seorang hamba (di hadapan Allah pada hari kiamat nanti), sehingga terlebih dahulu ditanya tentang umurnya dan untuk apa dihabiskannya, ditanya tentang ilmunya dan untuk apa dia melakukannya, adakah ilmunya telah diamal, ditanya tentang hartanya iaitu dari mana ia mendapatkannya dan untuk apa ia membelanjakannya, dan ditanya tentang tubuh badannya untuk apa dibinasakannya (digunakannya)" [Hadis riwayat At-Tirmidzi, hadis hassan sahih menurut At-Tirmidzi]

Rasanya sulit untuk pertanyaan ini dijawab, namun pada hari itu, segala pertanyaan mesti dijawab dengan jawapan yang baik dan benar. Kita pasti akan berkata benar ketika itu kerana sekiranya mulut cuba berdusta, maka Allah akan menguncinya dan membiarkan anggota badan yang lain pula untuk berbicara. "Pada hari ini kami tutup mulut mereka dan berkatalah kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka, terhadap apa yang mereka telah lakukan dahulu. [Surah Yaasin, ayat 65]

Maka sudahkan kita bermuhasabah? Sudahkah kita menghitung diri sebelum diperhitung di hadapan Allah? Kalau sudah, teruskanlah dengan istiqamah. Jika belum, bertaubatlah sebelum terlambat. Rujukan: Kitab 40 Hadis Penawar Hati. Dikarang: Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al Banjari An Nadwi Al Maliki.


Jom layan resepi yang kami gunakan hari ini. Resepi ini diambil dari blog Kak Nor . Untuk roti seperti yang kami buat hari ini, kami menggunakan 2 adunan dengan setiap biji lebih kurang 20 gram. Ada baki lagi 3 biji yang tak muat loyang 9 inci, kami bakar dalam bekas aluminium pie yang kecil. Jom layan....




Roti Sarang Lebah

Bahan doh:
2 cawan tepung roti  - boleh juga guna tepung gandum
1/2 sudu teh dry yis
1/4 sudu teh garam
½ sudu teh baking powder
1 sudu besar gula pasir
¼ cawan plain yogurt - suhu bilik
¼ cawan minyak sun flower/minyak jagung
1/2 cawan air suam 

Bahan Tabur:
Almond flakes
Sunflower/pumpkin seeds
Butterscotch 

Bahan Sapuan:
Kuning telur
Susu cair
Esen vanila
Sedikit pewarna kuning telur

Cara cara:
1. Larutkan yis dan gula dalam air suam dan biarkan berbuih.
2. Dalam mangkuk adunan, satukan garam, tepung gandum, baking powder dan kacau sebati. 
3. Masukkan campuran yis  dan yogurt ke dalam mangkuk adunan dan kacau sedikit dengan sudu supaya kurang tahap melekat kat tangan.
4. Uli dengan tangan sedikit dan masukkan minyak sedikit demi sedikit dan teruslah menguli doh sehingga tak lekat di tangan. Saya hanya mengulinmenggunakan mixer jer.
INGAT..cara ulinya jika tak ada BM adalah macam nak sental baju zaman dulu dulu (zaman tak de washing machine basuh kain kat sungai), tolak tarik tolak tarik menggunakan penumbuk lagi bagus.
5. Uli sehingga doh menjadi elastic. Lagi lama lagi bagus dan lagi gebus roti kita nanti.
6. Bila rasa dah puas uli, biarkan doh naik 2x ganda di tempat sikit panas atau tertutup macam dalam oven atau microwave yang TAK di ON.
Bila doh dah naik, tumbuk tumbukkan supaya keluar anginnya
7. Sapukan tangan anda dengan minyak dan ambil doh sebesar buah langsat atau mata kucing (dalam 20 gram) dan susunkan rapat di dalam loyang yang telah disapu dengan sedikit minyak. 





8. Buat sehingga habis. Memang doh lembik tapi jangan risau kalau melekat sapukan tangan anda dengan minyak jer. Biarkan doh naik 2X ganda. Lumur bahan sapuan. Pastikan sapuan ini tidak meleleh ke dasar loyang kerana ianya akan membuatkan roti anda melekat dan susah ditanggalkan bila telah masak.
9. Taburkan dengan pumpkin seeds dan almond flakes jika suka dan biarkan doh rehat naik 2x ganda sekali lagi. Sementara menunggu doh naik ON kan oven pada suhu 180-200C api atas bawah.





10. Pastikan oven betul betul panas, baru dimasukkan loyang. 10 minit pertama guna api bawah jer, 5 minit terakhir pakai api atas bawah.
11. Bakar selama 10-15 minit. Keluarkan dari oven dan cepat cepat tuangkan butterscotch di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.






Nota:
1) doh memang lembik. Jangan tambah tepung, cuma sapukan tangan anda dengan minyak masa nak bahagi bahagi doh kecik kecik.
2) tak payah bulat bulat sangat pun, sekadar lebih kurang sebab nanti ia akan bulat sendiri bila naik.
3) pastikan oven benar benar panas supaya ia lembut bak cotton.
4) JANGAN bakar terlalu lama kerana nanti keras
5) Kalau tak habis makan tu simpan roti dalam air tight container atau balut pinggan anda dengan plastic kemas kemas




Sos Butterscotch

Bahan bahan:
1/2 cawan gula perang
1/2 cawan whipping cream (kalau tak de boh jer susu cair)
Secubit garam 
1/2 sudu kecil vanilla essence
25 gram butter

Cara cara:
Cairkan butter dakam periuk kecil, Masukkan gula perang, kacau selalu sehingga gulanya cair@larut sepenuhnya dan berbuih. Tuangkan whipping cream perlahan2 sambil mengacaunya.

Masukkan vanilla dan bila semuanya sebati padamkan api dan tuangkan dalam bekas tahan panas, sejukkan sedikit dan sedia untuk digunakan sebagai topping.

Nota:
Pastikan semua bahan tersedia dekat dapur anda kerana sos ni cepat hangus kalau di tinggalkan. Awas masa nak tuang cream tu sbb gula ni panas sangat..





Puding Trifle Pisang Lemak Manis

$
0
0





Saya dapat idea untuk membuat Trifle Pisang Lemak Mnnis selepas terbaca di blog Kak Ummi. Pokok pisang ini ditanam oleh pekerja yang datang memotong rumput di rumah kami setiap bulan. Beliau hanya memberitahu yang pisang ini sedap tanpa memberitahu namanya. Jadi dari ditanam sehingga ianya berbuah, saya tertanya tanya pisang apakah ini dan menanya juga kawan kawan di facebook, ramai yang menekanya sebagai pisang emas. Sehingga bila ianya telah ditebang, barulah sahabat saya Datin Fauziah memberitahu yang dari apa yang digoogle, ianya adalah pisang lemak manis. Bila terdengarnya perkataan pisang lemak manis, saya terus teringat akan Puding Raja yang sangat sinonim dengan pisang lemak manis. Tapi terfikir, apalagi sedap di buat dengan pisang ini. Bila bertanya dengan Pak cik Google, saya diberikan beberapa opsyen. Antaranya ialah Trifle Pisang Lemak Manis. Itu yg dapat idea untuk membuat Trifle Pisang Lemak Manis. 




Pagi pagi lagi saya ke Taman Tun untuk mengambil telekung yang ditempah. Selepas itu, masuk saloon dan teringin pula nak cuba berbekam. Pendek kata setengah hari juga di sana. Balik lagi setengah hari di dapur. Haaih ingatkan cuti bolehlah bermalas malas di katil sambil membaca buku. Rupanya dah dua hari bercuti, kesibukan mengalah kesibukan di pejabat. Aduhaaiii. Kebetulan esok saya bersama hubby dan Aween akan balik Kelantan untuk majlis tahlil arwah Bonda dan Juita pula akan bercuti di Bangkok bersama kawan kawan. Jadi mahu tak mahu, kami terpaksa juga meneruskan projek ini kerana pisang dah mula masak menguning kulitnya. Kerana nak menghabiskan juga stock pisang yang dah masak, saya buatlah 2 bekas, satu bekas bolehlah dihantar ke surau sebelah malamnya. Rupanya pisang lemak manis ni sangat sedap juga dimakan begitu sahaja. 






Sebenar berlaku sedikit kesilapan dalam penyediaan Puding Trifle ini bila jelly yang saya gunakan tanpa saya sedari adalah jenis yang kenyal bukan jelly lembut. Sepatut ia jenis lembut yang boleh dikacau dengan garfu sahaja. Jadi itulah sebabnya bahagian lapisan jelly tu kena hiris dengan pisau menjadi sekeping bukan discoop dengan sudu. Apa apa pun, kalau tak dicuba hari ini, sampai bila pun saya tak tahu yang jelly ada dua jenis. Aduh memang tak puas hati sangat sangat, tapi nak buat macam mana kerana ianya sedari hanya setelah mahu discoop menggunakan sudu.    





Jom layan resepi yang saya olah dari resepi Puding Trifle saya sebelum ini di SINI. Jom layan dulu....




Puding Trifle Pisang Lemak Manis
Oleh : Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 pek kek swiss roll
2 kotak jelly merah
20 biji pisang lemak manis - goreng
1 tin fruit cocktail
1 tin susu cair
1  tin air
7 sudu besar gula
4 sudu besar kastard + 1/2 tin air
300 ml Whipped cream - tak letak
Buah strawberry - belah 2
Trifle bowl

Cara cara:
1st layer; susun kek swiss roll yang dah dipotong nipis kecil kecil dalam bekas. Boleh juga disapu jem di dasar dan keliling bekas sebelum dimasukkan kek.
  
2nd layer;  masak 1 kotak jelly warna merah dengan 2 mug air hingga hancur. Tuangkan jelly atas kek tadi. Masukkan fruit koktel dan tuang lagi baki jelly. Masukkan dalam peti sejuk untuk disejukkan sekejap. Lebihan jelly dimasukkan dalam bekas kecil dan boleh diwarnakan hijau, jika suka sebagai hiasan.

3rd layer; Masak 1 tin susu cair + 1 tin air + 7 sudu gula sampai mendidih. Sambil tu, bancuh 4 sudu tepung kastard dengan 1/2 tin air. Bila susu mendidih, slowkan api dan masukkan bancuhan tepung kastad, kacau sampai pekat. Tuang kastard atas lapisan jelly yang dah keras. 





4th layer; Susun pula pisang yang telah digoreng dan hias dengan buah ceri mengikut yang disukai. Tutup dengan plastic wrap dan simpan dalam peti sejuk selama 1 jam sebelum dihidangkan. Selamat mencuba...







Kota Bharu - Setahun Telah Berlalu

$
0
0





Kalau pada bulan Disember tahun lalu, saya bersama hubby dan Aween balik ke Kelantan untuk menjenguk Bonda di SINI, namun kali ini selepas setahun berlalu kami bertiga balik dalam bulan Disember untuk majlis tahlil buat arwah Bonda. Tahun lepas kami menginap di Hotel Rennaisance KB dan berulang alik menjenguk Bonda di Pasir Tumbuh tempat di mana Bonda menghabiskan sisa usia selepas pemergian ke rahmatullah arwah Ayahanda pada 13 Mei 1995. Namun kali ini, saya menginap di Hotel Perdana Kota Bharu selepas menginap selama 2 malam di Villa Danialla Resort, Tok Bali. 





Seperti tahun lepas, kami hanya balik bertiga, agak sukar untuk mendapatkan quorum yang cukup kerana Nana dan Nelly bekerja dan Boy pula ditugaskan untuk menghantar Juita ke airport yang akan bercuti ke Bangkok bersama kawan kawannya. Nana yang baru menyertai jabatan baru tidak dapat mengambil cuti. Walau apa pun, ianya tidak menghalang saya untuk menunaikan tanggungjawab pada Bonda samada semasa dia masih hidup atau telah meninggal dalam apa jua cara yang termampu. Kami balik dengan menaiki penerbangan Firefly yang sekarang dirasakan sangat selesa buat saya kerana dapat menjimatkan perjalanan ke airport.

Setibanya kami di kampung sebelah petang, semua urusan masak memasak telah selesai kerana majlis tahlil diadakan di sebelah malamnya. Kami tidak dapat balik lebih awal kerana hubby masih menpunyai urusan yang perlu dibereskan. Sesampai di Bachok saya dan Aween terus singgah rumah Kak Nah tempat diadakan tahlil sebelah malamnya. Manakala hubby rush ke resort untuk check in. Saya makan nasi dengan gulai kawah kambing sehingga kekenyangan sampai keesokan pagi nyer. Aduhaai sedap sungguh gulai kawah Kelantan ni.








Pagi pagi keesokannya selepas bersarapan di cafe resort, kami berjalan jalan di tepian pantai melihat orang menangkap ikan belanok yang memang terkenal di musim banjir. Ikan ni sedap dimasak asam rebus. Keadaan pantai di musim banjir agak penuh dengan sampah yang dibawa ombak besar yang mengganas. Cuaca mendung, berangin dan sejuk memang sesuai untuk bersiar siar di gigian air. Tapi awas kerana ombak besar tidak mengenal erti persahabatan. Jangan cuba bercanda dengan pantai ketika ini. Seorang mak cik tua yang berkebetulan lalu di pantai berpesan pada saya supaya tidak bermain laut kerana ombak besar yang boleh membahayakan nyawa.








Selepas itu, kami ke pasar Jelawat untuk mencari apa apa makanan yang boleh dibeli. Dalam perjalanan, saya berhenti melihat pemandangan air banjir di sana sini dengan langit yang mendung. Hati memang sangat teruja untuk memancing, aktiviti yang sangat saya gemari di musim banjir sewaktu kecil dahulu. Memang kali ini banjir agak luar biasa kerana rumah kakak yang tidak pernah dinaiki air juga telah terjejas dengan air mencecah paras tangga dan lembu juga kesejukan berendam di dalam air. Berbalik kepada Pasar Jelawat pula, memang tidak ada apa yang teringin dibeli bila perut masih kekenyangan. Ubi yang dijual adalah ubi musim banjir seperti ubi Badak, ubi Keling dan ubi Kayu. Hanya terdapat satu gerai jer yang menjual ikan pekasam. Sebelum balik, saya beli nasi berlauk itik serati dan juga rojak untuk dimakan di bilik





Balik bilik berehat seketika sebelum menemankan Aween berenang di swimming pool yang mengadap lautan. Best sangat duduk merenung dan mengadap lautan dengan bunyi deruan ombak yang menghempas pantai sambil berchatting dengan geng UM melalui whatsApp. Macam macam topik dibincangkan. Semua sungguh sporting. Pastinya ia sangat membantu kerana kami berkongsi pengalaman dan pengetahuan yang selama ini mungkin tidak tahu bagaimana jalan penyelesaiannya. 





Sebelah malam keluar ke pasar malam di Pantai Irama. Maklum hujan hujan ni, perut cepat terasa lapar. Sampai sana hujan mulai turun, lepas pusing pusing langsung tak jadi beli apa apa. Susahlah berjalan dalam hujan dengan angin kuat. Akhirnya buat keputusan singgah makan sate dan sup kaki lembu di gerai makan di pantai Irama. Malam itu duduk di dalam asap api membakar sate. Habis baju berbau asap api sate. Sate nyer, hmm memang tak puashati kerana banyak diletak lemak yang memang tidak dimakan dan tidak elok dimakan. Tidak seperti sate di KL yang kesemuanya daging. Saya tak pasti kenapa ianya dijual sebegitu. 


Banjir Yang Mengimbau Kenangan

$
0
0



Telah berbelas tahun rasanya saya tidak merasai suasana banjir di Kelantan. Banjir atau dipanggil bah, bak perumpamaan sekali air bah, sekali pantai berubah. Maknanya bah difahami oleh ramai orang sebagai banjir. Banjir adalah sesuatu yang cukup sentimental dan nostalgia pada saya kerana sejak kecil saya membesar dalam suasana banjir yang berlaku pada setiap hujung tahun. Semasa rumah saya di Kampung Tangok, saya akan ke hadapan rumah untuk melihat air banjir yang melimpah memenuhi kawasan tanah padi yang terletak di kawasan yang agak rendah. Sewaktu di rumah saya di Kampung Telong seperti di atas, saya akan keluar memancing ikan puyu di air parit di hadapan rumah.






Di musim ini, cuaca menjadi tidak menentu dengan hujan turun renyai renyai sepanjang hari. Adakala, arwah ibubapa saya akan menyalai kain baju yang basah. Terutama kain lampin anak buah yang ketika itu masih kecil. Zaman dulu tak ada atau tak mampu membeli pampers. Eee berbau asap. 






Selain itu, makanan kami ketika itu ialah berbagai jenis ubi yang direbus seperti ubi kayu, ubi itik, ubi keling dsb. Yang paling saya ingat ialah ubi gadung yang perlu dihiris halus dan direndam dalam air yang yang mengalir selama beberapa hari. Manakala lauk pula adalah lauk ikan sungai seperti talapia, lampan, haruan, keli yang biasanya ditangkap dengan tauk atau ditahan dengan jala. Arwah abang Hashim, abang sulong saya juga gemar menangkap ikan semasa banjir. Oleh kerana nelayan tidak turun ke laut kerana ombak yang bergelora, ikan laut akan dibuat pekasam. Lauk ikan pekasam juga adalah antara lauk yang biasa dihidangkan di rumah kami di musim banjir. Walau apa pun lauk dan makanan yang dihidangkan, saya hidup dengan gembira dan makan kekenyangan dengan apa sahaja makanan yang ada tanpa banyak rungutan pun.





Ketika banjir, beberapa batang jalanraya akan turut ditenggelami air sehingga paras pinggang. Ketika inilah anak anak muda akan keluar bak pesta dengan mengharung air yang deras separas pinggang. Jika sekarang lah saya diajak berbuat demikian, pasti saya tak akan melakukannya lagi. Maklumlah saya bukannya pandai berenang. Selain itu, banjir akan memberi pendapatan sampingan kepada arwah ayah yang membawa penumpang menyeberangi jalan tersebut menggunakan perahu. Baru sekarang saya merasakan betapa penatnya arwah ayah mengayuh perahu untuk mendapat upah sebanyak 50 sen seorang dengan melawan arus air yang deras. Untuk bergerak ke sana sini di bawah hujan, arwah ayah akan membuat topi dari daun nipah. Semuanya masih jelas di minda saya. 

Antara peristiwa berkaitan banjir yang tidak dapat dilupakan ialah bila kaki saya yang luka telah bertukar menjadi kudis yang membengkak dan bernanah gara gara jangkitan kuman dari air banjir. Bayangkan luka yang kecil telah menjadi besar sehingga saya terpaksa membalut kaki yang berkudis dan bernanah. Saya tidak dapat memakai kasut sekolah semasa menduduki peperiksaan STPM. 






Kepulangan saya ke kampung kali ini betul betul mengimbau kenangan berada dalam musim banjir dengan saya terpaksa berada di dalam hujan, baju basah melenjun setiap kali keluar dari kereta. Boleh dikatakan hujan sepanjang hari. Sekejap sekejap hujan, kemudian berhenti dan hujan balik. Pendek kata sentiasa baju kebasahan masa berlari masuk ke kereta. Telah bertahun lamanya saya tak merasai suasana begini. Air di sana sini memutih. Kerinduan untuk mengail sangat membuak di hati. Ianya adalah aktiviti yang paling saya sukai di musim banjir, tak dapat mengail di sungai, dapat mengail di parit depan rumah pun jadilah. Saya sangat merindui suasana kampung di musim banjir. Serious sangat rindu... Pada malam akhir, kami menginap di Hotel Perdana, dan semasa dalam perjalanan ke sana, kami singgah rumah abang Zali kerana mendapat mesej dari anak buah memberitahu kakak ipar menyediakan ubi kayu rebus. Memang dah bertahun tahun rasanya saya tak makan ubi kayu dengan kelapa muda. Memang sedap sangat sangat. Kalau ubi rebus di KL, memang terpaksa berpuas hati dengan kelapa parut biasa sahaja. Tapi rasanya pasti tidak sama dengan kelapa muda parut. Syukur kerana saya masih berpeluang untuk menikmati makanan yang menjadi kegemaran sejak dulu pada hari ini. Sesungguhnya banjir akan kekal sebagai sebagai sebahagian dari sejarah hidup saya. Pasti sekali.....





Satu Hari Di Kota Bharu

$
0
0





Pada hari terakhir di Kelantan, kami membuat keputusan untuk menginap di Kota Bharu. Selepas selesai check in di Hotel Perdana Kota Bharu, saya terus mengajak hubby mencari makanan walaupun perut masih kekenyangan. Tempat yang dituju pastinya ialah Simpang Empat Cherang. Di situ terdapat pelbagai jenis makanan Kelantan yang dijual oleh 3 kumpulan peniaga. Mereka mula berjualan selepas Asar. Memang agak sukar untuk mencari ayam percik yang betul betul ayam percik tradisional Kelantan. Ayam percik yang dijual di Simpang Empat Cherang ini sangat sangat sedap dan disediakan seperti ayam percik tradisional. Kalau yang moden, ayam percik disediakan kuah berasingan pula, sedang ayam percik sepatutnya kuah pekat melekat pada ayam kerana dilumur sambil di bakar.





Selain ayam percik, yang tidak saya lupakan ialah nasi dagang dan nasi kerabu. Lauk yang sedap disediakan untuk dimakan dengan nasi dagang atau nasi kerabu atau nasi berlauk ialah gulai ikan tongkol, gulai ayam, kerutuk Itik Serati, gulai udang dan macam macam lagi. Oleh kerana mereka tidak menyediakan tempat makan di situ, kami membeli bungkus dan dibawa balik makan di hotel.





Pagi hari terakhir di KB, saya mengajak hubby bersarapan di luar. Hanya Aween yang bersarapan di hotel. Terlalu banyak makanan Kelantan yang ingin saya nikmati di sini. Tempat yang dituju ialah Kopitiam Kita yang sangat femes dengan orang yang penuh sesak sehingga agak sukar mencari tempat parking. Lebih lebih lagi dalam keadaan hujan. Makanan utama di sini ialah roti kitab yang dibakar dan diletakkan sebiji telur separuh masak. Selain itu, makanan yang menjadi pilihan ramai ialah nasi tumpang dan nasi berlauk dingin Kak Wook. Nasi tumpang adalah ala ala nasi impit yang dibungkus dengan daun pisang dan juga diletakkan sekali lauk ikan atau udang. Nasi berlauk Kak Wook juga sangat sedap dan menepati selera saya untuk sebungkus nasi berlauk.






 
Inilah roti bakar iaitu roti kitab yang saya order. Walaupun saya tak suka telur separuh masak, tapi hari itu memang licin dimakan kerana keenakan roti dan serikayanya. Disediakan payung gergasi untuk memayungkan pelanggan ke kereta masing masing sewaktu hujan. Dengan payung yang besar, pasti tidak basah dek tempias. Hmmm strategi perniagaan yang terbaik...






Setakat ini sahaja dulu catatan perjalanan JJCM saya di Kota Bharu kali ini yang pastinya meninggalkan seribu kenangan manis, terutamanya dapat menikmati suasana musim banjir di Kelantan.






Kuih Chek Mek Molek di Hari Krismas

$
0
0




Kuih Chek Mek Molek adalah kuih yang cukup sinonim dengan negeri Kelantan. Sejak kecil lagi saya telah pandai menyediakan kuih ini. Bukan orang Kelantan kalau tak pandai membuat kuih tradisi negeri Kelantan ini. Hahaha janganlah ada yang marah bila saya menulis begitu. Telah lama Juita minta dibuat Kuih Che Mek Molek tapi asyik tertangguh kerana hubby tak beli ubi keledek yang merupakan bahan utama.  Membuat che mek molek ni sangat mudah. Tak perlu sukatan pun, agak agak adunan ubi dan tepung gandum dah tak melekat di bekas, dah boleh  digentel, kira ok lah. Sangat mudah dan sangat cepat menyediakannya.





Semasa balik ke kampung baru baru ni, merata juga mencari ubi keledek. Maklumlah musim banjir, banyak ubi mungkin ditenggelami air banjir. Sejak balik ke KL, macam macam laporan berita banjir yang diterima dari Kelantan yang dilaporkan sangat buruk sehingga ramai terperangkap. Ada juga yang terperangkap di tingkat 4 bangunan sekolah di Kuala Krai selepas 3 tingkat bangunan telah ditenggelami air. Tidak kurang ramai yang mengutuk dan memarahi kerajaan Pusat yang dikatakan tidak membantu. Tapi tidak ada pula yang memarahi kerajaan negeri yang telah memerintah Kelantan lebih dari 20 tahun. Mereka sepatutnya lebih bersedia dengan BCP untuk menghadapi musibah banjir yang berlaku hampir setiap tahun. Saya sendiri merungut kenapa tiada usaha  dari kerajaan negeri untuk meninggikan jalan raya selepas mengalami detik cemas apabila kereta kami terpaksa mengharungi air banjir di beberapa batang jalanraya. Sebelum ini jalanraya berdekatan rumah kami di Tangok dan Rusa telah ditinggikan dan sejak itu tiada lagi masalah terputus hubungan jalanraya akibat banjir. Itu projek 30 tahun yang lalu. Kenapa tiada usaha serupa diambil untuk meninggikan jalan raya lain yang mudah ditenggelami banjir. Apa yang mereka buat? Itu yang saya rungutkan pada 18 Disember lalu sementara hubby diam tidak menjawab. Saya bukan berniat untuk menyentuh bab politik di sini. Tapi kita terlalu mudah melatah. Bila ada apa apa musibah mula menuduh ada pihak lepas tangan dan sebagainya sedang pihak berkuasa yang patut bertanggungjawab tidak pula dipersoalkan. Saya percaya semua pihak berusaha bertungkus lumus untuk membantu mangsa banjir namun ujian Allah maha hebat bila arus banjir yang deras menyukarkan penggunaan bot yang boleh hanyut di bawa arus. Keselamatan pasukan keselamatan juga perlu ditimbangtara dengan bijaksana. Tak perlulah kita mempolitik apa apa pun dari musibah yang melanda kerana setiap musibah ada menpunyai hikmah.  Sebaliknya mengadu mengikut saluran yang betul dan berdoa kepada Allah. Memang banjir kali ini lebih besar kerana rumah kakak saya yang tidak pernah dinaiki air juga naik sehingga ke paras tangga rumah.





Berbalik kepada ubi keledek, saya  menemuinya di pasar Bachok dengan harga RM3 sekilo. Saya ambik hanya 4 kilo sahaja. Sebelum ini ubi yang dijual di Kandis adalah RM22 untuk 10 kilo. Tapi terasa macam terlalu banyak pula kalau beli untuk 10 kilo. Lagi pula bimbang jika ianya terlebih muatan dalam kapalterbang.

Pagi cuti hari krismas, saya masuk ke dapur awal kerana menyediakan kuih Che Mek Milek dan selepas itu, saya bercadang untuk ke OU dengan anak anak. Sementara pihak majikan saya membuat tawaran diskaun pembelian buku di MPH, saya ingin membeli buku buku dan beberapa naskah Al Quran. Jom layan resepi campak campak saya pagi ini.




Kuih Chek Mek Molek

Bahan bahan:
2 ketul besar ubi keledek
1 cawan tepung gandum
Gula pasir secukupnya

Cara cara:
Rebus ubi keledek sehingga empuk. Kupas kulit dan tumbuk sehingga lumat. Satukan dengan tepung gandum sehingga menpunyai doh yang boleh digentel.

Ambik adunan sebesar bola ping pong. Bulat bulatkan dan kemudian baru dileperkan. 





Masukkan gula pasir secukupnya. Tutup kemas dan gelek gelek antara dua tapak tangan sehingga permulaannya kemas.



Goreng dengan api sederhana sehingga keperangan. Sedia untuk diangkat dan dihidangkan.



Kari Kaki Ayam Mengandungi Kalogen Semulajadi

$
0
0



Semasa kuliah Zohor Ustaz Ibrahim Muhammad di surau tempat saya bekerja disebutkan berkenaan tidak mencium bau syurga bagi mereka yang mewarnakan rambut ke warna hitam untuk kelihatan dan berlagak muda. Begitu juga dengan lain lain usaha seperti membuat rawatan muka dsb kecuali jika ianya dibuat atas sebab sebab kesihatan. Ketika itu Ustaz mencadangkan supaya menjaga penampilan diri dengan cara pengambilan pemakanan asli seperti ulam ulaman dan kalogen yang dikatakan banyak terdapat kalogen semulajadi dalam kaki ayam dan kaki lembu. Itulah kali pertama mendengarnya. 




Saya pun terus google dan mendapati artikel berkenaan perkara tersebut. Ohh rupanya ada kalogen dalam kaki ayam. Sejak itu, saya berangan angan untuk membeli kaki ayam untuk dibuat kari. Masa dulu dulu memang hubby selalu membawa balik kaki ayam percuma yang diberi oleh peniaga ayam di pasar basah Subang Jaya. Kali ini saya membeli sekilo kaki ayam dengan harga RM3 sekilo. Balik dari Taman Tun, saya singgah di Giant dan melihat harga kaki ayam yang dijual dengan harga RM2 untuk 300 gram. Wah mahal juga rupanya kaki ayam di Giant ya. Tapi melihatkan anak anak ada yang tak makan kaki ayam, jadi saya beli juga beberapa ketul paha ayam buat mereka. 

Jom layan resepi kari kaki ayam cara saya...



Kari Kaki Ayam  

Bahan bahan:
1/2 kg kaki ayam
5 ketul paha ayam
3 sudu besar rempah kari
5 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Sedikit halia
1 batang kulit kayu manis
1 sudu besar kerisik
Garam
Gula
Asam keping
Santan secukupnya

Cara cara:
Panaskan minyak dan masukkan bawang bawang dan halia  yang dihiris serta kulit kayu manis. Tumis sehingga wangi. Masukkan rempah kari yang tidak dibancuh dengan air dan goreng dengan cepat supaya tidak hangit. Masukkan sedikit air.

Masukkan kaki ayam ke dalamnya dan goreng sehingga air kering dan keluar minyak. Setelah itu, baru masukkan santan dan masaklah sehingga mendidih. Masukkan kerisik, garam, gula dan asam keping. Perlahankan api dan biarkan mendidih sehingga pecah minyak. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. 



Percutian Di Grand Lexis Mengakhiri Tahun 2014

$
0
0




Telah lama Aween mengajak bercuti di Grand Lexis Port Dickson yang cantik dan mempunyai private swimming pool. Tapi hajat terpaksa ditunda dari masa ke semasa kerana kesukaran mencari masa yang sesuai dengam semua orang. Setelah lama tertangguh, akhirnya kami memilih 27 Disember di mana saya mula bercuti sehingga ke akhir tahun. Itu pun Nana dan Nelly tidak dapat ikut serta kerana telah menpunyai komitmen masing masing. Saya memilih grand villa seaview kerana ingin menikmati pemandangan laut sepenuhnya. Memang cantik dengan adanya swimming pool tersendiri, ada kaca untuk melihat air laut dari lantai bilik. 








Alhamduliah kerana cuaca sangat baik semasa kami berada di sana walaupun hari mendung dengan hujan renyai renyai. Sebelum bertolak saya telah ke kedai runcit untuk mendapatkan beberapa ketul kepala ayam untuk dijadikan umpan bagi perangkap ketam, aktiviti yang saya gemari jika bercuti di villa atau chalet atas permukaan air. Sampai di PD, kami ke Supermarket untuk membeli makanan untuk anak anak sepanjang percutian. Juga mencari perangkap ketam.





Sesampai di sana anak anak mula mandi di swimming pool. Hubby menghabiskan masa dengan membaca paper sambil monitor business melalui whatsApp. Saya pula membaca buku dan sibuk mengambil gambar anak anak. Walaupun saya tidak menghabiskan 3 buah buku yang dibawa namun saya gembira kerana masa terisi dengan penuh manafaat. 








Sebelah malam, kami keluar makan di Pantai Ria Restaurant, yang menghidangkan masakan laut yang sedap. Balik bilik Aween menyambung mandi swimming pool lagi. Pendek kata percutian kami kali ini adalah dihabiskan di villa sahaja. Lebih lebih lagi cuaca sejuk berhujan. Bila terasa lapar, kami memesan makanan secara room delivery sahaja.  Sangat sejuk walaupun cuaca tidaklah berangin yang kuat. Lebih selesa berbaring di atas katil gebu dengan bantal empuk dan selimut tebal. Saya pulak rajin serve minuman untuk hubby sebab ustaz ustaz dalam ceramah selalu menekankan berkenaan pahala besar buat isteri yang melayan suami hatta memberikan minuman. Selebih itu masing masing melakukan aktiviti yang disukai. Saya banyak mengikuti berita berkaitan kejadian banjir di negeri negeri Pantai Timur yang terburuk seumur hidup saya dan juga berita kehilangan pesawat penerbangan AirAsia dari Surabaya ke Singapura yang sepatutnya tiba di Singapura pada pagi hari minggu. Semoga ahli keluarga mangsa yang terlibat akan bersabar dengan ujian ini.





Hari terakhir, semua tidak keluar bersarapan. Hanya saya dan Juita yang bersarapan di hotel. Jadi sebelum bertolak balik ke KL, kami sekali lagi singgah makan di restoran makanan laut. Membawa sekali ketam yang ditangkap untuk dimasak. Sedap dimasak salted butter. Walaupun kecil tapi ketamnya menpunyai isi yang agak padat juga. 






Dengan itu berakhirlah sudah percutian yang sangat santai sebagai mengakhiri tahun 2014 yang mencatatkan banyak ujian dan suka duka buat saya dan pada masa yang sama, Allah memperkenankan banyak doa doa saya. Syukur kepada Hadrat Illahi atas perkenan dan kurniaNya. Semoga tahun 2015 menjanjikan kecemerlangan buat saya sekeluarga dunia dan akhirat. Begitu juga buat anda semua. Aamiin. 






Selamat Tinggal 2014

$
0
0



Sebagai mengakhiri tahun 2014, saya ingin membuat sedikit coretan dan mengimbau perjalanan hidup saya yang penuh dengan suka dan duka. Tahun 2014 akan ditinggalkan dalam beberapa jam sahaja lagi dan tahun 2015 akan kita jejaki. Satu tahun meninggalkan kita bererti baki usia kita juga berkurangan selama satu tahun. Ini adalah fakta yang harus kita terima samada kita bersedia atau tidak, samada kita gembira atau sebaliknya kerana masa yang berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan. Yang ada hanyalah hari ini. Kerana esok juga belum pasti akan kita jejaki.

Tahun 2014 banyak melakar kisah sedih dengan pelbagai ujian dan dugaan yang menimpa satu persatu. Pemergian Bonda adalah satu kehilangan besar buat diri saya kerana tiada lagi Bonda yang selama ini sering mengingatkan kami tentang agama, terutamanya bab mengenal Allah. Walaupun bersedia dengan perkara tersebut, namun saya masih tidak dapat menahan tangis sendu di atas pemergian Bonda. Perasaan kesal kerana tidak melakukan yang terbaik semasa Bonda masih hidup. Harapan Bonda untuk datang ke rumah kami lagi bagi melihat Nana berkahwin juga tidak kesampaian. Walau apa pun sekali, arwah Bonda dan Ayahanda tetap hidup dalam ingatan saya. Setiap hari, saya akan menitip doa buat mereka. Selain pemergian Bonda, saya juga kehilangan seseorang yang saya sayangi secara tiba tiba bak mimpi di siang hari. Saya memujuk hati supaya menerima ianya sebagai takdir Illahi. Entah kenapa saya menjadi sangat sedih setiap kali mengenangkan apa yang telah terjadi dan masih merisik khabar. Mungkin akan tiba masanya untuk saya meletakkan titik noktah kepada masa silam dan meneruskan perjalanan musafir ini.

Sebagai mengubati segala kesakitan dan kepedihan, saya menjalani hari hari dengan mendekati Illahi dengan memperbanyakkan menghadiri majlis majlis ilmu, membaca Al Quran serta buku buku agama. Setiap hari saya memanjatkan doa dengan penuh pengharapan pada rahmat dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan  Maha Penyayang, kerana selepas kesusahan, pasti ada kesenangan. Itu yang saya pegang. Sesuatu yang perlu diyakini dengan sepenuh hati. Akhirnya Allah memperkenankan doa doa saya satu persatu. Alhamdulillah, syukur syukur syukur yang tidak terhingga atas limpah kurniaNya. Saya meletakkan dahi di lantai untuk melakukan sujud syukur dengan linangan air mata. Namun ia bukan alasan untuk saya berhenti memohon dari Allah. Malah azam saya untuk terus memperbanyakkan amalan soleh sebagai persediaan sebelum saya dipanggil mengadap Illahi. 





Projek Menyemai Anak Betik Tahun 2015

$
0
0




Sejak pokok betik yang ditanam Agus ditebang dengan alasan untuk ianya tumbuh dahan baru dan berbuah di dahan lebih rendah meninggalkan saya dalam penyesalan yang tak sudah. Boleh klik di SINI dan di SINI. Lagi pulak, sebelum dipotong batang pokok betik itu, telah ada anak pokok yang tumbuh yang saya kira dari biji benih pokok yang sama. Namun sayang sekali, kerana pokok ini juga tumbuh tinggi dan tidak menghasilkan buah yang lebat. Buahnya juga kecil dan tidak seperti buah dari pokok induk terdahulu. Setelah kelihatan sebiji dari buahnya kekuningan, saya telah meminta hubby mengaitnya. Hajat hati untuk menyemai bijinya dan dibuat benih anak pokok betik. Yang di dalam gambar di atas, adalah buah pokok betik yang buahnya agak bulat. Langsung tidak menpunyai biji dan rasanya juga sangat sedap.





Setelah beberapa hari saya mula memotong dan mengambil bijinya yang terdapat sedikit sahaja. Saya mengikut cara yang diajar dalam blog tanamsendiri.com iaitu biji benih betik yang diselaputi membran dibersih dan dipicit kerana jeli yang terdapat dalam membran tersebut adalah sejenis enzim yang menghalang biji benih dari bercambah. Kemudian saya basuh biji benih dan membuang isi yang masih terlekat supaya ianya tidak dimakan semut ketika disemai. Selepas itu, basuh biji tadi menggunakan sabun pencuci pinggan dan rendam dengan ubat antikulat dan jemur. Saya tak rendam pun sebab tak ada ubat tersebut. Saya keringkan atas tuala dapur.






Saya menyemai biji benih betik secara terus ke dalam plastik polibeg bersaiz 15cm X 23 cm. Mengikut cara yang diajar oleh blog diatas iaitu dengan mengisikan tanah dengan nisbah berikut: Pasir 50%, baja organik (tinja ayam) 25% dan tanah atas (topsoil) 25%. Semaikan 3-4 biji benih dalam satu polibeg. Tanamkan biji benih sedalam 2 cm ke dalam tanah.




Baki biji benih yang selebihnya boleh disimpan di dalam bekas bertutup kering di dalam suhu bilik selama 1 tahun. 





Saya akan buat entri berkenaan pertumbuhan anak benih pokok betik. Hahaha itu pun sekiranya ia tumbuh. Harap harap begitulah kerana kelihatan beberapa anak pokok betik dalam pasu yang tumbuh dari biji yang dijatuhkan oleh burung burung yang hinggap di bumbung rumah kami. Mudah mudahan tangan saya juga sejuk. Aamiin. 

Cantiknya Broken Glass Jello

$
0
0




Telah terlalu lama saya menyimpan resepi ini. Saya benar benar teruja sehingga tidak mampu berkata kata setiap kali melihat betapa cantiknya gambar gambar Broken Glass Jello dari blog Food Librarian. Klik resepinya di SINI. Setiap kali ingin membuatnya, setiap kali juga bahan tak cukup terutama jelly yang berwarna dan berperisa. Akhirnya saya membuat jelly tanpa perisa dan diletakkan pewarna sahaja. Itupun jelly hanya cukup untuk menyediakan 3 1/2 pewarna sahaja.




Percubaan pertama berakhir dengan kegagalan. Pertama kerana tidak mendapat kefahaman yang jelas berhubung dengan berat 2 pek gelatin yang digunakan. Yang kedua, saya dah tersilap membaca yang susu boleh disimpan di dalam peti untuk mempercepatkan penyejukan. Akibatnya gelatin tak menjadi, ianya tak bercampur antara gelatin dengan air dan susu. Jawabnya derma jer kat Cik Tong Pah.




Saya tak mahu berputus asa kerana asyik dok teringatkan kecantikan jelly ini, saya buat lagi sekali.  Kali ini, saya baca sekali lagi resepi dengan berhati hati dan tengok pula step by step dalam youtube. Tak mahu gagal lagi. Tapi manusia hanya merancang dan berusaha kerana percubaan saya kali ini juga tidak menjadi seperti yang sepatutnya. Ianya menjadi agak lembik sehingga sukar untuk memotong dengan cantik dan keduanya saya terlupa untuk spray di permukaan bekas kaca sehingga jelly yang dipotong melekat dan susah diangkat keluar. Mungkin ianya terlembik kerana sukatan air yang tidak cermat dek membuatnya dalam keadaan tergesa gesa untuk ke OU membeli barang barang rumah sewa Nelly. Aduhaai hajat hati untuk membawa ke surau bagi jamuan tidak tercapai kerana saya tak suka dengan puding yang lembik walaupun rasanya memang tersangatlah sedap. Lebih lebih lagi bila dimakan sejuk sejuk. Alamaknya akan ada lagi entri Broken Glass Jello selepas ini. 

Jom layan resepi yang telah saya translate dan olah seperti di bawah ini. Pastikan sukatan air disukat dengan cermat supaya ianya tidak terlembik seperti saya atau mungkin dilebihkan sedikit gelatin. Kalau ada sesiapa yang telah mencuba, bolehlah share sukatan yang anda gunakan ya.... 




Broken Glass Jello
Bahan bahan
4 kotak  (3 oz tiap satu) Jelly - guna 4 warna & perisa 
1 tin (14 oz) susu pekat manis 
0.5 oz unflavored gelatine

Cara cara:
Untuk setiap perisa, bancuh 1 kotak jelli dengan 1 cawan air mendidih walaupun sukatan yang dicadangkan di pek pembungkusan adalah 2 cawan. Tuang ke dalam bekas dan simpan dalam peti sejuk semalaman atau sehingga mengeras. Kemudian potong kiub kecil kecil. Cara mudah untuk mengeluarkan jelly adalah dengan memasukkan bekas jelly di dalam bekas besar yang berisi air panas seketika sahaja. Selepas potong, masukkan ke dalam pinggan dan letak semula dalam peti ais seketika supaya ianya betul betul mengeras.

Taburkan kiub jelly rata rata ke dalam bekas 9x13 inci atau menggunakan bundt pan yang telah dispray dengan canola oil dan dilap lebihannya. Atau boleh juga dilapik loyang dengan plastik. Gambar gambar pertama di bawah ini adalah gambar semasa percubaan pertama yang tak menjadi dahulu.





Di dalam bekas lain, taburkan 2 pek (0.5 oz) unflavoured gelatine ke dalam 2 cawan air mendidih dan kacau rata. Masukkan 1 tin susu pekat manis. Kacau rata rata sehingga ianya sejuk terlebih dahulu.

Tuang adunan susu yang telah sejuk ke dalam bekas jelly dan sejukkan semalaman di dalam peti ais. Sudu keluar bubble jika ada untuk kelihatan lebih menarik.





Bila telah mengeras, bolehlah dipotong dan dihidangkan.

Nota:
Boleh juga dilapik loyang dengan plastik untuk memudahkan ianya dipotong dan dihidangkan dalam paper cup.



Puding Raja Yang Sedap

$
0
0
  


Sebelum masuk bab masakan, saya ingin kongsikan sedikit perkongsian dari kuliah Ustaz Azmi di Surau Ad Dhuha berkenaan perumpamaan antara dunia dan akhirat. Manusia banyak mengutamakan dunia dari akhirat. Bila sibuk dengan urusan dunia, urusan akhirat di ketepikan. Sedangkan kita patut jaga hak Allah, kerana sudah pastinya Allah akan menjaga hak kita. Perumpamaannya ialah seorang yang menjunjung barangan di atas kepala dan dua tangan pula membimbit barangan. Apabila barangan dijunjung senget dan tidak seimbang, letakkan barangan yang dipegang di kedua tangan dan perbetulkan semula barang yang dijunjung di kepala. Setelah seimbang, barulah pegang semula barang ditangan dan terus melangkah. Itulah yang sepatutnya. Barang yang dijunjung adalah umpama akhirat dan barang di kedua tangan adalah dunia. Ianya bererti akhirat diutamakan. Lepaskan dunia untuk memperbetulkan akhirat. Bukan dunia di kepala dan akhirat di tangan. Bila sibuk sahaja dengan urusan dunia seperti menghadiri mesyuarat, kita akan melambat lambatkan solat atau mungkin terlepas langsung waktu solat. Ini antara contoh yang saya nampak bagaimana kita mengutamakan dunia dan melepaskan akhirat dalam kehidupan harian terutama bagi mereka yang bekerja. 

Ini adalah kali kedua saya membuat Puding Raja. Kali pertama Puding disediakan Nana dan Juita di SINI. Sekali lagi saya menggunakan resepi yang diambil dari buku Air Tangan Tengku Puan Pahang yang dihadiahkan oleh Dato' Daing Khatijah. Kali ini saya menggunakan baki Pisang Lemak Manis yang dibuat Trifle Pisang Lemak Manis di SINI. Memang patutlah ianya dipanggil Puding Raja kerana bahan bahan yang diguna untuk membuatnya semua sedap sedap belaka seperti pisang Lemak Manis dan juga Jala Emas.






Saya membeli jala emas yang telah siap dari Kelantan. Maklum untuk menyediakannya amatlah remeh dan memerlukan sedikit kesabaran untuk menghasilkan jala emas yang halus dan cantik. Hari ini saya tak letak prune atau biji gajus kerana ketiadaan stock. Kalau tak suka manis, bolehlah guna gula dalam 1- 1 1/2 cawan gula sahaja kerana jala emas pun memang telah menpunyai rasa yang manis. Atau boleh dirasa tahap kemanisan terlebih dahulu.

Jom kita tengok resepi yang saya kongsikan sekali lagi di bawah ini....




Puding Raja

Bahan bahan:
4 sikat pisang lemak manis - buang kulit
1 cawan biji gajus - digoreng
2-3 genggam jala emas
200 gram buah prun - potong 4
Buah ceri merah/hijau
2 sudu besar minyak sapi
Minyak untuk menggoreng

Untuk Kuah Puding:
1 tin susu cair
3 biji telur - ambil kuning sahaja
1/2 tin air
1-2 cawan gula (ikut citarasa)
Daun pandan - simpul
Esen vanilla

Cara memasak:
Panaskan minyak dan minyak sapi untuk menggoreng dengan minyak yang penuh. Goreng pisang sehingga kuning. Angkat dan letakkan di atas kertas minyak untuk meresap minyak yang berlebihan.
Kemudian goreng biji gajus. Angkat dan ketepikan.

Kuah Puding:
Pukul kuning telur bersama susu cair dan air. Tapis untuk membuang pusat telur putih. Masukkan gula dan kacau sehingga gula larut.

Masak di atas api kecil bersama daun pandan sehingga sederhana pekat. Masukkan sedikit esen vanila. Jangan guna api besar dan kacau selalu untuk supaya tidak  bergentel. Keluarkan daun pandan bila siap.

Cara Menghidang:
Aturkan pisang goreng 2-3 lapis di dalam mangkuk. Taburkan jala emas. Kemudian aturkan buah prun, ceri dan biji gajus. Tuangkan kuah ke atasnya apabila hendak dimakan.







Selamat mencuba....


Kuih Keria

$
0
0




Salam Jumaat buat semua. Hari ini saya ingin kongsikan petikan dari kuliah Zohor Ustaz Najhan semalam berkenaan dosa dan pengampunan Allah dari Kitab 40 Hadis. Allah Maha Pengampun seperti mana yang dijanjikan dalam Al Quran kecuali bagi orang yang melakukan dosa syirik. Allah akan mengampunkan pada sesiapa yang Allah kehendaki. Walaupun seseorang itu adalah seorang ahli maksiat. Dosa manusia ada dua jenis iaitu dosa kecil dan dosa besar. Manakala dosa pula ada yang melibatkan hak Allah yang lebih mudah diampunkan Ada pula dosa yang melibatkan hak manusia. Bagi dosa ini, ianya bergantung kepada manusia yang menjadi mangsa. Ini adalah kerana manusia boleh menuntut hak mereka di akhirat kelak, contoh bagi orang yang dizalimi. 

Dosa dosa kecil boleh terhapus dengan amalan amalan soleh yang dilakukan seperti solat, puasa dsb. Disebutkan bahawa antara satu solat fardhu dengan solat fardhu berikutnya Allah akan ampunkan dosa dengan sebab solat, begitu juga antara Jumaat dengan Jumaat yang diisi dengan amalan soleh juga akan hapuskan dosa,  Ramadhan dengan Ramadhan berikutnya juga, akan dihapuskan dosa. Manakala bagi dosa besar yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat dengan sengaja. Boleh Allah ampun atau tidak diampun. Bagi dosa besar dengan Allah adalah wajib untuk kita melakukan solat taubat. Contoh seperti meninggalkan solat. Tak boleh tinggal solat dengan sengaja. Tidak ada keadaan yang mengecualikan kita dari melakukan solat. Dalam erti kata lain, tiada keuzuran dalam melakukan solat. Oleh itu tiada qadha. Kecuali bagi orang yang hilang akal, tertidur dan sebagainya. Dosa besar yang Allah ampunkan yang melibatkan hak Allah seperti meninggalkan solat. Tapi yang Allah tak ampunkan ialah dosa besar melibatkan jenayah yang telah ditetapkan hukumannya di bawah hukum hudud seperti mencuri. Jika di dunia telah menjalani hukuman, mereka tak akan disiksa lagi di akhirat. Ada dosa besar yang tidak ditetapkan kadar hukuman seperti menderhaka kepada ibubapa. Manakala dosa besar yang melibatkan manusia seperti mengambil harta orang lain. Allah akan mengampunkan selepas mendapat keredhaan manusia yang dizalimi atau diambik hak nya. Allah menerima taubat selagi roh belum tiba di halkum. Firaun setelah tersedar yang dia terperangkap di dasar laut, baru dia bertaubat. Tapi taubatnya tidak diterima kerana telah hampir mati. Walaupn 70 kali sehari buat dosa, Allah tetap akan ampunkan kita. Kena yakin akan pengampunan Allah dan kena takut akan azab Allah. Takut pada Allah tapi mesti ada pengharapan pada Allah kerana Allah tak akan memungkiri janji untuk mengampunkan dosa dan menerima taubat. Tapi dalam masa yang sama, kena bimbang dan takut akan kemurkaan Allah. Selagi engkau berdoa memohon keampunan, Aku akan ampunkan dosa kamu walaupun dosa mu sehingga sampai setinggi langit atau sepenuh bumi selagi tiada dosa syirik. 

Sekarang kita masuk bab masakan pula. Hari ini saya menyediakan Kuih Keria pula dengan menggunakan ubi keledek yang dibawa balik dari Kelantan 2 hari sebelum banjir besar melanda Kelantan dan beberapa negeri lain di pantai Timur. Kami menginap di Hotel Perdana KB dari 20-21 dan banjir melanda KB mulai 23 Disember. Alhamdulillah kerana kami tidak terperangkap di dalam banjir seperti yang menimpa ramai orang kerana air banjir naik dengan begitu pantas. Boleh klik di SINI untuk melihat Kuih Keria yang saya sediakan sebelum ini. Kuih Keria adalah kuih kegemaran hubby dan ianya disediakan hari ini atas permintaan Juita yang merupakan peminat kuih che mek molek. Cara penyediaan adunan Kuih Keria adalah sama dengan Kuih Che Mek Molek. 




Sejak beberapa hari ini, memang saya agak tidak produktif. Hanya makan tidur sahaja kerja seharian saya. Mungkin juga kesan ubat allergik yang menjadikan saya sentiasa dalam keadaan mengantuk. Sewaktu saya menulis artikel ini, hubby masih berada di Kelantan kerana menyertai misi bantuan banjir bersama rakan rakan dari Prudential Assurance Bhd. Ini lah kali pertama saya melihat banjir yang begitu besar melanda negeri kelahiran saya sehingga begitu banyak kerosakan yang rasanya lebih besar dari kesan Tsunami di Acheh beberapa tahun dahulu. Bezanya tsunami di Acheh telah meragut nyawa yang ramai. Saya menjadi sangat trauma bila memikirkan keadaan mangsa banjir yang terperangkap di tingkat 4 dengan 3 tingkat bangunan sekolah di Manik Urai telah ditenggelami air. Namun secara jujurnya saya lebih berserah pada Illahi dengan memperbanyakkan doa buat mereka kerana yakin hanya Allah sahaja yang dapat menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap.

Jom layan resepi kuih keria yang saya sediakan hari ini. Saya melihat ada juga orang yang memasukkan sedikit tepung ubi ke dalam adunan. Tapi saya hanya memasukkan tepung gandum dan ubi keledek sahaja. Jom layaann...




Kuih Keria
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
Ubi keledek - rebus & tumbuk
Tepung gandum secukupnya

Cara cara:
Satukan ubi yang ditumbuk dengan tepung gandum sehingga adunan boleh dibentuk. Jika masih lembik dan susah untuk dibulatkan, masukkan lagi tepung gandum sedikit demi sedikit.

Ambil adunan sebesar bola ping pong. Bulat bulatkan dan kemudian dileperkan. Kemudian buat lubang di tengah tengahnya.

Goreng dengan api perlahan sehingga keperangan. Boleh angkat dan sejukkan terlebih dahulu. Sedia untuk disira dengan air gula.


Sira Kuih Keria
Oleh: Azie Kitchen

3 sudu besar gula
2 sudu besar air
Secubit tepung gandum - opsyenal


Panaskan gula dan air dengan api perlahan sehingga air gula pekat dan berbuih. Masukkan kuih keria yang telah disejukkan dan dikacau rata rata.

Apabila air gula bersalut rata di kuih keria, taburkan sedikit tepung gandum supaya ia tahan lama dan tidak mudah cair.

Terus dikacau rata sehingga kerak gula melekat di kuih. Tutup api dan bolehlah dikeluarkan dari kuali.



Kerutuk Daging Kelantan

$
0
0




Saya ingin kongsikan apa yang menyentuh hati saya dan masih teringat ingat sehingga kini bila mendengar kata kata Vivy Yusoff dalam rancangan Raikan Wanita bila Vivy menyebut yang dia selalu mendoakan kebahagiaan staf juga. Vivy adalah seorang usahawan muda yang sangat saya kagumi. Saya mengikuti blog dan penulisan beliau setiap hari. Kebetulan anak anak gadis saya juga meminati fesyen yang digayakan oleh Vivy. Vivy mahukan staf nya juga bahagia kerana katanya mereka juga menpunyai keluarga. Betapa tersentuh nya hati saya. Alangkah baik kalau semua orang terutama bos bos supaya tidak memikirkan periuk nasi sendiri atau keluarga sendiri sahaja kerana sebagaimana kita mahukan kebahagiaan bagi diri dan keluarga kita, begitu juga orang lain. Tapi apa yang saya perhatikan ramai mencari peluang untuk menonjolkan diri sendiri, menjatuhkan orang lain, cari peluang melepaskan tanggungjawab pada orang lain dsb. Akhirnya yang pandai berkata dan bermadah akan didengar. Semua berkenaan keakuan, berkenaan diri sendiri. Alangkah sedih melihat senario seperti itu lumrah terjadi seharian di tempat kerja. Begitulah manusia yang menilai sesuatu kejayaan dari hasil sedangkan Allah menilai dari usaha dan perbuatan.





Apa apa pun kita berserah pada Allah. Antara petikan hadis dari At Tirmizi, "peliharalah Allah, pasti Allah memelihara kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah, apabila kamu memerlukan bantuan, mintalah bantuan Allah. Ketahuilah sesungguhnya apabila manusia bersatu bagi memberi kebaikan lepada mu, mereka tidak mampu melainkan apa yang sudah ditetapkan oleh Allah kepada kamu dan apabila mereka bersatu bagi menjatuhkan kamu, mereka tidak mampu melainkan apa yang sudah Allah tetapkan kepada kamu". Hati menjadi tenang membaca petikan ini kerana dengan menjaga hak Allah pasti Allah menjaga hak kita. 

OK sekarang saya nak kongsikan resepi daging masak kerutuk dari Kelantan. Sebenarnya memasak lauk ini sangat mudah, sama sahaja dengan memasak kari biasa. Bezanya hanyalah ianya berkuah agak pekat dan mempunyai rasa yang sedikit manis serta menggunakan rempah kerutuk. Ianya biasa dimasak menggunakan ayam atau daging yang dipotong bersaiz besar atau dipanggil gulai buku besar kalau di Kelantan. Jom layan....



Kerutuk Daging Kelantan

Bahan bahan:
Daging secukupnya
6 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Sedikit halia - hiris
3 sudu besar rempah kerutuk
Gula Melaka
Garam
Asam keping
Kulit kayu manis dan bunga lawang
1 sudu besar kerisik
1 kotak santan kotak

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis semua bahan hiris bersama kayu manis, bunga lawang sehingga kekuningan. Masukkan rempah kerutuk yang tidak dibancuh dengan air dan goreng rempah kerutuk dengan pantas. Masukkan sedikit air dan masak sehingga rempah benar benar garing dan keluar minyak.

Masukkan daging dan kacau rata sebelum masukkan sedikit air dan masak sehingga daging empuk. Saya masak dahulu daging dengan pressure cooker bagi mempercepatkan ianya empuk.

Setelah daging masak, barulah dimasukkan santan dan masak sehingga mendidih. Masukkan pula gula melaka, kerisik, garam dan asam keping.

Masak sehingga kuah pekat dan pecah minyak. Sesuaikan rasa dan sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih, cicah roti atau dimakan dengan apa sahaja. 


Viewing all 2251 articles
Browse latest View live


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>